• Tidak ada hasil yang ditemukan

MALAYSIA DEWAN RAKYAT. Selasa, 14hb. Mei, Mesyuarat dimulakan pada pukul 2.30 petang D O A USUL. Rancangan Malaysia Ketujuh

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2021

Membagikan "MALAYSIA DEWAN RAKYAT. Selasa, 14hb. Mei, Mesyuarat dimulakan pada pukul 2.30 petang D O A USUL. Rancangan Malaysia Ketujuh"

Copied!
146
0
0

Teks penuh

(1)

MALAYSIA DEWAN RAKYAT Selasa, 14hb. Mei, 1996

Mesyuarat dimulakan pada pukul 2.30 petang D O A

[Timbalan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]

________________________________________________________________ USUL

Rancangan Malaysia Ketujuh 1996 - 2000

Aturan Urusan Mesyuarat dibacakan bagi menyambung semula perbahasan atas Usul dibuat oleh Perdana Menteri dan Masalah dicadangkan:

Bahawa Dewan ini,

menyedari pertumbuhan pesat ekonomi negara dan kemajuan ketara dalam pencapaian matlamat sosio-ekonomi negara dalam tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Keenam;

menyokong kerajaan meneruskan pelaksanaan Dasar Pembangunan Nasional dan usaha-usaha untuk mencapai objektif yang terkandung dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua melalui proses Rancangan Pembangunan Lima Tahun; melulus dan merestui Rancangan Malaysia Ketujuh yang telah dirangka untuk melaksanakan strategi dan program serta menyediakan peruntukan untuk merealisasikan objektif dan komitmen Dasar Pembangunan Nasional seperti yang dibentangkan dalam Kertas Perintah Bil. CMD 8 Tahun 1996;

Bahawa dalam meluluskan Rancangan Malaysia Ketujuh, Dewan ini menyeru semua rakyat Malaysia mempergiatkan usaha dan

(2)

komitmen mereka ke arah matlamat mewujudkan masyarakat yang bersatu padu, adil, progresif, berdaya saing dan berdaya tahan, selaras dengan aspirasi negara untuk mencapai status negara maju seperti yang dihasratkan di bawah Wawasan 2020. [13hb. Mei 1996]

Timbalan Yang di-Pertua [Tuan Ong Tee Keat]: Yang Berhormat Larut diminta sambung.

2.34 ptg.

Dato’ Haji Mohd. Zihin bin Haji Mohd. Hassan [Larut]: Tuan Yang di-Pertua, dalam ucapan saya di Parlimen setelah balik dari Negeri China [Tepuk] saya mencadangkan supaya wang kertas kita ditulis jawi, perkara ini telah dibuat ke atas wang kertas RM2, harap ianya berterusan.

Tuan Yang di-Pertua, selain dari itu, lorong-lorong motosikal perlu dibina untuk keselamatan penunggang motosikal dan telah dipersetujui oleh menteri. Saya telah membawa perkara ini hampir 6 tahun dahulu, semak Hansard.

Tuan Yang di-Pertua, orang ramai peratusnya besar menggunakan motosikal kerana ringan belanja dan harganya tidak seperti harga kereta. Walaupun pada mulanya rakyat mengharapkan kereta Malaysia murah, tetapi anggapan itu sebenarnya tidak betul dan tidak murah kerana kereta-kereta buatan Malaysia juga sudah menjadi kereta mewah, bukan kereta orang-orang bawahan lagi seperti dijangkakan. Saya rasa bagi...

(3)

Timbalan Yang di-Pertua [Tuan Ong Tee Keat]: Yang Berhormat, Jelebu bangun.

Dato’ Haji Mohd. Zihin bin Haji Mohd. Hassan: Tak ada masa. Timbalan Yang di-Pertua [Tuan Ong Tee Keat]: Ya, kalau tak beri jalan, teruskanlah Yang Berhormat.

Dato’ Haji Mohd. Zihin bin Haji Mohd. Hassan: Sekejap bolehlah. Timbalan Yang di-Pertua [Tuan Ong Tee Keat]: Nak beri?

Tuan Yunus bin Rahmat: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada Yang Berhormat dari Larut di atas cadangan kepada kerajaan untuk membina lorong-lorong motosikal. Tetapi ingin saya mendapat penjelasan, adakah cadangan Ahli Yang Berhormat berkenaan juga ditujukan kepada pengguna-pengguna motosikal di kawasan-kawasan luar bandar kerana apa yang kita dapati kejadian kemalangan baru-baru ini yang lebih tinggi ialah di kalangan penunggung motosikal di kawasan luar bandar. Itu soalan saya. Terima kasih.

Dato’ Haji Mohd. Zihin bin Haji Mohd. Hassan: Itulah harapan saya. [Ketawa] Saya rasa bagi mencapai Wawasan 2020, kereta-kereta seperti Kancil tidaklah dijual dengan harga di luar keupayaan pembeli seperti guru-guru dan kerani-kerani. Pada tahun 60-an guru-guru-guru-guru dan kerani masih boleh beli Ford Prefect dan Volkswagen dengan gaji RM450 ke atas dan kereta-kereta itu berharga lebih kurang RM6,000 hingga RM8,000 sahaja. Sekarang gaji

(4)

guru-guru mula bekerja RM400 lebih, Proton Saga berharga RM34,000 ke atas dan Volkswagen pun begitu juga, kenaikan hampir 600%.

Tuan Yang di-Pertua, kesihatan rakyat juga perlu dipertingkatkan. Hospital-hospital daerah dan mukim perlu ditubuhkan seperti di negara-negara di Eropah dan di England bagi menyenangkan pesakit-pesakit yang jauh di luar bandar yang memerlukan rawatan perubatan. Pakar-pakar perubatan juga perlu diambil di semua hospital swasta dan bukan swasta. Ini perlu kerana orang-orang yang sakit dari luar bandar tidak mempunyai keupayaan untuk datang ke Kuala Lumpur, misalnya ke IJN.

Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Pertanian pula perlu mengamalkan dasar pertanian negara yang lebih positif seperti di Thailand, Jepun dan negara-negara lain. Walaupun kita menghadapi negara-negara industri, pertanian juga tidak boleh sama sekali dibelakangkan. Tanah-tanah terbiar hendaklah dipulihkan dengan segera di bawah RMK-7, jangan hanya ada dalam bilik gerakan pertanian sahaja.

Tuan Yang di-Pertua, teknologi pertanian dan perikanan moden bagi RMK-7 perlu ditambah kerana petani-petani dan nelayan-nelayan perlu kepada pertolongan atau subsidi yang lebih positif bagi menambahkan pendapatan mereka dan seterusnya pendapatan negara. Ladang-ladang buah-buahan perlu diperbanyakkan untuk mengeluarkan buah-buahan tempatan sama ada untuk kegunaan pasaran setempat atau dieksport. Banyak lagi tanah-tanah terbiar dan

(5)

sawah tertinggal berpuluh-puluh tahun tidak dilaksanakan kerana kekurangan tenaga di banyak kawasan. Jentera-jentera moden perlu dihantar ke kampung-kampung dan petani-petani diberi kursus yang wajar untuk mengeluarkan hasil padi dan buah-buahan yang bermutu tinggi. Kementerian juga perlu memelihara parit-parit dan sungai-sungai supaya terjaga dengan baik bagi kegunaan air untuk ladang atau untuk minuman kerana keindahan sungai pada hari ini kita dapati bahawa sungai-sungai yang indah itu ianya hanya indah di tempat perasmian sahaja, di hulu dan di hilirnya tidak ada keindahan sepertimana yang diharapkan oleh rakyat semua.

Tuan Yang di-Pertua, pembuangan sampah ataupun sisa toksik dari industri-industri hendaklah diberi hukuman yang berat, kalau mustahak, beri hukum gantung.

Tuan Yang di-Pertua, galakan-galakan juga perlu banyak diberi untuk menarik anak-anak muda melibatkan diri dengan pasukan-pasukan keselamatan seperti polis, askar dan tentera laut dan udara bagi menghadapi RMK-7. Mereka lebih suka bekerja di kilang-kilang atau industri. Insentif yang lebih perlu difikirkan. Gaji lumayan atau lain-lain kemudahan perlu disediakan bagi menambah minat anak-anak muda berkecimpung dalam pasukan keselamatan bagi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara. Tidak ada ertinya sekiranya kita mempunyai harta kekayaan dan kemewahan tetapi keselamatan

(6)

negara tidak terkawal dan tergugat oleh kerana tiada pasukan angkatan bersenjata yang benar-benar mendapat imbuhan yang baik daripada kerajaan.

Tuan Yang di-Pertua, saya mengalu-alukan perbelanjaan untuk RMK-7, justeru itu saya amat berharap agar peralatan-peralatan yang sesuai dengan zaman kapal-kapal terbang lama dihapuskan. Sekiranya hendak membuat latihan, gunakanlah kapal terbang baru. Kalau hendak belajar repair atau overhaul, dengan izin, di atas bumi bolehlah gunakan kapal-kapal terbang buruk, bukan untuk terbang. Saya harap perbelanjaan pertahanan perlu dipertingkatkan lagi untuk membeli kapal-kapal terbang canggih untuk membuat latihan dan kapal-kapal terbang buruk itu untuk membuat repair dan overhaul.

Tuan Yang di-Pertua, bagi perajurit-perajurit yang bersara mereka perlu diberi perhatian lebih dari yang sudah diberi atau sedang diberi, bukan hanya menjaga yang berpangkat tinggi sahaja sedangkan yang berpangkat rendah adakalanya menjadi masalah di kampung dan ada juga segelintir yang menentang kerajaan dan parti UMNO. Ini tidak harus berlaku, sebagai manusia yang sudah ada disiplin mereka perlu diberi tempat-tempat perniagaan kecil di daerah-daerah atau diberi modal untuk berniaga. Rumah-rumah anggota pasukan keselamatan perlu segera dan mereka hendaklah diberi keutamaan oleh pemaju-pemaju perumahan dalam mengagihkan rumah-rumah harga murah sama ada di bandar-bandar atau di kampung-kampung yang mana akhirnya

(7)

sekurang-kurangnya mereka mempunyai rumah apabila bersara. Banyaklah lagi langkah-langkah yang perlu diambil yang saya tidak dapat di huraikan di Dewan yang mulia pada hari ini kerana masa yang terhad.

