466
Pengalaman Baharu Pelajar Melalui Kursus Latihan Industri di Negara Brunei: Satu Tinjauan
¹ *Zalika Adam, ² Wan Azura Wan Ahmad, ³ Tg Ainul Farha Tg Abdul Rahman
1,2, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia
3Kolej GENIUS Insan, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia
*Email: [email protected]
ABSTRAK
Latihan Industri merupakan kursus wajib bagi pelajar-pelajar di IPTA/IPTS. Bagi Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Kursus ini diambil pada semester kelapan iaitu semester akhir pengajian. Kursus ini bertujuan untuk memberikan kemahiran dan persediaan kepada pelajar sebelum mereka menduduki alam pekerjaan yang sebenar. Dalam kertas kerja ini, pengkaji berkongsi tentang pengalaman sekumpulan pelajar Latihan Industri dalam mempromosikan Malaysia ke negara Brunei Darussalam melalui kursus Latihan Industri (LI). Metod kajian ini menggunakan analisis dokumen iaitu menganalisa laporan yang ditulis oleh pelajar sepanjang menjalani LI di Brunei Darussalam, seramai 11 orang pelajar. Antara hasil dapatan kajian adalah pelajar mendapat banyak pengalaman dan pengetahuan sepanjang menjalani LI dan kemahiran bertutur dalam bahasa Arab lebih dipraktikkan. Kursus ini juga banyak memberikan input yang positif kepada para pelajar agar dapat bersedia dengan pelbagai ilmu pengetahuan yang dipelajari secara praktikal di tempat Latihan Industri. Pelajar diberikan pendedahan dan pengetahuan yang sewajarnya agar dapat berkomunikasi dan berinteraksi dalam semua situasi di tempat LI dengan baik.
Kata Kunci: Latihan Industri; mempromosikan; kemahiran; Brunei; duta
1. PENDAHULUAN
Definisi Latihan industri merujuk kepada penempatan pelajar di sesebuah organisasi untuk menjalankan latihan praktikal yang diselia dalam industri yang dipilih, sama ada di luar ataupun di dalam negara, dalam jangka masa yang ditetapkan sebelum mereka dianugerahkan Sijil, Diploma atau Ijazah Sarjana Muda (Garis Panduan Latihan Industri USIM, 2019).
Garis Panduan Latihan Industri yang disediakan oleh USIM adalah sebagai panduan pelaksanaan Latihan Industri (LI) bagi pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Garis panduan ini dibangunkan berdasarkan kepada Latihan Industri Institusi Pengajian Tinggi yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) iaitu telah meletakkan LI sebagai salah satu syarat wajib untuk diikuti oleh semua pelajar Diploma dan Ijazah Sarjana Muda. LI menjadi satu syarat wajib bagi memenuhi syarat penganugerahan Ijazah Sarjana Muda, USIM.
467 Hanya pelajar yang memenuhi syarat akademik yang ditetapkan oleh Fakulti masing-masing sahaja yang layak menjalani LI. LI memberi peluang kepada pelajar untuk mempraktikkan teori yang dipelajari kepada situasi sebenar di alam pekerjaan. Selain itu, mereka dapat menerima pengalaman praktikal supaya dapat mempertingkatkan kebolehpasaran graduan. Garis panduan ini disusun bertujuan untuk memudahkan para pelajar, penyelia dan pihak organisasi memahami peranan masing-masing dalam melaksanakan LI. (Garis Panduan Latihan Industri USIM, 2019).
Kursus ini memberi peluang kepada pelajar menjalani latihan amali di jabatan atau agensi yang sesuai yang dipilih oleh pelajar dan dipersetujui oleh USIM selepas proposal menjalani penilaian khas. Tujuannya memberi pendedahan tentang bidang kerjaya dan persekitaran kerja, mempraktikkan pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi dan mewujudkan jalinan kerjasama antara USIM dengan masyarakat luar. Tempoh latihan yang ditetapkan adalah sekurang-kurangnya 12 minggu pada semester ke 8 tempoh pengajian.
Kursus ini merangkumi elemen Naqli dan Aqli, dimana sebahagian pelajar memilih LI untuk mengajar di sekolah-sekolah agama, manakala sebahagian yang lain di jabatan-jabatan kerajaan dan swasta. (Rangka Kursus Latihan Industri Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi Fakulti Pengajian Bahasa Utama, USIM)
Kursus ini merupakan satu kursus yang ditawarkan kepada pelajar Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi (SMBAK), Fakulti Pengajian Bahasa Utama, (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Melalui kursus ini pelajar dapat mempelajari teknik dan pengalaman dan suasana kerja.
