Aturan Urusan Mesyuarat dibaca bagi menyambung semula perbahasan yang ditangguh atas masalah, “Bahawa rang undang-undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang.” [15 Disember 2021]
Tuan Yang di-Pertua: Dipersilakan Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai untuk berbahas.
11.42 pg.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai: Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberikan peluang kepada saya untuk turut sama berbahas Rang Undang-undang Perbekalan 2022. Saya memang rasa bersyukur, alhamdulillah boleh bersama-sama rakan-rakan Yang Berhormat Senator di Dewan yang mulia ini memberikan pandangan dan cadangan untuk Rang Undang-undang Perbekalan 2022.
Juga ingin saya menyampaikan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Kementerian Kewangan dan kesemua kementerian yang lain yang bertungkus-lumus dalam memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dijamin dalam Perbekalan 2022. Saya yakin belanjawan bagi tahun hadapan ini akan mengutamakan rancangan pemulihan ekonomi pasca pandemik COVID-19.
[Timbalan Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Rang Undang-undang Perbekalan 2022 ini telah memperuntukkan sebanyak RM332 bilion yang merupakan satu belanjawan yang sebegitu besar jumlah dalam usaha mempercepatkan pemulihan dan membina daya tahan dan merangsang semula ekonomi negara kita. Seperti biasa kita nampak utamanya kepada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan khususnya dengan menitikberatkan masa hadapan negara kita kerana negara tidak akan mempunyai masa hadapan yang cerah tanpa struktur pendidikan dan kesihatan yang mantap.
Hari ini saya akan menyentuh beberapa perkara dalam Perbekalan 2022 terutamanya Kementerian Pendidikan, Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Dalam Negeri dan akhirnya Kementerian Belia dan Sukan yang saya anggap penting dan juga memerlukan beberapa penjelasan daripada kementerian. Saya akan memulakan dengan Kementerian Pendidikan kerana ia telah diberikan peruntukan yang terbesar dalam Belanjawan 2022.
Isu yang pertama dan isu yang penting itu adalah isu keciciran pelajar yang dibangkitkan oleh Kementerian Pendidikan telah menunjukkan sejumlah 21,316 orang pelajar tercicir dalam tidak menamatkan pendidikan mereka masing-masing bermula Mac 2020 hingga Julai 2021 semasa pandemik memuncak pada masa itu.
Saya sebagai mantan profesor di UTM memang sangat bimbang akan isu ini. Situasi ini telah dibuktikan dalam suatu kajian pada Ogos 2020 yang bertajuk, dengan izin, Families on the Edge oleh Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menyentuh mengenai isu peningkatan bilangan keciciran pelajar terutamanya daripada golongan yang kurang bernasib baik di sekitar Lembah Klang akibat wabak COVID-19.
Mengenai isu keciciran pelajar ini, saya hendak memohon penjelasan bagaimana kementerian bercadang untuk menangani isu keciciran ini dalam kalangan pelajar sekolah di negara kita. Menurut pengetahuan saya, kesukaran dalam pembayaran yuran pengajian, yuran pengangkutan dan pemberian wang saku adalah antara faktor yang utama di sebalik kadar berlakunya keciciran pelajar. Apa mekanisme yang dirancang oleh pihak kementerian atau disediakan oleh kementerian untuk mengurangkan kebimbangan ini serta menggalakkan golongan yang kurang bernasib baik untuk kembali ke sekolah.
Daripada segi pengangkutan, kita mempunyai peruntukan sebanyak RM18 juta untuk perjalanan dan pengangkutan murid asrama. Walau bagaimanapun, skop peruntukan ini adalah hanya untuk pelajar yang tinggal di asrama.
Saya ingin mendapat penjelasan daripada kementerian sama ada terdapat subsidi pengangkutan disediakan untuk pelajar sekolah yang tidak tinggal di asrama. Jika begitu, adakah ia diletak di bawah program Bantuan Tambahan Persekolahan yang mempunyai peruntukan sebanyak RM75 juta ataupun di bawah program-program yang lain. Saya minta penjelasan daripada kementerian.
Tambahan pula, bagaimanakah Program Rancangan Makanan Tambahan yang dilaksanakan sebaik mungkin untuk pelajar yang kurang bernasib baik? Baru-baru ini Malaysia telah mengalami kesan yang mendalam akibat kenaikan harga makanan yang disebabkan oleh gangguan rantaian bekalan makanan. Walaupun kenaikan harga barangan makanan seperti sayur-sayuran dijangka bersifat sementara sahaja, namun persoalan di sini ia memberikan impak kepada Program Rancangan Makanan Tambahan yang dijalankan dengan anggaran peruntukan hampir RM300 juta untuk tahun hadapan.
