• Tidak ada hasil yang ditemukan

2.3 Kurikulum Pendidikan Indonesia

2.3.2 Ciri Kurikulum Nasional Indonesia

Indonesia merupakan sebuah negara besar baik daripada aspek geografi, suku bangsa, potensi ekonomi mahupun budaya masyarakat pada semua kawasan berbeza-beza. Kepelbagaian budaya yang berlaku perlu dijaga supaya tidak menjadi ancaman kepada keutuhan bangsa (Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, 2014). Dalam masyarakat Indonesia ramai wujud permasalahan seperti sosial, budaya dan karakter yang perlu diselesaikan segera oleh kerajaan. Permasalahan yang wujud merupakan impak daripada hilangnya karakter baik bangsa Indonesia (Muchlas Samani & Hariyanto, 2011; SEAMEO SEAMOLEC, 2007). Oleh itu,

pemerintah Indonesia berusaha meningkatkan kemampuan pelajar dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan. Di samping itu, pemerintah juga berusaha membina semula karakter baik dalam diri pelajar sebagai generasi pewaris berikutnya.

Hasil kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS, 2011) menunjukkan bahawa pelajar Indonesia mempunyai kemampuan yang rendah dalam memahami maklumat yang kompleks. Kemampuan pelajar Indonesia juga rendah dalam memahami teori dan melakukan analisis terhadap permasalahan yang dihadapi. Di samping itu, pelajar Indonesia juga kurang berkebolehan dalam menggunakan bahan bantu belajar dan prosedur untuk pemecahan masalah serta melakukan pemetaan dari aktiviti belajar (TIMSS, 1999; TIMSS, 2001; TIMSS, 2011).

Usaha yang dilakukan pemerintah Indonesia untuk mengatasi masalah tersebut iaitu dengan melakukan perubahan kurikulum pendidikan. Setakat ini dua kurikulum pendidikan dilaksanakan di Indonesia iaitu Kurikulum Tingkat Satuan Pendidikan (KTSP) dan Kurikulum Pendidikan Karakter. KTSP dilaksanakan bermula tahun 2006, manakala Kurikulum Pendidikan Karakter bermula tahun 2013. Kedua-dua kurikulum dilaksanakan secara serentak (Sulistiyo, 2014). Baik KTSP mahupun Kurikulum Pendidikan Karakter menyenaraikan pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan oleh guru di bilik darjah memberi tumpuan kepada potensi, ciri dan keperluan masyarakat Indonesia (Badan Standard Nasional Pendidikan, 2006). Pada asasnya, Kurikulum Pendidikan Karakter juga memberi tumpuan kepada mengintegrasikan nilai-nilai karakter dalam pengajaran dan pembelajaran

(Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, 2014). Seterusnya, kedua-dua kurikulum Indonesia memberikan tumpuan kepada membina kemampuan pelajar dalam memecahkan masalah melalui pelbagai pendekatan pengajaran dan pembelajaran (Badan Standard Nasional Pendidikan, 2006; Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, 2014)

Pelbagai pendekatan yang dapat digunakan guru untuk membina karakter dan kemampuan pelajar dalam memecahkan masalah yang berhubung kait antara kandungan mengajar dengan kehidupan seharian. Di samping itu, guru juga dapat mengintegrasikan nilai-nilai kehidupan dalam pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan di bilik darjah. Hal ini selari dengan pendapat Levine (1985) iaitu pendidikan dapat mengintegrasikan nilai-nilai kehidupan, misalnya rasa ingin tahu dan kasih sayang ketika mengajarkan kecekapan yang disenaraikan dalam kurikulum pendidikan. Seterusnya, Lake (2000) menjelaskan bahawa mengintegrasikan nilai-nilai kehidupan ke dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah dapat membina kemampuan pelajar dalam menyelesaikan permasalahan yang dihadapinya.

Menurut Muchlas Samani dan Hariyanto (2011), karakter yang diintegrasikan guru dalam pengajaran dan pembelajaran berasal daripada keperluan hidup dan kehidupan sebenar pelajar. SEAMEO SEAMOLEC (2007) menambahkan bahawa karakter juga dapat berasal daripada nilai-nilai kearifan budaya tempatan yang ada dalam masyarakat di sekitar pelajar. Seterusnya, menurut Muhammad Fuad (2002) karakter juga dapat berasal daripada agama Islam, hadith dan hukum adat tempatan.

Pentingnya membina karakter pelajar juga diungkapkan dalam Undang Undang Republik Indonesia Nombor 20 Tahun 2003 tentang Sistem Pendidikan Nasional iaitu guru, pengetua, ibu bapa berperanan dalam membentuk pelajar berakhlak mulia, sihat, berilmu, cakap, kreatif, mandiri, dan menjadi warga negara yang hidup merdeka serta bertanggungjawab atas pembinaan bangsa.

Berdasarkan huraian sebelumnya, ciri daripada kurikulum pendidikan Indonesia iaitu selaras dengan keperluan hidup masyarakat Indonesia pada masa kini dan masa hadapan. Untuk memenuhi perkara tersebut, kurikulum Indonesia (Kurikulum Pendidikan Karakter) memberikan tumpuan kepada aspek pengetahuan, sikap dan kemahiran. Ketiga-tiga aspek tadi disenaraikan dalam Kecekapan Inti (KI), Kecekapan Asas (KA) diselaraskan dengan keadaan dan keperluan masyarakat Indonesia pada masing-masing kawasan dengan melakukan pengawasan yang berterusan (Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan, 2014).

