PENDAHULUAN
Darurat bermaksud keadaan yang tidak aman dan berbahaya sehingga menggugat
kestabilan ekonomi, iklim politik dan sistem sosial negara. Darurat biasanya berlaku
akibat daripada pertikaian politik di antara pihak tertentu, bencana alam yang teruk,
rusuhan, ketenteraman awam yang dicabar oleh pihak tertentu dan kegiatan subversif.
Darurat pernah berlaku pada tahun 1948 di Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai
Tanah Melayu. Hal ini kerana pada ketika itu telah berlakunya keadaan huru-hara di
Tanah Melayu yang disebabkan oleh kegiatan Parti Komunis Malaya (PKM). PKM
merupakan sebuah parti komunis yang ditubuhkan pada tanggal 30 April 1930.1 PKM
telah melakukan pelbagai aktiviti keganasan di Tanah Melayu sehingga menyebabkan
keadaan menjadi huru-hara. Antara aktiviti keganasan yang dilakukan oleh PKM
termasuklah seperti pembunuhan, peras ugut, pemberontakan dan sabotaj.
Keadaan ini kemudian mencapai kemuncak apabila pada 16 Jun 1948, tiga orang
peladang Eropah iaitu Arthur Walker yang merupakan Pengurus Estet Elphil di Sungai
Siput, John Allison yang merupakan Pengurus Estet Phin Soon di Sungai Siput serta
pembantunya bernama Ian Christian telah dibunuh oleh komunis. Keadaan ini
menyebabkan pada petang 16 Jun 1948, Sir Edward Gent selaku Pesuruhjaya Tinggi
British di Tanah Melayu telah mengisytiharkan Undang-undang Darurat menerusi
kuatkuasa Undang-undang BMA (Essential Regulation Proclamation) sebelum ianya
dimansuh dan digantikan dengan Undang-undang Darurat (Emergency Regulation
Ordinance) yang diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada 5 Julai 1948.2
Pada 16 Jun 1948, Undang-undang Darurat hanya dikuatkuasakan meliputi kawasan Ipoh
1 Mohd. Reduan Haji Asli, Pemberontakan Bersenjata Komunis Di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993, hlm. 8.
dan Sungai Siput di Perak serta Kluang, Muar, Kulai dan Plentong di Johor.3 Kemudian,
pada 17 Jun 1948 undang-undang ini diperluaskan meliputi seluruh negeri Perak dan
Johor dan pada 18 Jun 1948 Undang-undang Darurat telah dikuatkuasakan di seluruh
Tanah Melayu.
UNDANG-UNDANG DARURAT 1948
Setelah darurat diisytiharkan, beberapa peraturan-peraturan umum telah dibuat di
bawah Undang-undang Darurat ini. Peraturan-peraturan utama adalah seperti berikut:
i. The Emergency (Criminal Trials) Regulations 1948.
ii. The Emergency (Detained Persons) Regulations 1948.
iii. The Emergency (Registration Areas) Regulations 1948.
iv. The Emergency (Auxiliary Police) Regulations 1948.
v. The Emergency (Travel Restrictions) Regulations 1948.
Selain dari itu undang-undang berikut juga telah dikuatkuasakan:
i. The Restricted Residence (Extended Application) Ordinance 1948 dan Restricted
Residence (Amendment) Ordinance 1948.
ii. The Banishment Ordinance 1948.4
Pengisytiharan Undang-undang Darurat 1948 telah memberikan kuasa yang luas
kepada kerajaan untuk mengenakan hukuman berat kepada mereka yang membantu
komunis, termasuk hukuman mati kepada mereka yang didapati membawa senjata api.
3 Ho Hui Ling, Darurat 1948-1960 : Keadaan Sosial Di Tanah Melayu, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 2004, hlm. 15.
Bagi sesiapa yang didapati memiliki dokumen PKM dan menyebarkan propaganda bagi
pihak PKM, hukuman penjara sehingga 10 tahun dikenakan. Beberapa kuasa khas juga
turut dikeluarkan berkenaan dengan tangkapan, penahanan, perhimpunan orang ramai,
perintah berkurung, memeriksa orang dan rumah yang disyaki dan menutup jalan raya,
lorong serta sungai.
Bukan itu sahaja, Undang-undang Darurat juga meliputi hukuman mati kepada
mereka yang melakukan kesalahan mengumpul atau menerima wang, makanan atau
menyediakan bekalan kepada komunis. Melalui Undang-undang Darurat juga kerajaan
diberikan kuasa untuk mengawal kedai dan arahan untuk menutup kedai yang didapati
memberi bantuan kepada komunis, kuasa untuk membersihkan kawasan luar bandar agar
memutuskan hubungan pembekal dengan komunis dan hukuman buang negeri kepada
mereka yang disyaki menyokong komunis. Di bawah undang-undang ini juga, orang
ramai boleh ditangkap jika mereka berkumpul lebih daripada lima orang di luar bangunan
tanpa mendapat kebenaran daripada pihak polis.5
Pengisytiharan Undang-undang Darurat ini ternyata memperlihatkan kesungguhan
kerajaan untuk memerangi komunis di samping pada masa yang sama turut menjadi
cabaran buat PKM untuk meneruskan kegiatan mereka. Undang-undang Darurat yang
diisytiharkan pada tahun 1948 sememangnya membawa kepentingan dalam sejarah
Malaysia. Terdapat beberapa aspek yang terdapat di dalam Undang-undang Darurat 1948
khususnya dari segi langkah-langkah yang diambil oleh pihak kerajaan telah memainkan
peranan penting dalam konteks sejarah Malaysia sehingga ke hari ini.
PERANAN UNDANG-UNDANG DARURAT 1948 DALAM SEJARAH MALAYSIA
PENGENALAN AKTA HASUTAN 1948
Rentetan daripada Undang-undang Darurat yang diisytiharkan, Akta Hasutan
kemudiannya turut diperkenalkan pada tahun 1948. Pengenalan Akta Hasutan ini adalah
bagi membolehkan sesiapa sahaja yang dianggap menyebarkan elemen subversif ditahan
oleh kerajaan. Secara langsung juga akta ini merupakan salah satu usaha pihak kerajaan
bagi memerangi pengganas komunis di Tanah Melayu. Akta Hasutan ini meliputi
kesalahan kecenderungan menghasut iaitu mendatangkan kebencian atau penghinaan atau
bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja atau kerajaan serta
provokasi perubahan di luar rangka undang undang.
Ia juga merangkumi provokasi rasa tidak puas hati di kalangan rakyat ke atas
badan kehakiman seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 3 (1) (a) (b) dan (c). Skop Akta
Hasutan pada awalnya adalah bagi melindungi kedaulatan kerajaan, raja-raja dan badan
kehakiman. Akta Hasutan ini kemudiannya menjalani pindaan pada tahun 1970 selepas
peristiwa rusuhan 13 Mei, di mana parlimen memperkenalkan Seksyen baru 3 (1) (e)
berhubung tindakan promosi perasaan benci dan permusuhan antara kaum atau golongan
yang berlainan dan Seksyen 3 (1) (f) mengenai perkara-perkara kewarganegaraan, Bahasa
Melayu, kedudukan istimewa penduduk asal di Tanah Melayu dan Sabah / Sarawak serta
kedaulatan raja-raja Melayu.
Di bawah Akta Hasutan juga iaitu melalui Seksyen 4 (1) (c), mereka yang
mencetak, menerbitkan, menjual, menawarkan untuk dijual, mengedarkan atau
mengeluarkan semula apa-apa penerbitan menghasut dan melalui Seksyen 4 (1) (d),
mereka yang mengimport apa-apa penerbitan menghasut boleh disabitkan kesalahan dan
kedua-duanya sekali.6 Di sini dapat dilihat dengan jelas bahawa Undang-undang Darurat
1948 sememangnya memainkan peranan penting dalam sejarah Malaysia dan salah satu
contohnya adalah melalui pengenalan Akta Hasutan. Walaupun Akta Hasutan masih kekal
sehingga ke hari ini, namun akta ini sering mendapat kritikan kerana ianya dilihat
menggugat pengamalan demokrasi yang diamalkan di Malaysia.
PENGENALAN AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI 1960
Akta Keselamatan Dalam Negeri yang juga dikenali sebagai Internal Security Act
(ISA) telah digubal dan diwartakan di Malaysia Barat pada 1 Ogos 1960 dan di Malaysia
Timur, yakni Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963 setelah menyertai Persekutuan
Malaysia. Pengenalan ISA sebenarnya turut merupakan rentetan daripada pengisytiharan
Undang-undang Darurat 1948 yang dibuat oleh kerajaan. Tujuan Undang-undang Darurat
adalah untuk mengekang ancaman komunis namun apabila darurat tamat, ISA pula
diperkenalkan dengan tujuan yang lebih kurang sama iaitu untuk menyekat unsur-unsur
subversif yang boleh membahayakan keselamatan dan keamanan negara.
Di bawah ISA ini, mereka yang didapati terlibat dalam kegiatan yang dianggap
mengancam keselamatan dalam negeri boleh diambil tindakan tahanan pencegahan
selama dua tahun tanpa bicara dan tempoh tahanan boleh disambung selagi pihak
berkuasa mempercayai bahawa mereka yang terlibat masih lagi menjadi ancaman kepada
keselamatan negeri. Akta ini memberikan kuasa yang luas kepada Menteri Hal Ehwal
Dalam Negeri untuk menahan seseorang yang boleh mengancam keselamatan negara
tanpa dibicarakan selama tempoh tertentu (60 hari).7 Tempoh ini boleh dilanjutkan
6 Undang-undang Malaysia Cetakan Semula Akta 15, Akta Hasutan 1948, Diterbitkan oleh Pesuruhjaya Penyemak Undang-undang Malaysia Secara Usaha Sama Dengan Malayan Law Journal Sdn. Bhd., 2006, hlm. 8.
sehingga dua tahun dan selepas dua tahun penahanannya boleh diperbaharui malahan
seseorang itu boleh terus ditahan seberapa lama.8
ISA sememangnya menjadi salah satu bukti yang menunjukkan bahawa
Undang-undang Darurat 1948 sangat memainkan peranan dalam sejarah Malaysia sehingga kini.
Walaupun akta tersebut mendapat banyak kecaman dan pandangan yang negatif dari
pelbagai pihak kerana melanggar hak asasi manusia serta dilihat sebagai satu alat untuk
rejim pemerintah mengekalkan kuasa akan tetapi pada masa yang sama ianya juga tidak
dapat dinafikan dapat menjamin keselamatan dan keamanan negara. Namun begitu, pada
16 September 2011, Perdana Menteri Malaysia iaitu Dato’ Seri Najib Razak telah
mengumumkan pemansuhan akta ini. ISA kemudiannya telah digantikan dengan Akta
Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Security Offences (Special
Measures) Act (SOSMA) pada 22 Jun 2012.9
PENGENALAN SISTEM KAD PENGENALAN
Undang-undang Darurat yang diisytiharkan pada 1948 seperti yang diketahui telah
komunis. Salah satu kuasa yang diberikan kepada pihak kerajaan termasuklah mengawal
penduduk dan pergerakan mereka. Untuk tujuan tersebut, pihak kerajaan telah mngembil
langkah dengan memperkenalkan pendaftaran penduduk di Tanah Melayu pada tahun
1948. Di bawah langkah ini, setiap lelaki, wanita dan kanak-kanak yang berumur 12
tahun ke atas dikehendaki mendaftarkan diri dengan pihak berkuasa dan mereka akan
dibekalkan kad pengenalan dengan cop ibu jari dan foto masing-masing, di samping nama
8 Ibid.
pemilik, bangsa, bahasa/dialek, tempat lahir, pekerjaan serta tempat tinggal sebagai tanda
mereka telah berdaftar dengan pihak kerajaan.10
Langkah ini mula berkuatkuasa pada 23 Julai 1948 dan bertujuan untuk membantu
polis serta tentera untuk membezakan penduduk yang mematuhi undang-undang dengan
yang bertanggungjawab melakukan huru-hara. Langkah ini bertitik tolak daripada idea
seorang anggota Majlis Perundangan Persekutuan dari Pulau Pinang yang bernama Dr.
Ong Chong Keng.11 Penduduk Tanah Melayu yang mempunyai kad pengenalan
dikehendaki membawa kad pengenalan mereka ke mana sahaja mereka pergi untuk
diperiksa oleh pegawai keselamatan. Melalui pelaksanaan langkah ini, kehadiran komunis
dalam kalangan penduduk akan lebih mudah untuk dikesan oleh pihak berkuasa.
Penggunaan kad pengenalan ini masih diteruskan walaupun darurat telah diisytiharkan
tamat. Dapat dilihat pada 2 Ogos 1960, kad pengenalan untuk Persekutuan Tanah Melayu
telah dikeluarkan.
Selaras dengan itu juga, urusan kelahiran, kematian, pengangkatan,
kewarganegaraan dan perkahwinan pada awalnya diletakkan di bawah kerajaan negeri
sehingga undang-undang persekutuan dibentuk untuk memberikan perkhidmatan kepada
orang awam mengenai perkara-perkara berkaitan pendaftaran.12 Sehingga kini, kad
pengenalan yang digunakan oleh semua rakyat Malaysia telah mengalami beberapa
evolusi dari segi bentuk, warna mahupun saiz. Walaupun tujuan asal kad pengenalan
diperkenalkan adalah untuk membezakan penduduk Tanah Melayu dengan komunis akan
tetapi penggunaan kad pengenalan masih diteruskan sehingga kini untuk tujuan
pengenalan diri setiap rakyat Malaysia. Penggunaan kad pengenalan ini telah
memperlihatkan secara tidak langsung bagaimana Undang-undang Darurat 1948 telah
10 Ho, Hui Ling, ‘Sir Henry Gurney Dan Langkah-Langkah Pembanterasan Komunis Di Tanah Melayu, 1948-1951’, Malaysia Dari Segi Sejarah, Bil. 39, 2011, hlm. 136.
11 Ho Hui Ling, Darurat 1948-1960 : Keadaan Sosial Di Tanah Melayu, hlm. 17.
memainkan peranan penting dalam sejarah Malaysia khususnya dari sudut pendaftaran
penduduk.
PEMBESARAN PASUKAN POLIS
Undang-undang Darurat yang dikuatkuasakan turut telah membawa kepada
pengukuhan kawalan keselamatan di Tanah Melayu iaitu melalui pembesaran pasukan
polis. Apabila Undang-undang Darurat diisytiharkan, kekuatan anggota keselamatan di
Tanah Melayu terdiri daripada 10,000 orang polis dan 10 batalion tentera iaitu dua
batalion tentera British, lima batalion tentera Gurkha, dan tiga batalion askar Melayu.
Menjelang akhir tahun 1949, bilangan anggota pasukan polis telah bertambah kepada
48,000 orang iaitu 18,000 orang polis biasa dan 30,000 orang polis khas.13 Jumlah ini
kemudiannya berterusan meningkat pada tahun-tahun selepas itu. Rejimen Askar Melayu
juga telah diperbesarkan daripada tiga rejimen kepada tujuh rejimen. Bukan itu sahaja, di
bawah Sir Gerald Templer selaku Pesuruhjaya Tinggi British yang baru menggantikan Sir
Henry Gurney, pembesaran pasukan polis telah dilakukan. Hal ini dapat dilihat melalui
penubuhan Polis Cawangan Khas (Special Branch).
Sir Gerald Templer telah melantik John Morton iaitu seorang yang berpengalaman
dalam bidang risikan untuk mengendalikan aktiviti perisikan di Tanah Melayu.14 Polis
Cawangan Khas telah ditubuhkan bagi menggantikan Malayan Security Service (MSS)
pada bulan November 1948 dan ibu pejabatnya terletak di Kuala Lumpur.15 Penubuhan
Polis Cawangan Khas ini ternyata banyak membawa kejayaan kepada pihak kerajaan
dalam usaha menentang komunis. Polis Cawangan Khas antara lain ditugaskan untuk
menyelinap masuk ke dalam kumpulan komunis dan mengumpul maklumat tentang
13 Ho, Hui Ling, ‘Sir Henry Gurney Dan Langkah-Langkah Pembanterasan Komunis Di Tanah Melayu, 1948-1951’, Malaysia Dari Segi Sejarah, Bil. 39, 2011, hlm. 152.
14 Ho Hui Ling, Darurat 1948-1960 : Keadaan Sosial Di Tanah Melayu, hlm. 22.
aktiviti serta kegiatan mereka. Sehingga ke hari ini Polis Cawangan Khas masih lagi
merupakan di antara badan penting bagi Polis Diraja Malaysia dan Polis Cawangan Khas
dipertanggungjawabkan mengumpul dan memproses risikan keselamatan untuk
memelihara undang-undang dan ketenteraman awam serta mengekalkan keamanan dan
keselamatan Malaysia.16
Selain daripada Polis Cawangan Khas, Pasukan Mata-Mata Khas atau SC (Special
Constable) dan Polis Bantuan (Auxiliary Police) turut ditubuhkan.17 Special Constable
telah ditubuhkan pada 26 Jun 1948 dan keanggotaannya telah diambil daripada orang
ramai. Special Constable ditubuhkan di bawah peraturan utama yang terkandung di dalam
Undang-undang Darurat 1948 iaitu Emergency (Auxiliary Police) Regulations 1948.
Penubuhan Special Contable dan Polis Bantuan pada tahap awal adalah untuk membantu
pihak polis mengatasi ancaman komunis di Tanah Melayu. Peranan yang dimainkan oleh
mereka sememangnya sangat besar bagi memastikan keadaan di Tanah Melayu bebas dari
ancaman komunis. Jika dilihat pada hari ini juga, penubuhan pasukan Polis Bantuan
masih lagi diteruskan dan mereka bertanggungjawab sebagai unit sokongan atau bantuan
kepada Polis Diraja Malaysia dalam sesuatu situasi yang diperlukan. Hal ini
menunjukkan bagaimana Undang-undang Darurat yang diisytiharkan telah memainkan
peranan penting dalam sejarah Malaysia khususnya dalam hal ehwal keselamatan negeri.
PENUBUHAN HOME GUARD
16 Portal Rasmi Polis Diraja Malaysia, https://www.rmp.gov.my /infor-korporate/jabatan-jabatan/cawangan-khas (diakses pada 28 Mei 2016).
Selaras dengan Undang-undang Darurat yang telah memperuntukkan bidang
kuasa yang luas kepada kerajaan bagi membanteras ancaman komunis, pelbagai usaha
telah dijalankan untuk mencapai tujuan tersebut. Salah satunya adalah dengan penubuhan
Home Guard. Home Guard telah diperkenalkan oleh Leftenan Jeneral Harold Briggs yang
telah dilantik selaku Pengarah Operasi Darurat pada bulan April 1950.18 Beliau telah
memperkenalkan pasukan Home Guard sukarela dan sambilan bagi mengawal pekan,
kampung dan kawasan penempatan semula pada bulan September 1950. Tujuan Home
Guard dibentuk adalah untuk membolehkan penduduk kampung terlibat secara aktif
membantu pasukan keselamatan dalam menjaga dan mengawal kampung mereka
daripada ancaman komunis.
Anggota Home Guard juga dipertanggungjawabkan untuk memberi perhatian
kepada orang asing yang hadir ke kampung atau ke kawasan mereka dan kemudian
melaporkannya kepada polis.19 Selain itu, Home Guard turut ditugaskan untuk mengatur
perkhidmatan kesihatan di sekolah dan kerja-kerja kebajikan selain diberi kuasa untuk
menyekat penyaluran makanan serta ubat-ubatan dari kampung dan kawasan penempatan
semula daripada jatuh ke tangan komunis. Anggota Home Guard telah diberikan latihan
khusus seperti latihan kawad, kemahiran menggunakan senjata api, taktik berkawal dan
juga bertempur. Home Guard ini ditubuhkan di semua peringkat iaitu di peringkat negeri,
daerah, mukim dan kampung. Namun begitu, Home Guard telah dibubarkan pada 31 Julai
1960 apabila darurat di Tanah Melayu diisytiharkan tamat.20
Walaupun Home Guard telah dibubarkan akan tetapi kesinambungannya dapat
dilihat sehingga ke hari ini iaitu menerusi Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA).
RELA yang juga dikenali sebagai People’s Volunteer Corps ditubuhkan untuk membantu
18 Ho Hui Ling, Darurat 1948-1960 : Keadaan Sosial Di Tanah Melayu, hlm. 18.
19 Ho Hui Ling, ‘Keadaan Sosial di Tanah Melayu, 1948-1960’, Tesis Ph.D, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2003, hlm. 24.
kerja-kerja kemasyarakatan serta pembangunan sosial negara di samping membantu
kerajaan dalam menjayakan usaha menyatupadukan penduduk berbilang kaum, agama
dan budaya supaya wujudnya keharmonian kaum di negara ini.21 Bukan itu sahaja, RELA
turut berperanan sebagai benteng ketiga dalam sistem pertahanan negara. Pada 11 Januari
1972, kerajaan telah mengambil keputusan untuk menubuhkan RELA di bawah Seksyen
2 Akta kuasa Perlu) Darurat 1964. Pasukan RELA dikawal di bawah Akta
(Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1964 ( Peraturan-Peraturan Perlu Ikatan Relawan Rakyat ) Pindaan
2005.22 Melalui penubuhan RELA ini, kesinambungan Home Guard secara tidak langsung
dilihat telah diteruskan. Hal ini juga memperlihatkan bagaimana Undang-undang Darurat
telah memainkan peranan yang sangat penting khususnya dari sudut penglibatan rakyat
dalam hal ehwal keselamatan negara.
PENUBUHAN MALAYAN CHINESE ASSOCIATION (MCA)
Undang-undang Darurat 1948 yang sememangnya memainkan peranan penting
dalam sejarah Malaysia dilihat mempengaruhi penubuhan parti politik pada tahap awal.
Hal ini dapat dilihat melalui penubuhan parti Malayan Chinese Association (MCA).
Penubuhan MCA secara tidak langsung adalah bertitik tolak dari Undang-undang Darurat
1948. Di bawah undang-undang ini kerajaan menjalankan pelbagai langkah untuk
membanteras ancaman komunis dan untuk itu Pesuruhjaya Tinggi British iaitu Sir Henry
Gurney berpendapat bahawa hati rakyat mestilah dimenangi dan bukan hanya
memberikan fokus kepada strategi ketenteraan semata-mata untuk menentang komunis di
Tanah Melayu. Selaras dengan itu Sir Henry Gurney telah menggalakkan penubuhan parti
21 Ho Hui Ling, Pergerakan Bersenjata Parti Komunis Malaya 1968-1989 : Kebangkitan Semula dan Penumpasannya, hlm. 108.
politik dalam kalangan rakyat Cina di Tanah Melayu. Kemudian, dengan tajaan 16 orang
pemimpin Cina yang diketuai oleh Tan Cheng Lock, MCA telah dilancarkan dalam
perhimpunan orang Cina di Kuala Lumpur pada 27 Februari 1949.23
Objektif utama penubuhan MCA adalah untuk memperjuangkan dan memelihara
kepentingan politik dan budaya orang Cina di Tanah Melayu. Selain itu, penubuhan MCA
turut bertujuan untuk memupuk dan memelihara hubungan mesra serta kerjasama antara
penduduk berbilang kaum di Tanah Melayu. Penubuhan MCA juga dari suatu sudut dapat
dilihat sebagai satu platform kepada masyarakat Cina untuk berpolitik di samping dapat
mengalihkan sokongan mereka dari PKM. Penubuhan MCA ternyata membawa kejayaan
besar kerana ramai orang Cina di Tanah Melayu telah menjadi ahli kepada parti tersebut.
Keadaan tersebut membuktikan kepada pihak kerajaan bahawasanya bukan semua orang
Cina itu adalah komunis atau menyokong perjuangan komunis. Kesinambungan
penubuhan MCA dapat dilihat sehingga ke hari ini apabila parti tersebut merupakan parti
utama yang memperjuangkan hak-hak dan kepentingan rakyat Malaysia berbangsa Cina.
Dengan itu, melalui Undang-undang Darurat ternyata telah membawa kepentingan
kepada sejarah Malaysia khususnya menerusi pembentukan parti-parti politik pada tahap
awal yang melibatkan kaum bukan Melayu.
KESIMPULAN
Darurat di Tanah Melayu telah diisytiharkan tamat pada 31 Julai 1960. Zaman
darurat yang berlaku di Tanah Melayu ini telah menyebabkan pihak kerajaan
mengisytiharkan Undang-undang Darurat pada tahun 1948. Menerusi undang-undang ini,
kuasa yang lebih luas diberikan kepada pihak kerajaan untuk membanteras kegiatan
komunis di Tanah Melayu. Undang-undang Darurat 1948 sememangnya tidak dapat
dinafikan banyak memainkan peranan penting dalam sejarah Malaysia. Undang-undang
Darurat 1948 juga ternyata memberi kesan yang penting dalam banyak sudut baik dari
segi politik mahupun sosial yang dapat dilihat jelas sehingga ke hari ini. Seiring dengan
Undang-undang Darurat yang telah memperuntukkan bidang kuasa yang luas kepada
kerajaan bagi membanteras ancaman komunis, pelbagai usaha telah dijalankan untuk
mencapai tujuan tersebut.
Usaha-usaha inilah kemudiannya banyak memberikan kesan serta mencorakkan
perjalanan sejarah Malaysia pada hari ini. Undang-undang Darurat ini ternyata telah
membawa beberapa pertukaran asas dalam banyak aspek penting kehidpan rakyat di
negara ini baik dari segi perundangan, keselamatan mahupun polisi sosial. Sungguhpun
tujuan asal Undang-undang Darurat adalah untuk menghapuskan kegiatan komunis akan
tetapi pada suatu sudut yang lain juga dapat dilihat undang-undang tersebut telah
digunakan oleh pihak British yang menguasai Tanah Melayu untuk mengawal dan
melemahkan gerakan kebangsaan yang antipenjajah walaupun gerakan bukan berfahaman
komunis. Walaubagaimanapun, Undang-undang Darurat 1948 ternyata telah banyak
menyumbang kepada kestabilan, kesejahteraan dan kemakmuran dalam usaha
membanteras ancaman komunis. Selaras dengan pengisytiharan tamatnya darurat pada
1960 maka Undang-undang Darurat 1948 ini juga turut dimansuhkan.
BUKU
Ho Hui Ling, Darurat 1948-1960 : Keadaan Sosial Di Tanah Melayu, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 2004.
Ho Hui Ling, Pergerakan Bersenjata Parti Komunis Malaya 1968-1989 : Kebangkitan Semula dan Penumpasannya, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 2015.
Miller, Harry, Jungle War in Malaya: the campaign against Communism, 1948-60, London: Barker, 1972.
Zainal Abidin Abdul Wahid, et al., Malaysia: Warisan dan Perkembangan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992.
Khoo Kay Kim dan Adnan Hj. Nawang (editor), Darurat 1948-1960, Kuala Lumpur: Muzium Angkatan Tentera, 1984.
Mohd. Reduan Haji Asli, Pemberontakan Bersenjata Komunis Di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993.
ARTIKEL JURNAL
Hassan Yusof, ‘Pasukan Polis Di Tanah Melayu Semasa Bermula Kempen Keganasan Komunis Sehingga Pengisyhtiharan Undang-Undang Darurat: 1947-Ogos 1948’, Malaysia Dari Segi Sejarah, Bil. 25, 1997.
Ho Hui Ling, ‘Kegagalan Gerakan Bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM), 1948-1960: Satu Analisis’, Malaysia Dari Segi Sejarah, Bil. 38, 2010.
Ho, Hui Ling, ‘Sir Henry Gurney Dan Langkah-Langkah Pembanterasan Komunis Di Tanah Melayu, 1948-1951’, Malaysia Dari Segi Sejarah, Bil. 39, 2011.
TESIS
Ho Hui Ling, ‘Keadaan Sosial di Tanah Melayu, 1948-1960’, Tesis Ph.D, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2003.
LAMAN SESAWANG
‘50 Tahun Tamat Darurat’, http://www.arkib.gov.my/web/guest/50-tahun-tamat-darurat (diakses pada 28 Mei 2017).
‘Darurat Angkara Komunis’,
http://www.arkib.gov.my/web/guest/darurat-angkara-komunis (diakses pada 28 Mei 2017).
Portal Rasmi Jabatan Penerangan Malaysia, http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/ keselamatan/20096-sosma-ganti-isa-pengamal-undang-undang-beza-pandangan.html (diakses pada 28 Mei 2017).
Portal Rasmi Polis Diraja Malaysia, https: //www.rmp.gov.my
/infor-korporate/jabatan-jabatan/cawangan-khas (diakses pada 28 Mei 2016).