• Tidak ada hasil yang ditemukan

E-PROCEEDINGS INTERNATIONAL CONVENTION ON THE BASIC STRUCTURE OF CONSTITUTION (ICOBAC) 2021

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2024

Membagikan "E-PROCEEDINGS INTERNATIONAL CONVENTION ON THE BASIC STRUCTURE OF CONSTITUTION (ICOBAC) 2021"

Copied!
13
0
0

Teks penuh

(1)

268 ENAKMEN KANUN JENAYAH SYARIAH (II) 1993 DAN 2015 NEGERI KELANTAN: ANALISIS PERSPEKTIF AHLI JAWATANKUASA TEKNIKAL

NEGERI DAN NASIONAL

Nur Al-Farhain Binti Kamaruzaman

Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai Email: [email protected]

ABSTRAK

Di Malaysia, usaha untuk memartabatkan perundangan jenayah Islam secara total telah dirintis seawal tahun 1993 oleh Kerajaan Negeri Kelantan melalui pembentangan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993. Usaha yang sama diteruskan pada tahun 2015 dengan melakukan beberapa pindaan pada enakmen tersebut. Walaupun terdapat banyak penulisan dan ulasan berkaitan usaha-usaha ini, hanya sedikit kajian yang memuatkan perspektif secara terus daripada individu yang terlibat secara langsung dengan usaha ini. Justeru, objektif kertas kerja ini adalah bertujuan untuk mendapatkan perspektif individu-individu yang terlibat secara langsung dengan usaha ini. Seterusnya, analisis dan cadangan penambahbaikan bagi usaha ini akan dilakukan. Kajian ini menggunakan pendekatan kaedah kualitatif. Data dikumpul menggunakan temubual separa berstruktur melibatkan beberapa individu yang merupakan ahli Jawatankuasa Teknikal Hudud peringat Nasional dan Negeri Kelantan. Data kemudiannya dianalisis secara tematik. Hasil kajian menunjukkan bahawa kekangan utama kepada pelaksanaan kedua-dua enakmen ini adalah disebabkan kekangan perundangan. Justeru, seharusnya kekangan perundangan ini di atasi sebelum enakmen ini diluluskan di Sidang DUN Kelantan. Kajian ini juga berpandangan bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang diwartakan pada 30 Disember 2020 lebih menepati realiti perundangan Malaysia dan menepati konsep tadarruj dalam memperkenalkan undang-undang jenayah Islam di Malaysia.

Kata kunci:Jenayah Islam-Hudud-Enakmen Jenayah Syariah Kelantan

PENGENALAN

Proses asimilasi unsur-unsur Islam ke dalam sistem pemerintahan dan perundangan di Tanah Melayu mula berlaku secara berperingkat apabila Raja-Raja Melayu mula memeluk Islam. Dari sudut perundangan, ia boleh dilihat melalui kewujudan peruntukan berkaitan undang-undang Islam di dalam teks undang-undang Melayu lama (Ibrahim, 1970). Antara undang-undang yang mempunyai pengaruh Islam yang besar adalah Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka. Penggubalan undang-undang tersebut dimulakan pada zaman Sultan Mahmud Syah dan disempurnakan pada zaman Sultan Muzaffar Syah. Terdapat empat bahagian utama yang memuatkan undang-undang berkaitan syarak iaitu undang-undang Perkahwinan Islam (Fasal 25,25.2,26, 27, 28), Undang-undang Muamalah Islam (Fasal 30, 31, 31.2, 31.3, 32,33,34), Undang- undang Keterangan Islam (Fasal 35,37 dan 38) dan Undang-undang Jenayah Islam (Fasal 36, 39, 40, 41 dan 42). Hukum Kanun Melaka juga dikatakan mempengaruhi penulisan undang-undang

(2)

269 Melayu lain seperti Undang-undang Kedah yang mempunyai peruntukan undang-undang Syarak (Fasal 3,5,7,8,9), Undang-undang Sembilan Puluh (Fasal 1, 2, 3, 4, 5, 6, 37, 50, 52, 56, 67, 68, 86 dan 91) dan negeri-negeri Melayu lain juga (Zaini Nasohah, 2004) .

Memasuki era penjajahan, Tanah Melayu kemudiannya telah dijajah hampir 500 tahun oleh Portugis, Belanda, Jepun dan Inggeris. Setiap penjajah telah memperkenalkan dasar dan undang- undang yang berbeza lantaran kepentingan politik dan sistem pemerintahan kolonial yang berbeza.

Portugis dan Belanda tidak meninggalkan kesan yang signifikan kerana mereka mempunyai kepentingan ekonomi melebihi kepentingan politik (Hasan, 1996; J. N. Waler, 1808). Ini berbeza dengan penjajah Inggeris yang meninggalkan kesan yang besar kepada Tanah Melayu dari sudut landskap pemerintahan dan perundangan (Ahmad Ibrahim & Ahilemah Joned, 2015). Triti yang dibuat oleh pihak Inggeris dengan Raja-raja Melayu telah memberi ruang kepada Inggeris untuk mula campur tangan dalam urusan pentadbiran. Walaupun Raja-Raja Melayu bersetuju untuk menerima nasihat British dalam perkara pentadbiran kecuali mengenai hal ehwal agama Islam, triti ini telah ditafsirkan secara meluas bagi membolehkan mereka mengembangkan pengaruh mereka terhadap semua perkara termasuklah berkaitan pentadbiran Islam (Ahmad Ibrahim, 2011).

