• Tidak ada hasil yang ditemukan

KAJIAN PERKEMBANGAN KERJAYA GRADUAN

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2021

Membagikan "KAJIAN PERKEMBANGAN KERJAYA GRADUAN"

Copied!
10
0
0

Teks penuh

(1)

KAJIAN PERKEMBANGAN KERJAYA

GRADUAN

INSTITUSI PENDIDIKAN TEKNIKAL DAN LATIHAN VOKASIONAL (TVET) - TINJAUAN DI NEGERI JOHOR

Saasobah @ Nor Adibah Ali, Suhaina Mohamed Zaki, Jamaliah Salbi

E-mail : saasobah.ali@gmail.com, Jamaliah@kkpg.edu.my

ABSTRAK

Fokus negara untuk merancakkan agenda melahirkan modal insan mahir dengan memperkemaskan peranan Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) telah mewujudkan Jawatankuasa Pemerkasaan TVET yang sebelum ini dilaksanakan oleh enam kementerian mengikut sistem pendidikan yang berbeza. Institusi TVET juga sering dikelirukan sebagai pilihan kedua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk meneruskan pengajian. Sekiranya persepsi ini tidak diubah dengan segera, usaha mengarus perdana, memperkasa dan memperluas TVET di Malaysia boleh terjejas. Kajian tinjauan ini bertujuan membincangkan sejauhmana graduan dari institusi TVET berpeluang memperkembangkan kerjayanya di pasaran kerja dan juga peluang melanjutkan pelajaran. Kajian ini juga menganalisa graduan kemahiran mendapat pendapatan yang setanding dengan pasaran serta mengenalpasti penghargaan dari majikan terhadap kepakaran graduan dalam kemahiran yang disumbangkan kepada syarikat. Kajian ini berbentuk kuantitatif dan menggunakan borang soal selidik sebagai instrumen kajian. Analisis data menggunakan Statistical Package for Social Sciences (SPSS) versi 24. Sampel kajian terdiri daripada responden kajian terdiri daripada graduan institusi kemahiran TVET di negeri Johor, Malaysia yang dipilih secara rawak. Dapatan kajian menunjukkan 85% graduan institusi TVET mendapat manfaat perkembangan kerjaya di pasaran kerja. Malaysia memerlukan sumber manusia berkemahiran tinggi untuk menepati kehendak keperluan pasaran dalam pelbagai industri bagi kestabilan ekonomi yang mencabar kini. Kajian diharapkan memberikan panduan supaya graduan TVET untuk lebih yakin untuk berdaya saing serta menyemarakkan aktiviti kerjasama pihak TVET dengan industri memperkemas dan mempergiat usaha menjadikan TVET sebagai laluan yang menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi, mampu menjana pendapatan yang setanding pasaran semasa dan meningkatkan ekonomi negara.

Kata Kunci : Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), perkembangan kerjaya, pendapatan setanding pasaran

PENGENALAN

Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau dikenali sebagai Technical and Vocational Education and Training (TVET) di Malaysia dijenamakan semula sebagai TVET Malaysia dalam usaha kerajaan memperkasakan rakyat serta memajukan negara ke tahap lebih tinggi. Sijil untuk graduan TVET dikeluarkan oleh dua badan pengiktirafan iaitu Malaysian Qualification Agency (MQA) bawah Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bawah Kementerian Sumber Manusia. Malaysian Qualification Accredetation (MQA) mengakreditasi program vokasional serta teknikal yang ditawarkan oleh institusi seperti

(2)

politeknik, kolej komuniti dan institusi pendidikan dan latihan bawah Mara, manakala JPK pula mengakreditasi program latihan kemahiran yang ditawarkan oleh institusi seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN). Memandangkan kita sedang menempuh Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0), persaingan ekonomi digital, perkembangan teknologi robotik dan kecerdasan buatan yang seiring dengan kehadiran gelombang teknologi 5G yang merancakkan peluang pekerjaan dan keperluan tenaga mahir teknologi dan industri. Maka graduan TVET perlu mempertingkatkan kemahiran dan mendapatkan sijil profesional bertaraf antarabangsa agar berpeluang mendapatkan pekerjaan yang lebih luas dan tidak tertumpu kepada pekerjaan di Malaysia sahaja untuk menjana pendapatan yang tinggi dan peluang yang lebih baik dalam pasaran kerja.

PERNYATAAN MASALAH

Menurut Noor Mohamad Shakil Hameed dalam Utusan Malaysia menyatakan bahawa graduan TVET bakal menjadi tulang belakang negara maju berpendapatan tinggi. Selaras dengan itu, beliau turut merumuskan bahawa kita perlu meyakinkan belia dan masyarakat bahawa graduan TVET mempunyai masa depan yang cerah jika mampu menyediakan tenaga mahir tempatan yang berdaya saing dan berkualiti tinggi sehingga tidak bergantung kepada pekerja asing. Namun perlu ditelusuri manfaat yang sepatutnya diperolehi selepas mereka memilih pengajian dalam bidang TVET memandangkan keperluan sara hidup, perubahan ekonomi dan industri pantas secara global dengan perkembangan teknologi yang semakin meningkat yang memberikan cabaran kepada para tenaga mahir secara keseluruhannya. Laporan Forum Ekonomi Dunia 2016 mendapati bahawa dalam banyak industri dan negara, pekerjaan atau kepakaran yang paling tinggi permintaannya adalah tidak wujud pada 10 hingga 5 tahun sebelumnya dengan perubahan yang pantas. Upwork Quarterly Skills Index pula mendapati bahawa 70 peratus bidang kemahiran yang sangat pesat berkembang menjadi indeks baru. Oleh itu, pengajian bidang kemahiran TVET mempunyai potensi tersendiri yang perlu dipergiatkan lagi supaya merancakkan industri dan ekonomi negara. Kajian ini sangat penting kerana ianya dapat memberi panduan supaya graduan TVET yang telah menyahut seruan dan saranan ini perlu diberi peluang untuk kemajuan diri masing-masing dengan menyediakan saluran yang khas supaya tenaga mahir TVET terus berkembang dengan kemahiran yang setanding keperluan industri dan tidak hanya menjadi hanya pekerja bawahan malah boleh menjadi pengurusan tertinggi serta berpeluang mendapat peningkatan pendapatan mengikut kepakaran dan sumbangannya kepada syarikat/organisasi.

OBJEKTIF KAJIAN

1. Mengenalpasti tahap peluang memperkembangkan kerjayanya di pasaran kerja dan melanjutkan pelajaran di kalangan graduan dari institusi TVET

2. Mengenalpasti sama ada amaun pendapatan di kalangan graduan TVET setimpal dan setanding dengan pasaran kerja

3. Mengenalpasti tahap penghargaan majikan terhadap kepakaran graduan TVET berkemahiran yang disumbangkan kepada syarikat/organisasi

PERSOALAN KAJIAN

1. Sejauhmanakah graduan dari institusi TVET berpeluang memperkembangkan kerjayanya di pasaran kerja dan juga peluang melanjutkan pelajaran?

(3)

2. Adakah graduan TVET berpendapatan yang setimpal dan setanding dengan pasaran kerja?

3. Sejauhmanakah penghargaan majikan terhadap kepakaran graduan TVET berkemahiran yang disumbangkan kepada syarikat?

METODOLOGI KAJIAN

Penelitian perkembangan kerjaya graduan Institusi Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) di negeri Johor telah menggunakan pendekatan kuantitatif dengan cara untuk mendapatkan sample secara rawak di negeri Johor menggunakan borang soal selidik yang telah diedarkan secara surat rasmi dan aplikasi atas talian. Kajian dianalisis secara deskriptif.

Penyelidik telah menggunakan Skala Likert dengan 5 mata bagi item indeks kepuasan dalam soal selidik yang dikelaskan seperti berikut :

Jadual 1 : Jadual Skala Likert

Instrumen dibentuk oleh pasukan pengkaji berasaskan objektif dan fokus kajian yang berpandukan kajian literatur. Pernyataan-pernyataan yang menggunakan skala Likert dibentuk menggunakan asas menentukan peluang melanjutkan kerjaya dan menyambung pengajian yang lebih tinggi, pendapatan yang setimpal dengan pasaran semasa dan penghargaan atas kemahiran graduan TVET.

HIPOTESISI KAJIAN

Persoalan Kajian 1 : Sejauhmanakah graduan dari institusi TVET berpeluang memperkembangkan kerjayanya di pasaran kerja dan juga peluang melanjutkan pelajaran?

Ho : Graduan TVET mempunyai peluang memperkembangkan kerjaya di pasaran kerja dan juga melanjutkan pengajian.

Persoalan Kajian 2 : Adakah graduan TVET berpendapatan yang setimpal dan setanding dengan pasaran kerja?

Ho : Graduan TVET telah mencapai tahap berpendapatan tinggi setanding lulusan akademik

KEPENTINGAN KAJIAN

Hasil kajian ini dapat memberi manfaat kepada mana-mana pihak yang memerlukan rujukan. Antara kepentingan kajian terhadap golongan sasaran penyelidik adalah:

i. Graduan TVET : Hasil kajian ini dapat memberi panduan kepada graduan TVET bahawa terdapat platform untuk melanjutkan pengajian dan meningkatkan kemahiran kepada yang lebih profesional bagi mencapai pendapatan yang lebih tinggi di pasaran kerja.

(4)

ii. Majikan : Hasil kajian ini dapat memberi penjelasan bahawa peranan majikan adalah penting bagi mengenalpasti tenaga mahir yang berkelulusan TVET yang mempunyai potensi untuk dihargai dan diberi peluang dan kepercayaan mendapatkan pendapatan dan jawatan penting dalam syarikat.

iii. Institusi TVET : Maklumat ini membantu institusi TVET untuk menyusun strategi yang lebih jelas supaya terus diterima pakai memenuhi keperluan industri yang akan semakin rancank dengan perkembangan teknologi komunikasi 5G dan transisi revolusi industri 4.0 ke 5.0.

SKOP KAJIAN

Kajian ini melibatkan seramai 65 responden yang terdiri dari graduan TVET dari institusi TVET di negeri Johor, Malaysia. Kawasan kajian dan taburan responden dibahagikan kepada beberapa institusi di negeri Johor.

Jadual 2 : Jadual Kelayakan*Pendapatan Crosstabulation

Jadual Kelayakan*Pendapatan Crosstabulation memaparkan anggaran gaji mengikut kelayakan tertinggi reponden. Sebagai contoh, 31 orang yang pemegang Sijil Kemahiran mempunyai gaji kurang dari RM1500, 18 orang berpendapatan RM 1500 – RM 2999 sementara 1 orang berpendapatan RM6000. Didapati responden yang berpendapatan lebih daripada RM6000 adalah terdiri daripada 1 orang pemegang diploma dan 1 orang pemegang ijazah. Seramai 30 orang berpendapatan antara RM1500 – RM6000 sementara 35 orang berpendapatan di bawah RM1500 menunjukkan peningkatan pendapatan secara umum adalah 46.15%. Ini menjelaskan nilai ini secara sederhana bersetuju peningkatan pendapatan berkait dengan kelayakan graduan TVET. ANALISIS DATA

Analisis Demografi Responden : Berdasarkan dapatan profil responden, sebanyak 69% responden adalah perempuan dan 31% adalah lelaki berumur sekitar 30 hingga 49 tahun mempunyai kelulusan dari institusi TVET iaitu 76.9 peratus dari Politeknik & Kolej Komuniti, 9.2 peratus dari Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), 4.6 peratus Giat Mara dan Institut Kemahiran Mara (IKM), 3.1 peratus dari Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) dan Kolej Vokasional sementara 1.5 peratus dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP). Ini senada dengan bidang yang dipilih responden iaitu Teknologi Maklumat, Fesyen dan Pakaian, Terapi Kecantikan dan Spa, Dandanan Rambut dan Pengurusan Hotel yang biasanya dipelopori perempuan. Sementara ada responden bidang Kejuruteraan Automotif, Elektrik, Elektronik, Pembuatan sebanyak 9.2 peratus, Pengoperasian

(5)

Perniagaan 7.7 peratus, Pendidikan Teknik dan Vokasional 6.2 peratus sementara bidang Teknologi Pengeluaran Plastik hanya mempunyai 1 responden sahaja. Demografi responden mengikut Jadual Frekuensi Umur Responden adalah 81.5 peratus berumur 20 – 29 tahun menunjukkan responden majoriti adalah belia muda. Sementara 7.7 peratus responden berumur 30 – 39 tahun dan 10.8 peratus adalah responden berumur 40 – 49 tahun. Demografi responden terdiri daripada 84 peratus telah bekerja kurang dari 5 tahun, 8 peratus 10 – 19 tahun, 5 peratus 6 – 9 tahun dan 3 peratus lebih dari 20 tahun. Ini selari dengan demografi umur responden yang majoritinya belia muda. Taburan responden mengikut kelayakan adalah 76.9 peratus pemegang sijil kemahiran, 13.8 peratus pemegang ijazah, 6.2 peratus pemegang diploma dan 3.1 peratus adalah pemegang sijil SKM tahap 3. Data taburan frekuensi mengikut bidang pengajian responden bagi Teknologi Maklumat dan Fesyen dan Pakaian adalah 26.2 peratus masing-masing. Bidang Terapi Kecantikan dan Spa sebanyak 13.8 peratus. Sementara bidang Kejuruteraan Automotif, Elektrik, Elektronik, Pembuatan sebanyak 9.2 peratus. Bagi bidang Dandanan Rambut dan bidang Pengoperasian Perniagaan berkongsi nilai iaitu 7.7 peratus. Bidang Pendidikan Teknik dan Vokasional 6.2 peratus sementara bidang Teknologi Pengeluaran Plastik dan Pengurusan Hotel adalah 1.5 peratus masing-masing.

Jadual 3 : Jadual Pendapatan * Sektor Crosstabulation

Jadual 4 di atas menunjukkan hubungan yang jelas bahawa graduan TVET yang bekerja dalam sektor swasta/industri mempunyai skala yang lebih stabil iaitu merangkumi pendapatan yang rendah hingga kepada pendapatan yang tinggi. Ini menunjukkan peluang graduan TVET lebih luas di sektor ini. Sebanyak 36 orang dari 65 responden 55.38 peratus adalah dalam sektor swasta/industri. Data ini juga memaparkan majoriti graduan TVET bekerja dalam sektor Swasta/Industri.

ANALISIS PERSOALAN KAJIAN 1

Sejauhmana graduan dari institusi TVET berpeluang memperkembangkan kerjayanya di pasaran kerja dan juga peluang melanjutkan pelajaran?

(6)

Jadual 4 : Statistik Skewness Dan Kurtosis Bagi Item B1-1 Hingga B1-10

Pengkaji telah membuat ujian taburan normal bagi data menggunakan dapatan analisis data menggunakan Statistik Skewness dan Kurtosis. Jika taburan adalah secara normal, maka ia telah menepati salah satu syarat untuk menggunakan ujian parametrik bagi analisa data. Ujian normaliti bagi taburan data boleh menggunakan ujian nilai Skewness dan Kurtosis bagi menguji normaliti data. Merujuk kepada jadual di atas, nilai Skewness berada diantara -0.280 dan -1.048 menunjukkan pencongan graf normal ke kiri (negatif). Sementara nilai kurtosis antara 0.683 dan -1.065 menggambarkan bentuk lengkungan bagi taburan data. Jika nilai Kurtosis adalah positif maka bentuk lengkungannya yang tinggi (leptokurtik) dan jika nilainya negatif, bentuk lengkungannya lebih rendah, mendatar dan lebar (platikurtik).

Jadual 5 : Jadual Statistik Min, Mod Dan Median Bagi B1-1 Hingga B1-10

Berdasarkan Jadual 6 di atas, didapati skor mod tertinggi pada item B1-1, B1-3, B1-5, B1-6, B1-7, B1-8 dan B1-10 meletakkan skala “Amat Setuju”. Sementara item B1-2, B1-4 dan B1-9 pada skala 4 iaitu “Setuju”. Ini menunjukkan secara keseluruhannya responden positif dengan persoalan kajian pertama ini. Skor mod keseluruhan adalah 4.00 bagi semua item soalan menunjukkan skala “Setuju”. Skor min tertinggi adalah 4.40 mata pada item B1-3 yang menyatakan ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diperolehi sepanjang pengajian di institusi TVET menyumbang dalam bidang kerjaya. Skor min terendah adalah 3.86 mata pada item B1-4 iaitu graduan TVET lebih mudah diterima bekerja oleh syarikat berbanding lulusan akademik.

Item B1-1 : Graduan TVET boleh melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi di universiti Malaysian Technical University Network (MTUN), Accreditation of Prior Experiential Learning Universiti (APEL University), Universiti Awam dan swasta. Total Skor item B1-1 = 265

(7)

Skor Maksimum = 65 x 5 = 325 (jumlah responden x skor tertinggi skala Likert) Skor Minimum = 65 x 1 = 65 (jumlah responden x skor terendah skala Likert) Peratus Indeks (%) = (Total Skor / Skor Maksimum) x 100

= (265 / 325) x 100 = 81.54%

Jadual 6 : Interval Penilaian

Merujuk kepada Jadual 6 di atas, dapat dirumuskan bahawa skor peratus indeks bagi item soalan B1-1 adalah 81.54% berada dalam Klasifikasi Kategori “Amat Setuju” bahawa Graduan TVET boleh melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi di universiti Malaysian Technical University Network (MTUN), Accreditation of Prior Experiential Learning Universiti (APEL University), Universiti Awam dan swasta. Nilai min item soalan ini adalah pada paras 4.08 mata.

ANALISIS PERSOALAN KAJIAN 2

Adakah graduan TVET berpendapatan mengikut pasaran kerja? Dapatan Item Soalan B2-1 Hingga B2-10 :

Jadual 7 : Jadual Statistik Item B2-1 Hingga B2-10

Berdasarkan Jadual 8 di atas, skor tertinggi min adalah 4.14 mata pada item B2-8 yang menyokong graduan TVET lebih fleksibel sama ada untuk makan gaji atau mengusahakan keusahawanan/perniagaan sendiri. Skor min terendah adalah 3.66 pada item B2-3 menunjukkan responden masih bersetuju bahawa gaji permulaan bagi graduan TVET adalah lebih tinggi dari lulusan akademik. Nilai min terendah masih berada di atas skala “Sederhana Setuju”. Secara keseluruhannya skor median adalah 4.00 mata bagi semua item soalan menunjukkan skala yang baik iaitu skala “Setuju”. Mod tertinggi adalah pada item B2-2 dengan skor mod 5 mata yang menunjukkan semua responden “Amat Setuju” dengan pernyataan kenaikan gaji tahunan meningkat lebih tinggi dengan peningkatan kemahiran dan pengalaman pekerja kemahiran. Secara keseluruhannya responden juga menyokong dengan skor mod 4 mata bagi item soalan yang lain bagi persoalan kajian ini. Total Skor Item B2-1 ialah 255, peratus indeks 78.46 peratus dalam Klasifikasi Kategori “Setuju” menyokong bahawa graduan TVET berpendapatan lebih tinggi daripada lulusan akademik. Nilai min item soalan ini adalah pada paras 3.92 mata.

(8)

ANALISIS PERSOALAN KAJIAN 3

Sejauhmanakah penghargaan majikan terhadap kepakaran graduan TVET berkemahiran yang disumbangkan kepada syarikat.

Dapatan Item Soalan B3-1 Hingga B3-10 :

Jadual 8 : Statistik B3-1 hingga B3-10

Jadual 8 di atas menunjukkan skor min tertinggi 4.06 mata pada item B3-8 responden menyokong pernyataan bahawa majikan memberikan latihan dan kursus dalaman kepada pekerja. Skor min terendah adalah 3.91 mata pada item B3-6 menyatakan “Setuju” pada pernyataan majikan menunjukkan tanda menghargai kemahiran dan kepakaran graduan TVET mahir dengan memberi sokongan atau memudahkan proses melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Nilai median bagi kesemua item B3-1 hingga B3-10 adalah 4.00 mata yang membawa kepada skala “Setuju”. Nilai mod 5 mata bagi item soalan B3-3, B3-4 dan B3-10. Sementara nilai mod 3 mata pada item soalan B3-6 (majikan menunjukkan tanda menghargai kemahiran dan kepakaran graduan TVET mahir dengan memberi sokongan/memudahkan proses melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi) dan B3-7 (majikan menghantar kursus mempertingkatkan kemahiran di luar syarikat). Ini menunjukkan majikan kurang memberi sokongan untuk menyambung pengajian dan juga menghantar kursus kemahiran kepada graduan TVET yang merupakan pekerja mahir. Ini mungkin disebabkan faktor kekurangan kos syarikat dan risiko pengurangan pekerja mahir sewaktu proses melanjutkan pelajaran yang menganggu proses kerja syarikat. Peratus Indeks 79.08 peratus berada dalam Klasifikasi Kategori “Setuju” menyokong bahawa majikan menunjukkan tanda menghargai kemahiran dan kepakaran graduan TVET secara bertulis, surat, sijil penghargaan atau anugerah cemerlang. Nilai min item soalan ini adalah pada paras 3.95 mata.

Jadual 9 : Statisktik Deskriptif

Jadual 9 menunjukkan statistik deskriptif yang mewakili tiga persoalan kajian. Persoalan kajian pertama mendapat skor min tertinggi iaitu 4.10 mata sementara persoalan kajian kedua dan ketiga masing-masing adalah 3.99 dan 3.98 mata. Skala masih berada di antara skala “Setuju” dan “Sederhana Setuju”.

KOMEN RESPONDEN : Terdapat beberapa komen dari responden, antaranya adalah responden menyatakan bahawa umumnya TVET menjadi kegemaran pihak industri,

(9)

tetapi beliau menyarankan agar selain kursus utama, kursus sampingan tambahan diperlukan untuk menjadi lebih menyerlah, trampil dan memberi kelebihan positif kepada kerjaya. Ini sejajar dengan komen responden seterusnya yang mencadangkan agar graduan TVET perlu mahir bahasa Inggeris dan Mandarin supaya lebih mudah mendapatkan peluang pekerjaan dan kenaikan pangkat. Responden seterusnya memberi cadangan agar pihak kerajaan dan swasta memperkembangkan dan meningkatkan peluang pekerjaan dalam bidang pendidikan vokasional sama ada dari konteks industri atau institusi pendidikan. Cadangan ini dilihat merupakan usaha untuk mempergiatkan usaha ke arah TVET yang lebih mantap.

PERBINCANGAN

Petikan artikel oleh Bernama dari Astro Awani pada 17 Jun 2019 menyatakan, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar menyatakan terdapat pelbagai universiti tempatan menawarkan pengajian ijazah yang bersesuaian melalui kerjasama dengan Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dalam usaha memperkasa TVET. Pernyataan ini memperkuatkan bahawa pihak kerajaan memandang serius peningkatan dan perkembanagn kerjaya graduan TVET yang merupakan tenaga mahir tempatan supaya terus maju dan mampu memperolehi pendapatan tinggi dari masa ke semasa sesuai dengan pasaran kerja. Hasil dapatan ini secara jelas menyokong bahawa graduan TVET seharusnya dihargai dengan pelbagai pendekatan, mendapat manfaat gaji yang setimpal dan peluang mempertingkatkan kerjaya dari segi menyambung pengajian dan meningkatkan kemahiran profesional yang lebih terbuka.

Walaubagaimanapun terdapat banyak faktor lain yang menyumbang kepada perkembangan kerjaya graduan TVET seperti kestabilan ekonomi dunia, perkembangan teknologi komunikasi yang sihat dan revolusi industri yang saling memanfaatkan tenaga mahir seperti yang dinyatakan dalam artikel Forbes, yang bertajuk The Next Industrial Revolution Is Rising In Japan yang menyatakan keperluan tenaga mahir untuk merancakkan lagi teknologi perindustrian yang lebih inovatif pada era revolusi perindustrian 5.0 yang sudah mula diterokai oleh Jepun.

KESIMPULAN

Berdasarkan hasil dapatan dan analisa yang dibuat, usaha menyediakan tenaga mahir yang berkelulusan dari institusi TVET sudah banyak dibangunkan di Malaysia dari pelbagai agensi dan jabatan kerajaan dan swasta. Namun ianya belum cukup menampung keperluang tenaga mahir yang diperlukan pihak industri di Malaysia. Perkara ini dapat dilihat kerana Malaysia masih mengambil tenaga mahir dari luar. Ini menunjukkan institusi TVET masih belum mampu memenuhi keperluan graduan TVET yang diperlukan industri. Program berkaitan peluang peningkatan kemahiran selari dengan kehendak industri dan laluan menyambung pengajian khas kepada graduan TVET perlu disediakan supaya graduan TVET dapat mmenuhi keperluan industri seiring dengan perkembanagn teknologi terkini.

CADANGAN

Cadangan pengkaji adalah graduan TVET diberikan laluan khas bagi perkembangan kerjaya dari segi peluang menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi secara khas dengan tidak perlu menggunakan laluan lulusan akademik biasa. Graduan TVET juga seharusnya diberikan platform untuk diiktiraf dengan sijil

(10)

kemahiran profesional peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Sementara pengkaji mencadangankan supaya kajian lanjutan untuk mengkaji bidang/program yang boleh disesuaikan dengan sijil kemahiran profesional yang diiktiraf industri bagi persediaan cabaran teknologi baru, teknologi komunikasi 5G dan revolusi perindustrian yang semakin inovatif.

RUJUKAN

Komathi Chellapan & Husaina Banu Kenayathulla, (2019). Pendapatan Graduan TVET Institusi Latihan Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia. Jurnal Kepimpinan Pendidikan April 2019, Bil. 6, Isu 2.

Mohd Jalil Ahmad, Noor Hisham Jalani, Annas Akhmal Hasmori, (2015). TVET di Malaysia: Cabaran dan Harapan, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia - Seminar Kebangsaan Majlis Dekan-Dekan Pendidikan Awam

Pendapatan Graduan TVET Institusi Latihan Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia, Komathi Chellapan, Husaina Banu Kenayathulla, Jurnal Kepimpinan Pendidikan, Norsyuhaili binti Hj Shaharuddin,Samsol Kamal Bin Mohd Saad & Mohd Salleh Bin Mat Yusop, (2017). Memperluas TVET Bagi Melahirkan Tenaga Kerja Berpendapatan Tinggi. Majlis Amanah Rakyat.

Khadijah Alavi, Rahim Md. Sail, (2015). Tahap Penerimaan Masyarakat Terhadap Latihan Kemahiran Di Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia. Journal of Social Science and humanities, Vol. 10, No. 1 (2015) 016-028, ISSN : 1823-884x Siti Nor Hayati M. Yusop, Karimah Umar, (2018). Kebolehpasaran Graduan Kolej

Komuniti Kuala Langat. Bitara International Journal of Civilization Studies and Human Sciences, Volume 1, issue 3.

Noor Mohamad Shakil Hameed, (11/10/2017). Masa Depan Cerah Lepasan TVET. Artikel Utusan Malaysia (11/10/2017). TVET Pacu Daya Saing Tenaga Kerja. Artikel Harian Metro.

Bernama, (13/07/2018). Harapan tinggi belia terhadap TVET. Artikel Utusan Malaysia. http://www.utusan.com.my/malaysia-kita/harapan-tinggi-belia-terhadap-tvet-1.708354

Bernama, (17/06/2019). Lepsan TVET digalak sambung pengajian. Artikel Astro Awani, www.astroawani.com/berita-malaysia/lepasan-tvet-digalak-sambung-pengajian-210256

Stephane Kasriel, (31/10/2018). The Future Of Work Won't Be About College Degrees, It Will Be About Job Skills. Artikel CNBC, www.cnbc.com.

Referensi

Dokumen terkait