Kecerdasan Emosi Guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Masalah Pembelajaran di Melaka
(Emotional Intelligence of Special Education Integration Program (SEIP) Teachers in Malacca)
Lee Hui Feng1*, Mohd Mokhtar Tahar1
1 Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Selangor, Malaysia.
*Pengarang Koresponden: [email protected]
Accepted: 15 February 2023 | Published: 1 March 2023
DOI:https://doi.org/10.55057/jdpd.2023.5.1.7
_________________________________________________________________________________________
Abstrak: Kecerdasan emosi adalah satu daripada elemen penting yang menjadi penentu kejayaan seseorang guru. Pelbagai cabaran yang harus ditempuhi oleh guru pendidikan khas semasa membimbing dan mendidik murid berkeperluan khas yang terdiri daripada pelbagai kategori dan ianya dapat mempengaruhi emosi guru. Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti tahap kecerdasan emosi guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Masalah Pembelajaran peringkat sekolah rendah di Melaka berdasarkan demografi guru, iaitu jantina dan pengalaman mengajar. Pendekatan kuantitatif melalui kaedah tinjauan digunakan dalam pelaksanaan kajian ini. Penyelidikan ini menggunakan Teori Kecerdasan Emosi Golemen sebagai dasar. Sampel kajian adalah 250 orang guru PPKI Masalah Pembelajaran peringkat sekolah rendah di Melaka. Kaedah persampelan rawak mudah telah digunakan untuk memilih sampel kajian. Soal selidik yang diadaptasi daripada Instrumen Kecerdasan Emosi (EQ) yang dibina oleh Supardi et al. dengan nilai pekali Alpha Cronbach α = 0.94 digunakan untuk mengumpul data. Perisian Statistical Package for Social Sciences (SPSS) versi 26 diaplikasikan untuk menganalisis data yang diperoleh. Hasil analisis deskriptif menunjukkan bahawa tahap kecerdasan emosi guru adalah tinggi. Analisis Ujian T mendapati tidak terdapat perbezaan antara kecerdasan emosi guru berdasarkan jantina. Analisis ANOVA sehala pula menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara kecerdasan emosi dengan pengalaman mengajar. Dapat disimpulkan bahawa kecerdasan emosi responden kajian tidak dipengaruhi oleh jantina dan pengalaman mengajar. Penambahbaikan yang boleh dibuat adalah mengambil kira demografi lain yang berkemungkinan mempunyai kesan terhadap kecerdasan emosi guru seperti status perkahwinan dan lokasi sekolah. Diharapkan dengan memiliki kecerdasan emosi yang tinggi, guru berkemampuan melaksanakan tanggungjawab dengan baik dalam memastikan kemenjadian murid.
Kata kunci: kecerdasan emosi, guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), jantina, pengalaman mengajar
Abstract: Emotional intelligence plays an important role in determining a teacher’s success.
There are various challenges that special education teachers have to overcome in guiding and educating students with special needs that consist of various categories and it can affect the teacher's emotions. This study aims to identify emotional intelligence level of primary school teachers in Special Education Integration Program (SEIP) in Melaka based on teachers’
gender and teaching experience. A quantitative approach through a survey method was used in the implementation of this study. This study uses Golemen's Theory of Emotional Intelligence
as a basis. The research sample was 250 PPKI primary school teachers in Melaka who were selected using a simple random sampling method. A questionnaire which was adapted from the Emotional Intelligence Instrument (EQ) built by Supardi et al. with Cronbach's Alpha coefficient value α = 0.94 was used to collect data. Statistical Package for Social Sciences (SPSS) version 26 was used to analyze the data. Descriptive analysis showed that the level of emotional intelligence of teachers was high. T-Test analysis found that there was no difference between the emotional intelligence of teachers based on gender. One-way ANOVA analysis shows that there is no significant difference between emotional intelligence and teaching experience. In conclusion, the emotional intelligence of the respondents was not affected by gender and teaching experience. Improvements that can be made are taking into account other demographic factors that can possibly impact teachers' emotional intelligence such as marital status and school location. It is expected that with high emotional intelligence, teachers can carry out their responsibilities well in ensuring students' success.
Keywords: emotional intelligence, Special Education Integration Program (SEIP) teacher, gender, teaching experience
___________________________________________________________________________
1. Pengenalan
Kecerdasan emosi adalah satu daripada elemen penting yang menjadi penentu dalam kejayaan seseorang individu dalam kehidupannya. Kecerdasan emosi boleh ditakrifkan sebagai keupayaan seseorang individu untuk mengenali dan memahami emosi diri sendiri dan orang lain serta berkeupayaan mengawal atau menggunakan emosi berkenaan dalam berfikir dan menyelesaikan masalah atau konflik (Ghani & Wan Sharipahmira, 2014; Goleman, 1995;
Krishnan & Siti, 2020; Mayer & Salovey, 1993). Kecerdasan emosi dapat membantu mewujudkan interaksi sosial yang positif, membantu menjaga kesihatan fizikal dan psikologi, memastikan keberkesanan komunikasi serta mengeratkan hubungan dengan individu lain dalam bidang profesional dan juga dalam kehidupan peribadi (Frolova et al., 2019). Kecerdasan emosi seseorang guru merujuk kepada kemampuan guru dalam memerhati, menilai dan menunjukkan emosi secara tepat (Ajilin et al., 2020). Menurut Krishnan dan Siti (2020), kecerdasan emosi adalah penting dalam setiap aspek kehidupan seorang guru. Kecerdasan emosi memberikan kemampuan kepada guru untuk mengawal dan mengurus emosinya, membuatkan guru lebih kuat dari segi membuat keputusan dalam situasi persekitaran pengajaran serta menjadi faktor utama bagi kejayaan dalam pendidikan (Kuchy &
Thilagavathy, 2017; Molero et al., 2019). Kecerdasan emosi yang tinggi juga diperlukan oleh seseorang guru semasa berinteraksi dengan kanak-kanak yang berhadapan dengan kemelut emosi (Subekti & Dian, 2017).
