Disclaimer : Perpustakaan Tun Abdul Razak,UiTM
This material may be protected under Malaysia Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions or copyrighted materials. You may use the digitized materials for private study, scholarship or research.
Teknologi KA Bina mampu turunkan harga rumah
Oleh Mohd Zaky Zainudin - Julai 12, 2021 @ 11:17am
KUALA LUMPUR: KA Bina Consultancy Group Sdn Bhd (KA Bina), syarikat pemula niaga inovasi berkaitan pembinaan tempatan, membawa masuk mesin percetakan pembinaan tiga dimensi (3D) ke Malaysia, teknologi pertama seumpamanya di Asia Tenggara.
Mesin dikenali sebagai BOD2 yang dibeli daripada syarikat inovasi pembinaan terkemuka Denmark, Cobod International dilihat bakal menjadi perintis kepada usaha sektor pembinaan negara beralih kepada teknologi berimpak tinggi.
Lebih menarik, jika penggunaan teknologi percetakan 3D terbabit dilaksanakan secara meluas, ia dapat menurunkan harga kediaman dengan rumah mampu milik berkeluasan 980 hingga 1,400 kaki persegi yang sebelum ini bermula RM300,000 boleh dikurangkan menjadi RM150,000 hingga RM250,000.
Ketua Pegawai Eksekutif KA Bina, Azman Azeez, berkata percetakan 3D dalam pembinaan yang akan diperkenalkan di Malaysia bakal mempercepatkan tempoh dan mengurangkan kos pembinaan, selain mengehadkan kebergantungan kepada buruh asing.
Disclaimer : Perpustakaan Tun Abdul Razak,UiTM
This material may be protected under Malaysia Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions or copyrighted materials. You may use the digitized materials for private study, scholarship or research.
Katanya, inovasi termaju dalam sektor pembinaan itu hanya memerlukan dua operator bagi setiap mesin dan menggunakan telefon pintar untuk mereka bentuk serta mencetak rumah, sekali gus mengurangkan risiko kepada pekerjaan 3D (kotor, bahaya, sukar).
"Kami melabur sekitar RM8 juta untuk membeli dua mesin percetakan 3D dalam pembinaan bagi merintis paradigma baharu sektor pembinaan negara.
"Langkah terbaik bagi mentransformasi sektor pembinaan di Malaysia dijangka memberi limpahan manfaat jika pengkomersialan secara mega dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan pemaju hartanah tempatan,"
katanya kepada BH.
Selain melabur untuk mendapatkan dua mesin BOD2, KA Bina dilantik sebagai pengedar tunggal inovasi itu untuk pasaran Malaysia dan Singapura.
Mesin percetakan BOD2 keluaran Cobod International yang pertama sudah tiba di Malaysia minggu lalu, manakala jentera kedua dijangka diperoleh September ini.
Cobod International adalah perintis dalam pembinaan rumah menggunakan teknologi percetakan 3D dengan memiliki rakan niaga antaranya dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), India, Jerman dan Jepun.
Selain berupaya membina kediaman, mesin BOD2 boleh digunakan untuk membina semua struktur konkrit termasuk jambatan.
Azman berkata, menerusi penggunaan mesin BOD2 yang akan dikomersialkan secara meluas pada suku pertama tahun depan, kira-kira 60 peratus struktur binaan termasuk kerja asas tanah dapat dilakukan dengan jentera terbabit.
Lebih menarik, katanya, selain menjimatkan kos pembinaan sehingga 40 peratus susulan pengurangan kos buruh, BOD2 juga meningkatkan produktiviti serta ketepatan, selain kualiti lebih baik daripada sistem binaan berindustri (IBS).
Katanya, mesin BOD2 akan menjadi jawapan paling tepat untuk meningkatkan tahap pembinaan di Malaysia bersandarkan hasil, kualiti, ketepatan, tapak binaan bersih dan kurang kebergantungan pekerja asing.
"Kami akan memulakan langkah memperkasakan sektor pembinaan di Malaysia. Fokus kami adalah di Malaysia sebelum meneroka peluang pasaran di Singapura dan negara lain termasuk Indonesia, Thailand dan Myanmar," katanya.
Beliau menjelaskan, KA Bina sudah memeterai perjanjian penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), selain dalam proses memeterai perjanjian persefahaman dengan CIDB.
Disclaimer : Perpustakaan Tun Abdul Razak,UiTM
This material may be protected under Malaysia Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions or copyrighted materials. You may use the digitized materials for private study, scholarship or research.
Syarikat itu juga, katanya bercadang memberi tumpuan kepada pembinaan rumah mampu milik di Malaysia.
"Malaysia sudah lama berdepan isu kediaman mampu milik. Pada saya, tanda harga RM300,000 boleh dianggap mahal.
"Anggaran saya, rumah mampu milik berharga RM150,000 hingga RM250,000 adil kepada pemaju dan pembeli," katanya.