31
Faktor Kesukaran Pelajar Melayu dalam Mengenalpasti Bunyi Huruf-huruf Arab
Malay Students Difficulty in Discriminating Arabic Sounds
Nazratul Aini Ramli1
ABSTRAK
Kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur sangat penting dalam pemerolehan bahasa khususnya bahasa ketiga. Kemahiran mendengar yang bagus akan membolehkan pelajar bertutur dengan baik. Kajian lepas telah membuktikan pelajar Melayu lemah dalam mengenalpasti bunyi huruf Arab. Justeru, objektif kajian ini adalah merumus faktor kesukaran pelajar Melayu untuk mengenalpasti bunyi huruf Arab. Hasil kajian ini memberi maklumat kepada guru bahasa Arab untuk memanfaatkan dan mencari penyelesaian supaya pelajar mampu membezakan bunyi huruf Arab. Kajian ini berbentuk kajian lapangan. Data kajian dikumpul melalui temu bual telefon. Data kemudiannya dianalisis menggunakan perisian Atlas Ti.
Peserta kajian adalah pelajar Melayu yang telah lengkap satu semester mempelajari Bahasa Arab tahap satu di Universiti Putra Malaysia. Peserta kajian seramai lima pelajar ini tidak mempunyai pendidikan bahasa Arab atau fonetik sebelum ini.
Peserta kajian dipilih berdasarkan teknik persampelan bertujuan. Mereka terdiri daripada pelajar yang mengakui mempunyai masalah dalam membezakan huruf Arab. Hasil analisis temu bual mendapati bahawa terdapat lima faktor yang menyumbang kepada kesukaran pelajar Melayu mengenalpasti bunyi huruf arab.
Faktor pertama adalah pengaruh bahasa pertama keatas bahasa kedua. Faktor kedua, pertembungan antara dua dialek dalam satu bahasa. Seterusnya, faktor psikologi. Kemudian, gangguan bunyi huruf yang hampir sama dalam dua bahasa.
Akhir sekali faktor ekstralinguistik juga memberi kesan kepada kelemahan pelajar.
Kata kunci: Kesukaran, mendiskriminasi, bunyi huruf Arab
ABSTRACT
Listening and speaking skills are very important in language acquisition especially in third language. Effective listening skills related to better performance in speech production. Past research showed that Malay students have weakness in identify Arabic sound. Thus, this research attempt to investigate weakness factors among Malay students in identifying Arabic sound. Result of this study may help Arabic educators in differenciate Arabic sound to students. The study employs a qualitative data. Data was collected through telephone interviews. Data was analysed using
1 Nazratul Aini Ramli, Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi Mara Dungun, [email protected]
32
Atlas Ti. Participant were five Malay students which has been completed Arabic Language course level 1 in Universiti Putra Malaysia. All five participants do not have any Arabic and phonetics background. They were chosen by using purposive sampling technique to who confessed to have problem in discriminating Arabic sounds. The result showed that factors that influenced the malay students in identifying Arabic sound are influence of first language on the second language, clash between two dialects in a language, psychology interference, competition between two similar categories in a language and extra-linguistic factors.
Keywords: Difficulty, discrimination, Arabic sound
Pendahuluan
Pembelajaran bahasa dapat dicapai dengan empat kemahiran asas iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Bahasa asing akan mula didengar, kemudian berlaku proses komunikasi dua hala melalui kemahiran bertutur. Kemahiran membaca penting untuk menambah kosa kata yang bakal digunakan. Akhir sekali kemahiran menulis dilatih untuk memantapkan kemahiran berbahasa. (M.C.
Kailasapathy, 1984)
Kesukaran pelajar menguasai kemahiran yang paling asas iaitu mendengar akan memberi kesan kepada proses pembelajaran. Antara subtopik kecil yang sering dilupakan adalah dalam mengenalpasti bunyi huruf Arab. Sebagaimana kajian Nadwah & Nadhilah (2014) yang mengkaji masalah pertuturan pelajar dalam kelas Arab. Pelajar menghadapi masalah dalam aktiviti individu. Pada masa yang sama, aktiviti berkumpulan sangat membantu. Manakala Ahmad Fared & Mohammad Seman (2017) pula mengaplikasikan Strategi Penguasaan Sebutan (SPS) Segmental dan Suprasegmental kepada pelajar. Hasil kajian mendapati pelajar lemah dalam bertutur Bahasa Arab namun strategi yang diaplikasikan itu mampu membantu.
Majdan (2013) menemui masalah pelajar apabila bunyi huruf Ḥā’ di akhir kata tidak kedengaran dan huruf ʿAyn pula kedengaran seperti huruf hamzah. Ini menunjukkan pelajar menghadapi masalah mengenalpasti bunyi huruf. Kedudukan huruf di awal dan diakhir kata juga mempengaruhi sebutan pelajar. Sebutan yang tidak jelas memberi kesan kepada pelajar yang mendengar. Akibat terbiasa mendengar sebutan yang tidak jelas, mendatangkan masalah mengenalpasti bunyi pula.
Kajian sebelum ini berjaya mengaplikasikan strategi sebutan kepada pelajar dan mengetahui huruf-huruf yang sukar. Namun, penjelasan terperinci berkaitan faktor yang menyukarkan pelajar belum diteroka. Justeru, satu kajian bagi mengenalpasti faktor kesukaran pelajar Melayu dalam mengenalpasti bunyi huruf Arab perlu dilaksanakan ke atas pelajar Melayu.
33 Sorotan Literatur
Kemahiran Mendengar
Mendengar merupakan satu daripada unsur komunikasi yang tertua, terpenting, dan paling kerap digunakan. Mendengar dan bercakap perlu lebih dahulu diutamakan berbanding membaca dan menulis. Prinsip ini menjadi asas yang penting dalam pengajaran bahasa yang mengutamakan pendekatan kemahiran mendengar (M.C.
Kailasapathy, 1984). Terdapat pelbagai takrif bagi mendengar menurut pendapat sarjana bahasa. Antaranya, memahami kata-kata dan memberi perhatian kepada apa yang didengari dan suatu seni dalam penyampaian bahasa kepada telinga dalam keadaan sedar (al-Hāshimīy, 2005). 'Abd al-Bārī’ (2011) menjelaskan kemahiran mendengar memerlukan tindak balas orang yang berkata-kata. Tindak balas ini dapat diperolehi melalui pertemuan bersemuka dan perbualan atas talian.
Dalam konteks komunikasi lisan, kedua-dua penutur dan pendengar harus mempunyai kemahiran masing-masing dalam bentuk yang sempurna. Ini bermakna, si penutur harus boleh bercakap dengan jelas, terang, sebutan-sebutannya betul, kemas dan berupaya menggunakan intonasi dan gaya yang tepat. Bagi si pendengar pula, dia haruslah boleh mendiskriminasikan bunyi-bunyi ucapan, mendengar dengan tajam dan memahamkan sekali ucapan-ucapan yang didengarnya. Selepas itu dia boleh bertindak balas daripada apa yang didengarnya. (Kamaruddin, 1999).
Penguasaan sesuatu bahasa melibatkan dua peringkat pembelajaran, iaitu pengeluaran (production) dan pengenalan (recognition). Kedua-dua elemen ini mesti dianggap sebagai yang berasingan apabila digunakan pada peringkat awal pengajaran dan pembelajaran bahasa. Namun, kedua-dua peringkat perlu bertindak balas antara satu sama lain dan tidak boleh dipisahkan dalam masa yang sama.
Dalam mempelajari bahasa, mendengar dengan jelas sahaja tidak membolehkan seseorang itu berkebolehan. Akan tetapi, pendengar hendaklah dengar dan faham akan kelainan dalam bahasa itu dan mampu membezakan sebutan pasangan huruf yang hampir sama dengan berkesan. Di samping itu mereka harus juga dapat mengenal huruf, alofon dan aspek-aspek suprasegmental yang lain yang mampu memberi makna berbeza dari makna asal. (Nazratul Aini, 2016).
Aspek vokal panjang dan pendek juga sering diambil mudah oleh penutur melayu. Penutur melayu telah mempunyai pengetahuan tentang vokal bahasa Arab yang bersifat panjang dan pendek. Sebutan vokal mengikut panjang atau pendek ini mampu membezakan makna perkataan. Penutur Melayu adakalanya tidak dapat membezakan dan menyebut vokal Arab dengan betul kerana padanan vokal berkenaan disebut secara pendek sahaja dalam bahasa Melayu. (Mohd Azidan, 2004).
Kelemahan Pelajar dalam Mengenalpasti dan Menyebut
Nadwah & Nadhilah (2014) membuktikan bahawa kesukaran dalam berbahasa Arab telah membantutkan keupayaan pelajar dalam aktiviti yang memerlukan kemahiran bertutur. Perkara paling asas dalam mengenalpasti bunyi bahasa adalah mengenalpasti
34
bunyi huruf. Pelajar Melayu lemah untuk membezakan bunyi huruf yang hampir sama.
Kajian Sabariah (2011) yang meneliti kesukaran saudara baru menyebut huruf Arab mendapati bahawa terdapat beberapa huruf yang sukar disebut oleh saudara baru. masalah ini biasanya berlaku kepada orang yang baru mula belajar sesuatu bahasa. Huruf-huruf yang berada pada makhraj kerongkong antara huruf yang sukar disebut oleh saudara baru. Hal ini kerana huruf di bahagian kerongkong iaitu Ghayn, 'Ayn, Hā’ dan Ḥā’ tidak terdapat dalam bahasa ibunda mereka.
Kesalahan yang amat kerap dilakukan oleh pelajar melibatkan vokal panjang dan kedudukan hamzah. Seterusnya kesilapan mendengar bunyi huruf yang hampir samaturut menimbulkan kekeliruan kepada pelajar ketika menyalin semula perkataan yang didengar. (Naimah Abdullah, 1995).
Kajian Mohamad Nasir (2001) mendapati bahawa kesilapan mengenal pasti sifat huruf dan makhraj adalah kesilapan yang sering dilakukan oleh pelajar Melayu.
Kajian ini dijalankan berdasarkan ujian bacaan Al-Quran oleh dua kumpulan pelajar, iaitu pelajar yang kerap terdedah dengan Al-Quran dan pelajar yang kurang masa pendedahan dengan Al-Quran. Dapatan menunjukkan pelajar keliru dalam mengenali makhraj dan sifat huruf `Ayn, Ẓā’, Qāf dan Kāf di mana kesukaran kerap dialami oleh pelajar kumpulan kedua yang kurang masa terdedah dengan Al-Quran. Selain itu, terdapat 100 peratus kesilapan bertukar huruf yang dilakukan oleh pelajar kumpulan kedua. Tambahan lagi, purata kesilapan bagi setiap pelajar adalah sebanyak tiga kali kesilapan. Kajian mendapati pelajar sendiri tiada usaha untuk memperbaiki keterampilan dalam membaca al-Quran khususnya kekeliruan huruf-huruf yang hamper sama. Penguasaan pelajar dalam membaca Al-Quran mempengaruhi penguasaan pelajar dalam mata pelajaran bahasa Arab. Justeru, kajian ini berpendapat semakin banyak pendedahan Al-Quran kepada para pelajar, semakin lancar dan kurang kesilapan pelajar.
Kajian Ahmad Zulfadhli et. al (2017) mendapati kesilapan sebutan pelajar disebabkan oleh anggota percakapan mereka. Ia terjadi apabila lidah sudah sebati dengan sebutan biasa. Malah, pembelajaran bahasa Arab bertambah sukar apabila pelajar meningkat dewasa disebabkan oleh kesebatian anggota percakapan dengan bahasa pertama.
Apabila sesuatu bahasa asing diserap masuk, maka sistem fonologi bahasa asing ini akan bertembung dengan sistem fonologi bahasa sasaran. Mohd Zulkifli (2015) telah menyenaraikan dua bentuk gejala fonologi akibat pertembungan yang berlaku. Pertama, kata pinjaman akan berubah dan mengalami penyesuaian menurut sistem fonologi bahasa Melayu dan kedua, kata pinjaman itu akan mengekalkan bentuk asalnya menurut sistem fonologi bahasa sumber.
Proses peminjaman kata Arab ke dalam bahasa Melayu, telah memberi kesan ke atas bunyi perkataan Arab. Beberapa perkataan Arab yang dipinjam akan melalui beberapa proses penyesuaian seperti pengguguran satu daripada dua huruf yang sama dan penggantian dengan huruf lain. Penggantian huruf dengan huruf yang lain berlaku kerana terdapat beberapa konsonan Arab tidak mempunyai konsonan yang sepadan
35
dalam bahasa Melayu. Ia kemudiannya ditukar kepada konsonan yang paling hampir dalam bahasa Melayu (Pabiyah & Che Radiah, 2010).
Contoh kata pinjaman Arab yang digunakan dalam bahasa Melayu adalah perkataan kaedah. Sebutan asal dari bahasa Arab adalah qā'idat. Sebutan ini disesuaikan dengan konsonan yang paling hampir dalam bahasa Melayu. Kesannya, apabila pelajar menemui perkataan ini dalam bahasa Arab, pelajar sukar menyebut dengan sebutan yang betul dan tetap menyebut sebagaimana sebutan dalam bahasa Melayu.
Che Radiah dan Norhayuza (2011) menyatakan bahawa kebiasaan pelajar dengan sebutan bahasa ibunda membuatkan pelajar keliru dan sukar untuk menyebut perkataan Arab dengan tepat. Masalah ini seterusnya mengganggu kelancaran dalam menguasai aspek makna dan tatabahasa semasa mempelajari bahasa Arab. Gangguan ini juga lebih ketara kepada perkataan Arab yang dimelayukan sehingga pelajar terbawa-bawa dengan sebutan Melayu dari pertuturan harian mereka.
Pada masa yang sama, pelajar akan menghadapi kesukaran dalam aspek fonologi Arab antaranya kesilapan membezakan dua huruf yang bersifat tebal dan nipis serta kesilapan menyebut bunyi vokal pendek dan panjang (Mohd Zulkifli, 2015).
Hubungan Kemahiran Bertutur dengan Mendengar
Bertutur dalam suatu bahasa yang asing dan tidak menjadi kelaziman adalah sukar kerana bahasa tersebut belum dapat dikuasai. Apabila pelajar mempelajari bahasa kedua, guru tidak boleh membiarkan mereka menghasilkan sebutan-sebutan bahasa sasaran secara automatik. Sebaliknya, guru perlu memandu pelajar secara sedar (melalui aktiviti latih tubi) menggunakan alat-alat pertuturan mereka bagi menghasilkan sebutan-sebutan bahasa yang baru mereka pelajari itu.
Menurut Chew & Othman (2008), mendengar dan bertutur merupakan satu daripada unsur komunikasi yang tertua, terpenting dan paling kerap digunakan. Akan tetapi, kedua-dua kemahiran ini tidak diberi perhatian sebaiknya. Sebagaimana kanak- kanak, kemahiran yang paling awal mereka kuasai adalah mendengar dan bertutur.
Didapati bayi mula memperoleh bahasa secara sengaja atau tidak sengaja melalui bunyi bahasa yang mereka dengari.
Kemahiran bertutur pula dikatakan dapat dikuasai selepas menguasai kemahiran mendengar kerana kedua-dua kemahiran lisan ini mempunyai korelasi antara satu dengan yang lain. Hal ini kerana, jika seseorang kanak-kanak itu tidak berjaya menguasai kemahiran mendengar bermakna dia tidak dapat mengetahui tentang bahasa yang digunakan. Sekali imbas, dapat ditafsirkan kemahiran bertutur sebagai kegiatan melafazkan bunyi-bunyi yang dilahirkan daripada alat sebutan (artikulator) manusia (Siti Nur Fazhiha, 2017).
36 Metodologi
Kajian ini menggunakan metodologi kualitatif melalui instrumen teknik temu bual.
Menurut Best dan Kahn (2003), kaedah ini memerlukan penemuramah yang menjalankan temu bual secara terperinci berdasarkan garis panduan yang ditetapkan.
Apa yang disebutkan oleh peserta kajian merupakan data penting kajian. Kelebihan temu bual adalah penemu bual boleh menerangkan dengan jelas tujuan kajian dan jenis maklumat yang diinginkan.
Pengkaji telah memilih sesi temu bual secara semi struktur bagi mendapatkan maklumat dan pandangan dengan lebih terperinci berkaitan kesukaran dan permasalahan huruf Arab dalam kalangan pelajar. Temu bual dijalankan melalui telefon. Menurut Chua (2011), antara kekuatan temu bual telefon ialah mendapat jumlah peserta kajian yang tinggi, cepat mendapat data, pengkaji dapat menjelaskan jawapan yang kabur dan peserta kajian lebih relaks.
Populasi kajian ini adalah pelajar di Universiti Putra Malaysia yang mengambil subjek bahasa Arab sebagai bahasa asing. Peserta kajian merupakan pelajar yang mengikuti kelas kemahiran bahasa Arab tahap satu. Ujian saringan melibatkan 33 pelajar daripada populasi keseluruhan 250 orang pelajar. Hasil saringan mendapati terdapat 11 orang pelajar yang mengakui mempunyai masalah dalam membezakan huruf Arab. Seterusnya, lima orang pelajar dipilih berdasarkan teknik persampelan bertujuan. Lima pelajar ini tidak mempunyai pendidikan bahasa Arab atau fonetik sebelum ini. Menurut Connaway & Powell (2010), teknik persampelan bertujuan hanya memerlukan saiz sampel yang kecil tetapi mampu memberikan maklumat yang terperinci dan mendalam. Pelajar tersebut ditemu bual bagi menghuraikan sebab pelajar Melayu tidak dapat mengenal pasti huruf Arab. Temu janji mengenai waktu yang sesuai untuk peserta kajian ditemu bual dikenal pasti terlebih dahulu sebelum temu bual sebenar dijalankan.
Temu bual ini mengambil masa selama 20 minit bagi setiap sesi yang hanya mewakili seorang peserta kajian. Setiap soalan telah dikemukakan kepada peserta kajian secara santai dan mereka bebas menjawabnya mengikut apa cara sekalipun.
Perbualan temu bual dirakam seterusnya dianalisis secara kualitatif. Dapatan temu bual kemudiannya disalin dalam bentuk transkripsi langsung bagi memudahkan proses analisis data. Selepas itu, dapatan dianalisis menggunakan perisian Atlas.ti versi 7.
Selepas itu, proses pengekodan data temu bual dijalankan dengan menyenaraikan kesemua faktor kesukaran pelajar Melayu mengenal pasti huruf Arab. Berdasarkan kod-kod yang telah dibina, pengkaji seterusnya membina kategori. Proses pembinaan kategori merupakan proses mencerakinkan data dengan mengelompokkan kod-kod yang telah dibina untuk dijadikan kategori (Renata, 1990). Pengkaji telah mengubahsuai dan seterusnya mengaplikasikan faktor-faktor gangguan bunyi dalam sebutan bahasa kedua oleh Mohd. Azidan (2004), Weinreich (1953) dan Dulay et al.
(1982). Kod yang telah dibina dipadankan mengikut kategori yang sesuai.
37 Dapatan Kajian dan Perbincangan
Objektif kajian ini adalah untuk merumuskan faktor kesukaran pelajar Melayu dalam mengenal pasti huruf-huruf Arab. Data adalah hasil temu bual yang dijalankan bagi mengetahui faktor kesukaran peserta kajian mengenal pasti bunyi huruf Arab.
Setelah temu bual dijalankan, data disalin dalam bentuk transkripsi langsung dan dapatan bagi faktor pelajar Melayu tidak dapat mengenal pasti huruf Arab disenaraikan seperti rajah 1 berikut.
Rajah 1 di atas menunjukkan respons peserta kajian terhadap faktor kesukaran mengenal pasti bunyi huruf Arab. Dapatan ini kemudiannya dianalisis dengan mengaplikasikan faktor gangguan bahasa oleh Mohd. Azidan (2004), Weinreich (1953) dan Dulay et al. (1982) yang telah diubahsuai. Faktor gangguan bunyi dalam sebutan Bahasa Kedua adalah seperti rajah 2 di bawah.
Rajah 2: Gangguan bunyi dalam sebutan Bahasa Kedua Mohd Azidan, (2004) Weinreich (1953) dan Dulay et al. (1982)
Bahasa Pertama mempengaruhi Bahasa Kedua
Pertembungan antara dua dialek dalam satu bahasa
Gangguan psikologi (pengaruh kebiasaan)
Faktor tambahan: ekstra linguistik Bunyi yang hampir sama Rajah 1: Faktor kesukaran pelajar mengenalpasti huruf Arab
berdasarkan temu bual
Keliru sebutan hampir sama Keliru sebutan orang lain Pengaruh Bahasa Pertama
Tidak memahami sebutan penutur jati Pengaruh dialek
Keliru apabila huruf sukar berada ditengah kata Mengalami kekeliruan apabila ada penambahan
Kurang memahami makhraj Kurang terdedah dengan huruf Arab
Tidak berminat dengan Bahasa Arab
38
Berpandukan rajah 2 di atas, lima faktor telah dikategorikan sebagai gangguan bunyi Melayu dalam sebutan Arab adalah pengaruh bahasa pertama ke atas bahasa kedua, pertembungan antara dua dialek dalam satu bahasa, gangguan psikologi, bunyi yang hampir sama dan faktor linguistik sebagai faktor tambahan. Kesemua kategori tersebut dibincangkan seperti berikut:
Pengaruh Bahasa Pertama ke atas Bahasa Kedua
Bahasa yang paling awal didengari dan dipelajari oleh manusia disebut sebagai Bahasa Pertama. Ia juga dikenali sebagai Bahasa Ibunda. Bahasa Pertama menjadi bahasa penghubung antara seseorang manusia dengan orang lain sejak lahir. Namun, pelajar yang mempelajari Bahasa Kedua sukar membezakan dan kerap terbawa-bawa bahasa pertama. Ini terbukti dengan kata-kata peserta kajian yang memberitahu bahawa mereka terkesan dengan bahasa Melayu ketika mempelajari bahasa Arab.
“Sebabnya macam kalau dalam bahasa Melayu kan, Dhāl dengan Zāy tu mcm /z/ kan” (R1/U18).
“Tu lah ada keliru sikit. Kalau macam Zāy dengan /z/, dia kan macam sama sikit kan.” (R2/U39).
“Ghayn kan tak ada dalam bahasa Melayu, Ghayn susah sikit la”. (R2/U42).
Ketiga-tiga kenyataan di atas menjadikan pengaruh bahasa pertama adalah faktor utama yang menyukarkan pembelajaran Bahasa Kedua.
Pertembungan antara dua dialek dalam satu bahasa
Dialek atau loghat setempat di Malaysia berbeza mengikut kedudukan geografi.
Dialek ini digunakan oleh masyarakat untuk berinteraksi dengan orang sekeliling.
Apabila penutur dialek ini bertutur dalam bahasa Arab, bunyi sebutan Arab, bunyi dialek itu masih wujud dan itu sukar untuk difahami oleh pelajar lain dari dialek lain.
Kesukaran ini turut dinyatakan oleh peserta kajian kajian.
“Kalau kita melihat huruf tu mungkin tak ada masalah.
Masalah bila mendengar. Sebab bila kita dengar, setiap orang bunyi loghat berbeza-beza, macam dari Kelantan tu susah nak faham sikit. Kedah lain sikit. kalau dia sebut boleh betul-betul boleh fahamlah”. (R2/U24).
“Sebab ada kaitan dengan loghat negeri lah, kat Malaysia ni kan banyak kaum kan, ni loghat dari negeri-negeri lain”.
(R2/U82).
Berpandukan kata-kata responden dapat disimpulkan bahawa dialek setempat memberi kesan kepada pelajar Melayu dalam mempelajari bahasa Arab. Pelajar bahasa Arab yang datang dari pelbagai negeri masih terbawa-bawa dialek masing- masing. Pendengar yang mempunyai dialek berbeza pula menghadapi kesukaran dalam memahami sebutan perkataan yang diujarkan oleh penutur dari tempat lain.
39
Justeru, adalah penting bagi penutur Melayu menyebut huruf Arab dan berkomunikasi dalam bahasa Arab dengan tepat dan bebas dari pengaruh dialek khususnya kepada para pengajar bahasa Arab supaya pelajar dapat memahami pelajaran dengan baik.
Gangguan Psikologi
Gangguan psikologi merujuk kepada bunyi sebutan yang tidak tepat tetapi telah menjadi kebiasaan kepada pelajar. Hal ini berlaku apabila wujudnya salah faham bahasa sebutan yang mereka biasa dengar itu betul. Kesannya, pelajar berasa asing dengan sebutan yang sebenar daripada penutur jati.
“N: Contoh kalau dengar org Arab cakap boleh beza tak?
R: Org Arab boleh, tapi sesetengah Arab tak boleh faham juga, sebab kadang terlalu dalam sangat. Ade sekali tu tak faham langsung sebab terlalu pekat”. (R2/U25).
“R: Sebab jarang baca jawi kot. Jawi, bahasa Arab ni. jarang guna huruf ni. Bukan huruf ʿAyn je, huruf-huruf lain juga.
N: Antara sebab lain kenapa huruf ʿAyn, huruf lain pun kenapa susah nak beza?
R: Jarang guna, jarang baca, jarang buat latihan, jarang terdedah dengan tulisan tu.” (R3/U26).
“Orang Arab tak faham terus. Sebab tak biasa kan. Sebab baru first time belajar, masa sekolah dulu tak pernah belajar pun”.
(R3/U40).
“Perkataan yang dia cakap tu ke... Boleh-boleh tapi kalau dia suruh saya tulis saya tak boleh. Saya boleh dengar je. Saya tak tahu ada alif ke, baris mana, boleh cam tapi nak tulis susah tak tau”. (R5/U)
Kenyataan di atas menunjukkan kurangnya latihan dan pendedahan pelajar dalam mendengar pertuturan yang diujarkan dalam bahasa Arab. Mereka hanya terdedah kepada aktiviti pembelajaran dalam kelas. Tambahan pula, pembelajaran bahasa Arab yang berlaku juga diajar oleh pengajar bukan Arab. Kesannya, apabila pertama kali mendengar sebutan penutur jati, pelajar sukar memahaminya. Pelajar sering berpendapat penutur Arab bertutur dengan terlalu pekat, namun hakikatnya pelajar yang tidak lazim dengan sebutan Arab sebenar. Sebutan penutur jati adalah jelas.
Namun disebabkan hal itu bukan kebiasaan bagi pelajar Melayu, pelajar menganggapnya asing dan sukar difahami.
Gangguan bunyi yang hampir sama
Gangguan bunyi yang hampir sama ini disebabkan oleh kedua-dua bunyi yang didengari mempunyai makhraj yang berhampiran. Selain itu, faktor persamaan sifat huruf juga membuatkan kedua-dua bunyi huruf itu hampir sama. Namun, sekiranya pelajar memahami cara pengeluaran huruf dengan baik, pelajar tidak akan terganggu dengan bunyi yang hampir sama kerana pelajar dapat mengenal pasti perbezaan antara kedua-dua bunyi yang didengar.
40
“Sebab cam bila saya dengar Sebab bila baca Quran, sebutan tu tak sure betul ke yang ni macam ni, sebutan yang ni mcm ni…sebab dua dua tu macam hampir sama je”. (R1/U6).
“Macam takde beza tu kalau dengar orang Arab sebut ke cakap tu ape beza dia.. kalau dengar sebutan lain tapi macam sama je.. camtu lah”. (R1/U20).
“Sebab yang bermasalah huruf yang sama jelah. Huruf yang sama je bermasalah, Ḥā’ dengan Hā’, Ẓā’ dengan Zay.”
(R3/U10).
Kecelaruan ini berpunca daripada kurangnya latihan dan usaha pelajar itu sendiri. Selain itu, temu bual turut mendapati permasalahan pelajar dalam mendengar dan bertutur. Hal ini kerana pelajar mampu menguasai aspek sebutan dengan baik apabila berupaya menyebut dengan tepat. Walau bagaimanapun, mereka didapati bermasalah dalam mengenal pasti sebutan yang diujarkan oleh orang lain. Beberapa peserta kajian menyatakan kekeliruan yang mereka hadapi apabila sukar memahami sebutan orang lain.
N: “kalau contoh dengar ada ustaz atau ustazah mengajar atau dengar org Arab bercakap boleh tau ke itu huruf Dhāl ke Zāy?
R: Tak tak. Tak boleh”. (R1/U7).
“Oh Ḥā’ pun masalah juga, Ḥā’ kan dia ada Hā’ yang gulung tu dengan Ḥā’ macam Jīm tu. Tu pun susah juga nak beza.
Kalau sebutan tu, kalau kita sebut sendiri kita fahamlah, boleh beza lah. Kalau dengar orang lain sebut takleh beza tu Hā’
gulung ke Ḥā’ yang macam Jīm tu”. (R1/U34).
“Ooh huruf dia macam yang saya cakap tadi la. Yang Ḥā’
dengan Hā’ tu. Sebab sekarang ni banyak orang yang tak sebut betul-betul Ḥā’ dengan Hā’ berbeza bunyi dia. Orang banyak yang keliru sebab sebutan dia tak betul sangat mungkin dari sebutan orang tu sendiri”. (R2/U10).
Faktor Ekstra linguistik
Selain itu, hasil temu bual turut mendapati bahawa pelajar mempunyai fikiran negatif terhadap bahasa Arab. Hal ini dipamerkan melalui kurangnya minat, kesungguhan, kurang bersemangat, mengambil mudah, dan persepsi negatif dalam diri pelajar. Hal ini dapat dilihat dalam kenyataan peserta kajian:
“Dah kurang minat dah. Dulu minat sekarang tak berapa minat sangat dah sebab macam susah je, dah cerewet lah, dah kalau mcm anta anti tu adalah certain-certain grammar”. (R1/U28).
“Jarang guna, jarang baca, jarang buat latihan, jarang terdedah dengan tulisan tu..”. (R3/U29).
41
Sikap pelajar yang kurang bermotivasi dan mengambil mudah ini merosakkan prestasi mereka dalam mempelajari bahasa Arab. Pelajar diharap mengambil inisiatif untuk kembali cemerlang dan bersemangat mempelajari bahasa Arab.
Kesimpulan
Guru dan tenaga pengajar Bahasa Arab hendaklah peka dengan perkembangan pembelajaran dan pengajaran Bahasa Arab kini. Ahmad Fared & Mohamad Seman (2019) menganjurkan supaya penggunaan Strategi Pembelajaran Sebutan (SPS) dalam proses pembelajaran dan pengajaran kemahiran bertutur BA perlu diberi perhatian sewajarnya. Dapatan kajiannya menunjukkan respon yang baik daripada pelajar.
Kemahiran mengenalpasti huruf Arab ini bukan sahaja penting untuk kemahiran mendengar, bahkan mampu memperbaiki pertuturan pelajar. Ini pastinya dapat menaikkan semangat pelajar yang mempelajari Bahasa Arab untuk mampu berkomunikasi dengan lebih cemerlang dalam Bahasa Arab.
Rujukan
ʿAbd al-Bāri, Māhir Sha`bān. (2011). Mahārāt al-Istimā` al-Nāshiṭ. 'Amman: Dār al- Masirah.
Ahmad Fared Mohd Din & Mohammad Seman. (2019). Meningkatkan Kemahiran Bertutur Bahasa Arab Melalui Strategi Penguasaan Sebutan. International Online Journal of Language, Communication, and Humanities, 2(1), 85-99.
Ahmad Zulfadhli Nokman, Azman Che Mat, Ahmad Fakrulazizi Abu Bakar, Nor Shaifura Musilehat, & Ahmad Nazuki@Marzuki Yaakub. (2017). Kesilapan Sebutan Bahasa Arab Dalam Kalangan Bukan Penutur Jati. E-Academia Journal, 6(1).
Al-Hāshimīy, 'Abd al-Rahman 'Abd Ali. (2005). Tadrīs maharat al-istima' min manẓur waqi'i. Amman: Dar al-Manāhij.
Best, J.W & Kahn, J.V. (2003). Research in Education. Boston: Allyn and Bacon.
Che Radiah Mezah & Nurhayuza Mohammad. (2011). Pengajaran dan Pembelajaran Kosa Kata Arab: Teori & Aplikasi. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.
Chew Fong Peng & Abdul Jalil Othman. (2008). Pengabaian Kemahiran Mendengar dan Bertutur dalam Bilik Darjah di Sekolah Menengah: Punca, Masalah dan Kesannya di Malaysia. Sosiohumanika 1(1). 167–192.
Chua Yan Piaw. (2011). Kaedah dan Statistik Penyelidikan. Buku 1. Kaedah Penyelidikan. Kuala Lumpur. Mc Graw Hill Education (Malaysia) Sdn. Bhd.
Connaway, Lynn Silipigni, & Powell, R. Ronald. (2010). Basic research methods for librarians. Santa Barbara, Calif: Libraries Unlimited.
Dulay Heidi, Marina Burt & Stephen Krashen. (1982). Language Two. New York:
Oxford University Press.
42
Kamaruddin Hj. Husin. (1999). Pengajaran Lisan Kemahiran Mendengar dan Bertutur. Kuala Lumpur, Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
M.C. Kailasapathy. (1984). Kaedah Pengajaran Bahasa. Asmah Haji Omar (ed).
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Majdan Paharal Radzi. (2013). Kemahiran Sebutan Huruf dan Penyampaian dalam Debat Bahasa Arab Pelajar Universiti. Tesis Sarjana. Universiti Putra Malaysia.
Mohamad Nasir Mohamad Hasbullah. (2001). Analisis Kesilapan Sebutan Bahasa Al- Quran di Kalangan Pelajar Sekolah Menengah. Tesis Sarjana. Universiti Malaya.
Mohd Azidan Abdul Jabar. (2004). Gangguan Bunyi Melayu dalam Sebutan Arab:
Satu Analisis Ringkas. Pertanika Jurnal of Social Sciences & Humanities. 12 (2) 101-110.
Mohd Zulkifli bin Mohd Saman. (2015). Perbezaan bentuk Tulisan Arab dan Jawi bagi Kata Pinjaman dalam Pembelajaran Bahasa Arab. Tesis Sarjana.
Universiti Putra Malaysia.
Nadwah Daud & Nadhilah Abdul Pisal. (2014). Permasalahan pertuturan dalam bahasa Arab sebagai bahasa kedua. GEMA: Online Journal of Language Studies, 14 (1). pp. 117-133.
Naimah Abdullah. (1995). Masalah ejaan Arab di kalangan pelajar Melayu. Tesis Sarjana. Universiti Malaya.
Nazratul Aini Binti Ramli, Che Radiah Binti Mezah, & Yap Ngee Thai. (2016).
Penguasaan Pelajar Melayu Terhadap Tekanan Suara Menyebut Perkataan Arab Dari Sudut Intensiti. Jurnal Kemanusiaan, 25(1), 110–123.
Pabiyah Hajimaming & Che Radiah Mezah. (2010). Penekanan Aspek Semantik Kata Pinjaman Arab dalam Bahasa Melayu Semasa Pengajaran Bahasa Arab.
Pengajaran Bahasa Arab Himpunan Pedoman Buat Guru dan Bakal Guru Siri 1. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.
Renata, T. (1990). Qualitative Research: Analysis Types & Softwere Tools. London : The Falmer Press.
Sabariah Binti Othman. (2011). Masalah Penyebutan Huruf Al-Qur’an Di Kalangan Saudara Baru: Satu Kajian Kes. Tesis sarjana. Universiti Malaya.
Siti Nur Fahdziha Mohd Noor. (2017). Kerangka Bagi Mereka Bentuk Pakej Pembelajaran Mobile Untuk Pembelajaran Bahasa Inggeris (Kemahiran Mendengar Dan Bertutur). Masters Thesis, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
Weinreich, U. (1953). Languages in Contact. The Hague: Mouton.