• Tidak ada hasil yang ditemukan

INTERNATIONAL YOUNG SCHOLARS JOURNAL OF LANGUAGES

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2021

Membagikan "INTERNATIONAL YOUNG SCHOLARS JOURNAL OF LANGUAGES"

Copied!
16
0
0

Teks penuh

(1)

IYSJL (2021)

Leksikal ‘Hati’ dalam Simpulan Bahasa: Analisis Semantik Inkuisitif

Nurul Syazana binti Roslan¹, Nurul Jamilah Rosly¹*

¹Kulliyyah Bahasa & Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

*E-mel pengarang koresponden: [email protected]

ABSTRAK

Kajian ini akan menganalisis penggunaan leksikal ‘hati’ yang terdapat dalam simpulan bahasa Melayu berdasarkan pendekatan semantik inkuisitif dan rangka rujuk silang. Kajian ini berbentuk kualitatif dengan menggunakan data simpulan bahasa yang mempunyai leksikal ‘hati’ diambil daripada Kamus Simpulan Bahasa Edisi Kedua, penulisan Abdullah Hussain (2016) dan buku Peribahasa Melayu, Penelitian Makna dan Nilai oleh Zaitul Azma dan Ahmad Fuad (2011). Hasil dapatan data menunjukkan simpulan bahasa ini dapat dibahagikan kepada empat domain utama iaitu domain positif, negatif, perasaan dan tingkah laku. Berdasarkan tatatingkat semantik inkuisitif, iaitu tahap semantik skrip, tahap semantik resonans dan tahap semantik inkuisitif ini mendapati bahawa masyarakat Melayu pada zaman dahulu sangat menghargai apa yang ada di sekeliling mereka. Pembentukan simpulan bahasa daripada leksikal ‘hati’ bukan sahaja daripada aspek unsur alam seperti hati tungau dan hati tikus. Malah, terdapat juga aspek ketuhanan seperti hati tawajuh selain unsur logam seperti hati emas. Secara keseluruhan, analisis semantik inkuisitif dapat dilihat sebagai pendekatan kajian makna simpulan bahasa yang menghubungkaitkan data, teori, kognitif, falsafah serta akal budi masyarakat Melayu yang menjadi tunjang bagi memahami makna sesuatu simpulan bahasa dengan lebih terperinci dan menyeluruh.

Kata kunci: semantik inkuisitif, simpulan bahasa, leksikal, hati, falsafah

INTERNATIONAL YOUNG SCHOLARS

JOURNAL OF LANGUAGES

(2)

PENGENALAN

Keindahan gaya bahasa itu terletak pada cara pengaplikasian serta ujaran yang diungkapkan untuk mengekspresikan emosi secara tersirat (Nor Hafuza &

Hasmidar Hassan, 2018). Justeru, ramai menganggap bahawa bahasa menjadi cerminan kepada sesebuah masyarakat. Bahasa juga merupakan medium utama yang digunakan dalam kehidupan seharian untuk menyampaikan sesuatu hasrat.

Masyarakat Melayu sering kali menggunakan bahasa yang puitis dan berlapik semasa berinteraksi sehingga tercetus atau terbina pelbagai peribahasa (Zaid Mohd Zin dan Wan Suhaila, 2017). Antara peribahasa itu termasuklah, simpulan bahasa, bidalan, perumpamaan, bahasa kiasan dan sebagainya. Dengan terhasilnya pelbagai jenis peribahasa ini, jelas menunjukkan bahawa masyarakat Melayu adalah sebuah masyarakat yang mempunyai keupayaan fikiran yang kreatif dan kritis. Kehebatan dan kelembutan pemikiran masyarakat Melayu banyak dipantulkan dalam peribahasa Melayu.

Oleh itu, kajian ini membincangkan salah satu cabang dalam peribahasa, iaitu simpulan bahasa Melayu. Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua (2016), simpulan bahasa bermaksud ungkapan yang terdiri daripada dua perkataan atau lebih serta mempunyai makna tertentu. Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk, mengenal pasti leksikal hati yang terdapat dalam simpulan bahasa Melayu selain menganalisis leksikal hati tersebut berdasarkan semantik inkuisitif. Kajian ini juga bertujuan untuk menelusuri dan memahami dengan lebih mendalam akal budi masyarakat Melayu.

PERNYATAAN MASALAH

Dewasa ini, kefahaman makna peribahasa dalam kalangan masyarakat Melayu semakin membimbangkan (Muhammad Zaid, 2019). Hal ini demikian kerana, penutur bahasa Melayu, khususnya orang Melayu jarang menggunakan peribahasa dalam ujaran mereka sehari-hari, bahkan ada di antara mereka yang tidak memahami maksud peribahasa itu sendiri (Nor Hashimah & Junaini Kasdan, 2010). Misalnya, ibu bapa yang ingin menasihati anak-anak, jarang mengaplikasikan nasihat yang mengandungi peribahasa. Peribahasa yang boleh digunakan dalam nasihat adalah seperti ‘keras hati’ yang membawa maksud tidak mahu mendengar kata orang. Contoh lain ialah, ‘mak dah lama makan asam daripada kamu’. Peribahasa yang digunakan ialah makan asam, iaitu sudah banyak pengalaman.

