PEMBENTANGAN KERTAS
YBHG. TAN SRI ABU BAKAR BIN HAJI ABDULLAH KETUA PENGARAH PERKHIDMATAN AWAM MALAYSIA
DI KONGRES BAHASA DAN PERSURATAN MELAYU KE-VIII SEMPENA BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2011
“BAHASA MELAYU DALAM PERKHIDMATAN AWAM”
29 OKTOBER 2011 (SABTU) BALAI BUDAYA
DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA KUALA LUMPUR
2
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Saudara dan saudari Pengacara Majlis
i. YANG BERBAHAGIA PROFESOR DATO’ DR. MAT SALLEH YAAPAR,
Pensyarah Universiti Sains Malaysia merangkap
Pemangku Pengerusi Lembaga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
ii. YANG BERBAHAGIA DATO' HAJI TERMUZI BIN HAJI ABDUL AZIZ,
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.
iii. YANG BERBAHAGIA PROFESOR DR AWANG SARIYAN
Mantan Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China Kementerian Pengajian Tinggi merangkap
3
Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia
iv. YANG BERBAHAGIA PROFESOR DATUK WIRA DR.
ABDUL LATIFF ABU BAKAR Ketua Dua GAPENA merangkap
Pengerusi Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kelapan
v. Dif-dif Kehormat
vi. YBhg. Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk, Datin-Datin, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.
4
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kurnia Nya, dapat kita bersama-sama hadir dan mengambil bahagian dalam Kongres Bahasa Dan Persuratan Melayu Ke-Lapan pada hari ini. Terutamanya, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur atas jemputan untuk membentangkan kertas bertajuk “Bahasa Melayu Dalam Perkhidmatan Awam”.
PENGENALAN
5
Tuan-tuan dan puan-puan,
Apa tanda Melayu jati?
Adat dan syariat dipegang mati Apa tanda Melayu beradat?
Budaya dan bahasa dipegang erat
1. Ungkapan berkenaan menunjukkan kaitan erat antara bahasa dan adat Melayu. Tidak dapat dinafikan peranan bahasa cukup penting dalam pembangunan sebuah negara bangsa. Sejarah membuktikan bahawa Bahasa Melayu telah muncul sebagai bahasa yang berwibawa dan diterima umum di Kepulauan Melayu berbanding dengan ratusan bahasa Nusantara yang bercabang daripada bahasa Austronesia. Bahasa Melayu digemari penuturnya pada ketika itu kerana
6
“Bahasanya Tetap, Maknanya Bertambah dan Bahasanya Sama, Maknanya Berbunga”.
2. Justeru, Bahasa Melayu telah digunakan sebagai Lingua Franca atau bahasa perantaraan di Gugusan Kepulauan Melayu sejak berabad lamanya. Menurut catatan sarjana, Bahasa Melayu telah dikenali oleh orang Cina sebagai Bahasa Kun Lun dan oleh orang India sebagai bahasa Dwipantara sejak abad pertama Masihi lagi. Malah pada abad keempat, Bahasa Melayu sudah digunakan sebagai bahasa catatan sejarah sebuah kerajaan Melayu di Indocina sepertimana tertera pada batu bersurat Dong Yen Cau yang ditemui berdekatan Teluk Tourane di Campa, kini dikenali sebagai Vietnam.
3. Bukti-bukti sejarah menunjukkan bahawa Bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa kebangsaan oleh kerajaan Melayu di Sumatera pada awal abad ke-7. Pada ketika itu, kerajaan Srivijaya sedang berkembang dan menjadi sebuah empayar yang pertama dan terbesar di Kepulauan Melayu. Justeru, Bahasa Melayu telah tersebar luas di seluruh Asia Tenggara sebagai bahasa
7
rasmi pemerintah, bahasa perhubungan antarabangsa, bahasa perdagangan dan juga bahasa ilmu pengetahuan.
