• Tidak ada hasil yang ditemukan

ANAK TAK SAH TARAF SIAPA YANG SEPATUTNYA

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2018

Membagikan "ANAK TAK SAH TARAF SIAPA YANG SEPATUTNYA"

Copied!
10
0
0

Teks penuh

(1)

ANAK TAK SAH TARAF: SIAPA

YANG SEPATUTNYA MEMBERI NAFKAH?

Nuarrual Hilal Md Dahlan1 Abd Ghani Ahmad2

Abstrak

Kelahiran anak tak sah taraf dalam negara kita semakin bertambah dari semasa

ke semasa. Senario ini amat membimbangkan masyarakat hari ini. Kelahiran

mereka menimbulkan persoalan mengenai siapakah yang perlu

bertanggungjawab untuk menguruskan kehidupan mereka terutamanya dari

aspek nafkah; adakah tanggungjawab itu semata-mata dibebankan ke atas ibu

yang melahirkannya? Jika ibu tersebut tidak berkemampuan untuk memberi

nafkah, siapakah yang harus memikul tanggungjawab tersebut demi memastikan

kebajikan dan pengurusan hidup anak tak sah taraf tidak terabai? Terdapat

bukti-bukti bahawa kebajikan anak tak sah taraf diabaikan di Malaysia. Objektif

penulisan ini dilakukan adalah untuk mengenalpasti pihak manakah yang

bertanggungjawab untuk memberi nafkah kepada anak tak sah taraf berdasarkan

Hukum Syarak dan peruntukan undang-undang sedia ada.Kaedah penulisan ini

berbentuk kualitatif sosial dan undang-undang berdasarkan data primer dan

sekunder berkaitan dengan anak tak sah taraf.Kaedah kepustakaan adalah asas

utama dalam penulisan ini yang menganalisa secara induktif dan deduktif

merujuk dalil-dalil usul fiqh Islam dan undang-undang sehingga mencapai satu

kesimpulan yang kukuh dalam mengenal pasti pihak yang wajib memberi nafkah

kepada anak tak sah taraf. Hasil penulisan ini mendapati bahawa ibu merupakan

orang yang bertanggungjawab memberi nafkah kepada anak tak sah taraf.

Sekiranya ibu tidak berupaya akibat kemiskinan atau tidak mempunyai

pendapatan maka tanggungjawab nafkah diturunkan kepada waris ibu dan

sekiranya tiada, tanggungjawab ini dibebankan ke atas bahu pihak pemerintah.

Namun begitu, tiada pula peruntukan Hukum Syarak dan undang-undang yang

mewajibkan bapa biologi yang menjadi penyebab kelahiran memberi nafkah

kepada anak tak sah taraf.

Kata kunci: Anak Tak Sah Taraf, Nafkah Dan Kebajikan Anak Tak Sah Taraf, Hukum Syarak, Undang-Undang Keluarga Islam, Pihak Yang Bertanggungjawab Memberi Nafkah Dan Melaksanakan Kebajikan

1) PENDAHULUAN

Di Malaysia, isu anak tak sah taraf sudah menjadi isu besar yang sangat membimbangkan masyarakat hari ini. Kisah-kisah tentang pembunuhan dan

1Profesor Madya di Intitute for Governane and Innovation Studies, UUM Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia. Beliau juga merupakan penyelia tesis PhD Industri penulis kedua. Emai:[email protected]; [email protected]. HP: 012-5785455.

(2)

pembuangan bayi sentiasa didedahkan oleh media arus perdana manakala jumlah wanita hamil luar nikah yang ditempatkan di pusat-pusat pemulihan semakin meningkat dari semasa ke semasa. Kebanyakan mereka terdiri daripada orang Melayu beragama Islam. Pelbagai pendekatan dan kaedah pelaksanaan serta penguatkuasaan diperkenalkan oleh pihak berkuasa untuk mengurangkan isu kelahiran anak tak sah taraf tetapi tidak membuahkan hasil.

Berdasarkan statistik yang dilaporkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara di mana sejak tahun 2008 hingga 2012, terdapat lebih 167,073 bayi yang direkodkan kelahirannya tanpa bapa telah didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara. Ini bermakna, secara purata 33,415 orang bayi dilahirkan dalam tempoh setahun, 2,784 orang bayi dilahirkan dalam tempoh sebulan, 93 orang bayi dilahirkan dalam tempoh sehari dan 4 orang bayi dilahirkan dalam tempoh sejam (Abdul Majid Omar, 2013).

Menurut YB Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Timbalan Menteri Dalam Negeri dalam persidangan Parlimen Malaysia bertarikh 18 & 19 Mac 2014 mengenai kelahiran anak luar nikah oleh gadis bawah umur (16 tahun ke bawah)dalam Tahun 2012 – 2013 menyatakan jumlah anak luar nikah oleh gadis bawah umur (perangkaan dari Jabatan Pendaftaran Negara) yang melibatkan bangsa Melayu ialah 1,490 orang manakala bukan Melayu ialah 1,836 orang. Bagi kes rogol gadis bawah umur yang dilaporkan kepada polis yang melibatkan bangsa Melayu ialah 2390 orang manakala bukan Melayu ialah 584 orang. Bagi kes rogol gadis bawah umur yang tidak dilaporkan kepada polis hanya melibatkan bangsa bukan Melayu sahaja iaitu 1,252 orang (Kementerian Dalam Negeri, 2014).

Kelahiran anak tak sah taraf telah menimbulkan implikasi tertentu dalam keluarga dan masyarakat antaranya daripada aspek nafkah. Siapakah yang perlu bertanggungjawab menjaga kebajikan mereka seperti makan-minum, pakaian, pendidikan dan belaian kasih sayang di samping pengurusan hidup mereka seperti berada di tempat tinggal yang selamat, penjagaan yang sempurna dan mendapat perlindungan dari segala perkara yang boleh membahayakan diri mereka? Kita perlu menyedari bahawa anak tak sah taraf bukanlah seorang insan yang tidak bermaruah yang tidak mempunyai harga diri seperti yang dianggap oleh sesetengah pihak. Kedudukan mereka sama seperti kanak-kanak yang lain yang sah tarafnya berhak memperoleh keistimewaan, manfaat, kebajikan, pendidikan, perlindungan dan bebas melakukan aktiviti-aktiviti harian.

Penulisan ini akan membincangkan isu nafkah anak tak sah taraf seperti mana yang telah diperuntukan di bawah undang-undang keluarga Islam di Malaysia. Oleh kerana terdapat peruntukan-peruntukan yang hampir sama di bawah enakmen negeri-negeri maka penulisan ini hanya merujuk Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Kedah) 2008 sebagai mewakili peruntukan di negeri-negeri lain. Justeru itu, penulisan ini akan mengenalpasti tanggungjawab siapakah memberi nafkah kepada anak tak sah taraf berdasarkan Hukum Syarak dan peruntukan undang-undang sedia ada selain merujuk data primer dan sekunder yang menyentuh isu anak tak sah taraf.

(3)

Anak tak sah taraf disebut walad al-zina menurut istilah Bahasa Arab yang bermaksud anak zina atau anak luar nikah. Para Fuqaha’ bersepakat bahawa anak zina ialah anak yang tidak boleh disabitkan nasabnya kepada penzina melainkan persetubuhan itu disandarkan kepada pernikahan yang sah atau fasid atau syubhah atau dari hamba yang dimiliki atau syubhah hamba yang dimiliki, maka boleh dinasabkan kepada penzina dan kedua-duanya boleh diwarisi dan mewarisi di antara satu sama lain. Al-Dawish (2002) pula menjelaskan sekiranya berlaku perzinaan dan melahirkan anak maka anak yang lahir daripada perzinaan itu tidak boleh disandarkan atau disabitkan nasab kepadanya dan anak itu tidak boleh mewarisi hartanya.

Berdasarkan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah yang bersidang pada 26 September 2010 telah mentafsirkan anak tak sah taraf mengikut Hukum Syarak ialah : a) Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina, rogol dan dia bukan

daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.

b) Anak dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) qamariah dari waktu ”imkam ad-dukhul”.

c) Anak yang dilahirkan lebih dari 6 bulan 2 lahzah (saat) dari waktu ”imkam ad-dukhul” selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syarak bahawa anak tersebut ialah anak luar nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya).

d) Anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki sama ada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu, mereka tidak boleh mewarisi antara satu sama lain, tidak boleh menjadi mahram dan bapa tersebut tidak boleh menjadi wali kepada anak tersebut. e) Jika lelaki tersebut berkahwin dengan ibu kepada anak tak sah taraf itu dan sabit

persetubuhan maka hubungan anak tersebut dengan lelaki tersebut adalah seperti anak dengan bapa tiri dan mereka adalah mahram.

Menurut Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Kedah) 2008 mentafsirkan anak tak sah taraf :

“tidak sahtaraf’, berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah”

Di Malaysia, anak tak sah taraf mempunyai dua definisi ; Pertama : dari sudut fiqh iaitu anak yang lahir di luar pernikahan yang Syarie (anak zina), anak li’an, anak laqit (pungut atau terdampar), anak mangsa rogol dan anak sumbang mahram. Kedua: dari sudut pentadbiran JPN iaitu anak yang tidak mempunyai dokumen kelahiran akibat perkahwinan ibu bapanya tidak didaftarkan di Mahkamah Syariah (Irwan Mohd Subri, Zulkifli Hassan, Lukman Abdul Mutalib & Mohd Khairul Nizam Zainan Nazri, 2013). 3) TANGGUNGJAWAB NAFKAH

(4)

Namun begitu, bagi anak tak sah taraf terdapat tiga pihak yang dipertanggungjawabkan memberi nafkah kepada mereka sama ada ibu atau waris ibu atau pemerintah.

3.1Ibu

Perkataan nafkah ialah kalimah Arab yang berasal daripada infaq iaitu mengeluarkan. Dari sudut bahasa bermakna apa yang dikeluarkan oleh manusia terhadap anak-anaknya. Daripada istilah Syarak bermakna memberi perbelanjaan yang secukupnya daripada makanan, pakaian dan tempat tinggal (Wahbah al-Zuhaili, 2001).

Firman Allah SWT:

Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya” (Al-Baqarah, 2 : 233).

Di dalam riwayat daripada Saidatina Aisyah R.A bahawa Hindun binti ‘Utbah telah berjumpa dengan Rasulallah SAW dan berkata: "Ya Rasulullah, sesungguhnya Abu Suffian (suaminya) adalah seorang yang kedekut. Dia tidak memberi belanja yang cukup untuk saya dan anak-anak kami kecuali jika saya ambil dengan tidak diketahuinya." Rasulullah SAW bersabda:

"Ambillah sekadar yang cukup untuk keperluan kamu dan anak-anak kamu dengan cara yang baik” (Sahih Bukhari, Kitab An-Nafaqaat).

Berdasarkan kedua-dua nas di atas adalah jelas bahawa seseorang bapa berkewajipan memberi nafkah kepada anak-anaknya. Kewajipan tersebut berasaskan tiga faktor iaitu perkahwinan, keturunan dan pemilikan. Walau bagaimanapun, dalam konteks anak tak sah taraf, tanggungjawab memberi nafkah dan saraan hidup yang lain terletak kepada ibunya mengikut Hukum Syarak. Ini disebabkan anak tak sah taraf hanya dinasabkan kepada ibunya sahaja dan tidak dinasabkan kepada bapa yang menyetubuhi ibunya. Kewajipan ibu memberi nafkah kepada anaknya telah dinyatakan di dalam al-Quran :

”Janganlah menjadikan seseorang ibu menderita kerana anaknya” (Al-Baqarah, 2 : 233).

Tanggungjawab ibu memberi nafkah kepada anak tak sah taraf diperuntukan dalam Seksyen 81 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam

(Negeri

Kedah

)

2008 iaitu :

“Jika seseorang perempuan cuai atau enggan menanggung nafkah seseorang anaknya yang tak sah taraf yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, melainkan seorang anak yang dilahirkan akibat rogol, Mahkamah boleh, apabila hal itu dibuktikan dengan sewajarnya, memerintahkan perempuan itu memberi apa-apa elaun bulanan yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah”.

(5)

a) Anak tersebut tidak mampu berdikari. Bagi anak perempuan sehingga ia berkahwin atau sehingga mempunyai pekerjaan.

b) Anak tersebut miskin tidak mempunyai harta sendiri untuk menyara dirinya.

c) Anak tersebut cacat anggota. Jika anak tersebut sudah besar atau baligh dan mampu berdikari maka ibu tidak lagi wajib memberi nafkah kepadanya.

d) Anak tersebut masih menuntut ilmu.

e) Ibu tersebut mampu memberi nafkah. Jika ibu tidak mampu memberi nafkah maka kewajipan tersebut berpindah kepada waris mengikut Hukum Syarak.

3.2Waris ibu

Waris ibu merupakan pihak kedua yang dipertanggungjawabkan oleh Hukum Syarak untuk menyara nafkah anak tak sah taraf sekiranya ibu tidak berupaya untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut. Ini disebabkan beberapa faktor tertentu antaranya kemiskinan, tidak mempunyai pekerjaan, melarikan diri daripada keluarga akibat malu dengan perbuatan terkutuk dan takut menerima risiko jika dihadapkan ke mahkamah.

Kefardhuan waris ibu membiayai nafkah anak tak sah taraf dinyatakan dalam al-Quran ; “dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika bapa tiada)”(Al-Baqarah, 2 : 233)

Dr Wahbah al-Zuhaily (1989) menyatakan bahawa waris ibu yang bertanggungjawab memberi nafkah anak tersebut ialah ;

”Ibu adalah waris, jadi wajib ke atasnya membiayai nafkah dengan jelas daripada nas al-Quran. Jika anak kecil itu ada nenek dan saudara lelaki maka ke atas nenek satu per enam dan yang selebihnya ditanggung oleh saudara lelaki. Dengan ini jadilah susunan pembiayaan nafkah mengikut susunan pewarisan. Maka sebagaimana nenek di sini mendapat habuan pusaka satu per enam, ia wajib membiayai nafkah juga satu per enam dan sebagaimana habuan pusaka yang selebihnya bagi saudara lelaki maka begitu pula ia wajib membiayai nafkah yang selebihnya setelah nenek membiayai satu per enam. Jika berhimpun ibu bapa di sebelah ibu (nenek dan datuk di sebelah ibu) maka pembiayaan nafkah wajib ke atas emak ibu (nenek) kerana ia adalah ahli waris”

Oleh itu, jelaslah waris ibu yang utama berhak memberi nafkah terdiri daripada nenek (emak ibu) dan saudara lelaki seibu sama ada abang atau adik kepada anak tak sah taraf. Kadar saraan nafkah adalah mengikut bahagian yang diterima oleh waris-waris tersebut dalam harta pusaka.

(6)

Dr Yusuf al-Qardhawi (1995) menjelaskan adalah menjadi kewajipan pihak pemerintah untuk memastikan kebajikan anak tak sah taraf khususnya dalam memelihara aqidah Islam jika ibu yang melahirkannya beragama Islam. Begitu juga, kebajikan mereka untuk mendapat nafkah dan perlindungan di samping menguruskan kehidupan mereka sama seperti kanak-kanak yang lain. Pandangan beliau adalah berdasarkan fatwa yang telah difatwakannya iaitu :

”Adalah suatu yang ditetapkan oleh Syarak bahawa seseorang anak apabila kedua ibu bapanya menganut agama yang berbeza, maka dia akan mengikut agama ibu bapanya yang terbaik. Ini bagi mereka yang ayahnya diketahui. Maka apatah lagi dengan yang tidak diketahui ayahnya? Dia adalah seorang muslim tanpa ragu-ragu lagi. Masyarakat muslim bertanggungjawab menjaga dan menanggung nafkah kehidupannya serta mengelokkan tarbiahnya. Janganlah mengharapkan semata-mata kepada ibu malang yang ditimpa bala. Di dalam Islam, kerajaan bertanggungjawab terhadap penjagaan anak ini dengan perantaraan kementerian atau institusi tertentu”.

Dalam hadis sahih yang disepakati Rasulallah (S.A.W) telah bersabda : Maksudnya :

”Dari Abdullah Bin Umar RA berkata : Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulallah SAW bersabda : Setiap kamu adalah penjaga dan kamu semua bertanggungjawab terhadap apa yang kamu jaga”(Sahih Bukhari, Kitab al-‘Itqu).

Oleh itu, jelaslah bahawa kewajipan pemerintah melindungi dan menyara kehidupan anak tak sah taraf apabila mendapati ibu dan waris ibu tidak mampu membiayai saraan nafkah ke atas anak tersebut.

Terdapat agensi-agensi kerajaan yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan fungsi-fungsi tertentu berkaitan wanita yang hamil luar nikah dan anak tak sah taraf (Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, 2012) antaranya : a) Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui

Dasar Kanak-Kanak Negara (DKN), Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara (DPKN), Dasar Kebajikan Masyarakat Negara (DKMN) dan Dasar Sosial Negara (DSN).

b) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui Rumah Kanak-Kanak, Sekolah Tunas Bestari, Asrama Akhlak, Taman Seri Puteri, Kompleks Penyayang Bakti, Pusat Jagaan Sinar Kasih di Batu Gajah, Perak dan di Sungai Buloh, Selangor.

c) Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) melalui program ibu tunggal seperti Inkubator Kemahiran ibu Tunggal (I-KIT), Jejari Bestari dan Inkubator Keusahawanan Wanita (I-KeuNITA) dengan kerjasama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

(7)

4) PERBINCANGAN DAN CADANGAN

Fokus penulisan ini adalah berkisar tentang tanggungjawab memberi nafkah kepada anak tak sah taraf yang melibatkan tiga pihak iaitu ibu, waris ibu dan pemerintah. Terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian demi memastikan kebajikan dan pengurusan anak tak sah taraf terlaksana dengan sempurna terutamanya permasalahan yang dihadapi oleh pihak-pihak yang berkaitan.

Berdasarkan penulisan di atas, terdapat dua keadaan pada diri ibu yang diwajibkan ke atasnya memberi nafkah kepada anak tak sah taraf iaitu

:-a) Apabila ibu tersebut enggan memelihara anak tersebut dengan meninggalkan anak tersebut dipelihara oleh waris ibu. Dalam masa yang sama, jika waris ibu tidak mampu memberi nafkah, maka menjadi kewajipan kerajaan untuk mengambil tanggungjawab memberi perlindungan dan menyara keperluan nafkah mereka. b) Apabila ibu tersebut sanggup memelihara anak tersebut tetapi berada dalam

kemiskinan dan tidak mempunyai pekerjaaan untuk menyara nafkah anak tersebut. Menyentuh isu pertama, sekiranya ibu tersebut menghilangkan diri dari keluarga dan menyerahkan kepada warisnya untuk memelihara dan menyara nafkah anak tersebut maka terdapat dua situasi yang dapat dilihat iaitu jika keluarga ibu (nenek) tersebut terdiri di kalangan orang berada dan berharta maka isu kemampuan memberi nafkah anak tersebut tidak berbangkit sama sekali. Sekiranya keluarga ibu (nenek) terdiri di kalangan orang miskin, mempunyai anak-anak yang lain yang masih kecil dan bersekolah serta suaminya (datuk) tidak mempunyai pendapatan tetap di mana pendapatan yang ada sekadar cukup untuk keperluan hidup mereka. Pada ketika itu, jika waris ibu masih mampu untuk memelihara anak tersebut tetapi tidak mampu untuk memberi nafkah maka dicadangkan Baitulmal dipertanggungjawabkan membiayai keperluan nafkah anak tak sah taraf. Baitulmal wajar mengadakan satu peruntukan nafkah anak tak sah taraf. Untuk tujuan tersebut, pindaan undang-undang hendaklah dibuat supaya Mahkamah Syariah boleh mengeluarkan satu perintah nafkah anak tak sah taraf ke atas Baitulmal jika waris ibu menuntut hak nafkah di Mahkamah Syariah. Setakat ini Baitulmal hanya memberi bantuan khidmat guaman syarie kepada pihak-pihak yang terlibat dalam kes di Mahkamah Syariah yang tidak mampu menggunakan khidmat Peguam Syarie terutamanya di Wilayah Persekutuan. Program ini berjalan sejak tahun 2009 dengan kerjasama Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dengan Bahagian Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP). Pihak yang layak memohon bantuan guaman syarie adalah terdiri daripada 8 asnaf yang layak menerima zakat dengan pendapatan bulanan bawah RM 1500.00 sebulan.

(8)

kepada ibu tersebut untuk memulakan perniagaan. Satu bentuk keistimewaan dan pengecualian apa-apa bayaran perlu diberikan sebagai galakan kepada mereka untuk membina hidup baru dengan melupakan kisah silam apabila terdapat agensi kerajaan yang prihatin dengan nasib mereka.

Selain itu, dicadangkan agar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengeluarkan kad khas seperti kad OKU kepada ibu tersebut untuk memudahkan urusannya dengan mana-mana pihak yang boleh memberi bantuan kewangan/modal perniagaan.

Di samping itu juga, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mempunyai rekod kelahiran dan maklumat keluarga ibu anak tak sah taraf boleh memanjangkan apa-apa bentuk bantuan kewangan kepada Baitulmal dan institusi zakat di setiap negeri apabila menerima permohonan pendaftaran kelahiran anak tak sah taraf. Tindakan ini bukanlah satu galakan untuk menambahkan kelahiran anak tak sah taraf tetapi sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban ibu tersebut dalam memelihara dan memberi nafkah kepada anak tersebut. Baitulmal boleh membuat peruntukan khusus dalam bajet tahunan untuk menyalurkan bantuan wang setiap bulan kepada anak tak sah taraf atau bantuan modal kepada ibu untuk memulakan perniagaan selepas ibu tersebut menghadiri apa-apa kursus kemahiran yang disediakan oleh Baitulmal atau agensi-agensi berkaitan agar mereka boleh berdikari, keluar daripada kesempitan hidup dan bukan lagi bergantung kepada Baitulmal dan institusi zakat semata-mata.

Dalam maksud yang sama, kerajaan dicadangkan agar mewujudkan Dana Khas berbentuk bantuan segera kepada anak tak sah taraf sekiranya kes kesahtarafan anak selesai diputuskan oleh Mahkamah Syariah. Isu nafkah anak ini boleh dilihat apabila Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) mewujudkan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) bertujuan untuk menyalurkan bantuan sara hidup sementara kepada isteri atau isteri dan anak-anak yang menghadapi masalah mendapatkan nafkah dari pihak yang wajib membayar nafkah.

Bagi membendung kelahiran anak tak sah taraf dan mengelakan kecuaian memberi nafkah kepada mereka, penulisan ini turut mencadangkan agar diwujudkan satu peraturan khas untuk mengikat ’bapa’ memberi nafkah dan menjaga kebajikan anak tak sah taraf demi mengelakkan ’bapa’ bersikap lepas tangan. Peraturan khas tersebut boleh diwujudkan untuk kebajikan anak tersebut atas dasar tanggungjawab sosial dan bukan disabitkan atas nama agama. Ini disebabkan Hukum Syarak tidak mengiktiraf hubungan anak tersebut dengan ’bapa’nya sebaliknya mengiktiraf ibu dan meletakkan tanggungjawab ke atas ibu sahaja memberi nafkah kepada anak tak sah taraf.

5) KESIMPULAN

Kelahiran anak tak sah taraf akibat perbuatan zina tidak boleh dipersalahkan kerana mereka tidak berdosa, tidak menanggung dosa kedua ibu bapanya bahkan mereka tetap mempunyai hak yang serupa untuk menikmati kesempurnaan hidup sama seperti anak yang sah taraf. Perlakuan sumbang antara ibu dengan pasangannya tidak memutuskan hubungan nasab anak tersebut dengan ibu. Tujuannya adalah untuk memastikan nafkah dan keperluan lain anak tersebut tidak diabaikan.

(9)

menyara nafkah tersebut, kewajipan tersebut akan berpindah kepada waris ibu dan seterusnya akan terpikul di bahu pemerintah jika waris ibu juga berhalangan dalam memberi nafkah. Meskipun terdapat beberapa kelemahan dari aspek pelaksanaan, peruntukan undang-undang jelas mengiktiraf, memelihara dan melindungi hak anak tak sah taraf. Dengan itu mereka mampu menjadi insan yang soleh dan berguna serta dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara apabila mereka berjaya dalam hidup nanti.

6) RUJUKAN

Abdullah Basmei. (1998). Tafsir Pimpinan al-Rahman kepada Pengertian Al-Quran. Cet. 15. Kuala Lumpur : Darul Fikri.

Abdul Majid Omar. (2013, 18 Mac). Kedudukan Anak Tak Sah Taraf : Dari Aspek Pandangan

Syarak, Nasab Dan Perwarisan Serta Kekeluargaan Islam, Kertas Kerja Kempen Sah

Nikah - Sah Nasab, Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti, JAKIM, & ILIM, Bangi.

Ahmad bin Abd al-Razak Al-Dawish. (1423H/2002M). Fatawa Al-Lujnah Al-Daimah Lil Mabhus Al-‘Alamiah Wa al-Ifta’. Cet. 4. Riyadh : Al-Mamlakah Al-‘Arabiyyah As-Su’udiyyah, Muassasah Al-Amirah. 387.

Al-Imam Abi Abdullah Muhammad bin Ismail al-Bukhari. (t.th). Sahih Bukhari. Kitab Al-‘itqu, Bab al-‘Abdu Ra’in Fi Mali Sayyidihi. Hadis No. 2558. 656.

Dr Wahbah al-Zuhaily. (1409H/1989M). Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu. Juz. 7. Cet. 3. Damsyik : Dar al-Fikr. 827-828.

Dr Yusuf al-Qardhawi. (1995). Fatwa Masa Kini. Jil. 7 & 8. Cet. 1. Terj. Zaidi Jalil, Munawwar Muhammad & Norman Mohd Nor. Kuala Lumpur : Pustaka Salam Sdn Bhd. 510.

Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kedah, 2008.

Jam’u Jawami’ al-Ahadis wa al-Asanid wa Maknin Al-Sihhah wa al-Sunan wa al-Masanid. (1431H). Sahih Bukhari. Kitab An-Nafaqaat. Juz. 3. Qaherah : Jam’iah Maktabah al-Islami.1123.

Kementerian Dalam Negeri. (2014, 21 Mac). Isu Terhadap Jawapan YB Timbalan Menteri Dalam Negeri Mengenai Statistik Kes Rogol Gadis Bawah Umur. Diakses pada 1 Mei 2014

daripada

http://www.moha.gov.my/index.php/en/kenyataan-media-akhbar/1513-isu-terhadap-jawapan-yb-tmdn-mengenai-statistik-kes-rogol-gadis-bawah-umur.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Diakses pada 25 April 2014 daripada http://www.kpwkm.gov.my.

Irwan Mohd Subri, Zulkifli Hassan, Lukman Abdul Mutalib & Mohd Khairul Nizam Zainan Nazri. (2013, Mac). Mem"Bin/Ti"Kan Anak Tak Sah Taraf Menurut Perspektif Syarak,

Undang-Undang Dan Sosial. Laporan Eksekutif Perundingan Penyelidikan, USIM dengan

kerjasama JAKIM. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Ipoh.

Nora Abdul Hak. (2004, 21 - 22 Julai). Hak Kanak-Kanak Dari Aspek Hadhanah Dan Nafkah: Di

Bawah Undang-Undang Keluarga Islam Di Malaysia. Kertas Kerja Simposium

(10)

Wahbah al-Zuhaili. (2001). Fiqh & Perundangan Islam. Jil. 7 & 8. Cet. 1. Terj. Ahmad Shahbari Salamon, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. 948.

Warta Kerajaan Negeri Kedah. (2011, 23 Jun). Jilid 54. No. 13 (Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008.

Referensi

Dokumen terkait

Penelitian ini bertujuan untuk mengetahui dan menentukan pengaruh pemberian tepung daun bangun-bangun pada berbagai taraf (0, 1,25, 2,5, dan 3,75%) dalam ransum induk babi