• Tidak ada hasil yang ditemukan

METODOLOGI KAJIAN

3.3 SAMPEL KAJIAN

Sebelum sesuatu kaji selidik dijalankan, seorang penyelidik perlu menentukan dua perkara asas, iaitu:

a) Sama ada untuk mengkaji keseluruhan populasi, atau;

b) Mengkaji sebahagian elemen daripada populasi. Pemilihan sebahagian elemen yang terdapat dalam satu populasi disebut sebagai persampelan. Satu sampel adalah satu bahagian daripada populasi (Syed Arabi Idid, 1992:45).

Pensampelan merupakan satu langkah penting dalam memulakan sesuatu penyelidikan sains sosial. Hal ini kerana pensampelan dan populasi adalah suatu konsep yang penting dan perlu dirangka dengan bauik dalam memungut data. Langkah yang penting ini adalah suatu masalah yang rumit dalam penyelidikan sains sosial kerana seseorang penyelidik itu tidak mampu untuk memeriksa seluruh populasi yang berkaitan dengfan kajiannya. Pada asasnya, pensampelan dilakukan dengan memilih sebahagian daripada populasi yang telah dikenalpasti bagi tujuan membuat kesimpulan berkaitan keseluruhan populasi tadidalam menjalankan sesuatu kajian. Justeru itu, sampel ialah sebahagian daripada populasi yang dipilih dengan menggunakan satu kaedah pemilihan sampel bagi mewakili keseluruhan populasi (Rohana Yusof, 2003:83).

Populasi merupakan cerapan ke atas sekumpulan individu atau objek. Individu atau objek yang dicerap mestilah mempunyai sekurang-kurangnya satu ciri atau sifat yang sama antara satu dengan yang lain. Tiap-tiap individu atau objek di dalam satu-satu populasi mungkin berbeza dalam banyak segi, namun setiap individu mestilah mempunyai tidak kurang daripada satu ciri yang sama. Ciri yang sama ini mestilah boleh dicerap dan diukur. Sekiranya sesuatu ciri tidak dapat dicerap dan diukur, kumpulan tersebut bukanlah satu populasi (Mohd Majid Konting, 1990:58).

Stack dan Hocking (1992) mengatakan bahawa sampel merupakan kajian yang melibatkan penghuraian subset kepada satu populasi yang dipilih di mana ia mewakili penerangan yang tepat bagaimana populasi yang dipilih itu bertindak. Kaedah yang digunakan untuk mendapatkan sampel daripada responden adalah secara rawak kelompok sehingga memenuhi kehendak penyelidik.

Menurut Ahmad Mahdzan Ayob (1992:55), sampel ialah sekumpulan kecil unsur yang telah “dicabut” (seperti yang dilakukan dalam cabutan ‘nombor bertuah’) daripada sesuatu rangka persampelan. Sampel adalah subset sesuatu populasi. Sessuatu sampel itu dikatakan mewakili sesuatu populasi yang dikaji.sebenarnya sesuatu tinjauan bertujuan untuk membuat kesimpulan tentang populasi berdasarkan maklumat yang terkandung dalam sampel.

Pensampelan merupakan strategi penyelidikan bila mana penyelidik boleh mendapatkan maklumat mengenai sesuatu populasi daripada sebahagian individu yang menganggotai populasi tersebut. Sebahagian individu yang diambil melalui persampelan bagi mewakili sesuatu populasi yang dikaji dinamakan sampel. Maklumat yang didapati daripada sampel boleh digunakan bagi menganggar maklumat tentang populasi yang dikaji. Daripada sampel, penyelidik boleh menganggar parameter populasi seperti min, varians dan sisihan piawai. Nilai-nilai seperti min, varians dan sisihan piawai yang didapati daripada sampel dinamakan statistik. Dengan kata laian, melalui persampelan kita boleh menggunakan statistik sampel untuk menganggar parameter populasi (Mohd Majid Konting, 1990:63).

Dalam memilih golongan yang menjadi sampel, Ahmad Mahdzan Ayob (1992:90) menyatakan bahawa kita hendaklah memastikan bahawa sampel itu benar-benar mewakili populasi yang dikaji. Mohd Nawi Ab Rahman (2000:49) pula menyatakan bahawa unit untuk dikaji juga perlu dipilih dengan teratur. Kita ingin memastikan supaya yang terpilih itu benar-benar mewakili bahagian yang menyeluruh serta teragih dengan baik.

Kenyataan ini disokong oleh Abu Hassan Othman (1980:3) dengan menyatakan bahawa pemilihan sampel kajian merupakan satu kerja yang rumit, kompleks dan mengambil masa. Ini adalah kerana seseorang penyelidik itu cuba memilih satu kumpulan individu yang kecil bilangannya, dan individu yang dipilih itu pula hendaklah dapat mewakili keseluruhan penduduk (population) atau universe yang lebih besar bilangannya. Dalam erti kata yang lain, data yang dapat dikumpulkan daripada individu yang kecil bilangannya itu secara relatifnya mestilahg dapat memberi gambaran tentang situasi atau universe yang dikaji.

