• Tidak ada hasil yang ditemukan

ULASAN MODEL POLISI MAKLUMAT BERSEPADU

Dalam dokumen Bab 5 - Analisis dan Interpretasi Data (Halaman 51-59)

Walaupun ujian tidak dilakukan bagi menentukan sama ada model kajian ini memenuhi keperluan keseluruhan penyeliaan maklumat sesebuah negara, namun model ini dibentangkan kepada tokoh berkaitan maklumat bagi mendapatkan pandangan berkaitan model yang dicadangkan. Model ini dibentangkan kepada dua orang responden yang ditemubual sewaktu pengumpulan data primer iaitu Tan Sri Abdul Halim Ali (2012) dan Dato’ Dr Halim Shafie (2012). Selain itu model ini juga ditunjukkan kepada dua lagi responden baru iaitu Dato’ Raslin Abu Bakar (2012), Pengarah Perbadanan Perpustakaan Negara dan En Tan Chuan Ou (2012), Timbalan Pengarah Bahagian Dasar ICT, MOSTI.

Pembangunan Polisi Maklumat

Secara umumnya responden setuju tentang kepentingan dan keperluan kepada satu bentuk polisi maklumat yang bersepadu. Responden mengakui bahawa kerajaan menyediakan dasar berkaitan teknologi maklumat yang menyeluruh melalui koordinasi peringkat kebangsaan melalui NITC (Majlis IT Kebangsaan) dan Jawatankuasa lain seperti Jawatankuasa Kabinet berkaitan Jalur Lebar. Namun, dari aspek penyeliaan maklumat kebangsaan, responden menyatakan bahawa perkara ini tidak ditangani secara komprehensif. Responden berpandangan, sudah tiba masanya satu badan atau suruhanjaya peringkat kebangsaan yang diberikan kuasa dan tanggungjawab diwujud bagi menyelia maklumat negara. Berdasarkan tradisi dan tanggujawab sedia ada, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) melalui kerjasama dengan perpustakaan negeri dan kerajaan tempatan diakui berpotensi memainkan peranan penyeliaan maklumat kebangsaan. Model yang dicadangkan boleh dijadikan panduan bagi proses penyeliaan maklumat.

Prinsip Utama Pembangunan Model Polisi Maklumat

Para responden diminta untuk mengulas empat prinsip utama pembangunan model polisi maklumat seperti berikut:

a) Bersepadu

Semua responden yang ditemubual bersetuju bahawa model polisi maklumat mestilah bersepadu iaitu melibatkan semua sektor penting dalam negara. Responden turut mengakui keperluan satu badan kordinasi peringkat kebangsaan yang diberikan kuasa dan perundangan tertentu bagi memastikan polisi maklumat dapat dilaksanakan disemua sektor tersebut.

b) Berinteraksi

Kesemua responden yang ditemubual mengakui bahawa setiap sektor dalam polisi maklumat perlu berinteraksi antara satu dengan yang lain. Satu sektor polisi maklumat

perlu kepada input atau memberi maklumbalas kepada sektor yang lain. Dalam ertikata lain, bagi memastikan setiap sektor berfungsi menyelia kitar maklumat dengan baik, sektor ini tidak boleh wujud sendirian, setiap sektor perlu berinteraksi antara satu dengan yang lain.

c) Bidang Silang Disiplin

Kesemua responden berkongsi pandangan bahawa polisi maklumat adalah satu bidang yang melibatkan pelbagai disiplin. Disiplin akademik yang dikaitkan dengan polisi maklumat adalah disiplin sains maklumat dan perpustakaan, ekonomi, sains politik, dasar awam, sosiologi, kajian komputer, komunikasi, pentadbiran awam dan undang- undang.

d) Dinamik

Kesemua responden setuju bahawa sektor bagi polisi maklumat adalah bersifat dinamik. Sektor polisi maklumat berkembang dari masa ke semasa selari dengan kemajuan teknologi, perkembangan ekonomi dan sosial sama ada pada peringkat dalam atau antarabangsa. Enam sektor utama yang dibentangkan dalam model ini diakui boleh berkembang kepada sektor yang lain seperti pelancongan, pertanian dan keselamatan negara.