Pada peringkat permulaan, campur tangan berlaku secara tidak formal sehinggalah Enakmen Undang-undang Sivil Negeri-negeri Melayu Bersekutu diperkenalkan pada tahun 1937 dan diperluaskan penggunaannya ke negeri-negeri yang lain melalui Ordinan Undang-undang Sivil pada tahun 1956 (Ahmad Ibrahim & Ahilemah Joned, 2015). Kesan pemakaian enakmen dan ordinan ini adalah pemakaian undang-undang Inggeris secara rasmi ke seluruh Persekutuan Tanah Melayu.

Corak perubahan kepada landskap pemerintahan dan perundangan ini bukanlah kes yang terpencil pada Malaysia sahaja tetapi juga dikesan di negara-negara Islam yang lain apabila penjajah mula masuk ke negara-negara tersebut (Peters, 2005; Tan, 2017).

Apabila negara-negara Islam telah mencapai kemerdekaan, bermula tahun 1970-an, gerakan Islamisasi di negara-negara Islam mula mengambil tempat (Hallaq, 2005; Martin Lau, 2014). Apa yang menarik adalah kebanyakan usaha Islamisasi ini ditumpukan kepada memperkenalkan undang-undang jenayah Islam (Reza, 2013; Sidahmed, 2001). Sebagai contoh, undang-undang jenayah Islam mula diperkenalkan di Libya pada tahun 1969, tahun 1979 di Pakistan, selepas kemenangan Revolusi Iran di Iran dan di Sudan selepas Al-Nimeri berkuasa (Fluehr-Lobban, 1990;

Hossein Nayyeri, 2012; Jamal Shah, 2012; Martin Lau, 2014; Mayer, 1990) Dalam konteks Malaysia, antara usaha terawal memperkenalkan undang-undang jenayah Islam di Malaysia adalah pada tahun 1993, iaitu selepas kemenangan besar koalisi Angkatan Perpaduan Ummah mengalahkan UMNO di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum kelapan (Kamali, 1995, 1998; Lindsey & Steiner, 2016;

Salleh, 1999)

Latar belakang Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993

Usaha memartabatkan perundangan syariah secara umumnya dan jenayah Islam secara khususnya merupakan salah satu manifesto yang digagaskan oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pada Pilihan Raya Umum kelapan pada tahun 1990. Ia juga merupakan sebahagian daripada pelan ‘Membangun

(3)

270 Bersama Islam’ yang disusun oleh Kerajaan Negeri Kelantan selepas kemenangan PAS pada pilihan raya tersebut. Pelan ini melibatkan projek-projek Islamisasi yang bukan hanya tertumpu pada perundangan jenayah semata-mata tetapi meliputi lima aspek penting iaitu tadbir urus, pelaksanaan Syariah, pendidikan, ekonomi dan sosio-kultural (Ghani, 2011).

Antara tujuan utama memperkenalkan undang-undang ini adalah bagi menunaikan kewajipan dan tanggungjawab pemerintah mendaulatkan undang-undang Islam serta mencapai keadilan dan keredhaan Allah. Ia sejajar dengan pegangan dan dasar Kerajaan Negeri Kelantan ketika itu iaitu menjadikan Islam sebagai Al-Din dan dasar pemerintahan berteraskan Al-Quran dan Al-Sunnah.

Selain itu, undang-undang yang sedia ada dikatakan tidak mampu merawat masalah sosial yang berlaku. Malah, pengenalan undang-undang ini merupakan pengembalian hak umat Islam yang dirampas oleh penjajah (Wan Nik Wan Yussof, 2011). Usaha memperkenalkan undang-undang jenayah ini dimulakan dengan penubuhan jawatankuasa penggubal yang dianggotai oleh pakar undang-undang dan Syariah seperti Dato’ Hj Daud bin Muhammad1, Abu Bakar Abdullah Kutty2, Dato’ Muhamad Shukri Bin Mohamad3, Prof Dr Ahmad bin Mohamed Ibrahim4, Prof Dr Mahmud Saedon5, and Tun Mohamed Salleh Abbas6 (Azhar Bin Abdullah, 2015; Mohamed Fadzli, 2015).

Selepas draf undang-undang ini digubal secara lengkap, usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat dilakukan melalui jerayawara, ceramah dan seminar. Akhirnya, pada 25 November 1993, enakmen ini dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan dan menerima sokongan penuh daripada ahli Dewan Negeri iaitu 24 daripada PAS, 13 daripada Semangat 46, 1 daripada BERJASA dan 1 daripada HAMIM (Mohamed Fadzli, 2015; Nasran et al). Walaupun enakmen ini telah diluluskan di peringkat negeri, disebabkan tekanan politik, sosial dan perundangan, enakmen ini tidak dapat dilaksanakan (Azhar Bin Abdullah, 2015)

Secara asasnya, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 ini mengandungi peruntukan berkaitan tiga komponen utama di dalam undang-undang jenayah Islam iaitu hudud, qisas dan ta’zir. Ia mengandungi 72 klausa, dibahagikan kepada 6 bahagian. Bahagian pertama mengandungi klausa berkaitan hudud iaitu kesalahan sariqah, kesalahan hirabah, kesalahan zina, kesalahan qadhf, kesalahan minum arak (shurb) dan kesalahan riddah. Hukuman yang diperuntukkan adalah seperti yang terkandung di dalam kitab-kitab fiqh ulama’ seperti dipotong anggota badan bagi kesalahan mencuri dan hirabah, sebatan, rejam, penjara dan hukuman mati. Bahagian kedua pula mengandungi kesalahan berkaitan qisas yang memperuntukkan hukuman bagi kesalahan bunuh dan berkaitan diyat. Bahagian ketiga mengandungi peruntukan berkaitan pembuktian dan keterangan,

1 Datuk Daud Muhammad merupakan Ketua Hakim Syarie Kelantan sejak tahun 1989 sehingga Disember 2019.

2 Abu Bakar Abdullah Kutty merupakan mantan Ketua Pendakwa Syarie dan merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Kelantan.

