DAN PENUTUP
RUMUSAN, CADANGAN DAN PENUTUP
5.0 PENGENALAN
Dalam bab keempat telah dibincangkan analisis fatwa-fatwa semasa negeri Johor berdasarkan metode fatwa yang aplikasi oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor. Bab yang kelima ini merupakan rumusan hasil dapatan yang diperolehi daripada bab-bab yang dibincangkan dalam kajian ini. Rumusan yang jelas berkenaan metode fatwa di institusi fatwa negeri Johor akan dibuat. Faktor-faktor yang menyebabkan berlaku beberapa kelemahan dalam proses berfatwa di institusi fatwa berkenaan turut dirumuskan.
Di samping itu, bab ini juga akan mengemukakan cadangan-cadangan yang boleh memperkasakan aktiviti penyelidikan fatwa di institusi fatwa negeri Johor. Cadangan akan menyentuh penambaikan terhadap metode berfatwa dan cadangan berkaitan dengan pemilihan pegawai. Cadangan yang diutarakan akan menyumbang kepada pemantapan amalan pemfatwaan menerusi proses penyelidikan yang diaplikasi dalam menangani permasalahan semasa yang kian mencabar.
5.1 RUMUSAN
Rumusan hasil dapatan kajian adalah seperti berikut;
Pertama: Metode fatwa yang diamalkan oleh institusi fatwa di negeri Johor masih mengekalkan kaedah nukilan terus dari karya-karya fiqh yang sedia ada. Nukilan yang dibuat tidak disertakan alasan dan justifikasinya. Kadangkala nukilan tersebut tidak bertepatan dengan isu fatwa. Hampir kesemua jawapan fatwa yang diputuskan adalah berdasarkan kaedah nukilan tanpa disertakan penilaian yang jelas.
Kaedah nukilan yang berlaku dalam proses pengeluaran fatwa di institusi fatwa negeri Johor sudah menjadi budaya dalam amalan pemfatwaan. Tambahan pula, nukilan yang dimuatkan sebagai sandaran fatwa tidak dirujuk kepada sumber yang lebih berautoriti tetapi dinukil dari sumber penulisan moden yang lebih ringkas dan mudah.
Contohnya, isu fatwa berkenaan penubuhan unit anjing (SAR) di Jabatan Pertahanan Awam. Dalam proses penyelidikannya, nukilan secara terus diambil dari kitab Fiqh al-Islami wa Adillatuh karangan Wahbah al-Zuhayli berkaitan dengan status kenajisan anjing menurut mazhab sunni. Seterusnya nukilan dari terjemahan kitab tersebut iaitu Fiqh dan Perundangan Islam berkenaan kaedah penyucian najis anjing menurut mazhab. Nukilan tersebut dimuatkan secara terus tanpa kesimpulan yang jelas. Nukilan yang dilakukan tidak menggambarkan situasi sebenar bagi menjawab isu fatwa tersebut. Manakala, sumber rujukan yang dinukilkan tidak dianggap sebagai bahan berautoriti dalam proses penyelidikan hukum. Sewajarnya rujukan perlu dilakukan terhadap sumber asal bagi isu tersebut seperti kitab turath mazhab yang lebih berautoriti. Melalui sumber asal, penyelidikan akan menjadi lebih jelas disebabkan pandangan yang dikemukakan lebih berautoriti dan terperinci. Ini kerana, rujukan dari bahan yang tidak berautoriti bakal mengundang ketidaktepatan dalam menyelesaikan sesuatu persoalan.
Kedua: Pihak Jawatankuasa Fatwa turut mengaplikasi kaedah usul al-fiqh dalam proses pendalilan fatwa. Namun, terdapat beberapa kelemahan yang kelihatan berlaku dalam proses pendalilan tersebut. Antaranya, petikan nas Quran atau al-Sunnah dimuat secara zahir tanpa disertakan justifikasi yang jelas sama ada dalam bentuk penafsiran nas ataupun aplikasi‘illahnya. Contohnya, penggunaan al-qiyas dalam isu zakat gaji dan pendapatan kelihatan tidak dilakukan secara tepat di mana analoginya bukan berdasarkan persamaan ‘illah tetapi maksud lafaz nas. Ringkasnya,
penggunaan usul al-fiqh yang diaplikasi secara mudah dalam peroses pendalilan fatwa menggambarkan kelemahan yang berlaku dalam amalan pemfatwaan. Sedangkan dalam disiplin penyelidikan hukum Islam, penggunaan kaedah usul
al-fiqh yang tepat akan melahirkan keputusan hukum yang rasional. Kaedah usul al-al-fiqh
yang melibatkan penafsiran nas, persamaan ‘illah, pengambilkiraan maslahah dan
mafsadah perlu dikuasai secara mendalam sebelum menentukan sesuatu hukum.
Realiti yang berlaku di institusi fatwa negeri Johor memperlihatkan proses pendalilan fatwa berlaku dalam kondisi yang kurang tepat disebabkan pemakaiannya yang diambil secara mudah dan ringkas.
