Pelaksanaan Bidang Jawi Dalam Kurikulum Pendidikan Islam:
Suatu Penilaian Proses
(Implementation of Jawi Field in Islamic Education Curriculum: A Process Assessment)
Mohd Mazhan Tamyis1*, Zahari Suppian1, Abu Hashim Saad2
1 Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tg. Malim, Perak
2 Kolej Komuniti Tasek Gelugor, Pulau Pinang
*Pengarang Koresponden: [email protected] Accepted: 15 July 2022 | Published: 1 August 2022
DOI:https://doi.org/10.55057/jdpd.2022.4.2.26
_________________________________________________________________________________________
Abstrak: Kajian deskriptif ini bertujuan meninjau persepsi guru terhadap pelaksanaan bidang Jawi dalam kurikulum Pendidikan Islam (BJdKPI) di sekolah rendah dari dimensi proses menggunakan Model CIPP (Konteks, Input, Proses, Produk). Peserta kajian terdiri daripada 120 orang guru Pendidikan Islam (GPI) sekolah rendah mewakili empat buah daerah di Selangor yang dipilih menggunakan teknik persampelan rawak mudah. Instrumen BJdKPI telah dibangunkan dan melalui proses pengesahan muka, pengesahan kandungan dan pengesahan konstruk. Terdapat tujuh konstruk dalam kajian ini, iaitu; (1) pengajaran Jawi;
(2) bahan sokongan pembelajaran (BSP); (3) penyeliaan pengajaran; (4) pentaksiran bilik darjah (PBD); (5) hubungan guru dengan murid; (6) kerjasama pihak pentadbir; dan (7) kolaboratif rakan sejawat. Dapatan kajian secara keseluruhannya menunjukan persepsi GPI terhadap BJdKPI dari dimensi proses berada di tahap tinggi. Ini bermakna GPI telah memainkan peranan mereka sebagai pelaksana kurikulum di peringkat mikro. Naman mutu pelaksanaan BJdKPI masih boleh dipertingkatkan lagi melalui usaha optimum GPI ke arah yang lebih baik dalam pengajaran Jawi. Hal ini sebenarnya menuntut keterbukaan dan keseriusan segenap pihak agar dapat mengupayakan dan meningkatkan nilai tambah dan kegunaan tulisan Jawi dalam kalangan generasi muda supaya tulisan Jawi tidak pupus ditelan zaman oleh ketidakcaknaan bangsanya sendiri.
Kata kunci: Penilaian Proses, Bidang Jawi, KSSR, CIPP.
Abstract: This descriptive study aims to examine teachers' perceptions of the implementation of Jawi in the Islamic Education curriculum (BJdKPI) in primary schools from the dimensions of the process using the CIPP Model (Context, Input, Process, Product). The study participants consisted of 120 primary school Islamic Education (GPI) teachers representing four districts in Selangor who were selected using a simple random sampling technique. The BJdKPI instrument was developed and went through the process of face validation, content validation and construct validation. There are seven constructs in this study, namely; (1) teaching Jawi;
(2) learning support materials (BSP); (3) teaching supervision; (4) classroom assessment (PBD); (5) teacher -student relationship; (6) cooperation of administrators; and (7) peer collaboration. The findings of the study as a whole show that the perception of GPI towards BJdKPI from the process dimension is at a high level. This means that GPIs have played their role as curriculum implementers at the micro level. However, the quality of BJdKPI implementation can still be further improved through GPI's optimal efforts towards better
teaching of Jawi. This actually requires openness and seriousness from all parties in order to enable and increase the added value and usefulness of Jawi writing among the younger generation so that Jawi writing does not become extinct due to the inaccuracy of its own nation.
Keywords: Process Assessment, Jawi Field, KSSR, CIPP.
___________________________________________________________________________
1. Pengenalan
Bidang Jawi dalam kurikulum Pendidikan Islam sekolah rendah (BJdKPI) merupakan salah satu komponen dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mata pelajaran Pendidikan Islam semakan 2017. Objektif BJdKPI adalah untuk menyediakan murid agar dapat membaca, membina dan menulis ayat dan teks dalam tulisan Jawi dan Khat serta mencintainya sebagai warisan budaya bangsa (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2019).
Berdasarkan objektif tersebut, jelas menunjukkan bahawa penguasaan pembelajaran Jawi adalah sebagai pelengkap keterampilan berbahasa dalam kalangan murid. Hal ini kerana tidak sempurna penguasaan bahasa Melayu seseorang murid tanpa kebolehan membaca dan menulis Jawi.
Dari segi input, BJdKPI memperuntukkan waktu pengajaran Jawi selama satu waktu seminggu (30 minit) di samping guru Pendidikan Islam (GPI) turut memberi keutamaan dari segi penyampaian ilmu dan kefahaman dalam komponen lain, iaitu al-Quran, Hadis, Akidah, Feqah, Sirah dan Adab Islamiah. Malah pelaksanaan BJdKPI turut diperkasakan dengan program j- QAF (Jawi, al-Quran, bahasa Arab, Fardu Ain) yang diperkenalkan semenjak tahun 2005.
Melalui program ini, murid yang tidak mencapai tahap penguasaan dalam Jawi akan dibantu menerusi Kem Cemerlang Jawi yang diadakan sebanyak dua kali setahun (Ahmad et al., 2021).
Malah keperluan pelaksanaan BJdKPI secara mantap dan berkesan terserlah apabila bidang Jawi tidak diteruskan di peringkat sekolah menengah, sebaliknya pelajar hanya mempelajari tulisan Jawi secara tidak langsung melalui mata pelajaran Pendidikan Islam kerana buku teks rasmi ditulis dalam tulisan Jawi (Tamyis & Suppian, 2021).
Melihat kepada senario ini, kajian yang menyentuh BJdKPI mula mendapat perhatian pengkaji- pengkaji apabila realiti menunjukkan pencapaian murid yang kurang memberangsangkan dalam penguasaan Jawi (Zairul Anuwar, 2016; Mat Arriffen, 2019; Shapii et al., 2020; Mesman et al., 2022). Malah pelaksanaan BJdKPI dan program Jawi j-QAF menjadikan GPI terlibat secara langsung dalam pengajaran Jawi di negara ini. Justeru, artikel ini akan mengemukakan satu kajian penilaian kurikulum menggunakan Model CIPP yang telah dijalankan untuk menilai pelaksanaan BJdKPI melalui dimensi konteks, input, proses dan produk.
Bagaimanapun, artikel ini hanya menjelaskan salah satu daripada aspek-aspek tersebut, iaitu dimensi proses sahaja. Perbincangan artikel ini seterusnya adalah bersandarkan kepada persoalan kajian, iaitu: Apakah persepsi GPI terhadap pelaksanaan BJdKPI dari dimensi proses?