4. Kedudukan Bahasa Melayu di Semenanjung Tanah Melayu terus terserlah apabila Melaka muncul sebagai pelabuhan pedagangan di bawah pemerintahan Parameswara sekitar tahun 1405. Urusan-urusan rasmi kerajaan pada masa tersebut telah menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan utama. Antara faktor yang mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa Lingua Franca di kepulauan Melayu adalah kerana bahasa ini mudah dipelajari, bersifat sederhana dan tidak terikat kepada susun lapis masyarakat. Justeru, Bahasa Melayu mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding bahasa-bahasa lain pada ketika itu.
5. Apabila Parameswara memeluk Islam, hampir keseluruhan masyarakat Kepulauan Melayu telah menerima pendedahan dan didatangi risalah Islam.
Keadaan ini telah menimbulkan fasa baharu dalam penggunaan Bahasa Melayu di mana, sistem tulisan Jawi telah dihasilkan melalui pengubahsuaian daripada aksara Arab. Sistem tulisan jawi ini telah membantu dalam mewujudkan persefahaman dan perpaduan penduduk dari pelbagai daerah yang berlainan, memandangkan
8
hasil tulisan dari pelbagai pusat tamadun Melayu dapat difahami dan dihayati dengan pengertian yang lebih meluas. Tulisan Jawi turut menyumbang kepada perkembangan bidang persuratan rasmi antara kerajaan, termasuklah surat-surat perjanjian antara kerajaan Melayu dengan kerajaan bukan Melayu di rantau ini dan juga kerajaan dari benua lain.
BAHASA MELAYU DALAM PERKHIDMATAN AWAM: ERA INGGERIS DAN JEPUN
Tuan-tuan dan puan-puan,
Disangkakan Panas Hingga Ke Petang Rupa-rupanya Hujan di Tengahari
9
6. Kewibawaan Bahasa Melayu sedikit tercabar apabila kuasa-kuasa asing mula menjajah Tanah Melayu.
Sebagai contoh, semasa pemerintahan Inggeris, Bahasa Inggeris telah digunakan dengan meluas dalam bidang- bidang yang menjadi teras ketamadunan, terutamanya pendidikan dan pentadbiran. Penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan pentadbiran telah digunakan dengan tidak seragam dalam kalangan negeri-negeri Tanah Melayu.
7. Dasar pecah dan perintah oleh British telah meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa vernakular dalam sistem pendidikan yang berasaskan kaum. Bahasa Melayu disetarakan dengan Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil. Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar di sekolah-sekolah Melayu, sebagaimana halnya dengan Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil masing-masing menjadi bahasa pengantar di sekolah- sekolah Cina dan sekolah-sekolah Tamil. Sementara Bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar sekolah Inggeris yang dikhaskan untuk anak bangsawan dan golongan elit. Bahasa Melayu dipinggirkan kerana dianggap sebagai bahasa anak jajahan.
Bila Kebenaran Sudah Tertindih Lenyaplah Segala Fikiran Jernih
10
Akal Yang Kotor Dikatakan Bersih Di Sanalah Tumbuh Silang Selisih
Rakyat Hidup Menanggung Pedih
8. Tokoh-tokoh Bahasa Melayu pada masa tersebut juga turut membantah keputusan kerajaan Inggeris untuk menggunakan hikayat-hikayat Melayu seperti Hikayat Hang Tuah dan Hikayat Abdullah sebagai bahan bacaan di sekolah-sekolah Melayu. Keputusan ini dilihat akan lebih mengekang serta tidak menggalakkan orang Melayu daripada mengembangkan glosari Bahasa Melayu untuk menjadi bahasa yang lebih moden, terutamanya dalam penciptaan perkataan-perkataan baharu yang sesuai dengan kegunaan pada masa tersebut dan selari dengan pembangunan semasa. Menurut Za’ba, hikayat- hikayat mitos ini tidak akan memajukan pemikiran orang
11
Melayu. Malah Za’ba telah mencadangkan supaya buku- buku teks yang digunakan di sekolah-sekolah Inggeris diterjemah serta digunapakai di sekolah-sekolah Melayu.
