ROJAK YANG TIDAK ENAK
Mazura binti Sulaiman Jabatan Pengajian Melayu
Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim 08000, Sungai Petani, Kedah
Tel. Pejabat : 04-4218621 Tel. Bimbit : 019-2818983 Emel : [email protected]
Abstrak
Penggunaan bahasa bukan sahaja mencerminkan budaya malah secara tidak langsung mencerminkan personaliti penggunanya. Seiring dengan peredaran zaman satu dimensi cabaran berlaku terhadap penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat. Bidang pendidikan merupakan satu bidang yang tidak dapat lari dari tempias cabaran ini. Sebagai guru bahasa Melayu penggunaan bahasa Melayu baku amat dituntut. Kajian ini dijalankan untuk meninjau sejauh mana penggunaan bahasa rojak berlaku dalam kalangan siswa guru pengkhususan bahasa Melayu. 26 orang siswa guru Semester 8, Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan pengkhususan bahasa Melayu pada tahun 2016 dilibatkan sebagai responden untuk kajian ini. Instrumen soal selidik digunakan untuk mendapat data tentang tahap dan senario penggunaan bahasa rojak dalam kalangan responden. Data dianalisis secara kuantitatif dengan menggunakan bilangan serta peratus. Dapatan kajian mendapati penggunaan bahasa rojak amat ketara dalam kalangan responden terutama yang melibatkan komunikasi lisan. Dapatan kajian juga mendapati terdapat beberapa faktor utama yang menyebabkan hal ini berlaku. Meskipun ada kesedaran perlunya menggunakan bahasa Melayu baku namun kerana kekangan-kekangan yang ada menyebabkan sukar bagi siswa guru ini memenuhi tuntutan tersebut. Usaha perlu dilakukan untuk mengelakkan permasalahan ini berterusan terutama dalam kalangan siswa guru kerana mereka merupakan suri teladan apabila bertugas di sekolah nanti.