Adakah akan berlaku sebarang elemen kompromi dalam program makanan yang diberikan di bawah Program Rancangan Makanan Tambahan itu? Selain daripada isu pelajar tercicir, Kementerian Pendidikan Malaysia baru-baru ini juga mendedahkan bahawa sebanyak 1,311 buah sekolah dianggap tidak selamat di Malaysia dengan 73 daripadanya dikategorikan sebagai tahap 7.
Tahap 7 itu maksudnya amat berbahaya mengikut piawaian Jabatan Kerja Raya.
Walaupun usaha kementerian harus dipuji dalam menaikkan taraf dan membangunkan semula sekolah daif, namun saya difahamkan menaikkan taraf pembangunan semula kesemua 1,311 buah sekolah ini akan menelan kos sekitar RM15 bilion. Berdasarkan kenyataan tersebut, saya mempunyai beberapa pertanyaan kepada kementerian.
Pertama, memandangkan anggaran RM17 juta untuk pembangunan infrastruktur- tadi saya katakan itu untuk menaikkan taraf 1,311 buah sekolah itu kosnya adalah sekitar RM15 bilion tetapi anggaran RM17 juta untuk pembangunan infrastruktur, berapa banyakkah daripada peruntukan tersebut akan digunakan dalam menaiktarafkan dan membangunkan semula sekolah yang sebutkan itu? Bagaimanakah kementerian akan menangani isu tersebut dengan peruntukan yang terhad? Tadi katakan RM17.9 juta dan RM15 bilion itu dan apakah mekanisme yang terlibat dalam pemilihan sekolah yang perlu diutamakan.
Kedua, saya juga difahamkan bahawa akan ada lebih banyak sekolah yang memerlukan pembaikan semula dari semasa ke semasa. Saya ingin tahu sama ada kementerian ada mempunyai sebarang pelan tindakan jangka panjang dalam mengurangkan jumlah keseluruhan sekolah daif itu.
Adakah pihak kementerian yakin dapat mencapai nilai negatif bersih dalam bilangan sekolah daif katakan pada tahun 2030? Beralih daripada topik sekolah daif, ingin saya menyentuh peruntukan yang diberikan dalam memperkasakan bahasa yang bernilai RM118 juta untuk pelaksanaan dasar memartabatkan Bahasa Melayu memperkukuhkan bahasa Inggeris.
■1150
Apakah rancangan Kementerian Pendidikan dalam memperkasakan penggunaan bahasa Malaysia dalam kalangan belia terutama yang belajar dalam aliran vernakular dan persendirian serta pendidikan di luar kawasan sekolah iaitu dalam kehidupan seharian?
Pada masa yang sama, bagaimanakah kementerian merancang dan memperkasakan penggunaan bahasa Inggeris bagi meningkatkan kefasihan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan seterusnya mengekalkan dasar saing mereka dalam persada antarabangsa? Ini kerana bahasa Inggeris ini merupakan bahasa komunikasi yang diterima pakai oleh warga global. Lebih penting, bagaimanakah kementerian merancang untuk mengimbangi peruntukan antara kedua-dua bahasa sambil memastikan program yang berkaitan mencapai matlamatnya?
Seterusnya, saya juga ingin menyentuh kepada peruntukan yang diagihkan kepada Kementerian Perpaduan Negara yakni kementerian kedua saya sentuh bahawa sejumlah RM193 juta akan diperuntukkan untuk Program Perpaduan Negara bagi tahun depan. Program tersebut dibahagikan kepada tiga aktiviti iaitu perpaduan negara dan integrasi nasional, perhubungan masyarakat dan pembangunan masyarakat.
Perpaduan negara dan integrasi nasional mempunyai nilai peruntukan sebanyak RM189 juta, manakala selebihnya akan diagihkan kepada aktiviti perhubungan masyarakat dan pembangunan masyarakat di mana sebanyak RM1.9 juta dan RM2.5 juta telah diperuntukkan kepada kedua-dua aktiviti tersebut.
