B. PEMBAHASAN
1. Motif Bulan
Motif Bulan Dalam Seni Anyaman (Blehaut 1992:166)
Motif Bulan pada seni tradisi Iban yang dicipta dalam seni anyaman digunakan untuk menganyam bakul ataupun tikar bemban. Bulan sangat banyak memainkan peranan dalam kehidupan Iban tradisi seperti yang sedia maklum. Bulan dipandang sebagai salah satu daripada objek kosmos dan ia sangat berkait-rapat dengan kehidupan Iban seperti dalam bidang pertanian,
33 menangkap ikan, mengutip madu lebah, nenggau atau nyuluh (memburu binatang waktu malam sahaja), mengambil rotan, mengambil kulit kayu yang digunakan untuk membuat tikar rotan dan tali bakul.
Masyarakat Iban pada zaman dahulu adalah masyarakat tani dan mengamalkan sistem pertanian pindah dan kebanyakan mereka tinggal di kawasan pedalaman dan oleh yang demikian, mereka menanam padi bukit tetapi terdapat juga yang menanam padi sawah terutamanya mereka yang tinggal di kawasan hilir sungai seperti di hilir sungai Layar, sungai Paku, Sungai Padeh, sungai Rimbas, sungai Kerian dan sungai Awik.
Dalam proses penanaman padi sama ada padi sawah atau padi bukit, bulan sangat diperlukan sebagai pedoman untuk memulakan kerja menuai padi sebab Iban Saribas tradisi tidak menuai padi sesuka hati dan untuk memulakan kerja menuai, mereka akan mengadakan ritual kecil yang disebut dalam bahasa Iban nyumba. Pada masa itu kerja menuai padi dimulakan dengan menuai beberapa tangkai padi yang masak sahaja dan kerja itu mesti dibuat pada waktu anak bulan iaitu 6-8 hari bulan langit atau kalendar Islam. Pada hari itu tangkai padi yang dituai tidak boleh banyak, iaitu kira-kira sebakul kecil (seluk) sahaja kerana dalam kepercayaan Iban tradisi pada ritual nyumba mereka tidak dibenarkan menuai banyak padi. Selepas itu mereka harus berehat selama tiga hari dan selama itu mereka dilarang pergi ke huma atau sawah berkenaan. Sekiranya mereka melanggar pantang larang berkenaan dipercayai boleh membuatkan semangat padi tidak senang dan ia akan mengakibatkan keluarga berkenaan kurang mendapat hasil padi yang lumayan ataupun hasil huma itu nanti diganggu antu rua. Antu rua ialah sejenis semangat jahat yang dipercayai oleh Iban Saribas tradisi boleh membuatkan makanan cepat habis dan oleh itu, ia juga dipercayai boleh menyebabkan manusia kebuluran. Selain daripada gangguan antu rua, adalah dipercayai perbuatan melanggar pantang larang itu boleh menyebabkan padi-padi itu diganggu binatang seperti tikus, babi hutan dan rusa atau orang yang melanggar pantang-larang tersebut boleh menjadi sial padi. Sial padi bermaksud hasil padi orang berkenaan sentiasa tidak mencukupi dan oleh itu keluarga tersebut akan selalu mengalami kelaparan. Kalau pantang-larang itu dipatuhi maka dipercayai dewa-dewi yang berkaitan dengan penanaman padi akan menjaga dan memberkati huma itu dan oleh yang demikian, keluarga berkenaan akan sentiasa hidup senang.
Dalam bidang menangkap ikan, bulan juga dijadikan panduan oleh Iban Saribas kerana sekiranya seseorang ingin mengail ikan keli maka orang itu mesti pergi mengail pada 16-18 hari
34 bulan langit. Pada malam tersebut, ikan keli dipercayai banyak keluar dan kerja mengail itu mesti dilakukan bermula pada jam 7.00 sehingga 9.30 malam iaitu sebelum bulan terbit. Ini adalah dipercayai apabila bulan sudah terbit, ular akan keluar dan ikan keli tidak berani keluar lagi kerana takut dimakan oleh ular.
Begitu juga, pada malam bulan terang purnama iaitu 14-16 hari bulan langit dan kalau cuaca pada malam itu sejuk maka dipercayai ikan-ikan di hulu sungai akan mengeluarkan telur mereka di air yang cetek dan ini disebut dalam dialek Iban Saribas sebagai ikan ngaban. Pada masa ikan ngaban Iban Saribas menangguk atau memukat ikan-ikan berkenaan. Begitu juga anak berudu akan keluar banyak pada malam bulan terang purnama dan sesiapa yang suka makan anak berudu boleh pergi ke sungai pada malam purnama iaitu ketika cuaca sejuk dan baik.
Pada malam bulan terang purnama juga sejenis katak besar yang disebut dalam bahasa Iban pama juga banyak keluar. Ramai di antara Iban Saribas tradisi suka makan katak tersebut dan ia dipercayai mempunyai khasiat yang sangat baik untuk mencuci badan daripada pelbagai penyakit seperti sakit kulit (kudis) dan juga boleh mencantikkan serta menghaluskan kulit orang yang selalu memakannya.
Apabila hendak mengail labi-labi juga hendaklah pada waktu anak bulan ataupun bulan purnama kerana pada masa itu kerja mengail labi-labi selalu mendatangkan hasil yang baik.
Terdapat juga di antara Iban Saribas yang tinggal di bahagian hilir sungai, suka makan temakul dan untuk menangkap temakul itu dengan senang hendaklah dilakukan pada waktu malam di antara 27- 30 hari bulan langit sebab pada malam tersebut sangat gelap. Temakul suka bermain di tepi pantai dan mereka yang ingin menangkap temakul itu akan menggunakan lampu suluh dan apabila temakul terpandang lampu suluh ia tidak bergerak kerana silau dan tidak nampak dengan jelas dan oleh itu ia sangat senang ditangkap. Pada waktu bulan terang temakul sangat susah ditangkap kerana ia dapat melihat dengan jelas dan boleh melarikan diri dengan pantas.
Kerja memburu binatang seperti menyuluh pelanduk dan babi hutan pada waktu malam dan menurut mereka Iban Saribas tradisi biasanya melakukan kerja tersebut pada waktu anak bulan sabit kerana dipercayai binatang hutan akan keluar mencari makanan pada masa tersebut. Mereka membina pepara di dahan-dahan pokok yang rendang dan dari pepara itu mereka akan menembak babi hutan yang lalu di tempat berkenaan.
35 Apabila menyuluh pelanduk, mereka biasanya berjalan ke hutan pada waktu malam berkenaan tetapi tidak membuat pepara seperti memburu babi hutan kerana pelanduk biasanya berjalan seekor demi seekor atau berpasangan (jantan dan betina) tidak seperti babi hutan yang suka keluar merayau di hutan dalam kumpulan dan ini sangat berbahaya kerana jikalau babi hutan sudah cedera ia pasti akan mengamuk sebab itulah pemburu mesti tinggal menghendap di atas pokok.
Untuk memburu binatang seperti pelanduk dan kijang hendaklah pada masa selepas bulan purnama tetapi mesti dilakukan sebelum bulan terbit kerana selepas itu, keadaan di hutan agak terang dan oleh itu binatang boleh nampak si pemburu dan terus lari.
Pada 1 hingga 3 hari bulan langit adalah sangat berbahaya kerana dipercayai semua haiwan yang berbisa seperti ular tedung, kala jengking, labah-labah beracun, buaya dan lain-lain dipercayai berkeliaran di hutan. Iban Saribas tradisi sangat berwaspada kerana hutan yang mengelilingi rumah panjang mereka mempunyai haiwan-haiwan seperti yang dinyatakan di atas. Oleh yang demikian, golongan tua selalu mengingatkan golongan muda dan budak-budak supaya tidak bermain di hutan dan di sungai pada waktu anak bulan (1-3 bulan langit) kerana ia sangat berbahaya dan kalau nasib kurang baik maka sesiapa yang ingkar boleh mendapat malapetaka, misalnya dibaham oleh buaya, dipatuk oleh ular yang berbisa dan sebagainya.
Apabila Iban Saribas hendak mencari kayu untuk membina rumah dan juga rotan, mereka mesti tahu masa yang sesuai supaya kayu atau rotan yang diambil itu tidak mudah reput atau dimakan serangga. Pada 16 hari bulan langit Iban Saribas tradisi tidak suka atau mengelak mengambil kayu atau rotan kerana hari berkenaan adalah keleman bubuk.‡
Sekiranya Iban Saribas hendak membina rumah panjang, mereka biasanya memulakan kerja mendirikan tiang induk rumah panjang pada 8 hari bulan langit. Ini adalah menurut kepercayaan tradisi iaitu kalau tiang induk didirikan pada hari tersebut penghuninya nanti akan hidup sejahtera kerana hari itu dipercayai membawa tuah seperti sihat, mudah rezeki dan sebagainya.
‡Keleman bubuk adalah hari yang dilarang sama sekali kerana bagi kepercayaan orang tua dan pengalaman mereka, kayu, buluh, atau rotan yang diambil pada hari tersebut memang selalu diganggu oleh serangga dan oleh yang demikian alat tersebut tidak sesuai dan tidak patut digunakan untuk membina rumah, pondok ataupun tikar rotan. Bubuk ialah sejenis serangga perosak yang selalu merosakkan kayu, rotan dan buluh.
36 Iban Saribas pada zaman dahulu mengambil madu lebah dan juga anak-anak lebah. Madu lebah adalah satu daripada hasil hutan yang dipercayai oleh Iban Saribas sebagai makanan yang sedap, berkhasiat dan boleh dijadikan penawar seperti penawar racun, sakit perut kerana keracunan makanan dan sebagainya dan anak-anak lebah juga dijadikan makanan. Lilin lebah boleh digunakan sebagai bahan menjahit kain iaitu untuk menegakkan benang supaya senang dicucuk ke dalam lubang jarum dan sebagainya.
Untuk mengutip madu dan anak lebah, Iban Saribas sangat bergantung kepada keadaan anak bulan iaitu mereka hanya melakukan kerja tersebut pada 6-8 hari bulan langit kerana pada waktu tersebut madu itu banyak dan anak lebah pula sudah cukup membesar untuk dibuat lauk. Kalau terlalu awal, madu mungkin banyak tetapi anaknya masih kecil dan sekiranya lewat, anaknya sudah terlalu tua atau hampir menjadi serangga lebah dan madunya juga berkurangan. Oleh yang demikian, mengambil madu lebah mestilah mengikut masa yang sesuai untuk mendapat hasil yang lumayan.
Pada zaman dahulu Iban Saribas membuat tali bakul, raga dan menganyam sejenis tikar rotan yang disebut dalam bahasa Iban tikai sana dan tikai idas daripada sejenis kulit pokok yang dinamakan tekalung. Untuk membuat tali atau bilah tekalung untuk tikar idas dan tikar sana daripada kulit pokok berkenaan, Iban Saribas hanya mengambil kulit daripada pokok-pokok yang masih muda iaitu kira-kira mempunyai diameter 10 sentimeter. Masa yang paling sesuai untuk mengambil kulit pokok ialah pada 6-8 hari bulan langit sebab pada hari tersebut kulitnya senang dikupas dan tidak mudah koyak tetapi pada waktu yang lain ia mudah koyak dan sangat susah dikupas daripada batangnya.
Bagi Iban Saribas pada zaman dahulu, kulit pokok tersebut sangat penting kerana selain dijadikan tali untuk semua jenis bakul, raga atau bilah untuk tikai sana, ia juga digunakan untuk membuat girdle yang digunakan oleh kaum wanita semasa mereka dalam pantang iaitu selepas bersalin. Girdle yang dibuat daripada kulit pokok tekalung sangat baik untuk memulihkan atau melangsingkan bahagian perut seorang wanita selepas bersalin atau dalam pantang.
Latar belakang masyarakat Iban Saribas yang berkaitan dengan kepercayaan animisme telah membuatkan mereka sangat percaya tentang kewujudan hantu semangat seperti gergasi. Oleh yang
37 demikian mereka percaya bahawa hantu gergasi suka berkeliaran atau memburu pada waktu bulan purnama.
Dalam kepercayaan animisme Iban Saribas, hantu gergasi adalah sejenis hantu yang kuat dan mempunyai rupa yang sangat tinggi dan sangat mengerikan seperti berkulit kasar atau berduri-duri, mempunyai tanduk di dahi dan sebagainya. Walaupun hantu gergasi ini dipercayai sejenis hantu yang suka makan atau membunuh manusia tetapi adakalanya ia dipercayai suka membantu manusia yang dalam kesulitan atau memberi pengaruh supaya orang berkenaan boleh menjadi kuat (kuat yang luar biasa) oleh itu senang bagi orang berkenaan menewaskan musuhnya atau membuat kerja yang berat-berat seperti memikul batang pokok, perahu dan lain-lain.
Pada masa dahulu terdapat di antara kaum lelaki Iban Saribas yang berani pergi ke hutan seperti gunung atau bukit pada waktu bulan terang purnama semata-mata mengharapkan dapat menjumpai gergasi untuk mendapatkan pengaruh. Mereka yang pergi untuk beniat itu harus membawa pemberian atau persembahan khas (miring) dan apabila tiba di tempat yang telah dipilih, maka orang itu akan melakukan ritual khas untuk memuja dan memanggil gergasi.
Pada zaman dahulu Iban Saribas juga percaya bahawa bulan gerhana berlaku kerana bulan itu ditelan oleh naga dan oleh yang demikian, pada waktu bulan gerhana mereka memukul gendang atau gong sekuat-kuatnya supaya naga itu melepaskan bulan yang ditelannya. Mereka berbuat demikian kerana mereka sangat memerlukan bulan dalam kehidupan mereka seperti yang telah diceritakan di atas.
Iban Saribas percaya kepada mimpi dan oleh itu beliau menyatakan sekiranya seseorang itu bermimpi melihat bulan, maka mimpi itu dipercayai sangat baik kepada anak orang yang bermimpi itu. Ia memberi alamat bahawa anak orang itu akan berjaya dalam hidup seperti mendapat kerja yang baik dan juga berpangkat tinggi misalnya akan menjadi pengarah dan menteri.
Terdapat juga beberapa cerita mitos dan cerita rakyat Iban Saribas tradisi yang dikaitkan dengan bulan. Misalnya Cerita Nenek Andan, Cerita Bongsu Pungguk dan Bongsu Bulan dan sebagainya. Dalam kepercayaan animisme Iban Saribas terdapat seorang dewi duduk di bulan dan nama dewi berkenaan adalah Nenek Andan yang disebut nama dalam dialek Iban Saribas Ini Andan. Menurut informasi, terdapat beberapa versi mengenai cerita Nenek Andan tetapi semua
38 versi itu menceritakan bahawa nenek tersebut mempunyai kuasa luar biasa. Dia boleh mengubat orang yang sakit dan dia juga boleh menyembuhkan orang yang cacat seperti dalam cerita Lumpung Manding iaitu seorang anak kepada dewa Keling dan isterinya dewi Kumang Gelung yang lahir cacat kemudian dipulih oleh dewi berkenaan. Setelah diberi mandi oleh Nenek Andan dengan dulang ajaib maka si Lumpung Manding pun menjadi seorang anak muda yang tampan, kuat dan mempunyai kuasa luar biasa dan berjaya menawan dan memperisterikan Kumang Bunsu Langit iaitu puteri bongsu Raja Langit.
Gerijih (1967) juga menceritakan tentang kisah Nenek Andan yang membantu Kumang langit iaitu anak kepada Raja Langit yang lari dari rumah kerana ingin hendak berkahwin dengan Keling Gerasi Nading Bujang Berani Kempang di Panggau Libau. Dalam kisah itu, Nenek Andan menggunakan dulang emas ajaibnya untuk menghulurkan Kumang Langit ke bumi dan menurut cerita itu dulang emas tersebut mendarat di tepi sungai tempat penghuni Panggau Libau mandi.
Menurut informan Sigon ak Jembu Iban Saribas juga percaya bahawa Nenek Andan adalah seorang Tukang Perubatan yang sangat mahir dan oleh itu dia dipercayai boleh menyembuhkan segala penyakit sama ada penyakit itu disebabkan oleh gangguan hantu semangat ataupun buatan orang.
