• Tidak ada hasil yang ditemukan

Perancangan Pendidikan Ke Arah Negara Berpendapatan Tinggi. Thong Pui Yee. Muhammad Hussin (PH.D) Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2021

Membagikan "Perancangan Pendidikan Ke Arah Negara Berpendapatan Tinggi. Thong Pui Yee. Muhammad Hussin (PH.D) Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia"

Copied!
20
0
0

Teks penuh

(1)

52

Perancangan Pendidikan Ke Arah Negara Berpendapatan Tinggi Thong Pui Yee

Muhammad Hussin (PH.D)

Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia

ABSTRAK

Keperluan pendidikan bagi seseorang menurut Curle (1969) ialah mengaplikasi ilmu yang dipelajari dan menyumbangkan semula kepada ekonomi untuk memperolehi pendapatan yang tinggi. Kemahiran yang diperolehi melalui sistem pendidikan dilihat sebagai sebahagian harta seseorang. Manakala sumbangan pendidikan kepada sesebuah negara ialah dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara. Oleh itu, satu rangka rujukan yang baik adalah diperlukan untuk menghasilkan pendidikan yang berkualiti dan justeru menghasilkan modal manusia yang berkompetitif global. Modal manusia yang berkualiti dapat menjana pertumbuhan ekonomi dan membawa kepada peningkatan dalam pendapatan. Kertas ini bertujuan untuk melihat pertumbuhan ekonomi melalui perancangan pendidikan dalam menjana pulangan pendapatan yang tinggi.

KataKunci: perancangan pendidikan, pertumbuhan ekonomi, pendidikan berkualiti, modal manusia, pendapatan tinggi.

According to Curve (1969) the needs of education for an individual is to apply what we have learned and contribute back to the economy system to earn more higher income. The skills obtained through the education is seen as a part of one’s property. Meanwhile, contribution of education is on generating the economic growth and development in a country. Thus, a good frame of reference is needed to produce quality education in order to produce the high competative labor forces. The quality in labor forces generate economic growth dan lead to a higher income. This paper aims to look at economic growth through educational plannning in generating the higher return of income.

Keywords: educational planning, economic growth, quality in education, human capital, high income.

(2)

53 PENGENALAN

Menurut Curle (1969) pada sekitar tahun 50-an, sektor pendidikan, kesihatan dan beberapa perkhidmatan sosial dilihat sebagai sektor yang tidak produktif. Namun, sejajar dengan perubahan sosial dan ekonomi dunia, keperluan pendidikan bagi seseorang dilihat dengan mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dan menyumbangkan semula kepada ekonomi untuk memperolehi pendapatan yang tinggi.

Birley (1972) telah mengkategori semula keperluan pendidikan kepada dua bentuk iaitu berdasarkan kepada bentuk ‘penggunaan’ dan bentuk ‘pelaburan’. Pendidikan bentuk ‘penggunaan’ menurut Birley (1972) ialah merujuk kepada ilmu, khasnya ilmu sains yang boleh diaplikasi dan pendidikan bentuk ‘pelaburan’ ialah tempat pelajar mempelajari sesuatu dan disumbangkan semula kepada ekonomi untuk memperolehi pendapatan yang tinggi.

Pandangan Curle (1969) dan Birley (1972) disokong oleh Petridou et al. (2004) bahawa pendidikan boleh menyumbang kepada kekayaan aset. Aset yang dimaksudkan oleh Petridou et al. (2004) ialah dari segi intektual iaitu ilmu yang diperolehi. Maka, untuk menjana nilai terhadap aset yang dimaksudkan oleh Petridou et al. (2004), masyarakat akan cuba memperbaiki kualiti pendidikan yang ada untuk mencapai matlamat tersebut.

Terdapat banyak kajian yang melihat pendidikan dan pertumbuhan ekonomi (untuk contoh lihat Curle (1969); Chew et al., 1972; Tarmizi, 2010; Musai et al., 2011; Conrad, 2011; Giziene, 2012; Khattak, 2012; Tsamadias, 2012). Namun, kertas ini bertujuan untuk melihat pertumbuhan ekonomi melalui perancangan pendidikan serta menyumbang kepada penjanaan pendapatan yang tinggi.

PERANCANGAN PENDIDIKAN

Perancangan pendidikan didefinisikan oleh Diez-Hochleitner (1964) merujuk kepada satu rangka rujukan untuk institusi pendidikan. Perancangan merupakan satu alat dan tidak merujuk kepada matlamat akhir yang telah dicapai. Ini selaras dengan pendapat Coombs (1970) yang mengatakan tumpuan yang diberi kepada perancangan bukan hanya mencapai matlamat semata-semata, sebaliknya lebih meluas kepada cara untuk mencapai matlamat dengan penggunaan jalan yang terbaik. Penggunaan jalan yang terbaik dimaksudkan oleh Coombs (1970) merujuk kepada cara dan proses yang

(3)

54

terlibat dalam perancangan. Faludi (1978) telah menerangkan proses perancangan merupakan proses yang sistematik dalam merekabentuk polisi dalam situasi awam. Satu proses perancangan memerlukan dasar dan prinsip yang kukuh dan analisis yang teliti supaya penilaian dapat dilakukan (Birley, 1972).

Dalam bahagian ini akan dibincangkan proses perancangan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dengan merujuk kepada kerangka proses perancangan pendidikan universal yang disarankan dalam kertas kerja UNESCO (2001) dalam menghasilkan pendidikan berkualiti (KPM, 2012). Terdapat enam langkah yang disarankan dalam kertas kerja UNESCO (2001) seperti yang ditunjukkan dalam rajah 1.

I) Langkah 1: Diagnosis Situasi

Diagnosis situasi yang dijelaskan dalam kertas kerja UNESCO (2001) digunakan untuk mengenalpasti isu yang akan dihadapi pada masa hadapan, serta kekuatan yang perlu dikekalkan atau diperkuatkan lagi pada masa hadapan. Diagnosis dalam perancangan pendidikan merupakan satu usaha untuk membuat pentaksiran yang adil terhadap pencapaian dan kekangan dalam sesuatu sistem pendidikan.

Penerangan ini disesuaikan dalam kertas kerja UNESCO (2010), bahawa diagnosis situasi pendidikan mengandungi analisis kritikal tentang fungsi, dan keputusan sistem pendidikan dengan mengemukan kesan ancaman dan peluang serta kekuatan dan kelemahan dalam sistem pendidikan berkenaan. UNESCO (2010) telah mencadangkan kaedah analisis prestasi dalam mendiagnosis situasi pendidikan. Kaedah analisis prestasi yang meliputi akses, kecekapan dalaman, kualiti, kecekapan luaran dan ekuiti seperti yang dicadangkan dalam UNESCO (2010) telah diterapkan ke dalam penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 (KPM, 2012).

(4)

55 Rajah 1: Langkah-langkah dalam proses perancangan

(Dipetik dan diubahsuai dari UNESCO, 2001)

II) Langkah 2: Penentuan Target

Penentuan target merupakan langkah yang kritikal dalam proses perancangan (UNESCO, 2005). Penentuan target dijalankan dalam bentuk proses dialog yang melibatkan semua pihak berkepentingan di peringkat kementerian dan golongan rakyat yang diwakili oleh guru dan ibubapa.

Seperti yang diterangkan dalam UNESCO (2005), Malaysia telah mengaplikasikan bentuk proses dialog nasional yang melibatkan kementerian, guru besar, guru-guru, ahli PIBG dan orang awam dalam penentuan target untuk penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 (KPM, 2012). Aspek umum yang diberi perhatian dalam penentuan target seperti akses, kadar enrolmen dan

Langkah 1: Diagnosis situasi

Langkah 2: Penentuan target

Langkah 3: Intervensi strategi dan

aktiviti Langkah 4: Implimentasi Pelan Langkah 5: Mekanisma pengawasan Langkah 6: Penilaian pelan

(5)

56

tahap pencapaian (UNESCO, 2001). Kesemua aspek tersebut telah disenaraikan sebagai aspirasi sistem pendidikan negara yang ditargetkan untuk dicapai menjelang tahun 2020 (KPM, 2012). Atas sebab mengikut kesesuaian keperluan negara, dua lagi aspek ditambah iaitu perpaduan dan ekuiti (KPM, 2012).

III) Langkah 3: Intervensi Strategi dan aktiviti

Penyusunan strategi dan aktiviti secara berkesan untuk mencapai objektif dan target yang disasarkan membolehkan sesuatu pelan diimplementasikan dengan baik menurut UNESCO (2001).

Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia (2012), terdapat tiga tahap pelaksanaan bagi setiap strategi dalam setiap aspirasi sistem pendidikan negara yang disenaraikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025. Malah, setiap strategi yang disusun melibatkan pelbagai bentuk program dan aktiviti yang berkesan untuk mencapai target menurut Kementerian Pelajaran Malaysia (2012). Penyusunan strategi secara berkesan adalah untuk mencapai aspirasi negara yang dihasratkan menjelang tahun 2020 (KPM, 2012).

IV) Langkah 4: Implementasi Pelan

Dalam ‘Guide to Implementation Planning’ yang disediakan oleh Department of the Australia Prime Minister and Cabinet (2012), implimentasi pelan merupakan proses untuk menentukan cara polisi atau pelan dilaksanakan oleh kementerian setelah penilaian dibuat terhadap maklum balas yang diperolehi.

Menurut UNESCO (2001), implementasi pelan dilihat kepada proses pelan dihasilkan dan diwartakan secara rasmi oleh negara. Bagi langkah implementasi Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025, Kementerian Pelajaran Malaysia masih menjalankan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan dalam menilai laporan awal yang disediakan.

(6)

57 V) Langkah 5: Mekanisma Pengawasan

Langkah ini diterjemahkan sebagai pengawasan maklum balas maklumat menurut kertas kerja UNESCO (2001). Maklum balas maklumat yang diterima ialah semasa proses mengimplimentasikan pelan yang dibangunkan (UNESCO, 2001). Tambahan lagi, UNESCO (2001) menerangkan langkah ini adalah penting untuk meninjau kesesuaian pelan dan mengubah mengikut keperluan semasa.

VI) Penilaian Pelan

Pelan dinilai dari segi pencapaian objektif dan target yang dinyatakan secara kuantitaif dan kualitatif adalah penting dalam langkah ini (UNESCO, 2001). Penilaian pelan juga dinilai melalui penghasilan pencapaian yang dijangka dan kesan terhadap kumpulan yang disasarkan serta keberkesanan peruntukkan perbelanjaan sumber kewangan dalam pelan tersebut.

Strategi yang dirancang akan dinilai dan diagnosis semula sekiranya tidak mencapai matlamat. Oleh itu, proses perancangan merupakan satu proses yang berterusan, keperihatinan diberi bukan hanya pencapaian matlamat tetapi lebih meluas kepada cara untuk mencapai matlamat dengan penggunaan jalan yang terbaik seperti yang dinyatakan dalam penulisan ‘What is Educational Planning?’ oleh Coombs (1970).

PROSES PERANCANGAN PENDIDIKAN KE ARAH KUALITI

PENDIDIKAN

Dalin (1970) dalam ‘Planning For Change in Education’ mengatakan perancangan bermatlamat untuk membawa perubahan dalam pendidikan ke arah kualiti. Ini selaras dengan tesis PH.D yang dihasilkan oleh Kim (1973) mengatakan bahawa perancangan sebagai alat untuk mengubah sosial atau pembangunan nasional. Perancangan menurut Kim (1973) sebagai persediaan untuk masa depan dan sebagai instrumen untuk perubahan. Tambahan lagi, Dalin (1970) telah menekankan pembangunan tanpa satu hala tuju dan target tidak akan membawa sebarang hasil.

(7)

58

Hussey (1982) menyatakan perancangan adalah lebih daripada hanya menghasilkan pelan, sebaliknya menekankan kepada produk yang dihasilkan. Penjelasan yang diberi oleh Dalin (1970), Kim (1973) dan Hussey (1982) menyedarkan kita bahawa satu perancangan pendidikan yang holistik dengan bermatlamat harus dibentuk untuk menuju ke arah pembentukan modal manusia berkualiti yang penghujung matlamat ialah membawa kepada pertumbuhan ekonomi dan penjanaan pendapatan per kapital yang tinggi.

Kepentingan pendidikan yang diterangkan oleh Chew et al. (1972) ialah aspek kecekapan dan latihan yang diperolehi sebagai sebahagian daripada harta seseorang dan masyarakat secara amnya. Petridou et al. (2004) menyokong dengan mengemukan kenyataan bahawa pendidikan boleh menyumbang kepada kekayaan aset dan masyarakat akan memperbaiki kualiti pendidikan dan sistem latihan supaya boleh menambah nilai terhadap aset tersebut.

Namun, kertas Petridou et al. (2004) lebih menumpukan kepada proses perancangan dalam komponen pengurusan organisasi pendidikan dalam menghasilkan kualiti pendidikan. Memandangkan sistem pendidikan mempunyai banyak tujuan dan komponen menurut Kellaghan et al. (2001), masalah pengukuran kualiti pendidikan akan wujud sekiranya hanya menumpukan kepada pengukuran salah satu komponen sahaja. Antara komponen yang dijelaskan oleh Kellaghan et al. (2001) adalah seperti infrastruktur, pembinaan bangunan, pentadbiran, latihan guru, pengajaran atau pencapaian pelajar dan setiap satu komponen adalah saling berkaitan dan akan memberi kesan sekiranya berlaku kekurangan salah salah satu komponen yang disebut.

Perkataan kualiti pendidikan sering disebut dalam pelbagai bentuk perdebatan isu yang berkaitan dengan pendidikan tetapi tiada satu definisi yang rasmi bagi merujuk kepada kualiti pendidikan menurut Kellaghan et al. (2001). Kellaghan et al. (2001) menerangkan bahawa pada sekitar tahun 90-an, konsep umum kualiti pendidikan biasanya merujuk kepada ketepatan dan kesesuaian sesuatu objek atau proses pencapaian sesuatu yang diingini mengikut standard yang ditetapkan. Di

(8)

59 negara seperti Amerika syarikat telah banyak menggunakan konsep standard dalam mengukur kualiti.

Dalam pendidikan, konsep standard tidak terhad kepada pengukuran satu komponen sahaja dalam menentukan kualiti keseluruhan sistem pendidikan. Komponen lain seperti yang telah diterangkan sebelumnya ini perlu diukur mengikut standard untuk menunjukkan kualiti sistem pendidikan (Kim, 1973; Kellaghan et al., 2001). Konsep kualiti pendidikan dilihat lebih luas oleh Pigozzi (2006) berdasarkan kepada hubungan kerelevenan pendidikan dengan dunia moden. Malah, Pigozzi (2006) turut menekankan bahawa kepentingan kualiti pendidikan tidak boleh dipisahkan daripada pembentukan polisi awam. Ini dapat dilihat melalui usaha pembentukan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 mempunyai unsur yang berintegrasi dengan polisi awam Malaysia iaitu Rancangan Malaysia ke-10, 2011-2015 (JPM, 2011). Dalam Rancangan Malaysia ke-10, hasrat kerajaan dalam membangunkan modal manusia bertaraf dunia diterjemahkan melalui perancangan pendidikan yang holistik (KPM, 2012).

UNESCO (2001) telah memberi penerangan bahawa terdapat beberapa komponen umum yang dianalisis dalam sistem pendidikan untuk penghasilan pendidikan berkualiti termasuk kualiti input yang disediakan, kualiti tempat yang menjalankan proses untuk transformasi input ke dalam penghasilan matlamat, kualiti dalam hasil yang diperolehi oleh pelajar.

Komponen umum yang diterangkan dalam UNESCO (2001) telah ditransformasikan ke dalam Aspirasi sistem pendidikan yang dihasratkan untuk dicapai menjelang tahun 2020 (KPM, 2012) melalui Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 yang dirancang. Dalam laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 (KPM, 2012), keputusan peperiksaan awam dan pusat menunjukkan trend peningkatan secara berterusan tetapi ia tidak boleh dijadikan dalam pengukuran kualiti pendidikan akibat perubahan sosial dan ekonomi global. Ini adalah selaras dengan pandangan konsep kualiti yang dijelaskan oleh Pigozzi (2006) yang berdasarkan kerelevenan sistem pendidikan dengan dunia moden. Maka, KPM (2012) telah menetapkan kualiti keberhasilan pendidikan dibuktikan melalui satu

(9)

60

perbandingan antara sistem pendidikan dengan tanda aras antarabangsa khusunya dalam pentaksiran TIMSS dan PISA. Malaysia berhasrat bahawa semua pelajar berpeluang untuk memperolehi pendidikan berkualiti selaras dengan prinsip Pendidikan Untuk Semua (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2012) serta dapat mencapai prestasi yang hebat mengikut tanda aras standard antarabangsa.

KEBERHASILAN MODAL MANUSIA BERKUALITI MELALUI KUALITI PENDIDIKAN

Modal manusia didefinisi oleh Abu Sufian (2004) merupakan bentuk pengetahuan, kemahiran serta tahap kecekapan yang dimiliki oleh seseorang individu. Pengetahuan dan kemahiran serta kecekapan seseorang individu diperolehi melalui penyertaan atau enrolmen dalam sistem persekolahan menurut beliau.

Namun, pada tahun 2007, Hanusek et al. melalui Pertubuhan Bank Dunia telah mengkaji semula dalam hal penyertaan dalam sistem persekolahan yang membawa kepada pertumbuhan ekonomi. Hasil kajian Hanusek et al. (2007) mendapati hanya bergantung kepada penyertaan atau enrolmen dalam sistem persekolahan tidak menjamin dalam pertumbuhan ekonomi negara. Ini turut dijelaskan oleh Kim (1973) bahawa terdapat dua konsep yang berlainan dalam mengukur pembangunan pendidikan iaitu konsep kuantiti dan kualiti. Konsep kuantiti merujuk kepada kadar enrolmen atau penyertaan, literasi dan kadar keciciran dan pengulangan. Sebaliknya konsep kualiti melihat kepada cara perubahan sistem pendidikan diadaptasikan dan releven kepada perubahan dunia luar supaya menjadi lebih berkesan (Kim, 1973; Pigozzi, 2006).

Penggunaan konsep kuantiti adalah tidak cukup untuk menghasilkan modal manusia yang berkompetitif selaras dengan perubahan global. Perubahan pendidikan kepada aspek kualiti, hasil daripada perancangan yang bermatlamat diperlukan seperti yang diterangkan oleh Dalin (1970). Tambahan lagi, untuk pertumbuhan ekonomi yang berterusan menurut Hanusek et al. (2007), perlu melihat kepada faktor penyediaan kualiti pendidikan yang boleh meningkatkan kemahiran kognitif kepada modal manusia. Kajian empirikal perbandingan antarabangsa yang dijalankan oleh

(10)

61 Hanusek et al. (2007) menunjukkan kekurangan modal manusia yang berkemahiran kognitif di negara sedang membangun hasil daripada enrolmen dan penyertaan dalam persekolahan. Hanusek et al. (2007) telah memberi cadangan bahawa untuk mengurangkan jurang antara negara membangun dengan negara sedang membangun dalam penghasilan modal manusia yang berkemahiran kognitif perlu terlebih dahulu mengubah institusi sistem persekolahan termasuk penyediaan sekolah berkualiti dan guru berkualiti. Ini kerana kualiti guru mempunyai kesan yang hebat terhadap hasil pembelajaran pelajar dan kemahiran kognitif dapat diperkembangkan di sekolah yang berkualiti melalui tambahan nilai-nilai dan budaya menurut Hanusek et al. (2007).

Memandangkan aspek kualiti pendidikan dalam penghasilan modal manusia yang berkualiti penting selaras dengan perubahan sosial dan ekonomi global, Malaysia telah merancang dengan teliti dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 dengan bertujuan melakukan transformasi ke atas sistem pendidikan untuk melahirkan modal manusia yang berkompetitif dengan dunia luar (KPM, 2012). Beberapa intervensi strategi telah digariskan dalam Laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025, antaranya seperti memperbaiki kualiti input dalam sistem pendidikan, kualiti tempat yang menjalankan proses untuk transform input tersebut ke dalam penghasilan keputusan dan kualiti dalam hasil yang diperolehi oleh pelajar seperti perolehan pengetahuan, kemahiran dan nilai serta sikap (KPM, 2012).

Strategi yang digariskan untuk memperbaiki kualiti input sistem pendidikan termasuk kelayakan guru, infrastuktur pendidikan, kurikulum dan bahan pembelajaran (KPM, 2012). Strategi memperbaiki kelayakan guru melalui memartabatkan profesion perguruan dengan penetapan standard ke program latihan perguruan serta menekankan kepada latihan praperkhidmatan dan semasa perkhidmatan (KPM, 2012). Strategi ini bukan sesuatu yang baru, malah strategi ini telahpun digariskan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 (KPM, 2006). Memandangkan kualiti guru memberi kesan yang hebat terhadap pembelajaran pelajar seperti yang diterangkan oleh Hanusek et al. (2007), maka

(11)

62

Malaysia memberi tumpuan lebih dalam menyediakan guru berkualiti dalam penghasilan modal manusia berkualiti. Strategi memartabatkan profesion guru mendapat pujian dalam penulisan Mohsin et al. (2012) semasa mensyorkan rangka kerja sistem pendidikan di Malaysia dan Singapura sebagai panduan kepada negara Bangladesh untuk meningkatkan kualiti institusi pengajian tinggi.

Kementerian Pelajaran Malaysia (2012) berhasrat memperbaiki sistem pendidikan ke arah penyediaan pendidikan berkualiti untuk menghasilkan modal manusia yang berdaya saingan dengan dunia luar adalah selaras dengan pendapat Pigozzi (2006) yang melihat konsep kualiti pendidikan melalui kerelevenan dengan dunia luar.

Dalam abad ke-21 memperlihatkan keperluan modal manusia berkebolehan dan berkemahiran tinggi selaras dengan perkembangan dan kemajuan teknologi (Zainal Abidin, 1993). Menurut Kalayei (2012) menjelang abad ke-21, satu konsep baru telah wujud yang berkaitan dengan ekonomi iaitu ‘K-ekonomi’ (Knowledge

Ekonomi) yang memerlukan modal manusia dilengkapi dengan pelbagai kemahiran

khasnya dalam bidang teknologi. Penekanan yang diberi oleh Kalayei (2012) semasa beliau mengkaji institusi sistem pendidikan tinggi di Turkish ialah dalam pembangunan ICT pendidikan. ICT dalam pendidikan telah diaplikasi di sekolah United Kingdom seawal tahun 1980-an menurut Hall (2010) dan kerajaan secara rasminya mengumumkan penggunaan ICT secara meluas di sekolah mulai sekitar tahun 1997. Selaras dengan itu, Malaysia telah mengambil langkah transformasi ICT dalam sistem pendidikan dalam menghadapi perubahan global bagi meningkatkan pemikiran aras tinggi dalam proses penghasilan modal manusia yang berkualiti (KPM, 2012). Integrasi ICT dalam pendidikan membolehkan pembelajaran dijalankan melalui internet, kursus secara atas talian, atau universiti terbuka dan secara tidak langsung dapat menghidupkan perkembangan ekonomi menurut Kalayei (2012).

(12)

63 KUALITI MODAL MANUSIA DALAM PERTUMBUHAN EKONOMI DAN PENDAPATAN PER KAPITA

Menurut teori pertumbuhan ekonomi yang dibawa oleh Romer (1994) iaitu Teori

Endogenous Growth yang menerangkan pertumbuhan ekonomi adalah akibat

daripada faktor endogenus dan bukannya faktor external. Menurut Romer (1994) lagi, sumbangan signifikan dalam pelaburan modal manusia, inovasi dan pengetahuan sebagai faktor endogenous membawa kepada pertumbuhan ekonomi. Ini kemudiannya membawa kepada banyak kajian dalam mengukur pertumbuhan ekonomi melalui perspektif Romer (1994) terutamanya dari segi pelaburan dalam pembangunan modal manusia.

Baharom et al. (2009) menerangkan modal manusia dinamik yang memiliki pengetahuan dan nilai yang tinggi mampu mengerakkan sumber pengeluaran yang terhad. Keperluan pelaburan kerajaan dalam menyediakan modal manusia yang berpengetahuan dan mempunyai kompetensi bersesuaian dengan keperluan industri penting dalam membangunkan modal manusia yang dinamik. Hubungan perbelanjaan dalam modal manusia terhadap perkembangan ekonomi telah dikaji oleh Gopalakrishna et al. (2012). Hubungan yang positif diperolehi antara perkembangan ekonomi dengan perbelanjaan modal manusia semasa Gopalakrishna et al. (2012) mengkaji bukti empirikal data di negeri-negeri India.

Kajian tentang hubungan perbelanjaan pendidikan (Musai et al., 2011) dan kepentingan modal manusia (Ghalandarzhi et al., 2012) dengan pertumbuhan ekonomi melalui model Endogenous Growth telah dijalankan menggunakan data Statistik di Iran. Terdapat hubungan yang signifikan dan positif antara perbelanjaan pendidikan dan modal manusia dengan pertumbuhan ekonomi. Musai dan rakan-rakan (2011) telah menekankan pembentukan modal fizikal dan modal manusia sebagai pengukuran kepada pertumbuhan ekonomi dan Ghalandarzhi et al. (2012) mengatakan pertumbuhan ekonomi berlaku dengan syarat struktur ekonomi dalam negara mampu memasukkan modal manusia yang berkemahiran dalam bidang aktiviti yang berkaitan.

(13)

64

Menurut kajian analisis yang dibuat oleh UNESCO (2011), Malaysia merupakan antara negara yang memperuntukkan perbelanjaan tinggi dalam sektor pendidikan daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan pembangunan negara. Ini dapat dilihat melalui jadual 1.

____________________________________________________________________ ____

Jadual 1 : Perbelanjaan Dan Peruntukkan Pembangunan untuk Setiap Peringkat Pendidikan, 2001-2010

(RM juta)

Peringkat pendidikan RMKe-8 RMKe-9

Perbelanjaan Perbelanjaan Prasekolah 215.7 807.3 Rendah 5,369.3 4,837.3 Menengah 8,748.1 6,792.8 Tinggi/Tertiari 13,403.9 16,069.0

Dipetik dan diubahsuai dari Rancangan Malaysia Kesembilan 2006-2010.

Perbelanjaan yang tinggi dalam membangunkan modal manusia mempunyai kaitan dengan pendekatan Kadar Pulangan (Rate of Return) yang digunakan dalam melihat sektor pendidikan (KPM, 2012). Malaysia berhasrat mewujudkan satu sistem pendidikan yang dapat memaksimumkan keberhasilan pelajar bagi setiap wang ringgit yang dibelanjakan (KPM, 2012). Ini selaras dengan Conrad (2011) yang mengatakan penglibatan kerajaan dalam pembangunan modal manusia merupakan salah satu indikator kualiti pendidikan

Conrad (2011) telah melihat kepada kesan setiap peringkat pendidikan terhadap pertumbuhan ekonomi di empat negara di Carribean iaitu di Barbados, Guyana, Jamaicai dan Trinidad. Conrad (2011) mendapati pendidikan pada peringkat asas (rendah) mempunyai kesan negatif terhadap tingkat output di negara tersebut. Sebaliknya pada peringkat Advance (menengah dan tinggi) menyumbang secara

(14)

65 positif dan signifikan terhadap keluaran negara. Conrad (2011) turut menjelaskan modal manusia pada peringkat Advance (menengah dan tinggi) memiliki kemahiran kognitif dan ini membolehkan firma menggabungkan modal manusia dan modal fizikal dalam menjana output yang lebih tinggi.

Jadual 2 menunjukkan taburan penyerapan tenaga buruh dalam linkungan umur 15-64 mengikut tahun dan peringkat pencapaian pendidikan.

____________________________________________________________________ ____

Jadual 2 : Taburan Peratus Tenaga Buruh berumur 15-64 tahun Mengikut Tahun dan Pencapaian Pendidikan

Peringkat pencapaian pendidikan Tahun

2005 (%) 2008 (%) 2010 (%)

Tiada pendidikan rasmi 4.6 4.4 3.6

Rendah 20.5 18.3 16.5

Menengah 55.7 56.1 55.7

Tertiari 19.2 21.2 24.2

Jumlah (%) 100 100 100

Dipetik dan diubahsuai dari Jabatan Perangkaan Malaysia pelbagai siri tahun.

Daripada jadual di atas, data penyerapan tenaga buruh mengikut tahun 2005, 2008 dan 2010 digunakan untuk membuat perbandingan secara siri masa. Pada peringkat tiada pendidikan rasmi dan pendidikan rendah, data menunjukkan trend penurunan daripada tahun 2005 ke 2010. Untuk peringkat pendidikan menengah, peratusan penyerapan tenaga buruh dari peringkat ini mencatatkan peratus paling tinggi dan data menunjukkan trend yang stabil dari tahun 2005 sehingga tahun 2010. Sebaliknya, terdapat peningkatan yang ketara dilihat dalam peringkat pendidikan tertiari akibat penambahan perbelanjaan kerajaan yang tinggi dalam Rancangan Malaysia ke-sembilan terhadap peringkat pendidikan tertiari.

(15)

66

Kajian telah dilakukan oleh Meulememeester et al. (1995) ke atas enam buah negara membangun iaitu Perancis, Jepun, Sweeden, United Kingdom, Australia dan Itali untuk menerangkan hubungan antara pertumbuhan dan output per kapital dengan pendidikan tinggi melalui ujian casuality. Hasil dapatan Meulememeester et al. (1995) bahawa pendidikan tinggi merupakan syarat untuk ekonomi berkembang dan perlu dibantu dengan faktor lain-lain seperti kemajuan teknologi yang diterajui oleh graduan lulusan pendidikan tertiari yang dilahirkan melalui sistem pendidikan. Ini selaras dengan hasil kajian Tarmizi (2010) yang mengatakan modal manusia berperanan sebagai input dalam pengeluaran dan penentu perkembangan teknologi semasa menyumbang dalam pertumbuhan ekonomi.

Giziene et al. (2012) dan Kiss (2012) telah melihat pelaburan modal manusia melalui perspektif individu iaitu penggunaan pendekatan kadar pulangan (Rate Of

Return) dalam menilai pelaburan modal manusia terhadap pulangan dari segi

pendapatan yang diterima oleh individu. Kajian Giziene et al. (2012) mendapati keberkesanan pelaburan dalam pendidikan bertahap kolej adalah lebih rendah berbanding dengan tahap universiti. Bersesuaian dengan kajian Kiss (2012) dalam melihat data empirikal di negara Hungary mendapati pelaburan pendidikan pada tahap yang tinggi menghasilkan pulangan yang tinggi kepada individu.

Jadual 3 menunjukkan perbandingan antara negara terpilih dari segi pendapatan per kapital dan index harga pengguna mengikut tahun 2005 sebagai tahun asas serta penyerapan tenaga buruh mengikut peringkat pendidikan pada tahun 2008. Negara Amerika Syarikat, Belgium, Kanada, Singapura dan New Zealand dipilih dalam kertas ini untuk membuat perbandingan kerana negara tersebut merupakan antara negara yang mempunyai peratus penyertaan tenaga buruh pada tahap pendidikan peringkat tertiari yang tinggi.

Daripada jadual 3, Amerika Syarikat mempunyai peratus penyerapan tenaga buruh pada peringkat tertiari yang paling tinggi dan mempunyai pencapaian pendapatan per kapital yang tinggi dengan kadar peningkatan inflasi sebanyak 10.25% (2005=100). Ini diikuti dengan negara Belgium, Kanada, Singapura dan New

(16)

67 Zealand. Ini selaras dengan hasil kajian Meulememeester et al. (1995) dan Conrad (2011) yang mengatakan pendidikan tinggi dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan seterusnya memberi pulangan kepada individu dari segi pendapatan (Giziene et al., 2012; Kiss, 2012).

Jadual 3 : Perbandingan antara negara mengikut peratus penyerapan tenaga buruh mengikut peringkat pendidikan, Pendapatan Per Kapital dan

Index Harga Pengguna (2005 = 100) pada tahun 2008

Negara terpilih

Peratus pemyerapan tenaga buruh mengikut peringkat pendidikan

Pendapatan Per Kapital (mengikut US Dolar Semasa) Index Harga Pengguna (2005 = 100) Tiada pendidikan dan Rendah (%) Menengah (%) Tertiari (%) Amerika Syarikat 9.00 28.80 62.20 46, 759.56 110.25 Belgium 22.80 40.70 36.50 47, 375.82 108.30 Kanada 13.50 40.00 46.50 45, 099.61 106.65 Singapura 24.30 49.90 25.80 34, 465.48 109.86 New Zealand 22.60 41.20 36.20 30, 611.35 110.01 Malaysia 22.70 56.10 21.20 8, 099.20 111.46 Indonesia 70.60 22.30 7.10 2, 171.70 132.12

Sumber: Statistik Data Bank Dunia dan U.S Bureau of Labor Statistics Malaysia masih mencatatkan peratus penyerapan tenaga buruh pada peringkat tertiari yang agak rendah berbanding dengan negara yang tersenarai dalam jadual. Untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan pendapatan per kapital mengikut Meulememeester et al. (1995) dan Conrad (2011), Malaysia perlu bergiat aktif dalam meningkatkan peratus tenaga buruh pada peringkat tertiari melalui sistem pendidikan yang dirangka. Ini adalah bertepatan dengan huraian yang diberi oleh Dalin (1970) dan Kim (1973) mengatakan perancangan diperlukan untuk pendidikan berubah ke arah kualiti.

(17)

68

KESIMPULAN

Kertas ini melihat pertumbuhan ekonomi melalui perspektif perancangan pendidikan. Satu perancangan pendidikan yang bermatlamat dan visi seperti yang dikatakan oleh Dalin (1970) dan Kim (1973) dapat mengubah sosial dan pembangunan negara dan seterusnya membawa kepada penjanaan pendapatan yang tinggi.

Perancangan pendidikan menjadi rangka asas dalam penyediaan pendidikan yang berkualiti. Pendidikan telah dijadikan medium untuk individu memperoleh kemahiran dan kecekapan seperti yang dikatakan oleh Chew et al. (1972). Kemahiran dan kecekapan yang dimiliki oleh seseorang individu tersebut akan disumbang semula dalam penjanaan pertumbuhan ekonomi (Curle, 1969). Pertumbuhan ekonomi negara yang tinggi mampu meraihkan pulangan kepada individu tersebut dalam bentuk pendapatan yang tinggi selaras dengan pendekatan Kadar Pulangan (Rate of Return).

Hubungan perancangan pendidikan dengan pertumbuhan adalah diaplikasikan kepada semua negara termasuk Malaysia. Dengan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil langkah yang berhati-hati dalam menggubal Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 dengan melibatkan maklum balas semua pihak berkepentingan sebelum diimplemantasikan. Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 merupakan rangka kerja asas bagi Malaysia untuk pembangunan negara melalui aspek pendidikan yang berkualiti. Penghasilan modal manusia yang berkompetitif global merupakan aspirasi kerajaan melalui sistem pendidikan yang disediakan. Ini kerana modal manusia yang berkemahiran tinggi serta berkualiti dapat menggerakkan pertumbuhan ekonomi.

(18)

69 RUJUKAN:

Abu Sufian Abu Bakar & Anizah Md. Ali. 2004. Kepentingan Modal Sosial dalam Pertumbuhan Ekonomi. International Journal of Management Studies. 11: 197- 212.

Australian Government: Department of The Prime Minister and Cabinet. 2012.

Guide to Implimentation Planning.

Baharom Mohammad & Mohammad Johdi Salleh. 2009. Pembangunan Modal Insan Sebagai Satu Pelaburan Penting dalam Konteks Pembinaan Negara.

Prosiding ‘Seminar Pembangunan Modal Insan 2009’. Hlm: 1-17.

Bank Dunia. 2008. Statistics of World Bank. Diperolehi pada 3 December 2012 di laman web http://www.databank.worldbank.org

Birley, Derek. 1972. Planning and Education. USA: Routledge & Kegan Paul Ltd. Chew, S.B. & Isahak Haron. 1972. Sumbangan Pendidikan dalam Pembangunan

Ekonomi. Masalah Pendidikan. 3(7): 64-75.

Curle, A. 1969. The Professional Identity of The Educational Planner. Paris: UNESCO.

Conrad, Daren A. 2011. The Level-Specific Effects of Education on Economic Growth: Evidence From Four Caribbean Countries. Journal of Developing

Areas. 45(1): 279-290.

Coombs P.H. 1970. What is Educational Planning?. Paris: UNESCO.

Dalin, P. 1970. Planning for Change in Education: Qualitative Aspects of Educational Planning. International Review of Education. 16(4): 436-450.

Diez-Hochleitner, R. 1964. Educational Planning. Economic and Social Aspects of Educational Planning. Paris: UNESCO.

Faludi, Andreas. 1978. Essays on Planning Theory and Education. Pergamon Press. Ghalandarzehi, Keramat & Safdarie, Mehdie. 2012. Role and Status od Educated Human Resourses (Human Capital) on Economic Growth of Iran.

International Journal of Business and Social Science. 3(11): 164-172.

Giziene, V., Simanaviciene, Z. & Palekiene, O. 2012. Evaluation of Investment in Human Capital Economical Effectiveness. Engineering Economics. 23(2): 106- 116.

Gopalakrishna, B.V. & Rao, Jayaprakash. 2012. Economic Growth & Human Development: The Experience of Indian States. The Indian Journal of

Industrial Relations. 47(4): 634-644.

Hall, David. 2010. The ICT Handbook for Primary Teachers ‘A Guide for Students

(19)

70

Hanushek, E.A. & Wobmann, L. 2007. The Role of Education Quality in Economic

Growth. The World Bank Policy Working Paper.

Hussey, D.E. 1982. Corporate Planning Theory and Practice. Second ed. British Library Cataloguing.

Jabatan Perangkaan Malaysia. 2006. Bank Data Negeri/Daerah. Jabatan Perangkaan Malaysia. 2009. Bank Data Negeri/Daerah. Jabatan Perangkaan Malaysia. 2011. Bank Data Negeri/Daerah.

Jabatan Perdana Menteri. 2006. Rancangan Malaysia ke Sembilan 2006-2010. Jabatan Perdana Menteri. 2011. Rancangan Malaysia ke Sepuluh 2011-2015.

Kalayei, Elif. 2012. A Look at the Turkish Higher Education System from the Institutional Economics Point of View. International Journal of Business and

Social Science. 3(2): 202-209.

Kellaghan, T. & Greaney, V. 2001. Using Assessment to Improve the Quality of

Education. Paris: UNESCO.

Khattak, Naeem Ur Rehman & Khan, Jangraiz. 2012. The Contribution of Education To Economic Growth: Evidence From Pakistan. International Journal of

Business and Social Science. 3(4): 145-151.

Kim, Jin Eun. 1973. An Analysis of The National Planning Process for Educational

Development in the Republic of Korea, 1945-70. Tesis PH.D. Universiti of

Wisconsin.

Kiss, J.T. 2012. The Rate of Return to Investment in Tertiary Education in Hungary, 1999-2008. International Journal of Business and Social Science. 3(12): 197-203.

Kementerian Pelajaran Malaysia. 2006. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan

2006- 2010.

Kementerian Pelajaran Malaysia. 2012. Laporan Awal Pelan Pembangunan

Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Meulememeester, J.D. & Rochat, D. 1995. A Causality Analyses of the Link Between Higher Education and Economic Development. Economics of

Education Review. 14(4): 351-361.

Mohsin, M. & Kamal M.A. 2012. Managing Quality Higher Education in Bangladesh: Lessons From the Singaporean and Malaysian Strategies and Reforms. International Journal of Business and Management. 7(20): 59-70

Musai, M., Mehrara, M., Fakhr, S. G. 2011. Relationship between Education and Economic Growth (International Comparison). European Journal of

(20)

71 Petridou, Engenia & Chatzipanagiotou, Paraskevi. 2004. The Planning process in Managing Organisations of Continuing Education: The Case of Greek Vocational Training Institutions. International Journal of Education Management. 18(4): 215-223.

Pigozzi, M.J. 2006. What is the ‘Quality of Education’? (A UNESCO Perspective). Paris: UNESCO.

Romer, P.M. 1994. The Origins of Endogenous Growth. Journal of Economic

Perspectives. 8(1): 3-22.

Tarmizi Abbas. 2010. Modal Manusia dan Pertumbuhan Ekonomi. Jurnal E-Mabis

FE- Unimal. 11(3): 1-11.

Tsamadias, Constantinos & Prontzas, Panagiotis. 2012. The Effect of Education on Economic Growth in Greece Over the 1960-2000 Period. Education

Economics. 20(5): 522-537.

UNESCO. 2001. Planning Guide: Southeast and East Asia. Bangkok: UNESCO. UNESCO. 2005. Implementing National EFA Plans: Handbook for Decentralized

Education Planning. Bangkok: UNESCO.

UNESCO. 2010. Strategic Planning: Techniques and methods, Education Sector

Planning Working Paper. Bangkok: UNESCO.

UNESCO. 2011. Secondary Education Regional Information Base: Country Profile

Malaysia. Bangkok: UNESCO.

United States. 2008. U.S. Bureau of Labour Statistics. Diperolehi pada 5 December 2012 di laman web http://www.bls.gov/cps/wif-databook-2010.pdf

Zainal Abidin Abd Rashid. 1993. Pembangunan Ekonomi Ke Arah Mencapai Wawasan 2020. Seminar Pendidikan ‘Kurikulum Ke Arah Wawasan 2020’. Hlm: 8-16.

Referensi

Dokumen terkait