Oleh itu, mohon kementerian mengemukakan perincian dana yang diperuntukkan di Program Perpaduan Negara. Apa KPI atau Key Performance Indicators yang akan dalam pelaksanaan sebagai pengukur pencapaian program tersebut dan juga jelaskan bagaimana perbelanjaan dan prestasi program pada tahun semasa 2021 telah memupuk perpaduan di Malaysia dalam persekitaran yang lebih baik lagi.
Tambahan pula, saya juga dimaklumkan bahawa anggaran RM42 juta telah dibelanjakan untuk Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India Malaysia pada tahun 2020. Bagaimana anggaran hampir RM100 juta untuk tahun 2021, sedang digunakan? Saya berharap kementerian tolong jelaskan pecahan perbelanjaan tersebut secara terperinci. Apakah program dan inisiatif yang telah dijalankan bagi tahun 2020 dan tahun 2021? Apakah kesan kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat India melalui peruntukan tersebut?
Tambahan kepada soalan tersebut, saya juga mohon kementerian menjelaskan apakah perancangan bagi Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India Malaysia bagi tahun 2022 yang telah diperuntukkan sebanyak RM100 juta secara umumnya?
Kementerian yang ketiga iaitu Kementerian Dalam Negeri, Rang Undang-undang Perbekalan 2022 akan memperuntukkan sejumlah RM17 bilion bagi kegunaan kementerian tersebut, termasuk peruntukan untuk meningkatkan kebajikan polis, memperkuatkan Unit D11 iaitu bahagian yang menyiasat kesalahan seksual terhadap wanita dan kanak-kanak dan memperketat sempadan negara.
Sementara saya memuji rancangan Kementerian Dalam Negeri untuk meningkatkan kebajikan anggota polis dan keselamatan di sempadan tanah air, saya hendak ambil kesempatan ini mengulas persepsi negatif masyarakat terhadap segelintir penguat kuasa yang dikaitkan dengan beberapa insiden yang tidak sepatutnya berlaku seperti kematian dalam tahanan, serangan seksual dalam premis balai, karaoke di dalam balai dan sebagainya.
Badan hak asasi manusia seperti Suara Rakyat Malaysia pernah membangkitkan isu-isu seperti kematian dalam tahanan yang tidak dilaporkan. Saya memang bimbang akan ketelusan dan integriti penguat kuasa undang-undang di negara kita akan tercalar berikutan kes-kes seperti tersebut sekiranya tiada tindakan yang sewajarnya diambil.
Saya juga ingin mengetahui perancangan kementerian dalam memperoleh peralatan yang canggih, yang berteknologi tinggi dalam memastikan urusan penguat kuasa termasuk memasang kamera CCTV di dalam bilik siasatan, lokap dalam balai polis dan sebagainya. Ia sebagai usaha pihak Polis Diraja Malaysia dalam merakyatkan pasukan tersebut. Kita tidak mahu kes-kes seperti dakwaan rogol di salah satu buah balai polis di Sarawak didedahkan pada awal tahun ini, di mana bukti penting tidak dapat diperoleh kerana akibat kekurangan keupayaan merakamkan dalam sistem CCTV balai polis tersebut.
Maka, mohon kementerian bagaimana peruntukan kementerian akan diguna pakai bagi tujuan merakyatkan pasukan Polis Diraja Malaysia?
Tuan Yang di-Pertua, berkenaan dengan peruntukan kepolisan dalam peruntukan RM8.5 bilion, berapa jumlah daripadanya akan digunakan untuk program latihan peka sensitiviti bagi anggota polis dan mengurangkan sebarang insiden malang semasa siasatan polis? Sila huraikan butiran spesifik untuk program tersebut jika ada.
Saya menghargai usaha kementerian yang berterusan dalam membendung jenayah rentas negara termasuk yang berkaitan dengan pemerdagangan manusia yang tadi kita bangkitkan di Dewan yang mulia ini dan sebagainya yang berlaku dan melibatkan pintu masuk negara. Mohon kementerian menjelaskan Butiran 03000 yang menyentuh peruntukan kepada Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM). Bagaimanakah peruntukan sebanyak RM12 juta yang diperuntukkan akan digunakan dan memperketat sempadan negara terutamanya dalam menghalang kemasukan pendatang tanpa sebarang dokumen rasmi yang boleh mengancam keselamatan negara yang kita sayangi?
