KAJIAN LITERATUR, SOROTAN KAJIAN DAN KERANGKA TEORI
2.6 Kerangka Konseptual Kajian
2.7.2 Analisis Data
Data yang dikumpul dianalisis dengan mengenal pasti struktur, bentuk dan ciri wacana teks sumber berlandaskan analisis struktur makro dan struktur mikro yang disarankan oleh Van Dijk (2001).
75
Dalam analisis struktur makro, tema teks ditentukan melalui pemahaman yang diperoleh daripada makna umum adegan-adegan terpilih daripada dua filem kajian.
Aspek yang disentuh meliputi watak, lokasi, isi teks dan lain-lain. Domain setiap adegan juga dirujuk untuk melihat laras bahasa penutur kerana domain mempengaruhi pemilihan laras bahasa (Fishman, 1972) dan situasi yang berlainan akan memperlihatkan laras bahasa yang berbeza.
Dalam analisis struktur mikro pula, aspek yang ditinjau meliputi sintaksis, semantik, stilistik dan retorik. Aspek sintaksis diteliti menerusi cara penyampaian pendapat dalam bentuk dan susunan ayat yang digunakan. Aspek semantik pula digunakan untuk mengkaji makna tersurat atau tersirat dialog kajian yang secara langsung atau tidak langsung dipengaruhi realiti atau sosial budaya. Untuk ini, selain pemerhatian penyelidik terhadap kehidupan masyarakat, pandangan, tanggapan, pemahaman dan interpretasi daripada pelbagai pihak terhadap sesuatu peristiwa juga dikumpul melalui tinjauan bacaan, iaitu daripada rencana, buku, suratkhabar, catatan blog atau dokumen rasmi. Aspek stilistik pula merujuk penggunaan kata yang berpandukan lokasi, sikap watak, tindakan watak dan lain-lain, manakala aspek retorik meninjau gaya pertuturan dalam interaksi antara watak, sama ada secara formal atau tidak formal. Daripada empat aspek ini, sosiobudaya juga dapat dikesan.
Sebagai contoh,
Mak : Lu janji sama gua kan? Mau ajar aku itu cili sos dim sum.
You promised to teach me how to make dim sum sauces.
Mei Ling : Lu ikut ah, apa nenek gua dulu bila dia buat dim sum. Dia akan pergi ke kedai Ah Soon belakang rumah kita tu. Dia beli satu botol sos cili...
Listen carefully. Here's what's my grandma did when she made dim sum. She'd go to Ah Soon's shop behind the house and buy one bottle of chili sauce,
76
Daripada data di atas, antara maklumat yang dikesan dari segi struktur makro ialah:
(i) Domain : Keluarga
(ii) Watak : Mak dan Mei Ling
(iii) Hubungan : Majikan dan pembantu rumah (iv) Lokasi : Ruang makan rumah Mak
(v) Isi teks : Kesanggupan Mak dan Mei Ling untuk bertanya dan berkongsi menggambarkan kehadiran nilai sikap keterbukaan pada dua watak ini.
Berikut pula ialah maklumat yang diperoleh dari segi struktur mikro:
(i) Sintaksis : Bahasa pasar digunakan, contohnya lu dan gua.
(ii) Semantik : Makna tersurat yang disampaikan ialah perkongsian pengetahuan penyediaan makanan. Makna tersirat yang dikesan ialah hubungan akrab boleh terjalin walaupun berlainan status (majikan dan pekerja) atau berlainan latar belakang (bangsa Melayu dan bangsa Cina).
(iii) Stilistik : Penggunaan soalan tempelan ‘kan’ menunjukkan Mak dan Mei Ling pernah berbincang perkara ini sebelum ini.
(iv) Retorik : Gaya pertuturan tidak formal.
(v) Sosiobudaya : Makanan yang dinyatakan ialah dim sum, sejenis masakan Cina.
Untuk melihat perbezaan sari kata dan dialog asal, sari kata bahasa Inggeris akan diberi terjemahan balik dalam kurungan.
77 2.7.3 Penghuraian Data
Padanan terjemahan atau sari kata untuk data yang dikenal pasti akan dikaji berdasarkan gabungan (i) pendekatan analisis wacana kritis Fairclough (1995) dan (ii) pendekatan ketersampaian Gambier (2009). Analisis bahagian ini akan menentukan sama ada terjemahan yang dihasilkan dapat mengekalkan nilai sebagaimana yang ada dalam dialog asal untuk melihat impak yang diberikan kepada pengguna sari kata.
Fairclough (1995) mengemukakan tiga dimensi Analisis Wacana Kritis, iaitu (i) teks, (ii) praktis wacana, dan (iii) praktis sosiobudaya. Kajian ini akan memanfaatkan dimensi praktis wacana Fairclough, iaitu meninjau proses penghasilan teks dan penggunaan teks dalam usaha melihat keberkesanan sari kata yang dihasilkan.
Proses penghasilan teks akan ditentukan dengan mengenal pasti sama ada prosedur terjemahan pengembangan dan pengecilan, padanan fungsian atau modulasi yang dikemukakan oleh Newmark (1988) digunakan dalam menterjemahkan teks asal mengikut ciri-ciri utama prosedur terjemahan.
Penggunaan teks pula dilihat dengan meneliti sari kata yang sepadan dengan data yang memaparkan nilai murni mengikut ciri-ciri nilai murni yang disenaraikan.
Perbandingan teks sumber dan teks sasaran dibuat berdasarkan kategori data yang dipilih. Implikasi terjemahan kemudian dinilai dari segi kebolehan sari kata menyampaikan nilai murni dengan baiknya atau tidak berdasarkan pendekatan ketersampaian Gambier (2009) melalui aspek (i) penerimaan, (ii) relevan, dan (iii) strategi penyetempatan. Aspek penerimaan memfokus kepada tahap pengubahsuaian
78
maklumat dan penyelarasan yang dilakukan pada bahasa pasar atau bahasa basahan ke dalam bahasa sasaran yang standard. Aspek relevan pula melihat maklumat yang dikekalkan atau disingkirkan dalam teks sasaran termasuk elemen asing seperti perkataan bahasa Inggeris atau ekspresi lain yang terdapat dalam teks sumber.
Aspek strategi penyetempatan pula merujuk bahagian yang dilakukan perubahan mengikut konteks dan kesesuaian budaya penerima.
Contohnya,
Aspek-aspek ketersampaian nilai sikap keterbukaan dalam sari kata adalah seperti berikut:
(i) Penerimaan: Penggunaan prosedur modulasi dikesan dengan adanya pengubahan bentuk ayat dalam sari kata, iaitu ayat tanya ‘lu janji sama gua kan?’
menjadi ayat penyata ‘you promised to teach me...’. Selain itu, terdapat unsur bahasa pasar seperti ‘lu’ dan ‘gua’ serta unsur bahasa basahan ‘mau’.
(ii) Relevan : Pertambahan kata kerja ‘make’ dan pengguguran kata nama ‘cili’
dalam sari kata menunjukkan penambahan dan penyempitan maklumat, iaitu prosedur pengembangan dan pengecilan telah digunakan.
(iii) Strategi penyetempatan: Perkataan ‘lu’ dan ‘gua’ yang berasal daripada dialek Cina masing-masing diterjemahkan kepada ‘you’ dan
‘me’ yang bersesuaian dengan konteks.
Mak : Lu janji sama gua kan? Mau ajar aku itu cili sos dim sum.
You promised to teach me how to make dim sum sauces.
79 2.8 Rumusan
Dalam kajian ini, persoalan-persoalan yang dikemukakan dalam Bab 1 dijawab dengan memanfaatkan beberapa pendekatan yang dikemukakan oleh para sarjana.
Antaranya ialah persoalan kajian pertama, ‘Adegan manakah dalam domain filem yang dipilih mengandungi nilai murni dan apakah dialog asal yang mengiringinya?’
dijawab dengan menggunakan pendekatan domain Fishman (1995) dan pendekatan analisis wacana kritis Van Dijk (2001). Persoalan kajian kedua, ‘Apakah padanan terjemahan unsur-unsur verbal nilai murni dalam adegan filem yang dikaji dan apakah faktor pemilihan kata dalam sari kata?’ pula melibatkan pendekatan prosedur terjemahan oleh Newmark (1988). Persoalan kajian ketiga, ‘Apakah implikasi sari kata yang dihasilkan terhadap ketersampaian nilai murni dalam filem yang dikaji?’
kemudian akan dijawab berpandukan konsep ketersampaian oleh Gambier (2009) dan dibincangkan dengan mempraktikkan analisis wacana kritis yang digagaskan oleh Fairclough (1995).
80