3 Dato’ Muhamad Shukri Bin Mohamad merupakan mufti Negeri Kelantan

4 Prof Dr Ahmad bin Mohamed Ibrahim merupakan anak kelahiran Singapura yang menerima pendidikan di St John College, University of Cambridge. Beliau juga merupakan ‘Attorney-General’ pertama di Singapura. Beliau kemudian berpindah ke Malaysia dan berkhidmat sebagai Profesor Undang-undang di Universiti Malaya dan Kuliyah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

5 Prof Dr Mahmud Saedon merupakan Profesor undang-undang Islam. Mendapat Pendidikan Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Phd daripada Universiti Al-Azhar, Mesir.

6 Tun Mohamed Salleh Abbas merupakan mantan Tuan Yang Dipertua Mahkamah Persekutuan Malaysia.

(4)

271 bahagian keempat memperuntukkan garis panduan berkaitan kaedah sebatan dan potong anggota badan. Manakala dua bahagian terakhir, kelima dan keenam memperuntukkan peruntukan umum berkaitan penubuhan Mahkamah Bicara Syariah Khas dan Mahkamah Rayuan Syariah Khas.

METODOLOGI KAJIAN

Kajian kualitatif ini menggunakan kaedah temubual separa berstruktur yang menganalisis pandangan individu-individu yang terlibat secara langsung dengan usaha memartabatkan undang- undang jenayah Islam di Negeri Kelantan. Keempat-empat individu yang dipilih dalam temuramah ini terlibat secara langsung dalam Jawatankuasa Teknikal Hudud di peringkat negeri dan nasional.

Mereka juga dipilih daripada pelbagai latar belakang yang berbeza; ahli politik, ahli akademik, penjawat awam di Jabatan Kehakiman Negeri Kelantan dan peguam syarie. Disebabkan terdapat beberapa maklumat sulit yang dikongsikan, identiti informan tidak didedahkan. Tujuan utama temuramah ini dijalankan adalah bagi mendapatkan informasi secara langsung berkaitan usaha ini.

Data kajian ditranskripsi secara verbatim dan dianalisis menggunakan kaedah tematik. Selain itu, kajian ini juga menggunakan analisis dokumen sebagai salah satu cara mendapatkan informasi berkaitan usaha ini. Risalah penerangan, buku-buku yang dikeluarkan oleh Unit Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan dan dokumen sulit seperti minit mesyuarat juga dianalisis.

HASIL KAJIAN

Sejarah Awal Kanun Jenayah Syariah (II) [1993] 2015

Menurut Informan 1, 2 dan 4, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 terkubur lama kerana menyedari kekangan perundangan yang wujud. Walaubagaimanapun, usaha bagi merealisasikan pelaksanaan ini dimulakan semula oleh Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Menteri Besar Negeri Kelantan (1990-2013). Menurut Informan 4, usaha ini dicetuskan semula, bermula dengan lawatan mahabbah Timbalan Perdana Menteri (2009-2015) iaitu Tan Sri Dato’

Haji Mahiaddin bin Md Yassin pada tahun 2014 ke rumah Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Selain itu, antara faktor tercetusnya usaha merealisasikan pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 ini adalah apabila terdapat isu-isu berkaitan dengan Hal Ehwal Islam dibangkitkan oleh sebahagian ahli Dewan Rakyat ketika perbahasan titah diraja pada Sidang Parlimen, 27 Mac 2014. Isu ini telah dijawab oleh Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) (2009-2018) (Hansard Parlimen 2014). Di dalam sidang Parlimen tersebut, Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom menyebut,

“Dalam kesempatan ini saya ingin memberikan penjelasan sesungguh kerajaan menyedari kesesuaian syariah Islam untuk diguna pakai dalam semua zaman, tempat dan juga keadaan. Secara asasnya kanun jenayah syariah terbahagi kepada tiga iaitu ialah yang berkaitan dengan hudud, kisas dan juga takzir. Ia bertujuan untuk menjaga prinsip perundangan Islam iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan juga harta benda. Mengenai hudud dari segi istilah ditakrifkan sebagai keseksaan yang telah ditetapkan oleh nas-nas alQuran dan juga As-sunah yang wajib dilaksanakan sebagai hak Allah SWT. Kadar hukumannya tidak boleh dipinda sama ada dikurangkan

(5)

272 ataupun juga ditambah. Jenis-jenis jenayah hudud ialah seperti zina, kazaf, minum arak, mencuri, merompak dan juga murtad. Dalam konteks ini kerajaan sentiasa daripada masa ke semasa berusaha memartabatkan perundangan Islam di samping yang sama usaha bagi mengharmonikan undang-undang sedia ada supaya selaras dengan maqosid syariah.”