2. Tinjauan Literatur
Model CIPP bermaksud konteks (Contex), input (Input), proses (Process), dan produk (Product). Model ini diasaskan oleh Dr. Daniel Leroy Stufflebeam. Ia merupakan sebuah model penilaian yang bersifat komprehensif, jelas dan sistematik untuk mencari keputusan dan menyelesaikan masalah dalam dimensi konteks, input, proses dan produk. Selain itu, dimensi- dimensi dalam Model CIPP juga boleh digunakan secara bersama atau berasingan dalam
sesuatu kajian. Sebagai contoh, dimensi penilaian proses dalam Model CIPP berkait rapat dengan keputusan tentang pelaksanaan atau proses yang digunakan untuk mencapai matlamat dan objektif sesuatu kurikulum seperti pelaksanaan strategi dan pelan tindakan. Hal ini kerana penilaian proses memberi penekanan dari segi kekuatan dan kelemahan proses atau aktiviti yang dijalankan bagi mencapai objektif dan matlamat sesuatu kurikulum (Stufflebeam, 1971).
Justeru, penilaian proses berupaya memberikan maklumat yang penting dan berguna supaya pelaksanaan BJdKPI dapat dijayakan dengan mantap dan mencapai matlamat dan objektif yang dihasratkan.
Model CIPP juga berupaya menunjukkan perkaitan antara satu dimensi dengan dimensi yang lain dan di antara sumber yang digunakan untuk pelaksanaan program, aktiviti yang telah dilaksana dan perubahan yang diharapkan (Stufflebeam, 1971). Oleh itu, masalah yang dikenal pasti dalam sesuatu peringkat dapat dikaitkan dengan sesuatu peringkat lain dalam kajian.
Justeru, penggunaan Model CIPP dalam kajian ini memberi ruang kepada penyelidik mengemukakan cadangan penambahbaikan pelaksanaan BJdKPI kepada pihak pembuat dasar berdasarkan dapatan kajian dengan mengenal pasti dimensi manakah yang memerlukan perubahan, dimensi manakah yang menunjukkan kejayaan yang boleh dikongsi bersama dan mewujudkan orientasi keputusan yang efektif.
Bukan itu sahaja, Model CIPP juga sering digunakan dengan pelbagai tujuan oleh pengkaji lepas sama ada untuk menilai pelaksanaan sesebuah kurikulum mata pelajaran (Jaafar, 2015);
menilai elemen dalam dalam kurikulum (Ali, 2019) ataupun menilai pelaksanaan program pendidikan (Alias, 2019). Pengkaji lepas turut melaporkan pelbagai maklumat dan rumusan kajian sebagai dokumen untuk golongan berkepentingan membuat keputusan sama ada secara spesifik mahupun secara umum. Ringkasnya, berdasarkan hujah-hujah di atas penyelidik berpendapat bahawa Model CIPP adalah sesuai digunakan untuk menilai pelaksanaan BJdKPI.
Manakala kajian-kajian lepas tentang pelaksanaan BJdKPI dari dimensi proses mendapati pelbagai faktor memainkan peranan dalam pelaksanaan kurikulum di sekolah seperti pengajaran Jawi, penggunaan bahan sokongan pembelajaran (BSP), penyeliaan pengajaran, pentaksiran bilik darjah (PBD), hubungan guru dengan murid, kerjasama pihak pentadbir dan kolaboratif dengan rakan sejawat. Sebagai contoh, dalam aspek pengajaran Jawi, melalui surat Kementerian Pendidikan Malaysia:KP/KPPM/6 Jld.2(22) bertarikh 2 November 2016 berkaitan pelaksanaan KSSR (semakan 2017) secara berperingkat-peringkat mulai 2017, jelas menunjukkan KPM berhasrat melonjakkan lagi kualiti pendidikan melalui pengajaran dan pembelajaran serta pencapaian kurikulum yang mantap melalui pelaksanaan pengajaran Abad ke-21 (PAK21). Ini bagi membolehkan murid terus bersaing di peringkat global. Namun, amalan pengajaran Jawi GPI masih pada tahap sederhana (Nahar & Safar, 2016).
Selain itu, penggunaan BSP dapat mempengaruhi motivasi murid dalam bilik darjah dan merupakan salah satu satu elemen PAK21 (Mohd Meerah & Syed Mustapa, 2017). Namun terdapat kajian berkaitan amalan penggunaan BSP terutamanya yang berkaitan teknologi dalam kalangan guru masih di peringkat sederhana dan perlu dipertingkatkan (Haron et al., 2020). Di samping itu, objektif penyeliaan pengajaran di sekolah ialah untuk meningkatkan kualiti pengajaran, pembangunan profesional keguruan dan meningkatkan motivasi guru (Mohamad
& Jasmi, 2011). Namun, kajian Che Kamaruzaman et al. (2019) mendapati guru kurang berpuashati dengan proses penyeliaan yang dijalankan di sekolah. Kajian mereka menunjukkan hanya 47.2 % responden telah diselia sebanyak dua kali setahun, 32% sekali setahun, 2.9 % sekali dalam jangka masa dua tahun dan 8.2 % tidak pernah dicerap dalam pengajaran mereka.
Di samping itu, salah satu bentuk transformasi pendidikan dalam pelaksanaan KSSR adalah proses pentaksiran ke atas murid-murid yang mengalami perubahan orientasi peperiksaan kepada orientasi perkembangan kemajuan murid. Meskipun begitu, dapatan kajian lepas tentang amalan PBD oleh Rasul dan Hassan (2019) mendapati tahap persepsi GPI terhadap pentaksiran DSKP secara keseluruhannya berada pada tahap yang sederhana berikutan pemahaman terhadap model pentaksiran dan penilaian dalam pengajaran dan pembelajaran adalah tidak menyeluruh. Seterusnya, interaksi harmonis dan efektif antara guru dan murid sangat mempengaruhi keberhasilan pembelajaran (An-Nawawi, 2018). Namun, dapatan kajian Abdullah et al. (2014) pula menunjukkan bahawa halangan keberkesanan komunikasi guru dengan murid dalam bilik darjah terjadi akibat sikap atau tingkah laku sosioemosi guru sendiri seperti mudah marah, kawalan kelas yang lemah dan pengajaran yang membosankan.
Sementara itu, sesebuah sekolah yang cemerlang adalah hasil kolaboratif erat sesama guru dan juga kerjasama antara guru dengan pentadbir di sekolah (Hall & Hord 2011). Walau bagaimanapun, kajian Chong et al. (2018) mendapati budaya kerjasama kurang diamalkan di sekolah dengan guru dan pentadbir menjalankan tugas secara sendirian, kurang berkongsi ilmu dan dikawal oleh amalan birokrasi yang ketat, dan pentadbir sekolah kurang menerima pandangan serta cadangan pelbagai pihak. Di samping itu, menurut mereka guru juga berasa tertekan kerana pentadbir sekolah kurang fleksibel dalam hal-hal yang melibatkan penglibatan dalam perancangan kurikulum.
Akhir sekali, penyelidik menyimpulkan bahawa terdapat tujuh konstruk yang dapat dikaitkan dengan dimensi proses dalam kajian ini, iaitu ; (1) pengajaran Jawi; (2) bahan sokongan pembelajaran (BSP); (3) penyeliaan pengajaran; (4) pentaksiran bilik darjah (PBD); (5) hubungan guru dengan murid; (6) kerjasama pihak pentadbir; dan (7) kolaboratif rakan sejawat.
3. Metodologi Kajian
Soal selidik BJdKPI dibangunkan berdasarkan adaptasi daripada beberapa dokumen KPM, iaitu DSKP KSSR Pendidikan Islam, PBD dan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPMg) Standard 4 (KPM, 2017; KPM, 2018; KPM, 2019). Di samping itu, penyelidik turut merujuk kajian oleh pengkaji terdahulu seperti Stufflebeam (1971), Jaafar (2015) dan Muckenthaler et al. (2020). Seterusnya, instrumen BJdKPI telah melalui proses pengesahan muka, pengesahan kandungan dan juga pengesahan konstruk.
Pengesahan muka ke atas instrumen BJdKPI diperoleh daripada tiga orang pakar dalam bidang bahasa Melayu dan seorang pakar dalam bidang Pendidikan Islam yang berpengalaman.
Sementara pengesahan kandungan soal selidik BJdKPI menggunakan metode Nisbah Kesahan Kandungan (CVR) yang dicadangkan oleh Lawshe (1975). Rubio et al. (2013) mencadangkan agar sekurang-kurangnya tiga orang panel pakar dilantik bagi setiap kumpulan pakar dengan lingkungan julat enam hingga dua puluh orang dipilih bagi meningkatkan nilai kesahan kandungan sesuatu instrumen. Bagi mencapai tujuan tersebut, penyelidik telah mendapatkan khidmat nasihat 15 orang pakar yang terdiri daripada lapan orang pakar profesional dan tujuh orang pakar lapangan. Penggunaan 15 orang pakar dalam sesuatu kajian juga pernah dilakukan oleh penyelidik tempatan (Ramli et al., 2018).
Kemudian analisis Faktor Penerokaaan (EFA) telah dilakukan untuk setiap konstruk secara berasingan dan hasilnya menunjukkan bahawa kesemua enam konstruk tersebut mempunyai satu komponen. Manakala pemuatan faktor untuk setiap item dalam setiap konstruk ialah > 0.6, ujian sfera Bartlett adalah < 0.05 untuk semua konstruk, iaitu signifikan (nilai P <0.05).
Sementara ujian Kaiser-Meyer-Olkin mendapati ukuran kecukupan persampelan adalah lebih tinggi daripada 0.6 untuk semua konstruk. Hal ini bermakna saiz sampel adalah mencukupi.
Seterusnya melalui Ujian Alpha Cronbach (lihat Jadual 1) yang telah dijalankan menunjukkan bahawa keseluruhan item konstruk adalah lebih tinggi daripada 0.7, ini bermaksud item soal selidik dalam kajian ini semuanya boleh dipercayai. Ringkasnya, kajian ini mendapati instrumen soal selidik BJDKPI adalah sah dan boleh dipercayai untuk mengukur pelaksanaan BJdKPI.
Jadual 1: Ujian Kebolehpercayaan Item Soal Selidik BJdKPI
Konstruk Jumlah Item Cronbach's Alpha
G : Pengajaran Jawi 6 0.998
H : Bahan Sokongan Pembelajaran (BSP) 5 0.988
I : Penyeliaan Pengajaran 5 0.991
J : Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) 5 0.996
K : Hubungan guru dengan Murid 5 0.997
L : Kerjasama Pihak Pentadbir 5 0.986
M : Kolaboratif Rakan Sejawat 5 0.988
Jumlah 36 0.992
Soal selidik BJdKPI terdiri daripada 36 item dalam tujuh konstruk. Skala nominal digunakan untuk mengumpul data demografi responden kajian, iaitu jantina dan daerah. Manakala skala selang digunakan untuk mengukur konstruk-konstruk dalam soal selidik BJdKPI. Skala selang 10 mata tersebut berbentuk pernyataan persetujuan antara dua ekstrem, iaitu sangat tidak setuju (STS) dan sangat setuju (SS) untuk responden menandakan pilihan jawapan mereka. Data soal selidik yang dikumpul telah dianalisis menggunakan perisian Statistical Package For The Social Science (SPSS) versi 23.0. Data dianalisis secara deskriptif melalui catatan min dan sisihan piawai untuk mengenal pasti tahap persepsi GPI terhadap dimensi konteks dan dimensi input dalam pelaksanaan BJdKP. Penetapan skala min yang digunakan dalam kajian ini adalah ubah suai dari kajian Wan Ngah et al. (2017) yang menggunakan pembahagian lima tahap min seperti dalam Jadual 2.
Jadual 2: Interpretasi Skor Min
Nilai Skor Min Tahap Pelaksanaan
1.00 hingga 2.80 Sangat Rendah
2.81 hingga 4.60 Rendah
4.61 hingga 6.40 Sederhana
6.41 hingga 8.20 Tinggi
8.21 hingga 10.00 Sangat Tinggi
Profil Responden
Soal selidik BJdKPI disebarkan secara atas talian menggunakan aplikasi Google Form setelah mendapat keizinan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Selangor untuk menjalankan kajian di empat buah daerah di Selangor, iaitu; Hulu Langat, Gombak, Petaling Perdana dan Petaling Utama. Persampelan dilakukan menggunakan teknik persampelan secara rawak mudah. Hasil maklum balas mendapati 120 orang peserta telah menjawab soal selidik tersebut. Jadual 3 menunjukkan profil demografi responden berdasarkan jantina dan daerah.
Jadual 3: Demografi Peserta Kajian
Frekuensi Peratus
Jantina Lelaki 24 20.0
Perempuan 96 80.0
Daerah Hulu Langat 46 38.3
Gombak 25 20.8
Petaling Perdana 28 23.4
Petaling Utama 21 17.5
Jumlah 120 100
4. Dapatan & Perbincangan
Tahap Persepsi GPI Terhadap Dimensi Proses dalam Pelaksanaan BJdKPI Pengajaran Jawi
Pengajaran Jawi dalam kajian ini bermaksud pengajaran GPI dalam BJdKPI meliputi aspek perancangan, pelaksanaan dan penilaian pengajaran berdasarkan DSKP dan lima aspek utama Dokumen Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 Standard 4, iaitu guru sebagai perancang, guru sebagai pengawal, guru sebagai pembimbing, guru sebagai pendorong dan guru sebagai penilai (KPM, 2017).
Jadual 4 menunjukkan tahap persepsi GPI terhadap pengajaran Jawi yang mengandungi enam item. Analisis deskriptif Jadual 4 menunjukkan skor min yang paling tinggi ialah pada item G05: “Saya memberikan pujian terhadap perlakuan positif murid semasa sesi pengajaran Jawi”
(min=8.21, SP=2.12). Hal ini menunjukkan dalam pengajaran Jawi, GPI memberikan pemberatan terhadap elemen guru sebagai pendorong dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) Standard 4 dengan cara memberikan peneguhan positif terhadap hasil kerja atau tingkah laku murni murid. Dapatan ini selari dengan kajian Ramakrishnan dan Abd. Hamid (2020) yang mendapati guru menunjukkan tahap kualiti pengajaran yang tinggi dalam aspek memberikan insentif dan pujian kepada murid. Malah dapatan kajian ini juga selari dengan kenyataan Abd Hamid dan Hamzah (2021) yang menghujahkan bahawa kaedah pujian dan memberikan ganjaran material mampu memberikan motivasi dan mengukuhkan perilaku murid dengan syarat dilakukan secara konsisten. Justeru, tindakan memberikan pujian ke atas tingkah laku positif murid semasa pengajaran Jawi mampu menarik minat murid untuk mencintai pembelajaran Jawi.
