• Tidak ada hasil yang ditemukan

: Perkembangan Hukum Zakat Berasaskan Ijtihad

Responden Setuju Tidak Setuju

Pengurus Zakat 2 -

Pakar Syariah 1 1

Pakar Ekonomi 2 -

Ahli Akademik 2 -

Mufti 2 -

Pakar Zakat 1 1

Jumlah 10 2

Bagi persoalan ini, majoriti responden bersetuju bahawa perkembangan hukum zakat adalah berasaskan ijtihad. Jadual 5.6 jelas menunjukkan 10 responden (83.3 peratus) daripada 12 responden bersetuju bahawa hukum zakat berkembang berdasarkan ijtihad dan terbuka kepada pembaharuan. Hanya 2 responden (16.7 peratus) yang tidak setuju, iaitu seorang pakar Syariah dan seorang pakar zakat

Dapatan kajian juga mempamerkan responden bersetuju bahawa hukum kefardhuan zakat adalah bersumberkan al-Qur’an dan al-Sunnah s.a.w. Walau bagaimanapun, perubahan dan perkembangan hukum zakat seterusnya adalah berasaskan ijtihad.

Mereka berpandangan ijtihad dibenarkan selagi perubahan hukum itu masih berada dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh Syara’. Antara pandangan responden sedemikian adalah seperti berikut:

“Asas hukum zakat adalah qat’i, perkembangan berikutnya barulah ijtihadi. Pembaharuan hukum berikutnya mestilah mengikut lunas dan garis panduan hukum syara’. Ia dibolehkan selama mana tidak bertentangan dengan syara’.”

Pandangan responden di atas membuktikan bahawa hukum kefardhuan zakat adalah qat’i. Dengan itu, kefardhuan zakat ke atas kelima-lima kategori harta telah disepakati dan tidak boleh dipertikaikan lagi. Ijtihad hanya dibolehkan ke atas harta-harta selain daripada harta-harta yang telah disepakati. Begitulah kaedah yang perlu dipakai dalam membahaskan harta-harta yang diwajibkan zakat. Kaedah ini dipetik daripada ulasan responden berikut:

“Setuju hanya kepada sumber-sumber zakat yang tidak di-sepakati seperti hasil saham, bon dan tanam-tanaman yang tidak disebut oleh Hadith s.a.w. dan sebagainya.”

Dengan kata lain, ijtihad hanya dibenarkan kepada harta-harta yang baru ditemui seperti hasil daripada saham dan bon. Begitu juga pelbagai hasil pertanian yang tidak disebut oleh Hadith Rasulullah s.a.w. seperti kelapa sawit, getah, kelapa dan

sebagainya terbuka kepada ijtihad. Malah bagi harta yang baru ditemui, ijtihad perlulah dibuat segera. Seorang responden merumuskan perkembangan hukum zakat adalah seperti berikut:

“Daripada aspek pungutan dan kadarnya sememangnya ia berasaskan kepada Hadith dan ijtihad. Namun daripada aspek pengagihannya, ia ditentukan di dalam al-Qur’an. Kesemua lapan asnaf ditentukan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Qur’an.”

Walau bagaimanapun, ijtihad hanya boleh dilakukan bersandarkan nas daripada al-Qur’an dan al-Sunnah Rasulullah s.a.w. Lebih daripada itu, ijtihad perlulah dibuat melalui kaedah-kaedah yang dibenarkan oleh Syara’ seperti kaedah qiyas, maslalah mursalah dan lain-lain kaedah fiqhiyah dalam memutuskan sesuatu hukum tentang zakat. Hal ini ditegaskan oleh seorang responden seperti berikut:

“Pada zaman selepas wafat Rasulullah s.a.w., di samping nas-nas, hukum zakat berkembang berasaskan ijtihad. Ia dibuat melalui beberapa kaedah seperti qiyas, maslahah mursalah dan lain-lain kaedah fiqhiyah, usuliyah dan lughawiyah yang berkembang dari masa ke semasa.”

Dengan kata lain, walaupun pembaharuan hukum zakat boleh dibuat berdasarkan ijtihad, namun pembaharuan tersebut mestilah dibuat bersandarkan dasar yang dibenarkan oleh Syara’. Ia mesti mengambil kira apakah tujuan sesuatu nas, sama ada nas yang bersumberkan al-Qur’an atau Rasulullah s.a.w? Di samping itu, ‘illah di sebalik ketetapan sesuatu hukum zakat perlu juga dikaji. Seorang responden membangkitkan hal ini dengan katanya seperti berikut:

“Sebagai satu rukun, zakat adalah syari’i dan nas-nas yang dipakai untuk mendukungnya adalah qat’i bukannya zanni. Namun di dalam hal hukum juga penting dilihat kepada dalil dan hukum yang tersirat di dalam yang tersurat. Dengan kata lain, perlu kepada isi dan mesej di dalam hukum zakat.”

