DESKRIPSI PANDUAN KURSUS
Anda perlu membaca Panduan Kursus dengan berhati-hati dari awal sehingga akhir. Ia menyatakan kandungan kursus dengan ringkas dan bertujuan membantu anda memahami kandungan kursus. Ia juga mencadangkan jumlah tempoh masa untuk anda habiskan bagi melengkapkan kursus ini dengan sepenuhnya. Sentiasalah rujuk Panduan Kursus secara berterusan semasa anda membaca kandungan kursus kerana ia dapat membantu dalam menjelaskan komponen-komponen pembelajaran panting yang mungkin anda terlepas pandang.
PENGENALAN
ADSE3103 Pengukuran dan Penilaian dalam Pendidikan adalah kursus Open University Malaysia (OUM) yang diuruskan oleh Fakulti Sains Sosial Gunaan. Kursus ini bernilai 3 jam kredit dan harus dijalankan dalam tempoh 8 hingga 15 minggu.
KEPADA SIAPA KURSUS INI DITAWARKAN
Kursus ini diwajibkan kepada pelajar yang mengikuti program Sarjana Muda Sastera (Pengajian Melayu). Modul ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan asas dan menyeluruh kepada pelajar yang mengikuti program tersebut. Para pelajar didedahkan kepada latar belakang sejarah pembinaan pengajian Melayu, jurusan dan bidang, ruang lingkup, isu dan kerelevanannya kepada negara.
Sebagai pelajar jarak jauh, anda seharusnya fasih dengan keperluan pembelajaran kendiri dan mampu mengoptimumkan kaedah pengajaran-pembelajaran serta persekitaran yang ada. Sebelum anda memulakan kursus ini, sila pastikan anda maklum dengan bahan kursus, kelayakan kursus dan bagaimana kursus tersebut dikendalikan.
PERUNTUKAN MASA PEMBELAJARAN
Berdasarkan piawaian OUM, seorang pelajar itu perlu memperuntukkan 40 jam pembelajaran bagi setiap jam kredit. Selaras dengan piawaian ini, kursus yang bernilai tiga jam kredit memerlukan masa selama 120 jam pembelajaran. Anggaran masa pembelajaran ialah seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1.
Jadual 1: Anggaran Masa Pembelajaran
Aktiviti Pembelajaran Jam
Pembelajaran Membaca kandungan kursus dan mengambil bahagian dalam
perbincangan awal
3
Membaca modul 60
Menghadiri 3 hingga 5 sesi tutorial 10
Perbincangan atas talian 12
Ulang kaji 15
Menyiapkan tugasan, Ujian dan Peperiksaan 20
JUMLAH MASA PEMBELAJARAN 120
OBJEKTIF KURSUS
Setelah mengikuti kursus ini, anda seharusnya dapat:
1. Menjelaskan konsep pengujian, pengukuran, penilaian dan objektif pengajaran;
2. Menghuraikan jenis-jenis ujian dan kaedah penilaian serta kaedah pengukuran yang digunakan dalam pendidikan;
3. Membina Jadual Penentuan Ujian, item objektif dan subjektif ujian untuk mengukur dan menilai pencapaian pelajar;
4. Menjelaskan tentang beberapa kaedah menganalisis soalan dan ujian yang perlu dibuat untuk memastikan soalan dan ujian sesuai digunakan;
5. Memahami konsep dan pengertian kaedah statistik asas yang digunakan untuk menganalisis skor/data daripada ujian;
6. Menjelaskan bagaimana ujian ditadbir dan aspek-aspek penting di dalam mentadbirkan sesuatu ujian; dan
7. Menyediakan pelaporan penilaian dan penyimpanan rekod penilaian.
SINOPSIS KURSUS
Mata pelajaran Pengukuran dan Penilaian dalam Pendidikan ini disediakan untuk membolehkan para pelajar memahami konsep dan menggunapakai kaedah pengukuran dan penilaian yang diperlukan dalam konteks pendidikan serta memahami isu-isu di dalam pengukuran dan penilaian. Pelajar didedahkan tentang tujuan penilaian di dalam pendidikan, aras kesukaran dan diskriminasi item, aras kebolehpercayaan dan kesahan ujian, jenis alat ukuran, format item ujian, pentadbiran ujian dan pemeriksaan kertas jawapan. Selain pengetahuan, pelajar juga diberi kemahiran membina jadual penentu ujian; mengira pekali kesukaran dan diskriminasi item, kebolehpercayaan dan kesahan ujian, kolerasi dan regresi antara markat ujian; markat piawai; serta membuat penilaian dan pelaporan penilaian.
Topik 1 membincangkan konsep pengujian, pengukuran dan penilaian. Ia turut membincangkan aspek aras ukuran serta kepentingan penilaian di dalam bilik darjah
Topik 2 menjelaskan fungsi objektif pengajaran yang dapat membantu guru di dalam menyediakan alat pengukuran yang berkesan, sesuai dan bertepatan dengan objektif penilaian. Topik ini juga menjelaskan pelbagai peringkat objektif pengajaran bagi Domain Kognitif, Domain Afektif, Domain Psikomotor dan Domain Sosial.
Topik 3 membincangkan jenis ujian dan jenis penilaian. Jenis ujian adalah seperti ujian kecerdasan, prestasi, diagnostik, kecekapan, bakat, personaliti, rujukan norma dan rujukan kriteria. Jenis penilaian pula meliputi Penilaian Rujukan Norma, Penilaian Rujukan Kriteria, Penilaian Formatif dan Penilaian Sumatif. Ia juga membincangkan kaedah pengukuran melalui pemerhatian, lisan, penulisan dan pertimbangan professional dan potfolio.
Topik 4 memberi penjelasan tentang penyediaan Jadual Penentu Ujian (JPU) yang dapat memberi panduan kepada penggubal ujian, bagi memastikan soalan ujian yang digubal itu memiliki kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi. Topik ini juga membincangkan pembinaan item ujian yang melibatkan soalan objektif dan subjektif.
Topik 5 menjelaskan beberapa kaedah menganalisis soalan dan ujian yang perlu dibuat bagi memastikan ianya sesuai untuk digunakan. Analisis ini meliputi kebolehpercayaan ujian dan kesahan ujian. Topik ini juga turut membincangkan kaedah pengiraan untuk mendapatkan indeks kesukaran, diskriminasi, kebolehpercayaan dan kesahan.
Topik 6 mendedahkan beberapa kaedah asas statistik yang digunakan di dalam bidang pengukuran dan penilaian. Ianya juga menjelaskan penggunaan angka dan grafik untuk menggambarkan taburan data, iaitu penggunaan kekerapan, histogram dan carta pai. Pengiraan pekali kolerasi dan regresi turut dibincangkan.
Topik 7 membincangkan bagaimana ujian seharusnya ditadbir dan aspek-aspek yang perlu diberikan perhatian oleh guru/pengawas ujian dalam mentadbirkan sesuatu ujian. Selain itu, topik ini juga membincangkan penyelarasan pemarkahan, pemeriksaan skrip jawapan dan penilaian markah ujian.
PANDUAN SUSUN ATUR TEKS
Sebelum anda membaca modul ini, adalah penting sekiranya anda ambil tahu akan susun atur teks modul. Memahami susun atur teks akan membantu anda untuk merencanakan pembelajaran kursus supaya lebih objektif dan berkesan. Amnya, susun atur teks bagi setiap topik adalah seperti berikut:
Hasil Pembelajaran: Ia merupakan apa yang anda harus dapat lakukan atau capai setelah selesai membaca sesuatu topik. Setelah selesai membaca setiap topik, anda digalakkan merujuk kepada senarai hasil pembelajaran berkenaan untuk memastikan sama ada anda dapat atau tidak mencapainya. Amalan seperti ini akan dapat mengukur dan mempertingkatkan penguasaan kandungan sesuatu topik.
Semak Kendiri: Soalan-soalan diselit pada bahagian-bahagian tertentu dalam sesuatu topik. Soalan-soalan ini menguji kefahaman tentang maklumat yang anda telah baca. Jawapan untuk soalan-soalan ini biasanya terdapat dalam perenggan-perenggan yang sebelumya. Anda digalakkan menjawab soalan-soalan semak kendiri ini untuk menguji dan memastikan sama ada anda telah memahami kandungan sesuatu topik atau tidak dan seterusnya menyediakan anda menghadapi ujian dan peperiksaan kelak. Kebanyakan jawapan kepada soalan-soalan yang ditanya terdapat di dalam modul itu sendiri.
Aktiviti: Aktiviti-aktiviti juga diselit pada bahagian-bahagian tertentu dalam sesuatu topik dengan tujuan menggalakkan anda mengaplikasikan konsep dan prinsip yang anda telah pelajari kepada situasi sebenar. Aktiviti-aktiviti ini juga memperluaskan kefahaman kandungan yang dipelajari dengan menggalakkan anda melakukan sesuatu seperti berfikir secara mendalam, memberi pendapat, berbincang bersama rakan dalam kelas, merujuk kepada laman web, membaca artikel jurnal dan seumpamanya.
Rumusan: Di akhir sesuatu topik, isi-isi penting topik tersebut disenaraikan. Komponen ini membantu anda untuk mengingat dan mengimbas kembali keseluruhan topik. Anda haruslah memastikan bahawa anda memahami setiap pernyataan yang disenaraikan. Jika tidak, sila kembali membaca topik berkenaan. Kata Kunci: Di akhir topik, disenaraikan beberapa perkataan dan frasa penting yang digunakan di dalam topik berkenaan. Anda mesti dapat menjelaskan setiap perkataan dan frasa ini. Jika tidak, sila kembali membaca topik berkenaan.
Rujukan: Rujukan adalah bahagian di mana senarai buku teks, jurnal, artikel, kandungan elektronik atau sumber-sumber yang boleh ditemui yang berkaitan dan berguna dalam melalui modul atau kursus. Senarai ini boleh dilihat di dalam beberapa bahagian seperti di dalam Panduan Kursus (di bahagian Rujukan), di akhir setiap topik atau di akhir modul. Anda digalakkan membaca bahagian-bahagian yang berkaitan dalam senarai rujukaan tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut dan memperkukuhkan kefahaman anda.
PENGETAHUAN ASAS
Pelajar tidak perlu mempunyai pengetahuan asas untuk mengikuti kursus ini.
KAEDAH PENILAIAN
Sila rujuk myINSPIRE.
RUJUKAN
Asmah Hj. Omar. (1991). Kepelbagaian fonologi dialek Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Aziz Deraman. (2006). Sejarah masyarakat dan budaya Melayu. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Collins, J. T. (2005). Bahasa Melayu bahasa dunia: Sejarah ringkas. Jakarta: Yayasan Obor.
Harun Mat Piah, et al. (2000). Kesusasteraan Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Herkovits, M. J. (1958). Cultural anthropology. Calcutta: Oxford & IBH Publishing.
Mohd Taib Osman. (1988). Kebudayaan Melayu dalam beberapa persoalan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sneddon, J. (2005). Indonesian language: Its history and role in modern society. Sydney: UNSW Press.
Syed Mohd Naquib al-Attas. (1990). Islam dalam sejarah dan kebudayaan Melayu. Petaling Jaya: ABIM.
Ungku Maimunah Mohd Tahir. (2001). Readings in modern Malay literature. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Winstedt, R.O. (1967). The Malays: A history and culture. London: Routledge & Kegan Paul.
PERPUSTAKAAN DIGITAL TAN SRI DR
ABDULLAH SANUSI (TSDAS)
Perpustakaan Digital TSDAS mempunyai pelbagai sumber bercetak dan atas talian untuk kegunaan pelajar. Perpustakaan digital komprehensif ini, yang boleh dicapai melalui portal OUM, menyediakan akses kepada lebih daripada 30 pangkalan data yang meliputi jurnal, tesis dan buku dalam format elektronik serta banyak lagi. Contoh pangkalan data yang ada ialah EBSCOhost, ProQuest, SpringerLink, Books24x7, InfoSci Books, Emerald Management Plus dan Ebrary Electronic Books. Sebagai pelajar OUM, anda digalakkan untuk menggunakan sepenuhnya sumber-sumber yang terdapat di perpustakaan ini.