Bil. 20 Khamis 16 Disember 2021
MALAYSIA
PENYATA RASMI PARLIMEN
DEWAN NEGARA
PARLIMEN KEEMPAT BELAS
PENGGAL KEEMPAT
MESYUARAT KEDUA
Diterbitkan Oleh:
SEKSYEN PENYATA RASMI PARLIMEN MALAYSIA 2021
K A N D U N G A N
JAWAPAN-JAWAPAN LISAN
BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN (Halaman 1)
RANG UNDANG-UNDANG:
Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Halaman 23) USUL:
Waktu Mesyuarat dan Urusan
Dibebaskan Daripada Peraturan Mesyuarat (Halaman 52)
AHLI HADIR
1. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais bin Yatim
2. “ Timbalan Yang di-Pertua Dato’ Seri Mohamad Ali bin Mohamad (Melaka)
3. “ Tuan Haji Idris bin Haji Ahmad [Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)]
4. “ Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Muhammad [Timbalan Menteri Pengajian Tinggi]
5. “ Dato’ Sri Ti Lian Ker [Timbalan Menteri Belia dan Sukan]
6. “ Dato’ Dr. Mah Hang Soon [Timbalan Menteri Pendidikan I]
7. “ Datuk Lim Ban Hong [Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri]
8. “ Tuan Aknan a/l Ehtook 9. “ Dato’ Arman Azha Abu Hanifah 10. “ Tuan Haji Aziz bin Ariffin (Perlis) 11. “ Tuan Balasubramaniam a/l Nachiappan 12. “ Datuk Bobbey Ah Fang bin Suan (Sabah) 13. “ Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin 14. “ Dato’ Isa bin Ab. Hamid
15. “ Dato’ Haji Jefridin bin Haji Atan (Johor)
16. “ Datuk John Ambrose
17. “ Dato’ Juhanis binti Abd Aziz (Pahang)
18. “ Dato’ Kesavadas A. Achyuthan Nair (Negeri Sembilan) 19. “ Dato’ Haji Husain bin Awang (Terengganu)
20. “ Puan Lim Hui Ying (Pulau Pinang)
21. “ Datuk Mohd Hisamudin bin Yahaya (Wilayah Persekutuan Putrajaya)
22. “ Tuan Seruandi bin Saad (Perlis)
23. “ Dr. Ahmad Azam bin Hamzah (Negeri Sembilan)
24. “ Datuk Mohan a/l Thangarasu
25. “ Tuan Muhamad Zahid bin Md. Arip (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur)
26. “ Dato’ Ajis bin Sitin (Pahang)
27. “ Dato’ Wira Othman bin Aziz (Kedah) 28. “ Tuan Ahmad bin Yahaya (Kedah) 29. “ Datuk Razali bin Idris
30. “ Datuk Wira Koh Nai Kwong (Melaka) 31. “ Dato’ Nelson a/l Renganathan 32. “ Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
AHLI TIDAK HADIR AHLI HADIR (samb/-)
33. Yang Berhormat Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee 34. “ Dr. Wan Martina binti Wan Yusoff (Kelantan) 35. “ Dato’ Zaiedi bin Haji Suhaili (Sarawak)
1. Yang Berhormat YM Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz [Menteri Kewangan]
2. “ Datuk Dr. Mohd Radzi bin Jidin [Menteri Kanan Pendidikan]
3. “ Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal [Timbalan Menteri Perpaduan Negara]
4. “ Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
5. “ Tan Sri Dato’ Seri Mohd Radzi bin Tan Sri Sheikh Ahmad 6. “ Datuk Ras Adiba binti Mohd Radzi
7. “ Sr. Haji Mohamad Apandi bin Mohamad (Kelantan) 8. “ Puan Fadhlina binti Dato’ Sidek (Pulau Pinang) 9. “ Datuk Haji Bashir bin Haji Alias (Wilayah Persekutuan
Labuan)
AHLI TIDAK HADIR
(DI BAWAH PERATURAN MESYUARAT 83)
1. Yang Berhormat Datuk Paul Igai
2. “ Tuan Ir. Md. Nasir bin Hashim 3. “ Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
4. “ Tuan Robert Lau Hui Yew
5. “ Puan Rita Sarimah a/k Patrick Insol
6. “ Puan Susan Chemerai Anding
7. “ Dato’ Dr. Nuing Jeluing (Sarawak)
AHLI CUTI
(DI BAWAH PERKARA 52 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN)
1. Yang Berhormat Dato’ Sri Vell Paari a/l Tun Samy Vellu
HADIR BERSAMA
1. Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Azmin bin Ali [Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri]
2. “ Dato' Sri Mustapa bin Mohamed [Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)]
3. “ Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin [Menteri Dalam Negeri]
4. “ Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim [Menteri Wilayah Persekutuan]
5. “ Datuk Halimah binti Mohd Sadique [Menteri Perpaduan Negara]
6. “ Tuan Haji Idris bin Haji Ahmad [Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)]
7. “ Datuk Seri Dr. Noraini binti Ahmad [Menteri Pengajian Tinggi]
8. “ Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid [Menteri Pembangunan Luar Bandar]
9. “ Dato’ Dr. Haji. Noor Azmi bin Ghazali [Timbalan Menteri Kesihatan I]
10. “ Datuk Arthur Joseph Kurup [Timbalan Menteri Kerja Raya]
11. “ Datuk Seri Dr. Santhara [Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya]
DEWAN NEGARA
Ketua Pentadbir Parlimen Nor Yahati binti Awang Setiausaha Dewan Negara
Muhd Sujairi bin Abdullah
Setiausaha Bahagian (Pengurusan Dewan) -
PETUGAS-PETUGAS PENYATA RASMI (HANSARD) Monarita binti Mohd Hassan
Azhari bin Hamzah Halijah binti Mat Sin Rosna binti Bujairomi Alzian binti Baharudin Muhammad Qhidir bin Mat Isa
Noraidah binti Manaf Siti Norlina binti Ahmad Nor Hamizah binti Haji Hassan
Sherliza Maya binti Talkah Nor Liyana binti Ahmad Sharifah Nor Asilah binti Syed Basir
Nik Nor Ashikin binti Nik Hassan Hafilah binti Hamid
Nor Faraliza binti Murad @ Nordin Alli Nor Effazimmah binti Maliki
Nur Annisa binti Hamid Herdawati binti Mohd Amir Abbu Hasnah Sakinah binti Mohd Hashim
Nur Hazwanie binti Mohd Rozali Yoogeswari a/p Muniandy Muhamad Fazal bin Mahat
Nor Aizafasya binti Zainal Ahmad Syahril bin Haji Sikari @ Sik'ari
Azmir bin Mohd Salleh Mohd. Izwan bin Mohd. Esa
Nor Kamsiah binti Asmad Aifarina binti Azaman Noorfazilah binti Talib Farah Asyraf binti Khairul Anuar
Julia binti Mohd. Johari Syahila binti Ab Mohd Khalid
Ismalinda binti Ismail Hazliana binti Yahaya Amir Arshad bin Ab Samad Hizamihatim Maggisa bin Juarah
Muhammad Firdaus bin Ahmad Izzul Syazwan bin Abdul Halim
Maryam binti Azinuddin Mohd Aizuddin bin Pahrol Laili
Nurul Syakirah binti Ibharim Suhaila binti Sariffuddin Siti Fatimah Nurain binti Mohamad
Nor Afina binti Mohamed Rashid Nik Muhammad Ismail bin Karim
MALAYSIA DEWAN NEGARA PARLIMEN KEEMPAT BELAS
PENGGAL KEEMPAT MESYUARAT KEDUA Khamis, 16 Disember 2021
Mesyuarat dimulakan pada pukul 10.00 pagi DOA
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN
Tuan Yang di-Pertua: Dijemput Yang Berhormat Senator Dato’ Haji Jefridin bin Haji Atan.
Dato’ Haji Jefridin bin Haji Atan: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Tuan Yang di-Pertua...
Pergi ke kedai membeli sepatu;
Soalan saya nombor satu.
Tuan Yang di-Pertua: [Ketawa] Yang Berhormat Menteri, sila.
1. Dato' Haji Jefridin bin Haji Atan minta Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan, apa bentuk kerjasama dan perbincangan strategik yang dilakukan dengan Kerajaan Singapura sebagai usaha membenarkan pembukaan semula sempadan Singapura-Johor menerusi Tambak Johor bagi tujuan perjalanan ulang alik harian melibatkan pekerja dari negara tersebut.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri [Dato’ Seri Mohamed Azmin bin Ali]: Tuan Yang di-Pertua, kerajaan sentiasa mengambil berat akan perkembangan ekonomi dua hala antara Malaysia dan Singapura dalam usaha untuk memulihkan ekonomi dua hala serta membolehkan pergerakan rentas sempadan Malaysia dan Singapura telah melaksanakan beberapa skim perjalanan antara kedua-dua negara:
(i) Skim Laluan Hijau Timbal Balik, dengan izin, Reciprocal Green Lane (RGL) membolehkan pergerakan rentas sempadan bagi tujuan perniagaan dan urusan rasmi,
(ii) Skim Peraturan Ulang-alik Berkala, dengan izin, Periodic Commuting Arrangement (PCA) membolehkan pekerja yang bekerja di Malaysia dan Singapura pulang ke negara asal bagi tujuan jalan jangka pendek.
