BAB I
PENDAHULUAN
1.1. Pengenalan
Sistem Pendidikan Malaysia berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memberi tumpuan kepada perkembangan emosi diri pelajar secara menyeluruh untuk melahirkan individu yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Falsafah ini digunakan bagi melahirkan warganegara yang berketrampilan dan bertanggungjawab dalam segala bidang serta mampu menghadapi cabaran dalam menuju wawasan negara. Oleh yang demikian, kurikulum pendidikan dirancang berteraskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan kerana falsafah memainkan peranan sebagai dasar yang menjadi arah tuju, panduan dan bimbingan. Tanpa falsafah sesuatu kurikulum pendidikan itu adalah tanpa asas. Kurikulum yang berteraskan falsafah ini umumnya untuk membentuk pelajar bagi perkembangan menyeluruh meliputi dimensi instrumental, sosial dan dimensi intrinsik.
Kurikulum ialah segala rancangan pendidikan (akademik dan kokurikulum) yang dikendalikan oleh sesebuah institusi pendidikan untuk mencapai matlamat pendidikan. Ia suatu rancangan yang
meliputi segala ilmu pengetahuan, kemahiran, nilai dan norma, unsur- unsur kebudayaan dan kepercayaan masyarakat untuk diwariskan kepada ahli-ahlinya. Kurikulum kebangsaan yang ditetapkan hendaklah menentukan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dijangka akan diperolehi oleh murid-murid pada akhir tempoh persekolahan masing-masing (Akta Pendidikan 1996). Selain itu, kurikulum amat penting dalam sistem pendidikan di Malaysia.
Kurikulum pendidikan merupakan satu wadah penting dalam menjana anjakan paradigma dalam diri setiap individu dan ia juga memainkan peranan penting untuk melahirkan insan deduktif yang dinamik dalam semua aspek kehidupan (Mastura Badzis, 2008).
Oleh yang demikian, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) melalui Akhbar Berita Harian bertarikh 14 Mei 2009 telah mengumumkan proses pelaksanaan trasformasi pendidikan di mana diperkenalkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).
Kurikulum ini memberikan penekanan kepada penguasaan literasi 4M; Kemahiran Asas ICT, Perkembangan Fizikal, Kognitif, Sikap dan Nilai bagi Tahap 1. Bagi Tahap 2 pula penekanan kurikulum adalah terhadap pengukuhan dan aplikasi 4M serta menguasai kemahiran yang lebih kompleks, perkembangan fizikal, kognitif, sikap dan nilai.
Pengajaran dan pembelajaran adalah berasaskan 6 tunjang kurikulum iaitu Ketrampilan Diri, Literasi Sains dan Teknologi, Kemanusiaan, Fizikal dan Estetika, Kerohanian Sikap dan Nilai serta Komunikasi.
Selain Kemahiran Asas ICT, elemen-elemen tambahan yang merentas kurikulum ialah Kreativiti dan Inovasi serta Keusahawanan.
Transformasi kurikulum persekolahan merupakan usaha menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan semasa bagi menghadapi abad ke 21. Dalam proses transformasi kurikulum, Kementerian Pendidikan
Malaysia telah membuat penandaarasan dengan kurikulum negara maju bagi memastikan kurikulum persekolahan kebangsaan sertanding dengan pendidikan global. Dengan berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan dengan mengekalkan prinsip KBSR, penambahbaikan dilakukan kepada rekabentuk organisasi, pedagogi, penegasan kurikulum, peruntukan masa dan pengurusan kurikulum untuk KSSR.
1.2. Latar Belakang Masalah
Setiap kurikulum harus melalui perubahan, iaitu bersifat dinamik agar sesuai dan relevan mengikut perkembangan masa. Pada abad ke 21, negara menghadapi cabaran baharu kesan daripada globalisasi, liberalisasi, pengantarabangsaan dan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Oleh yang demikian, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 dilancarkan oleh Y.A.B Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi pada 16 Januari 2007 bertujuan membangunkan satu sistem pendidikan yang bertaraf dunia sebagai memenuhi hasrat Wawasan 2020 menjadikan Malaysia sebuah negara maju mengikut acuan sendiri. Pada dasarnya, PIPP merupakan satu dokumen perancangan yang meliputi tiga aspek utama iaitu infrastruktur, pengisian dan tenaga manusia. PIPP bertujuan menghasilkan pendidikan berkualiti untuk semua. Maka kepimpinan pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia mempunyai tanggungjawab yang amat besar dalam membangunkan modal insan yang bersifat menyeluruh, progresif, bermoral dan beretika tinggi selain melahirkan modal insan yang berilmu pengetahuan celik ICT dan berkemahiran tinggi.
Oleh itu, transformasi kurikulum merupakan proses perubahan yang holistik berdasarkan kurikulum persekolahan yang sedia ada.
Apabila KSSR diperkenalkan kepada murid-murid, sudah pastilah guru-guru harus menyediakan diri dengan bentuk perubahan yang berlaku secara drastik ini. Perubahan dalam KSSR ini bukan sahaja meliputi 3M malah menambah satu lagi pendekatan iaitu menaakul.
Dalam pelaksanaan KSSR ini, guru-guru hendaklah menjadikan murid lebih berfikiran kritis, kreatif dan inovatif. Dalam tempoh tranformasi kurikulum ini, guru haruslah bersedia menerima perubahan kerana guru merupakan individu yang bertanggungjawab menentukan kejayaan dan kegagalan kurikulum ini. Guru merupakan penggerak kepada kesinambungan kurikulum ini. Justeru itu, sebagai warga pendidik, seharusnya mereka mempunyai komitmen bersama dalam melaksanakan dasar-dasar pembangunan pendidikan bagi mencapai matlamat pendidikan.
Setiap kali berlakunya perubahan dalam kurikulum, kesediaan dan persepsi para guru terhadap sesuatu pelaksanaan perlu dititik beratkan kerana ia boleh memberi implikasi serta penilaian untuk penembahbaikan pada masa depan. Bagi para guru, adalah amat penting untuk memahami dan menghayati setiap perubahan yang berlaku dalam kurikulum agar dapat diterjemahkan dengan baik dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Para guru harus menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku dari segi kefahaman, pengetahuan, pelaksanaan dan juga kesediaan serta sikap mereka terhadap sesuatu perubahan. Semua ini memberi implikasi yang besar kepada guru dalam melaksanakan tugas mereka dengan baik serta memartabatkan profesion perguruan. Selain itu, semua pihak sewajarnya menyedari dan menerima hakikat bahawa agenda pendidikan perlu dijayakan bersama. Setiap warga pendidikan mestilah mempunyai kefahaman yang jelas dan mendalam tentang dasar, matlamat dan sasaran yang ingin dicapai serta strategi dan pelan tindakan yang akan dilaksanakan.
1.3. Pernyataan Masalah
Pengisian kurikulum bukan sahaja berkait dengan isi kandungan yang perlu diajar, tetapi cadangan perlu dibuat tentang bagaimana ia perlu diajar dan apakah aspek yang perlu diberi penekanan dalam pengajaran bilik darjah. Antara lain guru disaran menggunakan bahan manipulatif untuk membimbing pelajar membina idea yang abstrak, membuat penemuan, meningkatkan keyakinan diri, mengurangkan kebergantungan kepada guru dan memupuk budaya kerjasama. Jadi, untuk mencapai hasrat kurikulum, pendekatan pengajaran yang dicadangkan untuk diimplimentasikan dalam bilik darjah termasuklah pembelajaran koperatif, pembelajaran kontekstual dan pendekatan berasaskan konstruktisme (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2002).
Terlalu banyak bebanan tugas yang perlu dilaksanakan oleh guru, terutama guru yang berpengalaman mahupun guru yang baru.
Adakah guru dapat menghayati apa yang termaktub dalam kurikulum dan apa yang dihasratkan oleh penggubal kurikulum? Dalam pelaksanaan kurikulum, biasanya banyak yang dirancang tidak dapat dilaksanakan (Ornstein & Hunkins, 1988). Selaras denagn pendapat tersebut, Havelock dan Huberman (1977) juga menekankan walaupun pelaksanaan dan pembaharuan kurikulum melibatkan perbelanjaan yang besar, namun hanya sedikit sahaja perubahan dan pembaharuan yang menghasilkan kesan dalam menyelesaikan masalah seperti yang diharapkan. Menurut Olivia (1982) pula, kajian menunujukkan bahawa kurikulum yang dilaksanakan oleh guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta kurikulum yang dicapai oleh pelajar adalah berbeza daripada kurikulum yang diharapkan. Oleh itu, adalah sangat penting untuk mengkaji sejauh mana guru dapat mengamalkan semua penekanan pengajaran yang disarankan dalam KSSR Matematik.
Dalam hal ini, guru merupakan individu terpenting yang akan menjalankan visi dan menyampaikan ilmu dan kemahiran. Oleh itu, bagi memastikan matlamat dan objektif pelaksanaan KSSR ini tercapai, pengajaran guru amat memainkan peranan. Jadi, guru-guru ini telah dihantar mengikuti kursus dan bengkel bagi mendapatkan tatacara menjalankan pembelajaran mengikut standard. Menurut Kamus Dewan (Edisi Ketiga, 1996), maksud keberkesanan ialah menimbulkan hasil (kesudahan dan sebagainya) yang diharapkan membawa kepada sesuatu perubahan (perkembangan), efektif atau mendatangkan sesuatu pengaruh kepada pemikiran (sikap, watak dan sebagainya) seseorang atau sesuatu golongan dan lain-lain (seperti mengubah sikap, membangkitkan sesuatu kecenderungan atau perasaan dan sebagainya). Dengan kata lain, keberkesanan pengajaran diukur berdasarkan sejauh manakah hasil objektif pelajar telah dicapai melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang dirancang dan dilaksanakan. Keberkesanan dalam pengajaran dan pembelajaran memerlukan kesediaan dari semua pihak dalam melaksanakan visi dan misi pendidikan negara. Oleh itu, jelaslah bahawa keberkesanan pengajaran dan pembelajaran Matematik dalam KSSR amat bergantung kepada kesediaan guru KSSR Matematik di sekolah rendah dalam melaksanakannya.
1.4. Objektif Kajian
Berdasarkan kepada peranan utama guru sebagai pelaksana kurikulum di sekolah, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap kesediaan guru dari aspek sikap, kemahiran dan pengetahuan terhadap pelaksanaan KSSR. Kajian ini dijalankan untuk memenuhi beberapa objektif kajian. Antara objektif kajian ini ialah :
1.3.1. Untuk mengenalpasti tahap kesediaan guru Matematik dari segi sikap dan minat terhadap pelaksanaan KSSR dalam pengajaran Matematik.
1.3.2 Untuk mengenalpasti tahap kesediaan guru Matematik dari aspek pengetahuan pedagogi isi kandungan KSSR Matematik terhadap pelaksanaan KSSR dalam pengajaran Matematik.
1.3.3. Untuk mengenalpasti tahap kesediaan guru Matematik dari aspek pengetahuan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) terhadap pelaksanaan KSSR dalam pengajaran Matematik.
1.3.4 Untuk mengenalpasti tahap kesediaan guru Matematik dari aspek penguasaan kemahiran ICT terhadap pelaksanaan KSSR dalam pengajaran Matematik.
1.3.5. Untuk mengenalpasti samada terdapat hubungan signifikan antara tahap kesediaan guru Matematik terhadap pelaksanaan KSSR dalam pengajaran Matematik mengikut jantina.
1.3.6. Untuk mengenalpasti samada terdapat hubungan signifikan antara tahap kesediaan guru Matematik terhadap pelaksanaan KSSR dalam pengajaran Matematik mengikut tempoh pengalaman mengajar.
1.5. Persoalan Kajian
Berdasarkan objektif-objektif kajian yang dikemukakan di atas, antara persoalan kajian ini ialah :
1.5.1 Sejauh manakah tahap kesediaan guru Matematik dari aspek sikap dan minat guru terhadap pelaksanaan KSSR dalam pengajaran Matematik?
1.5.2. Sejauh manakah tahap kesediaan guru Matematik dari aspek pengetahuan pedagogi isi kandungan guru terhadap pelaksanaan KSSR dalam pengajaran Matematik?
1.5.3. Sejauh manakah tahap kesediaan guru Matematik dari aspek pengetahuan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) guru terhadap dalam pelaksanaan KSSR dalam pengajaran Matematik?
1.5.4. Sejauh manakah tahap kesediaan guru Matematik dari aspek kemahiran ICT guru terhadap pelaksanaan KSSR dalam pengajaran Matematik?
1.5.5. Adakah terdapat perbezaan yang signifikan dalam kesediaan guru Matematik terhadap pelaksanaan KSSR dalam pengajaran Matematik mengikut jantina?
