Kuala Lumpur: Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM Malaysia)
memperkenalkan penyelesaian persaraan bermatlamat sebagai tambahan kepada perancangan persaraan individu, Maybank Flexible Retirement Solution.
Penyelesaian ini membabitkan dua dana global baharu patuh Syariah dan julung kalinya pelabur boleh memilih salah satu daripada dua dana aset campuran patuh Syariah iaitu Dana Maybank Global Wealth Moderate-I dan Dana Maybank Global Wealth Growth-I yang disesuaikan untuk perancangan persaraan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Asset Management Group dan MAM Malaysia, Najib Nazlan berkata, matlamat dana ini ialah mencapai pertumbuhan modal menerusi jangka sederhana dan jangka panjang dengan sasaran pulangan sebanyak 6.0 hingga 8.0 peratus.
"Ia menggabungkan peruntukan aset dinamik dan pengurusan risiko ke bawah, bertujuan memastikan kestabilan untuk pelabur yang menyimpan pelaburan dalam tempoh jangka sederhana dan panjang.
"Kelebihan Maybank Flexible Retirement Solution terletak pada peralihan pendekatan berasaskan usia secara tradisional kepada perancangan persaraan dan menjadi tarikan kepada segmen yang lebih luas dengan tersedianya penyelesaian memahami dan
menyasarkan pelbagai peringkat kehidupan, tempoh masa dan matlamat kewangan mereka.
"Pelabur daripada pelbagai segmen boleh memilih tahap risiko yang mereka inginkan, sama ada sederhana atau pertumbuhan.
"Mereka juga diberi kefleksibelan untuk menetapkan perancangan persaraan yang memenuhi matlamat dan keperluan mereka.
"Kini, golongan muda bekerja sekalipun boleh melabur dalam penyelesaian yang disesuaikan dengan keperluan mereka, pada setiap peringkat kehidupan," katanya di pelancaran Maybank Flexible Retirement Solution secara maya, semalam.
Menurutnya, dana ini juga berupaya memperolehi aset yang lebih berkualiti menerusi tapisan Syariah dalam proses pelaburan.
Maybank Flexible Retirement Solution tersedia secara eksklusif di semua cawangan Maybank seluruh negara.
Disclaimer: Perpustakaan Tun Abdul Razak,UiTM This material may be protected under Malaysia Copyright Act which governs the making of photocopies, reproductions or copyrighted materials. You may use the digitized materials for study or research.