Elok Bunga Jalin Menjalin Jalinan Indah Bagai Dikarang Elok Bangsa Karena Pemimpin Pemimpin Bertuah Ditaati Orang
9. Dalam bidang pentadbiran pula, penggunaan Bahasa Melayu di sesetengah negeri Tanah Melayu hanya terbatas semasa sesuatu perbincangan atau mesyuarat sahaja. Segala kenyataan bertulis rasmi kerajaan dibuat di dalam Bahasa Inggeris. Misalnya, Perbincangan dalam Majlis Mesyuarat Negeri Johor dilaksanakan di dalam Bahasa Melayu, namun apabila penyata-penyata kerajaan dibentangkan terutamanya mengenai cukai tanah,
12
kesemuanya di dalam Bahasa Inggeris. Perkara ini bukan sahaja menyusahkan orang kampung yang kebanyakannya tidak mahir berbahasa Inggeris, malah telah juga merendahkan martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa utama di negeri-negeri Melayu. Hal ini juga telah mendapat perhatian dan tentangan daripada penjawat awam seperti Onn Jaafar yang telah membangkitkan rasa tidak puas hati dengan sikap kerajaan negeri Johor, pada ketika itu, supaya tidak mengutamakan Bahasa Inggeris dalam pentadbiran hariannya.
10. Ketika pemerintahan Inggeris, terdapat juga dokumen-dokumen rasmi kerajaan negeri telah dikeluarkan dengan menggunakan Bahasa Melayu dalam tulisan Jawi. Penasihat-penasihat Inggeris kepada pentadbiran negeri-negeri Melayu ketika itu telah
13
menyampaikan perkara-perkara mengenai pentadbiran kerajaan negeri melalui memorandum atau pekeliling dalam Bahasa Melayu. Sebagai contoh, memorandum yang telah di keluarkan oleh Penasihat Inggeris kepada kerajaan negeri Terengganu, A.J. Gracie pada tahun 1929. Ini jelas menggambarkan ketidakseragaman penggunaan Bahasa Melayu dalam pentadbiran di Semenanjung Tanah Melayu ketika itu.
BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN
Tuan-tuan dan puan-puan,
Adat Hidup Sama Sebanjar Sama Beri Tunjuk dan Ajar Dalam Sempit Sama Berlegar Dalam Susah Sama Bersandar
14
Beban dan Hutang Sama Ditanggung Di Dalam Sempit Sama Berlindung
11. Kedatangan Jepun ke Tanah Melayu pada tahun 1941 telah merubah sistem pentadbiran kerajaan yang diasaskan oleh Inggeris sebelumnya. Sistem pentadbiran negeri-negeri Tanah Melayu dirombak semula dengan Sumatera disatukan dengan negeri-negeri di Tanah Melayu di bawah satu pentadbiran. Manakala Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu diletakkan di bawah pentadbiran Siam mulai Oktober 1943. Pentadbiran di Tanah Melayu diurus oleh pentadbiran tentera yang berpusat di Singapura. Jawatan-jawatan tertinggi dalam pentadbiran kerajaan diambil alih oleh pegawai-pegawai Jepun yang kebanyakannya mempunyai latar belakang ketenteraan. Manakala jawatan-jawatan bawahan dipegang oleh anak tempatan. Sultan pula hanya diberi kuasa sebagai Ketua bagi Biro Hal Ehwal Agama di negeri bawah naungannya.
15
12. Ketika penjajahan Jepun dari tahun 1942 hingga 1945, Jepun telah melaksanakan Dasar Penjepunan untuk menerapkan nilai budaya Jepun dalam masyarakat tempatan, terutamanya orang Melayu.
Penggunaan Bahasa Jepun telah dikuatkuasakan di seluruh pelusuk Tanah Melayu. Dalam bidang pentadbiran, penggunaan Bahasa Jepun diutamakan.
Kerajaan pemerintah pada masa tersebut telah mengadakan kursus-kursus pendek Bahasa Jepun.
Peluang-peluang kenaikan pangkat dan gaji juga adalah berdasarkan kepada penguasaan dan kemahiran berbahasa Jepun. Pada ketika ini, pengeluaran dan pengedaran dokumen-dokumen rasmi kerajaan seperti pekeliling yang diamalkan oleh kerajaan Inggeris diteruskan oleh Jepun. Misalnya, pekeliling kerajaan
16
negeri Selangor yang dinamakan sebagai Pekeliling Selangor Syuseityo Kanbo pada 23 Mei 1942 telah disediakan di dalam Bahasa Inggeris dengan tulisan Rumi.