1.5.6. Adakah terdapat hubungan yang signifikan dalam kesediaan guru Matematik terhadap pelaksanaan KSSR dalam pengajaran Matematik mengikut tempoh pengalaman mengajar?
1.6. Hipotesis Kajian
Hipotesis yang akan dikaji dalam kajian ini dibentuk berdasarkan permasalahan dan objektif kajian. Hipotesis-hipotesis yang dikemukakan adalah seperti berikut:
1.6.1. Terdapat perbezaan yang signifikan antara tahap kesediaan guru Matematik terhadap pelaksanaan KSSR dalam pengajaran Matematik mengikut jantina.
1.6.6. Terdapat hubungan signifikan antara tahap kesediaan guru Matematik terhadap pelaksanaan KSSR dalam pengajaran Matematik mengikut tempoh pengalaman mengajar.
1.7. Kerangka Teori Kajian
Kajian ini menggunakan kerangka teori reflektif Wallace (1991) yang berpendapat bahawa seseorang guru biasanya mempunyai pengetahuan dan pengalaman sedia ada yang berkaitan dengan bidang tugasnya. Apabila mengikuti latihan professional, seseorang guru itu akan mengaitkan pengetahuan yang diterimanya (received knowledge) dengan pengetahuan melalui pengalaman (experiental knowledge) yang merupakan dua sumber yang penting dalam latihan professional. Kedua-dua sumber pengetahuan tersebut mengikut Wallace saling bergantung antara satu sama lain bagi membolehkan guru lebih bersedia untuk melaksanakan tugas profesionalnya.
Rajah 1.1 : Kerangka Teori Model Reflektif Wallace (1991)
Oleh itu, bagi kajian ini penyelidik telah menggunakan kerangka teori Wallace (1991). Penyelidik telah mengubahsuai kerangka teori ini mengikut kesesuaian kajian ini.
1.8. Kerangka Konsep Kajian
Berdasarkan kajian-kajian lepas, Killen (2003) dan Griffiths dan King (1985) mengutarakan bahawa dalam pengajaran, guru perlu memastikan murid menguasai ilmu, mengembangkan kemahiran sikap dan nilai. Kesemua ini adalah kecekapan yang berkait rapat dengan tingkah laku prestasi kerja. Di samping itu, berdasarkan sorotan kajian lepas, (Bychowski, Van & Ralp, 1984; Griffiths & King, 1985;
Hamzah Ihsan, 1990; Woodrow, 1991; Indra Devi Shanmuganathan, 1997; Badrul Hisham Alang Osman, 1998; Siti Hawa Abd. Majid, 1998; Idris Md. Noor, Mohamad Daud Hamzah & Ishak Ramly, 2000;
Siti Suria Salim, 2001; Mohd. Rasdi Saamah, 2003; Wong, Kamariah Abu Bakar, Ramlah Hamzah & Rohani Ahmad Tarmizi, 2002; Lucy Sylvia @ Siti Aisyah De Rozario, 2004; Nor Ruzaini Jailani, Saharudin Suhadi, Tan & Nazifah Shaik Ismail,2004), pembolehubah kesediaaan guru adalah berdasarkan sikap, kemahiran dan ilmu pengetahuan. Selain itu, penyelidik turut menggunakan kerangka
Pengetahuan Berdasarkan Pengalaman Sedia
Ada
Pengetahuan Diterima Melalui
Latihan
Kesediaan Guru
Teori Reflektif Walllace (1991) sebagai sumber kerangka konsep kajian dan diubahsuai mengikut kesesuaian kajian ini. Berdasarkan literatur yang dinyatakan, kerangka konsep kajian dikemukakan bagi kajian ini seperti berikut:
Rajah 1 .2 : Kerangka Teori Kesediaan Guru
Daripada Rajah 1.2, penyelidik telah telah mencadangkan model persepsi guru terhadap kesediaan mereka mengikut empat aspek iaitu sikap dan minat guru, kemahiran ICT guru, pengetahuan pedagogi isi kandungan guru dan pengetahuan pentaksiran berasaskan sekolah. Penyelidik merasakan bahawa untuk mengimplementasi perubahan kurikulum, sikap guru perlu dirangsang mengikut arah tuju yang betul. Selain itu, dalam transformasi pendidikan yang dilaksanakan kini banyak menggabungkan penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran, Maka, kemahiran ICT guru diambil kira sebagai salah satu peramal untuk kesediaan guru. Di samping itu, pengetahuan tentang sistem penilaian KSSR iaitu Pentaksiran Berasaskan Sekolah juga merupakan faktor yang penting. Guru yang terlibat dalam pelaksanaan KSSR perlulah mempunyai kefahaman tentang sistem pentaksiran tersebut. Jadi, kefahaman guru terhadap sistem penilaian ini juga merupakan penentu terhadap kesediaan guru. Pengetahuan yang tinggi tentang pedagogi isi kandungan merupakan satu elemen yang penting bagi
KESEDIAAN GURU
Sikap dan minat Guru
Kemahiran ICT Guru
Pengetahuan Pedagogi Isi Kandungan Guru
Pengetahuan PBS
seorang guru agar proses pengajaran berjalan lancar dan efisien.Tambahan lagi, pengetahuan pedagogi isi kandungan guru dianggap sebagai salah satu peramal utama dalam mengukur kesediaan guru untuk mengimplementasi KSSR Matematik.