Selain itu, penguasaan peribahasa dan makna di peringkat sekolah rendah

juga agak membimbangkan. Hal ini disokong dalam sebuah kajian oleh Mohd

Ridzuan (2017) yang menyatakan kebanyakan daripada murid sekolah rendah

didapati kurang menguasai peribahasa. Hal ini demikian kerana, apabila murid

guru menyuruh muridnya menyatakan beberapa peribahasa serta berikan maksud

(3)

kepada peribahasa tersebut, jawapan yang diterima amat mengecewakan.

Walaupun murid-murid telah diberi pendedahan awal terhadap peribahasa yang telah dipelajari dalam subjek Bahasa Melayu, namun penguasaan terhadap peribahasa kurang memberangsangkan ekoran tidak diaplikasikan peribahasa yang telah dipelajari dalam kehidupan seharian.

Selain daripada itu, sebahagian pengkaji tidak melihat akan makna peribahasa daripada sudut konotatif dan denotatif. Mereka hanya melihat makna secara harfiah dan makna kamus. Namun, sebenarnya masyarakat Melayu ini terkenal dengan pemikiran falsafah yang mengaitkan dengan unsur sekeliling untuk dijadikan sebagai objek dalam pembentukan identiti kepada simpulan bahasa atau peribahasa. Antara kajian semantik inkui j sitif yang pernah dijalankan oleh pengkaji terdahulu ialah, Ikan (Pisces) dalam Peribahasa MelayuL Analisis Semantik Inkusiitif (Junaini Kasdan, Nor Hashimah & Wan Nurasikin, 2016), Analisis Semantik Inkuisitif Peribahasa Melayu oleh Mary Fatimah dan Mohd Ridzuan (2019), Refleksi Dualisme ‘Durian-Timun’ dalam Peribahasa Melayu: Pendekatan Semantik Inkuisitif oleh Julaina Nopiah, Nor Hashimah dan Junaini Kasdan (2017) dan banyak kajian lagi. Setelah ditelusuri, kajian-kajian mereka ini melihat daripada sudut semantik inkuisitif dengan penekanan kepada unsur flora, fauna dan peribahasa itu sendiri tetapi tidak pernah melihat pula dari leksikal ‘hati’ dalam perbincangan konsep semantik inkuisitif.

Akhir sekali, ada beberapa kajian seperti Analisis Semantik Kognitif Metafora ‘Hati’ berdasarkan Korpus dalam Dua Dekad oleh Nor Hafuza dan Hasmidar Hassan (2018). Kajian tersebut memfokuskan leksikal ‘hati’ dengan semantik kognitif tetapi tidak memberi fokus kepada simpulan bahasa yang mempunyai leksikal ‘hati’ dan semantik inkuisitif. Oleh yang demikian, kajian ini secara keseluruhan akan membincangkan pembentukan leksikal ‘hati’ dalam simpulan bahasa daripada sudut pandangan semantik inkuisitif.

TINJAUAN LITERATUR

Kajian pertama yang bertajuk Gallus Gallus Domesticus dan Paradoxurus Hermaphraditus dalam Peribahasa Melayu: Analisis Semantik Inkuisitif telah dijalankan oleh Muhammad Zaid (2017). Kajian ini mengkaji penggunaan leksikal ayam (Gallus gallus domesticus) sebagai objek dan musang (Paradoxurus hermaphraditus) sebagai imej dalam peribahasa Melayu melalui perspektif semantik inkuisitif. Pengkaji menggunakan kaedah kualitatif dengan melihat Kamus Istimewa Peribahasa Melayu (2016) yang telah disusun oleh Abdullah Hussain. Sebanyak lima peribahasa Melayu yang mempunyai leksikal ‘ayam’ dan

‘musang’ telah dikenal pasti daripada kamus tersebut. Hasil dapatan menunjukkan

bahawa, pengkaji berjaya menutupi kekurangan kajian lepas mengenai peribahasa

semantik inkuisitif sahaja. Namun, pemilihan ungkapan, frasa atau perkataan

(4)

yang digunakan dalam peribahasa telah mencerminkan kebijaksanaan dan kecerdasan akal fikiran masyarakat Melayu zaman dahulu.

Kajian yang bertajuk Strategi Metafora Integrasi dalam Pembentukan Makna Simpulan Bahasa ‘Kepala’ berdasarkan Teori Blending oleh Nor Asiah (2017) bertujuan untuk mengetengahkan satu pendekatan baharu dalam membentuk makna simpulan bahasa dengan penggunaan ‘kepala’ sebagai mekanisme dan prinsip integrasi metafora. Hasil dapatan kajian, pengkaji mendapati kecerdikan pemikiran Melayu yang bersifat kreatif dan kritis sehingga mampu membentuk pemikiran yang begitu kompleks dengan adanya pemetaan konsep dalam ruang-ruang akal fikiran. Hal ini dapat dilihat dengan penghasilan simpulan bahasa Melayu yang begitu banyak dan perkaitan di antara satu leksikal dengan satu leksikal lain disebelahnya. Kajian kedua ialah kajian yang bertajuk Simpulan Bahasa, Conceptual Metaphors and Malay Knowledge oleh Mohamad Nor Taufiq dan Aniswal Abd Ghani (2019). Kajian ini telah memberi fokus kepada simpulan bahasa Melayu. Objektif kajian ini ialah, untuk menunjukkan bagaimana makna simpulan bahasa yang dipilih dapat disingkirkan menggunakan interaktif teori metafora oleh Black (1962) dan teori semantik Kognitif oleh Lakoff dan Johnson (1980;2003). Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif dengan melibatkan data sekunder, iaitu terdiri daripada simpulan bahasa yang diambil daripada Kamus Bunga Bahasa (KBB) yang dikarang oleh Abdullah Sidek (1961). Sebanyak 91 simpulan bahasa dikenal pasti yang mengandungi leksikal berkaitan dengan haiwan. Secara keseluruhannya, terdapat 36 jenis haiwan telah dikenal pasti. Haiwan-haiwan tersebut telah dikelaskan kepada 19 domain yang berbeza. Kajian ini hanya memberi fokus serta melihat pada lima domain sahaja. Domain-domain tersebut adalah seperti domain berbahaya (buaya darat dan lintah darat), domain sia-sia (membabi buta dan kutu embun), domain aktiviti (kelawar malam dan kaki kuda), domain cerdas atau cekap (akal kancil dan lipas kudung) dan domain fizikal haiwan (badak pekak dan kerbau bunting).

