• Tidak ada hasil yang ditemukan

Bab 1. Pendahuluan Pembudayaan Penulisan Isu-isu Syariah dan Undang-undang Pemangkin Dinamisme Kesarjanaan Islam

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2021

Membagikan "Bab 1. Pendahuluan Pembudayaan Penulisan Isu-isu Syariah dan Undang-undang Pemangkin Dinamisme Kesarjanaan Islam"

Copied!
8
0
0

Teks penuh

(1)

Pendahuluan

Pembudayaan Penulisan Isu-isu Syariah

dan Undang-undang Pemangkin Dinamisme

Kesarjanaan Islam

Md Yazid Ahmad, Anwar Fakhri Omar & Mohammad Zaini Yahaya

Teras kecemerlangan akademik sesebuah universiti lazimnya diukur dari aspek kualiti penghayatan budaya ilmu yang dijadikan sebagai wadah manifestasi kesarjanaan yang diserlahkan menerusi limpahan karya ilmiah yang memberi impak terhadap pembentukan jati diri dan jiwa bangsa serta nilai beragama. Justeru, bagi menyahut cabaran merealisasikan hasrat untuk melonjak kecemerlangan dan memartabatkan kesarjanaan berasaskan pembudayaan penulisan maka segenap daya usaha dan fikiran perlu dikerah untuk melakar tindakan yang praktis agar hasrat tersebut mampu diterjemahkan menjadi kenyataan.

Perkataan ‘pembudayaan’ terbit daripada kata dasar ‘budaya’ yang bermaksud tamadun atau peradaban. Ia juga membawa maksud kemajuan fikiran atau akal budi seperti cara seseorang berfikir atau berkelakuan. ‘Pembudayaan’ bermaksud proses atau cara membudayakan sesuatu atau melazimkan sesuatu seperti ilmu dan pemikiran (Kamus Dewan Edisi 4). Manakala, ‘penulisan’ pula mempunyai konotasi dengan perihal atau kegiatan menulis, mengarang dan sebagainya (Kamus Dewan Edisi 4). Justeru, rangkai kata ‘pembudayaan penulisan’ membawa pengertian membudayakan aktiviti menulis atau mengarang dan menjadikan kegiatan tersebut sebagai amalan dalam kehidupan bagi menyuburkan ketamadunan dan peradaban manusia.

Seiring dengan itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengorak langkah memacu aktiviti penerbitan dengan mengadaptasi budaya penulisan karya ilmiah ke dalam acuan sasaran pencapaian Bidang Keberhasilan Utama (Key Result Areas-KRA) secara bersepadu khususnya dalam konteks menghasilkan penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi (Buletin FPI Futuristik, bil.1 2015).

(2)

Bagi menjayakan gagasan itu, UKM telah menggariskan beberapa usaha atau inisiatif yang perlu dilaksanakan pada tahun 2015 antaranya ialah memperkasa pelan penggantian penyelidik tersohor, meningkatkan projek penyelidikan yang berimpak dan seterusnya melonjakkan penulisan di kalangan penyelidik dan pelajar. Sejajar dengan usaha ini, UKM telah melancarkan Kempen Tahun Melonjak Penerbitan 2015 yang telah dilancarkan pada 24 Februari 2015 dalam Program Bicara KRA Siri 2 bertujuan untuk menyahut cabaran perdana 2015 iaitu untuk melonjak penulisan di kalangan penyelidik dan pelajar (Buletin Keberhasilan Strategik, bil. 2: April 2015).

Berhubung hasrat ini, Jabatan Syariah telah lama membudayakan penulisan isu-isu syariah dan undang-undang hasil pencerakinan para sarjana sebagai pemangkin untuk menyerlahkan dinamisme kesarjanaan Islam di persada kebangsan dan antarabangsa.

Buktinya, Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM telah menerbitkan siri keluaran pertama buku Isu Syariah dan Undang-undang yang bertajuk ‘Isu-isu Syariah dan Undang-Undang-undang (Siri

Kumpulan Kertas Kerja)’ yang diilhamkan dan dijelmakan pada tahun

1988 dan berterusan hingga kini (2015) dengan menyusul ‘Isu Syariah

dan Undang-Undang Siri 21’ (Md Yazid et. al 2014) Justeru itu,

sebanyak 156 makalah yang telah dihasilkan oleh para sarjana dalam 20 siri keluarannya sepanjang 26 tahun penerbitannya.

