seminar falsafah malaysia iv institut penyelidikan anwar ibrahim &ogos
Nausea
: Sartre dan Bicara Kewujudan
fauzi naeim mohamed
La Nausée(Inggeris:Nausea; Melayu: Mual, diterbitkan pada 1938) oleh Jean-Paul Sartre (1905-1980) bukanlah sebarang novel biasa, tetapi satu novel falsafah.1 Dalam kata lain, ia adalah satu penyataan eksistensialisme oleh Sartre. Ia memperihalkan satu gagasan tentang bagaimana manusia wujud; sebagai satu unit kecil dalam masyarakat sosial, namun besar dalam meraikan kegelisahan individu. Sebagai satu karya novel, ia amat unik, puitis lagi mendalam. Sebagai karya seni, ia adalah antara yang terbaik pernah dicapai oleh tamadun manusia. Saya meletakkannya setaraf dengan kesusasteraan hebat Barat lain sepertiL’Étranger(The Stranger, 1942) oleh Albert Camus, The Grapes of Wrath(1939) oleh John Steinbeck dan hampir setaraf denganPrestupleniye i nakazaniye(Crime and Punishment, 1866-1867) oleh Fyodor Dostoevsky, hampir setaraf juga dengan Also sprach Zarathustra: Ein Buch für Alle und Keinen(Thus Spoke Zarathustra: A Book for All and None, 1883-1885) oleh Friedrich Nietzsche. Nausea melonjakkan bukan sahaja nama Jean-Paul Sartre ke pentas budaya dunia, tetapi menaikkan pemikiran eksistensialisme sebagai satu gagasan ilmiah penting di dalam pengajian Kontinental. Sartre, yang juga seorang penulis teater, di dalam satu syarahannya pada 1945, berkata bahawa eksistensialisme ialah, ‘percubaan untuk menarik semua akibat daripada posisi ateisme yang konsisten’.2
Eksistensialisme (atau kadang-kala, saya sebutkan juga sebagai wujudiah) meletakkan manusia sebagai pusat bagi lokasi ilmu, di
1Untuk sepanjang makalah, sumber buku Nausea oleh Sartre dipetik daripada terjemahan Lloyd Alexander, (New York: New Directions, 2007).
seminar falsafah malaysia iv
mana kewujudan boleh dirasai dan didramatikkan.
Nausea sebenarnya merupakan karya novel terawal oleh Sartre (atau nama asalnya Jean-Paul-Charles-Aymard Sartre), dan diter-bitkan dua tahun selepas karya falsafahnya pertama,L’imagination (Imagination: A Psychological Critique, 1936) dan lima tahun sebelum karya falsafah agungnya,L’Être et le Néant (Being and Nothingness, 1943).3 Walaupun beliau banyak menulis,Nauseamasih merupakan
karya novelnya paling terkenal, diikuti denganLe Mur (The Wall, 1939). StrukturNauseaialah seperti tulisan diari, namun ia adalah fiksyen. Gayanya realisme, amat deskriptif. Hero novel ini ialah Antoine Roquentin yang sedang cuba menulis sejarah Marquis de Rollebon, seorang diplomat dari kurun ke-18. Saya sendiri pun tidak pernah mengenali siapa Rollebon sebelum ini, dan sepanjang pembacaanNausea, tidak begitu mengambil berat tentang siapa Ro-llebon. Saya anggap watak ini sebagai salah satu peranti oleh Sartre untuk mencipta suasana bosan borjuis Perancis, satu elemen penting apabila bercerita tentang wujud: Bukankah manusia kontemporari mudah bosan dengan benda sehariannya, dan maka, sering rasa kosong di dalam jiwanya? Di dalam temu bual bersama Madeleine Chapsal pada 1959, Sartre berkata, ‘Perasaan kekosongan: seorang penulis begitu bernasib baik sekiranya dia dapat mencapai keadaan sedemikian. Kerana apabila seseorang tiada apa untuk dicakapkan, seseorang itu boleh bercakap segala-galanya’.4 Roquentin dilakarkan
sebagai manusia yang amat pasif, gemar berfikir, amat rajin menulis diari, suka berjalan ke sana dan ke mari, tetapi sebenarnya kesepian. Dia merindui seorang wanita bernama Anny, dan mereka hanya dapat bertemu kembali (dalam dialog panjang yang amat menarik) pada hampir penghujung cerita. Anny kemudiannya meninggalkan dia, kerana dia hanya mahukan ‘waktu sempurna’, sesuatu yang baginya, Roquentin sering gagal memahami apabila bersamanya.