Namun begitu, rentetan daripada situasi COVID-19 yang semakin meruncing pada awal tahun ini, kedua-dua skim berkenaan telah digantung sementara berkuat kuasa 1 Februari 2021.
Dalam pada itu, Kerajaan Malaysia dan Singapura juga telah bersetuju melancarkan Skim Lawatan Kecemasan Sakit Kritikal dan Kematian pada 17 Mei 2021 bagi membenarkan pergerakan rentas sempadan atas sebab-sebab ihsan dan kecemasan.
Tuan Yang di-Pertua, memandangkan kedua-dua negara telah mencapai tahap vaksinasi yang tinggi, Kerajaan Malaysia dan Singapura telah bersepakat melaksanakan pembukaan sempadan kedua-dua negara melalui Skim Vaccinated Travel Lane (VTL) udara dan darat secara serentak pada 29 November 2021. VTL udara dan VTL darat merupakan pencapaian penting dalam usaha memulihkan ekonomi negara melalui pergerakan rentas sempadan terutamanya dalam mempertemukan semula rakyat Malaysia di Singapura yang telah sekian lama terpisah daripada ahli keluarga masing-masing.
Skim VTL darat, pengembara yang di vaksin sepenuhnya dari Malaysia atau Singapura boleh merentasi sempadan di antara kedua-dua negara tanpa perlu menjalani kuarantin. Mulai 20 Disember 2021, VTL darat akan diperluaskan kepada semua kategori pengembara yang sebelum ini terhad kepada pemegang pas jangka panjang warganegara serta penduduk tetap, dengan izin, permanent resident Malaysia dan Singapura.
VTL darat akan ditambah baik dari semasa ke semasa termasuk pertambahan kuota harian dan perluasan daripada penggunaan Laluan Kedua TUAS serta kenderaan persendirian berdasarkan perkembangan situasi kesihatan di kedua-dua negara. Terima kasih Tuan Yang di- Pertua.
Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Soalan tambahan ada?
Dato’ Haji Jefridin bin Haji Atan: Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Adakah kerajaan bercadang untuk mempertimbangkan tempoh kuarantin dikenakan bagi pengguna kemudahan VTL ini sebagai langkah berjaga-jaga mengelakkan kemasukan varian Omicron ke Malaysia?
Dato’ Seri Mohamed Azmin bin Ali: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan juga Yang Berhormat. Seperti yang saya nyatakan tadi, pada ketika ini tidak ada kuarantin yang dikenakan ekoran daripada kadar vaksinasi yang tinggi di antara kedua-dua negara. Walau bagaimanapun, kerajaan sentiasa memantau situasi kesihatan semasa dan sekiranya ada sebarang indikasi, Kementerian Kesihatan pastinya akan memberikan nasihat yang sewajarnya.
Oleh sebab itu kita membuka sempadan ini secara berhati-hati dan tidak secara mendadak dan jumlah kuota harian masih ketika ini ditetapkan 1,440 orang untuk satu hala dan pada 20 Disember ini sekiranya situasi membenarkan, kita akan naikkan kepada 2,100 orang pengembara setiap hari satu hala. Ini membuktikan bahawa kita masih lagi memantau situasi kesihatan semasa supaya pembukaan sempadan ini tidak akan membebankan mana-mana pihak daripada segi kesihatan. Terima kasih Yang Berhormat.
Tuan Yang di-Pertua: Majlis mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri lantaran beliau menjawab bagi pihak kerajaan.
Yang Berhormat Dato’ Haji Husain bin Awang.
2. Dato' Haji Husain bin Awang minta Menteri Dalam Negeri menyatakan, perancangan kementerian untuk menyelesaikan isu jenayah pemerdagangan manusia yang masih berleluasa di dalam negara kita ini.
Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri.
Menteri Dalam Negeri [Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin]: Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Saya hadir hari ini Tuan Yang di-Pertua... [Tepuk]
Tuan Yang di-Pertua: Itu tanda kasih.
Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin: Memang, sebenarnya saya hendak maklumkan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat, Tuan Yang di-Pertua ini rapat dengan saya dan saya panggil beliau “abang” daripada dahulu lagi.
Tuan Yang di-Pertua: Macam abang dengan adik...[Ketawa]
Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin: Jadi beliau kirim salam itu, saya sedar- hari itu saya dari Kuantan Tuan Yang di-Pertua- abang, sebab...
Tuan Yang di-Pertua: Ya lah. Itu air sudah ke hilir dah tu Yang Berhormat adinda.
Silakan... [Ketawa]
Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin: Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Dalam Negeri selaku peneraju Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) yang turut dianggotai 22 kementerian dan agensi sentiasa melaksanakan pelbagai bentuk tindakan bagi membanteras jenayah pemerdagangan orang selaras dengan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670].
■1010
Selain itu, MAPO juga sentiasa berkolaborasi dengan badan bukan kerajaan, NGO dan juga pertubuhan antarabangsa bagi memastikan usaha membanteras jenayah ini dilaksanakan secara kolektif dan juga komprehensif.
Ingin saya maklumkan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat bahawa Rang Undang-undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2021 telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 15 Disember 2021 iaitu pada hari semalam yang mana ia memberi fokus kepada aspek perlindungan mangsa pemerdagangan orang dan pencegahan dengan meningkatkan hukuman yang dikenakan.
Selain itu, tindakan lain dan hala tuju kerajaan bagi memperkasakan usaha membanteras pemerdagangan orang di Malaysia adalah seperti berikut:
(i) memberi penekanan kepada tindakan penguatkuasaan dan perundangan yang lebih tegas dalam isu-isu pemerdagangan buruh yang dikatakan berlaku di sektor ekonomi sebagai contoh, sarung tangan getah dan perladangan sawit;
(ii) memperkasakan usaha dalam aspek pencegahan dan perlindungan mangsa pemerdagangan orang melalui kerjasama erat dengan NGO, pihak industri serta mempergiatkan tindakan bersepadu antara agensi;
(iii) meningkatkan kapasiti sumber dan kemahiran anggota penguat kuasa, pasukan pendakwa raya, pegawai pelindung serta entiti khusus di kementerian dan jabatan yang terlibat secara langsung dalam penggubalan dasar dan hal ehwal pengoperasian berkaitan pemerdagangan orang;
(iv) menambah baik sistem dokumentasi dan pelaporan berkaitan warga asing serta pengurusan golongan berisiko termasuk pekerja asing secara holistik bagi memastikan kebajikan dan hak pekerja terutama pekerja asing dapat dilindungi; dan
(v) melaksanakan sepenuhnya Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang (2021-2025) (NAPTIP 3.0) bersama pemegang taruh yang terlibat.
Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua: Dipersilakan.
Dato’ Haji Husain bin Awang: Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Soalan tambahan saya, pada waktu ini terdapat ataupun dimaklumkan bahawa selepas daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditarik balik, semakin banyak pusat pelacuran yang terdiri daripada warga asing telah wujud sekembali di bandar-bandar besar yang menyebabkan jenayah ini rancak semula.
Soalan saya, apakah situasi ini menunjukkan kes pemerdagangan manusia sedang meningkat dan apakah tindakan yang akan dibuat oleh pihak kementerian? Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua: Baik.
Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin: Terima kasih Yang Berhormat Senator Dato’ Haji Husain. Memang benar masalah pelacuran merupakan masalah yang agak rumit untuk kita tangani daripada dahulu lagi. Pelacuran adalah salah satu daripada masalah yang bukan baru-baru ini, sudah beribu-ribu tahun masalah ini berlaku di seluruh dunia.
Oleh sebab itu, dalam masalah anti pemerdagangan ini, pelacuran merupakan salah satu penyebab kepada mereka menjadi victim kepada orang yang telah pun mengambil peluang untuk menjual manusia melalui pelacuran dan sebagainya. Akan tetapi masalah pelacuran itu sendiri merupakan sesuatu yang terpaksa kita lakukan dengan bermacam-macam cara, dengan undang- undang yang ada dan dengan enforcement yang ada.
Inilah yang kita lakukan buat masa ini dan sebab itu undang-undang yang baru saja kita luluskan semalam di Dewan Rakyat adalah untuk memastikan kita boleh menurunkan kuasa kita kepada penjawat awam yang memegang konsep sebagai penguat kuasa dalam negara kita. Bukan hanya PDRM, bukan hanya agensi di bawah KDN tetapi juga agensi-agensi yang lain. Contohnya PBT, begitu juga JPJ, KPDNHEP dan banyak lagi, untuk kita memastikan kerjasama ini boleh kita lakukan untuk kita menangani jenayah pelacuran dalam negara kita. Terima kasih Tuan Yang di- Pertua.
Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai: Soalan tambahan Tuan Yang di-Pertua.
Datuk Razali bin Idris: Tuan Yang di-Pertua, saya hendak tambah satu...
Tuan Yang di-Pertua: Ada soalan tambahan tadi daripada sebelah kiri saya.