Proses Latihan Industri
Latihan Industri di USIM merupakan satu kursus yang dijalankan secara sistematik dan dilakukan secara bersistem menerusi sesawang khas yang disediakan oleh Universiti Sains Islam Malaysia.
Setiap pelajar yang sedang mengikuti latihan industri diwajibkan mempunyai kata laluan tersendiri untuk memasuki sistem tersebut. sistem e-Li USIM yang disediakan sangat membantu pelajar dan penyelia sama ada penyelia dalaman di Univesiti dan penyelia industri di tempat industri untuk pengurusan kursus.
Sistem yang sama turut dibangunkan oleh Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) yang dipanggil Sistem Latihan Amali/Industri (SLAI). Sistem ini telah dibangunkan oleh Pusat Teknologi Maklumat UKM dan mula dilaksanakan pada tahun 2011. Sistem ini merupakan
468 satu komponen dalam portal Sistem Maklumat Universiti (SMU). SLAI bertujuan untuk merekod maklumat penyelia dan penyeliaan, mencetak surat dan laporan berkaitan latihan amali/industri, pelantikan penyelia, penilaian penyelia dan maklumat penyeliaan serta laporan dan surat (Muhammad Zul, 2016).
Antara item yang dipaparkan di sesawang e-li USIM adalah seperti berikut:
Rajah (1): Sistem e-Li Universiti
2. SOROTAN KAJIAN
Dasar Latihan Industri Institut Pengajian Tinggi Malaysia
Latihan Industri adalah bertujuan melatih para graduan dengan kebiasaan situasi di tempat kerja sebenar sebelum benar-benar bergraduat dan mendapat pekerjaan. Antara tujuan LI ialah memberi peluang kepada pelajar untuk (1) Mendapat pengalaman praktikal yang sesuai dengan bidang pengkhususan masing-masing, (2) Meningkatkan kemahiran berkomunikasi di pelbagai peringkat di organisasi, (3) Mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran akademik dalam alam pekerjaan yang sebenar, (4) Mengamalkan etika profesional dalam bidang masing-masing, dan (5) Mempertingkatkan kebolehpasaran pelajar supaya lebih berdaya saing. (Garis Panduan Latihan Industri USIM, 2019). Keberkesanan LI dapat dibuktikan oleh Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) ialah, yang pertamanya pembinaan personaliti, sahsiah yang baik berupaya menjadi asas kepada pembinaan pelajar yang berwibawa. Kedua
469 merupakan faktor kemahiran Insaniah yang banyak diterapkan di dalam kelas amali dan projek luar. Kemahiran yang dititikberatkan adalah kemahiran berkomunikasi, kemahiran penyelesaian masalah dan kemahiran bekerja secara berpasukan (Dziatul Nadiah,2020).
Antara objektif program latihan industri yang lain adalah untuk: mendedahkan pelajar kepada alam pekerjaan yang sebenar, mendedahkan pelajar kepada teknologi terkini dan juga pengetahuan yang terbaru dalam pasaran; mendedahkan pelajar kepada amalan spesifik dalam bidang pengkhususan masing-masing; mempertingkatkan pengetahuan, kemahiran (terutamanya kemahiran insaniah) dan pengalaman pelajar dengan organisasi; melahirkan graduan yang berkompeten; mempertingkatkan peluang pekerjaan; dan merapatkan jaringan antara pihak Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan industri.
Manakala antara objektif khusus program latihan industri ialah memberi peluang kepada pelajar untuk memahami tanggungjawab alam pekerjaan yang sebenar; mendapat pengalaman praktikal yang sesuai dengan bidang pengkhususan masing-masing;
mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran akademik dalam alam pekerjaan yang sebenar;
menghayati nilai etika profesional; mengasah kemahiran insaniah yang sesuai dengan persekitaran pekerjaan; meningkatkan kemahiran berkomunikasi; menilai kebolehan kerjaya, pengetahuan dan keyakinan diri pelajar; mempertingkatkan kebolehpasaran pelajar supaya lebih berdaya saing (K. P. T. (2010). Dasar Latihan Industri Institut Pengajian Tinggi. Malaysia:
Jabatan Pengajian Politeknik).
