• Tidak ada hasil yang ditemukan

Tahap Kebolehan Membaca Kanak-kanak Orang Asli Di Prasekolah (Reading Ability Of Aboriginal Children In Preschool)

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2021

Membagikan "Tahap Kebolehan Membaca Kanak-kanak Orang Asli Di Prasekolah (Reading Ability Of Aboriginal Children In Preschool)"

Copied!
15
0
0

Teks penuh

(1)

292

Tahap Kebolehan Membaca Kanak-kanak Orang Asli Di

Prasekolah

(Reading Ability Of Aboriginal Children In Preschool)

Mohd Zafaren Bin Zakaria & Hasnah Toran

________________________________________________________________

ABSTRAK

Kajian ini bertujuan mengetahui tahap kebolehan membaca kanak-kanak Orang Asli di Prasekolah Sekolah Kebangsaan RPS Kemar, Gerik, Perak. yang berumur 6 tahun. Kajian kualitatif ini menggunakan reka bentuk pemerhatian berdasarkan kriteria-kriteria kebolehan membaca dalam Modul Teras Asas Bahasa Malaysia – Bahagian Pembangunan Kurikulum dan temu bual dengan dua orang guru prasekolah. Ujian membaca dijalankan selama empat bulan iaitu dari bulan Jun hingga ke bulan September mengikut kriteria 1 iaitu mengenal huruf vokal dan konsonan, kriteria 2 iaitu membaca suku kata mudah, konsonan + vokal (KV), vokal + konsonan + vokal (VKV) dan konsonan + vokal + konsonan (KVK), kriteria 3 iaitu membaca suku kata konsonan + vokal + konsonan + vokal (KVKV) dan konsonan + vokal + konsonan + vokal + konsonan (KVKVK). Manakala, kriteria 4 tentang kemahiran membaca ayat atau teks bacaan yang ringkas dan mudah. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak Orang Asli di prasekolah berada pada tahap lemah dalam aspek kebolehan membaca bahan Bahasa Melayu. Dapatan kajian ini memberi implikasi kepada kemahiran membaca kanak Orang Asli, kesediaan guru, implikasi kepada kanak-kanak Orang Asli di prasekolah dan implikasi kepada kurikulum pengajaran membaca. Untuk meningkatkan kebolehan membaca kanak-kanak Orang Asli, pihak yang terbabit perlulah membangunkan modul bercetak, pembangunan perisian modul multimedia dan program intervensi membaca prasekolah yang mampu untuk menarik minat kanak-kanak membaca sejajar dengan matlamat kerajaan mencapai negara maju.

Kata Kunci: kebolehan membaca, modul bacaan, prasekolah.

___________________________________________________________________________ 1.Pengenalan

Peringkat prasekolah merupakan peringkat yang sesuai untuk membina asas membaca. Dasar semasa Kementerian untuk sokongan pemulihan jelas menyatakan bahawa mana-mana murid

_______________________________

Correesponding author: +6017-9594500, E-mel : [email protected]

(2)

293

yang menghadapi masalah untuk menguasai kemahiran membaca, menulis, dan mengira mesti menerima bantuan yang sewajarnya bagi membolehkan mereka berada di platform yang sama dengan rakan sebaya (Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025).

Penguasaan membaca dalam kalangan kanak-kanak ini sangat penting kerana apabila mereka sudah menguasai kemahiran membaca, maka mereka dengan mudah boleh memahami dan membaca setiap ayat yang dipaparkan kepada mereka. Kanak-kanak prasekolah yang bermasalah dalam kemahiran membaca perlu diberi program intervensi awal sebelum masuk ke alam persekolahan yang sebenar. Kajian-kajian awal juga menyatakan bahawa kesediaan membaca kanak-kanak bermula awal sebelum pendidikan formal (Bradley & Doolittle, 2005 ; dan Bryant & Bernier, 2003). Gregory (1998) menyatakan bahawa terdapat pertalian yang rapat antara perkembangan bahasa kanak-kanak dengan perkembangan kognitifnya. Punca kegagalan kanak-kanak dalam pelajaran berkait rapat dengan kegagalan mereka menguasai kemahiran membaca. Oleh itu, kajian berkenaan tahap kebolehan membaca kanak-kanak Orang Asli di prasekolah ini perlu dilakukan untuk mewujudkan kesediaan dan keupayaan mereka agar dapat menguasai kemahiran membaca dengan baik sama seperti kanak-kanak yang lain.

2.Latar Belakang Kajian

Kerajaan menyediakan dana untuk prasekolah dan program awal kanak-kanak berusia tiga hingga lima tahun daripada keluarga berpendapatan rendah untuk menyokong pembangunan kemahiran pra-membaca. Ramai kini mengakui bahawa kemahiran membaca dan menulis diajar sebelum kanak-kanak memasuki alam persekolahan. Masalah membaca kanak-kanak dapat dikurangkan sekiranya pengajaran membaca bermula dari awal lagi (Blaustein, 2005; Watkins & Bunce, 1996;. Whitehurst et al, 1994). Menyokong pembangunan kemahiran awal literasi dalam kanak-kanak prasekolah dijangka membawa kepada pembaca masa depan yang lebih berjaya (Early Literacy Panel, 2005; IRA & NAEYC, 1998).

Pendedahan kepada aspek pendidikan perlu ditekankan kepada kanak-kanak Orang Asli di prasekolah. Menguasai kemahiran membaca dapat mengubah nasib keluarga mereka dengan pendidikan yang tinggi seterusnya meningkatkan taraf kehidupan mereka. Kanak-kanak yang belajar membaca ketika masih kecil biasanya lebih cepat bertindak dan lebih

(3)

294

faham membaca berbanding kanak-kanak yang belajar membaca semasa di sekolah. (Rohani & Jamilah 1988, Safiah 1990).

3.Pernyataan masalah

Kanak-kanak Orang Asli memasuki sekolah dengan pengetahuan yang terhad dalam kemahiran membaca yang boleh membawa kepada masalah pada masa hadapan dengan membaca konvensional dan bertulis (Justice, Chow, Capellini, Flanigan, & Colton, 2003;. Whitehurst et al, 1994). Rubin Dorothy (2002) mendapati masih ramai kanak-kanak prasekolah yang tidak menguasai kemahiran membaca seperti mengenal huruf atau membaca perkataan yang mudah. penguasaan kemahiran membaca dan menulis sangat penting kepada kanak-kanak sebelum mereka melangkah masuk ke sekolah rendah (Ramlah Jantan et al. 2011).

Menurut Kamil (2003), kesukaran membaca selalunya berpunca daripada masalah sukar menghubungkaitkan aspek fonologi dengan analisis perkataan. Program-program prasekolah yang berkualiti tinggi boleh membantu kanak-kanak yang berisiko dengan menyediakan mereka dengan pengalaman literasi bermakna dalam persekitaran yang dipenuhi bahan bacaan bercetak.

4.Soalan Kajian

Persoalan kajian ini bertujuan melihat sejauh mana tahap kebolehan membaca kanak-kanak Orang Asli di prasekolah serta meninjau prestasi pembelajaran mereka semasa di sekolah. Kajian ini untuk mengetahui sejauh manakah pengetahuan asas membaca Bahasa Melayu dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli di prasekolah. Selain itu, untuk mengetahui bahan pengajaran yang paling sesuai digunakan untuk mengajar membaca kanak-kanak Orang Asli dan teknik yang sesuai untuk mengajar kanak-kanak Orang Asli membaca. Di samping itu juga untuk meninjau faktor demografi yang mempengaruhi tahap kebolehan membaca kanak-kanak Orang Asli. Akhir sekali untuk mendapatkan pandangan guru terhadap tahap membaca kanak-kanak Orang Asli di prasekolah?

5.Reka Bentuk Kajian

Reka bentuk kualitatif kajian ini merangkumi pemerhatian yang dilakukan terhadap kebolehan membaca kanak-kanak Orang Asli di Prasekolah Sekolah Kebangsaan Rancangan

(4)

295

Penempatan Semula (RPS) Kemar, Gerik, Perak . Pemerhatian dilakukan dengan senarai semak mengikut kriteria yang ingin dikaji untuk memperoleh maklumat-maklumat kajian. Selain itu, kaedah temu bual juga turut dilakukan terhadap guru-guru yang mengajar dalam kelas prasekolah tersebut. Kaedah temu bual dipilih bertujuan mendapatkan pandangan guru tersebut terhadap perkembangan kanak-kanak Orang Asli di prasekolah tentang kebolehan membaca mereka.

Modul Teras Asas Bahasa Malaysia – Bahagian Pembangunan Kurikulum 2010 digunakan sebagai instrumen kajian. Pemerhatian dilakukan dengan berpandukan senarai semak seterusnya mengumpul maklumat yang dikehendaki untuk menjawab persoalan kajian yang dibincangkan dalam Bab 1 berkaitan dengan tahap kebolehan membaca dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli di Prasekolah Sekolah Kebangsaan RPS Kemar, Gerik, Perak. Modul Teras Asas Bahasa Malaysia ini turut digunakan untuk menjawab persoalan kajian berkaitan perspektif baru mengenai cara berfikir kanak-kanak Orang Asli di prasekolah tersebut dan kaedah yang sesuai dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Reka bentuk ini dipilih kerana dapat memberikan gambaran yang kukuh tentang tahap kebolehan membaca kanak-kanak Orang Asli di prasekolah yang dikaji.

6.Peserta Kajian

Pemilihan responden dalam kajian ini menggunakan kaedah sampel bertujuan atau purposive sampling. Pengkaji menentukan sendiri sampel yang diambil mengikut pertimbangan yang tertentu dan bukan secara rawak mengikut pertimbangan-pertimbangan tertentu. Pertimbangan yang dimaksudkan dalam kajian ini ialah responden yang dipilih dapat memberikan data yang sepenuhnya tentang kajian ini. Temu bual dengan dua orang guru prasekolah yang mengajar di sekolah tersebut. Kaedah temu bual perlu dilakukan untuk mendapatkan maklumat yang lanjut mengenai responden termasuklah latar belakang responden dan tahap kebolehan membaca kanak-kanak Orang Asli yang dipilih dalam kajian ini.

7.Instrumen Kajian

Modul Teras Asas Bahasa Malaysia – Bahagian Pembangunan Kurikulum 2010 diadaptasikan ke dalam bentuk senarai semak. Dalam bahagian 1 Modul Teras Asas Bahasa

(5)

296

Malaysia – Bahagian Pembangunan Kurikulum 2010, kriteria yang akan digunakan ialah bergembira dengan huruf vokal dan huruf konsonan. Dalam bahagian 2 Modul Teras Asas Bahasa Malaysia – Bahagian Pembangunan Kurikulum 2010, kriteria yang akan digunakan ialah membaca suku kata konsonan + vokal (KV), membaca suku kata vokal + konsonan + vokal (VKV) dan membaca suku kata konsonan + vokal + konsonan (KVK). Dalam bahagian 3 Modul Teras Asas Bahasa Malaysia – Bahagian Pembangunan Kurikulum 2010, kriteria yang akan digunakan ialah membaca suku kata konsonan + vokal + konsonan + vokal (KVKV) dan membaca suku kata konsonan + vokal + konsonan + vokal + konsonan (KVKVK). Dalam bahagian 4 Modul Teras Asas Bahasa Malaysia – Bahagian Pembangunan Kurikulum 2010, kriteria yang akan digunakan ialah pengujian tahap membaca ayat ringkas mengikut aras-aras yang telah ditetapkan.

Prosedur Penganalisisan Data

Pengumpulan data dilakukan selama empat bulan bermula pada bulan Jun, Julai, Ogos dan berakhir pada bulan September. Rasional menjalankan kajian bermula pada bulan Jun ialah, responden yang terlibat telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran bersama-sama guru mereka di dalam kelas. Pengkaji juga menggunakan kad imbasan, carta huruf dan tanah liat sepanjang pengujian membaca kepada responden tersebut. Pemerhatian yang dilakukan akan dicatatkan ke dalam borang senarai semak setiap kriteria yang diuji. Aktiviti pengayaan dan pemulihan dijalankan selepas proses pengajaran dan pembelajaran membaca. Proses transkripsi dilakukan bagi merekodkan data yang diperoleh melalui temu bual. Langkah selanjutnya ialah mencari tema-tema penting yang dapat membantu dalam kajian ini.

Dapatan Kajian

TAHAP PENGUASAAN MEMBACA

(6)

297 Menyebut dan Mengenal Huruf Vokal

Kebolehan membaca responden dalam kajian ini dalam mengenal dan menyebut huruf-huruf vokal secara purata ialah sebanyak 84% iaitu pada tahap membaca yang baik. Hal ini kerana terdapat dua orang responden yang berada pada tahap lemah, tiga orang responden berada pada tahap sederhana. Manakala empat orang responden pula berada pada tahap baik dalam mengenal dan menyebut huruf-huruf vokal.

Mengenal dan Menyebut Huruf Konsonan

Kebolehan membaca responden dalam kajian ini dalam mengenal dan menyebut huruf-huruf konsonan secara purata ialah sebanyak 86% iaitu pada tahap membaca yang baik. Hal ini

BIL. RESPONDEN

VOKAL % KONSONAN % KV % KVK % VKV % KVKV % KVKVK %

ARAS 1 ARAS 2 ARAS 3 ARAS 4 ARAS 5 ARAS 6

TM BM TM BM TM BM TM BM TM BM TM BM 1. RESPONDEN 1 5/5 100 15/21 71 15/20 75 9/15 60 13/16 81 7/15 73 3/10 30       2. RESPONDEN 2 3/5 60 18/21 90 14/20 70 6/15 40 11/16 69 5/15 80 4/10 40       3. RESPONDEN 3 5/5 100 21/21 100 19/20 95 13/15 87 12/16 75 14/15 93 8/10 80       4. RESPONDEN 4 3/5 60 19/21 91 14/20 70 9/15 60 10/16 63 5/15 73 3/10 30       5. RESPONDEN 5 4/5 80 16/21 76 16/20 80 7/15 47 11/16 69 10/15 67 5/10 50       6. RESPONDEN 6 5/5 100 17/21 81 16/20 80 7/15 47 11/16 69 10/15 67 5/10 50       7. RESPONDEN 7 5/5 100 21/21 100 18/20 90 13/15 87 13/16 81 14/15 93 8/10 80       8. RESPONDEN 8 4/5 80 16/21 76 15/20 75 9/15 60 11/16 69 6/15 67 6/10 60       9. RESPONDEN 9 4/5 80 19/21 91 14/20 70 9/15 60 11/16 69 9/15 60 7/10 70       JUMLAH 38/45 = 84 % 162/189 = 86 % 141/180 = 78 % 82/135 = 61 % 103/144 = 72 % 80/135 = 59 % 49/90 = 54 % 9/9 = 100 % 9/9 = 100 % 5/9 = 56 % 4/9 = 44 % 2/9 = 29 % 2/9 = 29 %

(7)

298

kerana terdapat tiga orang responden yang berada pada tahap baik, manakala enam orang responden berada pada tahap yang amat baik.

Membaca Suku Kata Konsonan + Vokal (KV)

Kebolehan membaca responden dalam kajian ini dalam membaca suku kata KV secara purata ialah sebanyak 78% iaitu pada tahap membaca yang baik. Hal ini kerana terdapat empat orang responden yang berada pada tahap amat baik, manakala lima orang responden berada pada tahap yang baik dalam kebolehan membaca suku kata KV.

Membaca Suku Kata Konsonan + Vokal + Konsonan (KVK)

Kebolehan membaca responden dalam kajian ini dalam membaca suku kata KVK secara purata ialah sebanyak 61% iaitu pada tahap membaca yang baik. Hal ini kerana terdapat dua orang responden yang berada pada tahap amat baik, manakala empat orang responden berada pada tahap yang baik dalam kebolehan membaca suku kata KVK. Tiga orang responden lagi berada pada tahap sederhana dalam kebolehan membaca suku kata KVK.

Membaca Suku Kata Vokal + Konsonan + Vokal (VKV)

Kebolehan membaca responden dalam kajian ini dalam membaca suku kata VKV secara purata ialah sebanyak 72% iaitu pada tahap membaca yang baik. Hal ini kerana terdapat dua orang responden yang berada pada tahap amat baik, manakala tujuh orang responden lagi berada pada tahap yang baik dalam kebolehan membaca suku kata VKV.

Membaca Suku Kata Konsonan + Vokal + Konsonan + Vokal (KVKV)

Kebolehan membaca responden dalam kajian ini dalam membaca suku kata KVKV secara purata ialah sebanyak 59% iaitu pada tahap membaca yang sederhana. Hal ini kerana terdapat dua orang responden yang berada pada tahap amat baik, manakala tiga orang orang responden lagi berada pada tahap yang baik dalam kebolehan membaca suku kata KVKV. Dua orang responden mencatatkan kebolehan membaca pada tahap sederhana, manakala dua orang responden lagi berada pada tahap lemah dalam kebolehan membaca suku kata KVKV. Membaca Suku Kata Konsonan + Vokal + Konsonan + Vokal + Konsonan (KVKVK)

(8)

299

Kebolehan membaca responden dalam membaca suku kata KVKVK secara purata ialah sebanyak 54% iaitu pada tahap membaca yang sederhana. Hal ini kerana terdapat dua orang responden yang berada pada tahap amat baik, manakala dua orang responden lagi berada pada tahap yang baik dalam kebolehan membaca suku kata KVKVK. Tiga orang responden mencatatkan kebolehan membaca pada tahap sederhana, manakala dua orang responden lagi berada pada tahap lemah dalam kebolehan membaca suku kata KVKVK.

Membaca Ayat Ringkas

Kebolehan membaca responden dalam membaca ayat ringkas secara purata ialah sebanyak 29% iaitu jumlah peratusan bagi dua orang responden yang berjaya membaca kesemua aras yang diuji. Hal ini menggambarkan tahap kebolehan membaca kanak-kanak Orang Asli dalam kajian ini sangat lemah secara purata.

Pandangan Guru Prasekolah

a) Tahap pengetahuan asas membaca Bahasa Melayu dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli di prasekolah.

Masalah menguasai kemahiran membaca dan menulis menjadikan murid lemah dan tidak berminat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu adalah akibat ketidakcekapan mereka menguasainya. Permasalahan membaca yang ada dalam diri responden yang dikaji adalah seperti tidak yakin untuk menyebut huruf, tidak membunyikan huruf dengan betul dan tepat, tidak dapat menyebut huruf tertentu serta sering meninggalkan huruf yang tidak diketahui dan gagal dibunyikan oleh mereka.

b) Bahan pengajaran yang paling sesuai digunakan untuk mengajar membaca kanak-kanak Orang Asli.

Bahan-bahan yang berwarna dan menarik akan membuatkan kanak-kanak ini teruja untuk belajar. Gambar binatang dan alam sekitar selalunya dapat menarik minat mereka kerana kehidupan responden dikelilingi persekitaran tersebut. Selain itu, penggunaan tanah liat

Ada boleh mengenal huruf dan boleh sebut huruf, tapi... masalah yang ada lagi mereka ni tak boleh nak sebut dengan lancar lagi. Kalau nak suruh bagi tahu memang tak boleh. (GB)

(9)

300

dalam aktiviti juga dapat menolong kanak-kanak tersebut mudah mengingat sesuatu bahan yang dibaca oleh mereka.

c) Teknik yang sesuai untuk mengajar kanak-kanak Orang Asli membaca.

Teknik bermain dan nyanyian digabungkan dalam pengajaran dan pembelajaran membaca di dalam kelas. Selain melakukan simulasi tentang sesuatu cerita, kanak-kanak Orang Asli juga dapat bermain dan menyanyi, seterusnya pembelajaran kemahiran membaca dapat diserap oleh minda mereka dengan lebih cepat. Kanak-kanak Orang Asli akan mengambil bahagian apabila disuruh melakukan simulasi di hadapan kelas dengan syarat memasukkan unsur-unsur yang dekat dengan persekitaran mereka selain watak binatang.

d) Faktor demografi yang mempengaruhi tahap kebolehan membaca kanak-kanak Orang Asli

Kanak-kanak Orang Asli yang memasuki prasekolah pada usia awal lima tahun sukar memahami arahan dan percakapan guru kerana mereka tidak didedahkan dengan bahasa Melayu sebelum melangkah masuk ke prasekolah. Tugas guru menjadi lebih sukar untuk mengajar mereka mengenal dan menyebut huruf vokal dan konsonan. Selain itu, guru juga mengalami kesukaran untuk mengajar kanak-kanak Orang Asli mengenal dan mengeja suku kata dalam bahasa Melayu. Kanak-kanak Orang Asli lebih selesa berinteraksi dalam bahasa ibunda mereka. Hal ini membuatkan mereka lambat menguasai kemahiran membaca.

Kalau bahan-bahan atau apa-apa saja yang kami guna untuk mengajar mengenal huruf mesti kena berwarna. Kalau tak mereka hanya tengok guru bukan fokus nak belajar. (GB)

Saya rasa teknik bermain dan menyanyi memang sesuai sangat dengan tahap mereka... sebab mereka boleh fokus dan seronok masa belajar dalam kelas.(GA)

Saya setuju aplikasikan bermain dan menyanyi dalam pelajaran mereka. Saya selalu buat simulasi cerita binatang-binatang sebab mereka suka selain menyeronokkan.(GB)

Mereka bertutur dalam bahasa mereka... ada ketika tu, yang baru masuk ke sekolah memang tak boleh nak faham apa yang kita cakap.(GA)

Mereka bercakap dengan kawan-kawan dalam bahasa mereka di sekolah... nak suruh mereka cakap dalam bahasa Melayu... agak susah sikit... sebab di rumah pun mereka tak cakap bahasa Melayu. (GB)

(10)

301

e) Pandangan guru terhadap tahap membaca kanak-kanak Orang Asli di prasekolah

Kanak-kanak Orang Asli masih lagi kurang memberikan tumpuan dalam pengajaran dan pembelajaran dalam kelas serta mudah lupa tentang pelajaran yang telah diajar oleh guru. Kanak-kanak Orang Asli lebih menjurus kepada bidang nyanyian dan aktiviti yang melibatkan fizikal. Aktiviti di dalam kelas juga perlu mempunyai keseimbangan antara nyanyian dan bermain supaya kanak-kanak Orang Asli dapat menyerap pengetahuan dan maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran. Bahan pengajaran yang lebih menarik perlu digubal supaya kanak-kanak Orang Asli teruja untuk membaca seterusnya dapat menguasai kemahiran membaca dengan cepat.

Implikasi Kepada Kemahiran Membaca Kanak-kanak Orang Asli

Pengajaran membaca tidak lengkap tanpa bahan dan sumber yang khusus. Hal ini kerana proses pengajaran dan pembelajaran kemahiran membaca perlu ada bahan yang sesuai dan sumber yang dekat dengan murid. Guru perlu dibekalkan bahan khusus untuk menyelaraskan proses pembelajaran membaca di sekolah yang mempunyai kanak-kanak Orang Asli selaras dengan pelaksanaan KSPK bermula pada tahun 2010. Langkah ini penting bagi memastikan semua murid prasekolah yang berbeza dalam pelbagai aspek mempunyai peluang yang sama untuk mencapai tahap kesediaan membaca yang baik sebelum masuk ke sekolah rendah. Menurut Naiman, Frohlich, Stern dan Todesco (1978), pembelajaran bahasa bukanlah semata-mata mencari teknik dan strategi yang betul tetapi juga bergantung pada faktor lain seperti personaliti, motivasi dan sikap seseorang. Gangguan daripada bahasa ibunda menjadi faktor kanak-kanak Orang Asli sukar untuk menguasai kemahiran membaca dalam Bahasa

Mereka suka sangat kalau ada aktiviti menyanyi dalam kelas. Di kampung mereka selalu ada pesta dan ada nyanyi...(GA)

Kalau suruh menyanyi memang juara la, tapi bila kita suruh baca lirik lagu tu tak boleh pula...(GB)

(11)

302

Melayu Guru sebagai pelaksana pengajaran Bahasa Malaysia memerlukan bahan dan sumber pengajaran yang selaras, sesuai dan konsisten bagi mencapai matlamat untuk menyuburkan potensi murid dalam semua aspek perkembangan, menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebagai persediaan masuk ke sekolah rendah.

Implikasi Kepada Kesediaan Guru

Guru berperanan sebagai inovator atau pencetus perubahan dengan memperkenalkan idea, pendekatan, strategi, kaedah dan teknik mengajar yang baru di dalam situasi kelas. Kenyataan ini selari dengan pendapat Rohaty (2000) bahawa strategi ini memerlukan daya kreatif, pengubahsuaian strategi dan teknik mengajar yang pelbagai agar pengajaran lebih menarik. Kaedah yang digunakan oleh guru kurang berkesan untuk meningkatkan keupayaan kanak-kanak Orang Asli untuk menguasai kemahiran membaca. Ini disebabkan guru kurang mengetahui secara mendalam bagaimana kaedah pengajaran membaca yang mereka gunakan itu dilaksanakan apabila menghadapi kanak-kanak Orang Asli dari segi budaya, taraf kehidupan dan sosio emosi mereka. Implikasi daripada ini ialah guru hanya melaksanakan pengajaran membaca hanya secara ala kadar tanpa melihat kebolehan kanak-kanak yang berbeza. Menurut (Woods 2002), setiap kanak-kanak di dalam bilik darjah adalah unik dan berbeza antara satu sama lain. Kepelbagaian yang wujud dalam kalangan kanak-kanak perlu diketahui dan dikenal pasti oleh setiap guru. Dengan cara itu, guru dapat merancang langkah-langkah pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli yang berbeza ini. Oleh itu, guru harus merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran mengikut perbezaan potensi individu kanak-kanak tersebut. Guru-guru prasekolah harus menggunakan strategi dan pendekatan yang sesuai seperti aktiviti kumpulan, pemulihan, pengayaan dan sebagainya untuk melayan kanak-kanak Orang Asli yang berbeza daripada aspek jasmani, intelek, emosi dan sosial berbanding kanak-kanak di kawasan yang mempunyai kemudahan yang lengkap.

Implikasi Kepada Kanak-kanak Orang Asli Di Prasekolah

Kanak-kanak Orang Asli di prasekolah perlu menguasai kemahiran membaca daripada peringkat awal untuk memastikan mereka menguasai pembelajaran bahasa pada peringkat sekolah rendah. Ini menyokong pendapat Sigelman dan Rider (2003) yang percaya bahawa bacaan adalah instrumen bahasa yang paling asas untuk berfikir dan menjadi laluan utama untuk mahir dalam kemahiran akademik yang lain. Suasana pembelajaran lebih responsif

(12)

303

apabila kanak-kanak Orang Asli boleh menjawab dan menyatakan pengalaman pembelajaran kemahiran membaca khususnya perkara yang berkaitan dengan ciri naturalis objek seperti warna, bentuk dan kegunaannya. Kanak-kanak Orang Asli membina makna terhadap perkataan yang dibaca menerusi ilustrasi berwarna dan gambaran visual. Namun demikian, menurut Carreker (2002) kanak-kanak tidak berupaya secara efektif menghasilkan gambaran visual jika tidak dibantu oleh guru menerusi galakan atau pendedahan menggunakan strategi serta bahan pembelajaran yang sesuai. Mahzan (2007) menegaskan bahawa penyertaan kanak-kanak akan terus meningkat dan berterusan jika bahan bacaan menarik dan memenuhi ciri yang disukai oleh mereka. Buku yang menarik perlu dijadikan bahan bantuan bagi menanamkan asas kemahiran membaca dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli pada peringkat prasekolah.

