• Tidak ada hasil yang ditemukan

TEORI DAN PRINSIP PERKAMUSAN

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2021

Membagikan "TEORI DAN PRINSIP PERKAMUSAN"

Copied!
5
0
0

Teks penuh

(1)

TEORI DAN PRINSIP PERKAMUSAN

Mengikut The American College Dictionary (1960:36), kamus ialah buku yang berisi pilihan kata sesuatu bahasa atau sesuatu kelas kata khusus, biasanya disusun mengikut abjad dengan penjelasan makna serta maklumat lain dinyatakan atau dilahirkan dalam bahasa yang sama atau dalam bahasa yang lain.

Kamus juga dimaksudkan sebagai buku rujukan yang memuatkan daftar kata atau gabungan kata dengan keterangan pelbagai makna dan penggunaan dalam bahasa, biasanya mengikut abjad ,Harimurti Kridalaksana, (1982:73).

Perkamusan merupakan bidang yang menerangkan makna sesuatu istilah dan kata. Bidang ini penting kerana hasilnya dijadikan panduan dalam bahasa. Oleh yang demikan terdapat tiga konsep penting dalam penciptaan kamus,iaitu tipologi, leksikologi, dan leksikografi.

Perkamusan atau leksikografi bahasa Melayu bermula dalam bentuk senarai kata. Pada peringkat awal perkamusan Melayu hanya tertumpu dalam menghasilkan kamus-kamus dwibahasa. Kamus terawal yang ditemui ialah satu senarai kata Melayu-Cina yang dikumpulkan antara tahun 1403M-1511M. Beberapa senarai kata yang lain ialah senarai kata Itali-Melayu yang dihasilkan oleh Antonio Pigafetta (1519M-1522M), senarai kata yang dihasilkan oleh Frederick de Houtmann (1603M) . Selepas itu terdapat beberapa buah kamus yang dihasilkan oleh pengkaji-pengkaji Barat (lihat lampiran) . Penghasilan kamus dalam bentuk dwibahasa ini dihasilkan dengan tujuan untuk mempelajari dan memahami bahasa Melayu bagi memudahkan urusan pentadbiran dan komunikasi antara para penjajah dan pedagang dengan masayarakat Melayu.

Perkamusan Melayu terus berkembang sehinggalah terhasil sebuah kamus ekabahasa bahasa Melayu, yang disusun oleh seorang ahli bahasa Melayu iaitu Raja Ali Haji, kamus tersebut diberi nama Kitab Pengetahuan Bahasa. Sesuai dengan tajuknya, kitab ini dihasilkan sebagai buku panduan kepada masyarakat Melayu untuk belajar dan menggunakan bahasa Melayu dengan lebih teratur.

Selepas Kitab Pengetahuan Bahasa dihasilkan, beberapa kamus Melayu lain turut menyusul, antaranya Kamus Mahmudiyah oleh Syed Mahmud Syed Abdul Kadir (1894), Kamus Melayu oleh Haji Shamsuddin bin Muhammad (1920), kamus

(2)

dwibahasa Inggeris-Melayu atau Buku Katan P.B.M.P.B (juga dikenali sebagai Kamus Melayu) oleh Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku Diraja Johor (1936).

Selepas tarikh-tarikh tersebut, perkamusan Melayu diambil alih oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka. Sumbangan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam menghasilkan kamus-kamus Melayu lengkap dan bermutu tidak boleh dipertikaikan lagi. Setelah beberapa tahun mengendalikan kerja-kerja perkamusan, pada tahun 1970 Kamus Dewan Edisi Pertama telah diterbitkan. Kamus yang sangat diperlukan oleh masyarakat pengguna dan penutur bahasa Melayu itu telah menjadi rujukan dan panduan bagi seluruh pengguna bahasa Melayu. Kamus Dewan telah diulang cetak beberapa kali dalam beberapa siri edisi terbaru. Setiap cetakan yang terbaru akan dimuatkan konsep-konsep dan aspek-aspek terkini yang berlaku dalam bahasa Melayu.

Sesuai dengan perkembangan sains dan teknologi ini, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menghasilkan ratusan mungkin juga ribuan kamus yang digunakan oleh seluruh masyarakat pengguna bahasa Melayu. Begitu juga dengan kemasukan era teknologi maklumat, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama dari pihak-pihak lain yang berkenaan telah berjaya menghasilkan kamus elektronik dan multimedia untuk kemudahan pengguna-pengguna bahasa Melayu. Namun begitu beberapa perkara perlu dilihat dan dibincangkan mengenai kamus-kamus elektronik dan multimedia ini

Leksikologi bahasa Melayu bermula agak lewat daripada yang sepatutnya.

Sehingga kini kita masih kekurangan ahli-ahli leksikologi yang boleh membantu dalam usaha penghasilan kamus. Perkamusan Melayu masih mencari-cari teori yang sesuai dalam kerja-kerja perkamusan yang dijalankan. Walau pun begitu, bahasa Melayu sudah mempunyai kamus-kamus yang lengkap dan bermutu untuk kegunaan masyarakat bahasanya. Sesuai dengan ledakan ilmu pada zaman teknologi maklumat ini, leksikologi Melayu juga tidak ketinggalan. Melihat kepada perkembangan leksikologi yang semakin maju, adalah perlu bagi bahasa Melayu mempertingkatkan lagi kajian dan penyelidikan dalam bidang ini bagi memenuhi kehendak zaman.