Kecerdasan emosi penting dalam kalangan guru kerana ianya dapat membantu guru untuk mencapai kepuasan kerja dan meningkatkan prestasi kerja di sekolah (Muhammad Firdaus, Haliyana & Nurul, 2017), membantu guru untuk berkomunikasi dengan jelas yang seterusnya menghasilkan interaksi yang berkesan dalam pergaulan seharian serta dapat membantu guru untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja dan mengatasi cabarannya (Asrar-ul-Haq, Anwar & Hassan, 2017). Penguasaan terhadap kecerdasan emosi dapat melahirkan pendidik yang menampilkan perlakuan dan sahsiah yang baik, iaitu berbudi pekerti mulia, penyayang, berketerampilan, berdaya tahan, berwibawa, kreatif, inovatif dan patriotik (Maizatul & Noor, 2017). Kajian lepas turut mengesahkan bahawa kecerdasan emosi merupakan konstruk penting untuk profesion perguruan kerana kecerdasan emosi guru yang tinggi menjadikan guru lebih bersedia dalam menilai dan mengawal emosi diri sendiri serta emosi pelajar (Shukla, Adhikari
& Ray, 2016). Jelaslah bahawa pemahaman dan penguasaan terhadap aspek kecerdasan emosi pastinya dapat membantu guru pendidikan khas dalam meningkatkan kualiti profesionalisme dan pengajaran kepada kemenjadian murid berkeperluan khas.
Kecerdasan emosi juga telah diakui mempunyai kaitan dengan guru sekolah yang terdedah kepada tahap tekanan dan keletihan yang tinggi kerana sifat pekerjaan mereka (Babu & Vaitla, 2013). Satu statistik telah dikemukakan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia yang menunjukkan bahawa tahap tekanan kerja sederhana dan tinggi dihadapi oleh 2123 (4.4%) daripada 48,258 tenaga pengajar (Berita Harian, 2018). Persekitaran kerja yang mencabar dan tertekan yang dihadapi oleh guru di sekolah pendidikan khas merupakan kenyataan yang tidak dapat dinafikan (Bay & Mohd Rustam, 2019). Malah, harapan tinggi yang diberikan kepada guru sebagai seorang yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam menangani pelbagai masalah di sekolah juga memberikan tekanan kepada guru (Syafrimen, Noriah & Nova, 2017).
Sesungguhnya, tekanan kerja akan mempengaruhi kecerdasan emosi seseorang individu dalam bertindak serta boleh mendatangkan impak kepada kesejahteraan mental dan fizikal individu tersebut (Erny, Haslinda & Zatul, 2017).
Kebanyakan kajian tentang kecerdasan emosi memberi tumpuan kepada guru akademik biasa tetapi kajian tentang kecerdasan emosi yang melibatkan guru pendidikan khas masih kurang dijalankan. Terdapat keperluan untuk mengkaji kecerdasan emosi guru PPKI Masalah Pembelajaran. Maka, penyelidikan ini dilaksanakan bertujuan untuk mengenal pasti tahap kecerdasan emosi dalam kalangan guru PPKI Masalah Pembelajaran bagi sekolah rendah di Melaka berdasarkan demografi guru. Objektif kajian ini secara khususnya adalah seperti berikut :
i. Mengenal pasti tahap kecerdasan emosi dalam kalangan guru PPKI masalah pembelajaran di Melaka.
ii. Mengenal pasti perbezaan kecerdasan emosi guru PPKI masalah pembelajaran di Melaka dari segi jantina.
iii. Mengenal pasti perbezaan kecerdasan emosi guru PPKI masalah pembelajaran di Melaka dari segi pengalaman mengajar.
2. Tinjauan Literatur
Tahap Kecerdasan Emosi Guru
Banyak penyelidikan telah dilaksanakan di dalam atau di luar negara untuk mengkaji tahap kecerdasan emosi guru. Salah satu kajian luar negara telah dijalankan oleh Saleh Al-Busaidi et al. (2019) bagi mengkaji tahap kecerdasan emosi guru sekolah di Oman. Kecerdasan emosi sampel bagi penyelidikan ini adalah tinggi. Di India, Ponmozhi dan Ezhilbharathy (2017) turut melaksanakan penyelidikan untuk mengetahui kecerdasan emosi guru yang mengajar di sekolah di daerah Cuddalore, Tamilnadu. Majoriti guru, iaitu sebanyak 97% yang mengajar di daerah Cuddalore, Tamilnadu memiliki kecerdasan emosi yang sangat tinggi. Pada tahun 2020, Javed et al. turut menjalankan satu kajian di India yang mendapati kecerdasan emosi tenaga pengajar sekolah menengah swasta di bandar Hyderabad, India adalah sederhana. Hasil kajian yang sama turut diperolehi oleh Ajilin et al. (2020) dan Celistina & Mohd Izwan (2022) dalam kajian yang dijalankan oleh mereka di Malaysia. Ajilin et al. (2020) telah menjalankan kajian melibatkan pendidik yang bertugas di sekolah rendah di Daerah Ranau, Sabah. Penyelidikan tersebut melaporkan pendidik memiliki tahap kecerdasan emosi yang sederhana. Kajian Celistina dan Mohd Izwan (2022) pula telah melibatkan 217 orang guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman di daerah Tambunan Sabah yang turut mendapati guru yang mengajar di pedalaman memiliki tahap kecerdasan emosi yang sederhana.