Hasil dapatan kajian, pengkaji dapat menyimpulkan bahawa orang yang mencipta simpulan bahasa bijak dan berpengetahuan dalam membawa bersama-sama dua unsur alam yang terdapat di setiap simpulan bahasa. Contohnya, buaya [haiwan]

+ darat [persekitaran] untuk membentuk maksud simpulan bahasa. Secara tidak langsung pengguna bahasa perlu memahami atau menyatakan dua bentuk kata yang bergabung menjadi simpulan bahasa secara kognitif dengan konsep berkaitan dengan item leksikal. Selain itu, pengkaji mendapati bahawa penerapan kedua-dua teori tersebut secara tidak langsung telah mengetengahkan akal budi Melayu yang berpengetahuan luas mengenai alam.

Selain itu, Nor Hafuza dan Hasmidar Hassan (2018) telah

mengetengahkan sebuah kajian yang bertajuk Analisis Semantik Kognitif

Metafora ‘Hati’ Berdasarkan Korpus dalam Dua Dekad. Tujuan kajian ini

(5)

dilaksanakan adalah untuk melihat pengaplikasian metafora ‘hati’ yang dapat mengekspresikan kognitif masyarakat Melayu yang kreatif dan bijaksana ketika berbahasa. Kajian ini telah menggunakan data korpus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi mendapatkan data kajian. Hasil dapatan kajian, pengkaji mendapati terdapat perluasan makna bagi leksikal ‘hati’ kerana perkembangan bahasa yang telah berlaku daripada dua abad yang berbeza (Nor Hafuza dan Hasmidar Hassan, 2018). Secara tidak langsung, perluasan makna bukan hanya berlaku secara sewenangnya, tetapi berlaku secara sistematik.

METODOLOGI Reka Bentuk Kajian

Pengkaji memfokuskan pendekatan kaedah kajian ini kepada pendekatan kajian yang bersifat kualitatif. Justifikasi kaedah ini digunakan ialah kerana kajian yang berbentuk kualitatif merupakan kajian yang melibatkan kepelbagaian kaedah secara berfokus, selain menggunakan pendekatan secara alami dalam menjalankan penyelidikan kepada sesuatu bidang kajian (Denzin dan Lincoln, 1994). Kajian kualitatif juga sesuai dijalankan dalam kajian yang bersifat penerokaan (Crawfrod & Irving 2009). Kajian yang bersifat kualitatif juga boleh berubah dan bersifat mudah lentur. Oleh yang demikian, kaedah ini sesuai dan bertepatan dengan kajian yang dilaksanakan.

Kaedah Pengumpulan Data

Kaedah yang digunakan dalam kajian ini ialah, kaedah analisis teks dan kaedah kepustakaan. Kaedah analisis teks bermula dengan pengkaji mengeluarkan semua simpulan bahasa Melayu yang mempunyai leksikal ‘hati’ di awal frasa. Simpulan bahasa-simpulan bahasa tersebut dikeluarkan melalui pembacaan Kamus Simpulan Bahasa Edisi Kedua oleh Abdullah Hussain (2016) keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan buku Peribahasa Melayu, Penelitian Makna dan Nilai oleh Zaitul Azma dan Ahmad Fuad (2011). Setelah meneliti dan mengenal pasti simpulan bahasa yang mengandungi leksikal ‘hati’ di awal kata, pengkaji menemui sebanyak 29 simpulan bahasa daripada buku dan kamus tersebut.

Seterusnya, simpulan bahasa dikelaskan mengikut domain yang bersesuaian.

Antara domain yang dipilih ialah, domain positif, domain negatif, domain perasaan dan domain tingkah laku. Proses ini bertujuan untuk memudahkan penganalisisan data secara rinci dalam tiga tahap sehingga mencapai tahap semantik inkuisitif.

Kajian kepustakaan dalam kajian ini dengan merujuk beberapa maklumat

daripada laman sesawang, Kamus Dewan, Kamus Simpulan Bahasa Edisi Kedua

(2016), buku Semantik dan Akal Budi Melayu tulisan Nor Hashimah (2014),

beberapa jurnal ilmiah dan buku-buku rujukan yang berkait dengan bidang

semantik inkuisitif. Selain itu, bagi memenuhi keperluan kajian, pengkaji telah

(6)

melayari pangkalan data Dewan Bahasa dan Pustaka (korpus.dbp) sebagai salah satu rujukan yang bermanfaat serta memilih data korpus yang bersesuaian seperti keratan akhbar, majalah, jurnal, makalah dan buku untuk dimasukkan di dalam bahagian tahap kedua, iaitu semantik resonans. Pengumpulan maklumat difokuskan kepada ruang lingkup leksikal ‘hati’ dan kajian berkait dengan pendekatan semantik inkuisitif.