“Dalam perkembangan terkini kerajaan telah selesai meneliti cadangan pindaan untuk meningkatkan had hukuman yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah melalui pindaan kepada Akta 355 tersebut. Menerusi pindaan yang dicadangkan, had bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman akan diperluaskan dan dipertingkatkan sesuai dengan maqosid syariah.”

Bertitik tolak daripada kedua-dua peristiwa tersebut, ia menampakkan terdapat peluang kerjasama yang cerah yang boleh dilakukan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam merealisasikan usaha pelaksanaan enakmen ini. Justeru, usaha-usaha bagi melaksanakan enakmen tersebut digerakkan semula. Usaha pertama yang dilakukan adalah penubuhan Jawatankuasa Pra- Teknikal dan Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (II) Negeri Kelantan.

Jawatankuasa Pra-Teknikal yang dipengerusikan oleh Dato’ Dr Fadzli Hassan memberi penumpuan kepada tiga aspek utama iaitu mengatasi halangan perundangan, menjelaskan kekeliruan yang timbul dan mengemaskini struktur mahkamah Negeri Kelantan sedia ada (Mohamed Fadzli, 2015). Pada tahun 2014 pula, Jawatankuasa Teknikal Enakmen Jenayah Syariah (II) 1993 telah dibentuk. Fokus jawatankuasa ini adalah bagi merangka dasar dan pelan strategik pelaksanaan enakmen ini di Kelantan (Nasran et. al, 2015).

Selain itu, menyedari kekangan utama kepada pelaksanaan enakmen yang lepas adalah kekangan perundangan dan terdapat keperluan untuk mewujudkan kerjasama di peringkat negeri dan Persekutuan, akhirnya bermulalah penubuhan Jawatankuasa Teknikal Hudud Nasional.

Jawatankuasa Teknikal ini dianggotai oleh pakar daripada pelbagai latar belakang seperti berikut:

I. Ybhg Tan Sri Ghazali Bin Abd Rahman (Penasihat Perundangan Syariah, Jabatan Peguam Negara)

II. Ybhg Tuan Hj Mohammad Nordin Bin Ibrahim, (Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM)

III. Ybhg Dato’ Sulaiman Bin Daud (Mantan Hakim Mahkamah Rayuan) IV. YA Dato’ Yusof Bin Musa (Hakim Mahkamah Rayuan Syariah)

V. Ybg Dato’ Mahammad Naser Bin Desa (Ketua Pegawai Eksekutif IKSIM) VI. Prof. Madya Dr Shamrahayu Binti A. Aziz, Felo Utama IKIM

VII. Tuan Muhammad Bukhari Bin Abd Hamid (Penasihat Undang-undang JAKIM) VIII. Tuan Zawawi Bin Ghazali (Peguam Kanan Persekutuan Jabatan Peguam Negara)

Jawatankuasa ini turut dianggotai oleh beberapa wakil daripada Kerajaan Negeri Kelantan iaitu:

(6)

273 I. Dato’ Aria Diraja Hj Daud Bin Muhammad (Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman

Syarie Negeri Kelantan),

II. Dr Mohd Azhar Bin Abdullah (Timb. Ketua Eksekutif KIAS) III. Dr Zulqarnain Bin Lukman (Peguam Bela dan Peguam Syarie) IV. Ybhg Encik Hisyam Bin Fauzi (Peguam Bela dan Peguam Syarie)

V. Encik Ahmad Termizi Bin Abdullah (Peguam Bela dan Peguam Syarie) VI. Encik Nik Baharum Bin Nik Abdullah (Peguam Bela dan Peguam Syarie

Selain itu, dua wakil daripada agensi berkepentingan seperti Jabatan Polis Diraja Malaysia dan Penjara juga diserap ke dalam Jawatankuasa ini. Penglibatan daripada pelbagai latar belakang ini menunjukkan usaha untuk memartabatkan undang-undang ini bukan sahaja merupakan impian Kerajaan Negeri Kelantan tetapi ia didokong oleh pelbagai individu daripada pelbagai latar belakang. Antara usaha yang dilakukan oleh Jawatankuasa Teknikal ini adalah membina road map bagi melaksanakan enakmen ini. Walaubagaimanapun, menurut informan 2, jawatankuasa ini hanyalah bersifat memandu dan keputusannya tidak mengikat mana-mana pihak.

Tujuan Pelaksanaan

Usaha memperkenalkan undang-undang jenayah di Kelantan seringkali dikaitkan dengan motif politik atau dengan tujuan meraih undi (Abdul Hamid, 2015). Walaubagaimanapun, kesemua informan menegaskan bahawa usaha ini adalah usaha yang disandarkan kepada agama bagi mendaulatkan undang-undang jenayah yang terdapat di dalam Al-Quran dan Sunnah. Selain itu, Informan 3 juga menambah bahawa usaha ini adalah bagi mencapai maqasid syariah yang utama iaitu menjaga agama, nyawa, akal, maruah, dan harta. Beliau juga menegaskan bahawa usaha ini sepatutnya disokong oleh semua yang beragama Islam kerana ia merupakan tannggungjawab bersama bagi memartabatkan undang-undang Islam, dan bukan merupakan undang-undang hudud milik PAS.