Datuk Razali bin Idris: Saya kanan.
Tuan Yang di-Pertua: Oh, Datuk Razali. Okey, okey.
Datuk Razali bin Idris: Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya mendengar dengan teliti rang undang-undang yang dibuat oleh kementerian tentang penjagaan dalam semua aspek, sempadan, pemerdagangan manusia dan sebagainya. Saya rasa agak terkilan dalam media sosial yang sangat popular dengan seorang lelaki yang berketurunan Myanmar dan terbabit dengan pemerdagangan manusia terlepas dari mahkamah. Dalam keadaan yang bergari pergi ke Mahkamah Tangkak, Johor dan terlepas.
Jadi, dulu ada satu kes Tuan Yang di-Pertua, Sajat boleh lepas, orang yang macam itu pun boleh lepas daripada negara, sekarang ini warga berketurunan Myanmar yang begitu hebat melakukan jenayah di negara kita...
Tuan Yang di-Pertua: Soalan, soalan.
Datuk Razali bin Idris: ...Dan terlepas. Saya mohon penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri apakah tindakan ataupun pembaharuan yang akan dibuat di kalangan mereka yang terbabit supaya yang ditahan tidak akan terlepas? Terima kasih.
Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin: Tuan Yang di-Pertua, bersabit dengan soalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Senator Datuk Razali, saya telah pun mengarahkan supaya PDRM menyiasat perkara ini dengan teliti kerana bagaimana ia boleh menyebabkan seorang banduan terlepas atau Orang Kena Tuduh terlepas daripada jagaan polis sendiri.
Buat masa ini, kita tidak ada jawapan yang konkrit untuk saya menjawab di Parlimen, dalam Dewan yang mulia ini tetapi yang penting kepada kita sesiapa saja yang melakukan kesalahan ini akan pasti dibawa ke mahkamah kalau disabitkan dengan kesalahan melanggar undang-undang kita ataupun SOP yang sedia ada di PDRM. Terima kasih.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai: Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua: Silakan.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai: Soalan tambahan.
Tuan Yang di-Pertua: Ya.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai: Mohon Yang Berhormat Menteri nyatakan kerjasama Malaysia dengan negara lain, negara luar dan pendekatan melalui agensi-agensi antarabangsa seperti INTERPOL, yang diambil oleh Kerajaan Malaysia dalam menghapuskan gejala pemerdagangan manusia terutamanya yang melibatkan Malaysia sebagai tempat transit untuk perkara tersebut? Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua: Sila.
Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin: Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Dr.
Dominic. Saya bersetuju bahawa kita memerlukan kerjasama dengan banyak negara-negara luar termasuklah juga INTERPOL. Dalam masalah pemerdagangan ini, ramai yang mengatakan seolah- olah negara kita merupakan transit kepada masalah untuk memperdagangkan orang di sini.
Sebenarnya saya hendak maklumkan, dengan izin Tuan Yang di-Pertua, Malaysia ini merupakan sebuah negara yang menjadi pulling factor kepada ramai orang di sana, di luar sana untuk datang dan mencari pekerjaan kerana Malaysia adalah satu-satunya negara yang memerlukan banyak pekerja asing. Ini memberikan ruang dan peluang untuk orang mengambil peluang ini dan memperdagangkan mereka sehinggakan ramai daripada asalnya mahu masuk untuk menjadi pekerja asing, akhirnya telah pun diperdagangkan sehingga mereka menjadi mangsa dalam isu ini.
Maka sebab itu kita perlukan kerjasama daripada negara-negara sumber. Saya telah pun menjawab di Dewan Rakyat mengatakan bahawa kita akan tengok daripada segi holistik bagaimana caranya untuk kita memastikan sesiapa sahaja yang ingin masuk mencari pekerjaan dalam negara kita, kita lakukan dengan yang sebaik mungkin. Tuan Yang di-Pertua saya teruskan ya?
Tuan Yang di-Pertua: Teruskan.
Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin: Sebab saya hendak bagi contoh supaya semua Ahli- ahli Yang Berhormat akan mengetahui dengan lebih jelas tentang isu bagaimana pekerja asing asalnya masuk secara sah dan akhirnya menjadi seorang yang tidak sah dalam negara kita. Ia adalah kerana pertama, dia masuk secara sah, dapat PLKS untuk bekerja dengan seorang majikan.
■1020
Kemudian majikan ini tidak bayar gaji, dia lari kepada majikan yang lain. Apabila dia lari kepada majikan yang lain, majikan yang nombor dua ini mengambil peluang.
Oleh sebab dia tidak ada passport yang dia pegangnya maka dia diambil bekerja tanpa dibayar gaji. Akhirnya dia menjadi mangsa kepada masalah pemerdagangan orang dalam negara kita. Itu sebagai satu contoh.
Jadi contoh-contoh yang banyak seperti ini menyebabkan kita melakukan satu kajian secara detil untuk memastikan selepas ini semua majikan kalau hendak mengambil mereka bekerja, kita akan adakan satu aplikasi yang kita namakan e-locker. Kita tahu siapa yang masuk dan orang yang masuk itu juga kita tahu di mana kampungnya, kampung asalnya, siapa bapa dia, siapa parents dia, siapa keluarga dia, adik-beradik dia. Kita tahu supaya kalaupun dia menjadi mangsa nanti selepas kita mengetahui semua asal usul dia kita dapat balik semula untuk mencari dia di mana sebab sudah tentu orang-orang ini akan menelefon, atau contact dengan keluarga, orang rapat- next of kin, semua ini kira jadikan kita masukkan dalam e-locker.
Bagaimana untuk kita memastikan sama ada orang ini masih lagi ada dalam negara ataupun tidak. Kita telah bekerjasama dengan agensi lain Jabatan Tenaga Kerja dan Kementerian Sumber Manusia untuk memastikan bahawa mereka yang masuk ini nanti ada e-locker tersebut dan mesti dibayar melalui e-Wages. Jadi, apabila masuk dalam e-Wages itu kita akan keluarkan tengok setiap bulan sama ada dia dapat gaji ataupun tidak. Kalau tiga bulan tidak dapat gaji, kita telefon majikan bertanya dgn dia pasal apa tiga bulan gaji dia tidak dimasukkan dalam e-Wages.
Ini akan memberikan sesuatu perlindungan kepada mereka yang ingin bekerja dalam negara kita. Ini merupakan suatu penambahbaikan yang kita akan kita anjurkan yang telah pun saya bentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri. Insya-Allah tidak lama lagi kalau semuanya telah bersedia akan saya umumkan nanti.
Jadi Tuan Yang di-Pertua saya ucapkan terima kasih kerana minta maaf Ahli-ahli Yang Berhormat Timbalan Menteri saya yang menjawab bagi pihak saya tempoh hari, saya mengharapkan mereka melakukan sesuatu yang baik. Kalau tidak baik, ditegur seolah-olah mereka tidak baik sehinggakan saya diminta untuk hadir sekali lagi. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua: Alhamdulillah, bak kata orang lama kita jarang-jarang datang sebab itu diberi jawapan panjang... [Ketawa]
Yang Berhormat Timbalan Menteri yang berkenaan membuat kerja yang baik Yang Berhormat. Kita ucap terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri di atas huraian beliau. Mungkin ada saya lihat tadi satu soalan tambahan belah kiri. Kalau tidak kita terus kepada Dato’ Isa bin Ab. Hamid.
3. Dato' Isa bin Ab. Hamid minta Perdana Menteri menyatakan, usaha langkah jangka panjang dan jangka pendek kerajaan untuk menghapuskan kemiskinan tegar menjelang 2025 terutamanya Orang Asli dan peribumi Sabah dan Sarawak
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) [Dato’ Sri Mustapa bin Mohamed]:
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Tuan Yang di-Pertua: Selamat datang kepada Yang Berhormat Menteri.
Dato’ Sri Mustapa bin Mohamed: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Dato’ Isa.
Soalan berkaitan dengan kemiskinan tegar di kalangan masyarakat Orang Asli. Tuan Yang di-Pertua, seperti yang Yang Berhormat sedia maklum, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan ini pada 12 Oktober lalu telah mengumumkan bahawa kerajaan komited untuk basmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan rakyat dengan menggunakan pendekatan keseluruhan negara atau, dengan izin, whole-of-nation approach.
Agenda basmi kemiskinan adalah untuk semua rakyat tanpa mengira jantina, etnik, sosioekonomi dan lokasi bagi memastikan tidak ada ahli Keluarga Malaysia yang ketinggalan.
Sudah pasti ini termasuklah Orang Asli dan bumiputera di Sabah dan Sarawak. Bagi langkah jangka pendek dan sederhana di samping melaksanakan inisiatif sedia ada sebagai projek rintis, kerajaan sudah memuktamadkan 50 buah lokasi di seluruh negara untuk melaksanakan Program Pembasmi Kemiskinan Tegar secara holistik. Cadangan senarai lokasi telah pun dikemukakan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) beberapa hari yang lalu.
Tuan Yang di-Pertua, untuk Sabah dan Sarawak 15 buah lokasi yang telah dikenal pasti manakala untuk kampung-kampung Orang Asli, EPU dan ICU dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli ataupun JAKOA sedang mengenal pasti lokasi bersesuaian. Di samping itu sebuah Pelan Pembangunan Sosioekonomi Orang Asli sedang disediakan oleh JAKOA dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang meliputi pendidikan dan latihan, peningkatan pendapatan, penyediaan infrastruktur asas dan lain-lain.
Kita berharap JAKOA akan memberi lebih tumpuan kepada usaha-usaha menangani miskin tegar melalui program sosioekonomi yang lebih berkesan dan mampan.
Tuan Yang di-Pertua, pendidikan merupakan langkah utama dalam mengeluarkan masyarakat dari kelompok kemiskinan. Sehubungan dengan ini, pendidikan dalam kalangan Orang Asli, anak-anak negeri Sabah dan Sarawak akan diberikan tumpuan yang lebih. Bagi langkah jangka panjang Rancangan Malaysia Ke-12 akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan pembangunan sosioekonomi Orang Asli, anak-anak negeri Sabah dan Sarawak dan Bumiputera Sarawak agar jurang pembangunan kelompok ini dapat dikurangkan.
Tuan Yang di-Pertua, untuk menjamin pelaksanaan yang lebih berfokus unit kemiskinan yang khusus telah ditubuhkan di peringkat Persekutuan iaitu Unit Perancang Ekonomi. Beberapa buah negeri telah mengambil inisiatif menubuhkan unit kemiskinan di peringkat negeri dan daerah.
Usaha basmi kemiskinan tegar ini akan diterajui bersama oleh EPU dan ICU JPM yang akan dilaksanakan secara berfasa di mana pelaksanaan program bagi fasa pertama akan bermula pada bulan Mac tahun hadapan.
Tuan Yang di-Pertua, dengan pendekatan secara keseluruhan negara ataupun whole-of- nation approach ini, dan secara holistik, kerajaan beriltizam agar miskin tegar dihapuskan pada tahun 2025 seperti yang disasarkan di bawah RMKe-12. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Yang Berhormat Dato' Isa bin Ab. Hamid, terus.
Dato' Isa bin Ab. Hamid: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri atas jawapan tadi. Saya ingin bertanya bagi soalan tambahan. Mengikut data pada tahun 2019, kadar kemiskinan Orang Asli ialah 33.6 peratus. Akan tetapi kalau realiti dan hakikatnya kelihatannya ialah lebih. Saya melihat data JAKOA 41.4 peratus merupakan kampung mundur, 52.6 peratus merupakan kampung sederhana. Kalau dua data ini dicampurkan lebih 90 peratus, yakni 40 peratus. Saya mohon penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri apakah kaedah mengukur garis kemiskinan ini kepada komuniti Orang Asli. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua: Silakan,
Dato’ Sri Mustapa bin Mohamed: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Dato' Isa bin Ab. Hamid. Benar seperti mana yang dikatakan oleh Yang Berhormat Dato' Isa bin Ab. Hamid, kerajaan telah mengkategorikan 853 buah kampung Orang Asli kepada tiga kategori, iaitu maju ada 51 buah kampung, yang mundur 353 buah dan yang sederhana ialah 449 buah. Peratusannya telah disebut oleh Yang Berhormat Dato' Isa bin Ab. Hamid tadi. Sudah pasti tumpuan akan diberikan oleh kerajaan kepada kampung yang mundur.
Keduanya berkaitan dengan kaedah miskin. Miskin ada dua kaedah, yang pertama miskin dan kedua adalah miskin tegar. Miskin ini pada masa ini pos COVID-19 ataupun semasa COVID- 19 yang meningkat daripada 5.6 peratus kepada 8.4 peratus. Jadi ada peningkatan kira-kira dua peratus dalam kadar kemiskinan seluruh negara. Bagi miskin tegar dahulu sebelum ini, sebelum COVID-19 0.4 peratus sekarang 1.4 hingga 1.5 peratus. Jadi kaedah untuk kita gunakan ialah berdasarkan kepada pendapatan. Ini terangkum dalam inisiatif yang diambil oleh ICU di mana ada pangkalan data e-Kasih.
Apa pun kerajaan sedar bahawa mungkin ada isu-isu berkaitan dengan daftar ini dan proses pemutihan pemurnian sedang berjalan dan kita jangka ini akan selesai pada bulan Januari.
Jadi, bagi 50 lokaliti yang sedang dikenal pasti untuk kita laksanakan pendekatan baharu ini termasuk di kawasan Orang Asli kita sedang menunggu senarai daripada JAKOA dan apabila dapat senarai tersebut daripada JAKOA, pihak Jabatan Perangkaan dan ICU akan turun ke bawah untuk membuat pemurnian pemutihan untuk memastikan bahawa mereka yang miskin itu benar- benar miskin ataupun miskin tegar. Jadi, apa pun angka yang ada hari ini bagi 50 lokaliti yang telah dikenal pasti, satu proses pemutihan akan dilakukan bermula sekarang sehingga akhir Januari, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih kembali. Soalan tambahan, sila.
Dato’ Zaiedi bin Haji Suhaili: Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Yang Berhormat Menteri, soalan tambahan saya apakah langkah-langkah yang harus dipergiatkan oleh kerajaan untuk membawa golongan miskin tegar ini ke arus perdana pembangunan seperti melalui connectivity fizikal, memperbaiki kemahiran dan mewujudkan lebih banyak kegiatan yang boleh menjana pendapatan untuk mereka khususnya bumiputera di Sarawak. Terima kasih.
Dato’ Sri Mustapa bin Mohamed: Terima kasih Yang Berhormat Senator, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Pertama adalah menjadi iltizam kerajaan untuk hapuskan miskin tegar menjelang tahun 2025, bukannya miskin. Miskin tetap akan ada, miskin tegar. Keduanya, kaedah yang disebut Yang Berhormat itu pelbagai. Sudah pasti infrastruktur merupakan satu perkara yang asas connectivity adalah penting. Infrastruktur ini ada hard infrastructure dan soft infrastructure.
■1030
Sekarang ini kerajaan sudah pun mengiktiraf bahawa konektivitas digital itu adalah penting untuk membawa masyarakat luar bandar, masyarakat miskin ke arus perdana. Antara kaedah yang telah berjaya di negara China- Negara China sudah pun mengisytiharkan mereka telah menghapuskan kemiskinan pada bulan Februari tahun ini.
Antara kaedah dengan menggunakan pendigitalan, maknanya orang-orang miskin ini diarusperdanakan melalui pendigitalan. Jadi ini juga kaedah yang akan digunakan. Jadi benar kata Yang Berhormat, infrastruktur fizikal dan juga konektivitas digital ini adalah penting. Itulah yang sedang dilakukan oleh kerajaan di Sabah dan Sarawak, di mana Kementerian Luar Bandar yang kita sedia maklum, Yang Berhormat Menteri maklum banyak kali yang peruntukan untuk Sabah dan Sarawak adalah terbesar di Malaysia. Jadi insya-Allah yang pertama kita hendak perbaiki lagi kemudahan infrastruktur.
Kedua ialah infrastruktur fizikal secara pendidikan rohani, kesihatan dan kesemuanya sekali, yang lebih penting ialah untuk memperkenalkan program-program sosioekonomi untuk mengangkat pendapatan mereka yang mampan, yang boleh bertahan bukan, dengan izin, one-off tetapi pendekatan yang mampan yang mampu untuk mengangkat martabat mereka supaya mereka keluar daripada kelompok miskin tegar. Terima kasih Yang Berhormat.
Tuan Yang di-Pertua: Berbanyak terima kasih diucapkan Yang Berhormat Menteri atas jawapan dan penerangan beliau kepada Ahli-ahli Yang Berhormat.
Dipersilakan Tuan Seruandi bin Saad.
4. Tuan Seruandi bin Saad minta Menteri Pertanian dan Industri Makanan menyatakan, sejauh mana Program Rezeki Tani yang bertujuan sebagai program pembasmian kemiskinan dan peningkatan pendapatan telah mencapai sasaran dan apakah perancangan melibatkan petani di Perlis.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I [Datuk Seri Haji Ahmad bin Hamzah]: Bismillahi Rahmani Rahim. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dan Ahli Dewan semua, Program Rezeki Tani merupakan sebuah program di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan matlamat untuk membantu meningkatkan pendapatan peserta melalui bantuan projek ekonomi dalam bidang pertanian serta industri makanan dan asas tani.
Kumpulan sasar peserta program ini terdiri daripada golongan miskin dan berpendapatan rendah, terutamanya di kawasan-kawasan yang mempunyai kadar kemiskinan tertinggi. Sepanjang tempoh pelaksanaan Program Rezeki Tani yang bermula dari tahun 2019 hingga tahun 2020, seramai 1,011 orang peserta telah menerima manfaat daripada program ini, melebihi sasaran awal iaitu 1,000 orang peserta yang melibatkan peruntukan sebanyak RM10 juta.
Penerima bantuan perlu menjalankan projek, dengan izin, quick win, iaitu projek yang mengeluarkan hasil dengan tempoh yang pendek antara tiga hingga enam bulan dan berpotensi memberi pulangan yang baik.
Tuan Yang di-Pertua: Apa istilah itu Yang Berhormat Timbalan Menteri. Yang Berhormat Timbalan Menteri apa istilah tadi- quickly?
Datuk Seri Haji Ahmad bin Hamzah: “Quick win”, maknanya “untung yang cepat”...
Tuan Yang di-Pertua: Yang cepat, itulah.
Datuk Seri Haji Ahmad bin Hamzah: Ya Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Latihan-latihan juga turut disediakan bagi mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran serta daya saing peserta. Berdasarkan daripada pencapaian tahun 2019 dan 2020, Program Rezeki Tani diteruskan pelaksanaannya dalam Rancangan Malaysia Ke-12 yang mana sebanyak RM10 juta bakal disediakan untuk tempoh lima tahun akan datang yang bermula pada tahun 2021 hingga tahun 2025.
Untuk tahun 2021, sebanyak RM2 juta telah diluluskan untuk program ini dengan sasaran 180 orang peserta di seluruh negara. Berdasarkan status pelaksanaan semasa, iaitu dijangkakan seramai 199 orang bakal diluluskan sebagai peserta Program Rezeki Tani menjelang akhir tahun 2021.
Untuk negeri Perlis, seramai 34 orang peserta telah menerima bantuan di bawah Program Rezeki Tani bagi tempoh 2019 hingga November 2021 melibatkan peruntukan sebanyak RM340 ribu. Daripada jumlah tersebut, lima orang peserta menjalankan projek yang berkaitan dengan pertanian, sembilan orang peserta menjalankan projek pemprosesan produk industri asas tani, manakala baki selebihnya 20 orang peserta menjalankan projek jualan makanan dan juga minuman.
Untuk makluman ahli Yang Berhormat, MAFI akan meneruskan pelaksanaan Program Rezeki Tani di negeri Perlis, dan seluruh negara bagi tahun 2022. MAFI akan sentiasa memastikan proses bancian peserta di lapangan dibuat mengikut prosedur yang telah ditetapkan dengan mengenal pasti calon yang layak dan memenuhi kriteria yang di perlukan.
Selain itu, hebahan mengenai Program Rezeki Tani akan terus disebar luaskan supaya lebih ramai lagi kumpulan sasar yang memenuhi kriteria boleh memohon. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai: Soalan tambahan.
Tuan Yang di-Pertua: Silakan.
Tuan Seruandi bin Saad: Selepas menerima bantuan daripada Program Rezeki Tani ini, saya yakin mereka yang di kalangan penerima ini akan mengembangkan lagi perniagaan mereka.
Adakah golongan-golongan sasar ini khususnya dalam sektor agromakanan ini, dapat menambahkan lagi perniagaan ataupun ekonomi mereka itu dan minta pihak Yang Berhormat Timbalan Menteri menjawab.
Tuan Yang di-Pertua: Dipersilakan.
Datuk Seri Haji Ahmad bin Hamzah: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Senator yang bertanya. Menjadi hasrat dan matlamat MAFI supaya kita dapat melahirkan ramai lagi usahawan-usahawan tani. Apatah lagi untuk mengeluarkan dan mereka daripada kancah kemiskinan.
Pada ketika ini sebenarnya kita mempunyai berbagai-bagai bentuk insentif dan juga bantuan. Pertamanya kita ada insentif dipanggil CUP ataupun sebelum itu kita ada juga yang program-program yang dikhaskan untuk wanita iaitu dipanggil Mikro Agro Nisaa-i yang diselaraskan oleh Agrobank di mana diperuntukkan pinjaman sebanyak RM30 ribu kepada usahawan-usahawan wanita yang mahu menceburkan diri dalam program pembuatan makanan hasil daripada pertanian.
Seterusnya, kita ada satu program yang dipanggil CUP ataupun Program Peningkatan Produk. Ini dikhususkan kepada mereka usahawan mikro yang akan mendapat skim geran padanan, maknanya kerajaan akan memberi 70 peratus usahawan itu akan keluar 30 peratus dan kita luluskan peruntukan sebanyak maksimum RM60 ribu.
Selepas itu kita ada program lagi, Agropreneur Muda tetapi ini khas kepada yang bawah 40 tahun. Kalau yang atas 40 tahun tadi, dia lepas itu kalau hendak buat perkembangan, kita boleh luluskan juga dan boleh pertimbangkan untuk seterusnya kepada TEKUN dan juga kepada Agrobank untuk buat pembiayaan sampai RM50 ribu kepada TEKUN dan sampai RM200 ribu melalui Agrobank.
Akhirnya kalau mereka terus berjaya dan boleh kita ketengahkan mereka boleh juga boleh dipertimbangkan untuk insentif daripada Program Produk Berimpak Tinggi. Ini kita akan kategorikan mereka di bawah SME dan boleh membuat pembiayaan sampai- minta maaf dia boleh dapat geran padanan 50-50, maknanya 50 daripada kerajaan, dan 50 daripada peserta- sampai maksimum sampai RM200 ribu. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai: Soalan tambahan.
Tuan Muhamad Zahid bin Md. Arip: Satu lagi, Tuan Yang di-Pertua soalan tambahan boleh.
Tuan Yang di-Pertua: Silakan.
Tuan Muhamad Zahid bin Md. Arip: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua: Dipersilakan.
Tuan Muhamad Zahid bin Md. Arip: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Saya tertarik dengan Program Rezeki Tani ini dan saya tahu saya dengar daripada jawapan Yang Berhormat Timbalan Menteri tadi banyak program yang disediakan oleh MAFI tetapi berbalik kepada Program Rezeki Tani ini ,saya hendak tanya hendak minta kalau boleh dikongsi di Dewan yang mulia ini.
Bagaimanakah program begini dapat melahirkan lebih ramai usahawan tani di luar bandar?
Ini fasal golongan ini merupakan golongan yang saya anggap pentinglah. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Tuan Yang di-Pertua: Dipersilakan Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Datuk Seri Haji Ahmad bin Hamzah: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Senator. Sebenarnya, Program Rezeki Tani ini asalnya namanya “Azam Tani”.
Azam Tani ini merupakan singkatan daripada “akhiri zaman kemiskinan.” Akhiri zaman miskin. Itu Azam Tani. Kita wujudkan pada tahun 2019, selepas itu kita jenamakan semula untuk tahun 2021 ini kepada “Program Rezeki Tani.”
Sebelum ini program ini diselaraskan oleh Kementerian Kewangan dengan peruntukan sebanyak RM10 ribu, dan seterusnya, RM10 juta. Seterusnya pada ketika ini, MAFI akan menyelaraskannya dan kita hendak tengok kalau boleh bukan sahaja kita dapat melahirkan usahawan-usahawan tani, bahkan kita mahu melihat dan memberikan pembelaan kepada kumpulan sasar yang sentiasa menjadi perhatian kita pada ketika ini.
■1040
MAFI, untuk makluman bukan sahaja menerusi program ini bahkan peserta akan dibantu dalam program in kind. Maknanya daripada bentuk barangan bukan daripada bentuk tunai. Bahkan RM10 ribu yang kita luluskan ini adalah maksimum, kita luluskan hanya RM9 ribu untuk barangan dan selain daripada RM1000 adalah untuk kos, yang lain adalah untuk kursus.
Pegawai-pegawai pengembangan akan sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan peserta-peserta ini bukan sahaja dapat mengikuti program ini seperti yang diharapkan, bahkan kita mesti bimbing mereka sehingga mereka berjaya. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai: Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan.
Tuan Yang di-Pertua: Kita terima semua berita ini sebagai satu kegembiraan. Namun, mungkin Ahli-ahli Yang Berhormat sedia bersetuju, di peringkat daerah informasi ataupun maklumat ini tidak sampai dan oleh sebab ramai daripada Ahli-ahli Yang Berhormat yang menyatakan hal ini kepada saya selaku pihak yang boleh menyuarakan, harus kita suarakan hari ini. Di samping mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, kita wajar mendapatkan bimbingan in situ atau di kawasan sendiri pada masa hadapan. Terima kasih. Ada tambahan tadi.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai: Soalan tambahan Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua: Silakan.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Masih menyentuh kepada peningkatan sasaran pertanian. Saya mohon Timbalan Menteri menyatakan bagaimana program Rezeki Tani ini, adakah mempertimbangkan permintaan global yang tinggi ke atas gula dan menggalakkan membantu usahawan tani tempatan dalam mengusahakan pertanian berasaskan industri gula. Tidak kisahlah tanam tebu ke untuk memenuhi permintaan domestik atau tempatan dan mengurangkan beban import gula di negara kita. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua: Gula.
Datuk Seri Haji Ahmad bin Hamzah: Terima kasih Yang Berhormat. Sebenarnya Rezeki Tani dikhaskan kepada golongan-golongan sasar kita. Maknanya bantuan kita ini bersasar kepada golongan miskin yang berdaftar di bawah e-Kasih. Mereka yang mempunyai pendapatan isi keluarga sebanyak RM2600 ke bawah. Kalau mereka tergolong daripada golongan ini, kalau tidak didaftarkan di bawah e-Kasih, kena daftar e-Kasih terlebih dahulu. Kita akan bimbing mereka untuk mendaftar.
Seterusnya, untuk program gula tadi, kalau tanam tebu. Kalau ia apa juga program yang pulangannya dalam jangka masa satu ke-enam bulan ini, ia adalah di bawah kategori tersebut.
Maknanya seperti saya sebut tadi, dengan izin Tuan Yang di-Pertua, quick win. Maknanya dia akan mendapat pulangannya dalam masa yang singkat supaya kita hendak lihat kalau boleh dia dapat keluar daripada kancah kemiskinan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua: Hasil cepat. Dato’ Wira Othman bin Aziz.
Dato’ Wira Othman bin Aziz: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Soalan saya nombor 5.
5. Dato' Wira Othman bin Aziz minta Menteri Kanan Kerja Raya menyatakan, status terkini projek menaik taraf Jalan Putra dari Alor Setar ke sempadan Perlis.
Tuan Yang di-Pertua: Silakan.
Timbalan Menteri Kerja Raya [Datuk Arthur Joseph Kurup]: Selamat pagi Tuan Yang di-Pertua. Sebelum saya menjawab soalan, saya bagi pihak Kementerian Kerja Raya Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Tuan Yang di-Pertua atas penganugerahan Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif (Perancang Seni Budaya), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan iaitu ASWARA.
Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih.
Datuk Arthur Joseph Kurup: Sempena Istiadat Konvensyen ASWARA yang ke-16 pada 12 Disember yang lalu. Tuan Yang di-Pertua, tahniah Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih.
Datuk Arthur Joseph Kurup: Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Senator, kerja penaik tarafan Jalan Putera dari Alor Setar ke sempadan Perlis telah diluluskan pelaksanaannya pada Rolling Plan yang keempat dalam Rancangan Malaysia yang ke Sebelas menerusi projek menaik taraf laluan tujuh dari persimpangan Lencongan Barat ke persimpangan Simpang Tiga Kemboja, Kedah dengan kos projek sebanyak RM425 juta. Pelaksanaan projek ini melibatkan skop kerja seperti berikut:
(i) melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan tunggal dua buah lorong kepada jalan berkembar empat buah lorong piawaian R5 sepanjang 14 kilometer bermula dari persimpangan Lencongan Barat ke persimpangan Simpang Tiga Kemboja, Kedah;
(ii) menaik taraf lima persimpangan;
(iii) menggantikan empat buah jambatan sedia ada dan membina tiga buah jambatan menggantikan pembetung ke kotak ataupun box culvert, dengan izin.
(iv) membina dua jejantas pejalan kaki;
(v) kerja tanah, sistem perparitan dan juga geotechnical
(vi) pemasangan lampu jalan, perabot jalan dan lampu isyarat; dan (vii) pengambilan balik tanah dan pengalihan utiliti.
Tarikh milik tapak bagi projek ini telah bermula pada 16 Ogos 2021 dan dijangka akan tamat pembinaan pada 17 Ogos 2025. Status semasa projek adalah telah selesai kerja-kerja pemetaan utiliti, pengukuran tanah, penyiasatan tapak dan sedang dalam peringkat penyediaan reka bentuk. Kerja-kerja fizikal di tapak pula dijangka akan bermula pada awal tahun 2022.
Bagi memastikan objektif pelaksanaan projek ini tercapai, Kementerian Kerja Raya akan memberikan komitmen yang jitu untuk memastikan bahawa pihak kontraktor yang dilantik akan melaksanakan projek ini mengikut jadual seperti yang telah dirancang untuk keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya yang menggunakan laluan tersebut. Sekian dan terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua: Baik, sila.
Dato’ Wira Othman bin Aziz: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya hendak rakamkan penghargaan terima kasih kepada kementerian. Saya sesungguhnya banyak kali bertanya soalan ini dan bangga dengan jawapan yang diberikan. Dan saya harapkan penduduk di sepanjang jalan itu pun bangga dan kita menunggu dengan penuh debaran. Saya tidak ada soalan tambahan.
Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih. Dato’ Ahmad bin Yahaya.
Dato’ Ahmad bin Yahaya: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Tuan Yang di-Pertua...
Untuk sihat perlu bersenam;
Soalan saya nombor enam.
Tuan Yang di-Pertua: Nombor 6. Alhamdulillah.
6. Dato' Haji Ahmad bin Yahaya minta Menteri Kesihatan menyatakan, pelan strategik meningkatkan literasi penjagaan kesihatan rakyat khususnya yang melibatkan kempen pemakanan sihat selaras dengan dasar Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS)2021-2030.
Timbalan Menteri Kesihatan I [Dato’ Dr. Haji Noor Azmi bin Ghazali]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat. Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) telah dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 11 November 2021 yang merangkumi 10 tahun. Pendekatan yang digunakan ialah pendekatan keseluruhan negara iaitu penglibatan seluruh agensi kerajaan, kementerian, pihak swasta, NGO dan juga rakyat sekali, secara keseluruhannya.
ANMS ini digariskan dalam empat buah teras, 10 strategi, dan 24 inisiatif. ANMS ini juga diberi penekanan yang kuat dalam RMKe-12 yang mana penekanan diberi tentang mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan ataupun akses kepada kesihatan. Kesejahteraan ini berkaitan dengan perkara ini, maka akan dipertingkatkan literasi kesihatan iaitu kesedaran tentang pentingnya kesihatan. Kerajaan turut membentuk Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan untuk melancarkan pelbagai program kesedaran di atas pelbagai platform dan juga pelbagai agensi.
Bagi memperkukuhkan promosi makanan sihat ini, ia diintegrasikan di bawah ANMS melibatkan teras satu dan dua dan kempen-kempen yang dilakukan. Ada empat kempen di sini.
Yang pertama, kempen kurangkan gula bagi membantu rakyat supaya memahami kesan pengambilan gula yang berlebihan. Jadi, kurangkan gula di minuman, banyakkan manis di senyuman. Itu kita hendak buat sekarang ini yang kita galakkan. Kita juga kenakan cukai eksais supaya orang berhati-hati untuk mengambil gula. Kita bimbang hari ini rakyat mendapat ketagihan gula- sugar addiction.
Keduanya, kempen buah-buahan dan sayur-sayuran bagi meningkatkan pengambilan buah dan sayur. Ketiganya kempen suku-suku separuh. Tuan Yang di-Pertua, hari ini saya bawa pinggan, Tuan Yang di-Pertua untuk menunjukkan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat dan juga rakyat. Suku-suku separuh. Maknanya suku protein iaitu lauk-pauk, suku nasi dan juga separuh sayur dan buah-buahan. Oleh sebab itu Tuan Yang di-Pertua, bila saya masuk ke kafe dan sebagainya, saya tengok pinggan-pinggan yang ada itu. Adakah mereka mengikut saranan KKM?
Tuan Yang di-Pertua: Kalau lauk tiada, macam mana?
Dato’ Dr. Haji Noor Azmi bin Ghazali: Macam mana Tuan Yang di-Pertua?
Tuan Yang di-Pertua: Kalau lauk tiada?
Dato’ Dr. Haji Noor Azmi bin Ghazali: Kalau lauk tiada, makan sayur. Sayur boleh tiga suku. Akan tetapi hati-hati dengan nasi ya dan gula yang lebih. Ini sangat penting. Ini ditunjukkan semasa di KLCC hari itu, di kempen Kementerian Kesihatan.
Keempatnya kempen Kesedaran Kalori. Yang ini kita melancarkan program Penyediaan Hidangan Sihat Semasa Mesyuarat (PHSSM). Jadi, mesyuarat jangan makan berat. Makan ringan dan minuman yang kurang manis. Latihan katering sihat dan juga kerjasama dengan pengusaha makanan di kawasan rehat dan rawat di lebuh raya Malaysia. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
■1050
Tuan Yang di-Pertua: Silakan.
Dr. Wan Martina binti Wan Yusoff: Soalan tambahan.
Tuan Yang di-Pertua: Ya.
Dr. Wan Martina binti Wan Yusoff: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya cuma hendak penjelasan. Kita sudah nampak- tahniahlah kepada pihak kementerian yang telah berjaya membuat kempen-kempen dan saya pun telah lihat sendiri di kaca TV Kempen Pemakanan Sihat.
Cuma saya hendak penjelasan daripada pihak kementerian, kita nampak di kotak ataupun bungkusan makanan telah ada fakta nutrisi dan saya lihat ramai lagi rakyat kita masih tidak memahami apakah fakta nutrisi tersebut. Adakah kerajaan berhasrat untuk membuat pendidikan berkenaan cara membaca fakta nutrisi di kotak-kotak ataupun bungkusan makanan? Terima kasih.
Dato’ Dr. Haji Noor Azmi bin Ghazali: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat. Satu soalan yang sangat penting.
Oleh sebab itulah, antara sebab kita laksanakan ANMS ini kerana kita dapati dalam Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, hanya satu dalam tiga orang dewasa mempunyai literasi kesihatan yang rendah, itu yang pertama.
