• Tidak ada hasil yang ditemukan

APLIKASI HIBAH DALAM SISTEM PERBANKAN ISLAM DI MALAYSIA

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2021

Membagikan "APLIKASI HIBAH DALAM SISTEM PERBANKAN ISLAM DI MALAYSIA"

Copied!
10
0
0

Teks penuh

(1)

APLIKASI HIBAH DALAM SISTEM PERBANKAN ISLAM DI MALAYSIA Ahmad Khilmy b Abdul Rahim

Mohd Shahril b Ahmad Razimi Mohd Murshidi b Mohd Nor Pusat Pengajian Perniagaan Islam, UUM

Abstrak

Penggunaan instrumen hibah dalam pengurusan harta semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia. Hibah merupakan satu kontrak unilateral yang bermatlamatkan kebajikan. Institusi kewangan Islam di Malaysia, khususnya bank-bank Islam turut mengaplikasikan instrumen hibah dalam produk-produk yang ditawarkan. Hibah merupakan konsep shariah bersifat sokongan kepada kontrak-kontrak shariah yang utama dalam sistem perbankan Islam di Malaysia Tujuannya antara lain ialah sebagai insentif kepada pelanggan kerana mendeposit wang mereka dalam institusi berkenaan dan juga sebagai ganjaran untuk pelanggan membayar pembiayaan mereka mengikut jadual yang ditentukan. Penggunaan hibah atas dasar-dasar dan objektif yang dinyatakan mendapat kelulusan Majlis Penasihat Shariah Bank Negara Malaysia.

Kata Kunci : Hibah, Sistem Perbankan Islam

1.0 Pendahuluan

Hibah merupakan salah satu instrumen penting dalam pengurusan harta Islam. ia merupakan proses pemberian harta yang berlaku semasa hidup al-wahib (pemberi hibah). Penggunaan hibah dalam pengurusan harta semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia kerana keistimewaannya yang tersendiri seperti penentuan benefisiari dan aset yang khusus untuk dilakukan hibah. Hibah merupakan kontrak satu pihak (unilateral) dan merupakan satu amal kebajikan. Dalam sistem kewangan Islam, institusi perbankan Islam lazimnya mengamalkan konsep hibah untuk memberikan ganjaran kepada pendeposit wadi`ah dan qard. Terdapat juga amalan pemberian hibah kepada pelanggan dalam kes-kes tertentu seperti hibah kepada pelanggan yang membuat pembayaran mengikut jadual. Kertas kerja ini membincangkan konsep hibah, pensyariatannya dan aplikasinya dalam beberapa produk perbankan Islam di Malaysia.

2.0 Metodologi

Kajian ini sepenuhnya menggunakan metodologi kualitatif yang menekankan pembinaan makna, pemahaman konsep atau simbol dan istilah atau penerangan terperinci tentang sesuatu kejadian,

(2)

objek atau proses (Tuckman,B.W.,1999). Sesuai dengan metode yang digunakan, kajian ini mengaplikasikan dua teknik pengumpulan data iaitu metode perpustakaan dan juga penyelidikan lapangan yang berdasarkan metode temubual dan metode dokumentasi. Metode perpustakaan digunakan oleh penyelidik untuk mengumpul sebanyak mungkin data dan maklumat dalam bentuk tesis, buku, artikel, jurnal, majalah dan kajian ilmiah yang lain berkaitan bidang kajian. Metode temu bual separa struktur digunakan oleh penyelidik untuk menemubual pihak-pihak yang terlibat secara langsung dengan operasi produk-produk perbankan Islam yang mengaplikasikan konsep hibah dalam operasinya iaitu yang berasaskan kontrak al-ijarah thumma al-bay’, al-qardhul hasan dan al-wadi’ah.