Pada tahun 2017, satu kajian dalam negara telah dijalankan oleh Mohd Khairuddin, Maspiah dan Halimah (2017) untuk mengumpul data tentang tahap kecerdasan emosi para pendidik yang berkhidmat di sekolah menengah daerah Keningau, Sabah telah memperlihatkan tahap kecerdasan emosi tenaga pengajar sekolah menengah adalah tinggi. Satu lagi kajian telah dijalankan di Malaysia oleh Kobalan et al. (2020) yang melibatkan guru sekolah rendah yang berkhidmat di daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang turut memperlihatkan bahawa tenaga pengajar di sekolah rendah juga memiliki tahap kecerdasan emosi yang tinggi. Mahathir (2017) juga telah menjalankan kajian melibatkan seramai 91 orang guru PPKI peringkat sekolah rendah yang berkhidmat di daerah Kuala Kangsar, Perak juga mendapati bahawa guru pendidikan khas yang terlibat dalam penyelidikan ini mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi. Pada tahun 2014, Ghani dan Wan Sharipahmira juga telah menjalankan penyelidikan melibatkan 141 orang tenaga pengajar pendidikan khas yang mendidik di sekolah rendah dan sekolah menengah di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. Kajian tersebut melaporkan tahap kecerdasan emosi sebilangan besar guru pendidikan khas yang dipilih sebagai peserta kajian adalah tinggi (97.9%).
Kecerdasan Emosi Mengikut Demografi
Penyelidikan mengenai kecerdasan emosi yang diuji mengikut faktor demografi telah banyak dilaksanakan di luar negara dan di Malaysia. Kajian telah dijalankan oleh Arzone, Mottan dan Khatijah (2018) ke atas 100 orang guru PPKI sekolah rendah di Hilir Perak telah melaporkan bahawa tahap kecerdasan emosi tidak dipengaruhi oleh faktor demografi guru termasuklah tahap pendidikan, status perkahwinan dan pengalaman mengajar. Satu lagi penyelidikan turut dijalankan oleh Mahathir (2017) melibatkan 91 pendidik yang bertugas di daerah Kuala Kangsar menyatakan bahawa faktor jantina, umur dan tahun berkhidmat tidak mempengaruhi kecerdasan emosi guru. Ini selaras dengan kajian Galanakis, Krana & Nikola (2021) yang dijalankan ke atas 109 orang guru di Greece yang turut mendapati kecerdasan emosi guru tidak dipengaruhi oleh faktor jantina dan pengalaman mengajar.
Pada tahun 2022, Anupriya (2022) telah menjalankan satu kajian di India. Kajian tersebut mendapati tahap kecerdasan emosi yang tinggi dimiliki oleh guru perempuan dan guru yang berumur antara 27 hingga 40 tahun. Jika dilihat dari segi pengalaman mengajar pula, tahap kecerdasan emosi yang lebih tinggi ditunjukkan oleh pendidik yang lebih berpengalaman, iaitu yang telah berkhidmat melebihi 5 tahun. Dapatan yang diperoleh dalam kajian ini bertentangan dengan satu penyelidikan di Indonesia oleh Chaudhary (2020) di mana dapatan kajian mendapati faktor jantina, jenis sekolah dan pengalaman mengajar tidak mempengaruhi kecerdasan emosi guru. Anjum et al. (2020) juga memperlihatkan bahawa tiada perbezaan yang ketara bagi tahap kecerdasan emosi guru yang bekerja di sekolah pendidikan khas dengan jantina dan umur. Namun, kajian yang dijalankan oleh Mona (2021) di Arab Saudi pula menunjukkan dapatan yang berbeza. Mona (2021) melaporkan guru lelaki mencatatkan kecerdasan emosi yang lebih tinggi daripada guru perempuan.
Di samping itu, Valente et al. (2020) telah mengendalikan satu penyelidikan di Portugal terhadap 634 orang guru sekolah. Kajian tersebut melaporkan kecerdasan emosi guru yang memiliki tahap pendidikan yang lebih tinggi dan guru perempuan adalah lebih tinggi. Dari segi pengalaman mengajar pula, didapati guru yang mempunyai lebih banyak pengalaman mengajar menunjukkan tahap kecerdasan emosi yang lebih rendah. Ghani & Wan Sharipahmira(2014) pula melaporkan bahawa wujudnya perbezaan yang ketara dalam kecerdasan emosi guru pendidikan khas di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang berdasarkan jantina. Hasil skor min memperlihatkan kecerdasan emosi yang lebih tinggi dimiliki oleh tenaga pengajar lelaki
berbanding tenaga pengajar wanita. Tetapi demografi yang lain, iaitu pengalaman mengajar, tahap pendidikan dan umur tidak menunjukkan perbezaan yang signifikan.
Kajian juga telah dijalankan oleh Nagaraj & Ramesh (2020) terhadap 102 orang pendidik yang berkhidmat di tiga buah sekolah terpilih di Baramasagara, Chitradurga dan Karnataka, India.
Dapatan yang diperolehi memperlihatkan pendidik perempuan memperoleh skor kecerdasan emosi yang jauh lebih tinggi dan tidak ada kepentingan statistik antara umur, status perkahwinan, pengalaman mengajar, jangka masa bekerja di sekolah semasa dan status pekerjaan, iaitu sama ada tetap atau sementara dengan kecerdasan emosi pendidik. Dapatan kajian ini bersamaan dengan penyelidikan Muhamad (2018) yang turut melaporkan kecerdasan emosi pendidik wanita pendidikan khas lebih tinggi berbanding dengan pendidik lelaki pendidikan khas.
Bassam (2018) juga telah menjalankan kajian di daerah Al Koura, Jordan dan mendapati bahawa jantina dan tahap pendidikan tidak mempengaruhi tahap kecerdasan emosi guru.
Perbezaan yang signifikan hanya dikenal pasti bagi tahap kecerdasan emosi guru mengikut pengalaman mengajar guru di mana ianya memihak kepada guru yang mempunyai lebih banyak pengalaman. Mohd Khairuddin, Maspiah dan Halimah (2017) turut melaporkan dapatan yang sama dalam kajian yang telah melibatkan guru sekolah menengah daerah Keningau, Sabah di mana guru yang mempunyai lebih banyak pengalaman didapati memiliki keceradasn emosi yang lebih tinggi.
Satu kajian telah dijalankan oleh Kuchy & Thilagavathy (2017) di India yang melaporkan bahawa faktor jantina dan status perkahwinan berupaya mempengaruhi tahap kecerdasan emosi seseorang pendidik. Kajian memperlihatkan tahap kecerdasan emosi yang lebih tinggi dimiliki oleh guru lelaki dan guru yang telah berkahwin. Manakala tiada perbezaan yang ketara bagi kecerdasan emosi tenaga pengajar yang bekerja di sekolah menengah kerajaan dan swasta.