Kecekapan inti merupakan kecekapan yang harus dimiliki pelajar untuk mencapai Standard Kompetensi Lulusan (SKL) pada setiap tahap tingkatan. Kecekapan inti terdiri atas sikap spiritual, sikap sosial, pengetahuan dan kemahiran. Manakala kecekapan asas terdiri atas kecekapan pelajar dalam mengikuti bahan pembelajaran atau mata pelajaran yang mengikut kepada kecekapan inti. Kecekapan asas juga terdiri atas sikap spiritual, sikap sosial, pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan pelajar. SKL, KI dan KA disenaraikan dalam kurikulum berdasarkan mata pelajaran dan tingkatan darjah (Peraturan Menteri Pendidikan Nasional Indonesia Nombor 60 Tahun 2014).

Slameto (2005) mendedahkan bahawa asas kurikulum di Indonesia ialah Pancasila dan Undang-Undang Dasar 1945. Seterusnya, Undang-Undang Nombor 20 Tahun 2003 tentang Sistem Pendidikan Nasional, Peraturan Pemerintah Nombor 19 Tahun 2005, tentang Standard Kompetensi Lulusan pelajar pada seluruh tingkatan pengajian berbeza-beza. Begitu pula Peraturan Menteri Pendidikan Nasional Nombor 22 Tahun 2006 tentang Standard kandungan dalam mata pelajaran mesti diselaraskan dengan kemampuan pelajar. Seterusnya, secara falsafah kurikulum Indonesia berfungsi membina dan menumbuhkan karakter serta peradaban bangsa yang bermartabat dalam rangka mencerdaskan kehidupan bangsa (Undang Undang RI Nombor 20 Tahun 2003 tentang Sistem Pendidikan Nasional).

Berkenaan dengan tumpuan bagi aspek pengetahuan, sikap dan kemahiran pelajar, kurikulum Indonesia mengikut kepada pendapat Henson (2001) dan Marzano (1992) bahawa perlu adanya keseimbangan antara sikap, kemahiran dan pengetahuan untuk membangunkan kecekapan pelajar. Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan (2014) menjelaskan bahawa Kurikulum 2013 menyepadukan taksonomi sikap (attitude) yang dikemukakan oleh Klein (1993), kemahiran (skill) yang dikemukakan oleh Hudson (2012) dan pengetahuan (knowledge) daripada Bloom dan Eddy (1975). Taksonomi sikap yang meliputi menerima, bertidak balas, menilai dan menyusun sesuai dengan karakter budaya tempatan. Taksonomi kemahiran (skill) daripada di atas meliputi pemerhatian, menyoalkan, mencari maklumat dan mengkomunikasikan dengan baik. Oleh itu, Kurikulum 2013 menyenaraikan bahawa pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan oleh guru di bilik darjah perlu memberikan peluang kepada pelajar untuk aktif melakukan pelbagai aktiviti. Pelajar diharapkan melakukan lima aktiviti iaitu (i) melakukan pemerhatian, (ii) menyoal, (iii)

mengumpulkan maklumat, (iv) menganalisis maklumat dan (v) menyampaikan. Hal ini seperti yang dijelaskan dalam Peraturan Menteri Pendidikan Nasional Indonesia Nombor 81A/2013. Guru perlu memberi peluang kepada pelajar untuk melakukan pemerhatian melalui aktiviti melihat, mendengar, membaca dan mengkomunikasikan dalam proses pembelajaran.

Aktiviti melakukan pemerhatian merupakan cara yang mengutamakan makna daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Aktiviti ini dijangkakan dapat membina kemampuan pelajar untuk melatih kesungguhan, ketelitian dan mencari maklumat. Aktiviti menyoal dapat dilakukan dengan cara menyoal maklumat yang tidak difahamkan pelajar berdasarkan pemerhatian yang dilakukan. Di samping itu, menyoal dapat dilakukan pelajar untuk mendapatkan maklumat lainnya berdasarkan pemerhatian yang dilakukan. Soalan yang ditanyakan dapatlah bermula daripada pertanyaan faktual sehingga pertanyaan yang bersifat hipotesis sahaja. Aktiviti ini dapat membina kemampuan pelajar untuk membangun kreativiti, rasa ingin tahu, kemampuan membuat soalan untuk membentuk pemikiran. Aktiviti mengumpulkan maklumat dapat dilakukan melalui eksperimen, membaca pelbagai sumber belajar, melakukan pemerhatian terhadap objek/kejadian/aktiviti dan temu bual. Kemampuan yang didapati daripada aktiviti ini iaitu sikap teliti, jujur, sopan, menghargai idea orang lain dan kemampuan menyampaikan idea dengan baik. Aktiviti memproses maklumat dapat dilakukan melalui membuat hubung kait, menentukan kaitan dalam membangun cerita atau konsep.

Kemampuan yang diharapkan iaitu sikap jujur, teliti, disiplin, taat aturan, kerja keras dan kemampuan menerapkan prosedur serta kemampuan berfikir induktif serta

deduktif dalam membuat kesimpulan. Manakala aktiviti menyampaikan maklumat dapat dilakukan baik secara lisan mahupun tulisan seperti melalui gambar, grafik, jadual, carta, dan lain-lain. Kemampuan yang diharapkan iaitu sikap jujur, teliti, toleransi, berfikir sistematik, mengungkapkan idea dengan singkat dan jelas serta mampu berbahasa yang baik dan benar (Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan, 2014; Tim Pengembangan Profesi Pendidik, 2014).