Implikasi Kepada Kurikulum Pengajaran Membaca

Guru-guru prasekolah mengajar kemahiran membaca kepada kanak-kanak Orang asli dengan kaedah pengajaran membaca yang efektif. Oleh itu, pengajaran membaca diajarkan secara formal bermula dari peringkat prasekolah lagi. Kenyataan ini selari dengan kajian oleh Ishak (1986), Abdul Rashid (2007), dan Juriah (1990) menyarankan supaya pengajaran bahasa Melayu di peringkat awal bagi mengukuhkan kemahiran-kemahiran asas bacaan sebelum pengajaran membaca ayat dijalankan. Antara kemahiran itu ialah menamakan huruf-huruf abjad atau membunyikannya, membunyikan sebilangan huruf-huruf-huruf-huruf abjad, membunyikan suku-suku kata dalam perkataan dan menggabungkan bunyi-bunyi suku kata dalam perkataan. Jika kemahiran asas membaca ini diperkukuhkan hingga menjadi kebiasaan dengan latih-tubi membunyikan keseluruhan perkataan dibantu dengan alat bantu mengajar yang menarik maka ada kemungkinan kanak-kanak Orang Asli yang lemah dan kurang cerdas akan dapat mencapai kemahiran asas membaca dengan memuaskan.

Cadangan

a) Pembangunan Modul Bercetak

Pembangunan modul bercetak hari ini dijangka dapat mengurangkan beban kos kepada negara khususnya dalam menangani masalah buta huruf dan keciciran akademik dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli. Diharapkan pembangunan modul bercetak yang lebih sistematik dapat dihasilkan supaya kanak-kanak Orang Asli bukan hanya dapat membaca

(13)

304

dengan cepat dan lancar malah memahami apa-apa sahaja yang dibaca oleh mereka. Seiring dengan visi dan misi negara Malaysia yang mahukan rakyat berpendidikan dan berinovasi pada masa hadapan, kefahaman dalam pembacaan sesuatu bahan bertulis amat membantu lebih-lebih lagi bagi golongan minoriti Orang Asli.

b) Pembangunan Perisian Modul Multimedia

Penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran kemahiran membaca kepada kanak-kanak Orang Asli akan lebih menarik minat mereka dengan persembahan yang terkini dan canggih. Usaha Kementerian Pendidikan Malaysia yang membekalkan kelas prasekolah dengan kelengkapan komputer dan perisian untuk kegunaan pengajaran dan pembelajaran prasekolah hanyalah sia-sia jika kanak-kanak Orang Asli tidak dapat merasai dan menggunakan kelengkapan yang sistematik ini dalam proses membaca. Oleh itu, pihak kerajaan perlu menyediakan kelengkapan komputer kepada prasekolah terutamanya di kawasan pedalaman agar dapat digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran kemahiran membaca kanak-kanak Orang Asli. Hal ini wajar dijadikan salah satu agenda penting dalam sistem pendidikan kini bagi melahirkan generasi celik komputer. Usaha ini haruslah bermula dari peringkat prasekolah dan merangkumi semua kanak-kanak terlibat dalam agenda ini.

c) Program Intervensi Membaca Prasekolah

Pelaksanaan program intervensi perlu digubal kerana membaca merupakan kemahiran paling asas yang perlu dipupuk dan diberi penekanan sejak dari awal lagi. Kemahiran asas membaca yang mantap dan minat membaca yang tinggi mendorong penglibatan kanak-kanak Orang Asli di dalam konteks aktiviti pendidikan yang lebih luas Bee dan Boyd (2010). Torgesen et al. (1994) menyatakan bahawa program belajar membaca yang komprehensif mengandungi aktiviti yang seimbang menggunakan semua komponen kemahiran membaca yang mengandungi pengenalan bunyi huruf, kelancaran, perbendaharaan kata dan pemahaman. Kajian Lanjutan

(14)

305

Satu kajian menyeluruh perlu dibuat untuk mengkaji sejauh mana tahap kebolehan membaca kanak-kanak Orang Asli di prasekolah. Responden perlulah datang dari sekolah yang berlainan dan melibatkan antara negeri. Kajian tentang pembangunan modul membaca Bahasa Malaysia prasekolah perlu dilakukan untuk memantapkan lagi pengajaran dan pembelajaran membaca supaya kanak-kanak Orang Asli dapat menguasai kemahiran membaca dengan baik. Pembelajaran membaca dengan menggunakan perisian multimedia perlu dibangunkan untuk menarik kanak-kanak Orang Asli menguasai kemahiran membaca. Penggunaan multimedia diharapkan dapat membantu guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran kemahiran membaca agar lebih menarik dan ceria.

Kesimpulan

Tahap kebolehan membaca kanak-kanak Orang Asli di prasekolah tersebut berada pada tahap sederhana. Dapatan ini diperoleh hasil daripada pemerhatian dan temu bual dengan responden yang dipilih dalam kajian. Dapatan kajian juga turut menyenaraikan beberapa cadangan untuk meningkatkan tahap kebolehan membaca kanak-kanak Orang Asli agar dapat menguasai kemahiran membaca dengan baik. Guru-guru prasekolah terbabit mencadangkan supaya pengajaran dan pembelajaran kemahiran membaca ini dapat digubal khusus untuk kanak-kanak Orang Asli. Permasalahan membaca akan membawa kesan yang buruk bukan sahaja dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tetapi melibatkan semua mata pelajaran yang lain. Selain itu taraf pendidikan juga dapat ditingkatkan dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Malaysia.