Saya juga ingin menyentuh perkara yang berkaitan dengan pelarian. Mohon kementerian menyatakan pendirian kerajaan dalam menangani isu pelarian di negara kita. Adakah kementerian akan mengagihkan sebarang peruntukan kepada perkara tersebut? Bagaimanakah kerjasama kementerian dengan organisasi antarabangsa seperti Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian dan pertubuhan antarabangsa mengenai migrasi dalam menangani isu pelarian di Malaysia?
Saya lihat Malaysia banyak membantu golongan pelarian. Namun begitu, sehingga kini kita memilih untuk tidak menjadi penandatangan kepada Konvensyen Pelarian Tahun 1951. Mohon Wisma Putra jelaskan mengapa. Apakah yang menghalang kita untuk mengambil bahagian dalam konvensyen tersebut?
Untuk Kementerian Dalam Negeri, apakah pendirian kementerian dalam memberikan kewarganegaraan secara berperingkat ataupun taraf penduduk tetap kepada golongan pelarian yang lahir di Malaysia? Petah berbahasa Melayu, memahami kebudayaan negara, menghormati undang-undang Persekutuan dan telah menjadi sebahagian daripada kita.
Selain daripada isu pelarian, saya juga ingin membangkitkan isu penjara satelit di Dewan yang mulia ini. Dalam usaha mengatasi isu kesesakan penjara dan mengurangkan wabak COVID-19, 13 buah penjara satelit telah diwujudkan pada awal tahun ini dengan menggunakan kemudahan kem Program Latihan Khidmat Negara yang sedia ada. Bagi tujuan tersebut, sejumlah RM96 juta telah diperuntukkan untuk urusan penjara satelit pada tahun 2022. Memang patut dipuji tindakan Kementerian Dalam Negeri yang merancang dan melaksanakan idea penjara satelit ini demi menjaga kesihatan persekitaran banduan.
Bagaimanapun, ia cuma langkah sementara dan bukan langkah jangka panjang dalam mengatasi isu kesesakan penjara.
■1200
Tuan Yang di-Pertua, difahamkan kerajaan akan membelanjakan hampir RM100 juta hanya untuk menguruskan 13 buah penjara satelit dan saya percaya lebih banyak penjara satelit akan dibina jika masalah kesesakan penjara terus bertambah dan penularan wabak COVID-19 terus berlaku. Mohon kementerian memberikan penjelasan berhubung pelan jangka panjang bagi penjara satelit di Malaysia. Apakah yang seterusnya?
Akhir sekali saya hendak sentuh tentang program-program tertentu di bawah pengurusan Kementerian Belia dan Sukan. Kementerian Belia dan Sukan merupakan peneraju peningkatan kemahiran di kalangan golongan belia di negara kita. Peruntukan kewangan bagi program seperti pembangunan kemahiran projek dan projek Pembangunan i-LEAD telah pun dinaikkan untuk tahun 2022 berbanding dengan peruntukan bagi tahun 2021. Peruntukan program pembangunan kemahiran telah melonjak naik daripada RM3.6 juta kepada RM8.1 juta. Manakala peruntukan projek Pembangunan i-LEAD iaitu RM13 juta untuk tahun 2022 berbanding dengan RM3 juta pada tahun 2021.
Mohon Kementerian Belia dan Sukan untuk mengulas bagaimana peningkatan peruntukkan kepada program-program tersebut akan digunakan secara optimum dalam meningkatkan kemahiran belia serta memupuk bakat kepimpinan dalam kalangan generasi baru itu.
Di samping itu mohon kementerian menjelaskan mekanisme yang sedia ada untuk mengukur kejayaan program-program tersebut.
Selain daripada itu, saya juga ingin menyentuh sedikit tentang program kepimpinan yang diuruskan oleh Kementerian Belia dan Sukan setakat ini. Saya berpendapat program kepimpinan seperti projek Pembangunan i-LEAD, dengan izin, Malaysia Future Leaders Schools (MFLS) nampaknya mempunyai persamaan dalam objektif mereka iaitu memupuk nilai kepimpinan di kalangan belia.
Oleh itu, saya memohon kementerian memberikan penjelasan mengenai perbezaan daripada segi matlamat program tersebut dan objektifnya. Menurut program MFLS saya kurang pasti mengapa peruntukan MFLS untuk tahun 2022 merosot dengan banyak berbanding peruntukan bagi tahun 2021 dan saya memohon kementerian nyatakan sebab pengurangan ini.