Sejajar dengan tema, korpus isu-isu syariah dan undang-undang kali ke 21 ini menggarap dan merungkai kepelbagaian isu dan permasalahan dalam konteks kehidupan bermasyarakat dan bernegara dalam bidang-bidang tertentu. Bidang-bidang yang menjadi tumpuan ialah kehartaan Islam, kehakiman dan perundangan Islam, undang-undang jenayah Islam dan sivil, kekeluargaan Islam, kewangan dan ekonomi Islam serta muamalat. Bab satu yang dihasilkan oleh Md Yazid Ahmad, Anwar Fakhri Omar dan Mohammad Zaini Yahaya selaku sidang penyunting, membuka tirai perbincangan dengan mengulas secara komprehensif korpus makalah yang terkandung dalam buku ini dengan memusatkan kepada aspek isu-isu syariah dan undang-undang yang melingkari kehidupan umat Islam di Malaysia.

Perbincangan berhubung bidang kehartaan Islam dimulakan menerusi bab kedua. Siti Syarwani Ghazali, Mohd Zamro Muda, Md. Yazid Ahmad dan Noor Lizza Mohamed Said mengupas secara kritis berhubung perluasan tafsiran harta wakaf sebagai pendekatan signifikan bagi memperkasa bidang perwakafan agar seiring dengan kedinamikan arus modenisasi sebagai pemangkin untuk menjana ekonomi ummah tanpa tersasar daripada landasan syarak. Penganalisisan dimulakan dengan huraian tafsiran harta wakaf menurut ulama klasik dan undang-undang di Malaysia. Seterusnya perbincangan menjurus kepada prinsip kriteria harta wakaf dan prinsip pengekalan

(3)

dalam perwakafan di samping menyentuh status hak maknawi atau harta yang bersifat ‘intangible’ sebagai harta wakaf hingga menjangkau kedudukan harta intelek sebagai harta wakaf.

Kesinambungan perbincangan bidang kehartaan ini diteruskan dalam bab ketiga yang memperkatakan tentang ilmu faraid dalam Kurikulum Pendidikan Islam KBSM. Noor Lizza Mohamed Said, Zulquarnain bin Ali, Md Yazid Ahmad dan Ahmad Muhammad Husni melihat sejauh mana persepsi masyarakat yang meliputi orang awam, guru-guru dan pegawai-pegawai kurikulum Pendidikan Islam terhadap keperluan ilmu faraid dalam Kurikulum Pendidikan Islam KBSM. Berdasarkan hasil dapatan yang diperolehi, majoriti masyarakat hanya mengetahui sebahagian kecil asas ilmu faraid. Sungguhpun demikian, mereka bersetuju bahawa ilmu faraid perlu diajar dalam kurikulum Pendidikan Islam KBSM selaras dengan pandangan guru-guru dan pegawai-pegawai Pendidikan Islam. Pendedahan awal pendidikan asas ilmu faraid yang terarah kepada pelapis generasi Islam seterusnya merupakan teras pemulihan kejahilan tentang undang-undang pusaka Islam yang membelenggu masyarakat Islam di Malaysia. Sehubungan dengan itu, pegawai-pegawai kurikulum Unit Pendidikan Islam di Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah menunjukkan persepsi yang baik terhadap kajian ini dengan memberikan reaksi yang positif dan bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya untuk memasukkan ilmu faraid dalam kurikulum KBSM. Justeru itu, tindakan yang proaktif perlu dilakar bagi merealisasikan gagasan ini yang boleh diangkat sebagai wadah untuk memartabatkan sistem pusaka Islam di Malaysia.

Dalam dimensi perbincangan yang lain, bab empat mengutarakan perbincangan berkaitan pelaksanaan permohonan Perintah Faraid menurut undang-undang Islam di Mahkamah Syariah di Malaysia. Md. Yazid Ahmad, Mohd Zamro Muda, Noor Lizza Mohamed Said dan Zamzuri Zakaria meneliti perkara-perkara berhubung pelaksanaan permohonan Perintah Faraid yang meliputi kategori harta dan klasifikasi nilaian kes faraid di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, peruntukan Perintah Faraid dalam Enakmen Undang-undang Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri dan pelaksanaan prosedur permohonan Perintah Faraid di Mahkamah Syariah. Kupasan perbincangan secara deskriptif ini telah diadun dengan analisis ringkas dan dijalin dengan isu-isu tertentu berhubung pelaksanaannya yang perlu diambil serius demi untuk menyerlahkan kewibawaan Mahkamah Syariah di Malaysia.