Bhuvaneswari dan Baskaran (2020) turut melaksanakan satu kajian di India ke atas 350 orang pendidik sekolah menengah di daerah Chengalpattu, India. Penyelidik melaporkan bahawa pendidik yang berkhidmat di sekolah bandar menunjukkan kecerdasan emosi yang lebih tinggi berbanding pendidik di sekolah luar bandar. Penyelidik turut melaporkan bahawa kecerdasan emosi tidak dipengaruhi oleh faktor jantina dan bentuk keluarga, iaitu keluarga nuklear atau keluarga bergabung. Tetapi, dapatan yang berbeza telah ditunjukkan dalam kajian Singh (2015) yang telah mendapati kecerdasan emosi guru tidak dipengaruhi oleh jantina dan pengalaman mengajar. Namun, penyelidik mendapati bahawa lokasi sekolah dan status perkahwinan akan mempengaruhi kecerdasan emosi seseorang guru. Kecerdasan emosi yang lebih tinggi ditunjukkan oleh guru yang telah berkahwin dan guru yang bertugas di sekolah luar bandar.
Pada tahun 2018, satu lagi kajian telah dilaksanakan di India oleh Sharma dan Siddiqui (2018) ke atas 109 orang tenaga pengajar yang bekerja di universiti di daerah Aligarh. Hasil kajian mendapati bahawa guru yang sudah berumah tangga memiliki kecerdasan emosi yang lebih tinggi daripada guru yang bujang. Manakala, kecerdasan emosi guru universiti tidak dipengaruhi oleh jantina dan jawatan yang disandang. Namun, kajian oleh Llego (2017) pula menunjukkan hasil dapatan yang bertentangan. Llego (2017) mendapati kecerdasan emosi guru dipengaruhi oleh umur dan jantina guru di mana kecerdasan emosi yang lebih tinggi dimiliki oleh guru perempuan dan guru yang lebih tua berbanding dengan guru lelaki dan guru yang lebih muda. Penyelidik melaporkan bahawa pengalaman mengajar dan jawatan yang disandang oleh guru tidak mempengaruhi kecerdasan emosi guru.
3. Metodologi Kajian
Penyelidikan ini merupakan kajian kuantitatif dengan menggunakan kaedah tinjauan di mana ianya bertujuan untuk mengenal pasti tahap kecerdasan emosi guru PPKI Masalah Pembelajaran peringkat sekolah rendah di Melaka serta melihat perbezaan kecerdasan emosi guru dari segi jantina dan pengalaman mengajar. Semua guru PPKI Masalah Pembelajaran peringkat sekolah rendah di Melaka merupakan populasi penyelidikan ini. Jumlah populasi kajian adalah seramai 512 orang guru secara keseluruhannya. Pemilihan peserta kajian dijalankan dengan menggunakan kaedah persampelan rawak mudah. Seramai 250 orang guru PPKI Masalah Pembelajaran peringkat sekolah rendah di Melaka dipilih sebagai sampel kajian.
Instrumen bagi penyelidikan ini merupakan satu set borang soal selidik yang merangkumi dua bahagian. Bahagian pertama, iaitu Bahagian A adalah ciri-ciri demografi responden termasuklah jantina, umur, pengalaman mengajar dan taraf pendidikan guru. Bahagian kedua ialah Bahagian B yang mengandungi 25 item kecerdasan emosi yang telah diadaptasi daripada Instrumen Kecerdasan Emosi (EQ) yang dibina oleh Supardi et al. (2016). Bahagian B ini telah dibahagikan kepada 5 sub soalan mewakili lima elemen utama yang dinyatakan dalam Model kecerdasan Emosi Goleman, iaitu mengenal emosi kendiri (5 item), mengurus emosi kendiri (5 item), motivasi kendiri (5 item), empati (5 item) dan kemahiran sosial (5 item). Nilai kebolehpercayaan bagi instrumen kajian iaitu, nilai pekali Alpha Cronbach α = 0.94 telah diperolehi setelah menjalankan kajian rintis dengan melibatkan 30 orang guru PPKI Masalah Pembelajaran di sekolah rendah Johor. Kesahan kandungan pula dilaksanakan dengan melibatkan lima orang pakar yang berpengalaman dalam bidang pendidikan khas dan bidang psikologi. Kesemua item kajian dalam Bahagian B diukur berdasarkan skala likert lima mata.
Responden dikehendaki untuk membuat pemilihan jawapan bagi setiap item dalam Bahagian B menggunakan Skala Likert Lima Mata yang telah diperkenalkan oleh Nor Aizal & Nora (2012) seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 3.1.
Jadual 3.1: Skala Likert
Penjelasan Nilai
Sangat tidak setuju 1
Tidak Setuju 2
Tidak pasti 3
Setuju 4
Sangat setuju 5
Sumber : Nor Aizal & Nora (2012)
Permohonan kebenaran melaksanakan kajian telah dibuat melalui laman sesawang eRas 2.0 yang dikendalikan oleh Bahagian Pengurusan Maklumat dan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum penyelidikan ini dilaksanakan. Maklumat berkaitan jumlah guru yang mengajar di PPKI Masalah Pembelajaran di Melaka turut diperoleh dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka. Seterusnya, permohonan kebenaran menjalankan kajian turut dibuat melalui JPN Melaka setelah mendapat kelulusan daripada eRas. Selepas mendapat kebenaran JPN, data mula dikumpul daripada peserta kajian. Soal selidik disediakan dalam bentuk Google Form di mana pautan berkaitan soal selidik telah disebarkan kepada peserta kajian melalui aplikasi Whatsapp dan Telegram dengan bantuan unit Pendidikan Khas JPN Melaka.
