Etnografi merupakan sejenis bentuk kajian lapangan yang melibatkan satu metod penelitian kualitatif. Etnografi juga dirujuk sebagai satu penyelidikan saintifik yang bersifat semulajadi(field research). Menurut Creswell (2005) etnografi merupakan satu bentuk kajian yang praktikal untuk mengkaji suatu kelompok atau kumpulan tertentu. Melalui kajian berbentuk etnografi, bentuk – bentuk maklumat kualitatif dapat digunakan untuk menerangkan dan menginterpretasi sesuatu bentuk budaya yang dikongsi bersama di dalam sesebuah kumpulan. Kajian etnografi juga turut digunakan dalam memahami dan menjelaskan budaya dan cara hidup sesuatu komuniti. Sebagai contohnya, pelopor kajian etnografi iaitu Bronislaw Malinowski di dalam kajiannya mengenai masyarakat di Kepulauan Trobriand. Kajian beliau adalah untuk menjelaskan budaya masyarakat di kepulauan tersebut sebagai contohnya ritual Kula Ring.
Dalam kajian etnografi, penelitian yang dilakukan oleh penyelelidik adalah bersifat kritis dan mendalam. Kajian ini mampu menggali maklumat secara mendalam dengan sumber – sumber yang ditonjolkan di sekelilingnya. Melalui teknik pemerhatian ikut serta atau ‘participant – observation’ dan temubual secara mendalam ‘in-depth interview’ penyelidik berupaya memahami budaya dan ciri – ciri sosial yang ada pada kelompok yang dikaji secara mendalam. Selain itu, kekuatan kajian berbentuk etnografi juga adalah disokong oleh keabsahan dan kebolehpercayaan (reliability) yang tinggi terhadap maklumat yang disampaikan memandangkan penyelidik menjadi sebahagian daripada kelompok kajiannya untuk jangka masa yang lama. Lantas, maklumat yang diperolehi melalui pemerhatian ikut serta adalah sesuatu yang unik.