Oleh yang demikian, semasa persembahan ritual perubatan seperti Mengap ke Orang Sakit atau Berenung, lemambang-lemambang berkenaan kadang-kala memuja Nenek Andan supaya datang membantu dalam ritual berkenaan.
Motif Dulang Ini Andan (Koleksi: Anna Durin)
39 Selain kisah Nenek Andan terdapat juga cerita rakyat Iban Saribas berkaitan dengan bulan seperti suatu kisah cinta di antara seorang gadis cantik yang bernama Bunsu Bulan dan seorang jejaka tampan yang bernama Bunsu Tungguk. Bunsu Bulan adalah seorang gadis atau puteri bongsu bulan yang sangat cantik dan dia tinggal di bulan. Bunsu Tungguk adalah putera bongsu burung pungguk yang sangat lawa dan dia tinggal di bumi. Dalam cerita rakyat Iban Saribas, pada zaman dahulu iaitu pada waktu bulan terang purnama Bunsu Bulan suka menjelma sebagai anak gadis (manusia) turun bermain-main di bumi dan begitu juga Bunsu Tungguk sama-sama menjelma seperti manusia dan juga suka bermain-main pada masa yang sama. Pada suatu malam bulan cantik mengambang, Bunsu Bulan terjumpa Bunsu Tungguk di tepi sebuah sungai dan tatkala mereka berpandangan mereka sama-sama jatuh hati antara satu sama lain. Mereka saling mencintai dan setiap malam terang purnama, mereka akan berjumpa di tepi sungai itu. Menurut cerita rakyat itu, keadaan di tepi sungai itu pada malam purnama sangatlah cantik dan indah. Walaupun mereka sangat mencintai di antara satu sama lain, akan tetapi mereka juga sedar bahawa mereka tidak boleh berkahwin kerana Bunsu Bulan tidak boleh tinggal di bumi dan sekiranya Bunsu Bulan terkena cahaya matahari nescaya dia akan lebur menjadi cecair dan begitu juga Bunsu Tungguk tidak boleh tinggal di bulan.
Pada satu malam bulan purnama seperti biasa kedua kekasih bertemu dan memadu asmara seperti biasa tetapi kali ini mereka telah terlupa bahawa mereka telah terlebih masa. Sebenarnya mereka mesti berpisah dan balik ke tempat tinggal masing-masing sebelum matahari terbit tetapi kali ini mereka leka dan apabila matahari terbit barulah keduanya sedar tetapi sudah terlambat.
Tatkala Bunsu Bulan terkena cahaya matahari maka dia menjadi lemah dan Bunsu Tungguk tidak terdaya menyelamatkan kekasihnya dan seterusnya seluruh badan Bunsu Bulan menjadi lembek dan lebur menjadi cecair. Bunsu Tungguk menangis melihat keadaan kekasihnya begitu akan tetapi dia tidak boleh berbuat apa-apa untuk membantunya dan oleh itu dia hanya mampu menangis. Oleh kerana kisah itulah, orang tua menyatakan bahawa apabila burung pungguk berbunyi maka ia dikatakan sedang menangis kerana merindukan bulan.
Menurut cerita orang tua yang disampaikan oleh informan Cannidy ak Usit, terdapat di antara cecair itu bertukar menjadi butiran batu yang kecil dan sesiapa yang bernasib baik akan terjumpa butiran batu berkenaan. Butiran batu itu dipercayai adalah azimat untuk memikat kekasih atau disebut dalam bahasa Iban jayau batu bulan. Iban Saribas tradisi percaya jayau batu bulan itu boleh
40 menyuruh pemiliknya menjadi cantik atau tampan dan awet muda. Selain itu, jayau batu bulan juga dipercayai boleh menyuruh orang suka kepada orang yang membawa atau menyimpannya dan oleh itu ia kadang-kadang dinamakan batu pengerindu yang bermaksud batu yang membuatkan orang suka kepada pemiliknya. Oleh kerana orang suka dan mencintai si pemilik maka senanglah dia meminta pertolongan daripada orang.