Objektif LI dapat dicapai melalui perbagai kaedah, antaranya pemilihan lokasi latihan yang bersesuaian, di samping kebolehan dan kemampuan pelajar yang sangat mempengaruhi majikan tempat mereka berlatih (Norhidayah et al, 2021). Tambahan pula, pelajar juga perlu dipersiapkan dengan program upskilling dan reskilling bagi memastikan pelajar sentiasa memenuhi dan kehendak keperluan industri (Noor & Abdullah, 2020). Antara program yang boleh dijalankan adalah penganjuran bengkel penulisan laporan yang mempunyai ciri-ciri teknik laporan yang baik serta mencipta budaya kerja yang berkualiti dalam kalangan pelajar (Hassan et al, 2021).
Hasil Pembelajaran Program
Bagi merealisasikan pencapaian optimum, beberapa hasil pembelajaran bagi kerangka kursus LI telah digariskan antaranya:
1. Pengenalan terhadap industri dan organisasi 2. Keterampilan dan sifat bertanggungjawab
470 Pengenalan terhadap industri dan organisasi merupakan agenda utama yang perlu dilaksanakan sebaik sahaja tempat latihan industri di jejaki. Dalam fasa ini, bukan sahaja para pelajar memperkenalkan diri mereka, budaya dan negara Malaysia kepada komuniti dan organisasi di Brunei Darussalam bahkan organisasi dan komuniti tempatan di Brunei juga turut berbuat demikian.
Oleh kerana tempat LI yang dipilih oleh para pelajar merupakan dalam kategori industri pendidikan dan bahasa arab, maka bekerjasama dan tanggungjawab sosial terhadap isu-isu penggunaan bahasa Arab dan ilmu komunikasi dapat dipraktikkan oleh kedua-dua belah pihak. bagi para pelajar Malaysia, mereka biasanya akan mempromosikan sistem pengajian yang mereka tempuhi di Malaysia, pemerihalan mengenai institusi pengajian tinggi yang ada di Malaysia serta aliran-aliran pendidikan yang terdapat di Malaysia.
1. Mempertingkatkan kompetensi dan daya saing dalam bidang pengkhususan masing- masing;
2. Menghubungkaitkan pengalaman di tempat kerja dengan ilmu yang dipelajari di IPT;
3. Kecekapan melaksanakan tugas menerusi ilmu pengetahuan 4. Kemahiran berfikir secara kreatif
5. Kemahiran berkomunikasi
6. Keterampilan dan sifat bertanggungjawab.
7. Kecekapan melaksanakan tugas menerusi ilmu pengetahuan
Objektif
Kajian ini mempunyai beberapa objektif iaitu:
1. Mempromosikan Malaysia ke Brunei Darussalam (duta kecil) secara tidak langsung melalui kursus Latihan Industri.
2. Pelajar Malaysia menimba ilmu baharu melalui pengalaman kerja di luar negara.
3. Membina rangkaian kerjasama atau hubungan dua hala dalam sistem pendidikan antara Malaysia dan Brunei Darussalam.
3. METODOLOGI
Metode kajian ini menggunakan kaedah analisa dokumen iaitu menganalisa laporan yang ditulis oleh pelajar sepanjang menjalani LI di Brunei Darussalam. 11 dokumen berkaitan laporan latihan industri pelajar dianalisis. Responden kajian terdiri daripada 11 orang pelajar
471 terpilih dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia. Kriteria pemilihan adalah berdasarkan pencapaian gred purata markah akademik yang tinggi iaitu 3.0 dan lulus temuduga yang diadakan.
4. DAPATAN KAJIAN
Hasil dapatan kajian mendapati bahawa pelajar telah mencapai objektif Latihan Industri kursus. Pelajar mendapat pengalaman daripada kursus yang dijalankan seperti mempraktikkan segala kemahiran yang ada di tempat LI, mempraktikkan kemahiran pertuturan bahasa Arab di tempat LI serta sebagai duta kecil kepada Malaysia. Melalui LI di Negara Brunei, pelajar telah mendapat pendedahan terhadap budaya dan cara hidup masyarakat luar negara, sistem pengajian di negara tersebut serta kemahiran-kemahiran asas lain seperti kemahiran IT, berkomunikasi serta kepimpinan melalui proses kerja dan latihan serta tugasan yang diberikan oleh para pensyarah.
Tempat Latihan Industri
Seramai tiga orang pelajar daripada program Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi terlibat dalam LI di Kolej Universiti Perguruan Seri Begawan (KUPUSB). Manakala seramai 8 orang pelajar yang terlibat menjalani LI di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei pada semester kedua tahun 2020. Pemilihan pelajar adalah berdasarkan kelayakan menerusi saringan temuduga oleh panel khas dan penilaian kertas kerja LI yang dikemukakan kepada pihak USIM Alamiyah. Selain itu, pelajar berkelayakan dalam bidang akademik, iaitu 3.0 ke atas. Para pelajar tersebut menjalani Latihan amali di Kolej Universiti Perguruan Seri Begawan (KUPUSB) secara bersemuka setiap hari, berbanding dengan pelajar yang menjalani Latihan di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang bekerja dari rumah. Mereka yang menjalani LI di Brunei berada di pusat Latihan industri tersebut sepanjang tempoh Covid-19, selama 20 minggu.
1. Kolej Universiti Perguruan Seri Begawan (KUPUSB) ialah sebuah institusi Pendidikan berstatus universiti terletak di Bandar Seri Begawan, Brunei. Sebuah universiti awam yang menawarkan program Pendidikan khusus dalam bidang agama.
2. Universiti Islam Sultan Sharif Ali atau lebih dikenali sebagai UNISSA merupakan Universiti Islam bertaraf antarabangsa yang menawarkan pelbagai program merentas
472 disiplin berteraskan Al-Quran dan al-Sunnah. Ditubuhkan pada tahun 2007, ia membuktikan komitmen ke bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memartabatkan Islam melalui pendidikan, di bumi bertuah Negara Brunei Darussalam ini dan ke arah pembangunan ummah.
Pengalaman baru melalui Tugasan LI (KUPUSB)
Beberapa pengalaman baru diperolehi oleh para pelajar sepanjang tempoh LI, antaranya:
1. Pengalaman kepimpinan dan pengurusan 2. Pengalaman kemahiran berbahasa 3. Pengalam sosial dan berkomunikasi 4. Kemahiran teknologi maklumat (IT) 5. Kemahiran interpersonal dan jati diri
1. Kemahiran kepimpinan dan pengurusan
Keunikan program LI di dua buah universiti ini dapat dilihat dengan kepelbagaian program yang dijalankan oleh dua buah institusi ini kepada para pelatih LI. Misalnya, Kursus Bahasa bilangan keempat bagi para guru yang sudah mempunyai diploma Pendidikan diadakan pada setiap tahun di KUPUSB, kursus dalam perkhidmatan ini bertujuan untuk pemantapan bahasa Arab di kalangan para guru agama. Hal ini dapat memberi ruang kepada para pelatih LI untuk menyertai penganjuran kursus latihan guru. Pelajar LI di KUPUSB diberi peluang mengajar kelas Nadi bahasa Arab iaitu mereka yang tiada latar belakang bahasa Arab, tetapi ingin mengajar Pendidikan Islam. Pelajar LI diberikan menerusi beberapa tugasan seperti berikut:
1. Menyediakan beberapa surat rasmi untuk kursus latihan guru bahasa keempat anjuran Pusat Bahasa, seperti surat jemputan, tempahan dewan, tempahan peralatan media dan lain-lain. Tugasan ini sudah semestinya memberi pendedahan kepada para pelajar kemahiran pengurusan masa dan kepimpinan kerana mereka ditugaskan untuk mengenali kawasan sekitar yang dinyatakan, individu-individu yang terlibat serta cara merangka surat yang berkaitan.
2. Merekabentuk iklan kursus bahasa guru dan buku program.
473 Tugasan ini mendedahkan pelajar kepada kemahiran pengiklanan, bahasa yang digunakan, rekabentuk penulisan buku program serta kemahiran penggunaan grafik dan kemahiran IT.
3. Menyediakan ucaptama kursus bahasa guru.
Tugasan penyediaan ucaptama melatih pelajar kemahiran penyusunan idea yang baik selain memahami secara mendalam atucara dan objektif program yang dijalankan selain kemahiran penulisan dan gaya bahasa bersesuaian.
4. Menjadi pengerusi majlis dalam program kursus latihan guru bahasa keempat.
Tugasan selaku pengurusi majlis membolehkan pelajar menimba pengalaman dalam kemahiran berkomunikasi selain latihan jati diri dan keberanian berinteraksi dengan audien.