Kaedah Penganalisisan Data

Kaedah penganalisisan data yang dijalankan dalam kajian ini ialah merujuk kepada tiga peringkat dalam semantik inkuisitif. Proses menganalisis makna leksikal ‘hati’ dalam simpulan bahasa telah menggunakan pendekatan semantik inkuisitif seperti yang diutarakan oleh Nor Hashimah (2014) seperti rajah berikut:

Rajah 1 Kerangka Kajian Semantik Inkuisitif

Rajah 1: Kerangka Semantik Inkuisitif

Semantik Skrip Makna Harfiah/ Dasar

Semantik Resonans Data, Teori dan Kognitif

Semantik Inkuisitif

Falsafah dan Akal Budi Bidang Multidisiplin

(7)

DAPATAN KAJIAN

Hasil dapatan data menunjukkan simpulan bahasa ini dapat dibahagikan kepada empat domain utama iaitu domain positif, negatif, perasaan dan tingkah laku.

Pengkaji seterusnya telah memilih 7 daripada 29 simpulan bahasa untuk dianalisis berserta domain yang bersesuaian dengan simpulan bahasa tersebut. Simpulan bahasa yang telah dipilih oleh pengkaji ialah, hati kecil, hati nurani, hati tawajuh, hati emas, hati sanubari, hati tungau dan hati tikus. Namun, dalam kertas kerja ini, pengkaji hanya akan menghuraikan 3 data. Data-data simpulan bahasa dianalisis seperti berikut:

1. Hati Tawajuh

Jadual 1: Simpulan Bahasa Hati Tawajuh

Simpulan Bahasa Maksud Domain

Hati Tawajuh Hati yang telah diarahkan benar-benar kepada Tuhan

Positif

Tahap 1: Semantik Skrip

Data simpulan bahasa dalam jadual 1 di atas ialah ‘hati tawajuh’. Menurut Kamus Simpulan Bahasa oleh Abdullah Hussain (2016) ‘hati tawajuh’ bermaksud hati yang benar-benar telah diarahkan kepada Allah SWT.

Tahap 2: Semantik Resonans

i. Justeru itu mereka yang kaya dan mempunyai harta benda yang banyak diwajibkan membayar zakat atau menghulurkan bantuan kepada golongan fakir miskin melalui amalan sedekah, di samping itu Islam juga memberikan ganjaran pahala yang besar kepada orang kaya yang

***hati tawajuh***, lantaran salah satu daripada jenis manusia yang sangat dikasihi oleh Allah ialah orang kaya yang ***hati tawajuh***.

(Al-Islam Disember 1993. Agama, 1993) ii. Oleh itu, ***hati tawajuh*** amat ditekankan oleh Islam, kerana

***hati tawajuh*** merupakan benteng terkuat bagi menghapuskan rasa tamak haloba terhadap dunia.

(Al-Islam Disember 1993. Agama, 1993)

Data 1 (i dan ii) dalam semantik resonans membuktikan penggunaan simpulan

bahasa ‘hati tawajuh’ dalam korpus. Pengaplikasian RSS dalam data korpus i dan

ii menunjukkan bahawa maksud ‘hati tawajuh’ disampaikan dengan sebenar-

benarnya, iaitu mengarahkan hati terhadap Allah. Pada data (i), premis yang

memperkuatkan penyampaian maksud sebenar simpulan bahasa ‘hati tawajuh’

(8)

ialah, Islam memberi ganjaran pahala. Manusia yang mempunyai hati tawajuh akan mendapat pahala di samping mendapat rahmat dan kasih sayang daripada Allah.

Seterusnya, bagi data korpus (ii) pula, proses memahami simpulan bahasa tersebut agak mudah kerana terdapat premis benteng terkuat bagi menghapuskan rasa tamak haloba terhadap dunia. Premis ini jelas menyatakan kebaikan sekiranya seseorang mempunyai hati tawajuh. Apabila hati yang sentiasa mengarahkan kepada Allah, seseorang itu mampu membezakan perkara baik dan buruk kemudian akan melaksanakan perkara baik serta meninggalkan perkara buruk. Oleh itu, menjadi tanggungjawab seorang muslim untuk berhati tawajuh selagi masih ada hayat kerana peluang kehidupan yang diberikan Allah hanya datang sekali dan perlu menjadi mukmin yang terbaik.

Tahap 3: Semantik Inkuisitif

Menurut Ustaz Abdul Somad, seorang pendakwah Islam dari Indonesia ‘wajah’

merupakan kata dasar bagi ‘tawajuh’. Adapun bacaan doa iftitah yang dibaca setiap solat fardhu, iaitu:

ض ْرَ ْلْا َو ِتا َو ٰمَّسلا َرَطَف ْيِذَّلِل َيِهْج َو ُتْهَّج َو ْيِ نِاَ

Maksudnya: Sungguh, aku menghadapkan wajahku (untuk ibadah) kepada zat yang telah menciptakan langit dan bumi.

Keterangan dari doa iftitah ini ialah, pengakuan yang dipanjatkan oleh hamba kepada Tuhannya, iaitu Allah SWT. Pengakuan tentang kerdilnya seorang hamba yang menghadapkan wajahnya ketika beribadah untuk mendapat ihsan dan kasih sayang Allah. Kasih sayang Allah itu luas. Terlalu banyak nikmat yang Allah telah berikan kepada hamba-Nya yang perlu disyukuri. Sebagai tanda mensyukuri nikmat yang Allah telah berikan, kita perlu ikhlas dan bersungguh- sungguh dalam beribadah. Begitulah yang ditekankan oleh masyarakat Melayu pada zaman dahulu dalam mendidik anak-anak mereka. Ibadah bukan sahaja tertakluk kepada menunaikan solat, malah, ibadah dalam Islam merangkumi menuntut ilmu, bersedekah, zakat dan banyak lagi. Dewasa ini, terdapat manusia yang dilihat dari zahirnya seperti ahli ibadah namun tidak pada watak dan perilakunya. Jadi, sebagai seorang muslim seharusnya memahami maksud sebenar ibadah yang mampu memberi hikmah serta pengajaran kepada yang lain.

Selain itu, sebuah hadis yang bermaksud :

“Sesungguhnya seseorang yang berdiri dan solat serta memuja dan memuji Allah S.W.T dengan pujian yang selayak bagi-Nya, serta mengosongkan hatinya

untuk Allah kecuali tatkala keluar daripadanya dosa-dosa seperti anak yang baru dilahirkan.”

(Hadis Riwayat Muslim)

(9)

Hadis tersebut jelas menunjukkan bahawa kelebihan orang yang berhati tawajuh, iaitu hati yang mengarah kepada Allah dengan menunaikan solat serta memuja dan memuji Allah agar Allah ampunkan dosa-dosa mereka. Oleh sebab itu, setiap apa yang dilaksanakan perlu dengan hati tawajuh. Ketajaman pemikiran masyarakat Melayu dalam pembentukan simpulan bahasa ‘hati tawajuh’ tidak dapat disangkal lagi. Hal ini berikutan, masyarakat Melayu telah melihat dari pelbagai aspek, bukan sahaja aspek alam sekitar malah daripada aspek rabbani, iaitu aspek ketuhanan dalam membentuk simpulan bahasa.

2. Hati Emas

Jadual 2: Simpulan Bahasa Hati Emas

Simpulan Bahasa Maksud Domain

Hati Emas Sangat baik hati.

Seseorang yang hatinya terlalu baik

Positif

Tahap 1: Semantik Skrip

Data simpulan bahasa dalam jadual 2 di atas, iaitu ‘hati emas’ menurut Kamus Simpulan Bahasa oleh Abdullah Hussain (2016) ialah sangat baik hati dan menurut Buku Peribahasa Melayu, Penelitian Terhadap Makna dan Nilai oleh Zaitul Azma dan Ahmad Fuad Mat Hassan (2011) ialah seseorang yang hatinya terlalu baik.

Tahap 2: Semantik Resonans

i. Dalam hati aku mengagumi orang seperti Pak Cik ini. Orang tua yang

‘simple’, tenang dan punya prinsip yang tepat dan jelas dalam hidup. Dia bukan sahaja memandu teksi tetapi dia benar-benar memandu kehidupannya. Individu yang dianggap marhaen ini rupanya punya

***hati emas***. Isi cakap dan sikapnya semuanya Al Quran dan Al Hadis, walaupun dia tidak petah menuturkan ayat Al Quran dan lafaz hadis.

(Hati Emas, Ustaz Pahrol Mohd Juoi)

(10)

ii. Tiada lain tujuanku Hati emas yang ku cari Kisahnya di hujung dunia Mengapa tak ku temui Mencari..

***hati emas*** bukannya mudah mungkin selamanya

takkan aku temui

(Lirik Lagu Hati Emas oleh M. Nasir, 1981) Data (i) merupakan penggunaan simpulan bahasa ‘hati emas’ dalam sebuah cerpen yang dikarang oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi. Hati emas dalam ayat itu merupakan perlambangan kepada sifat seorang insan yang merupakan seorang pemandu teksi dan diberi gelaran Pakcik dalam cerpen tersebut. Hati emas dikolokasikan kerana cara percakapan Pakcik dan perilakunya yang sangat baik seperti tuntutan al-Quran dan hadis. Selain itu, hati emas yang merujuk kepada sosok tubuh pemandu teksi adalah seseorang yang baik akhlak dan budi pekertinya.

Simpulan bahasa dalam data (ii) merupakan simpulan bahasa ‘hati emas’

yang terdapat dalam lirik lagu nyanyian M. Nasir (data ii). Lagu ini mempunyai makna yang tersirat untuk menyampaikan mesej. Hal ini demikian kerana tajuk lagu tersebut juga menggunakan simpulan bahasa ‘hati emas’. Simpulan bahasa

‘hati emas’ dalam rangkap lagu itu menggambarkan kisah seseorang yang sedang mencari insan yang mempunyai ‘hati emas’. Perkara ini dapat dilihat dengan penggunaan lirik hati emas yang ku cari dan mengapa tak kutemui. ‘Hati emas’

digambarkan sesuatu yang sukar dicari dan sukar ditemui. Penghasilan lirik ‘hati emas’ ini dapat menyerlahkan lagi maksud sebenar simpulan bahasa tersebut kerana, insan yang berhati emas sangat sukar dicari.