Kekangan Pelaksanaan

Kesemua informan juga bersetuju bahawa kekangan perundangan merupakan kekangan utama bagi melaksanakan enakmen sebelum ini. Ini selaras dengan dapatan-dapatan kajian sebelum ini yang berpendapat bahawa kekangan perundangan merupakan kekangan utama bagi melaksanakan undang-undang jenayah Islam di Malaysia (A. Aziz, 2007; 2017a; 2017b; Abdul Hamid, 2009;

Mohamad, 2015a, 2015b). Maka, usaha bagi mengatasi kekangan perundangan ini perlu dilakukan.

Antara cadangan yang dilontarkan oleh pihak Jawatankuasa Teknikal peringkat negeri bagi mengatasi kekangan ini adalah melalui pindaan RUU 355 dan Artikel 76A Perlembagaan Persekutuan. Walaubagaimanapun, bagi peringkat pertama, usaha ditumpukan kepada pindaan RUU355 dahulu (Informan 2 dan 4).

(7)

274 Pada peringkat permulaan, Jawatankuasa Teknikal Nasional mencadangkan agar usul pindaan bagi meningkatkan bidang kuasa mahkamah Syariah atau RUU 355 dibawa oleh pihak Kerajaan di Dewan Rakyat (Informan 4). Walaubagaimanapun, disebabkan masalah birokrasi pada saat-saat akhir, maka RUU355 ini dibawa oleh pihak Pembangkang. Dari sudut teknikal pindaan RUU 355, Informan 3 berpandangan bahawa sepatutnya pindaan RUU 355 ini dibawa oleh pihak kerajaan, bukan pihak pembangkang. Walaubagaimanapun, menurut Informan 2, strategi ini diambil kerana kerajaan terikat dengan birokrasi yang lebih rumit seperti perlu mengadakan mesyuarat kabinet dan melalui Majlis Raja-Raja Melayu. Ketika itu, perancangan asal pihak Jawatankuasa Teknikal Peringkat Negeri Kelantan adalah untuk melaksanakan enakmen ini pada Mac 2015. Manakala, menurut Informan 4, pendekatan ini diambil kerana pindaan ini mengalami masalah untuk dibawa ke peringkat Majlis Raja-Raja Melayu. Maka, walaupun sudah diputuskan pada peringkat Jawatankuasa Teknikal bahawa usul pindaan RUU 355 ini perlu dibawa oleh pihak Kerajaan, perancangan tersebut diubah dan dibawa oleh pihak Pembangkang. Perubahan perancangan ini telah melalui perbincangan oleh Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom dan pihak Kerajaan Negeri.

Beliau telah menyerahkan pada kebijaksanaan Kerajaan Negeri bagi mengatur langkah yang seterusnya. Maka, PAS telah bersepakat untuk membawa usul persendirian ke Parlimen. Berikut merupakan kronologi pembentangan usul pindaan RUU 355 di Dewan Rakyat (Harakah Daily, 2017) :

(8)

275

2014

•3 Mei: Pengumuman penubuhan Jawatankuasa Teknikal Hudud Peringkat Nasional oleh Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom.

2015

•19 Mac: Sidang Dun Kerajaan Negeri Kelantan meluluskan Kanun Jenayah Syariah (II) [1993] 2015.

•7 Apr: Usul persendirian MP Marang berhubung RUU355 disenarai dalam aturan usul mesyuarat dewan rakyat pada turutan ke-26. Namun atas alasan kesuntukan masa dan mendahulukan usul-usul kerajaan, usul persendirian itu tidak sempat dibentang

•17 Jun: Usul persendirian MP Marang sekali lagi disenaraikan. Ia berada pada turutan ke-16 aturan usul mesyuarat dewan rakyat. Namun kerana terdapat injuksi daripada mahkamah, ia tidak dapat dibentang.

2016

•26 Mei: Usul persendirian disenaraikan pada turutan ke-15 dalam mesyuarat parlimen..

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menggunakan Peraturan Mesyuarat 14(2), mencadangkan usul Presiden PAS dinaikkan ke nombor satu. Presiden PAS berjaya membacakan usul tersebut buat kali pertama. Ia merupakan usul persendirian pertama dari pembangkang yang berjaya dibacakan dalam sejarah dewan rakyat. Tetapi atas faktor keterbatasan masa, beliau meminta perbahasannya ditangguh ke mesyuarat akan datang.

•23 Nov: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi memanggil semua ahli dewan rakyat beragama Islam ke sesi taklimat khas berkenaan RUU355.

•24 Nov: Presiden PAS telah meminda usul RUU335 dengan memasukkan had hukuman penjara tidak melebihi 30 tahun, rotan tidak melebihi 100 sebatan dan juga denda tidak melebihi 100,000 ringgit.

•2 Dis: Dato' Seri Najib mengumumkan bahawa Kerajaan akan membawa usul pindaan tersebut.

2017

•18 Mac: Timbalan Perdana Menteri mengumumkan Kerajaan akan membentang usul pindaan di dalam Sidang Pertama Dewan Rakyat.

•29 Mac: Dato' Seri Najib mengumumkan bahawa pihak Kerajaan tidak akan membawa usul pindaan tersebut

•6 Apr: MP Marang mebentangkan usul pindaan tersebut tetapi sidang perbahasan ditangguhkan oleh pihak Speaker Dewan

•10 Ogos: Sesi perbahasan usul ditangguhkan lagi

2018

•5 Apr: Usul Pindaan RUU 355 tersenarai lagi tetapi masih belum dibahaskan

•9 Mei: Pilihan Raya Umum ke-144 diadakan. Barisan Nasional kalah. Sejak pilihan raya umum tersebut, usul ini belum lagi dibawa ke Parlimen.