3.0 Konsep Hibah

Perkataan Hibah berasal daripada kata kerja bahasa Arab “wahaba” yang bermaksud tabarru’ (al-Jurjani, 1421H) atau pemberian tanpa mengharapkan apa-apa balasan (al-Fayyumi,t.t). Menurut Ibn Manzur pula hibah adalah suatu bentuk pemberian yang tidak bertujuan mendapatkan sebarang balasan dan juga tujuan-tujuan yang lain (Ibn Manzur, 2003). Istilah Hibah telah diterima pakai dalam penggunaan bahasa Melayu sebagai kata pinjaman daripada bahasa Arab. Kamus Dewan (2007) mentakrifkan hibah atau hibbah sebagai pemberian hak(harta) secara sukarela kepada orang lain dengan tujuan yang baik. Menghibahkan membawa maksud memberikan (pada masa si penghibah masih hidup).

Hibah dari aspek terminologi membawa maksud yang sama dengan penggunaannya dari aspek bahasa. Ia didefinisikan sebagai “suatu akad yang mengandungi pemberian hak milik (tamlik) secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa mengharapkan apa-apa balasan (Ibn. Nujaim,t.t, Syarbini, t.t, Zuhaily,1989). Ulama al-Hanabilah memberikan definisi yang komprehensif tentang hibah iaitu penyerahan harta secara sukarela daripada pemilik asal kepada pemilik baru secara sukarela dan dilakukan sewaktu pemiliknya yang asal masih hidup (Hailani & Sanep, 2009). Secara yang lebih terperinci, hibah merupakan suatu akad pemberian hak milik ain harta daripada satu pihak kepada pihak yang lain tanpa balasan (iwadh) semasa hidupnya secara sukarela, bukan mengharapkan pahala di akhirat atau memuliakan seseorang dengan menggunakan lafaz ijab dan qabul atau seumpamanya. Pemberian ketika hidup oleh pemberi hibah (al-wahib) boleh juga merangkumi pemberian-pemberian yang lain iaitu hadiah dan sadaqah (al-Nawawi,t.t).

(3)

Kesimpulannya, berdasarkan definisi di atas hibah perlu memiliki ciri-ciri berikut : i. suatu akad pemberian hak milik harta kepada pihak yang lain

ii. harta yang boleh dilakukan hibah ialah harta sebenar (ain harta) dan bukannya hutang atau manfaat.

iii. akad hibah dibuat tanpa mengenakan sebarang balasa (iwadh) iv. akad hibah berkuat kuasa semasa hidup pemberi hibah.

v. akad hibah hendaklah dibuat secara sukarela (tanpa paksaan sesiapa)

vi. akad bukan bertujuan mendapatkan habuan pahala atau memuliakan orang-orang tertentu.

4.0. Pensyariatan Hibah

Syariat Islam amat menggalakkan amalan hibah dalam kalangan umat Islam. Hukum melakukan hibah dalam segala bentuk dan formasinya yang merangkumi hadiah dan sadaqah adalah sunat berdasarkan dalil daripada al-Quran, sunnah dan ijmak (al-Zuhaily, 1989). Dalil pensyariatan hibah dalam al-Quran ialah firman Allah s.w.t :

“Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada

kamu sebahagian daripada maskahwinnya maka makanlah

(gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya “

(Surah al-Nisa’, 4:4)

Ayat di atas menjadi dalil dan hujah bahawa pemberian yang dibuat oleh seorang isteri daripada maharnya kepada suaminya adalah harus dan ia dianggap oleh jumhur fuqaha sebagai hibah (al-Qurtubi, 2002).

Dalil daripada hadis pula ialah sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

“Saling memberi hadiahlah sesama kamu, nescaya kamu akan saling saying menyayangi antara kamu”

(al-Bukhari, 1987 ,4/174)

Hadis di atas jelas menunjukkan galakan daripada baginda Rasulullah s.a.w agar umatnya saling bertukar-tukar hadiah sesame mereka untuk menguatkan hubungan ukhuwwah dan silaturrahim

(4)

sesama mereka. Galakan ini jelas menunjukkan keharusan melakukan hibah (al-‘Aqil, 1978). Menurut Ibn al-Munzir (1999), galakan melakukan hibah juga telah diakui secara ijmak kerana ia termasuk dalam kategori melakukan kebajikan.

