'Lapor kes langgar SOP'
Oleh Farihad Shalla Mahmud - Mei 19, 2021 @ 8:30am [email protected]
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri beri amaran kepada syarikat produksi agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika melakukan kerja penggambaran.
KUALA LUMPUR: Kedegilan segelintir syarikat produksi yang enggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika melakukan kerja penggambaran bakal mengundang padah apabila besar kemungkinan kebenaran ditarik balik.
Amaran itu diberi Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri selepas seorang pengarah filem tempatan dikompaun RM10,000 kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan
menjalankan penggambaran di tempat awam di Seremban, baru-baru ini.
"Kalau masih ada lagi penerbit yang mengambil sikap sambil lewa dalam mematuhi SOP, saya tidak terkejut jika kebenaran untuk menjalani penggambaran akan dihentikan seketika.
"Syarikat produksi perlu bertanggungjawab untuk memastikan semua kerja penggambaran dilakukan mengikut SOP. Jangan salahkan sesiapa jika kena kompaun atau kebenaran menjalankan penggambaran ditarik balik.
"Mereka sepatutnya membantu FINAS dan kerajaan mengekang penularan wabak COVID- 19. Jika perkara itu tidak dilaksanakan, tindakan tegas seperti itu memang sesuai diambil ke atas mereka," katanya kepada BH Online.
Ahmad Idham mengulas laporan menyebut seorang pengarah lelaki berusia 59 tahun dikenakan kompaun ketika sedang menjalankan penggambaran filem di di Jeti Penambang 2, Bukit Pelandok, Port Dickson, pada jam 11.30 pagi, baru-baru ini.
Kompaun RM10,000 itu dikeluarkan selepas polis menerima maklumat berkaitan penggambaran filem di kawasan terbabit.
Berikutan insiden itu, FINAS akan memanggil produksi terbabit untuk memberi penjelasan.
"FINAS akan memanggil syarikat produksi terbabit. Kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan berikutan kesalahan yang berlaku berpunca daripada sikap degil mereka yang enggan mematuhi SOP.
"Kita juga akan membatalkan Sijil Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) syarikat terbabit. FINAS berharap insiden ini menjadi pengajaran kepada syarikat produksi lain agar lebih bertanggungjawab," katanya.
FINAS berusaha sebaik mungkin memastikan penggiat industri seni kreatif kembali bekerja dengan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang sesuai mengikut pelaksanaan Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP).
Ahmad Idham berkata, FINAS berusaha sebaik mungkin memastikan penggiat industri seni kreatif kembali bekerja dengan menyediakan SOP yang sesuai mengikut pelaksanaan PKP.
"Justeru kami berharap, semua pihak dapat memberi kerjasama. Jangan disebabkan sesetengah pihak tidak mengikut arahan, semua orang menerima kesannya," katanya.
Bagi memastikan produksi mematuhi SOP dan insiden serupa tidak berulang, FINAS
mengharapkan kerjasama orang ramai untuk membuat laporan jika mendapati ada produksi melanggar SOP.
"Selain pihak dilantik FINAS untuk menjadi mata-mata, kami mengalu-alukan kerjasama orang ramai memberikan maklumat. Mereka boleh membuat laporan jika ada aktiviti mencurigakan membabitkan pihak produksi.
"Sama-samalah kita mengamalkan konsep kita jaga kita demi mengekang penularan wabak yang sangat berbahaya ini," katanya.
Proses rakaman untuk semua aktiviti penggambaran filem, drama, dokumentari, animasi, produksi muzik dan seumpamanya hanya dibenarkan di lokasi dalaman (studio) sepanjang tempoh PKP di seluruh negara, yang berkuat kuasa mulai 12 Mei lalu hingga 7 Jun.
Aktiviti itu dibenarkan dengan jumlah kru yang minimum tanpa penonton dan perlu membuat permohonan SPP Khas dan tertakluk kepada pematuhan SOP Industri Kreatif yang
ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Disclaimer : Perpustakaan Tun Abdul Razak,UiTM
This material may be protected under Malaysia Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions or copyrighted materials. You may use the digitized materials for private study, scholarship or research.