Tuan Yang di-Pertua, bagi menghadapi tahun 2000 ataupun abad yang ke-21 kita mestilah mencari dan menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi dalam RMK-6. Jadi, saya percaya dengan kebijaksanaan pimpinan yang ada hari ini insya-Allah kita akan dapat mencapai Wawasan 2020 dengan lebih cemerlang dan kita akan dapat membangunkan usahawan-usahawan sama ada bumiputera ataupun bukan bumitera dan kita mengalu-alukan rancangan kerajaan supaya ada usaha sama di antara usahawan-usahawan bumiputera dengan bukan bumiputera. Saya percaya ini akan memberi kejayaan yang lebih kepada kita dan yang mustahak sekali adalah bersatunya rakyat kita sebagaimana kita mengalu-alukan rakan-rakan kita dari semua parti yang hendak memasuki Barisan Nasional supaya kita tetap united and strong forever. Dengan kata-kata itu, saya mohon menyokong.

Timbalan Yang di-Pertua [Tuan Ong Tee Keat]: Machang. 2.44 ptg.

Dato’ Haji Sukri bin Haji Mohamed [Machang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi kesempatan kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ketujuh yang telah

(8)

dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 6hb yang lepas.

Tuan Yang di-Pertua, dengan pembetangan Rancangan Malaysia Ketujuh kita telah memasuki Fasal II, Dasar Pembangunan Nasional yang diasaskan pada tahun 1990 yang berteraskan kepada Dasar Ekonomi Baru yang walau pada hakikatnya dasar Pembangunan Nasional ini wajahnya adalah suatu wajah baru tetapi hasrat dan intipatinya tidaklah boleh lari daripada hasrat Dasar Ekonomi Baru yang telah menjadi teras dan inti kepada Dasar Pembangunan Jangka panjang yang dibuat di negara ini.

Tuan Yang di-Pertua, Dasar Ekonomi Baru yang berakhir dalam tahun 1990 membawa dua matlamat penting iaitu untuk membasmi kemiskinan masyarakat dan keduanya ialah menyusun semula masyarakat. Walaupun dalam Dasar Pembangunan Nasional, hasrat ini tidak dinyatakan dengan terang, tetapi saya percaya inilah menjadi asas yang paling penting kepada dasar pembangunan yang dibuat di negara kita. Kita tidak dapat nafikan bahawa dasar-dasar pembangunan yang dibuat ini sudah sedikit sebanyak mencermin dan memberi kejayaan kepada beberapa kelompok masyarakat kita untuk mendapatkan peluang dan seterusnya memberi sumbangan kepada pembangunan negara ini, tetapi pada masa yang sama, seperti yang pernah saya tegaskan dalam dewan ini beberapa kali, kita tidak mahu bahawa peluang-peluang dan kekayaan-kekayaan yang wujud dalam negara ini akan dikecapi

(9)

oleh beberapa kelompok manusia sehingga pembangunannya ataupun bahagian pengagihan itu menjadi tidak ketara.

Masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, khususnya boleh menerima hakikat bahawa orang Melayu dan bumiputera dalam negara ini masih ketinggalan walaupun dalam usaha-usaha tegas yang dilakukan oleh kerajaan tetapi tahap pencapaian berakhirnya Dasar Ekonomi Baru dalam tahun 1990 adalah begitu kecil sekali. Matlamat meletakkan 30% pencapaian bumiputera dalam pemegangan ekuiti di negara ini mesti diteruskan walau dengan apa cara sekalipun.

Tuan Yang di-Pertua, dalam konteks ini saya menyambut baik usaha yang telah dibuat oleh Kementerian Perusahaan Awam hendak mewujudkan suatu kerjasama yang erat antara golongan peniaga bumiputera dengan golongan peniaga daripada kaum Tionghua dan orang-orang India.

Tuan Yunus bin Rahmat: [Bangun]

Timbalan Yang di-Pertua [Tuan Ong Tee Keat]: Yang Berhormat, Jelebu bangun.

Dato’ Haji Sukri bin Haji Mohamed: Nanti sekejap, biar saya habiskan ayat ini, Tuan Yang di-Pertua. Tetapi usaha ini mestilah dilihat dalam konteks yang lebih luas. Kita mahu usaha atau kerjasama yang dibuat ini mestilah pertama sekali melihatkan kerjasama dari segi penglibatan modal,

(10)

kedua, kerjasama dari segi konteks penyertaan aktiviti dan yang ketiganya ialah kerjasama dari pembahagian keuntungan.

Tanpa kerjasama dari segi ketiga-tiga perkara ini, konteks ‘Ali Baba’ ataupun perkataan ‘Ali Baba’ yang selama ini menjadi cemuhan oleh ramai orang akan kembali berulang sekali lagi. Usaha yang lebih telus, usaha yang lebih tegas dan usaha yang lebih aktif mestilah dibuat supaya kerjasama-kerjasama yang diwujudkan seperti ini dapat dimanfaatkan bersama.

Tuan Yunus bin Rahmat: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, saya hendak minta penjelasan. Kalau tidak silap saya Kementerian Perusahaan Awam sudah lama dibubarkan, jadi, yang mana satu? Kementerian Perusahaan Awam atau Kementerian Pembangunan Usahawan? Minta penjelasan.

Dato’ Haji Sukri bin Haji Mohamed: Kementerian Pembangunan Usahawan, Tuan Yang di-Pertua. Saya tersasul sedikit.

Tuan Yang di-Pertua, saya telah menegaskan beberapa kali di dalam Dewan yang mulia ini bahawa dalam soal kita begitu berminat untuk membangunkan negara ini dan kita tidak boleh lari dari hakikat bahawa pembangunan itu adalah perlu dan kita tidak menentang pembangunan, tetapi, pada masa yang sama kita mestilah melihat bahawa usaha-usaha pembangunan yang dibuat oleh kerajaan tidak menjejas ataupun tidak memberi seolah-olah satu tekanan kepada satu golongan masyarakat lain.

(11)

Tuan Yang di-Pertua, sebagai contohnya, saya pernah menyebut dalam Dewan ini banyak kali. Yang menjadi pertikaian ataupun yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ramai rakyat dalam negara ini misalnya pemakaian Akta Pengambilan Balik Tanah yang mana kita pernah mendengar dari kerajaan berkali-kali dalam Dewan ini, bahawa Akta Pengambilan Balik Tanah akan dikaji semula dan suatu peruntukan baru barangkali akan dirangka untuk memberi keadilan dan kepentingan kepada semua pihak. Akta Pengambilan Balik Tanah yang ada sekarang sedikit sebanyak akan memberi penindasan kepada golongan ataupun tuan-tuan tanah.

Tuan Yang di-Pertua, sebelum pindaan ini dibawa ke dalam Dewan yang mulia ini, kerajaan memang dibenarkan mengambil balik tanah tetapi hanya akan kepentingan awam. Kerajaan boleh mengambil tanah untuk kepentingan membina hospital, boleh mengambil tanah untuk membina sekolah, boleh mengambil tanah untuk membuat jalan raya kerana kesemuanya ini adalah merupakan kepentingan awam.

Tetapi, kalau kita mengambil tanah untuk memberi keuntungan kepada beberapa pihak tertentu atas nama pembangunan ekonomi, maka tentulah ianya akan berlaku ketidakadilan di sana sini. Oleh yang demikian, saranan untuk meminda semula akta pengambilan balik tanah ini perlu disokong untuk mengembalikan semula semangat pengambilan balik tanah sebelum ianya dipinda iaitu kerajaan hanya boleh mengambil balik tanah atas kepentingan

(12)

awam semata-mata dan bukan atas kepentingan-kepentingan lain. Kerajaan boleh mengambil balik tanah tetapi pengambilan itu mestilah dikhususkan kepada kepentingan awam semata-mata. Tidaklah boleh ada suatu peruntukan di mana pengambilan balik tanah dibuat tetapi ianya menggunakan atas dasar pembangunan ekonomi yang sehingga menjadi suatu peringkat di mana telah memberi keuntungan yang besar kepada beberapa kelompok tertentu untuk memperkayakan diri sendiri.

Tuan Yang di-Pertua, dalam konteks ini juga, saya menyambut baik ucapan yang dibuat oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri semasa menghadiri Konvensyen Sempena 50 Tahun Perayaan UMNO yang dibuat beberapa hari yang lepas. Saya pernah menyatakan perkara yang sama dalam Dewan ini dua minggu lepas, bahawa ....

Dato’ Dr. Haji Jamaluddin bin Dato’ Mohd. Jarjis: [Bangun]

Timbalan Yang di-Pertua [Tuan Ong Tee Keat]: Yang Berhormat, Rompin bangun.

Dato’ Dr. Haji Jamaluddin bin Dato’ Mohd. Jarjis: Tuan Yang di-Pertua, minta penjelasan. Saya bersyukurlah dengan ucapan oleh Ahli Yang Berhormat tadi, adakah ini merupakan era baru kita bersama-sama kita dalam keluarga?

Dato’ Haji Sukri bin Haji Mohamed: Tuan Yang di-Pertua, itu tafsiran Ahli Yang Berhormat, tetapi saya hendak menjelaskan bahawa kami

(13)

daripada parti Melayu Semangat 46 boleh melakukan apa sahaja demi penyatuan bangsa Melayu. [Tepuk] Tuan Yang di-Pertua, itulah prinsip yang kami dukung selama ini.

Kembali kepada ucapan Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri beberapa hari lepas, senada dengan ucapan yang pernah saya ucapkan dalam Dewan ini semasa membahaskan Titah Ucapan DiRaja, bahawa tugas dan peranan golongan korporat di negara ini yang mencapai kekayaan, yang mendapat keuntungan daripada hasil usaha yang dibuat oleh kerajaan sepatutnya keuntungan dan kekayaan ini hendaklah ada sebahagiannya disumbang kembali untuk pembangunan masyarakat. Tugas dan tanggungjawab sosial golongan korporat ini belum berakhir.

Tuan Yang di-Pertua, sebab itu, baru-baru ini ada satu cadangan supaya mewujudkan suatu zakat ekonomi. Zakat ekonomi ini adalah suatu cadangan yang baik, supaya keuntungan-keuntungan yang diperolehi daripada hasil penswastaan projek-projek kerajaan, hasil daripada pembangunan negara ini, yang diperolehi oleh beberapa golongan di dalam negara, mestilah dipulang kembali kepada golongan yang memerlukan.

Tuan Yang di-Pertua, kita lihat bahawa selama ini beban membangunkan masyarakat, beban membangunkan negara kita adalah terletak di bahu kerajaan semata-mata, sudah tiba masanya bahawa mereka yang mempunyai kepentingan dan memperolehi keuntungan ini menyumbang

(14)

kembali sebahagian daripada keuntungan yang diperolehi untuk membangunkan masyarakat dalam memenuhi tuntutan dan tanggungjawab sosial yang perlu dipikul bersama.