Perisian Statistical Package for Social Sciences (SPSS) versi 26 digunakan untuk menganalisis data. Analisis deskriptif dijalankan untuk menganalisis data demografi sampel kajian yang
merangkumi variabel jantina, umur, pengalaman mengajar dan taraf pendidikan dengan menggunakan taburan frekuensi dan peratusan. Manakala, kecerdasan emosi responden diterangkan dengan menggunakan nilai min dan sisihan piawai. Tahap kecerdasan emosi responden ditentukan berdasarkan kepada skor min yang diperoleh dengan merujuk kepada interpretasi skor min yang ditunjukkan dalam Jadual 3.2 yang seterusnya dapat menjawab persoalan kajian yang pertama. Statistik inferensi, iaitu analisis ujian-t digunakan untuk mengkaji perbezaan tahap kecerdasan emosi guru berdasarkan jantina. Manakala ujian Anova sehala telah dijalankan untuk mengenal pasti perbezaan kecerdasan emosi guru berdasarkan pengalaman mengajar.
Jadual 3.2: Interpretasi Skor Min
Skor Min Tahap
1.00 hingga 1.66 Rendah
1.67 hingga 3.33 Sederhana
3.34 hingga 5.00 Tinggi
Sumber: Norlaila, Rosseni & Mohammed (2020)
4. Dapatan Kajian & Perbincangan
Demografi Responden
Dapatan kajian telah diperolehi daripada 250 orang guru yang berkhidmat di PPKI Masalah Pembelajaran peringkat sekolah rendah di Melaka.
Jadual 4.1: Taburan Demografi Responden
Butiran Demografi Guru Kekerapan Peratus (%)
Jantina Lelaki 58 23.2
Perempuan 192 76.8
Umur
20 – 30 tahun 18 7.2
31 – 40 tahun 84 33.6
41 – 50 tahun 118 47.2
51 – 60 tahun 30 12.0
Pengalaman mengajar
1 – 5 tahun 35 14.0
6 – 10 tahun 48 19.2
11 – 15 tahun 99 39.6
16 – 20 tahun 41 16.4
21 tahun dan ke atas 27 10.8
Taraf pendidikan
Diploma 6 2.4
Ijazah Sarjana Muda 224 89.6
Ijazah Sarjana (Master) 20 8.0
Ijazah Doktor Falsafah (Phd) 0 0
Menurut Jadual 4.1, majoriti responden kajian adalah guru perempuan yang telah menunjukkan bilangan yang lebih ramai jika dibandingkan dengan guru lelaki. Jika dilihat daripada aspek umur pula, guru yang berumur antara 41 hingga 50 tahun menunjukkan bilangan yang teramai, iaitu sebanyak 118 orang atau 47.2%. Bagi demografi taraf pendidikan, lebih daripada separuh responden, iaitu seramai 224 orang (89.6%) memiliki ijazah sarjana muda. Seterusnya, responden yang telah menceburi bidang pendidikan khas untuk jangka masa 11 hingga 15 tahun mempunyai bilangan yang terbanyak, iaitu seramai 99 orang (39.6%).
Tahap Kecerdasan Emosi Guru PPKI
Persoalan Kajian i : Apakah tahap kecerdasan emosi guru PPKI Masalah Pembelajaran di sekolah rendah Melaka?
Jadual 4.2: Taburan skor min, sisihan piawai dan tahap bagi elemen kecerdasan emosi
Menurut Jadual 4.2, elemen empati menunjukkan nilai skor min yang paling tinggi, iaitu sebanyak 4.33. Manakala elemen mengurus emosi kendiri pula menunjukkan nilai skor min terendah, iaitu sebanyak 4.11. Secara keseluruhan, nilai skor min bagi kecerdasan emosi responden adalah sebanyak 4.23. Ini bermaksud guru PPKI Masalah Pembelajaran peringkat sekolah rendah di Melaka mempunyai tahap kecerdasan emosi yang tinggi.
Hasil kaijian sedemikian disokong oleh kajian luar negara yang dikendalikan oleh Ponmozhi
& Ezhilbharathy (2017), Saleh Al-Busaidi et al. (2019) dan Anjum A. et al. (2020) di mana hasil kajian-kajian tersebut turut mendapati majoriti guru memiliki tahap kecerdasan emosi yang tinggi. Dapatan kajian ini juga bertepatan dengan penyelidikan lepas yang telah dilaksanakan di Malaysia. Ghani & Wan Sharipahmira(2014) dan Mahathir (2017) telah melaporkan bahawa guru pendidikan khas memiliki kecerdasan emosi yang tinggi. Seterusnya, kajian Mohd Khairuddin, Maspiah & Halimah (2017) dan Kobalan et al. (2020) turut melaporkan kecerdasan emosi tenaga pengajar yang bertugas di sekolah menengah dan sekolah rendah adalah tinggi. Di sebalik itu, dapatan yang diperoleh bagi penyelidikan ini bercanggah dengan dapatan yang telah dilaporkan dalam kajian-kajian lepas oleh Bassam (2018), Ajilin et al. (2020), Bhuvaneswari & Baskaran (2020), Javed et al. (2020) dan Celistina & Mohd Izwan (2022) yang melaporkan bahawa tahap kecerdasan emosi yang dimiliki oleh guru adalah sederhana sahaja. Sesungguhnya, guru pendidikan khas harus mengenal dan memahami emosi kendiri serta berupaya mengurus emosi kendiri dengan bijak supaya tidak menunjukkan emosi negatif sehingga boleh menjejaskan amalan profesionalisme sebagai seorang guru (Mohd Khairuddin, Maspiah & Halimah, 2017). Maka, kecerdasan emosi yang tinggi wajar dimiliki oleh seseorang guru pendidikan khas sepertimana yang telah ditunjukkan oleh guru PPKI Masalah Pembelajaran peringkat sekolah rendah di Melaka.
Perbezaan Kecerdasan Emosi Guru PPKI Mengikut Jantina
Persoalan Kajian ii : Adakah terdapat perbezaan kecerdasan emosi dalam kalangan guru PPKI Masalah Pembelajaran mengikut jantina?
Ho1 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan dalam min kecerdasan emosi guru mengikut jantina.
Jadual 4.3: Perbezaan Kecerdasan Emosi Responden Mengikut Jantina Jantina Bilangan
Responden (N) Min Nilai-t df Signifikan Tahap Kecerdasan
Emosi
Lelaki 58 4.26
0.56 248 0.58
Perempuan 192 4.23
Elemen Kecerdasan Emosi Min Sisihan Piawai Tahap
Mengenal Emosi Kendiri 4.24 0.42 Tinggi
Mengurus Emosi Kendiri 4.11 0.47 Tinggi
Motivasi Kendiri 4.19 0.46 Tinggi
Empati 4.33 0.44 Tinggi
Kemahiran Sosial 4.29 0.48 Tinggi
Nilai Purata 4.23 0.37 Tinggi
Menurut Jadual 4.3, skor min kecerdasan emosi bagi guru lelaki, iaitu sebanyak 4.26 adalah lebih tinggi daripada skor min kecerdasan emosi guru perempuan, iaitu sebanyak 4.23. Jadual 4.3 juga menunjukkan bahawa nilai-t bagi perbezaan kecerdasan emosi mengikut jantina ialah t=0.562. Manakala tahap signifikan pula ialah p=0.575 di mana hipotesis nul gagal ditolak.
Oleh itu, tidak terdapat perbezaan yang signifikan (p > 0.05) dalam min kecerdasan emosi antara guru perempuan dengan guru lelaki. t (248) = 0.562, p > 0.05. Hasil dapatan sedemikian memperlihatkan bahawa jantina bukan merupakan faktor yang mempengaruhi tahap kecerdasan emosi responden kajian.
Dapatan bagi penyelidikan ini selaras dengan dapatan dua kajian di Malaysia yang dilaksanakan oleh Mahathir (2017) dan Arzone, Mottan & Khatijah (2018) yang melibatkan guru PPKI Sekolah Rendah di Perak telah memperlihatkan bahawa faktor jantina tidak mendatangkan kesan terhadap kecerdasan emosi guru. Dapatan penyelidikan ini turut bersamaan dengan hasil penyelidikan lepas di luar negara termasuklah kajian oleh Galanakis, Krana & Nikola (2021) yang dijalankan di Greece, kajian yang dijalankan oleh Bassam (2018) di Jordan, tiga kajian yang dijalankan di India oleh Bhuvaneswari & Baskaran (2020), Sharma
& Siddiqui (2018) dan Singh (2015) serta kajian oleh Anjum et al. (2020) yang dijalankan di Bahawalpur, Pakistan. Dapatan kajian-kajian lepas turut mendapati tahap kecerdasan emosi guru tidak dipengaruhi oleh faktor jantina. Ini berkemungkinan kerana persekitaran kerja yang dirasai oleh guru lelaki dan guru wanita adalah serupa yang seterusnya membolehkan guru- guru mendapat peluang yang sama untuk menyertai pelbagai program dan untuk saling berinteraksi (Bassam, 2018).
Namun, hasil penyelidikan ini bertentangan dengan apa yang telah dilaporkan dalam kajian lepas oleh Mona (2021); Kuchy & Thilagavathy (2017) dan Ghani & Wan Sharipahmira (2014) yang melaporkan bahawa kecerdasan emosi yang lebih tinggi dimiliki oleh guru lelaki berbanding guru perempuan. Hasil dapatan sedemikian mungkin disebabkan oleh guru lelaki mampu mengawal emosi, mengatasi tekanan dan menyelesaikan masalah dengan lebih baik serta lebih berdikari, fleksibel, dan optimis berbanding guru wanita. Manakala, hasil dapatan kajian Anupriya (2022); Nagaraj & Ramesh (2020); Valente et al. (2020); Muhamad (2018) dan Llego (2017) turut menunjukkan dapatan yang bertentangan dengan kajian ini di mana kesemua kajian memperlihatkan skor kecerdasan emosi yang lebih tinggi ditunjukkan oleh guru perempuan. Dapatan sedemikian mungkin disebabkan oleh sifat keibuan yang terdapat dalam diri guru wanita menjadikan mereka lebih cekap dalam mengurus emosi.Dapatan yang sedemikian juga mungkin disebabkan oleh fakta bahawa golongan wanita secara umumnya lebih diterima apabila menunjukkan emosi mereka dan ini seterusnya membolehkan golongan wanita untuk mengembangkan emosi mereka (Valente et al., 2020).
Perbezaan Kecerdasan Emosi Guru PPKI Mengikut Pengalaman Mengajar
Persoalan Kajian iii : Adakah terdapat perbezaan kecerdasan emosi dalam kalangan guru PPKI Masalah Pembelajaran mengikut pengalaman mengajar?
Ho2 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan dalam min kecerdasan emosi guru mengikut pengalaman mengajar.
Jadual 4.4: Ujian ANOVA Skor Kecerdasan Emosi Responden Mengikut Pengalaman Mengajar Skor Kecerdasan
Emosi
Jumlah Kuasa Dua
Darjah Kebebasan
Min Kuasa
Dua Nilai F Signifikan
Antara Kumpulan 0.07 4 0.02 0.13 0.97
Dalam Kumpulan 34.33 245 0.14
Jumlah 34.40 249
Hasil dapatan ujian Anova sehala dalam Jadual 4.4 menunjukkan bahawa tiada perbezaan yang signifikan bagi skor min kecerdasan emosi guru mengikut kumpulan pengalaman mengajar dengan nilai F(249)=0.132, p > 0.05. Maka, hipotesis nul gagal ditolak. Ini bermaksud jumlah tahun guru berkhidmat sebagai seorang guru pendidikan khas tidak mendatangkan kesan terhadap tahap kecerdasan emosi seseorang guru PPKI.
Hasil dapatan penyelidikan ini bertepatan dengan dapatan kajian Galanakis, Krana & Nikola (2021); Nagaraj & Ramesh (2020); Chaudhary (2020); Arzone, Mottan & Khatijah (2018);
Mahathir (2017); Llego (2017); Singh (2015) dan Ghani & Wan Sharipahmira (2014) yang turut melaporkan bahawa pengalaman mengajar tidak mempengaruhi kecerdasan emosi guru.