(9)

276 Persediaan Sebelum Pelaksanaan

Dari sudut persediaan bagi melaksanakan Kanun Jenayah Syariah (II) [1993] 2015, terdapat beberapa perkara telah dilakukan. Antaranya adalah

I. Penambahbaikan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993. Antara perkara yang dilakukan adalah penyusunan seksyen yang lebih kemas dan teratur, penambahan seksyen baharu, pemansuhan seksyen baharu dan pengemaskinian dari sudut susun atur ayat. Enakmen ini dinamakan sebagai Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (2015).

II. Semakan semula terhadap enakmen berkaitan seperti Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah, Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah dan sebahagiannya sudahpun diluluskan di peringkan Dewan Undangan Negeri.

III. Penggubalan kaedah-kaedah bagi pelaksanaan hukuman potong anggota badan, rejam dan lain-lain hukuman.

IV. Pelantikan hakim-hakim yang kompeten bagi mengendalikan kes-kes berkaitan hudud dan qisas.

V. Pemisahan antara Bahagian Pendakwaan dan Jabatan Hal Ehwal Agama bagi menjamin keadilan Mahkamah Syariah.

VI. Bengkel bersama Jabatan Penjara Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak hospital

VII. Lawatan ke negara-negara yang melaksanakan undang-undang hudud.

Kelemahan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) [1993] dan 2015

Informan 3 menjelaskan bahawa kedua-dua enakmen ini digubal berdasarkan pandangan- pandangan mu’tabar daripada ulama empat mazhab. Manakala informan 2 menjelaskan bahawa enakmen ini telah pun melalui beberapa tapisan yang ketat sebelum dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan. Enakmen ini telah melalui tiga peringkat tapisan iaitu pertama, ia disemak oleh Jawatankuasa Pindaan, Sekretariat dan Teknikal. Pada peringkat kedua, ia disemak oleh Jamaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang dipengerusikan oleh SS Dato’ Muhammad Syukri bin Muhammad, Mufti Kerajaan Negeri Kelantan. Pada peringkat terakhir, enakmen ini disemak oleh Penasihat Undang-undang Negeri Kelantan, YB Shahidani bin Abdul Aziz sebelum ia dicetak dan dibentangkan di Sidang Dewan Undangan Negeri.

Walaubagaimanapun, Informan 4 mengatakan bahawa masih terdapat ruang penambahbaikan yang boleh dilakukan pada enakmen tersebut. Pada 12-13 Mei 2014, telah diadakan satu Bengkel Penambahbaikan EKJS melibatkan 57 orang peguam syarie, peguam sivil dan ahli akademik.

Mereka ditugaskan membuat penelitian dan cadangan penambahbaikan kepada enakmen. Antara

(10)

277 cadangan penambahbaikan yang diberikan adalah berkaitan dengan penilaian semula kadar nisab berasaskan tahap sosial, ekonomi, taraf hidup dan pendapatan isi rumah, pemurnian beberapa definisi di dalam enakmen seperti definisi harta tak alih, definisi kesalahan hirabah dan sariqah, penilaian bentuk hukuman bagi beberapa kesalahan seperti kesalahan sariqah dan zina bagi kategori muhsan, cadangan umur mukallaf ditingkatkan kepada 21 tahun berbanding 18 tahun dan pelbagai lagi. Kertas kerja cadangan tersebut telah dibentangkan oleh wakil peguam-peguam di dalam Mesyuarat Jwatankuasa Cadangan Pindaan/Penambahan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 pada 7 Ogos 2014. Sebahagian cadangan penambahbaikan tersebut ada yang diterima dan sebahagian besarnya ditolak atas sebab-sebab tertentu.

ANALISIS DAN PERBINCANGAN

Berdasarkan analisis literatur dan hasil temubual yang dilakukan, didapati bahawa kekangan perundangan merupakan faktor utama kepada kegagalan melaksanakan kedua-dua enakmen ini iaitu Enakmen Jenayah Syariah (II) 1993 dan Kanun Jenayah Syariah (II) [1993] 2015. Malah seawal penggubalannya pada tahun 1990-an, masalah ini telah pun disedari oleh Menteri Besar Kelantan, Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat melalui perutusan surat menyurat di antara beliau dan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Apabila enakmen ini mahu diperkenalkan semula pada tahun 2015, seharusnya isu berkaitan konflik bidang kuasa Persekutuan dan Negeri dan isu bidang kuasa mahkamah Syariah ini diselesaikan dahulu sebelum ia dibentang di Dewan Undangan Negeri Kelantan. Cadangan ini telah pun dilontarkan oleh Tun Abdul Hamid (2015b, 7). Beliau berkata,

“Pada 18 Mac, Rang Undang-Undang ini dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan dan telah diluluskan. Melihat isi kandungannya, semua masalah yang saya sebut mengenai Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Kelantan) masih wujud. Nampaknya, strategi Kerajaan Negeri Kelantan ialah membuat undang-undang itu dahulu. Kemudian baru ia akan mendapatkan kebenaran Parlimen di bawah Perkara 76A(1). Soalannya, bolehkah sebelum mendapat kebenaran Parlimen, Badan Perundangan Negeri membuat undang-undang itu? Pada pandangan saya, tidak. Pada tarikh Badan Perundangan Negeri membuat undang- undang itu, ia tidak mempunyai bidangkuasa membuatnya. Bagaimana ia hendak membuatnya? Hanya apabila Parlimen memberi kebenaran, barulah Badan Perundangan Negeri mempunyai bidangkuasa membuatnya”

Selain itu, persoalan lain yang boleh dibincangkan adalah, adakah enakmen ini adalah model terbaik dalam memperkenalkan undang-undang jenayah Islam berdasarkan realiti perundangan Malaysia?

Atau masih terdapat ruang penambahbaikan atau alternatif lain bagi membolehkan kesemua atau sebahagian undang-undang jenayah Islam dilaksanakan? Bagi menjawab persoalan ini, antara prinsip yang boleh diamati di dalam usaha memartabatkan perundangan jenayah Islam di Malaysia adalah prinsip tadarruj dalam memperkenalkan undang-undang Islam. Prinsip ini telah dibahaskan oleh Dr Fathi Tayyib Al-Khumasi (2001).

Dalam konteks di Malaysia, jika undang-undang jenayah Islam ini tidak dapat diperkenalkan secara total melalui enakmen yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan, maka strategi bagi merealisasikan usaha ini perlu diamati kembali. Malah, ini adalah pendekatan terbaru yang telah pun diambil oleh Kerajaan Negeri Kelantan buat masa ini. Menyedari kekangan perundangan bagi

(11)

278 melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (2015), usaha-usaha penambahbaikan telah dilaksanakan. Maka, pada 14-16 Oktober 2019, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 telah dibentangkan dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan. Model yang telah melalui penambahbaikan mengambil masa empat tahun ini dilihat lebih dekat dengan realiti perundangan Malaysia. Diharapkan apabila pindaan RUU 355 mula dibentang, dibahas dan diluluskan di Parlimen, usaha penyelarasan agar hukuman berbentuk hudud boleh dilaksanakan bagi kesalahan- kesalahan tertentu di dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 ini. Dengan memperkenalkan undang-undang jenayah Islam secara beransur-ansur melalui enakmen terbaru ini, semoga ia memberi ruang kepada masyarakat Islam dan bukan Islam melihat dan menilai sendiri keberkesanan undang-undang ciptaan Allah ini dalam usaha pencegahan jenayah dan akhirnya menerimanya sebagai salah satu undang-undang jenayah di Malaysia secara total satu hari nanti.

KESIMPULAN

Usaha Kerajaan Negeri Kelantan bagi memartabatkan perundangan jenayah Islam di Malaysia merupakan satu usaha yang terpuji. Ia telah melalui satu proses yang panjang, menjangkau hampir 30 tahun dan telah melalui beberapa fasa kematangan. Kekangan perundangan telah dikenal pasti menjadi punca utama kepada kegagalan usaha-usaha terdahulu. Justeru, usaha bagi mengatasi kekangan ini perlulah dilakukan sebelum mana-mana enakmen berkaitan hudud, qisas dan diyat hendak dibentang dan diluluskan di peringkat negeri.

Selain itu, proses introspeksi terhadap enakmen yang digubal juga perlu dilakukan dari masa ke semasa. Pihak Kerajaan Negeri perlu bersedia membuka ruang perbincangan dan setiap kritikan yang diterima perlu dinilai secara objektif. Usaha ini juga perlu disokong dan didokong oleh semua yang beragama Islam. Perbezaan dan kepentingan politik masing-masing perlulah diketepikan demi mencapat matlamat yang lebih besar iaitu bagi memartabatkan perundangan jenayah Islam di Malaysia.

RUJUKAN

A. Aziz, Shamrahayu. (2007). Islamic Criminal Law in The Malaysian Federal Structure: A Constitutional Perspective. IIUM Law Journal, 15(1).

A. Aziz, Shamrahayu. (2017). Pindaan Akta 355: Antara Harapan Dan Realiti. Jurnal Seminar Kebangsaan Mahkamah Syariah, Cabaran Melestari Masa Hadapan, 2–34.

A. Aziz, Shamrahayu. (2017). Realiti Perundangan dalam Pelaksanaan Hudud di Malaysia.

Abdul Hamid, A. F. (2009). The implementation of Islamic law in Contemporary Malaysia:

Prospects and problems. RSIS Working Series, 169.

Abdul Hamid, A. F. (2015). The Hudud Controversy in Malaysia: Religious Probity or Political Expediency? Southeast Asian Affairs.

(12)

279 Ahmad Ibrahim, & Ahilemah Joned. (2015). Sistem Undang-undang di Malaysia (2nd ed.). Dewan

Bahasa dan Pustaka.

Azhar Bin Abdullah. (2015). Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015: Pengenalan dan Hala Tuju (1st ed.). Percetakan Mesbah Sdn Bhd.

Fathi Bin Al-Tayyib Al-Khummasi. (2001). Al-Dharurah Al-Marhaliyyah Fi Tatbiq Al-Qanun Al- Jinaie Al-Islamiyy (1st ed.). Dar Qutaibah.

Fluehr-Lobban, C. (1990). Islamization in Sudan: A Critical Assessment. Middle East Journal, 44.

Ghani, M. F. (2011). Dua Dekad Kelantan Membangun Bersama Islam. Pusat Kajian Strategik Kelantan.

Hallaq, W. (2005). The Origin and Evolution of Islamic Law. Cambridge University Press.

Harakah Daily. (2017, March 14). Kronologi RUU355. Harakah.