Seterusnya, min terendah diperoleh pada item G02, iaitu: “Saya dapat mengelolakan waktu pengajaran Jawi selaras dengan aktiviti pembelajaran” dengan min=7.86 dan SP =2.13.
Dapatan ini menunjukkan GPI boleh mempertingkatkan kualiti pengajaran Jawi dengan cara menggunakan masa pengajaran secara cekap. Hal ini kerana pengajaran berkualiti dapat dihasilkan seandainya guru dapat menggunakan masa secara optimum seiring dengan ketepatan dalam menyampaikan isi kandungan mata pelajaran bagi mencapai matlamat pembelajaran (Devy Nurdiana et al., 2022). Justeru, GPI dicadangkan agar dapat menyusun aktiviti pembelajaran dengan teratur mengikut keupayaan murid berdasarkan pendekatan, kaedah, teknik dan strategi pengajaran yang diyakini sesuai untuk mencapai objektif pembelajaran.
Jadual 4 : Pengajaran Jawi
Item Pernyataan Min Sisihan
Piawai
Tahap G01 Saya menyediakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) Jawi yang
mengandungi hasil yang boleh diukur.
8.06 2.14 Tinggi
G02 Saya dapat mengelolakan waktu pengajaran Jawi selaras dengan aktiviti pembelajaran.
7.86 2.13 Tinggi G03 Saya berupaya mengawal persekitaran bilik darjah dengan cara
mewujudkan suasana pembelajaran Jawi yang menyeronokkan.
7.92 2.08 Tinggi
G04 Saya membimbing murid menggunakan sumber pendidikan secara maksimum.
7.93 2.10 Tinggi
G05 Saya memberikan pujian terhadap perlakuan positif murid semasa sesi pengajaran Jawi.
8.21 2.12 Sangat Tinggi G06 Saya menyediakan aktiviti pemulihan untuk murid aras rendah. 7.87 2.11 Tinggi
Keseluruhan 7.98 2.11 Tinggi
Rumusannya yang dapat dibuat ialah, tahap persepsi GPI terhadap pengajaran Jawi berada pada tahap tinggi. Min keseluruhan ialah min= 7.98 dengan SP = 2.11. Hal ini bermakna GPI bersetuju bahawa persepsi mereka terhadap pengajaran Jawi dalam pelaksanaan BJdKPI adalah pada tahap tinggi, namun boleh ditambahbaik pada masa akan datang.
Bahan Sokongan Pembelajaran (BSP)
BSP dalam kajian ini bermaksud Alat Bantu Mengajar (ABM), Bahan bantu Mengajar (BBM), Bahan Bantu Belajar (BBB) dan Teknologi Maklumat Komunikasi (TMK). Jadual 5 menunjukkan tahap persepsi GPI terhadap Bahan Sokongan Pembelajaran (BSP) yang mengandungi lima item. Analisis deskriptif Jadual 5 menunjukkan skor min yang paling tinggi ialah pada item H05: “Penggunaan Bahan Sokongan Pembelajaran membantu murid memahami pengajaran” (min=7.64, SP=2.21). Dapatan ini menunjukkan bahawa GPI yakin bahawa penggunaan BSP sememangnya mampu membantu murid memahami pengajaran Jawi.
Dapatan kajian ini selari dengan kenyataan Nurrita (2018) yang menegaskan bahawa penggunaan BSP secara cekap dan berkesan sebagai alat menyampaikan maklumat berupaya menjadikan murid lebih memahami isi pelajaran dengan mudah dan berupaya meningkatkan hasil pembelajaran meliputi aspek ilmu, kemahiran dan juga perilaku. Justeru, GPI wajar menggunakan BSP sebagai suatu alat yang dapat membantu mereka menerangkan isi pelajaran Jawi secara sistematik, menarik dan memotivasikan murid.
Seterusnya, min terendah diperoleh pada item H03, iaitu: “Saya merujuk Buku Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai rujukan pengajaran Jawi” dengan min=7.42 dan SP =2.19. Dapatan ini menunjukkan bahawa GPI perlu sentiasa menjadikan Buku Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi DBP sebagai pedoman terkini tentang sistem ejaan Jawi bahasa Melayu yang telah diselaraskan. Hal ini adalah selari dengan hasrat DBP selaku badan berkanun yang diamanahkan untuk memajukan dan mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu (Pedoman Umum Ejaan Jawi, 2020).
Jadual 5 : Bahan Sokongan Pembelajaran (BSP)
Item Pernyataan Min Sisihan
Piawai
Tahap H01 Saya menggunakan Bahan Sokongan Pembelajaran yang sesuai
dengan keperluan pembelajaran murid.
7.50 2.20 Tinggi H02 Saya menggunakan Bahan Sokongan Pembelajaran untuk mencapai
objektif pengajaran Jawi.
7.53 2.22 Tinggi H03 Saya merujuk Buku Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai rujukan pengajaran Jawi.
7.42 2.19 Tinggi
H04 Penggunaan Bahan Sokongan Pembelajaran menambah minat murid saya terhadap Jawi.
7.55 2.26 Tinggi H05 Penggunaan Bahan Sokongan Pembelajaran membantu murid
memahami pengajaran.
7.64 2.21 Tinggi
Keseluruhan 7.53 2.22 Tinggi
Rumusannya yang dapat dibuat ialah, tahap persepsi GPI terhadap BSP berada pada tahap tinggi. Min keseluruhan ialah min= 7.53 dengan SP = 2.22. Hal ini bermakna GPI bersetuju bahawa persepsi mereka terhadap BSP dalam pelaksanaan BJdKPI adalah pada tahap tinggi, namun boleh ditambahbaik pada masa akan datang.
Penyeliaan Pengajaran
Penyeliaan pengajaran dalam kajian ini ialah proses penyeliaan yang dijalankan di peringkat sekolah oleh penyelia pengajaran, iaitu guru besar, guru penolong kanan, atau pasukan guru pertengahan (MLT) ke atas GPI semasa melaksanakan BJdKPI. Jadual 6 menunjukkan tahap persepsi GPI terhadap penyeliaan pengajaran yang mengandungi lima item. Analisis deskriptif Jadual 6 menunjukkan skor min yang paling tinggi ialah pada item I02: “Penyeliaan pengajaran penting untuk mencapai matlamat kurikulum seperti yang dirancang” (min=7.63, SP=2.25).
Dapatan ini menunjukkan GPI menunjukkan sikap yang positif terhadap proses penyeliaan pengajaran yang dijalankan di sekolah. Hal ini bertepatan dengan pandangan beberapa orang sarjana yang menyatakan bahawa indikator bagi melahirkan guru yang berkualiti adalah melalui pelaksanaan kurikulum yang dirancang secara berkesan dan proses penyeliaan yang konsisten (Abdul Manap et al., 2020; Batjo et al., 2021).
Seterusnya, min terendah diperoleh pada item I01, iaitu: “Penyelia yang mencerap ada membuat perbincangan hasil pencerapan selepas sesi pencerapan” dengan min=7.44 dan SP
=2.33. Hal ini menunjukkan bahawa aspek perbincangan dan pementoran dalam penyeliaan pengajaran masih boleh dipertingkatkan. Dapatan ini selari dengan kenyataan Mohamad dan Jasmi (2011) yang menyatakan bahawa sesi perbincangan selepas penyeliaan amat penting supaya guru memperoleh cadangan bagi meningkatkan kualiti pengajaran. Namun GPI perlu bersifat terbuka dan bersedia menerima idea dan pendapat orang lain dalam meningkatkan kualiti pengajaran Jawi mereka.
Jadual 6: Penyeliaan Pengajaran
Item Pernyataan Min Sisihan
Piawai
Tahap I01 Penyelia yang mencerap ada membuat perbincangan hasil pencerapan
selepas sesi pencerapan.
7.44 2.33 Tinggi I02 Penyeliaan pengajaran penting untuk mencapai matlamat kurikulum
seperti yang dirancang.
7.63 2.25 Tinggi I03 Penyeliaan dapat membantu saya membina keyakinan sewaktu
pengajaran Jawi.
7.59 2.21 Tinggi I04 Penyeliaan dapat membantu saya agar lebih bersungguh-sungguh
dalam melaksanakan pengajaran Jawi.
7.61 2.21 Tinggi I05 Penyeliaan dapat meningkatkan kreativiti pengajaran Jawi saya. 7.59 2.19 Tinggi
Keseluruhan 7.57 2.24 Tinggi
Rumusannya yang dapat dibuat ialah, tahap persepsi GPI terhadap penyeliaan pengajaran berada pada tahap tinggi. Min keseluruhan ialah min= 7.57 dengan SP = 2.24. Hal ini bermakna GPI bersetuju bahawa persepsi mereka terhadap penyeliaan pengajaran dalam pelaksanaan BJdKPI adalah pada tahap tinggi, namun boleh ditambahbaik pada masa akan datang.
Pentaksiran Bilik Darjah (PBD)
Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dalam kajian ini bermaksud pentaksiran bilik darjah yang dilaksanakan oleh GPI untuk bidang Jawi dalam mata pelajaran Pendidikan Islam. Jadual 7 menunjukkan tahap persepsi GPI terhadap penyeliaan pengajaran yang mengandungi lima item. Analisis deskriptif Jadual 7 menunjukkan skor min yang paling tinggi ialah pada item J01: “Saya melaksanakan PBD mengikut tahap penguasaan murid” (min=7.91, SP=2.26).
Seterusnya, min terendah diperoleh pada item J03, iaitu: “Saya mempunyai pengetahuan untuk melaksanakan PBD mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh KPM” dengan min=7.82 dan SP =2.26.
Jadual 7 : Pentaksiran Bilik darjah (PBD)
Item Pernyataan Min Sisihan
Piawai
Tahap J01 Saya melaksanakan PBD mengikut tahap penguasaan murid. 7.91 2.26 Tinggi J02 Saya menjadikan maklum balas prestasi PBD murid untuk memperbaik
pengajaran Jawi saya.
7.88 2.22 Tinggi J03 Saya mempunyai pengetahuan untuk melaksanakan PBD mengikut
garis panduan yang ditetapkan oleh KPM.
7.82 2.26 Tinggi J04 PBD dapat mewujudkan budaya pembelajaran aktif dalam kalangan
murid.
7.83 2.23 Tinggi J05 Maklum balas PBD dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran guru. 7.88 2.24 Tinggi
Keseluruhan 7.86 2.24 Tinggi
Hasil analisis berdasarkan kelima-lima item yang disenaraikan dalam Jadual 7 menunjukkan GPI mempunyai sikap, pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam melaksanakan PBD berdasarkan catatan min keseluruhan= 7.86 dengan SP = 2.42. Dapatan ini selari dengan kajian Mohamad Hanapi et al. (2021) yang menunjukkan tahap kesediaan guru sekolah rendah dalam pelaksanaan PBD dari aspek pengetahuan adalah pada tahap yang tinggi. Situasi ini menunjukkan GPI sebagai agen perubahan kurikulum dilihat sudah bersedia dan prihatin dengan sebarang bentuk perubahan yang dilaksanakan oleh KPM dalam meningkatkan kualiti sistem pendidikan bertaraf dunia.
Hubungan dengan Murid
Hubungan guru dengan murid dalam kajian ini adalah ciri-ciri hubungan positif guru dengan murid seperti interaksi dua hala, penggunaan laras bahasa yang sesuai mengikut laras bahasa murid, keprihatinan terhadap perkembangan akademik murid, membantu menyelesaikan masalah murid dan menjalinkan hubungan baik untuk mewujudkan kesungguhan murid untuk belajar. Jadual 8 menunjukkan tahap persepsi GPI dalam konstruk hubungan dengan murid yang mengandungi lima item. Analisis deskriptif Jadual 8 menunjukkan skor min yang paling tinggi ialah pada item K01: “Saya melakukan interaksi dua hala dengan murid” (min=8.29, SP=2.23). Seterusnya, min terendah diperoleh pada item K04, iaitu: “Saya membantu menyelesaikan masalah murid” dengan min=8.14 dan SP =2.24.
Berdasarkan dapatan kajian ini menunjukkan GPI amat menitikberatkan hubungan profesionalisme guru dengan murid. Dapatan kajian ini dilihat seiring dengan pandangan Indriyanti et al. (2015) yang merumuskan etika hubungan guru-murid menurut Imam al- Ghazali bahawa GPI sewajarnya mencontohi sifat peribadi Nabi Muhammad s.a.w. yang mempunyai belas kasihan terhadap murid dan berniat mencari keredhaan Allah ketika menjalankan tugas sebagai seorang pendidik. Malah etika hubungan ini juga menurut mereka adalah seiring dengan keperluan pendidikan masa kini yang menuntut agar setiap guru mempunyai kompetensi yang tinggi terutama berkaitan pengetahuan tentang latar belakang dan keupayaan murid dari segi pengetahuan, kemahiran dan sahsiah.
Jadual 8 : Hubungan dengan Murid
Item Pernyataan Min Sisihan
Piawai
Tahap K01 Saya melakukan interaksi dua hala dengan murid. 8.29 2.23 Sangat Tinggi K02 Saya menggunakan laras bahasa yang sesuai mengikut laras bahasa murid. 8.23 2.24 Sangat Tinggi K03 Saya prihatin terhadap perkembangan akademik murid, 8.21 2.20 Sangat Tinggi
K04 Saya membantu menyelesaikan masalah murid. 8.14 2.24 Tinggi
K05 Saya menjalinkan hubungan yang baik agar dapat mewujudkan kesungguhan murid untuk belajar.
8.21 2.18 Sangat Tinggi
Keseluruhan 8.22 2.22 Sangat
Tinggi
Rumusannya yang dapat dibuat ialah, tahap persepsi GPI terhadap hubungan dengan murid berada pada tahap sangat tinggi. Min keseluruhan ialah min= 8.22 dengan SP = 2.22. Hal ini bermakna GPI bersetuju bahawa persepsi mereka terhadap hubungan dengan murid dalam pelaksanaan BJdKPI adalah pada tahap sangat tinggi, namun boleh ditambahbaik pada masa akan datang.