Seterusnya, perbincangan yang menjurus kepada bidang kehakiman Islam dipaparkan dalam bab kelima melalui makalah Nur Aina Abdulah dan Ibnor Azli Ibrahim. Dalam bab ini, perbincangan yang diutarakan membawa tumpuan khalayak pembaca menelusuri evolusi konsep Istiqlal al-Qada’ (kebebasan kehakiman) dari aspek sejarah

(4)

bermula daripada zaman Rasululullah SAW sebagai pengasas Istiqlal

al-Qada’ dan peranan baginda dalam mengaplikasikan konsep tersebut

sebagai manifestasi pelaksanaan keadilan dalam sistem kehakiman Islam. Namun demikian, pengasingan kuasa kehakiman daripada kuasa eksekutif dan legislatif belum berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Rantaian penceritaan konsep Istiqlal al-Qada’ ini memasuki fasa baru di zaman al-Khulafa’ al-Rashidin dan mencapai kematangannya di zaman pemerintahan Sayidina ‘Umar ibn al-Khattab RA melalui pengasingan kuasa daripada badan eksekutif dan legislatif serta elemen-elemen yang boleh mempengaruhi para hakim daripada menegakkan keadilan. Antara contoh pelaksanaan Istiqlal al-Qada’ dalam kehakiman yang berlaku di zaman al-Khulafa’ al-Rashidin ialah keharusan hakim membatalkan hukumannya, penolakan terhadap penghakiman berat sebelah dan kesamarataan pihak yang bertelagah. Di akhir perbincangan, Nur Aina Abdulah dan Ibnor Azli Ibrahim merumuskan bahawa sejarah Islam telah membuktikan bahawa konsep kebebasan kehakiman (istiqlal al-qada’) adalah sebahagian daripada syariat Islam dan telah dilaksanakan sejak zaman Rasulullah SAW lagi.

Bidang perundangan Islam dibincangkan dalam bab keenam yang mengutarakan perbahasan secara kritis mengenai kedudukan sadd

al-dhara’i‘ menurut mazhab Syafii dari sudut kewajarannya sebagai

sumber ijtihad meliputi aplikasinya dalam mazhab Syafii dahulu dan sekarang. Sadd al-dhara’i‘ adalah termasuk dalam sumber hukum yang menggunakan daya keintelektualan minda mujtahid dan ia antara yang diperdebatkan untuk digunakan dalam proses ijtihad. Matlamat makalah yang dihasilkan oleh Ahmad Dahlan Salleh ini adalah untuk mengajak umat Islam memahami pendekatan ijtihad melalui sadd

dhara’i‘ dengan memaparkan contoh-contoh pemakaian sadd al-dhara’i‘ dalam permasalahan semasa agar kesyumulan hukum fiqh

Islam tidak dipandang sebagai sesuatu yang sempit. Pemakaian sadd

al-dhara’i‘ juga menyerlahkan lagi hikmah hukum syarak yang tidak

mengehadkan tegahan kepada sesuatu hanya melihat kepada zatnya tetapi turut mengira jalan-jalan yang membawa ke arahnya. Justeru itu, melalui penganalisisan beliau, didapati bahawa contoh penggunaannya telah pun diamalkan secara tidak langsung sejak zaman Rasulullah SAW dan para sahabat RA lagi dan jumhur fuqaha termasuk Imam Syafii mengiktiraf sadd al-dhara’i‘ sebagai salah satu sumber ijtihad walaupun terdapat sedikit perselisihan, namun ia hanya berlegar di sekitar bentuk atau cara penggunaannya dan ia tidak mengubah kesepakatan mereka dalam bentuk yang umum.

Pembicaraan berhubung bidang undang-undang jenayah Islam dan sivil dipaparkan dalam bab ketujuh, kelapan dan kesembilan. Melalui bab ini, Ahmad Bin Muhammad Husni, Zaini Nasohah, Amir Husin Mohd Nor, Mohd Al Adib Samuri dan Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim meneliti hukuman tashhir (pendedahan kepada awam) sebagai hukuman alternatif menurut undang-undang Islam dan pelaksanaannya di Malaysia. Antara perkara-perkara yang disentuh

(5)

ialah kedudukan, jenis-jenis kesalahan dan bentuk-bentuk pembalasan takzir, amalan tashhir dan pelaksanaannya dalam pemerintahan Islam. Makalah ini turut menyoroti dan mengenal pasti peruntukan berbentuk hukuman tashhir dalam undang-undang Islam di Malaysia dan realiti amalan yang berlaku hingga kini. Di hujung penulisan, para penulis merumuskan pelaksanaan hukuman tashhir dalam kerangka takzir masih relevan dalam meniti arus pemodenan sebagai meraikan keluasan maqasid shari‘ah bagi mendepani perbuatan jenayah yang semakin kritikal dewasa ini.

Bab kelapan memaparkan perbahasan berkaitan isu pelaksanaan hukum hudud menurut kerangka perundangan di Malaysia. Kupasan yang dibuat oleh Mohd. Nasran Mohamad, Mohd Al Adib Samuri, Zuliza Mohd Kusrin, Anwar Fakhri Omar dan Mohd Zamro Muda dalam merungkai isu ini adalah berasaskan kedudukan sifat dwi perundangan Malaysia dalam Perlembagaan sama ada bersifat sekular ataupun Islam yang disokong dengan fakta-fakta bagi membenarkan sifat dwi tersebut. Sehubungan dengan itu, mereka juga telah mendedahkan kekangan-kekangan perundangan yang membelenggu pelaksanaan hukum hudud yang dijalin dengan idea-idea positif bagi mendepaninya di samping saranan mengeksploitasi semaksimum mungkin ruang kondusif mesra Islam yang termaktub dalam Perlembagaan untuk memudahkan pelaksanaannya. Di akhir penulisan, para penulis melontarkan cadangan penambahbaikan yang sangat signifikan iaitu reformasi secara menyeluruh dan holistik perlu dilakukan dalam bentuk pindaan, penambahan beberapa peruntukan perundangan serta proviso-proviso berkaitan perlu dimasukkan dalam undang-undang jenayah sedia ada agar pelaksanaan hukum hudud menjadi kenyataan.

Manakala makalah Zaini Nasohah dalam bab kesembilan menganalisis secara kritis lacuna (kelompangan) yang wujud dalam Undang-Undang Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam negeri-negeri, rentetan daripada kekaburan dalam pelaksanaannya sekaligus berpotensi mendatangkan masalah justifikasi perundangan jika penguatkuasaan dilakukan. Makalah ini merupakan satu analisis ringkas yang menarik tentang Undang-Undang Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam dan hubungannya dengan kontrak sosial yang memberi perlindungan serta keistimewaan kepada Islam yang perlu dihayati bersama dengan semangat Perlembagaan. Huraian yang diutarakan oleh penulis disulami dengan isu-isu yang menimbulkan polemik dan dihiasi dengan persoalan-persoalan yang melingkari intipati perbahasan serta diadun dengan kekurangan-kekurangan yang menzahirkan lacuna dalam undang-undang tersebut menghasilkan jalinan persembahan analisis yang kemas dan tersusun. Di akhir penulisannya, Zaini Nasohah mengesyorkan pihak berautoriti menggerakkan inisiatif untuk menutup ruang kelompangan yang ada dengan cara menggubal dan memperkemas enakmen serta menyemarak

(6)

semangat diplomasi antara agama demi memperkukuhkan semangat patriotik dan muhibah di kalangan kaum-kaum di Malaysia bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan sentiasa berkekalan.

Selanjutnya, Zuliza Mohd Kusrin, Zaini Nasohah dan Noor Lizza Mohd Said dalam bidang undang-undang keluarga Islam memaparkan kupasan mengenai ketidakpatuhan terhadap prosedur permohonan poligami di kalangan masyarakat Muslim di Malaysia menerusi bab kesepuluh. Para penulis menjelaskan bahawa walaupun telah wujud undang-undang khusus mengawal perkahwinan poligami tetapi atas alasan birokrasi serta prosedur permohonan poligami yang ketat telah menyebabkan pasangan yang berhajat untuk berpoligami melangsungkan perkahwinan di luar Malaysia. Seterusnya mereka memohon pendaftaran perkahwinan tanpa kebenaran di jabatan agama Islam, bagi mengesahkan perkahwinan poligami tersebut mengikut undang-undang pentadbiran keluarga Islam Malaysia. Justeru, di akhir perbincangan mereka melontarkan pandangan bahawa fenomena yang berlaku ini jelas membuktikan pelaksanaan hukuman terhadap undang-undang sedia ada kurang berkesan dan perlu disemak semula bagi memastikan tujuan undang-undang poligami dipatuhi.

Perbincangan kepelbagaian dimensi merangkumi bidang ekonomi Islam, kewangan Islam dan muamalat dibahaskan dalam tiga bab terakhir iaitu bab kesebelas, keduabelas dan ketigabelas. Dalam bab kesebelas, Nor Fahimah Mohd Razif dan Azlin Alisa Ahmad menjelaskan perbezaan yang signifikan antara ‘perjudian’ (maysir) dan ‘spekulasi’ dalam arus kepesatan pembangunan ekonomi dunia melalui kerangka ekonomi Islam. Kedudukan risiko dalam aktiviti maysir yang berasaskan kepada ketidakpastian (gharar) terhadap akibat (majhul

al-‘aqibah) boleh dijadikan sebagai teras pengukur bagi mengenal pasti

ciri-ciri maysir untuk menilai transaksi ekonomi moden era kini. Menurut Nor Fahimah Mohd Razif dan Azlin Alisa Ahmad, kedudukan spekulasi dalam ekonomi Islam dapat diukur berdasarkan kepada tiga skala utama iaitu pertama, sama ada perolehan harta atau keuntungan berdasarkan nasib semata-mata, kedua, sama ada pihak yang menang akan mendapat bahagian pihak yang kalah dan yang terakhir sama ada ia terdedah kepada risiko yang tinggi dan risiko tersebut tidak menambah nilai kepada ekonomi negara. Hasil daripada penganalisisan yang dilakukan, mereka merumuskan bahawa pada asasnya spekulasi adalah harus tetapi boleh berubah kepada haram apabila aktiviti tersebut dilakukan secara melampau (excessive speculation) sehingga wujudnya ciri-ciri maysir iaitu jika aktiviti spekulasi bergantung sepenuhnya kepada nasib dan melibatkan risiko yang tinggi serta wujud unsur zero-sum game sehingga membawa kepada perolehan harta secara batil.

Makalah Shofian Ahmad dan Marina Abu Bakar dalam bab kedua belas mengutarakan perbahasan yang menarik mengenai kedudukan saham keutamaan berasaskan prinsip-prinsip yang

(7)

mendasari akad musharakah yang terpakai dalam konsep saham. Prinsip asas utama yang digunapakai dalam mencerakin permasalahan kedudukan saham keutamaan ini ialah dari aspek pembahagian keuntungan dan kerugian dalam akad musharakah. Adapun hukum saham keutamaan ini bergantung kepada isu sama ada wujud atau tidak sebarang hak-hak keutamaan yang selaras dengan prinsip-prinsip syariah. Sejajar dengan itu, para sarjana Islam tempatan telah mengharuskan saham keutamaan bukan kumulatif berdasarkan konsep

tanazul melalui Resolusi Syariah yang dikeluarkan oleh MPS,

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Justeru itu, berdasarkan kepada penelitian yang dilakukan para penulis menyimpulkan bahawa saham keutamaan kumulatif adalah haram dalam Islam kerana ia bertentangan dengan tujuan perkongsian untung dan rugi dalam kontrak musyarakah. Namun demikian keharusan saham keutamaan bukan kumulatif berdasarkan konsep tanazul ini masih dipertikaikan oleh para ulama dari sudut penggunaannya yang melibatkan wa‘d untuk melakukan

tanazul dalam pembahagian keuntungan dan kerugian oleh pemegang

saham biasa kepada pemegang saham keutamaan.

Bab terakhir sebagai penutup tirai buku ini iaitu bab ketigabelas mengemukakan analisis prinsip qarḍ dalam pinjaman TEKUN. Dalam menjelaskan perkara ini, Nik Abdul Rahim Nik Abdul Ghani dan Lokmanulhakim Hussain menganalisis perbahasan terhadap akad

qarḍ dalam Islam dengan memberi penekanan kepada prinsip-prinsip

asas yang wajib dipatuhi dalam akad qarḍ. Selanjutnya, mereka mengupas takyīf fiqhī bagi skim pinjaman TEKUN sebelum analisis secara kritis dijalankan terhadap beberapa isu-isu Syariah yang timbul dalam mengimplementasi skim pinjaman tersebut. Berdasarkan kepada intipati perbincangan, Nik Abdul Rahim Nik Abdul Ghani dan Lokmanulhakim Hussain merumuskan bahawa perlaksanaan aqad qarḍ dalam pinjaman TEKUN hendaklah diperbaiki dan diperhalusi agar bertepatan dengan syarak dan mestilah dikawal selia dengan beberapa prinsip dan ḍawābiṭ khusus yang memelihara akad tersebut daripada termasuk dalam riba yang diharamkan. Jika sebaliknya, maka kesesuaian penggunaan akad qarḍ sebagai asas kepada pinjaman TEKUN hendaklah dinilai semula.

Justeru, kesinambungan tradisi membudayakan penulisan isu-isu syariah dan undang-undang ini perlu diperkasa dan dilestarikan agar khazanah ilmu syariah dan undang-undang sentiasa hidup dan berkembang di samping mensejagatkan nilai-nilai keilmuan yang ada padanya sama ada di peringkat kebangsaan mahupun di persada antarabangsa demi kesejahteraan sosial manusia sejagat. Korpus isu-isu syariah dan undang-undang yang digarap dalam buku ini dan dipersembahkan dalam bentuk karya ilmiah merupakan hasil sumbangan para sarjana yang diharap dapat dijadikan sebagai rujukan dan solusi bagi mendepani permasalahan semasa umat Islam khususnya di Malaysia.

(8)

Rujukan

Buletin FPI Futuristik. 2015. Bil.1. Jun: 3.

Buletin Keberhasilan Strategik. 2015. Bil. 2. April.

Kamus Dewan. 2013. Ed. IV. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa &

Pustaka.

Md Yazid, Anwar Fakhri Omar & Mohammad Zaini Yahaya. 2014. Pencerakinan Isu Syariah dan Undang-undang Wahana Pelestarian Akademik. Dlm. Md Yazid Ahmad, Anwar Fakhri Omar & Mohammad Zaini Yahaya. (pnyt.). Isu Syariah dan

Undang-undang Siri 20, hlm. 1-7. Bangi: Jabatan Syariah, Fakulti

Referensi

Dokumen terkait

Saat ini, PT Pembangunan Jaya Ancol Tbk (Perseroan) menjalankan usaha di bidang properti, pariwisata, perdagangan dan jasa, yang meliputi pengembangan; hunian

Hubungan Satuan Batupasir dengan Satuan Batulanau-Batulempung yang berumur lebih muda adalah tidak selaras, karena kemiringan lapisan Satuan Batupasir pada penampang

Hal ini menyebabkan selongsong tabung pembungkus bahan bakar yang terbuat dari zirconium alloy bereaksi dengan air pada suhu tinggi menghasilkan gas hydrogen Sebagai

Akhlak terhadap tetangga diwujudkan dalam bentuk saling mengunjungi, membantu di waktu senang terlebih di waktu susah, saling beri-memberi, saling hormat

Port 2 akan memberikan byte alamat bagian tinggi (high byte) selama pengambilan instruksi dari memori program eksternal dan selama pengaksesan memori data eksternal yang

Tujuan Penelitian ini adalah untuk mengurangi pencemaran limbah lumpur, abu, dan serat (fiber) pabrik kelapa sawit dengan metode pengomposan dan mengamati

Hidrolisat dengan aktivitas antioksidan terbaik yaitu hidrolisat yang diperoleh dari perlakuan rasio enzim 0,20:100 dan lama hidrolisis 2 jam dilakukan analisis lebih

Algoritma pencarian rute yang digunakan yakni A-star memiliki fungsi pencarian heuristik dan juga dalam penentuan lokasi awal dan tujuan bisa saja tidak berada dalam jaringan