Prinsip-prinsip penyusunan kamus perlulah memerhatikan perkara-perkara yang berikut:

(3)

Perancangan - pertadbiran yang berkaitan dengan perbelanjaan, penentuan individu, dan penentuan prasarana.

Siapakah yang terlibat? - Individu yang terlibat bersangkutan dengan persyaratan keahlian dan kemampuan individu melaksanakan program perkamusan.

Aspek linguistik - aspek linguistik digarap menurut cabang ilmu linguistik yang berkaitan dengan leksikologi termasuklah tatabahasa, lafaz, pengetahuan dialek, maklumat ensiklopedia dan sebagainya.

Pemasaran - aspek yang berkaitan dengan penyebaran kamus secara meluas sebagai satu produk.

Pra-syarat kemampuan peneliti atau penyusun kamus - penguasaan dua atau tiga bahasa di samping bahasa ibunda akan menentukan kepekaan linguistik dan keterbukaan terhadap isu-isu bahasa. Penyusun kamus juga perlulah mempunyai ketekunan yang konsisten, ketelitian dan kecermatan.

Selain daripada itu, semangat untuk terus belajar dan cinta kepada bahasa serta ilmu bahasa juga tidak kurang penting.

Bagaimanakah penelitian dilakukan? - Penelitian leksikologi termasuklah yang bersangkutan dengan korpus bahasa dalam penyusunan pangkalan data.

Penelitian aspek bahasa lain seperti tatabahasa sebagai maklumat pelengkap mengenai data yang disajikan.

Beberapa prinsip perlu dijadikan pegangan dalam penyusunan kamus, iaitu:

Keaslian - kamus haruslah memuatkan bahasa yang ada bukti bahawa bentuk tersebut benar-benar digunakan oleh penutur jati.

Keperwakilan - bergantung kepada format kamus yang ditentukan oleh pengguna yakni khalayak, kamus perlu memuatkan bahan yang benar-benar mewakili ruang lingkup khalayak misalnya bahasa untuk kanak-kanak.

Kelayakan - penyusun harus pasti bahawa hasil kerjanya sesuai dengan tujuan pekerjaannya. Keperluan bagi kamus ekabahasa tidak sama dengan kamus

(4)

dwibahasa. Selain daripada itu, kelayakan sosial juga perlu diambil kira misalnya bahasa, agama, dan adat istiadat pengguna kamus.

Sumber bagi kata masukan atau entri perlulah sumber yang layak diterima pakai berdasarkan penelitian lapangan, iaitu sumber primer atau sumber sekunder berdasarkan rujukan kepustakaan.

Kamus tidak sekadar mencatat makna tetapi kamus mempunyai perkaitan yang rapat dengan ilmu makna atau semantik. Semantik mengkaji makna kata dan amat penting bagi seorang penyusun kamus. Apa yang menjadi kandungan kamus bukan sekadar kata tetapi makna kata-kata tersebut. Lambang mempunyai makna yakni bukan sahaja bahasa tetapi lambang memberikan makna tertentu. Contohnya apabila mata melihat sesuatu objek seperti baju pastinya mempunyai ciri-ciri warna, bentuk atau jenis kain. Lyons dalam Semantics (1977) membezakan tiga makna berasaskan bahasa, iaitu;

i) makna deskriptif yakni makna biasa berkenaan sifat dan sebagainya, misalnya makna dalam kamus;

ii) makna sosial yakni makna dalam konteks kegunaan sosial misalnya naga mempunyai nilai tambah bergantung kepada budaya (masyarakat Cina memberikan nilai baik manakala masyarakat Barat memberikan nilai negatif);

dan

iii) makna ekspresif yakni makna berkaitan dengan perasaan misalnya kagum atau marah berbeza berdasarkan persepsi individu.

RUJUKAN

1. Kamus Dewan Edisi Baharu (2008). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

2. Ismail Hussein, 1966. Sejarah Pertumbohan Bahasa Kebangsaan Kita, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

(5)

3. Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Haji Musa dan Abdul Hamid Mahmood (2008). Tatabahasa Dewan (Edisi Ketiga). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

4. James T Collins, 1998. Malay, World Language: A Short History,. Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka.

5. Ibrahim Ahmad 1994. Perkamusan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

6. Gazali Dunia(1992). Sastera Melayu Lama. Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd.:Kuala Lumpur.

7. Asmah Haji Omar, 1985. Perancangan bahasa dengan rujukan khusus kepada perancangan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

8. B. Mallikarjun Globalization and Indian languages. Language in India, Vol.3: 2 Februari 2003.

9. A.Aziz Deraman, 2000. Tamadun Melayu Dan Pembinaan Bangsa Malaysia.

Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

10. Abdullah Hassan, 1997. Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu dan Esei-Esei Lain. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti.

11. Awang Sariyan, 2004. Teras Pendidikan Bahasa Melayu. Asas Pegangan Guru, PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

12. Hashim Bin Hj. Musa, 2004. Pemerkasaan Tamadun Melayu Malaysia:

Menghadapi Globalisasi Barat. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

13. Siti Hajar Abdul Aziz (1996). Tatabahasa Bahasa Melayu (Perkataan). Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

14. Harimurti Kridalaksana (1983). Tradisi dan Inovasi dalam Penyelidikan Bahasa Melayu. dalam Jurnal Persatuan Linguistik Malaysia.

Referensi

Dokumen terkait