Keduanya, sebanyak 94.9 peratus, hampir 95 peratus tidak makan sayur dan buah-buahan mengikut saranan. Jadi, inisiatif berkenaan dengan literasi, sebab itu apabila kita letak pada kotak, kita letakkan nutrisi, orang tidak baca. Sama juga macam kita letak bahaya merokok dekat kotak rokok, orang tidak baca. Dia tidak baca. Jadi bila dia tidak baca ini dia tidak dapat mengambil manfaat daripada ilmu yang kita cuba hendak tampilkan.
Inilah hasrat kerajaan untuk mengadakan Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan dalam ANMS ini. Tahniah, satu soalan yang baik. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua: Itulah...
Dato’ Kesavadas A. Achyuthan Nair: Soalan tambahan.
Tuan Yang di-Pertua: Saya dapati tulisan pada kotak itu mungkin dia setujui Yang Berhormat. Mereka menengok, tetapi tidak nampak. Silakan, soalan-soalannya.
Tuan Ahmad bin Yahaya: Tuan Yang di-Pertua, terima kasih atas jawapan. Soalan saya adalah adakah kementerian bercadang untuk bekerjasama dengan kementerian-kementerian lain untuk meletakkan satu- label. Contohnya, label makanan sihat, dalam bahasa Arab “toyyibah”, di samping halalan, ada toyyibatan. Supaya pengguna dalam membuat pilihan makanan sihat.
Kesannya, pengusaha makanan akan beralih kepada mengeluarkan produk makanan yang sihat, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua: Sila.
Dato’ Dr. Haji Noor Azmi bin Ghazali: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat. Satu cadangan yang baik dan kalau Yang Berhormat teliti apa yang saya sebut sebagai mukadimah tadi, ANMS ini pendekatannya whole-of-nation approach ataupun pendekatan secara menyeluruh, semua. Maknanya, agensi-agensi kerajaan, kementerian, badan NGO, swasta dan juga rakyat secara keseluruhan.
Maknanya gembleng, bersatunya kita untuk melaksanakan kejayaan ANMS ini melibatkan semua orang. Jadi, apa yang akan ditampilkan nanti, merupakan gabungan idea dan curahan idea daripada semua kementerian. Ini diharap dapat memberikan maklumat yang tepat, yang lebih baik kepada rakyat dan rakyat akan mendapat kesedaran yang tinggi dan kita akan dapat lahirkan rakyat Malaysia yang sihat dan sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat.
Tuan Yang di-Pertua:Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Yang Berhormat Senator Datuk Wira Koh Nai Kwong
7. Datuk Wira Koh Nai Kwong minta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan:
(a) garis panduan yang ada pada kementerian selaras dengan Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645] dan bagaimana ia dikuatkuasakan memastikan bahawa bangunan warisan di dalam negeri Melaka tidak diubah suai sehingga merosakkan nilai estetik sejarahnya; dan
(b) apakah usaha-usaha kementerian dalam memelihara dan memulihara bangunan warisan dalam negeri Melaka.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya [Datuk Seri Dr. Santhara]: Tuan Yang di-Pertua, pertama sekali saya mengucapkan tahniah atas Penghargaan Doktor Kehormat kepada Tuan Yang di-Pertua. Tahniah! Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih. Itu di bawah kementerian Yang Berhormat Timbalan Menteri kita.
Datuk Seri Dr. Santhara: Semalam bertarikh 15 Disember jam 5.55 petang Malaysia juga berjaya memperoleh pengiktirafan Songket di bawah UNESCO sebagai Senarai Wakil Warisan.
Pengiktirafan ini diputuskan semasa mesyuarat Intergovernmental Committee yang ke-16 yang bermesyuarat di Ibu Pejabat UNESCO, Paris. Ini merupakan pengiktirafan keenam bagi kategori Warisan Tidak Ketara sebelum ini di Malaysia. Maka ini merupakan satu pencapaian yang besar untuk kita.
Tuan Yang di-Pertua: Tahniah!
Datuk Seri Dr. Santhara: Terima kasih... [Tepuk] Tuan Yang di-Pertua, secara dasarnya Akta warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645] merupakan satu akta yang diwujudkan untuk memelihara, memulihara dan melindungi khazanah warisan negara.
Berdasarkan seksyen 40, Akta 645, pemunya atau pemilik bangunan hendaklah membuat permohonan kebenaran merancang terlebih dahulu kepada Pesuruhjaya Warisan sebelum apa-apa kerja pembaikan, ubahsuai atau menaik taraf bangunan-bangunan yang telah diwartakan sebagai Warisan atau Warisan Kebangsaan.
Manakala di bawah seksyen 72, peruntukan akta yang sama menyatakan dengan jelas mengenai pemuliharaan dan pemeliharaan Warisan Kebangsaan di mana Menteri boleh mengenakan tatacara dan garis panduan yang berlainan sebagaimana yang ditetapkan bagi pengurusan pemuliharaan dan pemeliharaan kategori yang berlainan bagi Warisan Kebangsaan.
Selain Akta 645, terdapat garis panduan yang lebih khusus bagi melindungi bangunan dan tapak warisan antaranya adalah seperti berikut:
(a) Garis Panduan Pemuliharaan Bangunan Warisan 2017, di mana ia merupakan panduan pelaksanaan kerja-kerja pemuliharaan bangunan warisan di Malaysia dan memastikan segala usaha pemuliharaan dapat dilaksanakan selaras dengan keperluan Akta 645; dan
(b) Pelan Pengurusan Pemuliharaan ataupun, dengan izin, Conservation Management Plan (CNP) dan Rancangan Kawasan Khas, dengan izin, Special Area Plan (SAP).
Maka tapak-tapak warisan di Malaysia terutamanya sekali Tapak warisan Dunia UNESCO akan disediakan dengan CNP dan SAP bagi mengekalkan nilai-nilai keunggulan sejagat, dengan izin, outstanding universal value agar integriti dan keasliannya terpelihara.
CNP dan SAP yang disediakan oleh pihak Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama PLANMalaysia serta diwartakan di bawah Akta Perancang bandar dan Desa 1976 [Akta 172]. CNP dan SAP adalah penting untuk pemuliharaan dan memastikan pengurusan wajar, dengan izin, proper management serta pemeliharaan persekitaran dengan kerjasama semua pihak berkaitan termasuk Kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan dan pemilik tapak amat diperlukan.
Maka pihak kementerian percaya bahawa aktiviti yang dilaksanakan secara terkawal serta mematuhi garis panduan CNP dan SAP akan memastikan status tapak warisan termasuk tapak warisan dunia terus kekal dan tidak pupus daripada arus pembangunan. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua: Silakan.
Datuk Wira Koh Nai Kwong: Soalan tambahan Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih juga diucapkan kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri atas jawapan tadi.
Soalan tambahan saya, memandangkan pembangunan yang pesat di mana-mana tempat di Malaysia, adakah kerajaan berhasrat untuk kaji semula garis panduan atau Conservation Blueprint, dengan izin, yang berjangka panjang dalam mengambil kira kepentingan sejarah, konteks pembangunan sekeliling, dan perancangan jangka masa panjang.
Ini kerana, kebelakangan ini, pengisytiharan taraf UNESCO di Liverpool, iaitu di England dibatalkan, selepas amalan mengenai kegagalan penguatkuasaan dalam mematuhi ketulenan dan integriti. Terima kasih.
Datuk Seri Dr. Santhara: Terima kasih atas soalan spesifik tadi. Sebenarnya Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645] ini banyak merangkumi pelbagai aspek dan memanglah lengkap dan sebagainya. Akan tetapi, sepertimana juga, mana-mana kementerian kajian ataupun akta ini sentiasa dikaji dan juga di baik pulih. Itulah sebabnya- saya bacakan tadi dengan garis panduan dan juga beberapa panduan Pemuliharaan Bangunan Warisan 2017. Maknanya dikaji kembali, maka telah ada Garis Panduan Pemuliharaan Bangunan 2017.
Oleh sebab itulah, didapati bahawa pelbagai pembaharuan telah dilaksanakan dalam jangka masa tersebut. Contohnya, berdasarkan Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645], penetapan warisan tidak semestinya berusia 100 tahun. Dahulunya perlu 100 tahun dan ia merupakan satu perkara yang selalu dibawa. Maka pada tahun 2017, ia telah pun diperbetulkan, ia tidak memenuhi 100 tahun tetapi hanya perlu memenuhi salah satu kriteria di bawah seksyen 67, subseksyen 2, iaitu:
“Dalam membuat pengisytiharan di bawah subseksyen (1) Menteri boleh menimbangkan:
(a) kepentingan sejarah, hubungan dengan atau perhubungan dengan sejarah Malaysia;
(b) ciri-ciri reka bentuk atau estetik;
(c) pembaharuan atau pencapaian saintifik atau teknikal;
(d) hubungan sosial atau kebudayaan;
(e) potensi untuk mendidik, menjelaskan atau menyediakan penyiasatan saintifik lanjut berhubung dengan warisan kebudayaan Malaysia.”