Kerjasama Pihak Pentadbir
Kerjasama pihak pentadbir dalam kajian ini bermaksud kerjasama dan mengambil langkah penambahbaikan dalam bentuk fizikal ataupun moral di antara pihak pentadbir sekolah dengan GPI dalam melaksanakan BJdKPI secara berkesan dan profesional. Jadual 9 menunjukkan tahap persepsi GPI dalam konstruk kerjasama pihak pentadbir yang mengandungi lima item.
Analisis deskriptif Jadual 9 menunjukkan skor min yang paling tinggi ialah pada item L05:
“Pentadbir berkongsi ilmu yang berorientasikan kecemerlangan” (min=7.50, SP=2.30).
Seterusnya, min terendah diperoleh pada item L01, iaitu: “Saya berpeluang berbincang mengenai keperluan pembelajaran Jawi dengan pihak pentadbir” dengan min=7.34 dan SP
=2.32.
Jadual 9 : Kerjasama Pihak Pentadbir
Item Pernyataan Min Sisihan
Piawai
Tahap L01 Saya berpeluang berbincang mengenai keperluan pembelajaran Jawi
dengan pihak pentadbir.
7.34 2.32 Tinggi L02 Pentadbir memberikan penghargaan apabila guru memberikan
sumbangan.
7.35 2.33 Tinggi L03 Pentadbir memahami pelaksanaan bidang Jawi dalam kurikulum
Pendidikan Islam.
7.39 2.31 Tinggi L04 Pentadbir bersedia menerima pandangan daripada guru. 7.43 2.36 Tinggi L05 Pentadbir berkongsi ilmu yang berorientasikan kecemerlangan. 7.50 2.30 Tinggi
Keseluruhan 7.40 2.32 Tinggi
Rumusannya yang dapat dibuat ialah, tahap persepsi GPI terhadap kerjasama pihak pentadbir berada pada tahap tinggi. Min keseluruhan ialah min= 7.40 dengan SP = 2.32. Hal ini dilihat sejajar dengan kajian Abd. Ghani et al. (2014) yang menunjukkan bahawa pentadbir sekolah berperanan dalam memimpin guru dari segi peningkatan pengetahuan, kemahiran dan sikap ke arah perubahan positif dalam mewujudkan komuniti sekolah yang beriklimkan organisasi pembelajaran.
Kolaboratif Rakan Sejawat
Kolaboratif rakan sejawat yang dimaksudkan dalam kajian ini bermaksud suatu bentuk kerjasama profesional dalam bidang keguruan melalui pengembangan perhubungan rakan sejawat ke arah meningkatkan kecekapan dan kualiti. Kolaboratif tersebut bermatlamatkan meningkatkan pembelajaran Jawi dalam kalangan murid menerusi organisasi kerja GPI secara kolektif, konstruktif dan reflektif yang dijalankan dengan kemahuan setiap individu melalui penetapan matlamat dan tanggungjawab secara bersama demi kebaikan sekolah (Muckenthaler et al., 2020). Jadual 10 menunjukkan tahap persepsi GPI terhadap konstruk kolaboratif rakan sejawat yang mengandungi lima item. Analisis deskriptif Jadual 10 menunjukkan skor min yang paling tinggi ialah pada item M05: “Proses pembelajaran murid dapat dibimbing menerusi kolaboratif” (min=8.19, SP=2.08). Dapatan ini selari dengan kenyataan Mustafa Kamal et al.
(2022) yang menyatakan bahawa GPI telah berjaya menerapkan elemen kolaboratif dalam pengajaran Pendidikan Islam melalui pendekatan heutatogi.
Seterusnya, min terendah diperoleh pada item M03, iaitu: “Saya membangunkan lembaran kerja bersama rakan sejawat” dengan min=7.90 dan SP =2.09. Penyelidik berpandangan bahawa antara kesukaran yang dihadapi ketika membangunkan lembaran kerja adalah mungkin disebabkan cabaran menghasilkan lembaran kerja yang menarik, mudah difahami dan mampu mencapai objektif pembelajaran. Oleh yang demikian, GPI harus lebih kreatif dan melakukan sesi sumbang saran dan berkongsi kepakaran bersama rakan sejawat yang lain.
Jadual 10 : Kolaboratif Rakan Sejawat
Item Pernyataan Min Sisihan
Piawai
Tahap M01 Saya berkongsi maklumat profesional yang penting dengan rakan sejawat. 8.17 2.10 Tinggi M02 Saya membincangkan kesukaran pembelajaran dalam kalangan murid
dengan rakan sejawat.
8.17 2.04 Tinggi M03 Saya membangunkan lembaran kerja bersama rakan sejawat. 7.90 2.09 Tinggi M04 Saya bersedia untuk mengajar bersama rakan sejawat di dalam kelas. 8.18 2.09 Tinggi M05 Proses pembelajaran murid dapat dibimbing menerusi kolaboratif. 8.19 2.08 Tinggi
Keseluruhan 8.12 2.08 Tinggi
Rumusannya yang dapat dibuat ialah, tahap persepsi GPI terhadap kolaboratif rakan sejawat berada pada tahap tinggi. Min keseluruhan ialah min= 8.12 dengan SP = 2.08. Hal ini bermakna GPI bersetuju bahawa persepsi mereka terhadap kerjasama rakan sejawat dalam pelaksanaan BJdKPI adalah pada tahap tinggi, namun boleh ditambahbaik pada masa akan datang. Dapatan kajian ini selari dengan dapatan kajian Wan Abdullah et al. (2020) yang mendapati elemen kolaboratif rakan sejawat merupakan suatu ciri penting yang sering diamalkan oleh GPI Inovatif. Menurut mereka kolaboratif merupakan salah satu cara yang bijaksana untuk meningkatkan kualiti inovasi melalui sesi sumbang saran dan pembahagian tugas sesama rakan sejawat dan berupaya menambah pengetahuan masing-masing kerana mengambil kira semua individu di dunia ini memiliki kelebihan masing-masing yang perlu digunakan untuk manfaat bersama. Malah kolaboratif juga boleh dilaksanakan dalam kalangan guru yang berlainan opsyen.
Berdasarkan dapatan kajian yang dianalisis secara deskriptif, keseluruhannya dapat dirumuskan seperti yang tertera dalam jadual 11 di bawah.
Jadual 11 : Rumusan Dapatan Deskriptif Bagi Konstruk Berdasarkan Dimensi Proses
Bil Konstruk Min Sisihan Piawai Tahap
1 Pengajaran Jawi 7.98 2.11 Tinggi
2 Bahan Sokongan Pembelajaran 7.53 2.22 Tinggi
3 Penyeliaan Pengajaran 7.57 2.24 Tinggi
4 Pentaksiran Bilik Darjah 7.86 2.24 Tinggi
5 Hubungan dengan Murid 8.22 2.22 Sangat Tinggi
6 Kerjasama Pihak Pentadbir 7.40 2.32 Tinggi
7 Kolaboratif Rakan Sejawat 8.12 2.08 Tinggi
Keseluruhan 7.81 2.20 Tinggi
Jadual 11 melaporkan dapatan nilai min dan sisihan piawai berkaitan dengan konstruk-konstruk dalam dimensi proses. Secara keseluruhannya, daripada tujuh konstruk yang dikaji, enam konstruk mencatatkan tahap min tinggi. Manakala satu konstruk baki mencatat tahap min yang sangat tinggi (Hubungan dengan Murid). Sementara konstruk yang mencatatkan min yang paling rendah adalah konstruk (Kerjasama Pihak Pentadbir) dengan catatan min=7.40 dengan Sisihan Piawai =2.32.