Tuan Yang di-Pertua, kalau kita lihat pada masa ini, bidang yang menjadi asas kepada orang Melayu di luar bandar ialah bidang pertanian tetapi dengan pembangunan pesat dalam bidang perindustrian pada masa ini, kita melihat bahawa bidang pertanian di kawasan-kawasan luar bandar terutamanya petani-petani dan penoreh-penoreh getah, bidang ini semakin lama semakin ketinggalan. Petani-petani dan penoreh-penoreh getah di kampung tidak lagi berkemampuan untuk berganding dan merebut peluang-peluang yang banyak yang wujud dalam negara kita. Bidang pertanian mesti diberi nafas baru sama ada dalam pembentukan suatu dasar pembangunan, pertanian yang baru atau dalam kemudahan-kemudahan lain yang perlu difikirkan oleh kerajaan. Saya percaya jika bidang pertanian tidak diberi nafas baru ianya akan menjejaskan pendapatan sebilangan besar orang-orang Melayu yang berada di kawasan luar bandar.

Tuan Ruhanie bin Haji Ahmad: [Bangun]

Timbalan Yang di-Pertua [Tuan Ong Tee Keat]: Yang Berhormat, Parit Sulong bangun.

Tuan Ruhanie bin Haji Ahmad: Tuan Yang di-Pertua, saya gembira, sahabat saya dari Machang ada suara baru. Saya hendak bertanya, beliau sedar

(15)

atau tidak bahawa Dasar Pertanian Negara akan dikaji semula dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh?

Dato’ Haji Sukri bin Haji Mohamed: Tuan Yang di-Pertua, saya memang sedar, sebab itulah saya nyatakan, nafas baru yang hendak diberi dalam Dasar Pembangunan Pertanian Kebangsaan ataupun apa sahaja nama, mestilah merupakan suatu dasar yang memberi suatu nafas baru kepada bidang pertanian di negara kita. Kita sedar sekarang ini, bidang pertanian tidak boleh bersaing dengan bidang perindustrian yang sedang diwujud dan sedang disemarakkan oleh pihak kerajaan. Jika bidang ini tidak diberi suatu nafas baru, maka segolongan besar masyarakat negara ini terutamanya orang Melayu yang bergantung kepada bidang pertanian, tidak akan menikmati hasil daripada pembangunan yang sedang berjalan pesat.

Tuan Yang di-Pertua, bidang pertanian, nafas baru yang saya maksudkan tadi, mestilah melihat dalam konteks yang lebih luas, bukan hanya semata-mata membantu bidang pertanian dalam bentuk subsidi. Sudah tiba masanya bidang pertanian di negara kita diberi satu nafas baru dalam bentuk pertanian moden, bukan sahaja dalam bentuk yang ada sekarang. Apa yang ada sekarang, ialah pembangunan ekonomi pertanian yang hanya cukup untuk menyara hidup keluarga. Bidang pertanian ini perlu diperluaskan lagi untuk mencakupi sehingga ke peringkat eksport sekali pun.

(16)

Tuan Yang di-Pertua, bagi tujuan ini, Jabatan Pertanian dan Kementerian Pertanian mesti memainkan peranan yang lebih dari segi penyelidikan dan sebagainya, penyelidikan, bantuan sama ada dalam bentuk teknologi kepada sektor pertanian supaya hasil pertanian yang ada sekarang ini dapat dipasarkan dengan baik di masa-masa yang akan datang.

Tuan Yang di-Pertua, salah satu perkara lain yang menjadi rungutan sebilangan besar daripada rakyat negara ini sekarang ialah peningkatan taraf hidup yang begitu ketara. Saya tidak hairan, kalaulah Ahli Yang Berhormat dari Larut menyebut tadi, bahawa polis dan tentera mesti diberi suatu nafas baru kerana kita lihat, kecenderungan rakyat negara ini sama ada daripada orang Melayu, sama ada daripada orang Tionghua untuk menyertai angkatan tentera, mereka tidak berminat kerana gaji yang diberikan kepada golongan ini terlalu kecil.

Saya difahamkan misalannya semasa latihan, elaun yang dibayar tak sampai RM200, bagaimana kita boleh menarik golongan muda negara ini untuk berkecimpung dan memberi khidmat bagi menjaga keselamatan negara jika peningkatan taraf hidup begitu tinggi, sedangkan perolehan gaji yang dibayar adalah tidak lumayan sama sekali.

Tuan Yang di-Pertua, dalam kita melaksanakan Dasar Pembangunan Nasional yang sekarang ini masuk fasa kedua, satu golongan yang amat penting ialah golongan pentadbir dan pelaksana, dasar yang digubal walau sebagaimana

(17)

baik sekali pun tetapi jika tidak mendapat kerjasama dan tidak mendapat persefahaman daripada golongan pelaksana, dasar yang baik tadi tidak akan dapat dimanfaatkan oleh semua pihak.

Tuan Yunus bin Rahmat: [Bangun]

Timbalan Yang di-Pertua [Tuan Ong Tee Keat]: Yang Berhormat, Jelebu bangun.

Tuan Yunus bin Rahmat: Tuan Yang di-Pertua, di atas saranan Ahli Yang Berhormat dari Machang, adakah Ahli Yang Berhormat bercadang untuk menyarankan kepada kerajaan ataupun mencadangkan kepada kerajaan untuk JPA ataupun Suruhanjaya Perkhidmatan Awam mengkaji semula tangga gaji dan juga gaji permulaan bagi seluruh skim perkhidmatan yang ada di negara ini?

Dato’ Haji Sukri bin Haji Mohamed: Tuan Yang di-Pertua, baru-baru ini kita mendengar sebagai inisiatif yang dibuat oleh kerajaan, skim gaji guru telah dikaji semula. Pengkajian semula ini bukan sahaja kepada kelompok guru tetapi mesti dibuat kepada semua kakitangan awam yang ada lebih kurang 800,000 tenaga kakitangan awam dalam negara ini sekarang.

Kalau kita membuat kajian hanya kepada satu kelompok sahaja, sedangkan beban kerja yang ditanggung oleh pegawai-pegawai ini atau kakitangan awam ini meningkat dari semasa ke semasa, dengan beban tugas

(18)

yang begitu banyak tentulah inisiatif ataupun kecenderungan untuk melakukan kerja dengan lebih baik di kalangan mereka ini tidak akan timbul.

Tuan Yang di-Pertua, sebab itu dalam konteks kita melancarkan usaha-usaha yang dibuat ataupun dalam konteks kita melancarkan Dasar Pembangunan Ekonomi Negara, kita tidak boleh lari daripada hakikat bahawa dasar yang dibuat ini tidak akan mencapai matlamatnya jika golongan pelaksana tidak memainkan peranan mereka dan salah satu perkara asas, salah satu perkara atau masalah yang paling penting dalam palaksanaan dasar-dasar pembangunan ini ialah pembaziran. Sehingga sebanyak mana peruntukan kita buat sekali pun, Tuan Yang di-Pertua, tetapi kalaulah proses ataupun dari segi pelaksanaannya melibatkan seolah-olah pembaziran di semua peringkat, ianya tidak mencapai matalamat. Dalam beberapa minggu lepas, saya pernah menyatakan dalam Dewan ini, memetik satu ucapan oleh Ketua Setiausaha Negara bahawa terdapat pembaziran yang banyak di kalangan jabatan-jabatan kerajaan sekarang ini sehingga beliau menyebut angka sehingga sampai 25% pembaziran wujud, pembaziran dari segi masa, pembaziran dari segi kewangan, pembaziran dari segi alat atau bahan material di pejabat dan sebagainya. Semuanya ini adalah merupakan halangan yang perlu kita fikir bersama untuk mencapai matlamat tadi. Sekiranya halangan ini masih wujud, saya percaya walau sebagai mana baik pun dasar yang dibuat ianya tidak akan membawa apa-apa makna.

(19)

Tuan Yang di-Pertua, seterusnya dalam konteks kita melancarkan dasar ataupun Rancangan Malaysia Ketujuh, saya ingin berseru kepada pihak Kerajaan Barisan Nasional, dalam konteks pembangunan di negeri Kelantan, kita tahu sejak lebih kurang 6 tahun yang lepas, perbezaan politik antara Kerajaan Pusat dengan Kerajaan Negeri Kelantan telah menimbulkan banyak masalah dari segi konteks pembangunan. Kita tahu semua projek-projek besar yang sepatutnya dibawa ke Kelantan tergendala untuk sementara waktu.

Tetapi, Tuan Yang di-Pertua, dalam Rancangan Malaysia Ketujuh ini kita tidak boleh menjadikan asas perbezaan politik ini sebagai hasrat untuk melaksanakan dasar pembangunan kita untuk kebaikan semua rakyat. Saya menyeru kepada Kerajaan Pusat supaya menghentikan perbezaan politik ini, tidak kira sama ada sesiapa memerintah negeri Kelantan.

Timbalan Yang di-Pertua [Tuan Ong Tee Keat]: Yang Berhormat, Rompin bangun.

Dato' Dr. Haji Jamaluddin bin Dato' Mohd. Jarjis: Minta penjelasan ya. Tadi Yang Berhormat bercakap tentang perbezaan pendapat di antara Kerajaan Pusat dan Negeri, saya hendak bertanya, seandainya Timbalan Menteri Besar II, Yang Berhormat Rozali dipecat oleh kerajaan PAS, adakah Yang Berhormat mempunyai pandangan yang sama?

Dato’ Haji Sukri bin Haji Mohamed: Saya mempunyai pandangan yang sama, Tuan Yang di-Pertua, tidak kira siapa yang memerintah. Kita tahu

(20)

bahawa di negeri Kelantan, 96% adalah orang-orang Melayu. Alangkah malangnya kalau rancangan pembangunan kerajaan yang dibuat tetapi oleh kerana perbezaan politik tadi, orang Melayu negeri Kelantan menjadi mangsa. Tidak kira sesiapa memerintah negeri Kelantan, tidak kira sesiapa memerintah di Kerajaan Pusat, semangat Pembentukan Persekutuan Tahun 1948 mesti diteruskan. Sudah tiba masanya, Tuan Yang di-Pertua, perbezaan politik ini diketepikan.

Timbalan Yang di-Pertua [Tuan Ong Tee Keat]: Yang Berhormat, sila gulung.