Dalam mengelaskan sesuatu tempat sebagai warisan dan juga sebagainya, Pesuruhjaya Warisan sentiasa mengambil kira fakta dan juga historic point ataupun fakta sejarah sebelum kita meluluskan ataupun mencadangkan mana-mana pengisytiharan.
■1100
Maka, ia dapat mengelakkan ataupun mana-mana pengisytiharan ditarik balik. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Datuk Mohd Hisamudin bin Yahaya.
8. Datuk Mohd Hisamudin bin Yahaya minta Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan, bila pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hendak memulakan pembinaan Pasar Sentul memandangkan pasar-pasar lama lain di Kuala Lumpur ada yang telah dinaiktarafkan menjadi pasar lebih moden dan selesa.
Menteri Wilayah Persekutuan [Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim]: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, semoga Allah sentiasa rahmati. Terima kasih kepada Yang Berhormat yang bertanya soalan.
Untuk makluman Yang Berhormat Senator, Pasar Sentul adalah antara pasar tradisi yang awal di Kuala Lumpur yang telah dibina pada tahun 1958. Pembangunan yang pesat sekitar pasar tersebut telah menjadikan kawasan pasar agak sesak dan perlu dinaiktarafkan bersesuaian dengan pembangunan semasa. Pasar ini mempunyai bilangan sebanyak 344 buah gerai atau penjaja.
Untuk makluman Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini, pembangunan semula Pasar Sentul ini akan melibatkan pengambilan semula tanah lot 20008, lot 105, lot 321 hingga 326 yang merupakan salah satu keperluan utama di dalam membangunkan pasar tersebut bagi menyelesaikan masalah keuzuran pasar tersebut dan juga kesesakan lalu lintas. Oleh yang demikian, DBKL akan meneruskan projek pembangunan semula pasar ini. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua: Silakan.
Datuk Mohd Hisamudin bin Yahaya: Soalan tambahan Tuan Yang di-Pertua. Semasa pembinaan Pasar Sentul dijalankan, di mana penempatan tapak sementara bagi peniaga-peniaga di situ dan adakah pembinaan Pasar Sentul baharu ini mengambil kira penyediaan tapak letak kereta yang secukupnya untuk mengelakkan kesesakan di jalan yang kini dihadapi oleh masyarakat di situ.
Tuan Yang di-Pertua: Sila.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim: Bila sampai masanya pembinaan ini akan dijalankan sudah pasti kita akan memastikan peniaga-peniaga sekarang dapat berniaga di tempat yang akan ditentukan nanti. Pembangunan ini melibatkan pembangunan secara keseluruhan sesuai dengan imej Kuala Lumpur sebagai bandar raya.
Jadi Yang Berhormat, kebimbangan Yang Berhormat itu juga kebimbangan kita, kita tidak mahu mana-mana pembangunan yang kita buat tiba-tiba orang yang sedang berniaga itu terpaksa menunggu satu tempoh yang lama sebelum beliau boleh berniaga semula. Kita hendak pastikan apa sahaja pembangunan dibuat, kehidupan akan berterusan. Itulah Kuala Lumpur.
Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih Yang Berhormat Menteri.
Tuan Haji Aziz bin Ariffin: Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua: Sila, silakan.
Tuan Haji Aziz bin Ariffin: Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri.
Terdapat lesen percuma Skim Wilayah Bebas Niaga dan akan tamat hujung tahun ini, satu program yang baik oleh Kementerian Wilayah. Apakah pihak kementerian bercadang untuk melanjutkan skim ini? Mohon Yang Berhormat.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim: Soalan ini soalan cepu emas yang sepatutnya saya jawab dalam seminggu sebelum berakhir tahun. Akan tetapi oleh sebab ditanya di Dewan yang mulia ini, di depan Tuan Yang di-Pertua yang cukup arif dan bijaksana maka saya umumkan bahawa lesen bebas niaga ini disambung sehingga bulan Mac tahun depan... [Tepuk] Dan akan dilihat sama ada ianya bersesuaian. Dan kalau sekiranya perlu kita sambung lagi sampai ke tempoh yang kita tengok peniaga mampu untuk berdikari dan meneruskan kehidupan selepas COVID-19. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua: Diucapkan terima kasih Yang Berhormat Menteri.
Dato' Arman Azha Abu Hanifah: Soalan tambahan Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua: Mustahak?
Dato' Arman Azha Abu Hanifah: Mustahak.
Tuan Yang di-Pertua: Okey baik.
Dato' Arman Azha Abu Hanifah: Dalam semangat Keluarga Malaysia, saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri Wilayah, sebelum ini Kementerian Wilayah dikenali sebagai Kementerian Wilayah dan Kesejahteraan Bandar. Mengapa kini kesejahteraan bandar bukan lagi di bawah Kementerian Wilayah sedangkan ibu negeri-negeri perlu ada penambahbaikan dan perlu dilihat maju seperti Kuala Lumpur. Mohon jawapan daripada Yang Berhormat Menteri.
Tuan Yang di-Pertua: Silakan.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim: Soalan ini juga merupakan soalan cepu emas dan sewajarnya dijawab oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Walau bagaimanapun, dilihat kepada keperluan bahawa apa yang berlaku, kehebatan yang berlaku di Kuala Lumpur ini sewajarnya dipanjangkan sehingga ke bandar-bandar raya yang lain. Apa yang telah ditimbulkan oleh Yang Berhormat Senator ini akan dipanjangkan kepada pihak-pihak kerajaan akan mempertimbangkannya dari semasa ke semasa. Akan tetapi sudah pasti jawapan yang lebih tepat ialah saya akan panjangkan perkara ini kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua: Alhamdulilah, terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri Wilayah Persekutuan.
9. Sr. Haji Mohd Apandi bin Mohamad minta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan, langkah kementerian untuk meletakan lima buah universiti awam tertua di Malaysia berada pada tahap 100 buah universiti terbaik dunia.
Menteri Pengajian Tinggi [Datuk Seri Dr. Noraini binti Ahmad]: Terima kasih Yang Berhormat, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya juga bersama dengan rakan-rakan yang lain ingin mengucapkan tahniah kepada Tuan Yang di-Pertua atas anugerah Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif di Konvokesyen ASWARA Ke-16 baru-baru ini... [Tepuk]
Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih kembali.
Datuk Seri Dr. Noraini binti Ahmad: Tuan Yang di-Pertua, laporan yang dikeluarkan oleh QS World University Ranking 2022 pada 9 Jun 2021 telah menunjukkan bahawa ke semua lima buah universiti penyelidikan Malaysia iaitu Universiti Malaya, Universiti PUTRA Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan dalam kelompok 200 buah universiti terbaik di dunia.
Universiti Malaya telah berjaya disenaraikan sebagai 100 buah universiti terbaik di dunia dengan berada di tempat ke-65. Kedudukan Universiti Malaya dalam 100 buah universiti terbaik di dunia telah dicapai sejak tahun 2018 iaitu tujuh tahun lebih awal daripada sasaran malah berjaya mengekalkan kedudukan setiap tahun sehingga hari ini. Kedudukan empat buah universiti penyelidikan yang lain pula, UPM di tangga ke-143, UKM di tangga ke-144, USM di tangga ke-147 dan diikuti oleh UTM di tangga yang ke-191. Bagi meletakkan lima buah universiti awam tertua di Malaysia ini pada tahap 100 buah universiti terbaik dunia, Kementerian Pengajian Tinggi melalui Jabatan Pendidikan tinggi telah mengenal pasti beberapa langkah yang perlu dilaksanakan.
Antaranya pertama mempertingkatkan bilangan penyelidikan berimpak tinggi dan sitasi.
Keduanya pula, menambah pengambilan staf akademik berstatus pasca doktoral yang dapat membantu meningkatkan skor bagi indikator reputasi akademik, reputasi majikan, sitasi, pensyarah antarabangsa dan pelajar antarabangsa.
Ketiga, mengekalkan profesor-profesor yang bereputasi tinggi terutamanya di dalam bidang-bidang kritikal melalui pelantikan semula dan pelanjutan kontrak bagi profesor yang telah bersara.
Keempat, meningkatkan pengambilan pelajar antarabangsa melalui promosi dan hebahan yang bersesuaian dalam tempoh pasca pandemik COVID-19.
Dan kelima memperkasakan lima buah universiti awam yang berpotensi tinggi dalam penyelidikan dan inovasi berdasarkan penilaian MyRA untuk dijadikan rakan universiti penyelidikan.
Bagi menyokong usaha ini, KPT secara berterusan telah mengemukakan permohonan peruntukan di bawah program pengukuhan dan pemerkasaan universiti penyelidikan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 melalui empat fokus utama iaitu yang pertama pembangunan bakat;
kedua, keunggulan penyelidikan; ketiga, penghubung cabaran perdana; dan keempat, penjanaan kekayaan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Dato’ Kesavadas A. Achyuthan Nair: Soalan tambahan ya.
Dr. Wan Martina binti Wan Yusoff: Soalan tambahan.
Tuan Yang di-Pertua: Silakan Yang Berhormat Dr. Wan Martina dulu.