Tahap 3: Semantik Inkuisitif

Setelah mengamati akan simpulan bahasa ‘hati emas’, dapat dihuraikan bahawa pembentukan simpulan bahasa ‘hati emas’ ini sangat bersinonim dengan masyarakat dan budaya orang Melayu. Masyarakat Melayu mengaitkan perkataan

‘hati’ terhadap perasaan individu. Hal ini demikian kerana, perasaan yang dibawa untuk menterjemah sesuatu ujaran atau perlakuan adalah melalui hati. Setiap sesuatu itu akan bermula dari hati.

Menurut kesihatan, hati merupakan salah satu organ manusia yang

mempunyai dua bahagian, iaitu belahan hati kanan dan belahan hati kiri. Dua

bahagian tersebut bercantum di antaranya ialah ligamen pemisah. Antara fungsi

organ hati manusia ialah, pembuangan racun, regenerasi sel darah merah,

(11)

produksi empedu, daya ketahanan untuk tubuh serta membentuk dan menyimpan protein, vitamin dan lemak. Organ hati merupakan organ yang paling besar dalam tubuh manusia dan sangat bermakna. Begitulah sinonimnya fungsi hati dengan masyarakat Melayu. Walaupun hati itu terletak dalam badan manusia, hati tersebut mampu menzahirkan pelbagai perasaan setiap insan.

Emas merupakan sesuatu yang bernilai. Struktur dan warna emas yang kuning berkilauan merupakan siri kimia logam peralihan. Sifat fizikal emas ialah pepejal. Emas yang tulen berwarna kuning terang dan dianggap mempesonakan dan warna itu kekal tanpa mengalami pengoksidaan air mahupun udara. Emas juga merupakan logam yang dibuat menjadi syiling yang berfungsi sebagai simbol kekayaan individu. Sekiranya seseorang menyimpan syiling emas pada zaman dahulu, individu tersebut telah dianggap sebagai orang kaya. Selain itu, fungsi emas juga dijadikan sebagai perhiasan diri seperti, rantai emas, subang emas dan gelang emas. Emas juga digunakan dalam industri moden kini, iaitu dalam bidang pergigian dan elektronik. Daya tahan emas yang begitu kuat daripada penghakisan dan pengaliran arus elektrik telah menjadikan emas sebagai pilihan masyarakat Melayu untuk dijadikan perhiasan diri dan simpanan selain, emas yang mempunyai nilai yang tersendiri.

Maka jika dikaitkan dengan hati, mulialah seorang hamba itu di sisi Allah.

Hal ini demikian kerana, Allah melihat seseorang hambanya melalui hati bukannya keadaan zahir seseorang. Perkara ini dapat dilihat melalui tutur kata dan gerak perilakunya. Adapun yang berharga itu itu mestilah memiliki sifat Nabi Muhammad S.A.W, iaitu sifat yang mahmudah. Hati emas ini boleh diumpamakan hati yang tidak mudah dibeli dan diperolehi. Lihat sahaja harga emas yang saban hari akan meningkat nilainya di pasaran. Sekiranya seseorang berhajat ingin membeli emas, mereka perlulah membuat simpanan yang secukupnya. Hati emas juga tidak kabur dek kilauan kerana keaslian emas itu sentiasa memberi sinar buat pemakainya, iaitu perempuan Melayu. Pembentukan simpulan bahasa ‘hati emas’ yang membawa maksud seseorang yang terlalu baik adalah wajar kerana nilai-nilai emas itu sendiri menggambarkan keunikan sifat serta perwatakan orang yang baik.

3. Hati Tungau

Jadual 3: Simpulan Bahasa Hati Tungau

Simpulan Bahasa Maksud Domain

Hati Tungau Penakut, Pengecut Negatif

(12)

Tahap 1: Semantik Skrip

Simpulan bahasa ‘hati tungau’ dalam jadual 3 dari buku Peribahasa Melayu, Penelitian Makna dan Nilai oleh Zaitul Azma dan Ahmad Fuad (2011) bermaksud seseorang yang hatinya penakut atau pengecut.

Tahap 2: Semantik Resonans

Contoh yang diperoleh daripada data korpus ialah:

i. Linggam yang berbadan sasa itu nampak saja berani tetapi sebenarnya ber***hati tungau***.

(Asiah Abdul Rahman. Peribahasa Sekolah Rendah. Pendidikan, 2015) Data 3 (i) menunjukkan Rangka Rujuk Silang bari simpulan bahasa ‘hati tungau’.

Berdasarkan korpus kajian yang dikemukakan, simpulan bahasa ‘hati tungau’

merujuk kepada sifat seseorang yang penakut dan tidak berani. Sifat penakut Linggam yang mempunyai ukuran badan yang besar dalam premis ini telah digelar hati tungau. Hal ini dapat dilihat dalam ujaran nampak saja berani tetapi.

Perkataan berani merupakan kata antonim dengan penakut.

Tahap 3: Semantik Inkuisitif

Simpulan bahasa yang berdomain negatif ini menggunakan tungau sebagai objek.

Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat (2010), tungau bermaksud sejenis kutu yang halus seperti tuma. Kebiasaannya, tungau ini terdapat pada ayam atau kera. Tungau biasanya berwarna merah dan mempunyai fizikal yang halus. Selain di badan haiwan, tungau juga dijumpai di tempat hidup seperti dedaun dan rerumput. Namun, terdapat juga kes di mana tungau ini telah menyengat tubuh manusia dengan mengeluarkan bisanya. Kesan daripada sengatan itu, akan berlaku kemerah-merahan, kegatalan dan bengkak di permukaan kulit manusia.

Perkara ini boleh terjadi sekiranya individu tersebut memegang tumbuhan atau haiwan yang mempunyai tungau tanpa disedari. Kehadiran tungau ini sangat menggusarkan para ibu bapa yang mempunyai anak kecil. Hal ini demikian kerana, anak kecil lebih terdedah kepada sengatan tungau ini ekoran daripada tidak menjada kebersihan. Misalnya, anak kecil bermain di taman dan memegang tumbuhan tanpa disedari di tumbuhan tersebut ada tungau. Jadi, secara tidak langsung, kanak-kanak itu terkena sengatan tungau sehingga mendatangkan kesakitan dan kegatalan yang amat.

Setelah meneliti dan memahami sifat serta fizikal tungau yang kecil,

pengkaji mendapati bahawa pembentukan simpulan bahasa ‘hati tungau’ oleh

masyarakat Melayu sangat sinonim dengan sifat tungau yang penakut. Hal ini

kerana, tungau merupakan sejenis makhluk kecil yang menyengat. Namun, fizikal

tungau yang kecil, tidak mampu dilihat dengan mata kasar. Secara tidak langsung,

(13)

perkara ini lebih menunjukkan sifat penakut haiwan tersebut. Penakut si tungau itu yang hanya mampu menyengat manusia tetapi tidak menunjukkan bentuk fizikal dirinya. Oleh yang demikian, hindarilah diri kita daripada mempunyai ‘hati tungau’, iaitu hati yang penakut. Hal ini demikian kerana, menjadi berani itu mampu menerbitkan rasa hormat orang sekeliling terhadap kita. Demikian itu, dapat disimpulkan bahawa pembentukan simpulan bahasa ‘hati tungau’ oleh masyarakat Melayu mencerminkan kewarasan akal dan fikiran dan tidak dapat dangkal akan kecerdikan masyarakat Melayu yang melambangkan fauna sehingga sekecil tungau untuk diletakkan dalam simpulan bahasa.

KESIMPULAN

Pengkaji mendapati bahawa kajian berkenaan semantik inkuisitif boleh dikembangkan lagi dengan meneliti berkenaan simpulan bahasa. Hal ini didapati kerana tidak ada lagi kajian berkenaan simpulan bahasa dengan analisis semantik inkuisitif ditemui selain dari kajian yang dijalankan oleh pengkaji ini. Pengkaji ingin menambah saranan agar kajian yang akan datang mengkaji pembentukan simpulan bahasa yang mempunyai leksikal ‘hati’ di akhir kata kerana terdapat lebih daripada 50 simpulan bahasa seperti itu. Contohnya ada hati, baik hati, buka hati, bulat hati dan banyak lagi. Selain daripada itu, pengkaji menyarankan kajian yang akan datang menggunakan leksikal yang lain dalam analisis semantik inkuisitif. Seperti leksikal ‘tangan’, ‘kaki’, ‘mata’, ‘mulut’ dan lain-lain.

Seterusnya, saranan pengkaji kepada kajian yang akan datang adalah supaya mengkaji penggunaan simpulan bahasa dalam karangan di peringkat sekolah menengah. Hal ini demikian kerana, kesedaran penggunaan simpulan bahasa perlu dipertingkatkan dalam kalangan pelajar. Jika dilihat hari ini, proses penerimaan pembelajaran simpulan bahasa oleh pelajar hanya untuk mencapai tahap lulus sahaja dalam peperiksaan. Bukan untuk memahami nilai dan keunikan pembentukan simpulan bahasa itu. Akibatnya, penerapan nilai dan budaya dalam masyarakat yang akan datang semakin menipis.

Berdasarkan analisis yang telah dilaksanakan, pengkaji dapat menyimpulkan bahawa, pembentukan simpulan bahasa yang mengandungi leksikal ‘hati’ ini bukanlah dibentuk secara harfiah, malah persoalan mengapa sehingga boleh terbentuknya simpulan bahasa itu juga boleh dicungkil berdasarkan pemikiran falsafah dan akal budi masyarakat Melayu. Berdasarkan analisis yang telah dilakukan, terbukti bahawa masyarakat Melayu bukan sahaja menghasilkan simpulan bahasa yang mengandungi leksikal ‘hati’ khusus untuk individu, malah jauh lebih daripada itu. Sehingga mampu mencapai sifat ‘hati’

yang paling tinggi, terhadap sang pencipta, iaitu Allah. Tamsilnya, hati tawajuh.

Hal ini juga jelas menunjukkan bahawa, masyarakat Melayu dahulu tidak secara

sembarangan dalam menghasilkan simpulan bahasa. Oleh itu, masyarakat perlu

cakna untuk mendalami simpulan bahasa dengan lebih rinci agar di masa akan

(14)

datang, simpulan bahasa-simpulan bahasa kekal relevan dalam kehidupan masyarakat Melayu.

RUJUKAN

Abdullah Hussain. (2016). Kamus Simpulan Bahasa Edisi Kedua, Dewan B ahasa dan Pustaka.

Arba’iyah Mohd. (2011). Perkembangan pesejarahan Islam di alam Melayu.

Development of Islamic historiography in Malay Archipelago. 6 (1), 29- 50.