5.0. Aplikasi Hibah dalam produk-produk perbankan Islam di Malaysia

Hibah bukanlah satu prinsip atau kontrak yang utama dalam pembinaan produk-produk perbankan Islam. Prinsip-prinsip utama dalam sistem perbankan Islam di Malaysia yang membentuk produk-produk perbankan Islam ialah kontrak-kontrak jual beli (al-bay’), sewaan (al-ijarah), gadaian (al-rahn), syarikat (-al-syarikah), perkongsian untung rugi (al-mudharabah) dan simpanan (al-wadiah) (Abd. Halim, 2006). Hibah hanyalah satu prinsip sampingan dalam kontrak-kontrak utama seperti yang dinyatakan di atas .Hibah berperanan sebagai unsur penarik (selling point) kepada produk tertentu yang ditawarkan oleh perbankan Islam (Nasrul Hisyam, 2011). Berdasarkan pengamatan penyelidik melalui temu bual dan penelitian di laman web bank-bank Islam di Malaysia, hibah diaplikasikan dalam produk-produk yang berteraskan kontrak-kontrak di bawah.

5.1 Al-Ijarah Thumma al-Bay’

Konsep Ijarah Thumma Bay’ (AITAB) merupakan gabungan antara dua kontrak iaitu al-ijarah (sewaan) dan al-bay’ (jual beli). Perkataan al-ijarah berasal dari perkataan al-ajr yang bermaksud balasan atau ganjaran atas sesuatu pekerjaan (Fairuzz Abadi, 1995). Dari sudut istilah pula pengertian al- ijarah yang diberikan oleh mazhab-mazhab fiqh berbeza dari segi lafaz tetapi mempunyai persamaan dari segi makna. Al-Ijarah didefinisikan sebagai “suatu kontrak pertukaran antara suatu manfaat dengan ganjaran atau bayaran tertentu (Jurjani, 1988, al-Syarbasi, 1981). Elemen terpenting dalam definisi al-ijarah ialah manfaat. Menurut jumhur fuqaha kontrak al-ijarah berlaku ke atas manfaat dan bukannya benda. Hal ini adalah kerana tujuan al- ijarah adalah untuk mendapatkan manfaatnya sahaja bukannya memiliki benda itu sendiri (al-Ansari, t.t). Al-Bay’ pula bermaksud “pertukaran harta dengan harta mengikut cara yang tertentu” (Al-Ansari,t.t).

AITAB yang dikenali sebagai al-Ijarah wal Iqtina’ dan al-Ijarah al-Muntahiyah bi al-Tamlik termasuk dalam kontrak-kontrak baru yang tidak dibahaskan oleh fuqaha silam. Operasi AITAB ialah satu produk yang membolehkan penyewa di akhir tempoh sewaan untuk membuat pilihan

(5)

yang diberikan oleh bank-bank Islam sama ada untuk membeli aset berkenaan (rumah, kereta) atau menyewa semula. AITAB adalah gabungan dua akad yang diiktiraf oleh syarak iaitu al-ijarah dan al-bay’. Amalan yang dijalankan oleh bank-bank Islam di Malaysia ialah kedua-dua akad ini dijalankan secara berasingan dan pembelian aset dianggap sebagai satu janji (wa’ad) oleh penyewa di akhir tempoh sewaan. Kedua-dua akad mesti dilakukan secara berasingan untuk mengelakkan ianya batal berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w iaitu :

“Rasulullah saw telah menegah dua transaksi dalam satu (al-Nasaie, 2001, j.6, no.6183)

Untuk menggalakkan penyewa mematuhi jadual pembayaran bulanan dalam produk AITAB ini, pihak bank memberikan hibah kepada mereka sebagai satu bentuk insentif. Majlis Penasihat Shariah Bank Negara Malaysia dalam mesyuaratnya yang bertarikh 10 April 2000 bersamaan 5 Muharram 1421H memutuskan bahawa penggunaan hibah yang digunakan oleh pihak bank Islam dalam akad AITAB sebagai satu bentuk insentif kepada pelanggan adalah diharuskan (Resolusi Shariah dalam Kewangan Islam, 2007).