Persampelan mempunyai tujuannya yang menyebabkan ia menjadi satu aspek penting yang perlu dititikberatkan oleh penyelidik. Syed Arabi Idid (1992:46) menyatakan bahawa terdapat dua tujuan membuat sampel iaitu: pentaksiran dan ujian hipotesis. Dua tujuan tersebut ialah:

a) Tujuan utama ialah untuk mentaksirkan parameter populasi. Parameter adalah ciri-ciri populasi yang diminati oleh pengkaji seperti umur, pelajar dalam kolej,

jumlah pekerja yang mempunyai tanah dan sebagainya. Apabila kita menggunakan sampel, kita akan mendapat ciri-ciri sampel yang digelar statistik dan daripada statistik itu, kita membuat taksiran terhadap parameter populasi. Kenyataan itu dibuat dengan mengambil kira ralat persampelan. Satu sampel yang baik akan mempunyai ciri-ciri persamaan dengan populasi.

b) Tujuan kedua adalah untuk menguji hipotesis statistikal tentang populasi. Kita mungkin mempunyai hipotesis bahawa 85 peratus lelaki menonton televisyen. Daripada sampel kita dapati 77 peratus yang menonton televisyen. Soalannya, adakah kita dapat menerima hipotesis tersebut, berpandukan kepada satu nilai hipotetikal?

Para pelajar tingkatan lima yang mengambil mata pelajaran Balaghah di dalam kertas Bahasa Arab Tinggi (BAT) SPM telah diambil untuk menjadi sampel bagi tujuan kajian. Jumlah sampel yang diambil merangkumi 320 orang pelajar daripada jumlah keseluruhan 1082 orang pelajar tingkatan lima di seluruh Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor (SMA). Jumlah responden itu telah mencukupi 30% dari keseluruhan populasi pelajar tingkatan lima di sekolah-sekolah SMA seluruh negeri Johor. Enam sekolah telah dipilih daripada beberapa daerah di negeri Johor untuk menjadi lokasi kajian seperti yang telah disebutkan di atas. Setiap sekolah seperti yang dinyatakan di dalam tajuk sebelum ini secara puratanya akan diwakili dengan 50 orang pelajar yang diambil sebagai responden.

Bilangan responden bagi setiap sekolah adalah seperti berikut. Sekolah yang paling ramai sampelnya ialah SMA Bugisiah, Pontian iaitu sebanyaki 64 orang responden merangkumi 20% daripada jumlah keseluruhan responden. Sekolah yang kedua terbanyak ialah SMA Kerajaan Johor, Kluang iaitu sebanyak 61 responden menyamai 19.1% daripada jumlah keseluruhan responden. Kemudian dikuti oleh SMA Kota Tinggi, Kota Tinggi iaitu sebanyak 60 responden (18.7%), SMA Maahad An-Nur iaitu 53 responden (16.6%), SMA Maahad Pontian 42 responden (13.1%) dan sekolah yang terakhir ialah SMA Al-Quran Waddin, Johor Bahru sebanyak 40 orang responden yang merangkumi 12.5% daripada jumlah keseluruhan responden.

Secara rasionalnya, para pelajar tersebut dipilih kerana mereka telah mempelajari Balaghah dengan lebih khusus dan mendalam di dalam kertas Bahasa Arab Tinggi (BAT), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berbanding calon Penilaian Menengah Rendah (PMR). Ini bertujuan agar penyelidikan ini mendapat maklumat yang tepat lantaran responden yang terlibat berpengalaman dengan tajuk yang berkaitan. Tambahan daripada itu, mereka juga merupakan bekas calon peperiksaan kertas Balaghah bagi Sijil Menengah Agama (SMA), satu peperiksaan yang dikelolakan oleh Jabatan Agama Johor, yang mana silibusnya diambil daripada sukatan pelajaran sekolah menengah Al-Azhar, Mesir. Hal ini menambahkan lagi keyakinan penyelidik bahawa responden yang dipilih benar-benar telah mengenali ilmu Balaghah.

Selain itu, penyelidik memilih sekolah untuk beberapa daerah di negeri Johor adalah bagi memasti sampel kajian yang terpilih itu benar-benar mewakili bahagian yang menyeluruh serta teragih dengan baik. Hal ini seterusnya akan dapat memastikan bahawa sampel yang dipih ini benar-benar mewakili populasi yang dikaji iaitu seluruh pelajar-pelajar tingkatan lima di sekolah-sekolah menengah agama rakyat seluruh negeri Johor.