• Tidak ada hasil yang ditemukan

Dasar Perakaunan Bagi Penyediaan Penyata Kewangan

Jadual 4.1 : Undang-Undang Zakat di Malaysia

4.2.2 Dasar Perakaunan Bagi Penyediaan Penyata Kewangan

Selain daripada masalah pelarasan cukai dan zakat, masalah dasar perakaunan yang dipakai untuk penyediaan penyata kewangan juga menjadi isu. Mengikut Abdul Rahim Abdul Rahman (2003b: 6) dan Barjoyai Bardai (2002: 9 - 10), dasar perakaunan yang dipakai untuk penyediaan penyata kewangan tidak mematuhi kehendak perakaunan zakat perniagaan.9 Terdapat dua bentuk dasar perakaunan yang tidak mematuhi kehendak perakaunan zakat perniagaan, iaitu pertama, dasar kos sejarah bagi penilaian harta dan kedua, prinsip konservatisme dalam mengira pendapatan.

8 Bagi mengurangkan kos operasi perniagaan, Kerajaan mencadangkan supaya zakat ke atas pendapatan perniagaan yang dibayar oleh syarikat dibenarkan sebagai potongan bagi tujuan pengiraan cukai pendapatan sehingga 2.5 peratus daripada pendapatan agregat. Untuk huraian lanjut, sila lihat Poon Yew Hoe et al., (2006: 10).

9 Dasar perakaunan ini dijelaskan dalam International Accounting Standard (IAS 1), perenggan 8 seperti berikut:

“Dasar perakaunan merangkumi prinsip, asas, konvensyen, peraturan dan prosedur yang digunakan oleh pihak pengurusan dalam menyedia serta mengemukakan penyata kewangan. Terdapat banyak dasar perakaunan yang digunakan walaupun berkaitan dengan perkara yang sama. Budi bicara diperlukan dalam pemilihan dan penggunaan dasar yang mengikut keadaan industri, amat sesuai bagi mengemukakan kedudukan kewangan serta pendapatan operasi dengan teratur.”

Dasar kos sejarah dikatakan tidak selari dengan kehendak perakaunan zakat perniagaan. Mengikut dasar kos sejarah, semua aset perniagaan dinilai mengikut kos asal ketika pembelian aset tersebut dibuat walaupun nilai semasanya telah berubah.

Walaupun dasar kos sejarah tidak selari dengan kehendak perakaunan zakat perniagaan, dasar inilah yang dipakai oleh pihak berkuasa zakat di Malaysia, umpamanya di Pusat Zakat Selangor (PZS) sebagaimana yang dibuktikan oleh Rohila Awang dan Rashidah Abdul Rahman (2002: 16 - 17).

Prinsip konservatisme pula dikatakan tidak mematuhi kehendak perakaunan zakat perniagaan kerana prinsipnya bertujuan supaya harta dan pendapatan tidak terlebih nyata sementara tanggungan dan belanja pula tidak terkurang nyata. Implikasinya, amaun zakat yang dikenakan akan terkurang daripada amaun sebenar. Ini adalah sesuatu yang perlu ditegah. Mengikut Barjoyai Bardai (2002: 11), adalah lebih baik zakat terlebih bayar daripada terkurang bayar. Zakat yang terlebih bayar merupakan sedekah sedangkan zakat yang terkurang bayar akan membebankan pembayar zakat pada hari kiamat kelak.

Oleh yang demikian, aplikasi kedua-dua dasar perakaunan tersebut di dalam penyediaan penyata kewangan syarikat perlu diubahsuai supaya ia mematuhi kehendak dasar perakaunan zakat perniagaan.

4.2.3 Kaedah Perakaunan Zakat Perniagaan

Selain daripada isu pelarasan zakat dan dasar perakaunan, kaedah perakaunan zakat perniagaan sendiri telah menjadi satu isu yang kerap dikaji. Mohamed Abdul Wahab et al. (1995) misalnya, telah mengkaji kaedah perakaunan zakat perniagaan yang diamalkan di Malaysia. Dapatan mereka menunjukkan bahawa paling tidak terdapat tiga kaedah yang diamalkan. Pertama ialah kaedah di mana zakat dikenakan

95

ke atas aset semasa. Kedua ialah kaedah di mana zakat dikenakan ke atas aset semasa dan keuntungan daripada pelaburan. Ketiga ialah kaedah di mana zakat dikenakan ke atas modal kerja dan keuntungan.

Walau bagaimanapun, pada ketika ini perakaunan zakat perniagaan yang diterima di Malaysia ialah kaedah modal berkembang dan kaedah modal kerja.10 Ada penulis berpendapat, aplikasi kedua-dua kaedah ini memerlukan beberapa pelarasan yang mesti dibuat. Syed Mohd. Ghazali Wafa (2002: 27 - 29) misalnya, merumuskan item-item yang perlu dibuat pelarasan bagi aplikasi kaedah modal kerja ini. Pelarasan tersebut melibatkan item-item aset semasa dan juga item-item liabiliti semasa.11

Selain daripada pelarasan untuk item-item aset semasa dan item-item liabiliti semasa, pelarasan juga dicadangkan perlu dibuat ke atas kadar zakat. Mengikut Barjoyai Bardai (2002: 6) pelarasan ke atas kadar zakat perlu dibuat jika penyata kewangan disediakan berasaskan tahun Masihi. Kadar zakat yang diselaraskan ke atas zakat perniagaan ialah 2.575 peratus. Sebaliknya, Syed Mohd. Ghazali Wafa (2002: 12) berpendapat, kadar yang harus dipakai ialah 2.5 peratus tanpa dibuat pelarasan.

Kadar ini adalah mengikut kadar yang telah ditetapkan Sunnah Rasulullah s.a.w.12

10 Kaedah modal berkembang mengambil kira ekuiti pemilik entiti perniagaan tersebut dan sumber-sumber pembiayaan kewangan. Kaedah modal kerja mengambil kira kedudukan harta semasa perniagaan ditolak dengan tanggungan semasa perniagaan. Kedua-dua kaedah ini tidak memberi apa-apa kesan kepada amaun zakat. Kedua-duanya adalah diperoleh dari penyata kewangan yang sama.

Selain itu, Abd. Ghafar Ismail dan Nur Azura Sanusi (2004) pula membuktikan bahawa amaun zakat yang dibayar oleh syarikat yang menggunakan sumber kewangan melalui ekuiti adalah lebih rendah berbanding syarikat yang menggunakan sumber kewangan melalui hutang. Selain daripada kaedah perakaunan zakat, Syed Mohd. Ghazali Wafa (2004b: 80 - 81) mendapati bahawa kefahaman di kalangan pegawai kanan dan pemilik syarikat ke atas zakat perniagaan sama dengan cukai. Tahap kefahaman mereka ke atas kaedah perakaunan zakat pula adalah rendah, iaitu sekitar 30 peratus sahaja.

11 Item-item yang perlu ditolak daripada aset semasa meliputi barang-barang dan hasil yang haram, aset semasa yang bukan milik sempurna, hutang kewangan, item yang dikenakan zakat dua kali, aset semasa yang tidak produktif, dan tabung-tabung yang bersifat kebajikan. Liabiliti semasa yang boleh ditolak adalah yang bersifat operasi seperti pemiutang perdagangan (trade creditors) dan kos operasi (operation payables) seperti gaji, elektrik, telefon serta cukai. Untuk senarai terperinci item-item pelarasan ini, sila lihat Syed Mohd. Ghazali Wafa (2001: 16 - 17).