5.2 Al-Wadi’ah Yad Dhamanah

Wadi’ah dari aspek bahasa bermaksud sesuatu yang ditinggalkan kepada seseorang supaya dijaganya (Bustani, 1987). Pengertian wadi’ah dari segi istilah fuqaha ialah “ pemilik sesuatu barang yang mewakilkan kepada seseorang supaya menjaga barangnya, atau sesuatu yang dihormatinya dengan cara yang khusus” (Syarbini, t.t). Amalan semasa bank-bank Islam di Malaysia ialah kontrak wadi’ah ditambah dengan frasa yad dhamanah yang membawa maksud simpanan dengan jaminan. Ia bermaksud pendeposit memberi kuasa kepada orang lain (bank) untuk menyimpan hartanya untuk tujuan keselamatan barangan tersebut daripada risiko kehilangan, kemusnahan, kecurian dan sebagainya. Dengan itu, hubungan antara bank dengan pelanggannya merupakan hubungan jaminan (bailment), iaitu pendeposit sebagai penerima jaminan (bailer) wang simpanan dan bank pula sebagai pemberi jaminan (bailer). Ini adalah kerana hak milik harta tidak berpindah kepada bank , tetapi bank hanya mempunyai kuasa dan kawalan terhad terhadap wang yang disimpan padanya. Oleh itu, pendeposit masih mempunyai hak ke atas wang tersebut (Abdul Halim, 2006). Dari perspektif Syariah, wang yang dimasukkan ke dalam akaun deposit berasaskan konsep wadi`ah yad dhamanah menyamai kontrak pinjaman qard dan pihak bank mesti memulangkan semula deposit kepada pelanggan apabila diminta

(6)

berdasarkan terma dan syarat yang dipersetujui. Oleh itu, syarat-syarat dalam qard dan kesan lanjutan daripadanya adalah terpakai bagi produk akaun deposit yang berasaskan konsep wadi`ah yad dhamanah.

Modus operandi kontrak wadi’ah yad dhamanah yang diaplikasikan dalam produk akaun semasa dan akaun simpanan semasa ialah seperti berikut (Abdul Halim, 2006).

i. bank menerima deposit pelanngan yang memerlukan tempat yang selamat untuk simpanan wang dan mudah bagi mereka menggunakannya dalam bentuk akaun semasa dan akaun simpanan dengan menggunakan prinsip Wadi’ah Yadd al-Dhamanah.

ii. bank akan meminta kebenaran daripada pendeposit untuk menggunakan wang simpanan mereka selama wang tersebut berada dalam simpanannya.

iii. pendeposit berhak mengeluarkan sebahagian atau seluruuh baki simpanan pada bila-bila masa yang mereka kehendaki dan bank memberi jaminan.

iv. semua keuntungan daripada penggunaan bank terhadap simpanan yang ada menjadi milik bank. Bank boleh menggunakan budi bicaranya untuk memberikan keuntungan kepada semua penyimpannya atau sebahagian akaun penyimpanannya.

v. bank memberi buku, cek, akad ATM atau lain-lain perkhidmatan, biasa mengenai akaun semasa atau simpanan kepada penyimpan.