BAHASA MELAYU SELEPAS MERDEKA Tuan-tuan dan puan-puan,
Yang Disebut Orang Melayu Tahu Bersuluh Kepada Guru Tahu Hidup Dikandung Adat Tahu Mati Memegang Amanat
13. Selepas Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Bahasa Melayu telah dijadikan Bahasa Kebangsaan bagi negeri-negeri di bawah persekutuan Tanah Melayu. Hal ini termaktub jelas dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 152 (1).
17
14. Pengenalan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan adalah bertujuan untuk memenuhi keperluan bagi menyatupadukan pelbagai kaum ke arah membentuk sebuah negara yang bersatu melalui satu bahasa yang sama digunakan oleh semua lapisan rakyat.
15. Pengiktirafan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan telah menjadikan Bahasa Melayu secara automatik sebagai bahasa perantaraan dalam semua urusan rasmi. Perkara 152(6), Perlembagaan Persekutuan, menjelaskan takrif “maksud rasmi”
sebagai apa-apa jua maksud kerajaan, samada Kerajaan Persekutuan atau kerajaan Negeri. Ini juga bermakna semua bahasa lain, walaupun diajar dan dipelajari, hanya boleh digunakan untuk tujuan selain daripada urusan-urusan rasmi kerajaan.
18
16. Pengiktirafan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan diperkukuhkan lagi melalui penubuhan Malaysia pada 16 September 1963. Akta Malaysia telah memperuntukkan beberapa perkara yang kemudiannya diterima dan dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan. Antara lain, Bahasa Melayu merupakan Bahasa Kebangsaan tetapi Bahasa Inggeris dan bahasa lain masih boleh digunakan. Bahasa rasmi bagi negeri Sarawak dan Sabah, ialah Bahasa Inggeris sehingga 10 tahun selepas Hari Malaysia.
19
17. Secara prinsipnya, kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan telah jelas dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun begitu, perincian mengenai usaha-usaha untuk mengembangkan Bahasa Melayu supaya terus digunakan dan tidak luput ditelan zaman memerlukan instrumen yang memperincikan bentuk-bentuk tindakan penggalakkan penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat. Justeru, dua akta khas iaitu Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 (Pindaan dan Peluasan 1995) dan juga Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 telah diwartakan untuk tujuan tersebut.
18. Akta Dewan Bahasa dan Pustaka menjelaskan fungsi DBP sebagai agensi penggalak dan pengembangan Bahasa Melayu di seluruh Negara. Manakala Akta
20
Bahasa Kebangsaan memperincikan bahawa hanya Bahasa Melayu sahaja digunakan untuk urusan rasmi terutamanya dalam aspek pentadbiran di semua agensi kerajaan. Seksyen 4 akta ini turut menyatakan bahawa Bahasa Inggeris turut dibenarkan penggunaannya oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk apa- apa maksud rasmi yang difikirkan perlu. Pewartaan kedua-dua akta ini adalah merupakan antara langkah- langkah awal dalam usaha-usaha untuk mengembangkan penggunaan Bahasa Melayu.
USAHA MENGEMBANGKAN BAHASA MELAYU DALAM PERKHIDMATAN AWAM
Tuan-tuan dan puan-puan
19. Era pasca kemerdekaan menyaksikan penekanan ke atas perubahan pentadbiran Persekutuan Tanah Melayu dibuat dengan teliti dan teratur bagi melicinkan peralihan kuasa. Proses penggantian pegawai-pegawai Inggeris dengan pegawai-pegawai tempatan dilaksanakan agar perubahan secara dinamik dan berkesan dibuat untuk memacu pembangunan dan kemajuan dalam negara.
Usaha-usaha untuk “me-Malayakan” pentadbiran negara dimulakan sejurus selepas peninggalan Inggeris
21
dari Tanah Melayu termasuk penggunaan Bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi kerajaan.