12 Jika penyata kewangan perniagaan disediakan berasaskan tahun Masihi (365 hari) bukannya tahun Hijrah (354 hari), maka kadar zakat perlu diselaraskan daripada 2.5 peratus kepada 2.575 peratus (AAOIFI, 1998: 296).

Syed Othman Alhabshi (2001: 4 - 5) pula menimbulkan bahawa kaedah perakaunan zakat perniagaan berasaskan modal kerja tidak sesuai untuk dipakai oleh semua jenis perniagaan. Bagi perniagaan yang mempunyai ciri-ciri pelaburan, zakatnya ditaksirkan berasaskan keuntungan. Ia diqiyaskan kepada zakat pertanian. Isu yang sama telah dibangkitkan oleh Barjoyai Bardai (2001: 8). Menurut beliau, zakat perniagaan daripada aktiviti perkilangan, percetakan, perhotelan, pengangkutan dan sebagainya dikena-kan ke atas pendapatan yang diperoleh. Zakat dikenakan ke atas pendapatan bersih setelah ditolak kos operasi. Ia diqiyaskan juga kepada zakat pertanian.

Zahri Hamat (2002d: 5 - 6) berpendapat perakaunan zakat perniagaan berasaskan pendapatan adalah satu kaedah alternatif.13 Kaedah ini berasaskan aplikasi qiyas.

Aplikasi qiyasnya ialah kaedah untuk mendapatkan pendapatan daripada pertanian dengan kaedah mendapatkan pendapatan daripada perniagaan.14 Mengikut beliau, kaedah ini adalah sesuai untuk perniagaan di sektor perkilangan, sektor pertanian, sektor penternakan, sektor perhutanan, sektor perikanan dan sektor perlombongan (Zahri Hamat, 2003c: 18).15

13 Kaedah ini boleh dilakukan kerana ‘illah kefardhuan zakat itu sendiri telah mula dibahaskan dan dinilai semula. ‘Illah berkembang ini tidak dipersetujui oleh beberapa tokoh semasa. Antaranya ialah Monzer Kahf (1991: 183) dan Mohd. Daud Bakar (2000: 88). Menurut mereka, kekayaan itu sendiri merupakan ‘illah kepada kefardhuan zakat. Sekiranya dilihat aplikasi illah berkembang, ia tidak konsisten. Ada harta yang tidak mempunyai sifat berkembang seperti pendapatan daripada pertanian juga diwajibkan zakat.

14 Dalam aplikasi qiyas, ia memerlukan persamaan ‘illah. Dalam kes ini, kaedah untuk mendapatkan pendapatan dijadikan sebagai ‘illah.

15 Di Malaysia, aktiviti ekonomi boleh dibahagikan mengikut sektor. Terdapat lima jenis sektor, iaitu pertama, sektor perkilangan; kedua, sektor pertanian, penternakan, perhutanan dan perikanan; ketiga, sektor perlombongan; keempat, sektor pembinaan; dan kelima, sektor perkhidmatan. Setiap sektor ini mempunyai ciri-cirinya tersendiri. Dengan ciri-ciri tersebut sudah pasti perakaunan zakat untuk setiap sektor itu tidak semestinya seragam. Sektor yang sesuai dengan perakaunan zakat yang diamalkan sekarang ialah dalam sektor perkhidmatan. Sektor-sektor lain adalah lebih sesuai diqiyaskan dengan perakaunan zakat pertanian. Untuk huraian terperinci, sila lihat Laporan Ekonomi 2005/2006.

97

4.3 PERAKAUNAN ZAKAT PERNIAGAAN DI MALAYSIA

Oleh kerana maklumat tentang perakaunan zakat perniagaan di Malaysia tersangat kurang, maka bahagian ini terpaksa diasaskan kepada maklumat primer yang didapati daripada kajian lapangan penyelidik sendiri. Kajian ini juga adalah bertujuan untuk mendapatkan reaksi daripada pengamal-pengamal zakat tentang isu-isu yang telah dibincangkan di atas.