Di sebalik semangat eksistensialisme, Nausea adalah naratif ten-tang Bosan. Roquentin menulis bukan sahaja untuk menghindarkan daripada kebosanan, tetapi menulis sebagai Insan Bosan. Sebagai contoh, setelah menjenguk di luar tingkap di biliknya, Roquentin berlegar di sekitar bilik: ‘Aku menarik diriku daripada tingkap dan tersandung seluruh kamar; aku merekatkan diriku berhadapan cermin. Aku merenung diriku, aku mencemuh diriku; satu lagi
3KaryaBeing and Nothingness, setakat makalah ini dilakukan, masih belum lagi diterjemahkan ke Bahasa Melayu.
. fauzi naeim mohamed abad. Akhirnya aku melarikan diri daripada imejku dan rebah di atas katil. Aku melihat siling, aku inginkan tidur’.5 Roquentin kelihatan begitu gelisah sekali, tetapi keinginannya untuk tidur diganggu oleh sesuatu perasaan janggal yang melekap di dalam dirinya. Dalam waktu lain, Roquentin menulis: ‘Tiada yang berubah namun kesemuanya ialah berbeza’.6 Benda berubah – apabila
persepsi berubah. Selintas merenung cermin, dan masa berubah, menjadi satu abad atau dua; namun wajah manusia (atau melihat wajah sendiri) masih lagi sesuatu yang amat menjakunkan bagi Roquentin.
Kehidupan, bagi Sartre, ialah pilihan dan hak bagi setiap individu. Kebebasan inilah yang menyebabkan Sartre sering mengingatkan pembacanya tentang tanggungjawab sebagai manusia, bahawa ma-nusia dilihat dan diadili berdasarkan perbuatannya, ‘kau tiada apa selain apa yang kau buat untuk diri kau’.7 Seperti kata-kata Sartre
yang agak terkenal: ‘Apa-apa sahaja keadaan dan di mana sahaja tempat, seorang manusia sentiasa bebas untuk memilih untuk jadi pengkhianat atau tidak’. Pendapat ini berbeza dengan seorang eksistensialis sebelum Sartre, yakni Nietzsche, yang lebih pesimis, lagi lantang dan lagi kasar menghukumi. Di dalam The Will to Power, Nietzsche menulis, ‘Seseorang tidak mempunyai hak untuk wujud atau untuk kerja, apatah lagi hak untuk “kebahagiaan”: individu manusia adalah tepatnya, sama kes seperti cacing yang paling bawah’.8 ‘Kehidupan cumalahcarauntuk sesuatu; ia adalah ekspresi bagi bentuk-bentuk pertumbuhan kuasa’.9 Kehidupan tidak
lain tidak bukan penambahan kuasa, maka – sentiasakedahagaan kuasa. Projek manusiawi moden bagi Nietzsche telah lama gagal. Dalam perenggan lain, beliau menyebut: ‘Manusia ialah cuma bahan eksperimen, lebihan kegagalan besar; satu padang kerun-tuhan.10 Yang meruntuhkan padang manusia, bagi Nietzsche, ialah moral yang dipengaruhi Kuasa Gereja. Walaupun terdapat banyak perbezaan di antara Nietzsche dan Sartre, saya yakin Nietzsche akan bersetuju sekiranya terbaca unjuran Sartre terhadap falsafah eksistensialisme, satu ‘falsafah kemanusiaan tentang tindakan, usaha,
5Sartre 2007,hlm. 31, terjemahan saya. 6Sartre 2007,hlm. 54, terjemahan saya. 7Sartre 2013,hlm. 88.
8Nietzsche 1968,§. 759, terjemahan saya. 9Nietzsche 1968,§. 706, terjemahan saya. 10Nietzsche 1968,§. 713, terjemahan saya.
seminar falsafah malaysia iv
lawan, dan solidariti’.11 Selain daripada bersama kongsi kepercayaan
ateis, Sartre dan Nietzsche lantang mengkritik nilai-nilai masyarakat Eropah sezaman, dan kedua-duanya amat meraikan kegelisahan sebagai medan di mana manusia boleh berindividu dan mampu berestetika. Bagi Sartre, menjadi manusia bertanggungjawab bererti tidak dapat lari daripada bersama dengan perasaan kegelisahan. Ini juga kenapa Roquentin dalamNauseadipakaikan dengan jubah yang sarat dengan gelisahan. Cuma, gelisahnya sedikit lain – dia gelisah apabila penglihatannya dibutakan oleh pancaran lemah wujudiah!