20. Usaha-usaha mengembangkan Bahasa Melayu dalam Perkhidmatan Awam dibatasi oleh penggunaan Bahasa Melayu dalam pentadbiran negeri-negeri yang tidak seragam sebelum merdeka. Selain daripada itu, glosari Bahasa Melayu yang terhad dalam semua bidang juga mewajarkan penggunaan Bahasa Inggeris dalam kebanyakan bidang. Langkah-langkah strategik disusun untuk memastikan halangan-halangan tersebut serta penggunaan Bahasa Melayu dilaksanakan dengan teratur dan terus berkembang melalui agensi seperti DBP bersama-sama semua ketua perkhidmatan dan ketua jabatan dalam Perkhidmatan Awam.
22
21. Proses mengembangkan Bahasa Melayu telah berjalan sebelum Negara memperoleh kemerdekaan lagi.
Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kedua dan juga Persidangan Persuratan Melayu Sa-Malaya Kali Kedua yang telah diadakan di Seremban pada tahun 1954, telah mengangkat tulisan Rumi sebagai tulisan rasmi Bahasa Melayu. Usul ini adalah menjurus ke arah memodenkan orang-orang Melayu dan meletakkan sasaran agar Bahasa Melayu mampu berperanan sebagai Bahasa Kebangsaan dan digunakan oleh semua lapisan masyarakat. Di samping itu, pada bulan Mac 1957, DBP telah menerbitkan risalah yang pertama, Kaedah Ejaan Rumi Bahasa Melayu untuk melicinkan proses pembudayaan penulisan Bahasa Melayu dengan ejaan rumi.
23
22. Usaha-usaha mengembangkan Bahasa Melayu diteruskan dengan penubuhan Jawatankuasa Istilah Kerajaan. Jawatankuasa ini dipertanggungjawabkan untuk mencipta dan menterjemahkan nama-nama jabatan dan jawatan kerajaan yang sebelum ini digunakan di dalam Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu. Susulan usaha tersebut, sebagai contoh, nama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mula digunakan bagi menggantikan Establishment Office of Malaysia pada 15 Ogos 1968.
24
23. Kempen Bahasa telah dilancarkan oleh DBP sebagai satu gerakan psikologi, yang merupakan satu tahap dalam proses percubaan untuk menggunakan Bahasa Melayu dalam bidang pentadbiran di jabatan-jabatan kerajaan, sektor swasta dan masyarakat umum. Kempen
“Minggu Bahasa” dan “Bulan Bahasa” telah diadakan di seluruh negara pada setiap tahun mulai 1960. Slogan
“Bahasa Jiwa Bangsa” turut dilancarkan pada tahun 1960. Sejajar dengan usaha tersebut kerajaan telah memperluaskan penggunaan Bahasa Melayu sepenuhnya di negeri-negeri tertentu, termasuklah Johor, Terengganu, Kelantan, Kedah dan juga Perlis. Kakitangan kerajaan dalam pentadbiran negeri-negeri lain juga digalakkan supaya menggunakan Bahasa Melayu dalam urusan surat menyurat dan pertuturan harian.
25
24. Sebagai usaha berterusan untuk memartabatkan Bahasa Melayu serta memungkinkan penggunaan bahasa tersebut dalam semua bidang, penciptaan istilah dalam pelbagai bidang diberikan perhatian yang cukup besar oleh DBP. Pada tahun 1966, 24 buah jawatankuasa telah ditubuhkan khas untuk tujuan penciptaan istilah dalam 24 bidang yang melibatkan keahlian daripada kalangan sarjana dan profesional dalam bidang masing-masing.
Jawatankuasa-jawatankuasa tersebut telah berjaya menghasilkan 560,836 istilah dalam 300 bidang atau sub-bidang dengan menggunakan kepakaran kira-kira 1,479 orang pakar setempat. Penghasilan istilah-istilah baru ini secara tidak langsung telah banyak membantu penjawat awam dalam menyediakan laporan dan kertas kerja di dalam Bahasa Melayu meliputi pelbagai bidang.