Berdasarkan modus operandi di atas, kita dapat memahami bahawa prinsip hibah digunakan sebagai satu bentuk insentif, dividen atau sagu hati oleh pihak bank untuk menarik pelanggannya supaya menyimpan dalam akaun perbankan Islam.Untuk mengelakkan pembayaran dividen menyerupai bayaran faedah dalam perbankan konvensional, maka jumlah, bentuk dan peratus pembayarannya adalah mengikut budi bicara pihak bank. Keuntungan daripada penggunaan wang pelanggan ini sebenarnya adalah hak milik bank sepenuhnya. Namun, atas budi bicara pihak bank ke atas pelanggannya, bank memberikan sebahagian tertentu daripada keuntungan tersebut kepada pelanggannya yang boleh dianggap sebagai hibah atau hadiah daripada bank. Pemberian hibah oleh peminjam kepada pemberi pinjaman digalakkan dalam Islam. Namun demikian, pemberian hibah tidak boleh disyaratkan dalam akad kerana ia boleh membawa kepada riba (Ibn Abidin, 2003) seperti yang dinyatakan dalam hadis berikut:

(7)

“Daripada Ali r.a. berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Setiap pinjaman yang memberi manfaat (kepada pemberi pinjaman) maka ia adalah riba”

(Ibn Hajar, 1928)

5.3 Al-Qard al-Hasan

Menurut al-Zuhaily (1989), ‘al-qard’ dari segi bahasa bermaksud ‘al-qat’ iaitu memotong sebahagian daripada harta milik si pemberi pinjaman dan memberikannya kepada peminjam. Ahmad Yusuf (1993) mendefinisikan al-qard (pinjaman) sebagai ‘memberikan harta kepada seseorang yang akan memanfaatkan harta tersebut dan harta itu akan dipulangkan kepada tuannya sama seperti asalnya dengan akad yang tertentu’. Pengertian ini membawa maksud al-qard ialah satu akad yang diucapkan oleh si peminjam ke atas sesuatu yang dipinjam dan berjanji akan memulangkannya kepada pemberi pinjaman mengikut tempoh yang telah ditetapkan tanpa sesuatu syarat yang melebihi daripada jumlah pinjaman asal. Dalam hukum fiqh Islam, kontrak pinjaman dikenali sebagai al-qard al-hasan iaitu pinjaman dengan pembayaran semula dengan jumlah dan jenis yang sama sekiranya ianya melibatkan barang-barang ribawi (Mohd Daud, 1997). Walau bagaimanapun, pihak peminjam adalah bebas dan digalakkan untuk membayar dengan kadar yang lebih daripada jumlah sebenar atas dasar budi bicaranya kepada pihak bank (Abdul Halim, 2006).

Lebihan yang diberikan oleh peminjam dianggap hibah dan lebihan ini diharuskan oleh syarak. Mesyuarat Majlis Penasihat Shariah Bank Negara Malaysia pada tarikh 29 Disember 2005 bersamaan 27 Zulkaedah 1426 memutuskan hibah dalam pinjaman (al-qard al-hasan) hukumnya adalah harus. Majlis menasihatkan agar amalan (bayaran lebihan) perlu dipraktikkan secara jujur bagi mengelakkan amalan ini menjadi urf (iaitu masyarakat menganggap bahawa setiap pinjaman mesti dibayar dengan kadar yang lebih daripada jumlah yang dipinjam (Shariah Resolutions (Shariah Resolutions in Islamic Finance, 2007).

5.4 Akaun Pelaburan Mudharabah Antara Bank

Pelaburan Mudharabah antara Bank merupakan urus niaga pelaburan antara peserta pasaran wang antara bank (money market) secara Islam. Ia dilaksanakan berdasarkan kontrak

(8)

mudharabah. Kadar pulangan bagi institusi kewangan pelabur ditentukan berdasarkan kadar pulangan institusi kewangan penerima biaya (atau dikenali dengan kadar ‘r’). Kadar ‘r’ melambangkan kecekapan sesebuah institusi kewangan menguruskan dana atau aset perbankan Islamnya. Ini bermakna, institusi kewangan yang cekap biasanya mempunyai kadar ‘r’ lebih tinggi berbanding dengan yang kurang cekap. Sekiranya kadar ‘r’ institusi kewangan penerima biaya adalah rendah, ia akan memberikan pulangan yang rendah kepada institusi kewangan pelabur. Masalah timbul apabila kadar ‘r’ bagi sebilangan institusi kewangan Islam terlalu rendah daripada kadar ‘r’ pasaran yang menyebabkan institusi kewangan berkenaan sukar mendapatkan dana daripada pasaran. Bagi menangani masalah ini, terdapat cadangan untuk memperkenalkan konsep hibah sebagai satu amalan pasaran dalam kontrak Pelaburan Mudharabah antara Bank. Menerusi konsep ini, institusi kewangan penerima biaya yang mempunyai kadar ‘r’ yang lebih rendah daripada kadar ‘r’ pasaran akan menawarkan hibah sebagai saguhati kepada institusi kewangan pelabur yang bersedia melabur dengannya. Hibah boleh dibayar berdasarkan peratusan tertentu daripada kadar ‘r’ institusi kewangan penerima biaya, tertakluk kepada kesediaan institusi kewangan penerima biaya itu sendiri.

Majlis Penasihat Shariah BNM pada mesyuaratnya yang bertarikh 12 Disember 1998 telah memutuskan bahawa pemberian hibah oleh institusi kewangan penerima biaya kepada institusi kewangan pelabur yang membawa kepada jaminan keuntungan (kadar ‘r’) dalam kontrak Pelaburan Mudharabah antara Bank adalah tidak dibenarkan. Hujah yang diberikn ialah pemberian hibah ke atas kontrak perniagaan yang berasaskan kontrak mudharabah adalah tidak dibenarkan kerana mudharabah ialah satu bentuk kontrak yang berdasarkan perkongsian keuntungan (Resolusi Shariah Kewangan Islam, 2007). . Sekiranya penawaran hibah dibenarkan, ia akan menjejaskan akad mudharabah itu tersebut kerana mudharib seolah-olah memberi jaminan terhadap keuntungan mudharabah. Selain itu, pemberian hibah juga bertentangan dengan maqasid kontrak mudarabah kerana ia menafikan elemen perkongsian untung dan penyerapan kerugian oleh rabbul mal (jika berlaku kerugian) (Resolusi Shariah Kewangan Islam, 2007).

6.0 Penutup

Hibah merupakan konsep shariah bersifat sokongan kepada kontrak-kontrak shariah yang utama dalam sistem perbankan Islam di Malaysia. Pemakaian konsep hibah dalam perbankan Islam

(9)

adalah lebih menjurus kepada memberi galakan dan insentif kepada pelanggan untuk konsisten dalam menjelaskan bayaran pembiayaan mereka. Berdasarkan amalan semasa perbankan Islam di Malaysia, konsep hibah diaplikasikan dalam produk-produk yang berteraskan kontrak wadiah yad al-dhamanah, al-qardh al-hasan dan al-ijarah thumma al-bay’. Penggunaan hibah dalam operasi kontrak-kontrak tersebut adalah menepati shariah dan mendapat kelulusan Majlis Penasihat Shariah Bank Negara Malaysia.

Rujukan

Abdul Halim b Muhammad. (2006). Undang-undang Mu‟amalat dan Aplikasinya Kepada Produk-produk Perbankan Islam. Petaling Jaya: Dasar Cetak Sdn. Bhd.

Ahmad Yusuf. (1993). „Uqud Mu‟awadat Maliyah fi Daw Ahkam Syariyyah al-Islamiyyah. Kaherah: Dar al-Saqafah.

Al- Fayyumi, Ahmad b Muhammad.(t.t). al-Misbah al-Munir. Kaherah: Dar al-Maarif Al- Jurjani, Ali b Muhammad . (1988). Kitab al-Ta‟rifat. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah Al- Zuhaily, Wahbah. (1989). Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu. Damsyiq: Dar al-Fikr.

Al-Qurtubi, Abu Abdullah Al-Ansari.(2002). Al-Jami’ li Ahkam Quran.j.5. Kaherah : Dar al-Hadith.

Al-Syarbini, Syamsuddin Muhammad b Muhammad al-Khatib . (t.t). Mughni al-Muhtaj. Mesir: Al-Maktabah Al-Taufiqiyyah

Ansari, Zakariyya . (1418H). Fath Wahhab bi Syarh Minhaj Tullab. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.

Bukhari, Muhammad b Ismail al-. (1987). Sahih al-Bukhari.j.4. Beirut: Dar Ibn Katsir Bustani, Butrus al-Bustani. (1987). Muhit al-Muhit. Beirut: Matba‟ah Lubnan

Hailani Muji Tahir & Sanep Ahmad. (2009). Aplikasi Fiqh Muamalat Dalam Sistem Kewangan Islam. Shah Alam: UiTM.

Ibn Manzur, Jamal Din Muhammad b Mukram (2003). Lisan Arab, j.9. Kaherah : Dar al-Hadith

Ibn Nujaim, Zain b Ibrahim b Muhammad. (t.t). Al-Bahr al-Raiq Syarh Kanz al-Daqaiq. Beirut: Dar al-Makrifah

Ibn Qudamah al-Maqdisi. (1997). Al-Mughni fi Fiqh al-Imam Ahmad b Hanbal. Riyadh: Dar „Alam al-Kutub

(10)

Ibnu `Abidin.(2003). Hasyiyah Radd Al-Muhtar `ala Durr Mukhtar Syarh Tanwir al-Absar. Dar `Alam al-Kutub.

Ibnu Hajar `Asqalani. (1928). Bulugh Maram min Adillah Ahkam. Matba`ah al-Salafiyyah.

Kamus Dewan Edisi Keempat.(2007). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Daud Bakar. (1997). Aspek-aspek Pembiayaan Projek dalam Amalan Perbankan Islam. Jurnal Syariah, Jld 5, Bil 2, Julai 1997. Bahagian Pengajian Syariah, Akademi Pengajian Syariah, Universiti Malaya, h.205.

Nasaie, Abu Abdul Rahman Ahmad b Syuaib al-. (2001). Al-Sunan al-Kubra Li al-Nasaie. Beirut: Muassasah al-Risalah.

Nawawi, Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya b Sharaf al-. (t.t). Al-Majmu‟ Sharh al-Muhazzab. Jeddah: Maktabah al-Irsyad

Referensi

Dokumen terkait

KUALA LUMPUR: Sistem perbankan Malaysia kekal berdaya tahan, dengan kapasiti yang mencukupi untuk menyerap kerugian di bawah senario kemerosotan simulasi yang teruk, demikian kata

Perbankan Islam atau perbankan syariah merupakan fenomena baru dalam dunia ekonomi modern, kemunculannya seiring dengan upaya gencar yang dilakukan oleh para pakar Islam

instrumen dalam pengurusan harta Islam kerana pembentukannya dilihat tidak selari dengan undang-undang hibah dan pusaka Islam, terutama apabila penerima amanah tersebut

Selain itu, seksyen 51 (2) juga dinyatakan bahawa MPS dapat menentukan prosedur sewajarnya bagi perkara-perkara berhubungkait dengan perbankan Islam. Dengan keputusan

Faktor seterusnya yang mempengaruhi nisbah pulangan atas aset perbankan Islam tetapi tidak mempengaruhi nisbah pulangan atas aset perbankan konvensional adalah faktor kualiti

Jasa Allahyarham sepanjang hayatnya secara langsung atau tidak langsung sama ada dalam bentuk idea, Jawatankuasa Pemandu Perbankan Islam Kebangsaan, ahli Majlis Penasihat Syariah,

Artikel ini bertujuan untuk mengenalpasti Universiti Islam Malaysia (UIM) sebagai peneraju utama universiti berteraskan wakaf dalam bidang pendidikan di

Andai kata prinsip hibah tidak diaplikasikan, syarikat pengendali takaful hanya akan mengagihkan wang manfaat tersebut kepada penama yang disenaraikan oleh peserta yang kemudian akan