5. Cadangan & Kesimpulan
Kesimpulannya, dapatan kajian menunjukkan persepsi GPI dalam pelaksanaan BJdKPI dari dimensi proses adalah pada tahap tinggi (min=7.81 dengan sisishan piawai = 2.20). Ini bermakna GPI telah memainkan peranan mereka sebagai pelaksana kurikulum di peringkat mikro. Naman mutu pelaksanaan BJdKPI masih boleh dipertingkatkan lagi melalui usaha optimum para guru ke arah yang lebih baik dalam pengajaran Jawi. Di samping itu, pelaksanaan BJdKPI juga boleh ditambahbaik menerusi usaha-usaha pelestarian Jawi di dalam dan di luar kelas. Sebagai contoh, GPI boleh mempelbagaikan aktiviti pengajaran Jawi dengan lebih banyak melibatkan aktiviti ‘hands-on’ antaranya termasuklah pembelajaran berasaskan projek yang menggunakan sumber yang mudah didapati seperti buku skrap, kraftangan, lukisan, dan model haiwan menggunakan bahan terbuang. Manakala aktiviti di luar kelas memerlukan keseriusan dan kesungguhan warga sekolah dalam memupuk pembudayaan tulisan Jawi. Antara aktiviti yang dicadangakan adalah seperti papan tanda tulisan Jawi, mural Jawi dan pertandingan semarak Jawi sempena minggu bahasa Melayu atau minggu Pendidikan Islam.
Hakikatnya, kajian ini memperlihatkan tulisan Jawi hanya diajar dalam mata pelajaran Pendidikan Islam di peringkat sekolah rendah sahaja dan bukannya mata pelajaran bahasa Melayu mahupun suatu pelajaran lain yang diajar secara berasingan meskipun tulisan ini adalah tulisan kembar bahasa Melayu. Pelaksanaan BJdKPI sewajarnya dapat merealisasikan konteks sebenar tulisan Jawi sebagai suatu bentuk tulisan warisan budaya bangsa Malaysia yang dapat digunakan sebagai alat perpaduan masyarakat berbilang kaum. Malah pelaksanaannya perlu lari daripada kepompong bahawa tulisan Jawi hanya layak sebagai tulisan yang digunakan untuk murid Islam sahaja bagi memahami ajaran agama Islam. Walhal tulisan Jawi lebih cenderung kepada wacana bahasa Melayu yang mirip kepada penggunaan aksara Arab. Hal ini sebenarnya menuntut keterbukaan dan keseriusan segenap pihak agar dapat mengupayakan dan meningkatkan nilai tambah dan kegunaan tulisan Jawi dalam kalangan generasi muda supaya tulisan Jawi tidak pupus ditelan zaman oleh ketidakcaknaan bangsanya sendiri.
Rujukan
Abd. Ghani, M. F., Ishak, R., Siraj, S., & Kenayathulla, H. B. dan Crow, G.M. (2017).
Keberkesanan amalan organisasi pembelajaran di sebuah sekolah cemerlang di Kuala Terengganu, Terengganu: Satu Kajian awal. JuKu: Jurnal Kurikulum & Pengajaran Asia Pasifik, 2(3), 22-42. https://mojes.um.edu.my/index.php/JUKU/article/view/8080
Abd Hamid, M.Z. dan Hamzah, M.I. (2021). Kaedah pujian dan penghargaan dalam
pembelajaran al-Quran bagi kanak-kanak pra sekolah. QALAM International Journal of
Islamic and Humanities Research, 1(2), 109-117.
https://qalamjournal.com/index.php/home/article/view/29
Abdul Manap, M.H., Haron, Z., dan Othman, N. (2020). Penilaian pelaksanaan program pentaksiran alternatif sekolah rendah (PASR) di sekolah rendah pendidikan khas Integrasi. Jurnal Pendidikan Malaysia, 45(1), 9-16.
DOI:http://dx.doi.org/10.17576/JPEN-2020-45.0ISI-02
Abdullah, M.K., Johari, K., Ag Chuchu, A.Y. & Laji, H. (2014). Komunikasi Guru Dalam Bilik Darjah dan Tingkah Laku Delinkuen Murid Sekolah Menengah. Jurnal Pemikiran
Pendidikan, 5:59-77, Retreived from
http://www.malrep.uum.edu.my/rep/Record/my.ums.eprints.18890/Details
Ahmad, M.S., Baharudin, H. dan Mohd Zubir, N.S. (2021). Pelaksanaan Kem Cemerlang Jawi (KCJ) di sekolah rendah daerah Selangau, Sarawak. Jurnal Dunia Pendidikan, 3(2), 144- 153. Retreived from https://myjms.mohe.gov.my/index.php/jdpd/article/view/13507 Ali, M.M. (2019). Penilaian pelaksanaan kurikulum pengajaran akidah pendidikan Islam dan
amalan kemahiran berfikir kritis serta analitikal di sekolah menengah. Tesis Doktor Falsafah (tidak diterbitkan). Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor
Alias, M.M. (2019). Menilai pelaksanaan program Linus 2.0 di sekolah-sekolah dalam daerah Gombak. Tesis Sarjana (Tidak diterbitkan). Universiti Pendidikan Sultan Idris.
An-Nawawi, A, I., (2018). Adab al-Alim Wa Al-Muta’allim Wa al-Mufti Wa al-Mustafti. Terj.
Hijrian A. Primataro. Yogyakarta: Diva Press
Batjo, N., Ambotang, A.S, Taat, M.S., Mosin, M., Shaari, A.S. dan Talip, R. (2021). Pengaruh pengurusan pengajaran dan pembelajaran terhadap kualiti guru sekolah rendah luar bandar di Sabah. BITARA International Journal of Civilizational Studies and Human Sciences, 4
(2), 13-31. Retreived from
https://bitarajournal.com/index.php/bitarajournal/article/view/188
Che Kamaruzaman, C.K., Mohd Yaakob, M.F., & Awang, H. (2019). Tahap dan perasaan ketika penyeliaan pengajaran guru: Kajian di sekolah Agama Yayasan Islam Kelantan.
Journal of Educational Research & Indigenous Studies, 2(1), 1-16. Retreived from https://www.jerisjournal.com/
Chong, C.K., A.Ghani, M.F. & Abdullah, Z. (2018). Cabaran amalan komuniti pembelajaran dalam kalangan guru sekolah rendah berprestasi tinggi di Malaysia. Jurnal Kurikulum dan Pengajaran Asia Pasifik, 6(3), 1-14. Retreived from https://juku.um.edu.my/index.php/JUKU/article/view/14031
Devy Nurdiana, Syahira Luqna Aqila M, & Fatkhur Syahrul Ramadhan. (2022). Keberkesanan Waktu Pembelajaran untuk Pengajaran Matematik kepada Pelajar PAUD. Advances in Humanities and Contemporary Studies, 3(1), 126–133. Retrieved from https://penerbit.uthm.edu.my/periodicals/index.php/ahcs/article/view/5961
Hall, G.E. & Hord, M.S. (2011). Implementing change: patterns, principles and pothaloes.