Dato’ Haji Sukri bin Haji Mohamed: Saya menyeru kepada kerajaan, ketepikan perbezaan politik ini untuk sementara demi pembangunan dan masa depan orang Melayu di negeri Kelantan, tidak harus ada perbezaan politik untuk dijadikan sebagai halangan untuk meneruskan projek-projek pembangunan besar. Sebab itu dulu kita pernah dengar jalan, misalnya rangkaian lebuh raya yang menghubungkan Pantai Barat dengan Pantai Timur, sampai sahaja setakat Terengganu, berhenti di sana. Ini tidak harus dijadikan ukuran, Tuan Yang di-Pertua. Soal perbezaan politik suatu perkara lain, tetapi dalam konteks pembangunan untuk rakyat khususnya orang negeri Kelantan dan begitulah juga saya berseru kepada Kerajaan Negeri Kelantan bahawa perbezaan politik ini mesti diketepikan jika kita ingin melihat orang Melayu Kelantan turut sama di dalam arus pembangunan negara yang sedang berjalan

(21)

pesat sekarang ini. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.

Timbalan Yang di-Pertua [Tuan Ong Tee Keat]: Batu Gajah. 3.04 ptg.

Tuan Yeong Chee Wah [Batu Gajah]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Saya bangun untuk mengambil bahagian dalam membahaskan suatu usul yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengenai Rancangan Malaysia Ketujuh bagi tempoh 1996 hingga 2000 untuk Malaysia muncul ke abad 21 yang telah dinanti-nantikan oleh semua lapisan rakyat, bukan di dalam Malaysia sahaja, bahkan kepada ramai pemimpin-pemimpin asing yang ingin belajar dan menjadi contoh mereka serta melahirkan ilham membentuk dan merancang strategi untuk membangunkan negara mereka.

Saya bagi pihak seluruh pengundi dan rakyat di kawasan Batu Gajah ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri dan semua Menteri dalam Kabinet Kerajaan Barisan Nasional serta pegawai-pegawai kerajaan yang telah melibatkan diri mereka bersama-sama berusaha untuk mewujudkan Rancangan Malaysia Ketujuh ini.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin memetik apa yang dilafazkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, berkata:

(22)

“Kita tidak sahaja merancang, kita melaksanakan rancangannya, bukan sahaja merangka rancangan untuk 5 tahun dan rancangan tahunan tetapi kita juga merangka setiap projek dan setiap program. Kita mungkin memandang ringan akan rancangan dan penentang ini tidak menganggapnya sebagai penting. Sikap sedemikian adalah merbahaya kerana rancangan 5 tahun negara adalah amat penting kepada pembangunan negara. Sesungguhnya kemakmuran yang kita semua nikmati pada hari ini, pertumbuhan ekonomi sebanyak 8% setahun, pendapatan penduduk termasuk kakitangan kerajaan yang giat meningkat adalah hasil daripada pelaksanaan rancangan-rancangan ini. Rancangan ini diterjemahkan dalam bentuk projek dan program yang dapat dilihat dan dinikmati oleh rakyat”.

Tuan Yang di-Pertua, ini sudah sangat jelas hanya Kerajaan Barisan Nasional sahaja mampu dan berkaliber untuk merancang, melaksana dan menunaikan apa yang kita cakap. Apa yang kita janjikan, saya yakin, selain daripada Kerajaan Barisan Nasional tidak sesiapa mungkin dapat menunaikan perjanjian mereka seperti yang disarankan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita. Banyak negara yang tidak dapat menghasilkan pencapaian mereka yang diharapkan. Kebanyakan mereka gagal sebahagian tidak benar-benar tidak dilaksananakan dan tinggal rancangan mereka sebagai dokumen hiasan sahaja.

(23)

Tuan Yang di-Pertua, sebagai rakyat yang cinta dan taat setia kepada negara yang kita sayangi ini, termasuklah pihak pembangkang, marilah kita berikrar, berjanji akan memastikan parti dan bangsa sama-sama menumpukan segala usaha dan daya kita untuk memberi jaminan kita bahawa kita akan bersungguh-sungguh menjayakan Rancangan Malaysia Ketujuh ini seterusnya menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

Tuan Yang di-Pertua, kejayaan Rancangan Malaysia Ketujuh ini adalah bergantung kepada kestabilan politik dan sosial. Hubungan antara pekerja dan majikan perlu ditingkatkan supaya suasana bekerja sentiasa berada dalam keadaan baik dan dedikasi. Berhubungan dengan perkara ini, saya bersetuju dengan pandangan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri iaitu, saya quote:

“Penggunaan pekerja asing bukanlah satu penyelesaian bagi masalah kekurangan tenaga buruh. Kita ingin bergantung kepada rakyat kita supaya sebahgian besar faedah daripada dasar perindustrian dinikmati oleh rakyat kita sendiri”.

Tuan Yang di-Pertua, saya tertarik atas kenyataan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang menyatakan bahawa pertumbuhan yang besar telah meningkatkan pendapatan perkapita dari RM6009 pada tahun 1990 kepada RM9786 pada tahun 1995. Peningkatan pendapatan ini menyebabkan peningkatan yang besar dalam kuasa beli atau purchasing power, dengan izin. Pertumbuhan ekonomi yang tinggi akan mempengaruhi kenaikan harga dan

(24)

peningkatan pendapatan mewujudkan peningkatan purchasing power di kalangan rakyat yang berpendapatan sederhana yang kini bertambah banyak. Saya yakin bilangan pendapatan sederhana akan bertambah banyak lagi menjelang tahun-tahun yang akan datang. Mereka ini akan menjadi dalang produktiviti yang paling besar di negara ini, maka sampailah masa di mana kerajaan perlu memberi pertimbangan yang wajar untuk mengkaji semula struktur-struktur cukai pendapatan yang sedia ada sekarang supaya kelas pendapatan sederhana ini dapat menikmati perkembangan ekonomi dan sosial yang bermakna supaya mereka mampu menyimpan sedikit wang dalam bank dan institusi kewangan untuk hari hujan dan kecemasan. Mereka juga tidak akan dibeban oleh pelbagai peringkat cukai pendapatan dan inflasi.

Saya ingin mencadangkan bahawa definasi bagi tafsiran golongan termiskin ditingkat dari pendapatan RM100 dinaikkan kepada RM300 sebulan sekeluarga, tafsiran bagi golongan termiskin dinaikkan daripada RM250 sebulan sekeluarga kepada RM450 sebulan sekeluarga di kawasan luar bandar manakala RM400 sebulan sekeluarga ditingkatkan sehingga RM700 sebulan sekeluarga di kawasan bandar. Pembayar cukai akan dikenakan cukai mulai daripada RM15,000 pendapatan tahunan. Cadangan ini adalah sejajar dengan apa yang disarankan di muka surat 32 teks ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, saya petik:

(25)

“Dasar kerajaan adalah untuk meningkatkan pendapatan pekerja supaya mereka dapat menikmati taraf hidup yang lebih baik”. Tuan Yang di-Pertua, berkenaan dengan polisi penswastaan, saya mengaku penswastaan telah memberi manfaat dan faedah yang besar kepada negara. Ia telah mengurangkan beban perbelanjaan kerajaan untuk pentadbiran dan pembangunan dan juga menambah hasil kerajaan. Pada pandangan saya, dasar penswastaan perlu menepati hasrat kerajaan di mana projek penswastaan perlu dijalan atau dikendalikan dengan kawalseliaan yang rapi supaya ia tidak membebankan kepentingan dan kemudahan yang lama dinikmati oleh rakyat keseluruhannya.

Berhubung dengan perkara ini, saya ingin menarik perhatian kerajaan tentang projek penswastaan yang dikendalikan oleh Indah Water Konsortium (IWK) yang diberi mandat oleh kerajaan untuk menjalankan perkhidmatan pembetungan di seluruh negara.

Tuan Yang di-Pertua, sedar atau tidak, beribu-ribu aduan telah dikemukakan oleh pengguna-pengguna di merata-rata tempat tentang

perkhidmatan Indah Water Konsortium yang tidak ada atau kurang memberi service yang dijanjikan. Tetapi caj-caj terpaksa dibayar walaupun tiada service yang diberikan oleh IWK. Ketidakmampuan dan kelemahan IWK yang begitu ketara, sehingga ia menjejaskan dasar penswastaan dan nama baik kerajaan selama ini.

(26)

Saya ingin memberi sedikit contoh di mana pihak IWK perku dihukum atau ditamatkan kontraknya. Perkhidmatan pembentungan IWK tidak

setanding dengan apa yang diiklankan. Caj-caj yang dikenakan tidak seimbang dengan apa yang dijanjikan. Kecekapan dan kebolehan adalah jauh beza atau....

Dato' Haji Badruddin bin Amiruldin: [Bangun]

Timbalan Yang di-Pertua [Tuan Ong Tee Keat]: Yang Berhormat, Yan bangun.

Tuan Yeong Chee Wah: Oleh kerana masa, minta maaf.

Dato' Haji Badruddin bin Amiruldin: Adakah Yang Berhormat bersetuju supaya setiap projek yang IWK hendak masuk ke dalam majlis-majlis daerah ini perlu dibincang dengan majlis daerah tempatan supaya mereka dengan ini lebih tahu bahawa rumah-rumah mana yang perlu dicaj dan rumah mana yang tidak perlu dicaj? Adakah Yang Berhormat bersetuju atau tidak?

Tuan Yeong Chee Wah: Saya bersetuju, memang bersetuju. [Ketawa] Kecekapan dan kebolehan adalah jauh beza atau kurang penting dengan

kerajaan tempatan bagi mengendalikan perkhidmatan pembentungan yang lalu. Di kawasan Ipoh dan Batu Gajah sahaja hampir semua tapak pembetungan yang telah diambil alih oleh IWK didapati menyebab bau busuk semakin lama semakin bertambah. Tapak pembentungan yang berada di 42 buah taman kediaman di kawasan Majlis Bandaraya Ipoh telah diambil alih oleh pihak berkuasa tempatan. Tetapi IWK enggan menerimanya. Ini menyebabkan

(27)

kawasan tersebut langsung tidak mempunyai perkhidmatan sama sekali. Penghuni-penghuni juga menghadapi masalah iaitu siapakah yang bertanggungjawab atas perkhidmatan pembentungan di kawasan kami.

Perhubungan awam adalah menurun sampai tahap, seperti telefon tiada orang tengah, soalan enggan dijawab, tetapi caj-caj atau tunggakan-tunggakan yang tidak berasas itu diminta bayar dahulu. Segala pengaduan-pengaduan tidak dilayani, kecuali dapat membuktikan hutang yang tidak berasas itu telah dijelaskan.

Tuan Yang di-Pertua, saya rasa kerajaan perlu mengambil tindakan segera untuk mengelakkan nama baik Kerajaan Barisan Nasional dirosakkan oleh pihak IWK. Saya ingin mencadangkan tindakan wajar perlu diambil sama ada IWK layak atau tidak meneruskan kontrak perkhidmatan pembentungan yang diberikan. Garis panduan dan cara perkhidmatan perlu diterang dan difahamkan oleh semua pengguna air di setiap tempat yang terlibat. Pengiraan kadar perkhidmatan perlu dikaji semula di mana segala caj-caj yang dikenakan itu betul-betul setimpal dengan perkhidmatan yang diberikan.

Tuan Yang di-Pertua, dengan memenuhi cadangan-cadangan tersebut, saya yakin pengguna-pengguna akan menyokong penuh apa yang dikatakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam ucapannya. Saya quote,

(28)

“Pengguna mendapat manfaat daripada penyediaan kemudahan awam yang lebih awal dan berkualiti dengan peningkatan kos yang minimum bagi projek penswastaan.”

Tuan Yang di-Pertua, berkenaan dengan nilai hidup dan membentuk sebuah masyarakat penyayang, saya ingin menarik perhatian kepada pegawai-pegawai kerajaan, khasnya kepada mereka yang diberi kuasa untuk bertindak. Sebarang tindakan yang diamanahkan oleh kerajaan perlu dijalankan dengan cara baik dan meyakinkan semangat penyayang mesti diutamakan supaya nama baik sesuatu jabatan sentiasa dapat ditahankan dan disokong dengan penuh keyakinan oleh setiap lapisan masyarakat, khasnya masyarakat yang berpendapatan rendah dan miskin.

Satu kejadian yang berlaku baru-baru ini di Ampang Baru, Ipoh, di mana saya sendiri nampak dan dengar adanya beberapa anggota polis menggunakan kuasa yang diberikan untuk menahan dan menghalang peneroka-peneroka yang miskin memprotectkan atau melindungi hasil-hasil yang mereka usahakan itu supaya pemaju-pemaju perumahan dapat memajukan projek mereka tanpa memberikan apa-apa ganti rugi atau pampasan. Sebenarnya, pihak polis dipanggil berada di situ tanpa diberitahu apakah keadaan yang sebenarnya dan apakah perkembangan mengenai ganti rugi yang telah dikenakan oleh pihak pemaju. Pihak polis melarang peneroka-peneroka dan saya sendiri memasuki tempat yang terbabit itu pada awalnya. Selepas protes saya sebagai Wakil

(29)

Rakyat, adalah tanggungjawab saya untuk memberi apa-apa pertolongan yang wajar untuk menyelesaikan masalah orang tak kira mereka berada di mana-mana tempat barulah polis membenarkan saya dan peneroka-peneroka memasuki tempat yang terlibat itu.

Tuan Yang di-Pertua, masalahnya bukan perkara keselamatan. Masalahnya adalah mereka mempunyai hak memasuki tempat yang bukan kawasan darurat yang sedang diusahakan oleh mereka. Masalahnya adalah segelintir pihak polis menyalahgunakan kuasa untuk menghalang orang-orang miskin atau setinggan-setinggan untuk membela dan mempertahankan harta benda mereka supaya dia tidak dirosakkan oleh pemaju-pemaju yang sentiasa menyalahgunakan pengaruh mereka untuk mendapat keuntungan yang maksimum.

Masalahnya juga melibatkan pihak-pihak yang berkuasa sama ada mereka mempunyai sikap dan perangai untuk membantu serta mewujudkan semangat penyayang bagi orang-orang yang memerlukan pertolongan supaya mereka dapat bersama-sama menikmati masyarakat penyayang yang dirancang dan dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional. Perkara ini penting, saya harap pihak yang berkenaan dapat menimbang dan mengkaji semula tentang masalah meroboh rumah-rumah setinggan dan membersihkan tanah-tanah yang telah dan sedang diusahakan berpuluh-puluh tahun oleh golongan yang miskin boleh dibersihkan tanpa pertimbangan masalah kemanusiaan dan masyarakat penyayang. Saya juga minta pihak polis menimbang sama ada wujud atau tidak terus membantui pemaju-pemaju untuk merebut keuntungan yang lumayan.

(30)

Tuan Yang di-Pertua, dalam Rancangan Malaysia Keenam, kerajaan telah berusaha meningkatkan keupayaan teknologi tinggi untuk menjadikan program penyelidikan dan pembangunan (P&P) bagi sektor awam yang berorientasi permintaan dan menepati keperluan industri sektor swasta untuk juga memberi sumbangan yang lebih besar kepada pengluasan aktiviti penyelidikan inovasi dan pengeluaran produk dalam sektor pembuatan.

Bagi Rancangan Malaysia Ketujuh, dalam bab 13, Kerajaan Barisan Nasional telah mengambil sikap keutamaan untuk menggalakkan sains baru dan penyelidikan dan inovasi teknologi tinggi bagi mengekalkan kadar pertumbuhan yang pesat dan meningkatkan taraf hidup rakyat kita. Di sini saya ucapkan tahniah atas kejayaan dalam bidang ini.

Tuan Yang di-Pertua, dalam kata pendahuluan di buku Rancangan Malaysia Ketujuh, menyatakan bahawa Rancangan Malaysia Ketujuh akan mengekal dan meneruskan penekanan kepada konsep pembangunan seimbang. Maka konsep seimbang ini perlu dititikberatkan dalam pembangunan teknologi tinggi dan kegunaan tenaga nuklear untuk meningkatkan pertumbuhan yang pesat. Ia akan membawa sampingan buruk membahayakan kepada manusia dan alam sekitar. Kita tidak dapat menurut keadaan apabila aktiviti-aktiviti yang terlampau banyak, maka sisa-sisa pembuangan toksik dan merbahaya juga bertambah banyak. Maka ia perlu meningkatkan cara kendalian dan cara penyimpangan sisa-sisa yang merbahaya itu supaya ia tidak mendatangkan ancaman yang lebih serius dan lebih lama.

Saya sangat mengkhuatiri ancaman sisa-sisa toksik dan sisa radio aktif yang bertambah serius hari demi hari kerana tapak pembuangan dan simpangan yang selamat masih belum ditentukan di negeri masing-masing setakat ini. Tetapi pengeluaran sisa-sisa tersebut sedang dan akan bertambah banyak, maka ancaman juga bertambah serius hari demi hari. Keadaan ini harus diselesaikan

(31)

dengan tindakan segera supaya rakyat Malaysia dapat menyakinkan keadaan hidup mereka tidak terjejas dari sekarang hingga hari-hari yang akan datang.

Tuan Yang di-Pertua, satu masalah pencemaran yang membawa kesan buruk berpanjangan bukan terhad dalam satu tahun, 10 tahun atau 100 tahun. Ia terus mengancam kesihatan dan keselamatan kepada anak-anak, cucu-cucu kita selama 100 juta tahun, iaitu pencemaran radioaktif daripada tapak pembuangan sisa-sisa radioaktif di belakang kilang Asia Rare Earth di hadapan Kampung Baru Bukit Merah, Jalan Lahad dan tapak simpanan di Jalan Bukit dekat Pekan Papan. Kedua-dua tapak tersebut adalah terletak di dalam kawasan pilihan raya Batu Gajah yang mana saya yang dipilih menjadi wakil rakyat mereka.

Tuan Yang di-Pertua, serangan sinaran radioaktif yang berbahaya ini berpunca dari sisa-sisa pembuangan yang mengandungi bahan-bahan ‘docria’ dan dorium hidroksida dan sebagai hidroksida yang larut dan tidak larut ke dalam air sungai atau mencairkan ke dalam seluruh saluran air bawah tanah. Saintis-saintis telah mengesahkan bahawa docria dan dorium hidroksida mengandungi sinaran radioaktif yang membahayakan hidupan dan alam sekitar sekurang-kurangnya 100 juta tahun lamanya. Serangan sinaran radioaktif akan membawa penyakit seperti kanser, leukemia, penyakit tulang dan liver dan dia juga mengancam ibu-ibu yang mengandung sekiranya mereka berturut-turut berada di dalam lingkungan sinaran dalam masa yang singkat.

(32)

Tuan Yang di-Pertua, tapak-tapak yang menyimpan sisa-sisa keracunan itu mesti diperiksa, dikaji dengan rapi, setiap masa yang tertentu untuk menjamin ianya sentiasa kukuh dan terkawal. Jika tapak tersebut dilanda banjir atau tanah runtuh akan mengakibatkan racun ini tercemar melalui saluran Sungai Johan dan Sungai Kinta atau melalui saluran air bawah tanah, menjejaskan kesihatan manusia dan mencemarkan alam sekitar di kawasan yang besar. Seramai 1 juta penduduk di Papan, Pusin, Lahad, Mekrabo, Batu Gajah, Parit dan Telok Intan akan menghadapi risiko yang serius dan buruk.

Tuan Yang di-Pertua, kita mesti...

Timbalan Yang di-Pertua [Tuan Ong Tee Keat]: Yang Berhormat, sila gulung.

Tuan Yeong Chee Wah: Ya. Kita mesti sentiasa ‘sediakan payung sebelum hujan’. Memandangkan negara kita telah mencapai kemajuan yang mengkagumkan, pertumbuhan ekonomi dan industri yang begitu pesat, maka kegunaan teknologi yang mengandungi bahan radioaktif dan radio nuklear juga meningkat berlipat ganda dalam bidang sains, teknologi tinggi industri pertanian khasnya dalam mikro elektronik dan bahan-bahan termaju dan termoden. Oleh yang demikian, saya dengan segala hormatnya ingin mendapatkan penjelasan-penjelasan yang lebih lanjut tentang apakah implikasi atau risiko yang mungkin akan kita hadapi dan apakah langkah-langkah yang

(33)

positif sedang dan akan diambil supaya strategi dan penyakit-penyakit elektronik dan nuklear dapat dielakkan dengan seboleh-bolehnya.

Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong dengan sepenuh-penuhnya Usul yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Sekian, terima kasih.

Beberapa Ahli: [Bangun]

Timbalan Yang di-Pertua [Tuan Ong Tee Keat]: Nampaknya ramai lagi yang hendak berucap, tetapi setiap blok tetap akan mendapat peluang. Ya, Kemaman.

Seorang Ahli: Terima kasih, tahniah! tahniah! 3.26 ptg.

Dr. Ramli bin Taib [Kemaman]: Tuan Yang di-Pertua, saya bangun untuk turut serta dalam perbahasan Usul Rancangan Malaysia Ketujuh yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 6hb. Mei yang lepas dan saya akan menyentuh beberapa perkara penting.

Pertamanya mengenai industri petroleum dan gas serta peranan Petronas dalam memastikan peningkatan, penglibatan bumiputera dalam industri ini.

Tuan Yang di-Pertua, industri petroleum memainkan peranan yang sungguh bermakna kepada pertumbuhan ekonomi negara. Ia telah menghasilkan revenue dan eksport yang besar kepada negara. Dalam kita mengorak langkah menuju ke negara maju pada tahun 2020, industri petroleum

(34)

akan terus memainkan peranan yang amat penting dalam menggerakkan program perindustrian negara. Begitu juga dengan gas asli yang mana Malaysia mempunyai simpanan yang banyak, yang telah meningkat kepada 85 trilion kaki padu dan kita merupakan pengeksport LNG ketiga besarnya di dunia.

Pengeluaran gas ini telah berkembang menjadi industri yang besar terutama untuk dieksport dan juga sebagai punca tenaga yang penting. Negeri Terengganu salah sebuah negeri yang mendapat nikmat dari industri petroleum ini telah bertukar wajah dari negeri yang ekonominya berasaskan pertanian dan perikanan dan yang mempunyai pantai yang dipenuhi dengan pohon-pohon kelapa tua menjadi sebuah negeri yang pesat membangun. Tidak dapat dinafikan bahawa industri petroleum ini dengan royalti sebanyak 5% dan pelaburan dari syarikat-syarikat minyak terutamanya dari Petronas, Terengganu telah berjaya merubah corak penghidupan rakyatnya ke arah yang lebih dinamik, yang berasaskan perindustrian.

Tuan Yang di-Pertua, Petronas yang telah ditubuhkan sejak 1974 yang dipertanggungjawabkan untuk mengawal dan membangunkan industri petroleum dan gas negara telah bertukar menjadi satu syarikat petroleum yang berorientasikan kepada keuntungan dan berjaya disenaraikan dalam Fortune International 500.

Saya ingin mengucapkan syabas kepada Petronas dan mengalu-alukan langkah Petronas untuk meningkatkan pelaburan di dalam bidang carigali di

(35)

dalam dan luar negara dalam usaha untuk menambahkan rezab petroleum negara. Begitu juga dalam aktiviti hiliran, saya mengucapkan terima kasih kepada Petronas kerana telah banyak melabur di dalam bidang ini di negeri Terengganu khususnya di Kemaman. Tetapi Tuan Yang di-Pertua, peranan Petronas untuk meningkatkan penglibatan bumiputera di dalam industri ini perlulah dilihat dengan lebih mendalam dan harus dinilai kembali.

Petronas dengan keghairahannya untuk menjadi sebuah syarikat gergasi yang mementingkan kualiti dan keuntungan agak sudah lupa akan tanggungjawab sosialnya. Kita tidak nampak akan adanya usaha yang bersungguh-sungguh yang ditunjukkan oleh pihak Petronas untuk membangunkan usahawan bumiputera di dalam industri ini. Dengan pelaburan yang berbilion-bilion ringgit, Petronas gagal untuk mengambil peluang ini untuk membangunkan lebih ramai usahawan bumiputera selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat perindustrian dan perdagangan bumiputera.

Projek-projek yang telah dilaksanakan seperti PGU iaitu Projek Penggunaan Gas Asli Semenanjung, Logi Penapisan Minyak di Kerteh dan di Melaka, Loji Pemerosesan Gas Polyethylene di Kerteh, NTBE di Kuantan dan sebagainya. Kesemuanya dimonopoli oleh syarikat-syarikat gergasi dari Jepun dan Korea. Nama-nama seperti Toyo, Mitsubishi, Hyundai, JGC, Geodac, Delim dan lain-lain sudah tidak asing lagi bagi kita.

(36)

Adalah amat menyedihkan bahawa syarikat-syarikat Jepun dan Korea ini tidak bersedia untuk memindahkan kepakaran dan teknologi kepada syarikat-syarikat tempatan. Walaupun Petronas mempunyai polisi 30% local contract ataupun memastikan 30% penglibatan kontraktor-kontraktor tempatan, dalam syarat kontrak kepada kontraktor utama, tetapi jika diteliti dengan lebih mendalam 30% local contract ini datangnya dari kerja-kerja tradisional yang tidak memerlukan teknologi yang tinggi, yang sudah biasa dilakukan oleh kontraktor tempatan seperti kerja-kerja sivil, material supply, buat bangunan, pendawaian elektrik, main power supply, gali parit, pasang pagar dan sebagainya. Kadang-kadang syarat 30% local contract ini hanya tinggal pada syarat sahaja. Ianya tidak dipraktikkan dengan sepenuhnya. Syarikat-syarikat Jepun ini mengambil kesempatan dari projek-projek di negara ini untuk melatih jurutera-jurutera baru mereka yang fresh graduate yang baru keluar dari universiti pada hal lebih ramai jurutera-jurutera kita yang jauh lebih baik daripada mereka.

Adalah menjadi tanda tanya kepada kita bagaimana fresh graduate Japanese Engineers ini boleh diberi permit kerja. Saya berharap pihak-pihak yang berkenaan supaya dapat meneliti dengan lebih teliti akan kemasukan expatriate ke negara ini supaya mereka ini betul-betul diperlukan dan mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan supaya kepentingan pekerja-pekerja dan jurutera kita terpelihara.

(37)

Tuan Yang di-Pertua, Petronas sebagai pihak yang bertanggungjawab gagal untuk memastikan polisi yang dibuatnya dipatuhi dengan sepenuhnya. Petronas amat kurang memberi tumpuan atau tidak bersungguh-sungguh untuk sama-sama membangunkan usahawan tempatan supaya lebih berdaya maju. Apa yang Petronas tahu lakukan ialah menyenaraihitamkan mana-mana kontraktor tempatan yang tidak menunjukkan prestasi yang memuaskan.

Program pembangunan vendor yang dilancarkan baru-baru ini hanya pada nama sahaja dan sekadar melepas batuk di tangga, bukannya program pembangunan atau pun development program, tetapi hanya sekadar program pemilihan vendor. Syarikat-syarikat vendor dibiarkan untuk mencari kerja-kerja yang difikirkan ada di Petronas, bukannya menawarkan kerja-kerja-kerja-kerja tertentu atau ada bantuan terancang, pandangan atau tunjuk nasihat yang boleh diberikan oleh Petronas. Pegawai-pegawai Petronas sendiri tidak prihatin terhadap konsep vendor. Oleh sebab itulah garis panduan dan penyelarasan yang berkesan tidak dapat dilakukan.

Oleh yang demikian, saya ingin menyarankan kepada kementerian dan Petronas supaya berusaha dengan lebih keras dan bersungguh-sungguh untuk memastikan program pembangunan vendor ini berjaya. Pegawai-pegawai Petronas diharap lebih prihatin terhadap penglibatan bumiputera, terutama rakyat tempatan dan usaha yang serius harus ada untuk memilih dan

(38)

membangunkan usahawan tempatan sebelum mereka dapat bersaing dengan syarikat-syarikat international yang lain.

Petronas sepatutnya sedar akan perlunya syarikat vendor yang dipilih ini diberi peluang melengkapkan diri dengan kepakaran yang secukupnya. Usahawan bumiputera terpaksa melabur dengan pelaburan yang besar dan berdepan dengan risiko yang tinggi untuk membawa teknologi kepakaran dan peralatan dari luar negara di samping memastikan produk dan perkhidmatan yang diberi itu betul-betul memenuhi kualiti yang amat ketat yang ditetapkan oleh industri ini.

Justeru itu, saya juga ingin mencadangkan agar keuntungan Petronas yang berbilion ringgit ini disalurkan sedikit untuk dijadikan tabung pembangunan bagi usahawan-usahawan yang memerlukan jaminan kewangan supaya risiko syarikat-syarikat ini terjamin.

Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin menyarankan kepada Kementerian Kewangan supaya memberi penekanan kepada Petronas atau syarikat-syarikat gergasi dari Jepun dan Korea ini yang diberi kontrak secara turnkey ini supaya mematuhi syarat-syarat yang diberikan, terutama dalam hal penglibatan bumiputera.

Adalah dicadangkan juga bahawa program vendor industri gas, petroleum dan petro kimia ini dilanjutkan kepada kontraktor-kontraktor Production Sharing Contract ataupun PSC seperti Esso dan Shell melalui

(39)

syarat-syarat tertentu dalam persetujuan PSC. Yang lebih penting, untuk memastikan lebih ramai usahawan atau lebih banyak penglibatan bumiputera di dalam bidang ini, saya mencadangkan supaya peranan Tender and Contract Department (TCD), Petronas dinilai semula.

TCD mestilah meletakkan kepentingan dan priority dalam membantu syarikat-syarikat tempatan. TCD mesti mempunyai data-data terperinci mengenai keupayaan syarikat-syarikat tempatan dan perlu mengenal pasti bidang atau area yang bumiputera masih ketinggalan. Satu penyelidikan yang terperinci perlulah dijalankan untuk mengetahui sebab-sebab kelemahan usahawan-usahawan ini dan seterusnya mencari jalan atau penyelesaian terbaik bagi memastikan mereka mengkategori semua kerja yang ada di dalam industri ini.

Pegawai-pegawai TCD harus juga diberi kata putus atau kuasa yang lebih untuk memastikan polisi ini dipatuhi kerana kita difahamkan bahawa Petronas sudah bertahun-tahun masih mengharapkan konsultan luar negara untuk membantu dalam pengurusan projek-projeknya. Konsultan-konsultan ini sudah tentulah tidak akan memberi priority sebagaimana yang kita kehendaki. Maka, adalah menjadi tanggungjawab pegawai-pegawai di Tender and Contract Department ini untuk meyakinkan konsultan-konsultan ini tentang keperluan bumiputera semasa menyediakan dokumen ITD atau pun Invitation To Build Document.

(40)

Tuan Yang di-Pertua, Petronas buat masa ini mendapatkan peralatan spare parts dan material untuk operasi dan keperluan projeknya melalui subsidinya sendiri iaitu MIECO. MIECO yang mempunyai pejabatnya di seluruh dunia mendapat bekalan ini dari agen, pembekal dan manufacturer terus dari negara-negara pembuat. MIECO ini pada dasarnya boleh mengurangkan kos dan adalah cost effective bagi Petronas, tetapi sudah tentulah MIECO ini sendiri menjadi competitor kepada pembekal-pembekal tempatan. Maka adalah lebih baik jika Petronas melalui MIECO melantik agen-agen tempatan dan seterusnya membantu mereka untuk berkembang menjadi pengedar serantau ataupun regional distributor dan marketing head quarters, sebagaimana yang dilakukan oleh syarikat-syarikat di Singapura.