Hasan, A. A. H. (1996). The Administration of Islamic Law in Kelantan. Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Hossein Nayyeri. (2012). New Islamic Penal Code of the Islamic Republic of Iran: An Overview (Issue March).

Ibrahim, A. (1970). Towards A History of Law in Malaysia and Singapore. In An Augural Braddell Memorial Lecture.

Ibrahim, A. (2011). Sejarah Pelaksanaan Undang-undang Hudud di Kelantan Sebelum Penjajahan.

In Hudud Tuntutan Umat dan Tanggungjawab Pemimpin Islam (1st ed.). Urusetia Penerangan Negeri Kelantan.

J. N. Waler. (1808). An Introduction to The Administered in The Colony of Straits Settlement.

Jamal Shah. (2012). Zia-Ul-Haque and the Proliferation of Religion in Pakistan. International Journal of Bussiness and Social Science, 3(21), 310–323.

Kamali, M. H. (1995). Punishment in Islamic Law: An Enquiry into the Hudud Bill of Kelantan (Issue 1).

Institute for Policy Research.

Kamali, M. H. (1998). Punishment in Islamic Law: A Critique of the Hudud Bill of Kelantan, Malaysia. Arabic Law Quarterly, 13(3), 203–234.

Lindsey, T., & Steiner, K. (2016). Islam, The Monarchy and Criminal Law in Brunei: The Syariah Penal Code Order, 2013. Griffith Law Review, 25(4), 552–580.

Martin Lau. (2014). The Re-Islamisation of Legal System. In Rudolph Peters & Peri Bearman (Ed.), The Ashgate Research Companion to Islamic Law. Routledge.

Mayer, A. E. (1990). Reinstating Islamic Criminal Law in Libya. In Law and Islam in the Middle East. Bergin and Garvey.

Mohamad, A. H. (2015a). Implementation Of Islamic Criminal Law in Malaysia. Seminar On Implementation of Hudud in Malaysia – History and The Future.

https://tunabdulhamid.me/2015/04/implementation-of-islamic-criminal-law-in-malaysia- en/

Mohamad, A. H. (2015b). Pelaksanaan Hudud: Peluang dan Cabaran. Bicara Persada.

(13)

280 Mohamed Fadzli. (2015). Ke Arah Pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan

1993. In Pelaksanaan Hudud di Malaysia: Satu Analisis. Yayasan Dakwah Islam Malaysia.

Nasran, Zuliza, Hafilah Musa, Anwar Fakri, Z. (2015). Perkembangan dan Cabaran Pelaksanaan Hudud di Malaysia. Persidangan Antarabangsa Fiqh Semasa Dan Dan Perundangan Islam, 1, 471–

481.

Peters, R. (2005). Crime and Punishment in Islamic Law.

Reza, S. (2013). Due Process in Islamic Criminal Law. George Washington International Law Review, 46(1), 1–27.

Salleh, M. S. (1999). A Comparative Analysis of Kelantan and Terengganu, Political Economy of Development in Malaysia. In Political Economy Development in Malaysia (pp. 177–209). Utusan Publications & Distributors.

Sidahmed, A. S. (2001). Problems in Contemporary Applications of Islamic Criminal Sanctions:

The Penalty for Adultery in Relation to Women. British Journal of Middle Eastern Studies, 28(2), 187–204.

Tan, C. (2017). Colonialism, Postcolonialism, Islam, and Education. In Handbook of Islamic Education (Issue September). Springer.

Wan Nik Wan Yussof. (2011). Keadilan Asas Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Negeri Kelantan: Jawapan Menteri Besar Kelantan Kepada Perdana Menteri Malaysia. Urusetia Penerangan Negeri Kelantan.

Zaini Nasohah. (2004). Pentadbiran Undang-undang Islam di Malaysia Sebelum dan Menjelang Merdeka (1st ed.). Utusan Publications & Distributors.

Referensi

Dokumen terkait

Penulisan ini bertujuan untuk menganalisis mengenai implementasi CITES dalam mengendalikan perdagangan ikan Napoleon Wrasse sebagai spesies yang terancam punah di

Selat yang dipergunakan untuk pelayaran internasional, misalnya seperti Selat Malaka di Indonesia adalah selat yang di dalamnya dapat terjadi pelayaran

28 Di Negara Amerika Serikat (AS), apabila suatu Perjanjian Internasional tidak bertentangan dengan Konstitusi maka isi Perjanjian dianggap menjadi bagian Hukum yang

Gambar 4 Roadmap riset program doktor: Analisis Tektonik Aktif di Kawasan Indonesia Timur dengan Menggunakan Data Pengamatan GPS.

DEMOKRASI DALAM PENETAPAN KEPALA GUBERNUR DAN WAKIL GUBERNUR DI DAERAH ISTIMEWA YOGYAKARTA BERDASARKAN UNDANG-UNDANG DASAR NEGARA REPUBLIK INDONESIA TAHUN 1945”

Manakala Haram Li Dhatihi pula ialah hukum larangan syarak ke atas suatu perbuatan yang mengandungi pada dirinya mafsadah yang lebih rajih dari maslahah, sama ada kerana

KAJIAN TAHAP PENGGUNAAN BAHASA KEBANGSAAN DI TEMPAT AWAM DI KUCHING, SARAWAK Wan Robiah Meor Osman*1 Hamidah Abdul Wahab2 Remmy Gedat3 Rosnah Mustafa4 Siti Marina Kamil5 1Fakulti