Third Edition. New Jersey: Pearson education Inc.
Haron, M.Z., Md, Zalli, M.M., Hashim, S.N.A, Abdul Gani, A.R. & Salleh, I. (2020).
Penggunaan bahan bantu mengajar berteknologi dalam pengajaran guru tahfiz model ulul albab (TMUA). Jurnal al-Hikmah, 2(2), 3-18. Retreived from http://journalarticle.ukm.my/15957/1/404-Article%20Text-1503-1-10-20201207.pdf Indriyanti, T., Siregar, K. I., & Lubis, Z. (2015). Etika Interaksi Guru dan Murid Menurut
Perspektif Imam Al Ghazali. Jurnal Studi Al-Qur’an; Vol, 11(2). Retreived from http://journal.unj.ac.id/unj/index.php/jsq/article/download/4383/3308/
Jaafar, A. (2015). Penilaian Kurikulum Pendidikan Islam Berasaskan Model Context-Input- Process-Product. Tesis Doktor Falsafah (Tidak diterbitkan). Universiti Utara Malaysia.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2017). Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2), Putrajaya: Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2018). Panduan Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah.
Putrajaya: Bahagian Pembangunan Kurikulum.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2019). Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Islam: Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Tahun 5. Putrajaya: Bahagian Pembangunan Kurikulum.
Mat Arriffen, M. (2019). Persepsi guru pendidikan Islam terhadap pengetahuan, kemahiran dan sikap pelajar lepasan program j-QAF. Tesis sarjana pendidikan. (tidak diterbitkan).
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi Selangor.
Mesman, N.S., Abd. Majid, Z. dan Harun, M. (2022). Cabaran dan peranan ibu bapa dalam memperkasakan pembelajaran Jawi semasa pandemik COVID-19. Jurnal Dunia
Pendidikan, 4(2), 1-12. Retreived from
https://myjms.mohe.gov.my/index.php/jdpd/article/view/18360
Mohamad Hanapi, M.H., Zakaria, N. dan Muner, N.Z. (2021). Tahap kesediaan guru sekolah rendah di daerah Kalang, Selangor dalam pelaksanaan pentaksiran bilik darjah dari aspek pengetahuan. International Journal of Modern Education (IJMOE). 3(9), 1-8.
DOI:10.35631/IJMOE.39001.
Mohamad, S, & Jasmi, K.A. (2011). Penyeliaan guru dalam pengajaran dan pembelajaran.
Johor Bahru: Penerbit UTM Press
Mohd Meerah, S. & Syed Mustapa, S.I. (2017). Pedagogi Abad ke-21. Petaling Jaya: Sasbadi Sdn. Bhd.
Muckenthaler, M., Tillmann, T., Weib, S. dan Keil, E. (2020). Teacher collaboration as a core objective of school development. School Effectiveness and School Improvement, 1-19.
DOI:10.1080/09243453.2020.1747501.
Mustafa Kamal, N.M., Hussin, Z. dan Sulaiman, A.M. (2022). Elemen kolaborasi dalam pengajaran Guru Pendidikan Islam melalui pendekatan heutatogi. Jurnal Dunia Pendidikan, 4(1), 372-386. DOI:https://doi.org/10.55057/jdpd.2022.4.1.29.
Nahar, N., & Safar, J. (2016). Amalan pengajaran Jawi dalam pendidikan masa kini suatu tinjauan. Tinta Artikulasi Membina Ummah 2 (2): 70-85. Retrieved from https://scholar.google.com/scholar?cluster=14510386379910933759&hl=en&as_sdt=0, 5&as_ylo=2014&as_yhi=2021
Nurrita, T. (2018). Pengembangan media pembelajaran untuk meningkatkan hasil belajar siswa. MISYKAT: Jurnal Ilmu-ilmu Al-Quran, Hadist, Syari'ah dan Tarbiyah, 3(1), 171- 187. Retreived from
https://lmsspada.kemdikbud.go.id/pluginfile.php/423559/mod_resource/content/2/Bahan
%20bacaan.pdf
Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu Dewan. (2020). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ramakrishnan, Kalaimani & Abd Hamid, A.H. (2020). Kepimpinan strategik dan hubungannya dengan kualiti pengajaran guru di Sekolah Kluster Tamil Daerah Pasir Gudang. Jurnal Dunia Pendidikan, 2 (2), 57-64. Retreived from https://myjms.mohe.gov.my/index.php/jdpd/article/view/9682
Ramli, N.F., Talib, O., Abdul Manaf, U.K & Hassan, S.A. (2018). Content validity of STEMTIP using CVR Method. International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences, 8(7), 1119-1125. http://dx.doi.org/10.6007/IJARBSS/v8-i7/4559 Rasul, A & Hassan, H. (2019). Tahap kesediaan guru pendidikan Islam dalam pentaksiran
dokumen standard kurikulum dan pentaksiran sekolah rendah. International Journal of Humanities Technology and Civilization (IJHTC). 6 (1), 1-7.
http://journal.ump.edu.my/ijhtc
Shapii, A., Mahayuddin, Z.R., dan Othman, S. (2020). Jom Jawi: meningkatkan penguasaan bahasa Jawi di kalangan murid sekolah rendah menggunakan media interaktif. Jurnal
Dunia Pendidikan, 2(3), 213-230. Retreived from
https://myjms.mohe.gov.my/index.php/jdpd/article/view/10743
Stufflebeam, D.L, (1971). The relevance of the CIPP evaluation model for educational accountability. Paper read at the Annual Meeting of the American Association of School Administrators. Atlantic City, New Jersey, February 24, 1971.
https://eric.ed.gov/?id=ED062385
Surat Kementerian Pendidikan Malaysia:KP/KPPM/6 Jld.2(22) bertarikh 2 November 2016 : pelaksanaan KSSR (semakan 2017).
Tamyis, M.M. dan Suppian, Z. (2021). Isu pelaksanaan kurikulum standard sekolah rendah (KSSR) Jawi: satu penilaian. E-Journal of Global Languange, Education and Information Technology (GLEIT), Vol. 4, 2021, 9-20. Retreived from https://worldconferences.net/journals/glit/toc/index3.html
Wan Abdullah, W.A.A., Abdul Razak, K., Hamzah, M.I. dan Mohd Zhaffar, N. (2020).
Pengetahuan untuk menghasilkan inovasi dalam kalangan guru inovatif pendidikan Islam.
Asian People Journal, 3(2), 192-201. http://dx.doi.org/10.37231/apj.2020.3.2.172
Wan Ngah, W.S., Abdul Ghani, K. dan Lubis, M.A. (2017). Persekitaran pembelajaran kefahaman bacaan bahasa Arab dalam kalangan murid J-Qaf. O-JIE: Online Journal of Islamic Education, 3, 1-7. Retreived from https://juku.um.edu.my/index.php/O- JIE/article/view/5289
Zairul Anuwar, J,. (2016). Strategi Pengajaran Pemulihan Jawi j-QAF di Sekolah Rendah Perak. Tesis Sarjana Pendidikan (tidak diterbitkan). Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak.