• Tidak ada hasil yang ditemukan

KONSEP PENERIMAAN MENURUT AL-GHAZALI DAN MASLOW: SATU KAJIAN PERBANDINGAN [RECEIVING CONCEPTS BY AL-GHAZALI AND MASLOW: ONE OF COMPARATIVE STUDY]

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2021

Membagikan "KONSEP PENERIMAAN MENURUT AL-GHAZALI DAN MASLOW: SATU KAJIAN PERBANDINGAN [RECEIVING CONCEPTS BY AL-GHAZALI AND MASLOW: ONE OF COMPARATIVE STUDY]"

Copied!
8
0
0

Teks penuh

(1)

39

KONSEP PENERIMAAN MENURUT AL-GHAZALI DAN MASLOW:

SATU KAJIAN PERBANDINGAN

[RECEIVING CONCEPTS BY AL-GHAZALI AND MASLOW: ONE OF

COMPARATIVE STUDY]

1NORHASHIMAH YAHYA

unisza.edu.my @

hashimah

*1SYED HADZRULLATHFI SYED OMAR

sylutfi@unisza.edu.my

1Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, Kampus Gong Badak,

21300 Kuala Nerus, Terengganu, MALAYSIA *Corresponding Author

ABSTRACT

The necessity of life is a very important thing for mankind to continue to live well. Usually in human endeavor to meet the needs of life it is driven by the desire to achieve self-satisfaction. The concept of the human will proposed by Abraham Maslow is to meet the necessities of life alone. However, the elements of self-satisfaction, happiness and the concept of acceptance in the human person cannot be fully achieved according to that concept. However, the concept of human will presented by al-Ghazali especially in meeting the needs of life is seen to encompass these three elements that are needed by man. Therefore, the positioning of the concept of the will associated with the necessity of living to attain the element of acceptance must be possessed by the individual and is a priority to be emphasized in academic research. This qualitative study using the content analysis method found that al-Ghazali's approach focuses more on the aspects of faith and revelation in meeting the needs of life in line with human needs. Although Maslow's thinking on living needs is more systematic by presenting a hierarchy of living needs for humans, the concepts presented to meet those needs are more focused on the faculties and passions. Therefore, an analysis of the differences and similarities between these two aspects of acceptance should be made to produce a more effective corpus of Islamic psychology.

Key Words: human will presented, Islamic psychology

ABSTRAK

Keperluan hidup merupakan suatu perkara penting untuk manusia bagi meneruskan kehidupan dengan sebaiknya. Kebiasaannya dalam usaha manusia memenuhi keperluan hidup ianya diselarikan dengan kehendak bagi mencapai kepuasan diri. Konsep kehendak manusia yang dikemukakan oleh Abraham Maslow adalah untuk memenuhi keperluan hidup semata-mata. Walau bagaimanapun, elemen kepuasan diri, kebahagiaan serta konsep penerimaan dalam diri manusia tidak mampu dicapai dengan sempurna menurut konsep tersebut. Namun, konsep kehendak manusia yang dikemukakan al-Ghazali terutama dalam memenuhi keperluan hidup dilihat mencakupi ketiga-tiga elemen tersebut

(2)

40

yang diperlukan oleh manusia. Oleh itu, kedudukan konsep kehendak yang diselarikan dengan keperluan hidup untuk mencapai elemen penerimaan harus dimiliki oleh setiap individu dan merupakan suatu keutamaan untuk diketengahkan dalam kajian akademik. Kajian kualitatif menggunakan kaedah analisis kandungan (content analysis) ini mendapati bahawa pendekatan al-Ghazali lebih memberi tumpuan kepada aspek iman dan wahyu dalam memenuhi keperluan hidup yang diselaraskan dengan kehendak manusia. Walaupun pemikiran Maslow terhadap keperluan hidup dilihat lebih sistematik dengan mengemukakan hierarki keperluan hidup bagi manusia akan tetapi konsep yang dikemukakan untuk memenuhi keperluan-keperluan tersebut lebih tertumpu kepada aspek akal dan nafsu. Oleh itu, satu analisis perbezaan dan persamaan kedua-dua pemikiran ini dari aspek penerimaan perlu diketengahkan bagi menghasilkan satu korpus ilmu psikologi Islam yang lebih berkesan.

Kata kunci: kehendak manusia, ilmu psikologi Islam

PENGENALAN

Dalam usaha manusia untuk memenuhi keperluan hidup, ianya sudah pasti diselarikan dengan kehendak diri. Malahan, Abraham Maslow yang merupakan salah seorang tokoh psikologi barat sekitar 1970 juga menyatakan bahawa manusia tidak pernah berasa puas dengan apa yang telah dicapai. Dengan kata lain, setiap keinginan yang dikehendaki tidak menjadi suatu kepuasan bagi manusia dan konsep penerimaan sukar dicapai walaupun ianya telah dipenuhi atau dilaksanakan (Maslow, 1970: 46; Siti Hawa & Ma’rof, 1990: 115). Perkara ini membuktikan bahawa manusia mengalami konflik dalam menguruskan kehendak diri terutamanya bagi memenuhi keperluan hidup. Syariat yang diturunkan sebagai panduan hidup serta anugerah akal kepada manusia untuk menilai sesuatu kebenaran perlu digunakan secara bersepadu dan selari dengan perjalanan hidup menuju destinasi akhir setiap insan. Al-Ghazali melontarkan pandangan berkaitan kehendak manusia yang paling utama adalah sifat keinginan yang sangat mendalam dimiliki seseorang untuk mencapai kebahagiaan akhirat (al-Ghazali, 1968: 80). Dengan itu, makalah ini bertujuan untuk mengenal pasti dan membandingkan konsep penerimaan dalam usaha manusia memenuhi keperluan hidup menurut Al Ghazali dan Maslow.

KEPERLUAN HIDUP PADA PERSPEKTIF AL-GHAZALI DAN MASLOW

Al-Ghazali sebagaimana yang diketahui umum, bukan sahaja masyhur dalam bidang keilmuan Islam, malah ketokohan beliau dalam ilmu psikologi juga turut mendapat perhatian umum. Teori beliau yang memfokuskan kepada jiwa manusia juga memberi impak besar kepada masyarakat (Noor Shakirah, 2008: 69). Di samping banyak metode beliau dalam bidang psikologi dan pendekatan kaunseling digunakan pakai serta dipraktikkan oleh pakar-pakar kaunseling dalam memberi bimbingan kaunseling. Hal ini membuktikan lagi bahawa mutiara ilmu yang ditinggalkan beliau sangat memberi manfaat serta input yang berguna kepada masyarakat umum.

Sebelum mengulas dengan lebih lanjut berkaitan elemen penerimaan menurut al-Ghazali dan Maslow, penulisan ini terlebih dahulu meneliti pandangan al-Ghazali berkaitan keperluan hidup bagi manusia. Walaupun al-Ghazali tidak mengistilahkan keperluan-keperluan tersebut dengan istilah

(3)

41

fisiologi, keselamatan, sosial, kendiri dan penyempurnaan kendiri. Namun ianya membawa konsep yang hampir sama tentang kepentingan menjaga lima asas utama yang disebut sebagai darruriyyat

al-khamsah iaitu menjaga agama, akal, diri, keturunan dan harta. Tambahan lagi, al-Ghazali juga

menyebut tentang manusia memerlukan keperluan-keperluan tersebut untuk kelangsungan hidup namun sekadar berpada-pada sahaja. Dengan kata lain, tidak berlebih-lebihan dalam memenuhi keperluan-keperluan tersebut.

Apabila membicarakan berkaitan keperluan hidup, sudah pasti ianya mempunyai kaitan dengan kehendak manusia. Berkaitan pandangan al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din (al-Ghazali, 2015: 105) membuktikan bahawa konsep kehendak manusia yang dinyatakan al-Ghazali menurut kefahaman penulis bukan suatu keinginan kepada hal-hal berkaitan keduniaan semata-mata. Akan tetapi suatu keinginan yang sangat teguh dan kuat untuk mencapai kebahagiaan akhirat sehingga semua kenikmatan dunia bagi seseorang individu tersebut dirasakan bukan suatu keutamaan. Di samping itu, Kehendak manusia juga difahami suatu keinginan yang mendalam untuk bertemu Allah SWT di akhirat kelak. Begitu juga dengan teori humanistik yang dikemukakan oleh Abraham Maslow, seorang tokoh psikologi barat sekitar 1970. Teori yang ditonjolkan beliau boleh dianggap memenuhi keperluan fizikal dan emosi manusia.

Di samping itu, Maslow turut mengutamakan aspek pembangunan manusia dalam teori humanistik yang diperkenalkan beliau. Pembangunan manusia yang dimaksudkan Maslow adalah berpandukan kepada pembangunan tahap keperluan hidup yang diperlukan oleh manusia. Dengan kata lain, manusia akan lebih bermotivasi dan kepuasan diri mampu dicapai apabila manusia berjaya memenuhi keperluan asas hidup mereka. Teori ini juga memberi tumpuan terhadap kesediaan moral dan potensi (Nor Nazimi et al., 2017: 277). Malahan, setiap peringkat hierarki keperluan yang dikemukakan Maslow juga dikatakan sesuai dengan kehendak manusia. Akan tetapi, jika terlalu inginkan kesempurnaan dalam memenuhi setiap hierarki tersebut, sudah pasti elemen penerimaan tidak mampu dicapai dengan sebaiknya.

Hierarki keperluan manusia yang diperkenalkan oleh Maslow yang terdiri daripada keperluan fisiologi, keselamatan, sosial, kendiri dan penyempurnaan kendiri (Maslow, 1970: 35).

Penyempurnaan kendiri (self-actualization) Kendiri (esteem) Sosial (social/love) Keselamatan (safety) Fisiologi (fisiology)

Rajah 1: Hierarki Keperluan Hidup Menurut Maslow (1970)

Oleh itu didapati al-Ghazali dan Maslow juga mempunyai pandangan yang sama dari aspek manusia memerlukan keperluan hidup untuk meneruskan kehidupan sejagat dengan sebaiknya. Tapi sepatutnya dalam usaha untuk memenuhi keinginan tersebut, manusia perlu seimbang dan konsisten

(4)

42

dengan kesejahteraan manusia dari segi kerohanian. Di samping itu, ianya seharusnya melalui ilmu yang bersepadu, perancangan, tekun, amanah, sabar dan berdoa serta diakhiri dengan tawakal (Solahuddin, 2012: 242). Perkara-perkara ini penting dalam usaha seseorang memenuhi keperluan hidup agar selari dengan keinginan manusia supaya setiap tindakan yang dilaksanakan tidak sekali-kali menyalahi batasan syarak.

PERBEZAAN ELEMEN PENERIMAAN MENURUT AL-GHAZALI

Konsep penerimaan yang difahami pengkaji menurut pandangan al-Ghazali ialah setiap individu Muslim perlu mewujudkan konsep zuhud, reda dan tawakal dalam usaha untuk memenuhi keperluan hidup. Seandainya ketiga-tiga konsep ini boleh dibajai dengan sebaiknya dalam diri akan memberikan kesan yang baik kepada individu tersebut. Penulisan ini akan menghuraikan ketiga-tiga konsep ini menurut pandangan al-Ghazali.

Zuhud di dunia merupakan suatu maqam (kedudukan) yang mulia, dari maqam-maqam salik (orang yang menjalani jalan Allah). Zuhud membawa makna meninggalkan sesuatu yang tidak disukainya demi mendapatkan sesuatu yang lebih baik. Orang yang membenci dan menjauhi harta demi mendapatkan kehidupan yang lebih baik di akhirat disebut zahid (al-Ghazali, 2015: 301).

Konsep zuhud juga boleh diibaratkan suatu kebencian kepada dunia, dan ianya berpaling kepada menuju akhirat, atau keadaan seseorang yang berpaling kepada Allah SWT, maka itulah merupakan darjat tertinggi. Orang yang bersifat zuhud memahami bahawa kehidupan di akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal. Kebanyakan manusia yang tidak mampu untuk meninggalkan dunia adalah kerana kelemahan ilmu dan keyakinan yang dimilikinya. Selain diri turut dikuasai oleh hawa nafsu serta hasutan syaitan yang mempengaruhinya. Di samping tertipu dengan habuan dunia semata-mata. Maka apabila kematian telah tiba, tiada apa yang mampu diperkatakan lagi selain penyesalan di atas kelalaian serta kealpaan diri sendiri. Sebagaimana firman Allah SWT: Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad), mata benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya), dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun.” (al-Nisa’, 4: 77)

Sifat zuhud yang terdapat dalam diri seseorang mukmin dikaitkan dengan rasa cinta yang mendalam terhadap Allah SWT. Orang-orang yang beriman dan bertakwa mengerti bahawa kecintaan yang tinggi atau berlebih-lebihan terhadap harta dunia akan mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Oleh yang demikian, mereka sentiasa berwaspada agar terhindar dari tipu daya syaitan dan pesona dunia serta memenuhi kehendak diri yang diselarikan dengan keperluan hidup sekadar yang diperlukan sahaja.

Zuhud bukan bermakna manusia membuang harta atau dunia sepenuhnya. Akan tetapi, boleh difahami apabila mendapat nikmat maka ianya bersyukur, dan apabila ditimpa musibah hendaklah bersabar.

Seterusnya, penulis menghuraikan tentang konsep reda menurut pandangan al-Ghazali. Hal ini kerana berdasarkan penelitian, seandainya konsep ini diterapkan dalam diri setiap individu, sudah pasti manusia tidak keruan dalam menghadapi konsep penerimaan dalam hidup. Al-Ghazali dalam kitab karangan beliau yang mashyur Ihya’ Ulum al-Din menjelaskan dengan teliti berkaitan konsep reda dalam bab Kitab al-Mahabbah Wa Syauq Wa Ins Wa Rida (al-Ghazali, 2015: 407).

(5)

43

reda juga merupakan darjat yang tertinggi dalam kalangan orang-orang muqarrabin (yang mendekatkan diri dengan Allah). Manusia yang mempunyai sifat reda adalah manusia yang sentiasa bersyukur dengan setiap nikmat serta pemberian daripada Allah SWT. Di samping itu juga, individu ini mendapat ketenangan dalam menyelesaikan setiap urusan dalam hidupnya. Hal ini kerana ianya percaya dengan pegangan akidah yang teguh berteraskan syariat Islam bahawa hidup matinya hanya kerana Allah SWT. Sebagaimana firman Allah SWT: Maksudnya: “Allah reda akan mereka dan mereka pun reda (serta bersyukur) dengan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.” (al-Bayyinah, 98: 8)

Di samping itu, sifat reda yang lahir dalam diri bukan sahaja dapat memupuk rasa syukur dalam jiwa individu tetapi dapat juga mengelakkan manusia daripada merungut atau keluh kesah dengan cabaran kehidupan hari ini (Tengku Elmi Azrlina & Shazarina, 2015: 5). Inilah yang perlu dihadapi masa kini dalam menguruskan rumahtangga, kerjaya, perbelanjaan anak-anak, pendidikan dan sebagainya. Ramai dalam kalangan masyarakat sentiasa bersungut dan rasa tidak mencukupi dengan apa yang telah dimiliki. Seandainya rasa reda, syukur dan tidak bersungut teguh dalam diri, sudah pasti ramai yang tidak akan mengalami tekanan hidup pada hari ini.

Oleh sebab itu juga, sifat reda seiring dengan sifat syukur. Dengan kata lain, seandainya manusia telah mencapai tahap syukur dalam diri, pasti ianya juga telah reda dengan setiap apa yang telah dikurniakan oleh Allah SWT terhadap dirinya. Penulisan ini juga menghuraikan tentang konsep tawakal menurut pandangan al-Ghazali dalam topik perbincangan ini. Hal ini kerana berdasarkan penelitian, gabungan konsep zuhud, reda dan tawakal yang dihadirkan dalam jiwa manusia mampu untuk membantu manusia menerima konsep penerimaan dalam hidup dengan tenang dan tidak tertekan. Setelah jiwa manusia disemai dengan sifat zuhud, dibajai dengan sifat reda, akhirnya membuahkan sifat tawakal dalam diri agar setiap kehendak diri untuk memenuhi keperluan hidup terlaksana dengan sebaiknya.

Al-Ghazali menyatakan bahawa tawakal merupakan darjat yang tinggi bagi kalangan orang-orang yang mendekatkan diri kepada Allah SWT (muqarrabin) (al-Ghazali, 2015: 338). Konsep tawakal agak sukar untuk difahami, begitu juga untuk melaksanakannya. Hal ini kerana tawakal ini mempunyai kaitan dengan konsep tawhid. Dengan kata lain, pegangan tauhid yang teguh juga mempengaruhi konsep tawakal manusia kepada Allah SWT.

Oleh sebab itu, dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din al-Ghazali membahaskan tentang konsep tawakal dalam Kitab Tawhid Dan Tawakal secara terperinci (al-Ghazali, 2015: 338). Tawakal juga merupakan sebahagian pintu iman. Iman perlu disertakan dengan keyakinan hati, ketundukan dan kepatuhan kepada Allah SWT secara setelusnya.

Al-Muhasibi pula memahami sifat tawakal ialah sandaran manusia terhadap Allah SWT dalam segala hal yang merangkumi suatu rancangan tetap (keputusan) atau kemahuan (azam) yang disertai dengan ikhtiar dalam melaksanakan rancangan tersebut (al-Muhasibi, 1991: 178). Bagi orang mukmin, sifat tawakal ini dapat menimbulkan ketenangan jiwa, keamanan dan ketenteraman. Hal ini kerana, ianya telah menyerahkan sepenuh pengharapan hanya untuk Allah SWT Yang Maha Esa lagi Maha berkuasa. Ini menunjukkan bahawa penyerahan seorang muslim kepada Tuhan semestinya dilakukan setelah ianya berupaya melaksanakan kewajipannya (Norfadilah & Zakaria, 2014: 85).

PERBEZAAN ELEMEN PENERIMAAN MENURUT MASLOW

(6)

44

pembinaan konsep kendiri. Penerimaan yang bererti memberi peluang kepada individu sebagai manusia yang unik menerima diri mereka sendiri (Morgen, 2003: 179). Akan tetapi, jika diteliti manusia sukar untuk mencapai konsep penerimaan dalam hidup. Hal ini kerana, manusia sentiasa berusaha memenuhi setiap hierarki keperluan sehingga mencapai kepada keperluan penyempurnaan kendiri.

Jika manusia berterusan hanya untuk menyempurnakan keperluan hidup yang lebih menumpukan kepada kehendak semata-mata, sudah pasti konsep penerimaan sukar dicapai. Malahan, seandainya setiap hierarki keperluan tersebut perlu dipenuhi dengan kesempurnaan juga, manusia akan menghadapi masalah dalam proses penerimaan. Oleh sebab itu, terdapat kesukaran bagi manusia dalam mencapai konsep penerimaan menurut Maslow disebabkan kerana kemahuan manusia untuk memenuhi setiap hierarki keperluan-keperluan yang dinyatakan dengan penuh kesempurnaan. Malahan, manusia akan melalui proses penerimaan dengan baik apabila telah mencapai peringkat penyempurnaan kendiri.

Jika perkara ini berterusan, ianya boleh membawa kepada berlakunya ketidak puasan dalam hidup. Di samping itu, manusia juga akan menemui kegagalan dalam hidup seandainya proses penerimaan ini sukar dicapai. Hal ini kerana proses penerimaan yang baik mampu untuk mempositifkan kelangsungan hidup manusia. Oleh yang demikian, manusia perlu sentiasa mempositifkan diri dalam apa jua keadaan agar konsep penerimaan dalam hidup juga dapat dikecapi dengan sebaiknya sejajar dengan matlamat hidup manusia.

PERSAMAAN ELEMEN PENERIMAAN MENURUT AL-GHAZALI DAN MASLOW

Akan tetapi, dari segi persamaan aspek penerimaan di antara kedua-dua tokoh ini menunjukkan bahawa manusia mempunyai dua tahap penerimaan iaitu positif dan negatif. Dengan makna penerimaan dalam kehidupan sama ada meliputi sesuatu permasalahan, keadaan diri ataupun keluarga, hal-hal kerjaya, ujian dengan anak-anak dan sebagainya boleh jadi diterima secara positif atau negatif. Ianya bergantung kepada setiap individu yang menguruskannya.

Namun, sekiranya penerimaan itu diterima secara positif maka keadaan hidup juga menjadi positif. Begitu juga sebaliknya. Setiap individu perlu menghindari penerimaan terhadap sesuatu permasalahan kehidupan secara negatif kerana ia mampu mempengaruhi tingkah laku dan tindakan ke arah negatif. Semua perbuatan dan tingkah laku manusia berpunca daripada hasil kecenderungan atau kemahuan jiwa manusia dan berkait rapat dengan keimanan, kawalan diri, ketahanan dalaman dan disiplin diri individu tersebut (Andek Maznah, 2006) dalam (Mohd Shahril, 2013: 191).

Oleh sebab itu, manusia yang perlu berusaha untuk membentuk penerimaan dalam hidup sama ada positif atau negatif. Di samping itu, setiap individu perlu sentiasa mendidik jiwa agar mampu membasmi, mengawal, dan mengarah, membimbing segala kemahuan dan kecenderungan ke arah kebaikan dan menyesuaikannya dengan akal, ilmu dan wahyu Ilahi. Matlamatnya ialah melahirkan individu yang seimbang yang mementingkan kehidupan di dunia dan akhirat.

Maslow (1970) juga berpandangan bahawa aspek penerimaan yang positif juga mempengaruhi keperluan kendiri yang positif. Malahan sekiranya seseorang itu mempunyai keyakinan diri dan kehendak yang ingin disempurnakan, perkara inilah yang akan menggerakkan tingkah laku seseorang untuk mencapai apa yang dihajati (Witzel, 2003: 178). Oleh sebab itu,

(7)

45

penerimaan positif mampu menjamin kualiti kehidupan menjadi bertambah baik dan sebaliknya bagi penerimaan yang negatif (Mohd Shahril, 2013: 191).

Walaupun terdapat berbagai-bagai perbezaan tentang fitrah manusia jika dibandingkan dengan teori Islam, tetapi tidak semua pandangan yang dikemukakan oleh tokoh psikologi Barat ditolak dengan begitu sahaja. Adapun seandainya pandangan-pandangan yang baik dan sesuai yang dikemukakan oleh ahli psikologi Barat boleh diadaptasi dan disesuaikan dengan gaya hidup Muslim selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam (Sapora & Ruhaya, 2012: 227).

Malahan, teori-teori psikologi Barat tidak pernah benar atau salah tetapi masih boleh dikatakan bermanfaat atau tidak bermanfaat berdasarkan efiensi teori tersebut dalam menggeneralisasikan hipotesis-hipotesis yang mana hujahnya masih perlu dibuktikan kebenarannya (Solahuddin, 2012: 243).

Ahli psikologi bukan Islam juga berpandangan bahawa hasrat-hasrat manusia tidak terhitung banyaknya (Petrus, 1982: 102). Akan tetapi, bagaimana manusia perlu menguruskan dan memenuhi kehendak diri serta keperluan hidup agar selari dengan iman. Di samping itu menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai tunjang utama dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Jadual 1: Persamaan dan perbezaan elemen penerimaan menurut al-Ghazali dan Maslow. Perbezaan Dan Persamaan Elemen Penerimaan Menurut Al-Ghazali dan Maslow

Elemen Al Ghazali Maslow Persamaan

Penerimaan Konsep Zuhud Konsep Reda Konsep Tawakal Sentiasa berusaha memenuhi setiap peringkat keperluan sehingga mencapai kesempurnaan kendiri Penerimaan : Positif Negatif KESIMPULAN

Penulis merumuskan bahawa terdapat persamaan dan perbezaan berkaitan konsep penerimaan yang diselarikan dengan keperluan hidup di antara kedua-dua tokoh ini. Al-Ghazali juga turut membincangkan tentang konsep kehendak manusia dan keselarasan dengan keperluan hidup terutama berkaitan aspek fitrah manusia yang sentiasa inginkan kesenangan dan kesempurnaan dalam mencapai konsep penerimaan. Begitu juga dengan Maslow. Maka, dapat disimpulkan bahawa aspek penerimaan adalah secara positif dan negatif bergantung kepada kendiri seseorang individu. Adapun antara perbezaan yang didapati ialah al-Ghazali lebih memberi tumpuan kepada aspek iman dan wahyu dalam memenuhi keperluan hidup yang diselaraskan dengan kehendak manusia. Di samping, konsep zuhud, reda dan tawakal perlu menjadi keutamaan dalam mencapai konsep penerimaan. Walaupun pemikiran Maslow terhadap keperluan hidup dilihat lebih sistematik dengan mengemukakan hierarki keperluan hidup bagi manusia akan tetapi konsep yang dikemukakan untuk

(8)

46

memenuhi keperluan-keperluan tersebut lebih tertumpu kepada aspek akal dan nafsu. Selain sentiasa berusaha memenuhi setiap peringkat keperluan sehingga mencapai kesempurnaan kendiri.

RUJUKAN

Al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad Ibn Muhammad. (2015). Ihya ʽUlum Din. C.7. Mesir: al-Maktabah al-Tawfiqiyyah.

Mohd Shahril Othman. (2013). Keberkesanan modul pengurusan tekanan (MPT) bagi mengurus tekanan kerja dalam kalangan guru. Tesis doktor falsafah yang tidak diterbitkan). Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor.

Morgen, W. (2003). Fifty Key Figures in Management. London: Routledge Taylor And Francis Group.

Al-Muhasibi, Abi ʽAbd Allah Harith. (2003). Tahqiq: ʽAbd al-Qadir Ahmad ʽAta’ al-Wasaya. Beirut: Dar al-Kutub al-ʽIlmiyyah.

Noor Shakirah Mat Akhir. (2008). Al-Ghazali and His Theory of The Soul: A Comparative Study. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.

Nor Nazimi Mohd Mustaffa, Jaffary Awang, & Aminudin Basir@ Ahmad. (2017). Teori Maslow dan kaitannya dengan kehidupan muslim. Jurnal Hadhari, 9(2), 275-285.

Norfadilah Abdul Rahman & Zakaria Stapa. (2014). Pembangunan kerohanian berasaskan al-Muhasibi dalam menangani gejala sosial masa kini. Prosiding International Conference On

World Conference Of Integration Knowledge. Indonesia: Bandung.

Petrus Sardjonoprijo. (1982). Psikologi kepribadian. Jakarta: CV. Rajawali.

Sapora Sipon & Ruhaya Hussin. (2012). Teori Kaunseling dan Psikoterapi. (Ed. ke-3). Cet. 2. Nilai: Universiti Sains Islam Malaysia.

Siti Hawa Munji & Ma’rof Redzuan. (1990). Pengantar psikologi. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn.Bhd.

Solahuddin Abdul Hamid. (2012). Penghayatan agama sebagai motivasi keinginan pencapaian:

Kajian usahawan Melayu Mara Kedah. Tesis doktor falsafah yang tidak diterbitkan.

Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Referensi

Dokumen terkait