• Tidak ada hasil yang ditemukan

RADEN ADJENG KARTINI MEMAINKAN PERANAN P

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2018

Membagikan "RADEN ADJENG KARTINI MEMAINKAN PERANAN P"

Copied!
21
0
0

Teks penuh

(1)

PENDAHULUAN

LATAR BELAKANG RADEN ADJENG KARTINI

Indonesia sememangnya mempunyai ramai tokoh pejuang wanita yang hebat serta

dikenali atas sumbangan-sumbangan besar mereka dalam pelbagai bidang. Begitulah juga

dengan seorang wanita yang diberi nama Raden Adjeng Kartini iaitu nama yang tidak

asing lagi dalam sejarah Indonesia. Beliau sering dianggap sebagai wanita pertama

Indonesia yang memperjuangkan nasib wanita di Indonesia pada awal abad ke-20. Raden

Adjeng Kartini lahir pada tanggal 21 April 1879 di kota Jepara, Jawa Tengah.1 Kartini

lahir sebagai puteri bangsawan Jawa kerana ayahnya iaitu Raden Mas Adipati Ario

Sosroningrat merupakan Bupati Jepara. Ibu Kartini pula bernama M.A. Ngasirah

merupakan isteri kedua ayahnya yang berasal daripada keturunan rakyat jelata manakala

isteri pertama ayahnya bernama Raden Adjeng Woerjan pula berketurunan bangsawan.

Kartini mempunyai 11 orang adik beradik yang mana 8 daripadanya merupakan adik

beradik kandung dan 3 lagi merupakan adik beradik tirinya.

11 orang adik beradik Kartini termasuklah Raden Mas Slamet Sosroningrat,

Raden Mas Sosroboesono, Raden Mas Sosro Kartono, Raden Adjeng Kartini, Raden

Adjeng Kardinah, Raden Mas Sosro Mulyono, Raden Adjeng Sumatri Sosrohadi

Kusumo, Raden Mas Sosrorawito, Raden Adjeng Sulastri Hadisosro, Raden Adjeng

Roekmini dan Raden Adjeng Kartinah.2 Kartini sememangnya seorang gadis bangsawan

yang bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga yang secara tradisinya mencintai ilmu

pengetahuan. Datuk beliau iaitu Pangeran Ario Tjondronegoro iaitu Bupati Demak

merupakan seorang yang sentiasa mengejar kemajuan. Datuknya merupakan Bupati

1 Citra Mustikawati, ‘Pemahaman Emansipasi Wanita (Studi Hermeneutika Makna Emansipasi Wanita Dalam Pemikiran R.A. Kartini Pada Buku Habis Gelap Terbitlah Terang),’ Jurnal Kajian Komunikasi, Jil. 3, No. 1, Jun 2015, hlm. 66.

(2)

pertama memberikan pendidikan Barat kepada anak-anaknya termasuklah bapa Kartini.

Bapa Kartini dikatakan adalah salah seorang daripada empat orang Bupati yang dapat

menulis dan bertutur dalam Belanda pada tahun 1902.3

Oleh yang demikian tidak hairanlah jika dilihat bapa Kartini merupakan seorang

bangsawan yang terbuka berbanding dengan bangsawan-bangsawan Jawa yang lain pada

zamannya. Disebabkan oleh sikap keterbukaan bapanya, Kartini berpeluang mendapatkan

pendidikan di Europese Lagere School (ELS) sehingga beliau berusia 12 tahun dan

disinilah beliau mempelajari Bahasa Belanda.4 Namun begitu, beliau tidak dapat

meneruskan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi seperti abangnya berikutan adat pingitan

yang diamalkan oleh orang Jawa pada ketika itu. Menerusi adat ini, seorang gadis yang

telah akil baligh tidak boleh keluar dari rumah sehinggalah perkahwinan diaturkan untuk

mereka. Walaupun Kartini begitu bersungguh-sungguh dan merayu kepada bapanya

untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi seperti abang-abangnya,

namun bapanya tidak bersetuju.

Hidup Kartini walaupun mewah dan serba lengkap akan tetapi beliau terpisah

daripada dunia luar. Hanya buku-buku Bahasa Belanda yang menjadi peneman setia

Kartini pada ketika itu. Kelebihan yang ada pada beliau iaitu mampu menulis dan bertutur

dalam Bahasa Belanda dengan fasih membuatkan beliau berkawan dengan

rakan-rakannya yang merupakan orang Belanda. Antara rakan Kartini termasuklah Ovink-Soer,

Estelle (Stella) Zeehandelear, Tuan Abendanon serta isterinya dan Tuan van Kol serta

isterinya.5 Kartini sering mengutus surat kepada rakan-rakannya di Belanda untuk

bertukar pendapat dan pandangannya tentang isu-isu yang berkaitan wanita, adat, agama

dan sebagainya. Di samping itu, Kartini turut menghabiskan masanya membaca akhbar

(3)

Belanda seperti De Locomotief dan majalah wanita Belanda iaitu De Hollandsche Lelie

yang pernah memuatkan hasil karya yang dikirim oleh beliau.

Pembacaan Kartini juga meliputi penulisan Pandita Ramabai Sarasvati yang

terkenal dengan usahanya meningkatkan taraf sosial wanita di India dan Kartini mula

sedar bahawa bukan hanya wanita di Eropah sahaja yang mampu berjuang meningkatkan

taraf sosial mereka.6 Melalui banyak pembacaan yang dilakukan oleh beliau, mula timbul

hasrat di dalam dirinya untuk memajukan wanita serta memperjuangkan nasib wanita

tempatan. Perjuangan Kartini dapat dilihat melalui surat-surat yang diutuskan beliau

kepada rakan-rakannya di Belanda. Kekuatan Kartini sememangnya terletak pada mata

penanya dan hal ini diakui oleh banyak pihak. Sebagai seorang wanita tempatan yang

masih muda dan tidak berpengalaman, Kartini berjaya membuka mata banyak pihak

khususnya pihak penjajah Belanda dan juga aristokrat Jawa sendiri.