Roquentin mempunyai satu penyakit yang agak unik: Dia begitu sensitif terhadap kewujudan. Apabila dia merasai kewujudan, dia mulai rasa pening; kerana begitu gayat dengankesedaranterhadap kewujudan. Dia memanggil perasaan iniNausea, yang mana saya terjemahkan di sini sebagai Mual.12 Roquentin menulis, ‘Aku
mempunyainya, kotoran ini, Mual’.13 Perasaan Mual ini dilihat pada
awalannya sebagai begitu menjijikkan namun selepas pertengahan novel, dia merasakan Mual bukan lagi sesuatu yang mengejikan, tetapi sesuatu yang sudah begitu sebati di dalamnya, sesuatu yang tidak dapat dia larikan diri kerana ia adalah hakikat kehidupannya.
Surat-surat awalNauseaadalah cubaan Roquentin merakamkan penyakit ini: ‘Tiba-tiba Mual merampasku, aku jatuh ke duduk kerusi, aku tidak lagi tahu di mana aku berada; aku lihat warna berputar perlahan di keliling, aku mahu muntah. Dan sejak daripada ini, Mual tidak lagi meninggalkanku, ia mendakap aku’.14 Kadang-kala beliau menulis: ‘Aku adalah spring patah: Aku boleh menggerakkan mataku tetapi tidak kepalaku. Kepala ini begitu mudah dilentur dan anjal. Seperti ia telah diletak dengan begitu mudahnya di atas leherku; sekiranya aku memusingkan ia, ia akan luruh jatuh’.15 Kita boleh lihat bagaimana Mual menjadikan Roquentin begitu terpencil sekali dengan fizikal anatominya. ‘Apa-apa pun, aku terdengar nafas pendek dan sesekali, daripada sudut mataku, aku lihat kilatan kemerahan ditutupi oleh rambut. Ia adalah tangan’.16 Lihat bagaimana terasingnya badan manusia, dan betapa absurd suasana yang cuba dicipta oleh Sartre. Tangan Roquentin
11Sartre 2013,hlm. 91, terjemahan saya.
12Saya menggunakan huruf besar M untuk mual, serasi dengan Sartre yang menggunakan huruf besar N untukNausea.
13Sartre 2007,hlm. 18, terjemahan saya. 14Sartre 2007,hlm. 18-19, terjemahan saya. 15Sartre 2007,hlm. 19, terjemahan saya. 16
. fauzi naeim mohamed ialah cuma “kilatan merah ditutupi rambut”. Kesedaran secara tiba-tiba ini begitu menakjubkan bagi Roquentin. Kenapa ada “benda tangan” di sekitar badannya? Apa yang dibuatkannya sekarang? Kenapa ia bergerak? Kenapa iabolehdigerakkan oleh pemikirannya? Nauseaadalah sarat dengan rakaman Roquentin terhadap rasa dan jiwa Mual. Beliau cuba memahami dan menukil apa yang dialaminya: ‘Mual bukannya berada di dalam aku: aku merasainya di luar sana pada dinding, di dalam suspenders, di mana-mana persekitaranku. Ia menjadikan dirinya bersatu dengan kafe, akulah sebenarnya yang berada di dalamnya’.17 Mual berada di luar sana, mengelilinginya, memerangkapnya, sehingga Roquentin berasa dia dan perkitarannya bersatu. Ini bukan lagi persoalan Mualberadadi dalam dirinya, tetapi dirinya sendiri yang berada dalam kemualan. Dia Mual kerana serangan Wujud terhadapnya. Untukberwujudadalah satu kesedaran biasa, namun bagi Roquentin, ia adalah satu perkara yang meloyakan sekali, tetapi pada masa