Saya juga mengambil maklum tentang program perkhidmatan bekalan makanan bermasak di Institut Latihan KBS yang diperuntukkan jumlah yang besar sebanyak RM42 juta. Bolehkah kementerian jelaskan secara lebih lanjut mengenai program tersebut seperit objektif program, cara mengukur kejayaan program dan juga justifikasi untuk dana yang sebegitu banyak untuk program tersebut.
Tuan Yang di-Pertua, akhir kata melalui perbahasan ini saya telah menyuarakan penelitian, pandangan dan persoalan kepada beberapa perincian peruntukan dengan harapan kemakmuran dan kesejahteraan seluruh warga Malaysia yang dipelihara melalui Rang Undang-undang Perbekalan 2022. Saya dengan ini menyokong, sekianlah sahaja. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua: Terima kasih kepada Yang Berhormat Senator Datuk Dr.
Dominic Lau Hoe Chai atas perbahasan tadi.
Seterusnya saya mempersilakan Yang Berhormat Senator Tuan Haji Aziz bin Ariffin, dipersilakan.
12.04 tgh.
Tuan Haji Aziz bin Ariffin: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Bismillahi Rahmani Rahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Alhamdulilahi rabbilalamin.
Segala puji bagi Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang serta dengan nikmatnyalah terwujudlah pelbagai kebaikan.
Tuan Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya melafazkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan innayah-Nya lah, saya diberi kesempatan untuk membahaskan Bajet 2022 yang telah mengangkat tema Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera.
Syabas saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Yang Berhormat Menteri Kewangan serta semua penjawat awam yang terlibat dalam menyediakan Bajet 2022.
Mengangkat tiga- paksi utama pelaksanaannya iaitu rakyat sejahtera, perniagaan yang berdaya tahan, ekonomi yang makmur dan mampan.
Di kesempatan ini, masih tidak terlambat untuk saya merakamkan ucapan tahniah kepada parti Barisan Nasional yang telah berjaya memenangi 21 daripada 28 Kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Melaka pada 20 November yang lalu. Ucapan terima kasih juga tidak dilupakan kepada rakyat negeri Melaka yang telah menunaikan kewajipan dengan keluar mengundi untuk memilih wakil rakyat yang benar-benar layak bagi mewakili mereka.
Tuan Yang di-Pertua, Bajet 2022 ini merupakan bajet terbesar dalam sejarah negara.
Dengan defisit yang masih tinggi, bajet ini juga penuh risiko apabila kerajaan terpaksa meminjam lebih banyak dana sedangkan unjuran pendapatan kerajaan masih rendah. Perkara ini berlaku adalah disebabkan oleh beberapa tindakan keputusan yang telah diambil oleh kerajaan sebelum ini selepas PRU14 yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan pada hari ini.
Kerajaan sebelum ini telah mengambil langkah ke belakang dengan memansuhkan GST mengakibatkan negara kerugian hasil berbilion-bilion Ringgit untuk disalurkan kembali kepada rakyat terutamanya semasa negara berperang dengan COVID-19. Pemansuhan GST juga telah mengakibatkan negara meningkatkan kebergantungan kepada hasil minyak semata-mata. Defisit dan hutang negara sebenarnya akan melonjak lebih tinggi lagi, namun kerajaan sebelum ini telah mengambil dividen yang tinggi serta melampau daripada PETRONAS sejak PRU14 lalu telah menyelamatkan negara terutamanya pada masa pandemik.
Pada bulan Ogos 2021, Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS telah memberi amaran bahawa dividen yang dipaksakan terhadap PETRONAS telah melebihi keuntungan PETRONAS setiap tahun sejak 2018. Terdapat banyak aset milik PETRONAS yang telah dijual oleh kerajaan sebelum ini, termasuklah kepentingan saham dalam MISC, PETRONAS Dagangan dan PETRONAS Gas yang bernilai RM6 bilion yang telah dijual pada 9 Disember 2019.
Kepentingan saham MISC dan KLCC bernilai RM3.4 bilion telah dijual pada 10 Disember 2020 dan baru-baru ini pula PETRONAS menjual aset gas di Azerbaijan yang bernilai RM9.4 bilion.
Perkara ini adalah amat penting, kerajaan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada PETRONAS untuk membiayai perbelanjaan kerajaan pada masa hadapan. Sekiranya perkara ini terus terjadi, negara akan kehilangan sumber penting hasilnya dan mampu membantutkan pelaburan PETRONAS dalam usaha untuk mencari kawasan minyak baru bagi menggantikan simpanan petroleum yang semakin berkurangan.