Ketiga: Penyelidikan fatwa yang diaplikasi di institusi fatwa negeri Johor berlaku dalam kondisi yang kurang rancak. Malahan, penyelidikan fatwa tersebut boleh disifatkan sebagai penyelidikan yang mendatar tanpa penemuan-penemuan terkini yang diambilkira dalam aktiviti penyelidikannya. Dalam penyelidikan yang dilakukan, kajian kepustakaan digunakan sepenuhnya untuk menyelesaikan persoalan fatwa yang dikemukakan. Sedangkan dalam menyelesaikan persoalan semasa, fokus kajian tidak seharusnya tertumpu kepada kajian kepustakaan sahaja, malahan perlu menggunapakai kajian lapangan, temubual, observasi, soal selidik dan sebagainya. Hasilnya akan melahirkan fatwa yang rasional dalam menyelesaikan permasalahan semasa.
Contohnya isu fatwa berkenaan status puasa pesakit yang menjalani rawatan dialisis. Dalam menyelesaikan isu ini, Jawatankuasa Fatwa hanya melakukan kajian kepustakaan sahaja untuk mencari jawapan fatwa. Sedangkan isu ini memerlukan kajian lapangan untuk mendapatkan gambaran sebenar bagaimana rawatan dialisis berfungsi. Adalah lebih berkesan jika kajian dilakukan dengan menemuramah pegawai-pegawai perubatan yang pakar mengenai rawatan tersebut bagi mendapatkan maklumat yang jelas berkenaan rawatan dialisis, kandungan dan
prosesnya. Termasuk juga melakukan kajian observasi dengan bertanya dan melihat sendiri keadaan pesakit yang menjalani rawatan tersebut. Hasilnya akan memberikan maklumat yang tepat berkenaan rawatan tersebut supaya pihak Jawatankuasa Fatwa dapat menetapkan fatwa yang rasional mengenainya. Justeru itu, penggunaan kajian kepustakaan dalam penyelidikan hukum semasa tidak dapat menyelesaikan persoalan yang berlaku secara efektif. Ini kerana dalam langkah penyelidikan fatwa, ia harus dimulai dengan peringkat al-tasawwur iaitu memahami secara jelas isu yang berlaku dari pelbagai sumber supaya jawapan fatwa yang diputuskan bertepatan dengan persoalan tersebut.
Keempat: Dalam menangani persoalan-persoalan yang bersifat semasa dan kritikal, penyelidikan fatwa hendaklah mengambilkira pelbagai bentuk kajian dan pendekatan semasa tanpa memfokuskan sepenuhnya terhadap kaedah penyelidikan dalaman. Kajian berbentuk lapangan, klinikal dan ekperimen sangat penting diaplikasi bagi memastikan ketepatan fatwa yang bakal diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa. Realitinya, kesemua bentuk penyelidikan ini merealisasikan peranan al-tasawwur dalam proses penentuan hukum. Dalam peringkat al-tasawwur, seorang penyelidik perlu memahami secara mendalam berkenaan isu fatwa yang ingin diselesaikan. Segala maklumat dan input berkaitan dengan isu tersebut mestilah diperolehi dalam apa jua bentuk supaya proses pendalilannya menjadi kukuh dan tepat.
Oleh itu, adunan sumber maklumat dari pelbagai bentuk kajian ini bakal memberi impak positif kepada penentuan hukum bagi isu fatwa tersebut. Ini kerana, fatwa-fatwa yang diputuskan itu adalah hasil dari pengumpulan maklumat dan input dari sumber semasa yang berautoriti. Kesannya, jawapan-jawapan fatwa yang diputuskan juga lebih bersifat semasa dan rasional dengan persoalan yang berlaku. Contohnya, isu penjualan baja dari tahi kelawar (guano) di mana para penyelidik
perlu membuat tinjauan ke kawasan pertanian untuk melihat sendiri bagaimana baja guano ini berfungsi dalam membantu para petani. Para penyelidk juga perlu mendapatkan kepastian dari mereka yang pakar dalam bidang pertanian bagi mengenal pasti kualiti dan mutu baja ini terhadap tanaman dan tumbuhan. Oleh itu, menukilkan perbincangan fuqaha silam berkenaan jual beli najis tidak seharusnya dijadikan asas dalam menentukan status penjualan baja guano ini tanpa mengambilkira sumber semasa berkenaan fungsi penggunaan baja tersebut sebagai bahan penggalakkan tanaman pada masa kini. Oleh itu, penggunaan pelbagai bentuk kajian dalam proses penyelidikan fatwa semasa sangat perlu diberi perhatian oleh para penyelidik supaya jawapan hukum yang dikeluarkan dapat menyelesaikan persoalan yang berlaku..
5.2 FAKTOR-FAKTOR PENYELIDIKAN YANG MENDATAR DI