Pemikiran kritis dan kesedaran intelektual yang ada dalam diri Kartini

sememangnya luar biasa bagi seorang wanita Jawa pada zamannya. Beliau disanjung

sebagai pahlawan nasional Indonesia sehingga ke hari ini berikutan sumbangan yang

telah beliau berikan terutamanya dalam memperjuangkan nasib wanita zamannya.

Walaupun ada sesetengah pihak yang mempersoalkan tentang kewajarannya disanjung

dan diangkat sebagai tokoh, namun masih ramai yang mempertahankan perjuangan

beliau. Dalam penulisan ini, peranan Kartini dalam memperjuangkan nasib wanita di

Indonesia pada awal abad ke-20 akan dibincangkan dengan merujuk kepada beberapa

aspek seperti emansipasi wanita dan pendidikan untuk wanita. Selain itu, sumbangan

Kartini dalam aspek nasionalisme, agama dan juga nilai kesamarataan yang diangkat

olehnya juga turut akan dibincangkan.

EMANSIPASI WANITA

(4)

Emansipasi wanita dilihat merupakan agenda utama yang diperjuangkan oleh

tokoh yang bernama Kartini ini. Konsep emansipasi wanita yang diperjuangkan oleh

beliau dapat dilihat melalui bukunya iaitu Habis Gelap Terbitlah Terang yang mana buku

ini memuatkan penulisan surat-surat beliau kepada rakan Belandanya dan diterbitkan

hasil usaha Tuan Abendanon. Di dalam buku ini jelas dapat dilihat tentang idea-idea

Kartini dalam memperjuangkan emansipasi wanita. Beliau secara nyata telah

memperlihatkan sikapnya yang sangat mengambil berat terhadap hak dan peranan wanita

dalam kehidupan bermasyarakat. Emansipasi wanita dalam konteks perjuangan Kartini

tidaklah sama dengan konteks pada hari ini akan tetapi dapat dilihat bahawa kartini

mempunyai konsep perjuangan untuk membela hak-hak wanita sebagai manusia

seutuhnya.7

Melalui surat-surat yang dikirim oleh Kartini kepada rakan Belandanya, dapat

dilihat beliau cuba menceritakan bahawasanya wanita Jawa itu sangat terkongkong dengat

adat istiadat. Contoh ini dapat dilihat menerusi surat beliau bertarikh 25 Mei 1899 kepada

rakannya Stella yang mana beliau telah menceritakan bagaimana adat istiadat di Jepara

sangat mengekang kebebasannya. Beliau menyatakan “Tangan dan kaki kami masih

terbelenggu, masih terikat pada hukum, adat istiadat dan kebiasaan negeri kami”.8 Hal ini

memang ada benarnya kerana masyarakat Jawa di Jepara khususnya pada abad ke-19

masih teguh berpegang kepada adat yang dilihat mengekang kebebasan wanita seperti

adat pingitan. Bagi orang Jawa, kedudukan perempuan adalah di bawah lelaki bahkan hal

ini telah membawa kepada kepercayaan di mana anak pertama sebaik-baiknya adalah

7 Citra Mustikawati, ‘Pemahaman Emansipasi Wanita (Studi Hermeneutika Makna Emansipasi Wanita Dalam Pemikiran R.A. Kartini Pada Buku Habis Gelap Terbitlah Terang),’ Jurnal Kajian Komunikasi, Jil. 3, No. 1, Jun 2015, hlm. 67.

(5)

anak lelaki kerana dapat menjunjung darjat ibu bapa jika mereka mempunyai kedudukan

yang baik dalam masyarakat.9

Bukan itu sahaja peranan wanita dalam masyarakat Jawa juga hanya berkisar pada

tiga kawasan iaitu di sumur (mencuci dan membersih), di dapur (memasak) serta di kasur

(melayan suami) dan wanita Jawa juga digambarkan sebagai konco wingking iaitu

pembantu yang melayani suami untuk urusan belakang.10 Bagi Kartini, pegangan dan

kepercayaan seperti inilah yang membawa kepada kerendahan martabat seseorang wanita

itu. Beliau berpandangan bahawa tuhan menjadikan lelaki dan perempuan sebagai

makhluk yang sama, jiwanya sama, hanya bentuk sahaja yang berlainan dan kerana itu

kedudukan lelaki mahupun perempuan tidak boleh dibeza-bezakan.11 Pandangan Kartini

sememangnya berbeza dengan pandangan masyarakat Jawa ketika itu yang berpegang

kepada sistem patriarki. Sistem patriarki merupakan sistem masyarakat yang sebahagian

besar kekuasaannya dipegang oleh kaum lelaki.

Bagi Kartini sistem ini tidak adil dan apa yang beliau inginkan ialah seseorang

wanita itu harus diberi hak dan kebebasan dalam menentukan kehidupan mereka sama

seperti lelaki. Kebebasan ini juga termasuklah kebebasan menolak poligami serta memilih

calon suami. Kartini menolak sekerasnya amalan poligami yang berleluasa terutama

dalam kalangan bangsawan Jawa sama seperti yang dilakukan oleh bapanya. Bagi Kartini

ketidakadilan terhadap wanita membawa kepada berkembang suburnya amalan poligami

dan beliau melihat poligami sebagai satu bentuk penindasan lelaki terhadap wanita.

Kartini turut berpendapat bahawa amalan poligami berkembang subur kerana adanya

dorongan daripada ibu bapa yang menggalakkan anak mereka berkahwin dengan lelaki

bangsawan Jawa untuk mendapatkan kesenangan dan kemewahan walaupun lelaki

9 Citra Mustikawati, ‘Pemahaman Emansipasi Wanita (Studi Hermeneutika Makna Emansipasi Wanita Dalam Pemikiran R.A. Kartini Pada Buku Habis Gelap Terbitlah Terang),’ Jurnal Kajian Komunikasi, Jil. 3, No. 1, Jun 2015, hlm. 68.

(6)

tersebut sudah mempunyai isteri. Seterusnya beliau juga berpendirian bahawa calon-calon

suami yang ingin dikahwinkan dengan anak perempuan mestilah terlebih dahulu dikenali

oleh anak perempuan tersebut, bukannya dipilih dan disuruh berkahwin begitu sahaja atas

dasar pilihan orang tua.12 Dapat dilihat dengan jelas Kartini sememangnya berjuang untuk

menentang adat dan tradisi yang dirasakan merendahkan martabat kaum wanita di

samping menyedarkan bangsanya akan hak-hak yang seharusnya diberikan kepada wanita

supaya wanita juga boleh berdiri sama tinggi dengan lelaki.

PENDIDIKAN WANITA

Isu pendidikan wanita merupakan matlamat khusus perjuangan Kartini. Beliau

mengkritik hebat adat istiadat terutamanya yang diamalkan oleh aristokrat Jawa yang

tidak membenarkan kaum wanita mempunyai pelajaran, bekerja di luar rumah dan

memegang sebarang jawatan dalam masyarakat. Adat yang diamalkan ini dilihat sebagai

satu penindasan terhadap kaum wanita serta merugikan bangsa sendiri. Bagi Kartini,

melalui pendidikan wanita akan lebih cekap menunaikan tugas utamanya iaitu sebagai

pendidik pertama dari manusia.13 Dalam aspek pendidikan wanita juga Kartini turut

mengkritik sikap penjajah Belanda yang dilihat mengamalkan sikap diskriminasi terhadap

peribumi. Walaupun terdapat sekolah yang didirikan oleh pihak Belanda untuk

masyarakat Jawa, tetapi pengisian ilmu yang diajarkan kepada anak-anak tempatan

sungguh rendah mutunya. Ilmu yang diberikan kepada anak-anak tempatan hanya untuk

kemahiran hidup yang biasa-biasa sahaja dan tidak menjadikan mereka bertambah maju.

Pada tahun 1900, kebanyakan sekolah-sekolah yang didirikan oleh pihak Belanda

hanya terbuka untuk pelajar lelaki sahaja manakala pelajar perempuan dilihat hanya hadir

ke sekolah yang terletak di kampung-kampung dan jumlah mereka adalah sangat sedikit.14

12 Sudrajat, ‘Kartini: Perjuangan Dan Pemikirannya,’ Jurnal Mozaik, Jil. 2, No. 2, Januari 2007, hlm. 6. 13 Kongres Wanita Indonesia (KOWANI), Sejarah Setengah Abad Pergerakan Wanita Indonesia, Jakarta: PN Balai Pustaka, 1978, hlm. 8.

(7)

Faktor kemiskinan merupakan faktor utama masyarakat biasa tidak menghantar anak

perempuan mereka ke sekolah manakala bagi golongan bangsawan anak perempuan

mereka tidak lagi dibenarkan ke sekolah setelah mencapai umur akil baligh. Kartini

sememangnya sangat kecewa dengan keadaan tersebut kerana beliau juga pernah merasa

bagaimana impiannya untuk melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi tidak

dibenarkan oleh bapanya kerana beliau merupakan wanita bangsawan yang perlu

berpegang teguh kepada adat. Rentetan daripada kesedaran bahawa hanya pendidikan

sahaja yang mampu memartabatkan kaum wanita, Kartini telah mengambil satu inisiatif

yang tersendiri.

Pada bulan Julai 1903, Kartini telah menubuhkan sebuah sekolah perempuan di

Jepara. Beliau telah dibantu oleh adiknya Roekmini dan sekolah mereka pada awalnya

mempunyai 10 orang murid sahaja.15 Kartini mensasarkan anak-anak perempuan pegawai

bawahan ayahnya sebagai murid beliau. Di sekolah tersebut, murid-murid akan datang

empat kali dalam seminggu dari jam 8 pagi sehingga 12.30 tengah hari. Melalui suratnya

kepada Tuan Abendanon, beliau menyatakan bahawa pengajaran yang diberikan tidaklah

seperti pengajaran yang formal seperti di sekolah-sekolah yang disediakan oleh Belanda

akan tetapi Kartini mengajar mereka seperti mana yang seorang gadis Jawa mahukan.

Antara yang diajarkan kepada murid-murid perempuan di sekolahnya termasuklah

membaca, menulis, memasak, menjahit dan ketrampilan lainnya.16

Tidak lama selepas Kartini mendirikan sekolah barunya itu, beliau mendapat

berita berkaitan dengan perkahwinannya dengan seorang lelaki bangsawan Jawa yang

bernama Raden Adipati Djojo Adiningrat iaitu seorang Bupati di Rembang. Apa yang

lebih mengejutkan Kartini ialah beliau terpaksa menerima poligami dan menjadi isteri

yang keempat kepada bakal suaminya itu. Kartini terpaksa menerima perkahwinan

15 Ibid., hlm. 657.

(8)

tersebut kerana perlu patuh kepada ibu bapanya walaupun beliau sejak dari awal lagi

menentang hebat amalan poligami yang berleluasa dalam kalangan masyarakat. Namun

begitu, Kartini boleh dikatakan beruntung kerana bakal suaminya bersetuju dan telah

berjanji untuk menyokong Kartini mendidik anak bangsa dengan memberikan pendidikan

kepada mereka.17 Buktinya dapat dilihat melalui surat yang ditulis oleh Kartini kepada

isteri Tuan Abendanon yang bertarikh 25 Ogos 1903;

“Di Rembang nanti luaslah lapangan kerja saya, dan syukurlah saya tiada akan

berdiri sendirian di sana, dia telah berjanji akan membantu saya kuat-kuat.

Demikianlah kehendak harapan dan ingin hatinya: bolehlah dia membantu saya

dalam ikhtiar berjasa bagi bangsa kami.”18

Hal ini bukanlah suatu yang menghairankan kerana Raden Adipati Djojo Adiningrat

sememangnya seorang yang terbuka sama seperti bapa Kartini. Beliau pernah menetap di

Belanda dan beliau dikenali sebagai seorang pemerintah yang progresif di daerahnya.

Setelah berkahwin, Kartini dengan izin suaminya telah mendirikan sebuah sekolah di

Rembang untuk memberikan pendidikan kepada murid-murid perempuan. Semasa di

Rembang juga, Kartini pernah menyuarakan hasratnya untuk mendirikan sebuah bengkel

dan kediaman untuk para pengukir kayu, membelikan mereka peralatan dan menyokong

serta memasarkan hasil produk mereka.19 Sesungguhnya dapat dilihat bahawa Kartini

sangat bersungguh-sungguh dan optimis untuk memajukan bangsanya terutama golongan

wanita supaya mereka tidak lagi dipandang rendah dan dinafikan hak mereka seperti

sebelumnya. Usaha gigih Kartini di Rembang walaubagaimanapun tidak dapat bertahan

lama kerana beliau meninggal dunia sebaik sahaja melahirkan anak pertamanya.

NASIONALISME

17 Rashidah Abdullah, ‘Citra Wanita: Satu Penelitian Kedinamikan Kepimpinan Wanita Nusantara,’ Disertasi Sarjana, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura, 2013, hlm. 102.

18 Ny. Sulastin Sutrisno, Surat-Surat Kartini Renungan Tentang Dan Untuk Bangsanya, Jakarta: Penerbit Djambatan, 1979, hlm. 343.

(9)

Walaupun perjuangan Kartini lebih berfokus kepada memperjuangkan nasib

wanita tempatan, akan tetapi disebalik perjuangan beliau terdapat juga unsur-unsur

nasionalisme. Oleh kerana Kartini merupakan seorang yang banyak membaca dan luas

pengetahuannya, maka beliau menjadi seorang yang bijak serta tidak mudah terpedaya

dengan kegemilangan Belanda. Beliau menyedari bahawa tamadun Barat itu ada yang

membawa manfaat dan tidak kurang pula yang membawa kemudaratan kepada segenap

lapisan bangsa Jawa.20 Apa yang penting bagi Kartini ialah masyarakat Jawa haruslah

mencedok dan mengadaptasi nilai-nilai yang positif dari Barat demi kemajuan serta

keunggulan orang Jawa itu sendiri. Hal ini jelas-jelas disebut di dalam suratnya bertarikh

27 Oktober 1902 yang ditulis kepada isteri Tuan Abendanon;

“Kami hendak berikan kepada rakyat kami apa-apa yang indah dari peradaban

Eropa, bukan untuk mendesak keindahannya sendiri dan menggantinya, tetapi

untuk mempermulia yang sudah ada itu.

Dengan jalan mengawinkan tumbuh-tumbuhan atau hewan dari berbagai jenis

orang biasa mendapatkan jenis yang dipermulia. Bukankah begitu juga di

lapangan adat kebiasaan rakyat-rakyat? Kalau yang baik pada rakyat yang satu

dicampurkan dengan yang baik pada rakyat lain, bukankah akan timbul adat

kebiasaan yang lebih baik?”21

Pada masa yang sama juga Kartini tidak terlepas daripada mengkritik orientasi

kolonialisme yang menindas bangsanya sejak sekian lama. Beliau turut tidak terlepas

pandang akan keburukan peradaban Barat terhadap negaranya dan hal ini disedari oleh

beliau melalui pembacaan-pembacaannya sebelum ini. Sebagai contoh, melalui karya

Van Deventer mengenai Eereschuld serta Max Havelaar dan Minnebrieven karya

20 Rashidah Abdullah, ‘Citra Wanita: Satu Penelitian Kedinamikan Kepimpinan Wanita Nusantara,’ Disertasi Sarjana, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura, 2013, hlm. 43.

(10)

Multatuli, Kartini menyedari bahawa sistem Cultuurstelsel (sistem tanam paksa) telah

mengikis kekayaan bumi Jawa serta menghakis tenaga rakyat Jawa secara

sewenang-wenangnya.22

Dalam surat-surat Kartini juga, beliau begitu tajam mencemuh perlakuan penjajah

Belanda dalam membina jurang antara penjajah dengan bangsa yang dijajah. Kartini turut

mencela golongan pemerintah Belanda yang baginya mereka itu bersifat tamak, angkuh,

iri hati, hipokrit serta mahu dihormati sama seperti bangsawan Jawa. Kritikan beliau

dapat dilihat melalui suratnya yang dikirim kepada rakannya Stella bertarikh 12 Januari

1900;

“Sungguhlah orang Eropah itu menjadikan dirinya tertawaan kami saja; dia

menghendaki kami buat hormat kepada mereka, seperti kami diwajibkan oleh adat

kami memberi hormat kepada kami orang Bumiputera. Residen dan penolong

residen menyebutkan dirinya ‘kanjeng’...Tahukah mereka itu apakah ertinya

kanjeng? Disuruhnya orang yang ingin di bawahnya menghormati dia dengan cara

yang hanya dilakukan orang-orang itu kepada kepalanya sendiri...sangkaku hanya

si ‘Jawa’ bodoh itu saja yang ingin dianjung-anjungkan, tetapi sekarang tahulah

aku, bahwa orang Barat, yang beradab dan ada berpelajaran itu pun tak segan

dianjung-anjungkan, bahkan gila akan anjungan itu.”23

Kartini juga mencemuh penjajah Belanda yang tidak jujur dan hipokrit dalam membantu

kaum peribumi mempertingkatkan diri mereka melalui pendidikan. Hal ini demikian

kerana Belanda tidak rela melihat bangsa yang dijajah olehnya menjadi lebih pandai dan

berjaya daripada mereka.

22 Rashidah Abdullah, ‘Citra Wanita: Satu Penelitian Kedinamikan Kepimpinan Wanita Nusantara,’ Disertasi Sarjana, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura, 2013, hlm. 44.

(11)

Beliau turut sering kali mengingatkan pentingnya persatuan bagi bangsanya dan

menggalakkan anak-anak muda baik lelaki mahupun perempuan untuk berpersatuan.24

Bagi Kartini melalui persatuan, sesebuah bangsa itu akan lebih bersatu padu dan menjadi

kuat. Hal ini ditunjukkan dengan jelas melalui suratnya yang bertarikh 30 September

1901 kepada isteri Tuan Abendanon;

“Angkatan muda, tiada pandang laki-laki atau perempuan, wajiblah berhubungan.

Masing-masing secara sendiri-sendiri dapat berbuat sesuatu untuk memajukan,

meningkatkan derajat bangsa kami. Tetapi apabila kami bersatu, mempersatukan

kekuatan kami, bekerja bersama-sama, maka hasil usaha kami akan lebih besar.

Bersatu kita kukuh dan berkuasa.”25

Jelas sekali dapat dilihat, walaupun Kartini berusaha sedaya mungkin untuk

memperjuangkan nasib wanita akan tetapi di dalam setiap perjuangannya terselit unsur

nasionalisme yang beliu tonjolkan. Ternyata keinginan untuk melihat bangsanya bebas

dari penjajahan dan penindasan bergerak seiring dengan hasratnya yang mahukan

kebebasan dalam kehidupan wanita.

AGAMA

Perjuangan Kartini selain daripada memperjuangkan nasib wanita turut

merangkumi aspek agama. Bagi beliau semua agama yang dianuti oleh manusia adalah

sama, apa yang berbeza cumalah nilai dan amal yang dilakukan oleh manusia itu sendiri.

Baginya, sikap tolong menolong antara satu sama lain dan cinta mencintai adalah dasar

kepada segala agama di dunia. Kartini juga yakin terhadap monoteisme iaitu kepercayaan

kepada Tuhan Yang Maha Esa adalah tuhan semua orang dan semua agama. Fahaman

Kartini berkaitan dengan tuhan lebih banyak bersifat realistik berbanding metafizik

kerana beliau menganggap bahawa tuhan adalah kebajikan sehinggakan makna yang

(12)

diberikan oleh Kartini tentang tuhan mengandungi suatu sifat positif, jelas tanpa sesuatu

yang samar.26

Kartini sedar bahawasanya agama dalam kehidupan masyarakat tempatan tidak

dapat dipisahkan dan sukar diubah. Akan tetapi, renungan-renungan spiritual Kartini yang

tajam dan cerdas selalu menjadi rangsangan bagi munculnya renungan yang baru.27

Rentetan ketajaman pemikiran Kartini beserta dengan kekritisan berfikir yang ada pada

dirinya, beliau telah mempersoalkan pengertian sebenar orang Jawa terhadap Islam.

Beliau sering kali mengkritik Islam serta menilai Islam dari sudut kesesuaian dan

logiknya sahaja. Lantaran itu beliau lantang menolak syariat Islam dan hanya menerima

praktis tertentu yang boleh diterima pakai oleh akalnya sahaja sesuai dengan falsafah

humanis Maltuli yang dipegangnya yang menyatakan bahawa “tugas manusia adalah

menjadi manusia’.28

Antara yang dikritik oleh Kartini termasuklah golongan yang membaca Al-Quran

dengan khusyuk tetapi tidak faham akan maksudnya. Hal ini dapat dibuktikan melalui

surat beliau kepada rakannya Stella yang bertarikh 6 November 1899;

“Disini orang diajari membaca Quran, tetapi tidak mengerti apa yang dibacanya.

Saya menganggap hal itu suatu pekerjaan gila; mengajar orang membaca tanpa

mengajarkan makna yang dibacanya. Samalah halnya seperti engkau mengajar

saya membaca buku bahasa Inggeris dan saya harus hafal seluruhnya, tanpa kamu

terangkan erti kata sepatah pun dalam buku itu kepada saya.”29

Bagi beliau amalan seperti ini tidak membawa sebarang faedah kepada masyarakat.

Kartini berpendapat seseorang itu harus memahami apa yang dibacanya barulah dia akan

26 Pramoedya Ananta Toer, Panggil Aku Kartini Sadja, Jakarta: N. V. Nusantara, 1962, hlm. 242.

27 Th. Sumartana, Tuhan dan Agama Dalam Pergelutan Batin Kartini, Yogyakarta: Gading Publishing, 2013, hlm. 93.

28 Rashidah Abdullah, ‘Citra Wanita: Satu Penelitian Kedinamikan Kepimpinan Wanita Nusantara,’ Disertasi Sarjana, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura, 2013, hlm. 54.

(13)

mendapat faedah daripadanya bukan hanya membaca atas dasar agama tetapi tidak

mempunyai kefaham sedikit pun tentang apa yang dibacanya.

Kartini juga menyelar masyarakat yang menggunakan dalil agama untuk

menjadikan poligami itu dibenarkan. Beliau menolak sekeras-kerasnya amalan poligami

walaupun amalan tersebut dibenarkan oleh Islam. Menurut fahaman Kartini, amalan

poligami walaupun dibenarkan oleh agama akan tetapi menyebabkan penderitaan emosi

kepada isteri yang pertama. Kebencian Kartini terhadap amalan poligami ini jelas

terserlah melalui kenyataannya;

“Bukan dosa, bukan kecelaan pula, hokum Islam mengizinkan laki-laki menaruh

empat orang perempuan. Meskipun seribu kali orang mengatakan beristri empat

bukan dosa menurut hukum Islam, tetapi aku tetap selama-lamanya akan

mengatakan itu dosa. Segala perbuatan yang menyakitkan sesamanya, dosalah

pada mataku.”30

Kartini berpendirian sedemikian kerana beliau dilihat kurang pemahaman yang mendalam

tentang Islam itu sendiri. Islam telah disalah gunakan bagi kepentingan golongan tertentu

dalam masyarakat Jawa sehingga menimbulkan pelbagai kecelaruan. Pemikiran Kartini

terhadap Islam yang bersifat realistik dan hanya menerima perkara serta amalan yang

dianggap logik oleh akalnya sahaja adalah disebabkan oleh kedangkalan penghayatan

beliau terhadap Islam. Akan tetapi keadaan ini berubah setelah Kartini bertemu dengan

seorang tokoh agama bernama Kiai Haji Muhammad Sholeh bin Umar Assamarani atau

lebih dikenali sebagai Kiai Sholeh Darat.31

Pertemuan antara Kartini dengan Kiai Sholeh berlaku di rumah bapa saudara

Kartini iaitu Bupati Demak Pangeran Ario Hadiningrat. Ketika berkunjung ke rumah

30 R. A. Kartini, Habis Gelap Terbitlah Terang (terjemahan Armin Pane), Jakarta: Bali Pustaka, 2004, hlm. 47.

(14)

bapa saudaranya, Kartini sempat mengikuti pengajian yang diberikan oleh Kiai Sholeh

Darat berkaitan tafsir surah Al-Fatihah. Kartini kemudiannya berasa tertarik dan bertanya

kepada Kiai Sholeh Darat mengapa selama ini para ulama melarang keras penterjemahan

dan pentafsiran Al-Quran dibuat ke dalam Bahasa Jawa sedangkan Al-Quran adalah

pembimbing manusia.32 Kiai Sholeh Darat sangat kagum dengan pertanyaan Kartini yang

dilihatnya keterhadapan dan Kartini sesungguhnya telah membuka jalan agar Al-Quran

diterjemahkan ke dalam bahasa Jawa supaya masyarakat dapat memahami isi serta

kandungannya. Demikianlah perjuangan dan sumbangan seorang Kartini dalam bidang

agama. Walaupun pada mulanya beliau dikritik hebat oleh banyak pihak kerana sikapnya

yang sering mencemuh agama sendiri namun tidak dapat dinafikan bahawa Kartini

berhasrat agar bangsanya memahami pengertian dan fungsi agama itu sendiri bukan

hanya menganuti serta mengamalkannya tanpa kefahaman yang sebenar.

NILAI KESAMARATAAN

Kartini juga merupakan tokoh yang memperjuangkan nilai kesamarataan pada

zamannya. Hal ini dilihat suatu yang istimewa bagi seorang gadis berketurunan

bangsawan kerana bangsawan Jawa pada masa tersebut mementingkan status sosial dan

penghormatan serta tidak mahu diri mereka disamakan dengan rakyat biasa. Banyak

pihak menganggap sosok yang bernama Kartini ini merupakan wanita yang berjiwa

besar walaupun beliau menyedari akan darah kebangsawanannya. Kartini mengkritik

hebat orientasi feudal kerana mewujudkan jurang persaudaraan antara anggota

masyarakat Jawa. Menurut beliau, feudalisme adalah punca perpecahan dalam

masyarakat yang dipisahkan mengikut strata sosial dan susunan perhambaannya dalam

masyarakat Jawa.33 Kartini berpendapat hegemoni yang wujud dalam masyarakat feudal

32 http://www.solopos.com/2016/04/21/kisah-inspiratif-pertemuan-kartini-dan-kiai-sholeh-darat-hingga-awal-mula-terjemahan-alquran-dalam-bahasa-jawa-712596?mobile_switch=desktop

diakses pada 20 November 2016.

(15)

sebegini hanya merugikan bangsa kerana nilai tanggungjawab sosial terhadap anggota

masyarakat demi perpaduan ummah gagal diwujudkan. Dengan itu, golongan atasan

sentiasa mengamalkan sikap angkuh, menyisihkan diri daripada rakyat biasa tanpa rasa

belas, simpati apatah lagi prihatin terhadap nasib masyarakatnya yang rata-rata miskin

dan menderita.

Golongon atasan dilihat bebas melakukan apa sahaja kerana semakin tinggi

kedudukan mereka sebagai aristokrat, semakin mutlak kekuasaan mereka dalam banyak

perkara. Oleh yang demikian, Kartini menganggap tanpa nilai kesamarataan masyarakat

peribumi tidak akan maju dan akan terus tertindas di bawah penjajahan kuasa asing.

Kartini sememangnya seorang bangsawan yang sangat berbeza sama sekali jika

dibandingkan dengan bangsawan Jawa yang lain. Beliau ingin dipandang sebagai

individu yang sama dengan orang lain serta merasakan dirinya tidak berbeza dengan

rakyat biasa yang sama-sama hidup di bawah penjajahan. Beliau bahkan mahu dirinya

dipanggil Kartini sahaja tanpa perlu menggunakan gelaran ‘Raden Adjeng’.34 Hal ini

dapat dilihat melalui surat yang dikirim oleh beliau kepada rakannya Stella bertarikh 17

Mei 1902;

“Maka untuk pertama kali, nama saya disebutkan bersama-sama dengan bangsa

saya. Dengan bangsa saya itulah selanjutnya nama saya bersatu! Saya bangga

Stella, disebutkan senapas dengan bangsa saya!”35

Melalui surat tersebut jelas dapat dilihat Kartini tidak mahu dirinya dianggap jauh di atas

orang lain, lebih-lebih lagi di atas mereka yang disebut sebagai rakyat biasa.

Pemikiran Kartini sangat tajam dan kritis terhadap setiap perkara yang berlaku

dalam kehidupannya dan beliau menggunakan kekuatan mata pena untuk menyampaikan

(16)

buah fikirannya. Beliau amat kecewa dengan adat istiadat bangsanya yang terlalu taksub

dengan adat dan keturunan. Beliau ternyata berbeza dan perwatakannya sentiasa

menunjukkan bahawa beliau seorang bangsawan yang tidak mementingkan darjat,

memperjuangkan persamaan, prihatin serta merendah diri. Bagi Kartini, seorang

bangsawan itu tidak perlu terlalu meninggi diri dengan status sosialnya kerana seorang

bangsawan yang sebenar-benar bangsawan adalah mereka yang berakhlak, bersopan,

mempunyai keperibadian yang unggul lagi mulia serta berjasa kepada bangsanya

sendiri.36 Kartini berpandangan apalah ertinya memiliki darah bangsawan yang hidupnya

dihormati, mewah dan disanjung akan tetapi masih juga bersama-sama rakyat biasa

berada di bawah penguasaan bangsa lain. Baginya, semua itu adalah realiti bahawa

bangsawan dan rakyat biasa berada pada posisi yang sama iaitu sama-sama dikuasai

bangsa asing.37 Selain daripada memperjuangkan nila kesamarataan, Kartini juga

merupakan bangsawan yang berjiwa rakyat. Hal ini terbukti apabila beliau berjaya

menyelami kehidupan rakyat biasa dengan pelbagai cara dan salah satunya ialah beliau

berusaha menolong para pengukir kayu dengan cara memberikan mereka pekerjaan serta

memasarkan hasil ukiran mereka ke kota-kota besar.38 Melalui usaha Kartini, ukiran

kayu dari Jepara terkenal di mana-mana.

KESIMPULAN

Perjuangan seorang tokoh bernama Kartini sememangnya mempunyai dimensi

yang amat luas. Beliau merupakan tokoh pemikir dan pejuang bangsa Indonesia

khususnya bagi kaum wanita yang berlatarbelakang dari keluarga elitis. Perjuangan

emansipasi wanita yang diketengahkan oleh beliau melalui mata penanya adalah lebih

36 Rashidah Abdullah, ‘Citra Wanita: Satu Penelitian Kedinamikan Kepimpinan Wanita Nusantara,’ Disertasi Sarjana, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura, 2013, hlm. 50.

37Suryanto Sastroatmodjo, Tragedi Kartini, Yogyakarta: Penerbit Narasi, 2005, hlm. 17.

(17)

kepada hasratnya yang inginkan wanita tempatan diberi kebebasan serta mandiri

khususnya dalam bidang pendidikan dan kehidupan berumah tangga.39 Melalui mata

penanya juga, Kartini memperlihatkan hasrat besarnya iaitu mahu menyampaikan pesona

kebudayaan Jawa dan menunjukkan kepada Belanda serta masyarakat umum

bahawasanya wanita juga mempunyai peluang untuk meningkatkan taraf hidup serta

berjaya sama seperti lelaki. Hal ini telah membawa kepada tindakannya mendirikan

sekolah untuk murid-murid perempuan kerana baginya hanya melalui pendidikan sahaja

yang mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap status serta kedudukan seseorang

wanita itu.

Kartini jelas dilihat sebagai anak bangsawan yang menyongsang arus dan berani

apabila beliau membuka sekolah pertamanya dengan bantuan adik beradik

perempuannya yang lain. Langkah yang diambil oleh Kartini ini mencerminkan bahawa

beliau seorang pejuang yang optimis terhadap bangsanya. Beliau juga percaya dan yakin

dengan kemampuan wanita yang jika digilap pasti semua orang akan melihat sinarnya.

Kesungguhan Kartini mendidik anak bangsa tidak terhenti walaupun beliau sudah

berkahwin. Buktinya, beliau telah membuka sekolah yang baru di Rembang apabila

beliau mengikut suaminya berpindah ke sana. Hasil usaha Kartini sememangnya

mendapat perhatian banyak pihak malah selepas beliau meninggal dunia, Kartini Fund

atau dikenali juga sebagai Dana Kartini ditubuhkan pada tahun 1912 di Belanda.40 Fungsi

badan ini adalah bagi membiayai pendidikan kanak-kanak perempuan di Jawa. Bukan itu

sahaja, Sekolah Kartini juga telah dibuka dan cawangan pertamanya adalah di Semarang

dan kemudiannya di Jawa pada tahun 1930.41 Sekolah Kartini ternyata mendapat

(18)

sambutan yang menggalakkan kerana masyarakat tempatan sudah mula sedar akan

kepentingan pendidikan terhadap anak-anak perempuan mereka.

Dari sudut nasionalisme pula, Kartini dilihat jelas tidak berpuas hati dengan

penjajahan Belanda di tanah airnya. Baginya Belanda hanya ingin mengaut keuntungan

dan kekayaan tetapi mengabaikan kebajikan serta menindas penduduk tempatan. Beliau

sering mengkritik dasar-dasar Belanda seperti sistem tanaman paksa dan juga sistem

pendidikan Belanda yang dilihat sebagai ketidakikhlasan Belanda untuk membangunkan

masyarakat tempatan. Bukan hanya mengkritik pihak Belanda, Kartini turut menyelar

golongan aristokrat Jawa yang baginya hanya mementingkan kedudukan serta

penghormatan tetapi tidak mengambil inisiatif untuk membangunkan masyarakat.

Menurut Kartini, selagi keadaan tersebut tidak berubah maka bangsanya akan terus

dijajah dan ditindas.

Kartini juga sering mengkritik amalan-amalan Islam yang dilihatnya tidak

membawa kebaikan kepada bangsanya. Walaupun kadangkala kritikan beliau

memperlihatkan kedangkalannya terhadap agama sendiri contohnya dalam isu poligami

akan tetapi ada di antara kritikan Kartini terhadap agama itu benar dan berasas. Sebagai

contoh ialah amalan membaca Al-Quran tanpa memahami maksudnya terlebih dahulu.

Pemikiran Kartini yang jauh terkehadapan dan kritis telah membuka jalan kepada

penafsiran Al-Quran ke dalam bahasa Jawa yang dapat digunakan sehingga kini. Kartini

juga lantang memperjuangkan nilai kesamarataan dalam masyarakatnya. Beliau ternyata

sangat kecewa dengan ketaksuban bangsanya terhadap keturunan kerana baginya

manusia itu dijadikan oleh tuhan sama sahaja fungsinya. Oleh kerana tiadanya nilai

kesamarataan inilah yang membawa kepada perpecahan dalam masyarakat menurut

Kartini. Beliau sebaliknya sentiasa mahu dianggap berada pada kedudukan yang sama

(19)

mampu berbudi kepada rakyat biasa serta masih duduk bersama di bawah penjajahan

asing.

Perjuangan Kartini khususnya dalam memperjuangkan nasib wanita

sememangnya tidak boleh dinafikan akan tetapi sayangnya beliau tidak dikurniakan usia

yang panjang. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1904 di Rembang dan ketika itu

beliau berusia 25 tahun.42 Walaupun setelah kepergiannya, karya-karya Kartini terutama

surat-surat yang diutusnya telah diterbitkan hasil usaha Tuan Abendanon yang

kemudiannya diberi judul ‘Habis Gelap Terbitlah Terang’ dan karya ini kemudiannya

diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris oleh Agnes Louise Symmers di bawah judul

Letters of a Javanese Princess Raden Adjeng Kartini’.43 Sebagai mengenang jasa

Kartini, kerajaan Indonesia telah mengisyhtiharkan bahawasanya tanggal 21 April pada

setiap tahun merupakan ‘Hari Kartini’ yang disambut oleh seluruh bangsa Indonesia

sehingga ke hari ini. Kartini sesungguhnya merupakan salah seorang tokoh pejuang yang

sanggup memberikan sepenuh tenaga dan usahanya untuk membangunkan bangsanya

sendiri khususnya kaum wanita walaupun beliau menyedari banyak halangan yang perlu

ditempuhinya. Hal ini pernah dicatatkan oleh beliau melalui suratnya bertarikh 7 Oktober 1900

kepada Tuan Abendanon yang berbunyi;

“Saya tahu jalan yang hendak saya tempuh itu sukar, penuh duri, onak, lubang;

jalan itu berbatu-batu, berjendul-jendul, licin, ... belum dirintis! Dan walaupun

saya tidak beruntung sampai ke ke ujung jalan itu, walaupun saya sudah akan

patah di tengah jalan; saya akan mati dengan bahagia. Sebab jalan tersebut sudah

terbuka dan saya turut membantu meneratas jalan yang menuju ke kebebasan dan

kemerdekaan perempuan Bumiputera. Saya sudah akan sangat puas, apabila orang

42 A.K. Pringgodigdo SH, Sedjarah Pergerakan Rakyat Indonesia, Jakarta: Penerbit Dian Rakjat, 1970, hlm. 18.

(20)

tua anak-anak perempuan lain yang juga hendak berdiri sendiri, tidak akan dapat

lagi mengatakan; masih belum ada seorang pun di antara kita yang telah berbuat

demikian.”44

RUJUKAN

1. A.K. Pringgodigdo SH, Sedjarah Pergerakan Rakyat Indonesia, Jakarta: Penerbit

Dian Rakjat, 1970.

2. Citra Mustikawati, ‘Pemahaman Emansipasi Wanita (Studi Hermeneutika Makna

Emansipasi Wanita Dalam Pemikiran R.A. Kartini Pada Buku Habis Gelap

Terbitlah Terang),’ Jurnal Kajian Komunikasi, Jil. 3, No. 1, Jun 2015.

3. Department of Information Republic of Indonesia, The Indonesian Womens

Movement A Chronological Survey of the Women’s Movement in Indonesia,

Jakarta: Department of Information, 1968.

(21)

4. Kongres Wanita Indonesia (KOWANI), Sejarah Setengah Abad Pergerakan

Wanita Indonesia, Jakarta: PN Balai Pustaka, 1978.

5. Ny. Sulastin Sutrisno, Surat-Surat Kartini Renungan Tentang Dan Untuk

Bangsanya, Jakarta: Penerbit Djambatan, 1979.

6. P. Chandler, David., Ricklef, M.C., Nineteenth and Twentieth Century Indonesia

Essays In Honour Of Professor J. D. Legge, Victoria: Centre of Southeast Studies,

Monash University, Clayton, 1986.

7. Pramoedya Ananta Toer, Panggil Aku Kartini Sadja, Jakarta: N. V. Nusantara,

1962.

8. R. A. Kartini, Habis Gelap Terbitlah Terang (terjemahan Armin Pane), Jakarta:

Bali Pustaka, 2004

9. Rashidah Abdullah, ‘Citra Wanita: Satu Penelitian Kedinamikan Kepimpinan

Wanita Nusantara,’ Disertasi Sarjana, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti

Nasional Singapura, 2013.

10. Stewart Taylor, Jean., ‘Raden Ajeng Kartini,’ Signs: Journal of Women in Culture

and Society, Jil. 1, No. 3, 1976.

11. Sudrajat, ‘Kartini: Perjuangan Dan Pemikirannya,’ Jurnal Mozaik, Jil. 2, No. 2,

Januari 2007.

12. Suryanto Sastroatmodjo, Tragedi Kartini, Yogyakarta: Penerbit Narasi, 2005.

13.Th. Sumartana, Tuhan dan Agama Dalam Pergelutan Batin Kartini, Yogyakarta:

Referensi

Dokumen terkait

Jadi, jika pada saat pengadilan menjatuhkan putusan yang menyatakan surat dakwaan batal demi hukum, masih ada perkara lain yang menyangkut diri terdakwa, dalam kasus yang

Berhubungan dengan peran sektor pertanian terhadap pembangunan ekonomi di Jawa Timur, jika dilihat dari data yang memiliki nilai angka pengganda terbesar adalah

Beberapa faktor yang berhubungan dengan lama rawat inap pada pasien batu ginjal pasca operasi terbuka jika dilihat dari teori antara lain usia, jenis kelamin, jenis batu, kadar

Namun investasi tersebut masih lebih rendah jika dibandingkan dengan kota lain yang ada di Jawa Tengah seperti Kota Surakarta (Solo). Dapat dilihat pada tabel di atas dari

sehobi yang biasa disebut sebagai kelompok pagurauan. Namun demikian, tidak ada larangan bagi orang lain yang di luar kelompok-kelompok tertentu jika ingin bergabung

Jika dilihat pada Gambar 16 menunjukkan untuk kabupaten di Luar Jawa memiliki pola yang berlainan dengan kedua model di atas, antara lain (1) Hubungan skor SEDIA dan AKSES

Sesungguhnya jika seorang wanita telah mencapai haidh, maka tidak boleh dilihat darinya kecuali ini dan ini.101 Dengan demikian masalah yang hukum wanita memakai cadar tidak ada