Berdasarkan analisis di atas, dapatlah disimpulkan bahawa pembaharuan dan pengalihan hukum zakat berasaskan ijtihad mestilah dilakukan oleh pihak yang berkelayakan. Hukum tersebut perlu dibahaskan dan dipersetujui dengan

mengambilkira masalahah dan suasana semasa. Seorang responden lagi menyebutnya hal ini seperti berikut:

“Ilmuwan Islam perlu menguasai kaedah mengeluarkan hukum berdasarkan suasana semasa. Qawaid fiqhiyah memerlukan pemahaman yang mendalam. Hukum juga perlu disepakati oleh jumhur ulama’ muktabar semasa.”

Lebih khusus lagi, seorang responden menegaskan bahawa pihak yang membuat ijtihad perlu memenuhi dua syarat utama sebelum berijtihad. Pertama, memahami dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah dalam membentuk kaedah-kaedah hukum. Kedua, memahami bahasa Arab yang dipakai oleh pakar bahasa Arab. Bagi memantapkan keputusan yang diambil, beliau mencadangkan ijtihad diputuskan secara kolektif. Ia boleh dibuat sama ada melalui muzakarah, seminar, perbincangan dan seumpama-nya. Teks ulasan beliau adalah seperti berikut:

“Ijtihad mesti dilaksanakan oleh golongan yang berkelayakan. Tidak diterima ijtihad daripada golongan yang tiada kelayakan, terutamanya penguasaan bahasa Arab dan kaedah-kaedah usuliyah, fiqhiyah, tafsir dan Hadith. Pada masa kini terdapat dua bentuk ijtihad yang boleh diterima. Ijtihad individu dan ijtihad jama’i melalui pelbagai cara seperti seminar, muzakarah dan sebagainya.”

Dengan itu, dapatlah dirumuskan bahawa majoriti responden bersetuju bahawa hukum zakat berkembang berdasarkan ijtihad. Ijtihad begitu terserlah semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab. Ia telah dibuktikan oleh Muhammad Saeed Siddiqi (1981: 96 - 177), Abdul Aziz Muhammad (1993: 41 - 48) dan Mujaini Tarimin (1999: 39 - 49).

Malah kegiatan ijtihad ini perlu diteruskan kerana ijtihad mampu menyelesaikan isu-isu semasa melalui pelbagai kaedah terbaru (Taha Jabir al ‘Alwani, 1993: 31).

5.8 KESIMPULAN

Secara umumnya, para cendekiawan zakat di Malaysia bersetuju bahawa terdapat lima kategori harta yang diwajibkan zakat, iaitu emas dan perak, hasil pertanian,

ternakan, perniagaan dan hasil daripada perut bumi. Kadar zakatnya pula adalah tetap kerana ia ditetapkan berdasarkan nas secara sahih dan qat’i. Namun begitu, mereka juga bersetuju bahawa perkataan harta yang diwajibkan zakat telah disebut dalam bentuk umum di dalam Qur’an. Malah perkataan hasil usaha kamu dalam surah al-Baqarah (2: 267) yang dijadikan hujah wajibnya zakat perniagaan juga berbentuk umum. Ini membawa kepada pembentukan makna barangan perniagaan dan penetapan kedudukan barangan perniagaan separa siap. Barangan perniagaan ialah barangan yang disediakan dengan niat untuk diperniagakan. Barangan perniagaan separa siap pula dikategorikan sebagai barangan perniagaan apabila dapat ditentukan nilai siapnya. Kaedah perakaunan zakat harta-harta yang diwajibkan zakat termasuklah kaedah perakaunan zakat harta perniagaan sebenarnya telah dibentuk berasaskan ijtihad. Para cendekiawan zakat di Malaysia berpandangan ijtihad ini boleh diteruskan. Malah para fuqaha’ dan profesional Muslim dari masa ke semasa dipersetujui oleh cendekiawan yang menjadi responden supaya dibenarkan membuat perubahan ke atas perakaunan zakat perniagaan dengan meneroka kaedah-kaedah lain.

BAB 6