Tafsiran positif bagi penemuan ini ialah guru menjadi lebih baik melalui proses mencuba dan belajar daripada kesilapan melalui pengalaman serta menyimpan pengetahuan tentang pengalaman kritikal untuk digunakan dalam pengajaran mereka (Gkonou & Mercer, 2017).
Namun, hasil statistik inferensi ini bercanggah dengan kajian Anupriya (2022); Bassam (2018) dan Mohd Khairuddin, Maspiah & Halimah (2017) yang telah memperlihatkan ada perbezaan yang ketara antara kecerdasan emosi guru dengan pengalaman mengajar di mana ianya memihak kepada guru yang mempunyai lebih banyak pengalaman. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa tempoh pengalaman mengajar merupakan penyumbang kepada perkembangan kecerdasan emosi guru. Namun, dapatan yang berbeza dilaporkan oleh Valente et al. (2020) di Portugal yang menunjukkan guru yang mempunyai lebih banyak pengalaman mengajar menunjukkan tahap kecerdasan emosi yang lebih rendah di mana ianya turut bertentangan dengan dapatan kajian ini.
5. Kesimpulan
Secara keseluruhannya, didapati bahawa tahap kecerdasan emosi guru PPKI Masalah Pembelajaran peringkat sekolah rendah di Melaka adalah tinggi. Malah, tidak wujud perbezaan yang ketara bagi kecerdasan emosi guru berdasarkan jantina dan pengalaman mengajar. Dapat disimpulkan bahawa kecerdasan emosi guru PPKI Masalah Pembelajaran peringkat sekolah rendah di Melaka tidak dipengaruhi oleh jantina dan pengalaman mengajar. Kecerdasan emosi merupakan kapasiti yang sepatutnya dikembangkan dalam kalangan guru pendidikan khas.
Sehubungan dengan itu, adalah penting untuk pihak berkepentingan termasuklah KPM, JPN, PPD dan pihak pentadbir sekolah membekalkan ilmu dan latihan yang secukupnya berkaitan kecerdasan emosi kepada guru PPKI bagi membolehkan mereka memberi perkhidmatan yang sebaiknya dalam bidang pendidikan khas. Untuk pelaksanaan kajian masa depan, kaedah gabungan boleh digunakan dan kajian boleh dijalankan ke atas populasi yang lebih besar.
Faktor demografi lain yang berkemungkinan mempunyai kesan terhadap kecerdasan emosi guru seperti status sosioekonomi, bangsa, status perkahwinan, lokasi sekolah dan bilangan murid yang diajar boleh diambil kira bagi kajian masa depan. Kajian masa depan juga boleh mengkaji kecerdasan emosi dan hubungannya dengan pemboleh ubah lain seperti seperti tekanan kerja, prestasi kerja dan sikap terhadap profesion perguruan dalam kalangan guru pendidikan khas.
Rujukan
Ajilin, T., Mohamad, N. N., Zakiah, N., Mohd, M. T. & Norlijah, W. (2020). Hubungan motivasi, kecerdasan emosi dan efikasi dengan kepuasan kerja guru di sekolah rendah.
International Research Journal of Education and Sciences (IRJES), 4(1), 2550-2158.
Anjum, A., Shoukat, A., Muazzam, A. & Ijaz, B. (2020). Emotional intelligence and life satisfaction of teachers working at special education institutions of Bahawalpur, Pakistan, Journal of Arts and Social Sciences, 7(1), 21-27.
Anupriya, K. (2022). Online teaching and emotional intelligence of school instructors. Journal of Positive School Psychology, 6(4), 10713-10717.
Arzone, C., Mottan, K. & Khatijah M. S. (2018). The relationship between demographic profile and emotional intelligence (EI) among special education teachers in primary schools.
International Journal for Studies on Children, Women, Elderly and Disabled, 5 (Oct.), 148 – 154.
Asrar-ul-Haq, M., Anwar, S. & Hassan, M. (2017). Impact of emotional intelligence on teacher׳
s performance in higher education institutions of Pakistan. Future Business Journal, 3(2), 87- 97.
Babu, B. P. & Vaitla, S. R. (2013). Emotional intelligence of school teachers. International Journal of Education and Management Studies, 3(1), 48-50.
Bassam, M. B. Y. (2018). Level of emotional intelligence among a sample of secondary school teachers at al Koura District-Jordan. Global Journal of Human-Social Science: G Linguistics & Education, 18(13), 29-40.
Bay, Y. E. & Mohd Rustam, M. R. (2019). The of emotional intelligence and personality on career adaptability among teachers in special education schools in Johor Bahru. Indian Journal of Public Health Research & Development, 10(4), 1371-1375.
Bhuvaneswari, G. & Baskaran, D. (2020). A study on emotional intelligence of higher secondary school teachers in Chengalpattu District. Shanlax International Journal of Education, 9(1), 146–151.
Celistina, M. & Mohd Izwan, M. (2022). Hubungan Antara Kecerdasan Emosi dan Kepuasan Kerja dalam Kalangan Guru Sekolah Rendah Pedalaman. Jurnal Dunia Pendidikan, 3(4), 374-387.
Chaudhary, S. (2020). A study of emotional intelligence of primary teachers in relation to gender, school type & teaching experience. Palarch’s Journal Of Archaeology Of Egypt/Egyptology, 17(2), 1-11.
Erny Y. C. Y, Haslinda, A. & Zatul, H. A. (2017). Hubungan kepuasan kerja dengan kecerdasan emosi dalam kalangan warga polis diraja Malaysia. Geografia Malaysia Journal of Society and Space, 13(1), 22-37.
Frolova, O., Kashkaryova, L., Serbova, O. & Malykhina, T. (2019). Comparative analysis of the emotional intelligence development of adolescents with different levels of psychological competence. Journal of History Culture and Art Research, 8(4), 68-78.
Galanakis, M., Krana, L. & Nikola, M. (2021). Emotional intelligence in primary school teachers: the effect of gender, age and tenure. Psychology, 12(11), 1781-1789.