1.9. Kepentingan Kajian
Transformasi kurikulum adalah suatu tindakan yang diambil demi memastikan pendidikan yang relevan dalam menghadapi pelbagai perubahan dan cabaran dunia pada masa kini. Oleh itu menerusi kajian yang dijalankan ini, diharapkan dapat dimanfaatkan oleh penggubal dan pelaksana polisi serta pemimpin pada semua peringkat untuk memastikan keberkesananan pelaksanaan KSSR. Ini kerana berdasarkan kajian ini, dapat membantu golongan pendidik melaksanakan KSSR dengan lebih berkesan dan bertepatan dengan kehendak dan perubahan arus globalisasi dalam bidang pendidikan pada masa depan. Kaedah pengajaran yang sesuai dapat dipraktikkan dengan adanya tahap kesediaan yang cukup dalam diri setiap guru akan dapat membantu para pelajar untuk belajar dengan lebih berkesan. Seterusnya, menjurus kepada peningkatan dalam pencapaian akademik terutama matematik.
Selain itu, kajian ini juga dapat membantu para guru agar lebih prihatin dan sensitif berhubung dengan persediaan untuk proses pengajaran yang efektif. Maklumat yang dikumpulkan akan membantu pemahaman lebih mendalam berhubung, tahap sikap, minat, kemahiran ICT dan pengetahuan pedagogi guru yang terlibat.
Para guru Matematik yang terlibat dalam pelaksanaan KSSR perlu menjalankan tugas mereka mengikut standard kurikulum yang telah ditetapkan. Mereka perlu membuat refleksi terhadap kesediaan
mereka sendiri agar mereka betul-betul memahami perubahan pendidikan yang mereka laksanakan serta membuat anjakan paradigma yang sepatutnya. Adalah diharapkan kajian ini akan memberikan maklumat yang berguna kepada guru yang bertindak sebagai pemacu transformasi kurikulum ini. Segala bentuk tindakan yang akan diambil di dalam menangani transformasi ini adalah penting untuk kebaikan bersama kearah meningkatkan kualiti dan martabatkan profesion pendidikan di negara kita.
1.10. Batasan Kajian
Kajian yang dijalankan ini memfokuskan kepada guru-guru matapelajaran Matematik. Jadi responden yang dipilih adalah terhad kepada guru-guru Matematik yang terlibat dalam pelaksanaan KSSR sahaja. Selain itu, kajian ini juga hanya menumpukan tahap kesediaan dari aspek minat dan sikap, kemahiran ICT, pengetahuan pedagogi isi kandungan dan pengetahuan PBS terhadap KSSR Matematik.
Tambahan lagi, dapatan kajian ini juga bergantung kepada kejujuran maklum balas responden terhadap semua soalan dan pernyataan yang dikemukakan dalam borang soal selidik.
1.11. Definisi Operasional
1.11.1. Kesediaan Guru
Guru memainkan peranan utama dalam menentukan kualiti implementasi mana-mana polisi pendidikan yang baharu (Fullan, 1993). Sering kali perubahan dalam pendidikan telah gagal disebabkan kurangnya perhatian diberikan kepada aspek pelaksanaan, khususnya keperluan para pelaksana (Wearmouth, Edwards &
Richmond, 2000). Oleh yang demikian, usaha untuk menyelidiki kesediaan para guru dalam implementasi mana-mana program pendidikan yang baharu perlu dilakukan kerana ia boleh menentukan kejayaan sesuatu program baharu itu.
1.11.2. Sikap Guru
Sikap guru memainkan peranan yang penting dalam proses pendidikan (Muller, Husband, Christou & Sun, 1991). Jadi untuk melaksanakan sesuatu kurikulum, guru hendaklah terlebih dahulu memahami dan menghayati falsafah dan matlamat kurikulum. Oleh yang demikian, guru yang bertanggungjawab haruslah mempunyai minat dan untuk melaksanakan kurikulum yang berkesan.
1.11.3 Pengetahuan Pedagogi Isi Kandungan
Mengikut sejarah, perkataan pedagogi berasal dari perkataanYunani pedagogue yang bermaksud seorang tutor atau pendidik yang mempunyai bakat dan kebolehan melaksanakan tugas- tugas pengajaran secara berkesan. Oleh kerana ilmu pedagogi sentiasa berkembang dari semasa ke semasa, maka konsep pedagogi juga berubah mengikut perkembangannya. Pengetahuan pedagogi kandungan ialah satu model perspektif yang luas untuk memahami proses pengajaran dan pembelajaran. Menurut Shulman (1987), elemen yang penting dalam pengetahuan pedagogi kandungan ialah pengetahuan tentang cara bagaimana isi pelajaran boleh disampaikan kepada pelajar dengan berkesan dan memahami masalah pembelajaran yang dihadapi oleh pelajar, khususnya dalam isi pelajaran tersebut. Oleh yang demikian, dalam kajian ini, penyelidik memberi tumpuan kepada Pengetahuan Pedagogi Isi Kandungan yang
menjadi asas tujuan sesuatu mata pelajaran yang diajar di sekolah dan kandungannya adalah yang terdapat dalam sukatan pelajaran yang digubal oleh Pusat Perkembangan Kurikulum.
1.11.4. Pengetahuan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)
Pentaksiran adalah sebahagian daripada proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, membuat skor dan menterjemahkan maklumat tentang pembelajaran seseorang pelajar bagi sesuatu tujuan tertentu (Lembaga Peperiksaan Malaysia, 2011). Justeru itu, pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan salah satu transformasi pendidikan negara yang tidak lagi berorientasikan peperiksaan sepenuhnya bagi melahirkan modal insan yang holistik. Walau bagaimanapun, pelaksanaan PBS bukanlah satu tugas yang mudah. Justeru itu, tindakan segera haruslah diambil untuk memberi panduan kepada guru-guru dalam menjayakan pelaksanaan PBS. Tambahan lagi, untuk menjayakan matlamat Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) yang melibatkan pengurangan kepada peperiksaan awam, pentaksiran yang berterusan, membaiki pembelajaran murid, pentaksiran yang lebih holistik dan membina modal insan yang seimbang.
1.11.5 Kemahiran ICT
Dalam era digital ini, komputer digunakan untuk menyelesaikan masalah. Salah satu penggunaan Information Communication Technology (ICT) dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) ialah melalui penggunaan komputer. Di negara kita, pengetahuan dan penggunaan komputer di sekolah semakin berkembang. Tambahan lagi, pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan
Sekolah (PBS) dalam KSSR memerlukan kemahiran ICT yang baik.
Sehubungan itu, adalah amat penting sekali para guru dapat mengintegrasi ICT dan melaksanakan PBS dengan lebih lancar.
1.12. Penutup
Perubahan kurikulum atau lebih dikenali sebagai satu tranformasi kurikulum adalah suatu perkara yang memang dijangka akan berlaku. Sejajar dengan perubahan arus permodenan negara yang menuju kearah sebuah negara maju serta mempunyai rakyat yang berpendapatan tinggi, sudah pasti sokongan yang amat kuat diperlukan dalam sistem pendidikan. Ini kerana bagi melahirkan modal insan yang benar-benar berilmu pengetahuan dan berketrampilan memacu kemajuan negara, mereka haruslah melalui satu sistem pendidikan yang benar-benar mantap dari semua aspek kehidupan. Namun begitu, dalam merangka perubahan kurikulum, pelbagai aspek harus dilihat dan dipertimbangkan sebelum sesuatu keputusan itu dibuat dan dapat dilaksanakan dengan baik. Peranan semua pihak amat penting terutama mereka yang secara terus berhadapan dengan kurikulum serta sentiasa bersedia menerima sesuatu perubahan.