26
25. Sehingga 15 Disember 2003, lebih 1.2 juta istilah Bahasa Melayu telah dicipta dan diterbitkan dalam 251 judul buku berbentuk daftar istilah, glosari dan kamus istilah. Lebih 350,000 istilah telah disepakati dalam Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM). Istilah tersebut meliputi 115 bidang atau sub- bidang ilmu pengajian tinggi dan profesional dalam bidang sains asas, sains gunaan, sains sosial dan kemasyarakatan.
26. Usaha pembakuan Bahasa Melayu telah dibuat untuk memastikan penyeragaman penggunaan Bahasa Melayu melalui penerbitan Kamus Dewan pertama pada tahun 1970. Ini disusuli pula dengan penubuhan Jawatankuasa Istilah Pusat yang dipengerusikan
27
Pengarah DBP bagi tujuan penyelarasan penggunaan istilah di peringkat universiti.
27. Usaha-usaha pengembangan Bahasa Melayu ini telah memberikan suntikan semangat kepada Perkhidmatan Awam. Di peringkat kerajaan pusat, semua surat siaran atau pekeliling yang dikeluarkan oleh ketua jabatan disaran supaya menggunakan Bahasa Melayu.
Saranan yang sama turut dilaksanakan bagi papan- papan tanda dan kepala surat jabatan-jabatan kerajaan.
Di samping itu, golongan bukan Melayu turut diberikan kursus khas bagi meningkatkan kefasihan berbahasa Melayu selama dua (2) tahun.
28
28. Berdasarkan satu kajian yang dilaksanakan oleh DBP pada tahun 1966, dianggarkan 75 peratus dari urusan surat menyurat dan fail-fail di jabatan kerajaan pusat dan negeri menggunakan Bahasa Kebangsaan.
29. Akan tetapi, dokumen-dokumen rasmi kerajaan telah dihasilkan di dalam Bahasa Inggeris sejak daripada tahun 1940an sehingga tahun 1970an. Antara laporan- laporan penting kerajaan yang disediakan di dalam Bahasa Inggeris sepanjang tempoh tersebut termasuklah:
i. Laporan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaya (1947);
ii. Laporan Suruhanjaya Diraja Mengenai Kajian Semula Gaji dan Syarat-syarat Perkhidmatan
29
dalam Perkhidmatan Awam (1967) (dikenali sebagai Laporan Suffian, 1967);
iii. Laporan Suruhanjaya Diraja Mengenai Saraan dan Syarat Perkhidmatan di Badan-badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan (1973) (dikenali sebagai Laporan Harun); dan
iv. Laporan Jawatankuasa Kabinet Gaji 1976 bagi seluruh Perkhidmatan Awam (dikenali sebagai Laporan JKK).
30. Bagi menggalakkan penterjemahan Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu, Kamus Dwibahasa (Bahasa Inggeris- Bahasa Melayu) telah berjaya diterbitkan pada tahun 1979. Dua tahun kemudian, pembakuan ejaan Rumi diperkukuh dengan lahirnya Daftar Ejaan Rumi Bahasa
30
Malaysia. Ini diikuti pula dengan usaha pembakuan tatabahasa melalui penerbitan Tatabahasa Dewan Jilid I: Ayat, pada tahun 1987 dan juga Tatabahasa Dewan Jilid 2: Perkataan, pada tahun 1989. Penerbitan kamus, daftar ejaan serta tatabahasa dewan telah mendorong penyediaan dokumen-dokumen rasmi daripada menggunakan Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu.
31. Penyediaan laporan kerajaan di dalam Bahasa Melayu sepenuhnya mula dilaksanakan pada tahun 1991, iaitu Laporan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Gaji Sektor Awam Oktober 1991 (Sistem Saraan Baru atau SSB).
31
32. Apa yang telah dinyatakan sebentar tadi menggambarkan bahawa penjawat awam di awal fasa pasca kemerdekaan menghadapi masalah dalam menggunakan Bahasa Melayu untuk melaksanakan tugasan, terutamanya dari aspek penyediaan dokumen- dokumen rasmi kerajaan. Kebanyakan hasil penulisan yang disediakan pada ketika itu menggunakan pendekatan yang mudah difahami rakyat pada ketika itu, iaitu penulisan dalam Bahasa Inggeris. Antara faktor yang menyumbang kepada situasi ini ialah kekurangan istilah Bahasa Melayu dalam pelbagai bidang serta daftar ejaan Bahasa Melayu dalam tulisan Rumi. Apabila faktor-faktor ini dapat diatasi, inisiatif-inisiatif yang diberikan penumpuan ialah pemerkasaan Bahasa Melayu dalam Perkhidmatan Awam selaras dengan tarafnya sebagai Bahasa Kebangsaan.