Ghani, M. Z. & Wan Sharipahmira M. Z. (2014). The level of emotional intelligence among special education teacher in Seberang Prai Tengah, Penang. Global Journal of Interdisciplinary Social Sciences, 3(4), 1–4.
Gkonou, C. & Mercer, S. (2017). Understanding emotional and social intelligence among English language teachers. London: British Council.
Goleman, D. (1995). Emotional intelligence. New York: Bantam Books.
Javed, M., Oo, Y. H., Asif, M. K. & Mohammad, I. H. (2020). Assessing the impact of emotional intelligence on job satisfaction among private school teachers of Hyderabad, India. International Journal of Psychosocial Rehabilitation, 24(4), 5035-5045.
Kobalan, T., Yaakob, M. F. M., Yusof, M. R., Hapini, A., Mohd, S. O. F & Hareesol, K. I.
(2020). Kecerdasan emosi dan pengurusan stres dalam kalangan guru di Pulau Pinang.
Journal of Educational Research & Indigenous Studies, 1(1), 1-7.
Krishnan, K. & Siti, R. A. (2020). Role of emotional intelligence in teaching. Jurnal Kemanusiaan, 18(1), 87–92.
Kuchy, S. A., & Thilagavathy, T. (2017). Study of emotional intelligence among high school teachers. International Journal of Advanced Research and Development, 2(6), 757–
760.
Llego, J. H. (2017). Demographic Influence on Emotional Intelligence of Science Technology and Engineering Teachers in Region 1 Philippines. Imperial Journal of Interdisciplinary Research (IJIR), (3)3, 1075-1083.
Mahathir, M. (2017). Hubungan demografi guru pendidikan khas bermasalah pembelajaran sekolah rendah dengan kecerdasan emosi. Jurnal Penyelidikan Pendidikan Guru, 12(2017), 159-174.
Maizatul, H. M. & Noor, A. N. I. (2017). Kecerdasan emosi, komunikasi non-verbal dan keterampilan peribadi para pekerja dalam konteks komunikasi keorganisasian. Jurnal Komunikasi, 33(1), 368-382.
Mayer, J. D. & Salovey, P. (1993). Emotional intelligence. The intelligence of emotional intelligence, 3(1), 433-442.
Mohd Khairuddin, A., Maspiah, S. & Halimah, L. (2017). Kecerdasan Emosi dan Komitmen Guru Terhadap Organisasi. Jurnal Psikologi dan Kesihatan Sosial (JPsiKS), 1, 44-54.
Molero, P. P., Ortega, F. Z., Jimenez, J. L. U. & Valero, G. G. (2019). Influence of Emotional Intelligence and Burnout Syndrome on Teachers Well-Being: A Systematic Review.
Social Sciences, 2019(8), 185-197.
Mona, S. A. (2021). Emotional intelligence and self-efficacy among the prime stakeholders in special education: a case of Saudi Arabia. Journal of Educational Sciences &
Psychology, 11(1), 104-122.
Muhamad, M. (2018). Emotional intelligence of special educators and general school teacher.
International Journal of Research and Analytical Reviews (IJRAR), 5(2), 532-535.
Muhammad Firdaus, M. S, Haliyana, T. & Nurul, N. S. (2017). Pengaruh kecerdasan emosi terhadap kepuasan kerja dalam kalangan pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. Proceeding of the 4th International Conference on Management and Muamalah 2017 (ICoMM 2017), 15(9), 967-978.
Nagaraj, D. & Ramesh, N. (2020). Emotional intelligence among school teachers in Rural Karnataka – A cross-sectional study. Journal of the Scientific Society 2020, 47(2), 89- 92.
Nor Aizal, A. R. & Nora, M. (2012). Hubungan antara kecerdasan emosi dengan pencapaian akademik pelajar di daerah Hulu Terengganu. Jurnal Teknologi, 58, 19-22.
Norlaila, C.M., Rosseni, D. & Mohammed, H. A. (2020). Kesediaan pelajar tingkatan 6 menggunakan aplikasi mudah alih pendidikan. Journal of Personalized Learning, 3(1), 79-86.
Ponmozhi, D., & Ezhilbharathy, T. (2017). Emotional intelligence of school teachers. Journal of Research & Method in Education (IOSRJRME), 7(3), 37–42.
Rohman, M. A. P. (2018). 4.4 peratus guru tertekan. Berita Harian Dalam Talian.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/08/467001/44-peratus-guru-stress [5 Jun 2022]
Saleh, A. B., Said, A., Marwa, A., Hussain, A., Badar, A., Abdullah, A. & Khoula, A. (2019).
Emotional intelligence among school teachers in Oman. Alberta Journal of Educational Research, 65(4), 320-345.
Sharma, D. & Siddiqui, M. H. (2018). Effect of certain demographic variables on emotional intelligence: An empirical study of university teachers. International Journal of Advanced Educational Research, 3(2), 475-480.
Shukla, S., Adhikari, B. & Ray, M. (2016). Emotional intelligence and job satisfaction: An empirical investigation. Amity Global HRM Review 6, 54-61.
Singh, J. (2015). A study of emotional intelligence of teacher educators in relation to certain demographical variables. Scholarly Research Journal for Interdisciplinary Studies, 3(12), 2883–2893.
Subekti, D. L. & Dian, R. S. (2017). Correlation between emotional intelligence and work engagement of special need school teachers. American Scientific Publishers, 23, 3480–
3482.
Supardi, Mohamed, N. A. A., Ramlee, M., Ridzwan, C. R. & Che, G. C. K. (2016). Tahap kecerdasan emosi guru pelatih teknik dan vokasional di sekolah menengah kejuruan (SMK). Sains Humanika, 8(1), 41–50.
Syafrimen, Noriah, M. I. & Nova, E. (2017). Emotional intelligence profile of prospective teachers. Journal of Engineering and Applied Sciences, 12(7), 1677-1680.
Valente, S., Lourenço, A. A., Alves, P. & Domínguez-Lara, S. (2020). The role of emotional intelligence capacity for teacher’s efficacy and classroom management efficacy.
Revista CES Psicologia, 13(2), 18-31.