Tuan Yang di-Pertua, industri petroleum dan gas yang berkembang pesat ini tidak kurang memberi ancaman kepada alam sekitar kita. Kita sering mendengar tumpahan minyak besar-besaran berlaku. Kapal yang membuang bahan-bahan toksik dan enapcemar di perairan kita dengan sewenang-wenangnya.

Mengikut Laporan Jawatankuasa Alam Sekitar Negeri Terengganu, dalam tempoh 7 Mei, 1995 hingga 12 Oktober, 1995, terdapat 19 laporan kes pembuangan minyak dan enapcemar atau sludge oleh kapal-kapal asing di perairan pantai Terengganu. 19 kes dalam masa 6 bulan. Yang tidak dikesan,

(41)

kita tidak tahu berapa. Jumlah ini tidak termasuklah kes-kes di perairan negeri lain seperti di negeri Pahang, Kelantan ataupun Johor.

Daripada 19 kes yang dilaporkan ini, hanya 3 buah kapal sahaja yang dapat ditahan oleh TLDM. Persoalannya, kenapakah orang yang tidak bertanggungjawab ini begitu berani membuang sisa-sisa toksik atau enapcemar ini dengan sewenang-wenangnya? Adakah mereka ini mengambil kesempatan dari kawalan yang begitu longgar atau undang-undang kita yang tidak begitu ketat?

Baru-baru ini, di Dewan yang mulia ini kita telah meluluskan Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 1996. Saya ingin mengucapkan syabas kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, tetapi dengan pindaan akta tanpa peningkatan aspek-aspek seperti penguatkuasaan, pengesanan dan pengawasan, penyediaan rancangan contingency, penyediaan kakitangan dan pegawai-pegawai yang terlatih dan kemudahan asas yang mencukupi, masalah ini tetap tidak akan diselesaikan.

Terdapat beberapa kekangan atau halangan yang menyebabkan kurang berkesannya penguatkuasaan maritim yang dijalankan sekarang. Di antaranya ialah kelewatan menerima lewatan dan tindakan susulan, kekurangan kakitangan dan pegawai yang terlatih, kekurangan kemudahan dan kelengkapan komunikasi yang lebih canggih, kekurangan penyelarasan di antara pihak terbabit, ketiadaan atau kekurangan bot-bot peronda yang khusus

(42)

untuk tugas-tugas penguatkuasaan dan juga tidak ada penyeragaman prosidur operasi semasa menjalankan kes-kes penyiasatan.

Justeru itu, Tuan Yang di-Pertua, saya pohon mencadangkan supaya kementerian menubuhkan sebuah pangkalan hadapan atau pun pusat operasi tumpahan minyak di Pantai Timur supaya penguatkuasaan dan pengawasan terhadap kes-kes pembuangan sisa minyak dan enapcemar ini dapat dilakukan dengan lebih berkesan lagi. Adalah wajar pusat operasi ini didirikan di negeri Terengganu dengan seberapa segera, memandangkan kedudukan negeri Terengganu yang strategik di tengah-tengah laluan utama di Laut China Selatan dan terdapatnya aktiviti-akativiti cari gali dan pengeluaran minyak di pantai negeri Terengganu.

Tuan Yang di-Pertua, selain daripada industri petroleum dan gas, Kemaman sedang berkembang pesat dengan industri-industri berat yang lain seperti besi waja, termasuklah Perwaja Steel, Gunawan Steel, petrokimia, elektronik dan juga pelancongan. Pertumbuhan yang pesat ini sudah tentulah memerlukan keseimbangan dengan pertumbuhan dari sektor-sektor lain seperti pengangkutan, perkhidmatan kesihatan, pendidikan, sumber manusia dan juga perkhidmatan-perkhidmatan yang lain.

Sistem pengangkutan seperti pelabuhan, jalan raya, pengangkutan udara perlulah dipertingkatkan dengan seberapa segera. Pelabuhan Kemaman umpamanya masih jauh ke belakang dari segi infrastruktur mahupun kecekapan

(43)

perkhidmatan. Saya ingin bertanya kepada Kementerian Pengangkutan apakah hasil dari penswastaan Pelabuhan Kemaman yang telah diselesaikan baru-baru ini? Adakah ia telah meningkatkan kecekapan atau sebaliknya? Apa yang telah terjadi kepada cadangan untuk membina dermaga cecair yang sangat-sangat diperlukan oleh industri petrokimia di Kemaman? Kita berharap pembinaan dermaga ini dapat dilaksanakan dengan seberapa segera.

Begitu juga dengan sistem pengangkutan darat lebuh raya yang dicadangkan dari Karak, Kuantan dan Kuala Terengganu masih belum dimulakan. Saya pohon penjelasan dari Kementerian Kerja Raya mengapakah projek yang diberikan oleh Konsortium MMC, MTD dan UEM ini begitu lewat hendak dimulakan pada hal kita tahu lebuh raya ini amat penting untuk menghubungkan Kuala Lumpur dengan koridor kedua perindustrian negara di Pantai Timur. Saya juga ingin kementerian menjelaskan laluan yang telah dipilih di antara Karak-Kuantan dan antara Kuantan-Kuala Terengganu.

Tuan Yang di-Pertua, sebelum saya mengakhiri ucapan saya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan kerana telah memulakan pembinaan wad baru 4 tingkat di bandar Chukai, tetapi saya difahamkan pembinaan ini tidak termasuk bilik bedah (operation theatre). Jadi, sudah tentulah kita tidak dapat menempatkan pakar bedah dan pakar-pakar sakit puan di hospital ini malah kita tahu sebagaimana yang saya katakan tadi bahawa daerah Kemaman ini berkembang pesat dengan industri berat dan

(44)

dengan penambahan penduduk dan pekerja-pekerja kilang sudah tentulah perkhidmatan kesihatan perlu dipertingkatkan dengan seberapa segera. Kes-kes kecemasan dan ibu-ibu mengandung yang perlu pembedahan terpaksa dirujuk ke Hospital Kuantan dan Kuala Terengganu. Oleh itu, sekali lagi saya mengulangi cadangan saya pada tahun yang lepas supaya Kementerian Kesihatan menempatkan doktor-doktor pakar di Hospital Daerah Kemaman dengan seberapa segera, sekurang-kurangnya pakar sakit puan atau pakar perubatan. Adalah diharapkan juga satu tambahan dapat dibuat untuk pembinaan bilik bedah (operation theatre) bersama-sama dengan pembinaan bangunan baru hospital tersebut. Sekian, saya menyokong.

Timbalan Yang di-Pertua [Tuan Ong Tee Keat]: Cheras. 3.43 ptg.

Tuan Tan Kok Wai [Cheras]: Tuan Yang di-Pertua, sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh saya memahami program penswastaan akan dipergiatkan. Rakyat Malaysia sangat prihatin terutama apabila sasaran matlamat yang akan datang terhadap penswastaan ialah penswastaan perkhidmatan kesihatan, pelupusan sampah sarap, bekalan air, kemudahan asas pendidikan, utiliti dan lain-lain yang mempunyai impak langsung terhadap rakyat.

Menurut kerajaan, ia mendapat faedah dari penswastaan kerana jumlah wang yang dapat dijimatkan dalam perbelanjaan modal bagi projek

(45)

penswastaan sepanjang tempoh RMK-6 berjumlah RM51.6 bilion atau 79.9% dari jumlah simpanan daripada penswastaan sejak tahun 1983. Tetapi apa yang saya ingin menyatakan tentang kelemahan program penswastaan ini bahawa kebanyakan ketidakadilan yang buruk yang melanda rakyat Malaysia pada hari ini di sebalik penswastaan sama ada pengusiran peneroka bandar atau pemberian kontrak berbilion ringgit. Penswastaan yang dijalankan oleh negara lain ialah untuk membayar hutang bagi menggalakkan persaingan meningkatkan kecekapan, menggalakkan pelaburan, mengurangkan saiz sektor awam atau untuk mengembangkan pemilikan saham. Tetapi matlamat utama yang tunggal penswastaan di Malaysia ialah bertujuan untuk mengumpul harta untuk Umno kaya, pemimpin, penyokongnya dan para penderma. Sebaliknya adalah sukar mempercayai bahawa rakyat Malaysia dilayani baik apabila kerajaan memberikan kontrak yang mana terma dan syaratnya menjejaskan kepentingan rakyat dan juga bertentangan dengan keadilan semula jadi.

Tuan Yang di-Pertua, Ketua Pembangkang sudah banyak menyuarakan soal kutipan tol Jalan Kuching yang mana kerajaan memutuskan secara rahsia dan menyalahi undang-undang untuk membenarkan lanjutan tempoh kutipan tol di Jalan Kuching selepas tempoh 9 tahun yang disebut dalam perjanjian konsesi pada 8hb. Januari 1996...

(46)

Timbalan Yang di-Pertua [Tuan Ong Tee Keat]: Yang Berhormat, Rompin bangun.

Tuan Tan Kok Wai: Masalah sekarang, ucapan saya memerlukan satu jam sekurang-kurangnya, maka saya tidak boleh beri jalan...

Dato’ Dr. Haji Jamaluddin bin Dato’ Mohd. Jarjis: Sedikit sahaja. Timbalan Yang di-Pertua [Tuan Ong Tee Keat]: Ya, kalau tak beri jalan, teruskan.

Tuan Tan Kok Wai: Saya ingin menegaskan di sini, jalan tak diberi, minta maaf...

Timbalan Yang di-Pertua [Tuan Ong Tee Keat]: Tetapi, Yang Berhormat diingatkan had masa itu 20 minit...

Tuan Tan Kok Wai: Saya ingin menegaskan di sini...

Dato’ Dr. Haji Jamaluddin bin Dato’ Mohd. Jarjis: Tuan Yang di-Pertua, semenjak saya dalam Dewan ini...

Timbalan Yang di-Pertua [Tuan Ong Tee Keat]: Yang Berhormat, bila saya bercakap, Yang Berhormat janganlah mencelah. Saya hendak ingatkan dia, 20 minit sahaja, bukan sejam.