Sektor dan Isu Polisi Maklumat

Responden turut diminta untuk mengulas sektor dan isu polisi maklumat yang dicadangan dalam model polisi maklumat bersepadu. Para responden diminta untuk mengulas enam sektor utama dan lima sektor yang berpotensi dimasukkan dalam model polisi maklumat. Berikut adalah sektor yang dikemukakan kepada responden bagi tujuan ulasan.

a) Maklumat Teknikal dan Saintifik

Responden bersetuju maklumat teknikal dan saintifik menjadi salah satu sektor dalam polisi maklumat. Namun para responden tidak mengulas kesemua isu yang disenaraikan dalam sektor ini kerana melibatkan satu senarai isu yang panjang. Umunnya, responden mengakui kepentingan maklumat teknikal dan saintifik diurus secara komprehensif melalui satu dasar maklumat yang bersepadu.

b) Perpustakaan

Selain bersetuju Perpustakaan menjadi sektor penting dalam polisi maklumat, tiga responden berpandangan, perpustakaan tidak harus berperanan sebagai tempat menyimpan dan meminjam buku sahaja. Peranan dan tanggungjawab perlu diperluaskan termasuk menjadi badan penyelaras maklumat negara. Bagi tujuan itu, perpustakaan perlu menjadi agensi pusat di bawah Jabatan Perdana Menteri. Badan penyelaras ini berfungsi menetapkan maklumat mana yang boleh disebarkan kepada orang awam dan maklumat mana yang hanya boleh dikongsi dalam kalangan kementerian disamping menyelia dan memantau pelaksaan dasar maklumat disetiap sektor. Seorang responden berpandangan penyeliaan maklumat negara boleh diberikan kepada arkib negara berbandingn perlustakaan.

c) ICT

Semua responden setuju dengan pandangan bahawa ICT merupakan satu ”Pemboleh” dan satu sektor ekonomi tersendiri. ICT menjadi pemboleh kepada kepada semua sektor polisi maklumat terutama berkaitan dengan kitar hayat maklumat, iaitu pengumpulan, pengedaran dan pengekalan maklumat. ICT turut diakui sebagai satu sektor ekonomi yang tersendiri kerana ICT merupakan satu sektor yang penyumbang kepada KDNK negara yang utama.

d) Sosial

Mengulas berkaitan sektor sosial, semua responden bersetuju sosial perlu menjadi salah satu sektor utama model polisi maklumat. Prinsip asasnya adalah, rakyat berhak mendapat maklumat yang tepat dan memadai pada waktu dan tempat yang sepatutnya dengan kadar yang mampu ditanggung oleh mereka. Hak ini penting untuk diberikan kerana maklumat merupakan salah satu sumber utama bagi aktiviti dan perkembangan sosial. Keperluan menyediakan maklumat dalam bidang sosial mencetus beberapa isu penting terutama hak terhadap capaian maklumat bagi menjamin rakyat dapat menjalankan fungsi sosial mereka dengan baik.

e) Kerajaan

Semua responden mengakui bahawa kerajaan boleh dianggap sebagai salah satu sektor penting dalam polisi maklumat kerana kerajaan memang berperanan untuk mencipta, menyebar dan menyelenggara maklumat yang diperlukan oleh semua lapisan masyarakat. Bagi melaksanakan peranannya, kerajaan diakui perlu menyedia mekanisme bagi capaian yang mudah dan murah kepada semua rakyatnya terhadap maklumat yang dimiliki oleh kerajaan. Responden turut mengakui bahawa sudah sampai masanya kerajaan perlu mempunyai dasar pengurusan kitar hayat maklumat agensi kerajaan supaya maklumat sesuatu jabatan dapat disimpan dan diperolehi semula dengan mudah. Tidak sekadar itu, seorang responden menyarankan maklumat sulit kerajaan yang telah melangkaui jangka waktu yang ditetapkan juga perlu disediakan agar dapat dicapai oleh rakyat pada bila-bila masa.

f) Ekonomi

Semua responden setuju bahawa setiap sektor dinyatakan di atas boleh menjadi asas kepada pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan di sebuah negara. Justeru sektor ini diakui penting menjadi sebahagian dari komponen polisi maklumat negara. Antara isu maklumat yang berkaitan dengan ekonomi yang diakui penting untuk ditangai adalah Hak Harta Intelek, Hak Cipta dan Industri Maklumat.

Sektor yang Berpotensi Bagi Polisi Maklumat

Selain dari enam sektor utama polisi maklumat, responden turut mengulas lima sektor lain yang berpotensi untuk menjadi sektor penting dalam polisi maklumat pada masa hadapan iaitu sektor pertanian, sektor pelancongan, antarabangsa, kesihatan dan keselamatan negara. Selari dengan sifat polisi maklumat yang dinamik, semua responden setuju bahawa kelima-lima sektor ini adalah penting dan boleh dimasukkan dan ditunjukkan dalam model polisi maklumat.

Sektor lain Dalam Polisi Maklumat

Selain 6 sektor utama yang dibentangkan di atas, model kajian ini juga menunjukkan beberapa komponen yang didapati terlibat secara tidak langsung dengan polisi maklumat. Komponen yang dimaksudkan adalah pendidikan, kitar hayat maklumat dan perundangan.

a) Pendidikan

Semua responden bersetuju bahawa pendidikan merupakan asas kepada kejayaan polisi maklumat. Responden bersetuju pendidikan secara formal dan tidak formal perlu diberikan kepada rakyat bagi memberikan kesedaran tentang pentingnya penyeliaan maklumat dalam setiap sektor polisi maklumat. Responden turut bersetuju dengan model ini yang tidak mengkelas pendidikan sebagai satu sektor polisi maklumat tersendiri, tetapi tetapi sebagai keperluan asas kepada semua lapisan masyarakat bagi memanipulasi sektor polisi maklumat yang lain. Selain itu, responden turut menegaskan tentang kepentingan pendidikan untuk berperanan dalam menyediakan ‘kandungan tempatan’ kepada komuniti pelajar dan masyarakat.

b) Kitar Hayat Maklumat

Semua responden bersetuju bahawa setiap sektor polisi maklumat melalui proses kitar hayat bermula dengan perancangan, penciptaan, penyebaran dan penyelenggaraan maklumat. Responden mengakui, proses kitar hayat terhadap isu yang mendasari

setiap sektor boleh mengakibatkan keperluan kepada perundangan tertentu. Responden bersetuju dan membenarkan contoh yang diberikan yang mana maklumat dalam sektor sosial berkembang dengan melibatkan kitar hayat yang bermula dengan penciptaan, penyebaran dan penyelenggaran maklumat. Dalam proses kitar penciptaan maklumat, beberapa isu seperti isu pemprosesan maklumat peribadi timbul. Proses kitar penyebaran maklumat pula mengakibatkan isu keselamatan maklumat. Sementara kitar penyelenggaran maklumat sosial turut menghasilkan isu penyimpanan maklumat peribadi. Responden mengakui bahawa contoh isu yang dikemukakan menjadi punca Akta Perlindungan Data Peribadi 2009 diggubal.

c) Perundangan

Semua responden mengakui bahawa undang-undang perlu diggubal bagi menangani isu yang timbul akibat aktiviti kitar hayat dalam semua sektor. Seorang responden menjelaskan bahawa perundangan boleh dalam bentuk satu set dasar, undang-undang, garis panduan, peraturan, perundangan dan prosedur yang saling berkait bagi memandu dan menyelia pengurusan kitar hayat maklumat: penghasilan, pengumpulan, pengedaran/ pengagihan, mendapatkan semula dan memusnahkan maklumat. Polisi maklumat juga meliputi capaian kepada maklumat, dan penggunaan maklumat. Responden mengakui bahawa setakat ini perundangan tertumpu kepada sektor ekonomi seperti undang-undang bagai menangai isu hak milik harta intelek, dan hak cipta. Sementara itu, undang-undang bagi kitar hayat sektor sosial seperti hak capaian maklumat dan sebagainya masih belum mantap.

Matlamat Polisi Maklumat

Selain prinsip pembangunan dan sektor model polisi maklumat, matlamat polisi maklumat turut diulas oleh responden. Maklumat yang tepat dan tersedia pada masa yang sepatutnya adalah penting bagi membuat keputusan sama ada berkaitan dengan ekonomi atau membuat keputusan berkaitan aktiviti sosial dalam masyarakat. Justeru, responden setuju bahawa matlamat polisi maklumat adalah untuk mencapai masyarakat bermaklumat dan menjadi pemangkin kepada ekonomi berasaskan maklumat.

