• Tidak ada hasil yang ditemukan

Kesan Positif Dan Negatif Interaksi Antara Tamadun

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2021

Membagikan "Kesan Positif Dan Negatif Interaksi Antara Tamadun"

Copied!
11
0
0

Teks penuh

(1)

Soalan 3 :

Interaksi antara tamadun berlaku disebabkan oleh perkongsian nilai

pemikiran institusi dan keinsanan. Huraikan hubungan ini dari segi positif dan negatifnya.

1. Pengenalan

Setiap tamadun yang muncul mempunyai sifat-sifat, pencapaian-pencapaian serta keunikan yang tersendiri. Namun demikian ia tidak bermakna sesebuah tamadun itu tertutup dan tidak menerima pengaruh luar, sebaliknya terdapat interaksi yang berlaku antara tamadun. Interaksi antara tamadun ini berlaku di peringkat nilai, idea, institusi dan insan. la berlaku di sepanjang sejarah. Interaksi ini melahirkan kesan-kesan positif dan negatif. Interaksi antara tamadun berlaku melalui proses yangtertentu dan juga dengan pelbagai cara yang berbeza. Interaksi antara tamadun ini terjadi kerana wujudnya sifat toleransi yang tinggi serta sikap saling menghormati antara sesebuah tamadun dengan tamadun yang lain. Sifat terbuka sesebuah tamadun ini memberi peluang kepada berlakunya percambahan pemikiran dan budaya serta memperkayakan lagi tamadun tersebut dalam pelbagai aspek. Hal ini dapat mengelakkan sesebuah tamadun itu daripada menjadi beku dan jumud yang akhirya boleh meruntuhkannya. Proses interaksi antara tamadun berlaku disebabkan pelbagai faktor. Interaksi antara tamadun memberikan dua kesan yang penting iaitu kesan positif dan kesan negatif

2. Kesan positif

Interaksi antara Tamadun Islam dengan Yahudi dan Kristian semasa zaman kemunculan Islam di Tanah Arab telah memberi beberapa kesan positif. Dalam Perlembagaan Madinah (Sahifah Madinah) yang digubal oleh Nabi Muhammad s.a.w. di

(2)

Madinah hak-hak orang Kristian danYahudi serta penganut-penganut agama lain telah diberi perlindungan. Mereka telah diberi kebebasan mengamalkan tuntutan agama mereka tanpa sebarang gangguan baik daripada Nabi Muhammad s.a.w. ataupun umat Islam yang lain. Hal yang sama telah diikuti oleh pemerintah-pemerintah Islam zaman Khulafa al-Rasyidin, Bani Umayyah, Abbasiyah, Uthmaniyah dan kerajaan-kerajaan Islam di India. Malah dalam beberapa buah kerajaan Islam, individu-individu Yahudi dan Kristian telah mendapat kedudukan tinggi dalam pentadbiran, contohnya dalam kerajaan Abbasiyah, tokoh-tokoh intelektual Yahudi dan Kristian telah memberikan sumbangan mereka dalam penterjemahan buku-buku Greek ke dalam bahasa Arab. Begitu juga di Andalusia (Sepanyol), muncul ramai penulis dan ahli intelektual dari kalangan individu-individu Yahudi dan Kristian.

Interaksi antara Tamadun India dengan Tamadun China telah memberi kesan positif kepada kedua-dua tamadun. Agama Buddha disebarkan ke negeri China melalui interaksi ini. Di samping itu terdapat kemahiran-kemahiran lain yang diperkembangkan, contohnya teknologi membuat gula daripada tebu dari India telah diperkembangkan kepada orang-orang China. Bidang astronomi India turut diperkembangkan di China oleh ahli-ahli astronomi India. Beberapa perbendaharaan kata bahasa Pali dan Sanskrit turut mempengaruhi kesusasteraan China. Kesan positif kepada Tamadun India ialah berkembangnya teknologi membuat kertas, bahan letupan dan pengunaan kompas dari Tamadun China ke dalam Tamadun India. Interaksi antara Tamadun India dan China berlaku secara aman melalui hubungan perdagangan dan keagamaan.

Antara interaksi Tamadun Islam dan China yang turut memperlihatkan kesan positif ialah proses interaksi secara aman iaitu melalui perdagangan. Pedagang-pedagang Arab dan Parsi memainkan peranan penting dalam interaksi ini Hasil daripada interaksi

(3)

ini terdapat komuniti Arab-Islam yang menetap di China. Berlaku perkahwinan campur antara pedagang-pedagang ini dengan wanita-wanita tempatan. Semasa zaman pemerintahan dinasti-dinasti Tang, Sung, Yuan dan Ming, telah muncul beberapa orang tokoh Islam yang memainkan peranan penting dalam pentadbiran. Kesan penting yang terhasil daripada interaksi ini ialah penyebaran agama Islam di negeri China yang akhirnya mewujudkan komuniti Islam tempatan China. Perkembangan seterusnya menyebabkan munculnya cendiakawan-cendiakawan Islam tempatan yang mahsyur seperti Liu Zhi dan Mha Zhu. Cendiakawan-cendiakawan tempatan ini telah mencari keselarian ajaran-ajaran etika dan nilai Islam dengan Konfusianisme. Konsep-konsep hubungan keluarga, ketaatan kepada kedua ibu bapa dan raja dan nilai-nilai moral yang terdapat dalam ajaran Konfusianisme telah dijadikan landasan untuk memperkenalkan agama Islam kepada masyarakat China. Kesejajaran inilah yang menyebabkan ajaran Islam tidak mendapat tentangan daripada ahli-ahli falsafah Konfusianisme seperti yang dihadapi oleh ajaran agama Buddha. Disamping itu interaksi ini turut menemukan seni bina Arab-Islam dengan seni bina China contohnya dalam bentuk masjid-masjid di China hari ini.

Hubungan antara Tamadun Islam dengan Tamadun Melayu telah meninggalkan kesan yang amat ketara. Interaksi antara kedua-dua tamadun ini berlaku secara aman iaitu melalui perdagangan. Namun demikian kedatangan pengaruh Islam di Asia Tenggara ataupun khususnya ke Kepulauan Melayu dikatakan dari tiga kawasan yang berbeza iaitu dari Arab dan Parsi, dari India dan China. Teori-teori ini telah diperbincangkan dengan hangat dan beberapa bukti yang berkaitan telah dikemukakan oleh pendokong-pendokongnya bagi meyokong pendapat mereka. Namun apa yang lebih penting bagi kita ialah kesan yang didapati daripada hubungan ini. Interaksi antara Tamadun Islam dengan

(4)

Tamadun Melayu telah melahirkan beberapa kesan positifyang penting. Kesan yang paling menonjol ialah tersebarnya agama Islam di Kepulauan Melayu serta munculnya kerajaan-kerajaan Islam tempatan di Pasai, Melaka, Aceh, Johor-Riau, Brunei, Patani, Sulu, Banten, Demak, Tuban, Mataram dan lain-lain lagi. Tamadun Islam telah mengubah pandangan hidup orang-orang Melayu. la juga turut membawa tulisan Jawi yang berperanan penting dalam perkembangan ilmu pengetahuan di Kepulauan Melayu. Kesan positif boleh juga dilihat pengaruhnya dari segi perundangan, kesusasteraan, kesenian, kebendaan seperti pakaian, makanan serta istilah-istilah Arab yang digunakan dalam bahasa Melayu.

Interaksi antara Tamadun China dengan Tamadun Melayu turut melahirkan kesan positif tetapi ia tidak melibatkan pemikiran dan falsafah sebaliknya melibatkan kemahiran dan teknologi serta kebendaan. Tamadun China membawa teknologi membuat gula dari tebu ke Kepulauan Melayu, contohnya di Jawa. Begitu juga kemahiran dalam perusahaan sutera, membuat tembikar serta pertukangan logam. Di samping itu terdapat juga beberapa jenis makanan masyarakat China yang diperkenalkan kepada masyarakat Melayu seperti tauhu, kicap, taugeh dan sebagainya. Interaksi antara Tamadun China dengan Tamadun Melayu berlaku melalui dua cara iaitu secara aman dan secara konflik peperangan. Interaksi secara aman berlaku melalui aktiviti perdagangan, emigrasi dan hubungan diplomatik, contohnya kemuncak hubungan diplomatik negeri China dengan Kepulauan Melayu ialah zaman Kesultanan Melaka. Manakala hubungan yang bercorak konflik peperangan berlaku semasa pemerintahan Dinasti Yuan / Monggol ( 1279 – 1368 Masihi ) yang pernah menyerang Myanmar ( Komboja ) dan jawa pada abad abad ke-13 Masihi.

(5)

Kesan positif daripada interaksi antara tamadun ini juga boleh dilihat pada hubungan antara Tamadun China-Jepun. Jepun telah mendapat faedah yang banyak hasil daripada hubungan ini. Tamadun China telah menyumbangkan beberapa perkara penting ke dalam Tamadun Jepun. Sumbangan yang penting ialah dari segi agama dan tulisan. Agama Buddha dari China telah dikembangkan dalam Tamadun Jepun. Ajaran-ajaran Buddha ini telah diasimilasikan dengan agama asal orang-orang Jepun iaitu agama Shinto. Walaupun asimilasi ini berlaku tetapi ia tidak mengubah identiti ajaran Buddha. Kuil-kuil Buddha telah didirikan di Jepun. Agama Buddha telah mencapai zaman kemuncak semasa zaman Nara dan Heian. Di samping agama, tulisan adalah satu lagi kesan penting yang dibawa oleh Tamadun China ke Jepun. Tulisan China telah menjadi asas kepada pembentukan tulisan Jepun iaitu Hiragana dan Katakana. Pengaruh tulisan China telah memainkan peranan kepada perkembangan intelektual dan kesusasteraan dalam Tamadun Jepun. Di samping dua kesan positif yang penting ini, Tamadun China turut meninggalkan pengaruhnya ke atas upacara-upacara tertentu di Jepun, contohnya upacara minum teh, seni taman, serta struktur pembinaan bandar. Ajaran falsafah Konfusianisme dari China turut diasimilasikan dalam Tamadun Jepun. Ajaran Kofusianisme yang memberi penekanan kepada institusi keluarga telah memantapkan lagi institusi keluarga Jepun. Manakala konsep mandat dari syurga telah memperkukuhkan lagi kedudukan Maharaja Jepun yang dipercayai berasal dari keturunan Dewi Amaterasu. Interaksi antara Tamadun China dengan Jepun telah berlaku secara aman dan asimilasi Tamadun China dalam Tamadun Jepun telah memperkukuhkan identiti Tamadun Jepun.

(6)

3. Kesan negatif

Adalah tidak tepat jika dikatakan bahawa interaksi antara tamadun hanya menghasilkan kesan positif. Sebaliknya interaksi antara tamadun turut menghasilkan kesan negatif.

Di Eropah, misalnya, hubungan antara orang-orang Kristian dan Yahudi telah mengalami kemerosotan sejak awal lagi. Kesan daripada hubungan yang tidak baik ini menyebabkan berlakunya pembunuhan orang Yahudi secara beramai-ramai pada abad ke-9 dan-18 Masihi. Perkara ini berlaku akibat dari-pada faktor-faktor perbezaan agama, ketidak seimbangan ekonomi dan sosial.

Begitu juga halnya dengan hubungan orang-orang Islam dan Kristian dalam Zaman Pertengahan di Eropah. Pemerintah-pemerintah Kristian di Eropah telah bertindak melancarkan beberapa siri perang ke atas orang-orang Islam yang dikenali sebagai Perang Salib. Peperangan tersebut telah mengorbankan ramai penganut Islam danYahudi. Peperangan ini turut dicetuskan oleh faktor-faktor perbezaan agama, ekonomi dan politik.

Di India juga, hubungan antara penganut Islam dan Hindu sentiasa berada dalam keadaan tegang. Terdapat peristiwa-peristiwa di mana orang-orang Islam dibunuh dan masjid-masjid dimusnahkan oleh raja-raja India yang beragama Hindu. Keadaan yang sama juga berlaku kepada penganut-penganut agama Hindu serta kuil-kuil Hindu yang dimusnahkan oleh pemerintah-pemerintah Islam. Contohnya raja-raja Islam dalam Kesultanan Delhi telah mengharamkan pembinaan kuil-kuil dan mengharamkan beberapa upacara-upacara keagamaan Hindu. Semasa zaman pemerintahan Moghul, Aurangzeb adalah raja Moghul yang bertindak keras terhadap penganut-penganut Hindu. Baginda telah mengharamkan pembinaan kuil-kuil yang baru, mengharamkan upacara mandi suci di Sungai Jamuna, mengharamkan upacara sati dan lain-lain lagi.

(7)

Dalam hubungan antara Tamadun India dengan Tamadun China juga kita dapat lihat wujudnya konflik terutama semasa agama Buddha mula diperkenalkan ke dalam masyarakat China semasa zaman pemerintahan Dinasti Han Timur. Kemasukan agama tersebut telah mendapat tentangan cendiakawan Konfusianisme yang amat berpengaruh dalam pentadbiran Dinasti Han. Sami-sami Buddha telah dikurung dan kuil-kuil Buddha dimusnahkan untuk menghalang perkembangan agama tersebut.

Kesan negatif turut berlaku dalam hubungan antara Tamadun Islam dengan Tamadun China. Contohnya pada tahun 751 Masihi, tentera Islam di bawah pimpinan Ziyad bin Salih telah mengalahkan angkatan perang China yang dipimpin oleh Kao Hsien-chih sedangkan pada masa tersebut kerajaan Islam Abbasiyah mempunyai hubungan diplomatik dengan kerajaan Tang di China. Permusuhan antara orang-orang Islam dengan orang-orang China juga dicetuskan oleh rasa tidak puas hati terhadap pencapaian ekonomi pihak yang bertentangan. Contohnya pada abad ke-8 Masihi, penduduk Han di tenggara China telah mewujudkan permusuhan dengan orang-orang Islam kerana iri hati terhadap kemewahan yang dinikmati oleh orang-orang Islam yang kebanyakannya terlibat dalam aktiviti perdagangan. Pada tahun-tahun 758 Masihi dan 876 Masihi telah berlaku pemberontakan-pemberontakan yang menyebabkan ramai orang-orang Islam dibunuh dan melarikan diri dari Canton. Pemberontakan pada tahun 876 Masihi bukan sahaja bersifat anti-Islam tetapi juga anti orang asing. Pemberontakan ini menyebabkan lebih kurang 120 000 hingga 200 000 orang asing telah dibunuh termasuk orang-orang Islam. Kesan daripada peristiwa tersebut menyebabkan ramai orang-orang Islam telah lari dari China dan berhijrah ke Asia Tenggara terutamanya di Palembang dan Kedah. Hubungan orang-orang Islam dengan penduduk tempatan China turut terjejas semasa pemerintahan Dinasti Ching yang memberi keutamaan kepada

(8)

pengukuhan ajaran Konfusianiame. Orang-orang Islam mendapat layanan yang tidak adil daripada pemerintah Ching. Rasa tidak puas hati penganut-penganut Islam disokong pula oleh perkembangan pengaruh gerakan Kaum Muda ataupun Wahabi di kalangan orang-orang China Islam. Rasa tidak puas hati orang-orang-orang-orang Islam telah menyebabkan berlakunya beberapa siri pemberontakan semasa pemerintahan Dinasti Ching iaitu Pemberontakan Sinkiang 1 (1756 Masihi), Pemberontakan Kansu (1781 Masihi), Pemberontakan Jehangir (1820-27 Masihi), KebangkitanYussof Syamsuddin (1828-31M), pemberontakanYunan (1850-68 Masihi), Pemberontakan Shensi dan Kansu (1862 Masihi), Kebangkitan Sinkiang (1864-77 Masihi).

4. Kesimpulan

Secara keseluruhannya, situasi di benua Asia sebelum zaman penjajahan Barat tanpa mengambil kira hubungan Kristian dan Yahudi, penganut-penganut Islam, Hindu, Budha, Konfusiannisme, Taoisme dan termasuklah penganut Kristian sendiri berjaya hidup harmoni dan damai. Faktor-faktor yang di lihat dapat membawa kesan yang positif hasil pertembungan antara tamadun ialah :

a. Sifat pemerintah dan pemimpin yang bertoleransi dan memerintah negara dengan penuh keadilan dan kesaksamaan

b. Sikap golongan beragama seperti sami dan paderi yang sentiasa cuba mewujudkan suasana harmoni, memberi tafsiran yang sejagat dan cenderung kepada semangat keinsanan.

(9)

Senarai Rujukan

1. Azhar Hj.Mad Aros, Azharudin Mohd. Dali. (2000). Titas Kertas 1. Bhd. Shah Alam. Fajar Bakti Sdn.

2. Chandra Muzaffar, Che Wan Jasimah Wan Mohd Radzi. (2001). Tamadun Islam dan Tamadun Asia. Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya.

3. Dr Abdul Rahman Haji Abdullah. (2002). Sejarah dan Tamadun Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Ilmi Sdn. Bhd.

4. Ghazali Darussalam. (2000). Kursus Tamadun Islam & Pendidikan Moral. Kuala Lumpur. Utusan Publication & Distributor Sdn. Bhd.

5. Mustafa Hj. Daud. (1999). Tamadun Islam. Edisi Maktab Perguruan. Kuala Lumpur. Utusan Publication & Distributor Sdn. Bhd.

(10)

PRAKATA

Tugasan individu bertajuk “Interaksi antara tamadun berlaku disebabkan oleh perkongsian nilai pemikiran institusi dan keinsanan. Kesan positif dan negetif”. Tugasa ini mengupas dengan jelas apakah Kesan positif dan negatif hasil daripada interaksi antara tamadun.

Sehubungan itu, ia juga membincangkan secara terperinci tentang perkara-perkara yang berkaitan. Semoga dengan penerangan ini akan dapat memberi input serta pengetahuan kepada kita untuk dikongsi bersama agar kita akan lebih lagi menghayati erti ketamadunan yang sebenarnya.

Akhir sekali diharapkan dengan hasil tugasan ini sedikit sebanyak akan memberi sedikit input kepada semua dan sesungguhnya apa-apa yang baik itu adalah dari Allah S.W.T manakala yang kurang itu adalah kelemahan diri saya sendiri.

(11)

PENGHARGAAN

Disini saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga terutama kepada pensyarah Tamadun Islam Institut Perguruan Darul Aman (IPDA) Jitra, Kedah Darul Aman, iaitu Ustazah Pn Che Nazrah bt Mohd Yusoff kerana telah memberi bimbingan yang begitu baik kepada kepada saya bagi menyiapkan Tugasan individu ini . Walaupun beliau terlalu sibuk dengan tugasnya sebagai pensyarah, namun segala pertanyaan kami dapat dilayannya dengan baik dan memuaskan.

Selain itu, saya juga mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua pelajar-pelajar PKPG IPDA-UPSI 2002/2003 terutama kelas TM3 yang telah memberi kerjasama dan berkongsi-kongsi bahan bersama-sama bagi menyiapkan kerja kursus ini. Segala sumbangan yang saudara saudari berikan, mudah-mudahan mendapat rahmat daripada Allah SWT. InsyaAllah.

Ikhlas Daripada

Referensi

Dokumen terkait