2. Kemahiran berbahasa melalui menerusi Aktiviti Bahasa Arab
Pelajar LI berpeluang mengendalikan aktiviti bahasa Arab bersama peserta kursus bahasa Arab di universiti tersebut dalam aktiviti yang dijalankan setiap hari Sabtu. Antara aktiviti yang diadakan ialah:
- Permainan bahasa di dalam bilik darjah seperti memperkenalkan peralatan di dalam kelas sambil memainkan muzik.
- Permainan kotak beracun sambil berbisik-bisik meneka jawapan dan aktiviti bertutur dalam bahasa Arab berkaitan sesuatu topik yang dijalankan.
- Merakam video dan berkongsi aktiviti di Instagram.
3. Kemahiran sosial dan komunikasi melalui kerjasama erat dengan pensyarah atau penyelia industry
Para pelajar LI di Brunei juga diberi berpeluang dalam bidang penagajaran. Mereka diberikan latihan untuk mengajar pelajar university kursus tatabahasa dan morfologi Arab. Selain daripada itu, tugasan pentadbiran juga dilaksanakan bagi membantu penyelia menyediakan bahan dan alat bantu mengajar.
Pelajar LI juga menyediakan buku perbualan bahasa Arab dan mereka bentuk alat pengajaran yang mengandungi istilah yang digunakan di universiti. Pelajar melaksanakan tugasan ini bermula dengan mencari perkataan yang digunakan, memilih perkataan yang betul
474 dan memadankannya dengan frasa. Seterusnya, pelajar menyediakan dan menyusun teks dan merakamkan secara audio kesemua perbualan tersebut.
4. Kemahiran teknologi maklumat melalui pembinaan sesawang
Bagi para pelajar yang menjalani LI di UNISSA, mereka diberi peluang dalam kemahiran IT dengan pendedahan dan latihan pembangunan website Bahasa Arab jabatan Bahasa Arab bersama-sama para pensyarah dan pakar IT universiti tersebut. Kemahiran yang diperolehi adalah penyediaan bahan, rekabentuk dan sebagainya.
1. Penambahbaikan laman web Fakulti Bahasa Arab Universiti Islam Sultan Sharif Ali, iaitu menambahkan beberapa maklumat di laman web UNISSA.
2. Membuat video Fakulti Bahasa Arab Universiti Islam Sultan Sharif Ali untuk mempromosikan fakulti di peringkat tempatan, serantau dan global.
3. Mencari imej yang sesuai dari Internet untuk dimasukkan ke dalam cerita dan latihan kanak-kanak untuk semua yang membentuk cerita adalah daripada dua puluh cerita.
4. Senarai imej dari Internet dalam semua mata pelajaran Kamus Bergambar dan memiilih dua puluh imej sekurang-kurangnya pada semua topik.
5. Kemahiran interpersonal dan jati diri
Sepanjang menjalani LI,
1. Pelajar LI mempunyai disiplin waktu setiap hari iaitu mula menjalankan tugasan seawal jam lapan pagi sehingga jam 5 petang.
2. Bekerjasama dengan pekerja dan pensyarah asing serta mengetahui cara berurusan dengan mereka.
3. Semua perjumpaan antara staf dan pelajar dijalankan dalam bahasa Arab sepenuhnya.
4. Pelajar boleh belajar dengan pensyarah dan penyertaan pelajar universiti dalam kelas walaupun mereka dalam LI. Penyertaan kuliah setiap hari Isnin dan Selasa (Linguistik, Aplikasi dan Terjemahan).
5. Pengalaman bekerja di rumah sepanjang musibah Covid-19 (tanpa perlu ke fakulti).
6. Pelajar LI berpeluang menyertai kem serantau Arab pertama sebagai pembantu penyelia di mana banyak penyertaan daripada negara asing.
4. KESIMPULAN
475 Latihan Industri merupakan satu kursus yang wajib diikuti oleh semua pelajar Program Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi. Kursus ini bagi melengkapkan program sebelum bergraduasi.
Pelbagai input positif diperoleh pelajar sepanjang menjalankan LI di Negara Brunei Darussalam. Pelajar mendapat banyak pengalaman dan pengetahuan sepanjang menjalani LI di kedua-dua buah universiti KUPUSB dan UNISSA. Selain daripada pengetahuan yang diperoleh di tempat LI, pelajar juga dapat memahami budaya dan adat resam masyarakat Brunei. Pergaulan bukan sahaja bersama-sama pelajar dari Brunei malah para pelajar luar Brunei seperti Indonesia dan Thailand juga. Silang budaya diperoleh sepanjang berada di Brunei.