yang sama, cukup membe-rikan kesegaran kepada rohnya. Jakunnya terhadap apa-yang-wujud adalah begitu memberahikan. Di dalam pengalamannya mengamati benda, ada benda asing yang sebati dengan benda tersebut, yang menular dan menjulang dalam kesebatiannya. Dia tidak demam, tetapi dek serangan kewujudan – fizikalnya seperti sesuatu yang begitu asing sekali. Dia sedar – dalam Mual, dia telah bersatu dengan kewujudannya. Ia bukan lagi seperti Descartes – ‘aku fikir; maka aku ada’ – tetapiaku wujud, maka aku terindividu. Kesedaran yang begitu tajam sekali terhadap kewujudan, bagi Sartre, ialah satu perkara yang begitu mengancam sekali. Sebabnya manusia dapat hidup dengan aman berlaku kerana pengalaman berwujudiah sudah bertukar menjadi simbol-simbol harian yang bermakna. Bayangkan pula sekiranya tiba-tiba manusia merasa makna sudah tergelincir daripada kebiasaannya; yang tinggal cumalah zat “ada” yang begitu melulu keluar daripada permukaan benda. Ia begitu mengancam sekali. “Ada”, yang begitu lama bertapakdi dalampermukaan benda, yang menggelupur sebagaiintipatikebendaan, ialah apa yang sering dilupai manusia, kerana ia sudah berubah menjadi mitos bagi simbol, dan hanya sebagai simbol sajalah bagaimana manusia berupaya berhadapan dengan benda. Apabila Mual melandanya, Roquentin menulis:
Aku bertambah suam, aku mulai rasa gembira. Tiada yang pelik tentang ini, ia cuma kegembiraan kecil bagi Mual: ia merebak di bahagian bawah
seminar falsafah malaysia iv
lopak likat, di bawah masa kita – masa bagi suspenders ungu dan tempat duduk kerusi yang pecah; ia diperbuat daripada seketika yang lebar dan lembut, yang merebak di pinggiran, seperti kesan minyak. Baru sahaja hidup, ia sudah tua, nampaknya seperti aku sudah mengenalinya selama dua puluh tahun.18
Sartre cuba menggambarkan bentuk penyakit wujud ini: ‘ia diperbuat daripada seketika yang lebar dan lembut, yang merebak di pinggiran, seperti kesan minyak’. Beliau memberikanimejkepada rasa wujud yang bertalu, namun imejnya diperbuat dalam bentuk berkontra di antara satu sama lain. Sudah pastinya – kerana kewujudan sentiasa bersifat paradoks. Wujud ialah apa yang menyebabkan manusia boleh hidup, namun ia adalah benda pertama yang manusia lupa dalam kehidupan seharian sejak bangkit tidur (‘Alamak, aku dah lewat nak bentang makalah di Kajang!’) hinggalah kembali tidur di katil (‘Aku nak rehat kejap, nanti sambung balik tulis makalah’). Ada sebabnya kenapa Sartre menukil sebagai novel fiksyen dan bukannya sebagai teks falsafah: supaya beliau dapat bermain dengan prosa kata, dapat mencipta watak dan suasana, sesuatu yang sedikit susah (walaupun Nietzsche sering bermain dengan kata-kata dalam penulisannya!) kalau dibandingkan dengan penulisan falsafah biasa. Dalam kata lain ia juga dapat memberikan Sartre ruang untuk bereksperimen tanpa memberikan penjelasan sepenuhnya kepada pembaca.
Bahasa puitis amat penting dalam penulisan Sartre. Beliau sering menarik-carik bahasa supaya dapat mencedok zatnya. Ini sebabnya Sartre amat meraikan penyair. Bagi Sartre, para penyair mempunyai ciri berbeza apabila menggunakan bahasa. Ia bukan lagi perihal penyair menggunakan perkataan, tetapi penyair sebagai satu landasan di mana dia boleh dikuasai oleh bahasa sehingga bahasa merupakan apa yang merubah pergerakannya dan cara dia berhadapan dengan dunia. Sartre menulis di dalam What is Literature?(Qu’est-ce que la littérature?):
Bagi para penyair, bahasa ialah struktur bagi dunia luar. Penutur bahasa berada dalam satu situasi dalam bahasa; dia dilaburi oleh perkataan. Mereka (perkataan) ini ialah pemanjangan bagi derianya, ragumnya, antenanya, cermin matanya. Penyair mengendali mereka daripada dalaman; dia merasakan mereka seperti mereka adalah badannya; dia dikelilingi oleh satu badan lisan yang dia tidak berapa sedar dan yang
. fauzi naeim mohamed mana memanjangkan pergerakannya terhadap dunia. Penyair adalah di luar bahasa. Dia melihat bahagian terbalik sisi bahasa.19
Dalam hal ini, penyair berhadapan teks sama seperti melihat dirinya sebagai cermin, yakni sebagai alat merefleksi diri. Sartre menulis: ‘Kerana perkataan, yang mana mengoyak penulis prosa jauh daripada dirinya dan melemparkan dia keluar ke dunia, meng-hantar kembali kepada penyair imejnya sendiri, seperti cermin’.20
Di dalam perenggan lain, beliau berkata: ‘Maka, tentang bahasa, ia adalah cangkerang kita dan antena kita; ia melindungi kita daripada orang lain dan memberitahu kita tentang mereka; ia adalah pemanjangan deria kita, mata ketiga yang mana akan melihat ke dalam jiran kita punya hati’.21 Bahasa dianggap sebagai salah satu organ badan pentinguntuk manusia merasai dunia, menyentuh dunia. Sebagai mata ketiga memahami dunia, ia juga adalah apa yang merubah benda kepada benda lain, mengusir kebiasaan supaya menimbulkan kejanggalan. Ini gaya penulisan yang dibuat secara konsisten oleh Sartre dalamNausea. Menyedari wujudiah kebendaan bererti mengghairahkan kejanggalan kebendaan tersebut menerusi naratif berbeza terhadap kebendaan. Mual, kadang-kala, disebutnya seperti, ‘jatuh perlahan-lahan ke dalam air yang dalam, ke arah ketakutan’22; menyentuh kertas, tiba-tiba ‘dia berasa dia tidak lagi
bebas’.23 Tangannya dilihat seperti tangan ketam, yang menjalar di sekitar badannya. Gema Kosong terlalu kuat. Roquentin wujud, wujud, wujud. ‘Aku sandarkan tanganku di atas tempat duduk kemudian menariknya serta-merta: ia wujud’.24 Roquentin terkejut apabila tempat duduk itu begitu wujud sekali pada amatannya, sampai badannya tergamam seketika. Untuk menenangkan hatinya, Roquentin menyebut “tempat duduk”, namun perkataan yang diucapnya ini tidak pula pergi ke arah kerusi; ‘ia menolak untuk pergi dan meletakkan dirinya di atas benda’.25 Apabila Roquentin begitu kemuncak dalam Mual, alam hanyalah manifestasi rasa Muntah. Apabila berjalan di taman dia tercium bau muntah taman. Apa yang dimuntahkan oleh taman tidak lain ialah Wujud. Dalam
19Sartre 1988,hlm. 30, terjemahan saya. 20Sartre 1988,hlm. 30-31, terjemahan saya. 21Sartre 1988,hlm. 35, terjemahan saya. 22Sartre 2007,hlm. 8, terjemahan saya. 23Sartre 2007,hlm. 9, terjemahan saya. 24Sartre 2007,hlm. 125, terjemahan saya. 25Sartre 2007,hlm. 125, terjemahan saya.
seminar falsafah malaysia iv
waktu lain, Roquentin berkata, ‘Aku tiada hak untuk wujud’.26
Denganberwujud, Roquentin merasakan kewujudannya bertanding dengan wujudiah lain. Memandangkan begitu banyak dan ramainya benda wujud di sekelilingnya, Roquentin berasa lemas dek tujahan, dan muntahan-muntahan kewujudan terhadap dirinya. Badannya diasak oleh semangat fizikal yang datang secara tiba-tiba, yang nama-nama mereka cuma lekap sebentar sahaja di permukaan benda. ‘Benda telah bercerai daripada nama mereka’.27 Benda-benda datang menerjahnya, tetapi paling teruk lagi, nama-nama mereka sudah tidak tersangkut lagi dengan benda-benda. ‘Mereka tidak menuntut apa-apa, mereka tidak mengenakan apa-apa: mereka di situ’.28 Mereka-benda inihanyahadir di sisi Roquentin dan pukulan
kehadiran mereka terhadap badannya ialah nilai-nilai kekosongan permukaan kewujudan mereka. Roquentin sedar dalam Mualnya bahawa Wujud telah meminjamkan benda-benda sekitarnya supaya boleh muncul menyapanya.
Antara peristiwa yang paling memuncakkan elemen eksistensi-alisme berlaku apabila Roquentin mundar-mandir seorang diri di taman. Ini berlaku sekitar halaman 125 hingga 135 dalam novel Nausea. Kewujudan yang selalunya menyorokkan diri di bawah topeng benda datang bagai bah lagi taufan. Wujud menggemakan kesepiannya dengan begitu sekali sehingga Roquentin kerap kali sesak nafas. Tak mungkin wujud ini boleh disentuh, Roquentin fikir, namun ia boleh dirasai, atau mungkin dinamai. ‘Sekiranya ada sesiapa yang bertanya kepadaku apakah kewujudan sebenarnya, aku akan menjawab, dengan niat baik, bahawa ia adalah ketiadaan, ia cumalah satu bentuk kosong yang ditambah kepada benda-benda luaran tanpa menukar apa-apa sifat mereka. Dan kemudian, secara tiba-tiba, ini dia, begitu jelas seperti siang hari: tiba-tiba kewujudan telah memperkenalkan dirinya’.29 Dalam keadaan ini, kemunculan Wujud bersama benda bukan lagi seperti ia datang di bawah lindungan benda, tetapi seperti benda telahterjahitdan terekori bersama kewujudan. Semua benda-benda yang terekori kewujudan ini adalah seperti menggangguperjalanan kewujudan; Roquentin, pokok, rumput, akar; mereka ini merayap di sekeliling Wujud, tetapi tidak dapat lari daripada kelembapan keperistiwaan
26Sartre 2007,hlm. 84, terjemahan saya. 27Sartre 2007,hlm. 125, terjemahan saya. 28Sartre 2007,hlm. 125, terjemahan saya. 29
. fauzi naeim mohamed Wujud. Ia begituabsurd, tidak masuk akal. Tetapi inilah intipati bagi kewujudan. Inilah apa yang meranapkan makna dan fungsi benda yang diwakili oleh kewujudan ini tadi. Sepucuk payung berwarna pelangi mempunyai fungsi untuk menguncup dan mengembang, supaya ia mudah untuk distorkan. Tujuan sebenar ia dicipta ialah untuk melindungi pemakainya daripada cahaya matahari dan hujan. Kadangkala ia digunakan sebagai fesyen. Wujud tidakherandengan fungsi. Fungsi benda dan siapa yang memakainya tiada kaitan langsung dengan cahaya kewujudannya. Dalam contoh lain: Ada meja di depan saya. Ia petak, berwarna seakan kelabu, berkaki dua. Di atasnya ada monitor komputer yang sedang menyala, keyboard hitam, tetikus hitam, beberapaexternal harddisk, dan dua speaker hitam. Di atasnya beberapa longgokan buku, termasuklah buku-buku Sartre. Mereka adalah fenomena-benda pada persepsi saya. Tetapi, adakah kerana ini, maka mereka wujud? Para pembaca sekalian: Tiada warna bagi kewujudan. Kewujudan cumalah...ada. Ia adalah tinggalan bagi apa-yang-ada. Ia melepaskan gema-gemanya dengan senyap. Ia menyeluruh, menyeluruh dalam sezarah roh. Kewujudan terlalupenuhdengan kandungan, tetapi kandungannya amat kosong manakala kapasitinya sangat, sangat mudah. Ini permasalahan yang dihadapi oleh Roquentin, yang juga jurucakap bagi Sartre. Bagaimana mahu membina ayat tentang “kesenyapan” ini? Hanya melalui sastera puitis. ‘Kewujudan bukanlah sesuatu yang membiarkan dirinya difikirkan dari jauh; ia mesti menghuni kamu secara tiba-tiba, menguasaimu, membebani hatimu seperti satu haiwan dahsyat yang kaku – atau tidak, tiada apa yang tinggal lagi’.30 Di dalam mod Mual, pokok-pokok bukan lagi flora hijau-coklat dengan ranting-dahan dan akar-daun, mereka ini menular dengan sedemikian rupa dengan kepadatan yang tidak pernah habis, dengankepadatanyang tiada permulaan, tiada penghujungnya. Roquentin karam dalam ekstasi wujudiah, tetapi tidak jatuh ke gaung kejengkelan; dia terbang bersama angin yang menggerakkan pokok-pokok hijau-coklat. Sartre menulis lagi: ‘Kewujudan ialah kepenuhan yang tidak mungkin manusia tinggalkan’.31 Ketika Mual,
Roquentin telah bersatu bersamakepenuhanalam.
Karya Nausea ialah fenomenologi tentang kewujudan. Di da-lam novel ini, Sartre begitu mewah sekali melakarkan gambaran-gambaran tentang peristiwa-peristiwa di sekeliling Roquentin. Kita
30Sartre 2007,hlm. 132, terjemahan saya. 31Sartre 2007,hlm. 133, terjemahan saya.
seminar falsafah malaysia iv
kena sedia maklum bahawa dalam falsafah fenomenologi, tiada hujah, tetapi cuma penggambaran. Ini perkara penting yang pernah disampaikan oleh Edmund Husserl, seorang pemikir Jerman juga merupakan pengaruh terbesar bagi Sartre ketika awal-awal beliau mahu mula berfalsafah. Ia bukanlah masalah untuk berhujah, tetapi lebih kepada belajar untukmelihat semula. Ia adalah belajar untuk menjalinkan perasaan jakun terhadap benda semula. Manusia sudah terlupa untukterhairan– apatah lagi di dalam zaman digital sekarang, kesemuanya boleh dicipta dengan aplikasi 3D dan kesan khas. Sartre mengajak pembacanya melihat kembali dunia kita dan benda-benda kecil yang menyatukan nilai-nilai dunia. Dalam hal ini, kita amat bernasib baik kerana pengembaraan kita di dalam Nausea dipandu oleh Roquentin (yang juga Sartre) yang begitu cermat sekali dalam merekod gambarannya. Tiada apa yang baharu atau hendak dibuktikan di dalamNausea. Novel yang agak nipis ini cumalah deklamasi kepada yang ada, percubaan untuk menelanjangkan wujud daripada pakaiannya, yakni permukaan benda. Ia menceritakan fenomena-fenomena bukanlah sebagai satu jalinan sosial atau secara saintifik, tetapi; di dalam setiap benda, terdapat kekayaan yang tidak pernah kering-kering– inilah tema yang sering dibangkitkan oleh sang fenomenologis, Sartre tidak terkecuali. Menelanjangkan wujudiah, kekayaan yang tidak pernah kering, bermaksud juga tenggelam-terbang di dalam kekosongannya.
Saya berhenti dahulu setakat ini untuk bicara Sartre dan Mual dalam makalah ini. Sartre menulis lebih 50 karya, termasuklah layar drama, autobiografi, esei-esei falsafah, namun Sartre menganggap Nausea sebagai karya yang cukup untuk menceritakan gaya dan manifestonya terhadap eksistensialisme. Novel ini adalah tanah bagi karya-karya seterusnya untuk tumbuh dengan mekar. Sartre mengu-jar: ‘Terakhirnya, aku tinggal hanya satu, iaituNausea.... Ia adalah perkara terbaik pernah aku hasilkan’.32 Ada rezeki, diharapkan para
pembaca budiman dapat meneruskan bacaan dengan membeli terus buku-buku Sartre supaya ilmiah kesusasteraan eksistensialisme dapat diterokai dengan baik, atau kalau tidak pun, sebagai tambahan ilmu untuk menyedarkan kita kepada perkara hakiki: bahawasanya manusia jatuh untuk berwujud di bumi supaya hanya boleh mati keseorangan.
. fauzi naeim mohamed
Rujukan
Nietzsche, Wilhelm Friedrich
1968 The Will to Power, terj. Walter Kaufmann & R. J. Holling-dale, New York: Vintage Books.
2005 Thus spoke Zarathustra: A book for everyone and nobody, terj. G. Parkes, New York: Oxford University Press.
Sartre, Jean-Paul
1983 Between Existentialism and Marxism, terj. John Matthews, London & New York: Verso.
1988 What is Literature and other Essays, Cambridge, Massachu-setts: Harvard University Press.
1991 Critique of Dialectical Reason, pnyt. Jonathan Ree, terj. Alan Sheridan-Smith, London & New York: Verso.
2003 Being and Nothingness: An Essay on Phenomenological Onto-logy, terj. Hazel E. Barnes, New York & London: Routledge. 2007 Nausea, terj. Lloyd Alexander, New York: New Directions. 2013 We Have Only This Life to Live: The Selected Essays of Jean-Paul Sartre 1939-1975, pnyt. Ronald Aronson & Adrian Van den Hoven, New York: New York Review Books.