Asmah Hj. Omar. (2000). Wacana perbincangan, perbahasan dan perundingan.

Dewan Bahasa dan Pustaka.

Crawfrod & Irving. (2009). Information literacy in the workplace: A qualitative exploratory study. Journal of librarianship and information Science, 41(1), 29–38.

Denzin & Lincoln, (1994). Handbook of qualitative research. Sage Publications Julaina Nopiah, Nor Hashimah Jalaludin, Junaini Kasdan. (2017). Refleksi

Dualisme ‘Durian-Timun’ Dalam Peribahasa Melayu: Pendekatan Semantik Inkuisitif. Jurnal Linguistik, 21(2), 001-014.

Juliana Ahmad & Noriha Basir. (2017). Nilai kesantunan berbahasa dalam komunikasi pengurusan air muka: Analisis pragmatik berasaskan Teori Relevans. Journal of Human Development and Communication, 6, 163- 180.

Junaini Kasdan & Julaina Nopiah (2021). Padi dalam peribahasa Melayu: Analisis semantik inkuisitif. International Journal of the Malay World and Civilisation, 9(1), 59-72.

Junaini Kasdan, Nor Hashimah & Wan Nurasikin. (2016). Ikan (Pisces) dalam peribahasa Melayu: Analisis semantik inkuisitif. International Journal of the Malay World and Civilisation (Iman), 4, 31-42.

Junaini Kasdan. (2020). Penciptaan Istilah dan Akal Budi Melayu. 26, 3-16.

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2010). Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Pelajar Edisi Kedua. (2016). Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kempson, R. M. (1986). Ambiguity and the semantics and pragmatics distinction.

Dlm. C. Travis (Ed.), Meaning and interpretation. Oxford: Basil

Blackwell.

(15)

Keris Mas. (1998) Perbincangan Gaya Bahasa Sastera.

Lincoln, D. d. (1994). Introduction: entering the field of qualitative research.

Sage Publications.

Mary Fatimah & Mohd Ridzuan. (2019). Analisis semantik inkuisitif peribahasa Bahasa Melayu. Malaysian Journal of Learning and Instrustion, 16(2), 227-253.

Mohamad NorTaufiq & Aniswal Abd Ghani. (2019). Simpulan bahasa, conceptual metaphors and Malay knowledge. Universiti Sains Malaysia, Malaysia.

Mohd Ridzuan. (2017). Penguasaan peribahasa dan makna menggunakan pisatum: satu kajian tindakan. seminar antarabangsa pedagogi kali ke-8 (PedA8). Universiti Malaysia Sarawak.

Mohd, F. H., Hamzah, N., & Baharum, H., (2019). Falsafah, bahasa dan pemikiran Melayu dalam lirik lagu “bangau oh bangau” dan “burung kenek-kenek”.

International Journal of Humanities, Philosophy and Language, 2(6), 14- 26.

Muhammad Zaid. (2019). Gallus gallus domesticus dan paradoxurus hermaphraditus dalam peribahasa Melayu: Analisis semantik inkuisitif.

Jurnal Kemanusiaan, 17 (1), 36-42.

Nor Asiah. (2017). Strategi metafora integrasi dalam pembentukan makna simpulan bahasa ‘kepala’ berdasarkan Teori Blending. Internasional seminar ‘Language maintenance and shift” IV ISSN; 2088-6799.

Nor Hafuza & Hasmidar Hassan. (2018). Analisis semantik kognitif metafora

‘hati’ berdasarkan korpus dalam dua dekad. Universiti Malaya.

Nor Hashimah & Junaini Kasdan. (2010). Remaja Malaysia dan peribahasa Melayu. Jurnal Linguistik, 10, 158-172.

Nor Hashimah. (2014). Pemugaran penyelidikan untuk pemerkasaan Bahasa.

Institut Alam dan Tamadun Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Norafidah Tajudidin (2017). Malay idiomatic expression: Their structure and categorization. Universiti Malaya.

Robert Sibarani. (2002). Penggunaan peribahasa sebagai jati diri wacana bahasa.

pemikiran Melayu tentang alam dan hakikat diri. Prosiding kolokium

bahasa dan pemikiran bahasa Melayu/ Indonesia II. Dewan Bahasa dan

Pustaka.

(16)

Rusli Ghani & Zaiton Darois. (2001). Soal hati: Suatu kajian korpus. Konvensyen bahasa kebangsaan 2001. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ryandi. (2014). Konsep hati menurut al-Hakin al-Tirmidzi. ilmu aqidah pascasarjana ISID Gontor. Dimuat turun pada 15 April 2021 di https://ejournal.unida.gontor.ac.id/index.

php/kalimah/article/view/221/213.

Sarudin, A. (2012). Aspek kognitif dalam pembentukan simpulan bahasa kata makan. Journal of Malay Language, Education and Literature, 3, 97-115.

Zaid Zin & Wan Suhaila. (2017). Kajian persamaan makna peribahasa dan Melayu dan peribahasa Jepun. Jurnal Bahasa dan Budaya Jepun, 7, 19- 33.

Zainal Abidin. (1962). Pelita Bahasa Melayu: Permulaan nahu MelayuDewan Bahasa dan Pustaka.

Zaitul Azma & Ahmad Fuad. (2011). Peribahasa Melayu, penelitian makna dan

nilai. Universiti Putra Malaysia.

Referensi

Dokumen terkait