• Tidak ada hasil yang ditemukan

Tok Kel aba a l-F atha ni - Men yali n pe lbag ai m anus krip Mel ayu

Dalam dokumen ulama nusantara (Halaman 145-157)

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

ULAMA dan tokoh yang diperkenalkan dalam artikel ini ialah orang yang paling banyak menyalin pelbagai karya yang dihasilkan oleh ulama-ulama terdahulu daripadanya. Beliau ialah Muhammad Husein bin Abdul Lathif al-Fathani atau lebih popular dengan gelaran Tok Kelaba Beris al-Fathani. Beliau bukan hanya menyalin karya ulama yang berasal dari Patani tetapi meliputi karya ulama-ulama Aceh, Banjar, Palembang dan lain-lain. Tidak juga setakat menyalin, tetapi menambah komentar di bahagian tepi dan bawah sesuatu kitab yang disalinnya dan selanjutnya disebut dhabith, atau boleh juga disebut nota tepi dan nota kaki. Pada nota tepi dan nota kaki sentiasa disebut nama kitab yang dirujuk dan nama pengarangnya serta banyak menyebut nama guru yang diutamakannya iaitu: Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani. Bukan hanya sebagai penyalin, tetapi beliau juga meninggalkan beberapa buah karangan yang berharga, namun yang sempat dicetak hanya lima buah. Bukan hanya mengarang dalam bahasa Melayu, tetapi juga meninggalkan karya yang dikarang dalam bahasa Arab.

Ada dua macam perkhidmatan dalam bidang penulisan dan keilmuan yang dicontohi oleh Tok Kelaba, iaitu Syeikh Daud bin Abdullah al- Fathani yang menulis terus menerus sehingga tertidur di hadapan sesuatu karya yang sedang dikerjakan, tidak pernah tidur di atas tempat tidur yang khusus seperti kita sekarang ini. Syeikh Ahmad al-Fathani yang membaca dan menulis terus menerus sehingga mengantuk. Jika mengantuk beliau tidak langsung tidur tetapi terus berdiri dan menghafal kalimat yang sedang dibaca atau kalimat terakhir yang ditulisnya. Hal ini dilakukan hingga hilang mengantuk atau terus terjatuh kerana mengantuk, pada waktu itulah beliau tertidur sebentar. Lain halnya dengan Tok Kelaba, beliau mencuba meniru kedua-dua ulama asal Patani yang beliau kagumi itu sehingga pada siku beliau berbekas hitam menebal (membelulang) kerana bertekan sewaktu melakukan penulisan yang terlalu banyak.

Sumber ilham pertama sehingga Tok Kelaba terjun ke bidang penyalinan manuskrip merupakan wasiat daripada gurunya, Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani (saudara kandung Syeikh Abdul Qadir) kerana Syeikh Muhammad Zain al-Fathani tersebut yang pertama sekali mengambil inisiatif supaya semua karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani mesti diabadikan dengan cara membuat sekurang-kurangnya dua salinan. Sumber kedua adalah suatu penekanan daripada gurunya yang terakhir, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, dan Tok Kelaba sendiri mengikuti perkembangan hampir seluruh aktiviti Syeikh Ahmad al-Fathani mulai proses penyalinan hingga penerbitan pelbagai kitab Melayu/Jawi dan penyebarannya secara meluas.

Daripada hal-hal tersebut, Tok Kelaba mencurahkan fikiran, menggandakan kekuatan tenaga dan menghabiskan masa semata-mata berkhidmat kepada ilmu pengetahuan dengan jalan mengarang kitab, menyalin karya orang lain, menyebarkannya kepada masyarakat, mengajar dan menambah ilmu yang belum diketahuinya

Asal usul

Setelah saya mengetahui daripada maklumat yang masih mentah berupa catatan-catatan, manuskrip-manuskrip dan pelbagai bahan bercetak, saya mulai mengadakan penelitian tentang ulama ini sejak tahun 1972 Masihi, dan terakhir sekali menemui seorang anak beliau dan beberapa cucunya, maka dapat diambil data-datanya yang boleh dianggap lengkap. Datuk-neneknya berasal dari negeri Khurasan. Yang pertama datang ke dunia Melayu bernama Syarif Zainal Abidin. Beliau merantau ke Pulau Jawa lalu berkahwin dengan seorang wanita berasal dari Minangkabau. Oleh sebab terjadi peperangan di Jawa, Syarif Zainal Abidin bersama salah seorang Raja Jawa keluar dari Pulau Jawa lalu terdampar di Kelaba, iaitu sebuah negeri dalam Daulah Islam Patani Darus Salam. Syarif Zainal Abidin adalah seorang ulama, sebab itu mudah baginya mendapat pengaruh di Kelaba. Beliau meninggal dunia di Kelaba. Anak kepada Syarif Zainal Abidin yang bernama Abu Bakar, berpindah ke Kelantan dan menetap di Kampung Laut. Di Kampung Laut, Kelantan beliau memperoleh anak bernama Abdullah. Abdullah memperoleh anak bernama Abdus Shamad. Abdus Shamad berpindah pula ke Kelaba. Beliau mendapat anak bernama Abdul Mu'min. Abdul Mu'min mendapat anak bernama Abdul Lathif. Abdul Lathif mendapat anak bernama Muhammad Husein (Tok Kelaba) yang diriwayatkan ini.

Berdasarkan tulisan Tok Kelaba sendiri yang tercatat di bahagian tepi manuskrip Fat-hul Mannan karya Syeikh Daud bin Abdullah, salinan beliau adalah Muhammad Husein, kuniyahnya Abu Bakar. Dan namanya Abdullah. Kemudian digelar Muhammad Husein oleh isteri gurunya. Dengan dialah makruf antara manusia yang kemudian-kemudian. Dan segala manusia yang dahulu-dahulu dimakrufkan dengan Abdullah, hanyalah cicit bagi abid Abdul Karim, iaitu bapa kepada Nik Mik, iaitu ibu bagi Abdul Latif yang tersebut dahulu itu.''

Abdul Karim yang disebutkan itu bersabit keluarga antara beliau dengan keluarga besar Sena Janjar dan Bendang Daya, iaitu keluarga besar Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Ismail bin Abdur Qadir al-Fathani dan ulama-ulama Patani yang terkenal lainnya. Dalam salah sebuah salinan manuskrip Ghayatut Taqrib karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, pada bahagian tepi halaman terakhir Tok Kelaba mencatat, ``... Muhammad Husein bin Abdul Lathif, dan adalah Abdul Lathif itu mati pada Khamis delapan hari bulan Rejab (8 Rejab) pada sanah 1307 (Hijrah). Beliau dikuburkan di Kubur Tanjung, Bukit Kecil bersama bapanya, ibunya dan lain-lainnya. Dan diperanakkan Muhammad itu pada sanah 1280 (Hijrah). Maka umurnya hingga sampaikan sanah 1340 (Hijrah) ini 69 tahun. Telah putih segala bulunya dan tanggal giginya.'' Nampaknya catatan Tok Kelaba itu ada sedikit perbezaan dengan catatan Abdul Lathif, anak beliau yang pernah saya tulis riwayatnya sebelum ini, iaitu, ``Pada sanah 1330 maka umur Haji Muhammad Husein 52 tahun pada waktu itu (iaitu lahir pada sanah 1278) jumlah umurnya 89 tahun. Peringatan ! Tuan guru Muhammad Husein Tok Kelaba ke rahmatullah pada hari Selasa 21 Syaaban, pukul 4 sanah l367.'' Oleh sebab tahun kelahiran

daripada catatan beliau sendiri ditemui, maka yang lebih dapat dipegang ialah catatan beliau sendiri, iaitu tahun 1280 Hijrah/1863 Masihi itu, bukan tahun 1278 Hijrah/1861 Masihi seperti yang diperkenalkan sebelum ditemui catatan ini. Oleh kerana Tuan Guru Haji Muhammad Husein berasal dari Kelaba, Beris, maka terkenallah sebutan beliau dengan Tok Kelaba saja. Kerana beliau banyak menghafal hadis dan pakar dalam ilmu tersebut, digelar juga Tok Hadis. Setelah kerajaan Patani Darus Salam dijajah, kelaba dimasukkan dalam pemerintahan Saiburi atau nama pada zaman dahulu disebut Selindung Bayu. Pada zaman mutakhir nama Selindung Bayu dipakai untuk nama negeri Teluban, iaitu Teluban yang namanya masih digunakan sampai sekarang. Dalam catatan Tok Kelaba, beliau tidak menggunakan nama Teluban tetapi masih menggunakan Selindung Bayu, seperti kata beliau, ``Mula saya Haji Muhammad Husein duduk di Selindung Bayu pada hari Sabtu 15 bulan Zulkaedah pada sanah 1323 Hijrah.''

Pendidikan

Keterangan anak beliau, Abdul Lathif, bahawa Tok Kelaba pertama sekali belajar membaca al-Quran kepada abang sepupunya Abdur Rahman Pancor, Kelaba. Sejak berumur tujuh tahun telah memondok di Semala (Patani). Pengetahuan yang sangat mendalam diperolehnya di Pondok Bendang Daya. Beliau merupakan kader tertua dalam pondok itu. Di peringkat awal belajar kepada Syeikh Haji Wan Mustafa bin Muhammad al-Fathani (Tok Bendang Daya I). Tok Kelaba hanya sedikit memperoleh ilmu daripada hulubalang tersebut, kerana umur beliau yang ketika itu sudah sangat tua dan tidak berapa lama setelah Tok Kelaba datang ke Bendang Daya, hulubalang itu meninggal dunia dalam usia 120 tahun. Pimpinan Pondok Bendang Daya sesudah itu diserahkan kepada anak beliau bernama Syeikh Wan Abdul Qadir yang selanjutnya digelar dengan Tok Bendang Daya II. Dalam tahun 1312 Hijrah/1895 Masihi, Tok Bendang Daya II mendapat tugas daripada Sultan Patani Darus Salam untuk menghaji dan mengumrahkan beberapa orang keluarga diraja yang telah meninggal dunia, maka beberapa murid kesayangannya dibawa serta, terutama sekali Tok Kelaba. Keberangkatan ke Mekah itu merupakan panggilan ajal bagi gurunya Tok Bendang Daya II, beliau wafat di Mekah. Dengan demikian Tok Kelaba tidak langsung pulang ke Kelaba, beliau mendekati keluarga besar gurunya termasuk Syeikh Muhammad Zain al-Fathani yang telah lama berpindah ke Mekah. Pada waktu itu sahabatnya Syeikh Daud bin Mustafa al- Fathani (saudara bongsu Syeikh Muhammad Zain al-Fathani dan Tok Bendang Daya II) telah menjadi seorang ulama di Mekah tetapi masih juga belajar kepada anak saudaranya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Maka Tok Kelaba pun ikut belajar kepada Syeikh Ahmad Fathani yang lebih tua daripadanya sekitar lapan tahun saja (Syeikh Ahmad al-Fathani lahir 1272 Hijrah, Tok Kelaba lahir 1280 Hijrah). Ketika belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani di Mekah, Tok Kelaba bersahabat dengan beberapa orang terkenal di antaranya Tok Kenali Kelantan, Syeikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani, dan lain-lain. Tok Kelaba belajar juga kepada Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani. Ketika belajar di Mekah itu Tok Kelaba juga menyempatkan diri menadah ilmu kepada ulama-ulama Arab yang terkenal iaitu Syeikh Muhammad

bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Walau bagaimanapun yang sangat berkesan bagi Tok Kelaba ialah Tok Bendang Daya II, hampir semua kitab yang beliau tulis mahupun salinan karya orang lain sentiasa menyelitkan fatwa atau pendapat yang berasal daripada Tok Bendang Daya II. Demikian juga dalam setiap kali mengajar selalu menyebut nama Tok Bendang Daya II tak ubahnya dengan Tok Kenali Kelantan yang sentiasa menyebut nama gurunya Syeikh Ahmadal-Fathani.

Karya

Karya-karya Tok Kelaba dibahagi kepada dua bentuk; Karya Asli dan Karya Salinan. Disebabkan kekurangan ruangan yang dapat diperkenalkan di sini hanyalah Muqaddimatul Athfal fi Shifatillahi zil Jalal saja, diselesaikan di Patani pada 8 Rabiulawal 1305 Hijrah. Semua halaman kitab ini penuh dengan nota atas, nota tepi kiri-kanan dan nota kaki. Dua muka setengah di bahagian dalam pula terdapat judul baru yang disebut Faedah yang membicarakan pelbagai wirid dan doa. Tentang ini diselesaikan pada tahun 1322 Hijrah. Di bahagian tepi juga beliau memperkenalkan beberapa pemikiran gurunya, Syeikh Abdul Qadir al-Fathani yang beliau sebut dengan Syaikhuna saja. Juga terdapat rujukan kitab-kitab Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Syeikh Umar Makkah dan lain-lainnya. Kitab ini diterbitkan oleh Abdul Mubin bin Muhammad Thaiyib al-Fathani dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1331 Hijrah/1912 Masihi.

waqaf.net >> Siri Ulama Nusantara >> Husein Kedah al-Banjari - Generasi penerus ulama Banjar

Hus ein K eda h al -Ban jari - G ener asi p ene rus u lam a Ba njar

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

APABILA kita membicarakan keturunan ulama yang terlibat dalam penulisan kitab-kitab pengetahuan Islam di dunia Melayu, maka saham atau andel terbesar ialah keluarga besar ulama Patani, yang melibatkan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-al-Fathani, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dan ramai lagi. Sesudah ulama Patani, demikian juga keluarga besar ulama Banjar. Mengenainya dimulai oleh Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dan keturunan beliau.

Salah seorang keturunan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang menyatu darah dengan orang Kedah ialah Tuan Husein Kedah al-Banjari. Nama lengkapnya ialah Tuan Haji Husein Kedah bin Muhammad Nashir bin Syeikh Muhammad Thaiyib bin Syeikh Mas'ud bin Qadhi Abu Su'ud bin Syeikh Muhammad Arsyad

al-Banjari bin Abdullah. Tuan Husein lahir di Titi Gajah, Alor Setar, Kedah, hari Ahad, 20 Jamadilawal 1280 Hijrah/2 November 1863 Masihi dan meninggal dunia pada hari Isnin, 18 Zulkaedah 1354 Hijrah/10 Februari 1936 Masihi).

Pendidikan

Tuan Husein Kedah al-Banjari sebaya umur dengan Haji Muhammad Saleh, Pulau Pisang, Darul Qiyam, Kedah (Ulama Nusantara, Utusan Malaysia, Isnin, 31 Mei 2004) kerana sama-sama lahir dalam tahun 1280 Hijrah/1863/4 Masihi. Barangkali ada hubungan erat antara kedua-dua ulama itu kerana ibu Tuan Husein bernama Tengku Fatimah binti Tengku Mahmud, juga berasal dari daerah Kubang Pasu.

Tuan Husein Kedah mendapat pendidikan asas sistem pondok daripada datuknya Haji Muhammad Thaiyib Kedah al-Banjari, seorang ulama besar yang juga menghasilkan beberapa buah karangan. Pelajaran dilanjutkan di Patani, di Pondok Bendang Daya dan sempat belajar kepada pengasasnya, Haji Wan Mushthafa bin Muhammad al-Fathani (Tok Bendang Daya I) dan selanjutnya kepada anak beliau, Syeikh Abdul Qadir (Tok Bendang DayaII). Ketika di Bendang Daya dipercayai beliau bersahabat dengan Wan Ismail bin Mushthafa (Cik Doi) dan Tok Kelaba. Selain di Bendang Daya Tuan Husein juga pernah belajar di Pondok Semela.

Untuk lebih memantap dan memperdalam pelbagai ilmu Tuan Husein melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Sewaktu di Mekah dipercayai Tuan Husein Kedah al-Banjari bersahabat dengan Haji Muhammad Saleh, Pulau Pisang. Di antara guru kedua-duanya ialah Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan, Sayid Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki dan ramai lagi. Di antara guru kedua-duanya yang paling muda ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, dan yang lebih tua antara tujuh atau lapan tahun saja daripada kedua-duanya.

Sungguhpun tulisan ini pada mulanya adalah untuk memfokuskan penulisan kitab yang telah dihasilkan oleh Tuan Husein Kedah al-Banjari, namun perlu juga disentuh bahawa perjuangan beliau dalam segi mengajar sama ada di pondok pengajian yang diasaskannya mahupun mengajar kitab di tempat-tempat tertentu adalah sejalan, seimbang dan sama berat dengan penulisan. Oleh itu Tuan Husein Kedah dapat kita klasifikasikan sebagai seorang ulama besar yang sangat gigih dalam perjuangan menggunakan kalam (perkataan) dan qalam (pena/ penulisan) demi penyebaran ilmu pengetahuan Islam.

Penulisan

1. An-Nurul Mustafid fi Aqaidi Ahlit Tauhid, diselesaikan pada tahun 1305 Hijrah/1888 Masihi. Kandungannya membicarakan tentang tauhid, akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah.

2. Tamrinush Shibyan fi Bayani Arkanil Islam wal Iman, diselesaikan pada hari Sabtu, 1 Syaaban 1318 Hijrah. Menggunakan nama Husein Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas'udi al-Banjari. Kandungannya membicarakan tauhid, akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah dinyatakan rujukannya ialah Ummul Barahin, Syarah Hudhudi, karya as-Suhaimi, Hasyiyah Syarqawi dan Dhiyaul Murid. Dicetak oleh Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyah, Mesir, Zulkaedah 1346 Hijrah, ditashhih oleh Ilyas Ya'qub al-Azhari.

3. Hidayatus Shibyan fi Ma'rifatil Islam wal Iman, menggunakan nama Abi Abdullah Husein Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas'udi al-Banjari. Diselesaikan pada hari Isnin, 18 Muharam 1330 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang tauhid dan fikah. Cetakan yang pertama Mathba'ah At-Taraqqil Majidiyah al-'Utsmaniyah 1330 Hijrah. Dicetak pula oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 1345 Hijrah/1927 Masihi. Ditashhih oleh Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani.

4. Kisarul Aksir lish Shaghir `indal Kabir li Ma'rifatillahil `Alimil Khabir, diselesaikan pada hari Khamis, 25 Rabiulakhir 1336 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang tasauf dan thariqat. Cetakan yang ketiga, Al-Huda Press, Pulau Pinang, Safar 1356 Hijrah/April 1937 Masihi. Kitab ini baru diperoleh di Kampung Pulau Pisang, Kedah, pada 26 Jamadilawal 1425 Hijrah/14 Julai 2004 Masihi.

5. Hidayatul Athfal, diselesaikan pada 1336 Hijrah. Kandungannya pelajaran tauhid untuk kanak-kanak.

6. Hidayatul Mutafakkirin fi Tahqiqi Ma'rifati Rabbil `Alamin, diselesaikan pada 3 Rabiulakhir 1337 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang tauhid, menurut akidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Cetakan yang pertama Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 1345 Hijrah/1927 Masihi. Cetakan yang kelima, Mathba'ah Persama, 83-85, Achen Street, dekat Masjid Melayu, Pulau Pinang, 1377 Hijrah/1957 Masihi.

7. Tafrihus Shibyan fi Maulidin Nabi min Waladi `Adnan, diselesaikan pada hari Selasa 3 Rabiulawal 1341 Hijrah. Kandungannya mengenai sejarah kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Dicetak oleh Mathba'ah Persama, 83-85, Achen Street, dekat Masjid Melayu, Pulau Pinang, 1382 Hijrah/1962 Masihi. 8. Tazkiru Qabailil Qadhi, diselesaikan pada 1343 Hijrah. Kandungannya

merupakan Terjemahan Hadits Jawahir al-Bukhari, terdiri daripada dua juzuk, yang telah dijumpai hanya juzuk yang pertama saja. Cetakan yang pertama, Al-Maktabah Zainiyah, Taiping Perak, 1350 Hijrah. Dicatatkan, ``Titah membenarkan dicetak dari bawah Duli Yang Maha Mulia as-Sultan Perak atas minit paper Qadhi Kuala Kangsar nombor 149/30''.

9. Bidayatut Thalibin ila Ma'rifati Rabbil `Alamin, diselesaikan 1344 Hijrah. Kandungannya membicarakan ilmu tauhid. Cetakan yang kedua The United Press, No. 3 Dato' Keramat Road, Pulau Pinang, 1357 Hijrah. Ditashhih oleh Ilyas Ya'qub al-Azhari.

10.`Alaqatul Lamiyah wash Sharfiyah, diselesaikan 1345 Hijrah. Kandungannya membicarakan ilmu sharaf atau perubahan perkataan dalam bahasa Arab.

11.Ushulut Tauhid fi Ma'rifati Thuruqil Iman lir Rabbil Majid, diselesaikan 6 Syawal 1346 Hijrah. Kandungannya membicarakan falsafah ilmu tauhid dan ilmu fikah. Dicetak oleh Mathba'ah Az-Zainiyah, Taiping, Perak, hari Jumaat, 4 Jamadilakhir, 1347 Hijrah (cetakan kedua). Cetakan ulangan oleh percetakan yang sama tahun 1355 Hijrah (cetakan ketiga). Dicetak semula dengan kebenaran anak pengarangnya Tuan Guru Haji Ahmad bin Tuan Husein, Qadi Besar Pulau Pinang dan Seberang Perai kepada The United Press, Pulau Pinang, selesai cetak 11 Jamadilawal1393 Hijrah.

12.Hidayatun Nikah, diselesaikan 1347 Hijrah. Kandungannya membicarakan perkara-perkara mengenai nikah kahwin.

13.Qathrul Ghaitsiyah fi `Ilmish Shufiyah `ala Syari'atil Muhammadiyah, diselesaikan 25 Jamadilawal 1348 Hijrah. Kandungannya membicarakan tasawuf. Cetakan yang kedua, Mathba'ah Persama, 93 Achen Street, Pulau Pinang. Kitab ini baru diperoleh di Kampung Pulau Pisang, Kedah, pada 26 Jamadilawal 1425 Hijrah/14 Julai 2004 Masihi.

14.Majmu'ul La-ali lin Nisa' wal Athfaliyi, juzuk yang pertama, disele- saikan pada hari Jumaat, 5 Jamadilakhir 1350 Hijrah. Kandungan mukadimahnya menyatakan bahawa judul ini terdiri daripada sepuluh juzuk. Juzuk yang pertama, membicarakan hukum taharah dalam bentuk soal-jawab. Cetakan yang ketiga The United Press, Pulau Pinang, Jamadilakhir 1360 Hijrah. Kitab ini baru diperoleh di Kampung Pulau Pisang, Kedah, pada 26 Jamadilawal 1425 Hijrah/14 Julai 2004 Masihi.

15.Majmu'ul La-ali lin Nisa' wal Athfaliyi, juzuk ke-2, diselesaikan petang Isnin, 20 Rejab 1350 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang sembahyang dalam bentuk soal-jawab. Tidak terdapat nama percetakan. Dicetak pada 22 Jamadilakhir 1352 Hijrah (cetakan kedua), dinyatakan bahawa terdapat tambahan daripada cetakan yang pertama. Cetakan yang ketiga The United Press, Pulau Pinang, 3 Jamadilakhir 1360 Hijrah.

16.Tabshirah li Ulil Albab, diselesaikan tahun 1351 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang akidah/tauhid.

17.Hidayatul Ghilman, diselesaikan pada tahun 1351 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang akidah/tauhid yang ditulis dalam bahasa Arab.

18.Bunga Geti, diselesaikan pada tahun 1354 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang sembahyang qada atau mengganti sembahyang yang ketinggalan.

19.Nailul Maram fi ma Yujabu Husnul Khitam, diselesaikan pada hari Ahad, 6 Syaaban 1354 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang beberapa amalan zikir dan wirid untuk mendapatkan husnul khatimah. Dicetak oleh The United Press, dikeluarkan oleh Haji Ahmad bin Tuan Husein dengan catatan, ``Dicap risalah ini untuk mendapat khairat bagi Madrasah Khairiyah Al-Islamiyah, Pokok Sena, Kepala Batas, Seberang Perai.''

20.Tanbihul Ikhwan fi Tadbiril Ma'isyah wat Taslikil Buldan, diselesaikan pada tahun 1354 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang penghidupan dan pendatbiran pe- merintahan.

Gambaran ketekunan mengajar dan menulis ulama besar yang berasal dari Banjar dan Kedah yang sangat dikasihi oleh umat Islam di mana saja beliau menginjakkan kakinya. Selain itu beliau telah mewakafkan tanah miliknya di beberapa tempat beliau membina pondok pengajian, masjid, perkuburan Muslim dan lain-lain. Di antaranya yang dapat disaksikan sekarang ialah Sekolah Agama di Padang Lumat, Kedah, Sekolah Agama di Pokok Sena, Seberang Perai dan lain-lain. Tulisan ini masih ada kekurangan kerana keturu-nannya belum dapat disentuh, insya-Allah akan ditulis dalam sebuah buku yang lebih lengkap.

waqaf.net >> Siri Ulama Nusantara >> Sayid Syeikh Al-Hadi - Penyebar ilmu yang gigih

Say id S yeik h Al -Had i - P eny ebar ilm u ya ng g igih

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

Terdapat pertikaian pendapat tentang tarikh dan tempat lahir Sayid Syeikh al-Hadi. Pendapat pertama menyebut bahawa beliau lahir di Kampung Hulu, Melaka, pada hari Jumaat, 25 Rejab 1281 Hijrah/24 Disember 1864 Masihi. Dalam buku Sayid Syeikh Al-Hadi, Sasterawan Progresif Melayu karya Talib Samat, hari lahirnya ialah hari Selasa (lihat hlm. 1), buku Jadwal Tarikh, Bulan dan Tahun Hijri-Masihi, jilid 14 karya Raja Haron bin Raja Mohammad Salleh (manuskrip) tarikh 25 Rejab 1281 Hijrah bukannya hari Selasa, tetapi adalah hari Jumaat. Maklumat di Muzium Islam Melaka pula dinyatakan bahawa beliau lahir pada tahun 1278 Hijrah/1862 Masihi. Selain itu ada lagi yang menyebut bahawa Sayid Syeikh al-Hadi lahir pada tahun 1867 Masihi.

Dalam buku Pendokumentasian Naskah Kuno Melayu dan Kajian Khusus, Hasan Junus

Dalam dokumen ulama nusantara (Halaman 145-157)