5.5 KESIMPULAN

Bahagian pertama bab ini mengemukakan status polisi maklumat Malaysia berdasarkan kepada sektor polisi maklumat iaitu, maklumat teknikal dan saintifik, perpustakaan, ICT, sosial, maklumat kerajaan, ekonomi dan pendidikan ICT. Analisis dari sumber primer iaitu Penyata Rasmi Parlimen dan Rancangan Malaysia menunjukkan bahawa kerajaan Malaysia menangani semua sektor ini dengan baik. Malah sebahagian sektor seperti ICT, dijadikan satu agenda kebangsaan melalui inisiatif MSC. Begitu juga dengan program mengurang jurangi digital. Berbagai usaha dijalankan bagi mengatasinya dengan melibatkan sektor swasta dengan mewujud tabung USP, membangun Internet Desa dan Info Desa. Kajian juga menunjukkan wujud hubungkait antara sektor. Sebagai contoh, ICT dikaitkan dengan peranannya sebagai pemboleh bagi komunikasi maklumat, dari proses mencipta, menyebar dan menyelenggara maklumat. ICT itu sendiri adalah satu sektor dalam ekonomi negara. ICT turut dikaitkan dengan demokrasi maklumat iaitu kebebasan rakyat untuk capaian kepada maklumat kerajaan. Menyedari kepentingan ICT kepada semua sektor, kerajaan melaksana program bagi mengatasi buta ICT bermula dari sekolah rendah hinggalah ke peringkat universiti dan orang awam. Namun begitu, salah satu sektor penting bagi maklumat iaitu Sektor perpustakaan dan perkhidmatan maklumat didapati terasing dari aliran utama maklumat negara. Perpustakaan didapati tidak berperanan sebagai penyedia dan penyelenggara maklumat negara yang utama. Hal ini ketara apabila perpustakaan tidak menjadi ahli dalam NITC. Walaupun wujud perkaitan dinyatakan dalam dokumen yang dirujuk, namun perkaitan antara sektor yang dikemukakan di atas dijangka mudah difahami dengan mengguna model tertentu.

Bahagian kedua bab ini pula mengemukakan analisis interpretasi isu berkaitan dengan polisi maklumat Malaysia berdasarkan sumber temu bual. Temu bual responden yang terdiri dari empat responden yang terlibat dalam pengubalan dan berpengalaman dalam amalan polisi maklumat Malaysia menunjukkan beberapa penemuan penting. Pertama adalah berkaitan dengan sektor yang dikaitkan dengan polisi maklumat di Malaysia menunjukkan corak yang hampir sama dengan sektor cadangan penulis dalam Bab 2 (perenggan 2.5.) iaitu NITC yang berperanan sebagai badan koordinasi polisi maklumat kebangsaan, NITA yang memfokus menangani isu

sosial dan maklumat kerajaan, MSC memfokus kepada maklumat teknikal dan saintifik, ekonomi dan ICT. Bahagian ini juga menunjukkan Malaysia turut menangani isu perpustakaan namun sektor ini didapati tidak berada dalam aliran utama polisi maklumat Malaysia. Temu bual dengan responden turut menemukan beberapa persoalan penting berkaitan polisi maklumat di Malaysia. Antara yang penting adalah NITC sebagai badan koordinasi peringkat kebangsaan didapati tidak berperanan dengan sewajarnya. Pengubalan polisi penting seperti MSC dan AKM1998 adalah berdasarkan konsultasi dari pihak luar Malaysia tanpa melibatkan pihak berkepentingan yang menyeluruh dari dalam negara. Sementara itu, pemisahan komponen ICT dengan komunikasi kepada kementerian yang berbeza didakwa sebagai satu keputusan kebelakang dan tidak menguntungkan. Analisis turut menunjukkan Agenda IT Kebangsaan (NITA) dan MSC tidak dihayati oleh sebahagian kakitangan kerajaan, sistem pendidikan tidak menyokong sepenuhnya industri kandungan, sistem maklumat kerajaan yang tidak cekap dan gagal memberi maklumat yang tepat dan berkesan, bidang perpustakaan yang tidak berada dalam aliran utama polisi maklumat Malaysia dan sistem ekonomi berasaskan maklumat yang masih belum berkembang dengan baik. Masalah yang dikemukakan oleh responden ini perlu diambil perhatian serius khususnya apabila ingin mengubal polisi maklumat Malaysia yang bersepadu pada masa hadapan.

Di akhir bab ini, ulasan berkenaan model yang dicadangkan dalam kajian ini kemukakan. Ulasan ini melibatkan dua responden yang telah terlibat dalam sesi temubual semasa pengumpulan data primer manakala dua lagi responden baru dipilih berdasarkan peranan mereka dalam bidang berkaitan maklumat negara. Responden diminta mengulas berkaitan prinsip pembangunan polisi maklumat, sektor dan isu yang dikemukakan dalam model.

Dalam dokumen Bab 5 - Analisis dan Interpretasi Data (Halaman 51-59)

Dokumen terkait