INISIATIF MEMPERKASAKAN BAHASA MELAYU DALAM PERKHIDMATAN AWAM
Tuan-tuan dan puan-puan,
Supaya Melayu tetap terbilang Bahasa dan adab wajib disandang
Petua amanah wajib dipegang Adat lembaga wajib dikenang
32
Supaya Melayu tetap terpuji Tunjuk dan ajar pemayung diri
Bila Melayu tidak mahu dikeji Budaya bangsa hendaklah dikaji
33. Persediaan dalam menghadapi cabaran menjelang abad ke-21 merupakan titik tolak kepada usaha kerajaan dalam memperkasakan Bahasa Melayu dalam Perkhidmatan Awam. Antara cabaran yang perlu ditangani oleh penjawat awam adalah ledakan bidang sains dan teknologi maklumat yang telah memungkinkan fenomena dunia tanpa sempadan, di mana kebanyakan kandungan aplikasi dalam talian adalah dalam Bahasa Inggeris. Selain daripada itu, kecenderungan generasi muda, termasuk penjawat awam muda, yang gemar menggunakan istilah khidmat pesanan ringkas atau SMS dalam komunikasi di antara mereka turut menyumbang ke arah penggunaan Bahasa Melayu yang tidak betul.
34. Menyedari hakikat ini, Jawatankuasa Penyelarasan Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam telah ditubuhkan pada tahun 1999. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara dan DBP dipertanggungjawabkan sebagai urusetia.
33
Keanggotaan jawatankuasa ini adalah terdiri daripada Ketua-ketua Setiausaha Kementerian yang berkenaan.
Antara fungsi jawatankuasa ini adalah menyelaraskan cara, strategi pelaksanaan dan peraturan pelaksanaan bahasa di kementerian-kementerian. Jawatankuasa ini juga menyelaras perancangan dan pengembangan Bahasa Kebangsaan di semua kementerian dan jabatan. Dengan terbentuknya Jawatankuasa ini, penggunaan Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara dapat diawasi, diperluas dan dipertingkatkan penggunaannya dan mutunya dalam seluruh jentera pentadbiran awam.
35. Dalam usaha untuk memastikan penggunaan Bahasa Kebangsaan yang baik dan betul serta menyeluruh dalam Perkhidmatan Awam, Kerajaan telah mengeluarkan Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun
34
2006 bertajuk Langkah-langkah Memperkasakan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam. Surat pekeliling ini menjelaskan langkah-Iangkah yang perlu diambil oleh penjawat awam untuk memperkasakan penggunaan Bahasa Kebangsaan yang baik serta memperluas penggunaannya secara menyeluruh dalam Perkhidmatan Awam, selari dengan kemajuan negara.
36. Antara lain, surat pekeliling ini menetapkan supaya semua ketua jabatan mewujudkan mekanisme di organisasi masing-masing untuk memastikan semua penjawat awam menggunakan Bahasa Kebangsaan yang baik dan betul dalam semua urusan rasmi, sama ada secara tulisan mahupun lisan. Selain itu, surat pekeliling ini juga menggariskan supaya latihan dan penganjuran aktiviti yang bertujuan meningkatkan kemahiran dalam Bahasa Kebangsaan dalam kalangan penjawat awam dijalankan secara berterusan.
37. Pemerkasaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan diteruskan dengan tertubuhnya
Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa
Kebangsaan (JKPBK) pada tahun 2010. JKPBK dipengerusikan oleh YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin
35
Hj. Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran. Antara lain, jawatankuasa ini berfungsi untuk memastikan agar kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan terus terpelihara dan juga untuk memantau penggunaan Bahasa Kebangsaan di semua jabatan dan agensi kerajaan dan sektor berimpak tinggi.
38. Bagi sektor Perkhidmatan Awam, Jawatankuasa ini disokong oleh Jawatankuasa Kecil Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Sektor Perkhidmatan Awam yang dipengerusikan oleh saya sendiri dan diurus setia oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia. Peranan utama Jawatankuasa Kecil ini ialah:
i. Melaksanakan dan memantau penggunaan Bahasa Kebangsaan;
ii. Merancang program kebahasaan bagi mencapai matlamat pelaksanaan Bahasa Kebangsaan di kementerian dan agensi masing-masing; dan
iii. Melapor tahap pencapaian penggunaan dan permasalahan pelaksanaan Bahasa Kebangsaan
36
kepada Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan.
39. Antara daya usaha Jawatankuasa ini termasuklah cadangan supaya JPA mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan mengenai penggunaan Bahasa Melayu dalam Perkhidmatan Awam. Justeru, semalam 28 Oktober 2011, saya telah melancarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011 bertajuk
“Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam”. Pekeliling ini menjelaskan panduan mengenai penggunaan Bahasa Kebangsaan bagi urusan rasmi dalam Perkhidmatan Awam. Lima urusan rasmi yang diperincikan termasuk urusan rasmi dalam negara; urusan rasmi antarabangsa; pengiklanan kekosongan jawatan dalam Perkhidmatan Awam;
37
perkhidmatan kaunter agensi Kerajaan; dan urusan penyediaan maklum balas berkaitan aduan dan isu di media massa mengenai Perkhidmatan Awam oleh agensi Kerajaan.
40. Pekeliling ini hanyalah satu panduan yang kaku di atas kertas sahaja tanpa usaha-usaha pembudayaan bersungguh oleh penjawat awam. Kesemua lima urusan rasmi yang diperincikan dalam pekeliling tersebut perlu dibaca, difahami, dihayati serta dipraktikkan dengan sepenuh hati dalam semua urusan rasmi Perkhidmatan Awam. Matlamat kita ialah penggunaan Bahasa Melayu yang betul secara menyeluruh dalam Perkhidmatan Awam.
PENUTUP
Tuan-tuan dan puan-puan,
Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu?
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan Jika yakin kepada kebenaran;
38
Jangan malu mengucapkan keyakinan Jika percaya kepada keadilan
41. Langkah–langkah yang disusun dalam mengembangkan Bahasa Melayu sejak negara merdeka telah disokong dan dilaksanakan dengan jayanya.
Sekarang, usaha-usaha untuk memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu dalam Perkhidmatan Awam ini perlu digalas bersama oleh semua pihak sejajar dengan tuntutan dan keperluan semasa. Kesungguhan jawatankuasa-jawatankuasa dan agensi khas yang ditubuhkan untuk terus mengembang dan memperkasakan Bahasa Melayu dalam Perkhidmatan Awam tidak akan sempurna tanpa penyertaan semua penjawat awam dengan sokongan semua ketua perkhidmatan dan ketua jabatan.
42. Kita mempunyai peranan yang amat siginifikan dalam memastikan negara kita dapat dipacu dalam landasan yang strategik dan secara sistematik untuk mencapai matlamat pembudayaan penggunaan Bahasa Melayu yang menyeluruh dan berterusan di dalam Perkhidmatan Awam.
39
43. Akhir kata, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas komitmen serta daya usaha semua pihak dalam mengembang dan memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu dalam Perkhidmatan Awam Malaysia. Tahniah dan terima kasih jua diucapkan kepada GAPENA dan semua pihak yang terlibat di dalam menjayakan kongres pada kali ini.
Hari Ini,
Jalan Ini Pasti Semakin Berliku Kerana Masa Depan
Belum Tentu Menjanjikan Syurga
Bagi Mereka Yang Lemah Dan Mudah Kecewa Perjuangan Kita Belum Selesai
Kerana Hanya Yang Cekal dan Tabah Dapat Membina Mercu Tanda
Bangsanya Yang Berjaya
Sekian, Wabillahi Taufiq Wal Hidayah, Wassalaamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Terima kasih
40