Tuan Tan Kok Wai: Oleh sebab itu, saya tidak boleh memberi jalan. [Ketawa] Saya ingin menegaskan di sini bahawa kes kutipan tol Jalan Kuching jelas menunjukkan kerajaan sudah jauh menyimpang dari prinsip suci yang asal

(47)

mengenai penswastaan. Setiap orang sekarang terkejut malah beratus-ratus ribu pengguna kenderaan terpaksa membayar tol...

Dato’ Dr. Haji Jamaluddin bin Dato’ Mohd. Jarjis: [Bangun]

Timbalan Yang di-Pertua [Tuan Ong Tee Keat]: Yang Berhormat, Rompin bangun lagi.

Dato’ Dr. Haji Jamaluddin bin Dato’ Mohd. Jarjis: Beri peluang saya hendak puji Yang Berhormat, bukan hendak mengata ini!

Tuan Tan Kok Wai: Tak payahlah, tak payahlah!

Timbalan Yang di-Pertua [Tuan Ong Tee Keat]: Nak puji ni!

Dato’ Dr. Haji Jamaluddin bin Dato’ Mohd. Jarjis: Bahasa itu sudah amat baik - ‘suci’, tetapi agenda kita...

Tuan Tan Kok Wai: Saya mengucapkan terima kasih atas pujian, tetapi saya tidak...

Dato’ Dr. Haji Jamaluddin bin Dato’ Mohd. Jarjis: Tetapi tak ada cerita lainkah, tol, tol, tol! Tak ada agenda lainkah?

Tuan Tan Kok Wai: Tidak perlu saya tahu isi kandungan pujian, tidak payahlah!

Timbalan Yang di-Pertua [Tuan Ong Tee Keat]: Yang Berhormat! Dato’ Dr. Haji Jamaluddin bin Dato’ Mohd. Jarjis:...dekat abad 21...[Pembesar suara dimatikan]

(48)

Timbalan Yang di-Pertua [Tuan Ong Tee Keat]: Yang Berhormat, nampaknya pujian itu pun dia tak terima. [Ketawa] Biar dia teruskan, Yang Berhormat.

Tuan Tan Kok Wai: Beratus-ratus ribu pengguna kenderaan terpaksa membayar tol apabila melalui Jalan Kuching setiap hari dalam keadaan marah. Pengumuman Menteri Kerja Raya baru-baru ini bahawa Kamunting Corporation berhak mengutip tol bagi tempoh 7 tahun lagi kerana ini termaktub dalam perjanjian yang ditandatangani oleh kerajaan dan syarikat konsesi dalam tahun 1987. Peruntukan membenarkan lanjutan 9 tanpa 7 tahun dikaji selepas tempoh 9 tahun pertama berakhir amat tidak adil dan tidak dapat diterima oleh rakyat.

Tuan Yang di-Pertua, menurut Warta Kerajaan bertarikh 8hb. Januari 1987, ini ada satu naskhah, hari yang sama kutipan tol berjalan, bahawa tempoh 9 tahun syarikat konsesi dibenarkan mengutip tol selama 9 tahun. Mengapa tambahan 7 tahun lagi tidak disebut dalam Warta Kerajaan itu? Sekarang rakyat bertambah bimbang sama ada semua kontrak projek penswastaan mengandungi banyak peruntukan dan syarat yang memihak kepada syarikat konsesi. Kes 9 tanpa 7 tahun kutipan tol Jalan Kuching adalah merupakan salah satu daripada banyak syarat yang bertentangan dengan kepentingan awam. Apa yang kita ketahui hanyalah ‘tip of the iceberg’ sahaja.

Sebagai pembayar cukai dan pembayar perkhidmatan projek penswastaan, rakyat Malaysia berhak mengetahui apakah butir-butir lanjut mengenai 204 projek penswastaan setakat ini dan kerajaan selama ini sibuk melaung-laungkan dasar ketelusan, keadilan dalam tanggungjawab sosialnya kepada rakyat harus menghebahkan kepada orang ramai semua isi kandungan perjanjian konsesi itu. Jika kerajaan jujur dan benar bahawa semua perjanjian tidak mengandungi peruntukan yang bercanggah dengan prinsip keadilan, maka

(49)

kerajaan patut berani dan sedia mengumumkan isi kandungan kontrak-kontrak penswastaan itu.

Masalah tol Jalan Kuching bukan sahaja perkara pokok yang menimbulkan kebimbangan rakyat, tetapi ada lagi projek penswastaan seperti PLUS yang mengandungi syarat yang terlampau berat sebelah, seperti kadar tol boleh dinaikkan 50% pada 3 tahun pertama dan 3 tahun kedua dan 7 tahun seterusnya hingga 30 tahun kenaikan kadar 6% dibenarkan setiap tahun. Kadar ini adalah lebih tinggi daripada kadar inflasi.

Satu lagi contoh, di Jalan Cheras pula, selepas demonstrasi besar-besaran pada bulan September, 1990 bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba ada memberitahu bahawa kerajaan terpaksa membayar pampasan sebanyak RM100,000 sehari kepada syarikat konsesi jika ia dikehendaki memberhentikan kutipan tol, sedangkan kutipan maksimum yang diperolehi di situ pada setiap hari ialah lebih kurang RM50,000 sahaja. Apakah sebab di sebalik syarat-syarat yang berat sebelah kepada syarikat konsesi ini?

DAP ingin mendesak kerajaan menerangkan situasi sebenar mengapa perlanjutan 7 tahun kutipan tol di Jalan Kuching diberikan kepada Kamunting Corporation. Kami ingin menggesa supaya kutipan tersebut diberhentikan serta-merta. Saya merasa kesal kerana terdapat beberapa orang pemimpin parti komponen Barisan Nasional, menerusi suratkhabar menyatakan bantahan mereka mengenai cara kerajaan menyelesaikan kutipan tol di Jalan Kuching termasuk kenyataan akhbar oleh Ketua Pemuda MCA hari ini, tetapi semua ini tidak berguna kalau parti mereka masih menyokong dan memberikan sokongan

(50)

di peringkat kabinet. Jika sandiwara ini dibiarkan berterusan, ia merupakan satu penipuan kepada rakyat.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin membangkitkan isu perumahan yang begitu penting dalam RMK-7 dan saya ingin mendapatkan supaya menggariskan matlamat perumahan yang jelas membayangkan sangat kecil dari jumlah sasaran 800,000 unit rumah yang patut disiapkan dalam RMK-7, sektor swasta dikehendaki menyediakan 71% atau 570,000 unit, manakala sektor awam hanya 29% atau 230,000 unit sahaja. Daripada jumlah itu saya mendapati sasaran perumahan kos rendah hanya 200,000 unit sahaja iaitu 140,000 unit akan dibina oleh pihak swasta manakala 60,000 unit lagi oleh sektor awam.

Tuan Yang di-Pertua, tidakkah kerajaan sedar bahawa ini merupakan satu shortfall yang besar kerana RMK-6 meletakkan sasaran pembinaan rumah kos rendah sebanyak 343,800 unit. Ini bererti kerajaan tidak memberikan keutamaan untuk menyediakan rumah-rumah kos rendah. Jika begini, saya bimbang prestasi sektor perumahan dalam RMK-7 tidak jauh berbeza dengan RMK-6. Jika kita menyemak prestasi RMK-6, daripada sasaran 343,800 unit rumah kos rendah itu dia hanya berjaya menyiapkan 76% sahaja sungguhpun pihak pemaju swasta mencapai sasaran pembinaan, tetapi prestasi sektor awam atau kerajaan dalam penyediaan rumah kos rendah hanya 36.7% sahaja.

(51)

Prestasi ini sungguh mengecewakan. Ini menunjukkan RMK-6 masih mempunyai baki sasaran yang belum disiapkan.

Kekurangan ini patut ditambah dalam RMK-7. Dari prestasi ini, adalah jelas bahawa kerajaan tidak mempunyai sikap penyayang, tiada wawasan, tiada keyakinan untuk mengatasi cabaran yang ada. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pernah beberapa kali mengakui kegagalan mereka mencapai sasaran matlamat, sungguhpun dalam setiap pembentangan belanjawan negara kementerian memberi jaminan untuk berusaha mencapai sasaran program perumahan khas kos rendah. Berbagai alasan sering disabitkan sebagai sebab atau punca kelewatan penyiapan, penyerahan, substandard dan tidak selamat, menyeleweng dalam peruntukan perumahan kos rendah dan sebagainya. Tidak ada gunanya kita mempergiatkan pertumbuhan tahunan 8% KNK kalau sebilangan besar rakyat tidak mempunyai rumah.

Kami dari DAP kerap kali mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan satu Lembaga Perumahan Kos Rendah yang mana bukan sahaja wakil kerajaan tetapi wakil-wakil persatuan pengguna, pemaju, pihak yang ada kaitan dengan industri perumahan patut duduk dalam lembaga tersebut.

Tuan Yang di-Pertua, kerajaan kerap berbangga dengan adanya satu pelan induk perindustrian negara tetapi kita tidak mempunyai pelan induk perumahan tersendiri. Apa yang berlaku dalam Penggal Pertama RMK-6, kita menyaksikan rumah banyak dibina tetapi mustahil dimiliki oleh golongan

Referensi

Dokumen terkait

Hal ini sesuai dengan Wedemeyer (1996) yang menyatakan bahwa peningkatan padat penebaran akan mengganggu proses fisiologi dan tingkah laku ikan terhadap ruang gerak

Dalam hubungan ini saya ingin menarik perhatian tuan-tuan dan puan-puan sekalian bahawa Persatuan Bekas Perajurit Malaysia bukanlah menagih supaya pengorbanan yang

Affifudin bin Haji Omar: Tuan Yang di-Pertua, saya hendak tanya Yang Berhormat, adakah Yang Berhormat akan tanya kepada Yang Berhormat Menteri nanti, di dalam prinsip

Sehingga untuk mencari sebuah website tersebut memerlukannya suatu sistem yang dapat mencari informasi dengan cepat, yaitu dengan adanya Search Ingine (Mesin Pencari)

mempelajari segala kebaikan dan keburukan daripada mereka, kita perlu juga menyedari bahawa sukan di negara ini mempunyai peranan yang lebih, khususnya untuk membentuk rakyat

Pada pagi semalam Dewan ini telah berpeluang mendengar kenyataan yang lanjut yang diberikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri terhadap kejadian yang berlaku di Brunei pada

Gambaran mengenai kondisi transportasi khususnya berjalan kaki di kawasan Pendidikan Yogyakarta sebagaimana yang telah dijelaskan di atas menjadi dasar perlunya dilakukan

Apabila perlu, menurut bapak/ibu objek wisata apa yang perlu di renovasi terlebih dahulu di kawasan agrowisata Kebun Buah