Tuan Yang di-Pertua, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat masalah yang dihadapi oleh para doktor kontrak ketika ini. Jumlah doktor kontrak telah meningkat kepada 23 ribu orang semenjak tahun 2016 selepas konsep kontrak diwujudkan. Niat pihak kerajaan ketika itu adalah untuk membolehkan mereka berkhidmat sebagai doktor secepat mungkin setelah mereka menamatkan pengajian.
Apakah perancangan kerajaan bagi memastikan para pekerja kontrak di seluruh negara terus terbela? Pandemik COVID-19 telah membuktikan bahawa kapasiti perkhidmatan kesihatan perlu dipertingkatkan di seluruh negara. Kerajaan disarankan untuk memperkenalkan dan merancakkan rangkaian hospital penyelidikan hibrid di seluruh negara yang merupakan kerjasama awam dan swasta.
■1210
Hospital hibrid ini dilihat mampu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh 23 ribu orang pegawai kerajaan kontrak perubatan dan pergigian pada masa kini. Hospital hibrid ini juga mampu menjadi pilihan pada golongan B40 dan M40 berbanding dengan hospital swasta yang nyata lebih mahal.
Tuan Yang di-Pertua, kerajaan seharusnya menyedari bahawa penangguhan projek untuk membina Hospital Padang Besar yang telah dirancang dalam Rancangan Malaysia Kesembilan lagi, namun sehingga kini, hanya papan tanda projek berkenaan sahaja yang mampu dilihat. Projek pembinaan Hospital Padang Besar tersebut telah pun diluluskan sejak tahun 2015 lagi serta peruntukan pun telah diluluskan.
Pada masa kini, penduduk Padang Besar terpaksa bergantung harap pada Hospital Tuanku Fauziah yang terletak di Kangar untuk mendapat rawatan. Jika mereka memerlukan perkhidmatan daripada doktor pakar, mereka kenalah ke Hospital Alor Setar.
Tuan Yang di-Pertua, penduduk Perlis juga sebenarnya memerlukan sangat hospital ini didirikan. Bagi memastikan mutu perkhidmatan kesihatan awam di negeri Perlis khususnya di Padang Besar terus terjaga dan terjamin, apakah status terkini projek pembinaan Hospital Padang Besar yang telah sekian lama tertangguh? Serta apakah komitmen kerajaan untuk memastikan pelaksanaan projek berkenaan dapat dilaksanakan secepat mungkin?
Tuan Yang di-Pertua, ketidaktentuan ekonomi sejak gelombang pandemik COVID-19 telah mengakibatkan banyak sektor pekerjaan dan perniagaan terkesan. Peniaga Kecil dan Sederhana (PKS), peladang serta peniaga tempatan antara terjejas dan tidak dapat melaksanakan projek pergerakan aktiviti ekonomi mereka secara langsung.
Apabila disebut sahaja Perlis Tuan Yang di-Pertua, ramai teringat tentang keistimewaan Harumanis nya yang dikatakan berbeza dengan Harumanis yang ditanam di negeri-negeri lain mahupun yang diimport dari luar terutama Kemboja. Harumanis telah membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta merancakkan ekonomi Perlis sejak beberapa tahun yang lalu. Maka tidak hairanlah segelintir pesawah menukarkan sebahagian kecil kawasan tanaman padi mereka dengan Harumanis kerana pendapatannya lebih lumayan.
Penularan wabak COVID-19, telah mengakibatkan wujudnya lambakan Harumanis berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Apakah strategi serta langkah jangka masa pihak kerajaan dalam memastikan lambakan buah tersebut tidak berulang kembali yang bakal merugikan para pengusaha? Adakah terdapat sebarang kajian yang dijalankan terutamanya penggunaan teknologi baharu yang boleh diguna pakai oleh para pengusaha dalam memastikan
Penularan wabak COVID-19, telah mengakibatkan wujudnya lambakan Harumanis berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Apakah strategi serta langkah jangka masa pihak kerajaan dalam memastikan lambakan buah tersebut tidak berulang kembali yang bakal merugikan para pengusaha? Adakah terdapat sebarang kajian yang dijalankan terutamanya penggunaan teknologi baharu yang boleh diguna pakai oleh para pengusaha dalam memastikan