Rujukan

Abdul Rashid Tahir. 2007. Kajian terhadap kebolehbacaan buku teks Bahasa melayu bagi murid-murid rendah atas. Jabatan Pendidikan Bahasa, Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam.

Bee, H. & Boyd, D. 2010. The developing child. Ed. ke-7. Boston: Allyn and Bacon.

Blaustein, M. 2005. Trauma in young children: Developmental and cultural considerations in application of the ARC model. Journal of Child and Adolescent Trauma, 4, 34-51.

Bradley, R., Danielson, L., & Doolittle, J. (2005). Response to intervention. Journal of Learning Disabilities, 38(6), 485–486.

Bryant, D., Bernier, K., Peisner-Feinberg, E., & Maxwell, K. 2002. Smart Start and Child Care in North

Carolina: Effects on Quality and Changes over Time. Chapel Hill, NC: FPG Child Development

Institute.

Carreker, S. 2002. Creating rich associations for the rapid recognition of words. Perspectives, Vol. 28, No. I.

Winter 2002. Baltimore: The International.

Early Literacy Panel. 2005. National Center for Family Literacy: National Institute of Child Health and Human Development (NICHD).

(15)

306

Gregory, L. P., & Morrison, T.G. 1998. Lap reading for young at-risk children:Introducing families to books.

Early Childhood Education, 26 (2), 67-77.

International Reading Association & National Association for the Education of Young Children. 1998. Learning to read and write: Developmentally Appropriate Practices for Young Children. Young

Children, 53 (94), 30-46.

Ishak Haron. 1986. Pendekatan mengajar membaca Bahasa Melayu penngkat asal: Kaedah gabungan bunyi-kata. Dlm. Azman Wan Chik. (Pnyt.). Mengajar Bahasa Melayu: Perkaedahan. Edisi Ke-3. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka Malaysia.

Juriah Long. 1990. Pengkaedahan pengajaran Bahasa Melayu. Petaling Jaya: Penerbitan Fajar Bakti.

Justice, Chow, Capellini, Flanigan, & Colton. 2003. Emergent literacy intervention for vulnerable preschoolers: Relative effects of two approaches. American journal of Speech-Language Pathology, 12, 320-332. Kamil, M. L. 2003. Adolescents and Literacy : Reading for the 21st century. Washington, DC :

Alliance for Excellent Education.

Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, September 2012.

Mahzan Arshad. 2007. Persembahan buku kanak-kanak : tinjauan terhadap persembahan buku kanak-kanak di Malavsia. Jurnal pendidikan 2007, jld. 27 (1). Kuala Lumpur: Jabatan Pendidikan Bahasa dan Literasi, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. 201-216 .

Naiman, N., Frohlich, M., Stern, H.H. & Todesco, A. 1978. The good language learner. Toronto: Ontario Institute for Studies in Education.

Ramlah Jantan et al. 2011. Modul Alternatif Membaca untuk Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu untuk Murid-murid Orang Asli di Sekolah Rendah di Selangor, Perak, Kelantan, Pahang, Kedah dan Johor. Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak.

Rohani Rustam & Jamilah A. Bakar. 1988. Bacalah sayang: panduan umuk ibu bapa ke arah pembacaan awal. Kuala Lumpur: Times Book International .

Rohaty Mohd Majzub. 2000. Modul GB5112-Proses pembelajaran dan kepelbagaian pelajar. Bangi: Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Rubin Dorothy. 1991. Diagnostics & Correction in reading instruction. Ed. Ke-2. Boston : Allyn and Bacon.

Sigelman C.K & Rider E. A. 2003. Life-Span: human development. United State America: Thomson Wadsworth.

Torgesen, J. K., Wagner, R. K.., Rashotte, C. A., Rose, E., Lindamood, P., Conway,T. & Garvan, C. 1999. Preventing reading failure in young children with phonological processing disabilities: Group and individual response to instruction. Journal of Educational Psychology. 91, 579-593.

Watkins, R. V., & Bunce, B. H. 1996. Natural literacy: Theory and practice for preschool intervention programs. Topics in Early Childhood Special Education, 16, 191–212.

Whitehurst, G. J., Epstein, J. N., Angell, A. L., Payne, A. C., Crone, D. A., & Fischel, J. E. 1994. Outcomes of an emergent literacy intervention in Head Start. Journal

of Educational Psychology, 86, 542-555.

Wood, J.W. 2002. Adapting instruction to accommodate students in inclusive settings. 4th Edition. New Jersey: Merril Prentice Hall.

Referensi

Dokumen terkait