Penulis ingin mencadangkan untuk penambahbaikan LI pada masa akan datang, pihak fakulti juga perlu melihat kepada pelajar LI ke luar negara sebagai duta kecil Malaysia, dan mereka seharusnya dibekalkan juga pengetahuan menyeluruh secara am berkaitan negara Malaysia. Hal ini dapat membantu memudahkan mereka mempromosikan Malaysia kepada pihak luar terutamanya dalam jaringan industri pendidikan. Selain itu, LI ini dilihat dapat mewujudkan kerjasama berterusan dalam bidang berkaitan pada masa akan datang.
Pengetahuan yang mendalam berkaitan hal ini akan dapat membantu keyakinan negara luar untuk terus mewujudkan hubungan diplomatik dengan negara Malaysia seterusnya menggalakan pertukaran pelajar dan budaya.
PENGHARGAAN
Penghargaan kepada Fakulti Pengajian Bahasa Utama dan USIM Alamiyah atas jalinan kerjasama hubungan dua hala bersama Kolej Universiti Perguruan Seri Begawan (KUPUSB) dan Universiti Sultan Sharif Ali, Brunei Darussalam serta pelajar Latihan Industri SMBAK, FPBU.
RUJUKAN
Adnan Alias & Mohamed Dahlan Ibrahim. (2002). Islamic Entrepreneurship. Kuala Lumpur:
Practice Hall.
Dasar Latihan Industri Institut Pengajian Tinggi. (2010). Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
Dziatul Nadiah Bt Dzia-Uddin. (2020). Keberkesanan Latihan Industri graduan Diploma Pengurusan Perhotelan KUIM (Kohort 35 & 36, Tinjauan dari Perspektif Islam, Jurnal Hospitaliti dan Jaringan, 1, 45-52.
476
Garis Panduan Latihan Industri USIM, 2019
https://www.google.com/url?sa=i&rct=j&q=&esrc=s&source=web&cd=&cad=rja&uact=8
&ved=0CAQQw7AJahcKEwig2cix2J76AhUAAAAAHQAAAAAQAg&url=https%3A%2F
%2Feli.usim.edu.my%2Ftemplate%2FGaris%2520Panduan%2520Latihan%2520Indus tri%25202019%2520-
%2520Bahasa%2520Melayu.pdf&psig=AOvVaw1A57F4C0ZIlGZp67MvpDGm&ust=16 63602494086976, capaian pada 5 sept 2022
Hassan, H. M., Fathil, N. F., & Zambi, N. M. (2021). Employer’s Perspective Towards Industrial Training Students of Commerce Department, Polytechnic Sultanah Tuanku Bahiyah.
ANP Journal of Social Science and Humanities, 2(2), 19-25.
https://eli.usim.edu.my/modules/admin/code/indextd.php Modul Latihan Industri USIM, capaian 10 September 2022.
https://ms.wikipedia.org/wiki/Kolej_Universiti_Perguruan_Ugama_Seri_Begawan, capaian 11 September 2022.
https://unissa.edu.bn/ Universiti Islam Sultan Sharif Ali, capain 10 September 2022.
https://usim.edu.my Universiti Sains Islam Malaysia, capaian 11 September 2022.
Kementerian Pengajian Tinggi. (2010). Dasar Latihan Industri Institut Pengajian Tinggi.
Malaysia: Jabatan Pengajian Politeknik.
Muhammad Zul Azri Muhammad Jamil, Norinsan Kamil Othman, Irman Abdul Rahman, Faizal Mohamed dan Zalita Zainuddin. (2016). Keberkesanan pelaksanaan sistem latihan amali / industri dalam pengurusan penempatan Latihan Industri bagi pelajar Pusat Pengajian Fizik Gunaan, Jurnal Personalia Pelajar 19, 52-64.
Noor, M., & Abdullah, N. (2020). Persepsi majikan terhadap pelajar Kolej Komuniti Jempol semasa menjalani Latihan Industri [Employer Perception of Kolej Komuniti Jempol Students during Industrial Training]. BITARA International Journal of Civilizational Studies and Human Sciences (e-ISSN: 2600-9080), 3(4), 26-35.
Norhidayah, M. H., Nursabila, R., Shahnun, M., & Mujahideen, H. A. (2021). Keberkesanan Latihan Industri ke atas Pelajar Tahun Akhir-Satu Ulasan. International Journal of Education and Pedagogy, 3(1), 228-231.
Rangka Kursus Latihan Industri Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia.