• Tidak ada hasil yang ditemukan

Definisi operasional yang digunakan dalam konteks penyelidikan ini adalah seperti berikut:-

1.11.1 Perbincangan Atas Talian

Perbincangan atas talian juga dikenali sebagai papan mesej, kumpulan perbincangan dalam talian, papan buletin atau forum web (Cyprus 2010).

31

Perbincangan atas talian adalah satu platform di mana ahli-ahli boleh menghantar perbincangan, membaca dan bertindak balas terhadap mesej oleh ahli-ahli yang lain. Perbincangan juga boleh berlaku tanpa semua ahli komuniti berada dalam talian pada masa yang sama. Dalam kajian ini, forum atas talian adalah salah satu aktiviti yang terdapat dalam persekitaran LMS yang digunakan untuk menganalisis tahap pemikiran kritis berdasarkan pos dan maklum balas yang diberikan oleh pelajar. Forum atas talian digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran kursus EDU3093 (Guru dan Cabaran Semasa).

1.11.2 Dorongan

Dorongan ialah peringatan atau dorongan berbentuk verbal untuk menggalakkan pelajar melibatkan diri dalam proses interaktif seperti memberi persoalan atau penjelasan terhadap sesuatu isu atau perkara (Frey & Fisher, 2011). Dalam kajian ini, dorongan yang digunakan oleh guru sebagai moderator dalam perbincangan atas talian ialah dorongan berbentuk persoalan. Dua versi dorongan digunakan iaitu dorongan justifikasi (DJ) dan dorongan perancahan justifikasi (DPJ)

1.11.3 Dorongan Justifikasi (DJ)

DJ ialah dorongan atau peringatan berbentuk persoalan yang diberikan oleh moderator dalam perbincangan atas talian. Persoalan yang diberikan adalah secara umum atau menyeluruh tentang sesuatu isu atau perkara untuk membantu pelajar memberi justifikasi atau pandangan mereka (Bodvarson, 2005). Contoh DJ adalah seperti berikut:-

32

Pembelajaran elektronik ialah pembelajaran yang mengikut kehendak dan keperluan pelajar dalam bentuk arahan kendiri. Bincangkan.

1.11.4 Dorongan Perancahan Justifikasi (DPJ)

DPJ ialah dorongan atau peringatan berbentuk persoalan yang diberikan oleh moderator dalam perbincangan atas talian. Persoalan yang diberikan adalah secara terperinci tentang sesuatu isu atau perkara untuk membantu pelajar memberi justifikasi atau pandangan mereka (Bodvarson, 2005). Contoh DPJ adalah seperti berikut:-

Salah satu ciri pembelajaran elektronik ialah mengikut kehendak dan keperluan pelajar dalam bentuk arahan kendiri sama ada penentuan cara, masa, tumpuan dan kemahiran yang ingin dikuasai. Bincangkan.

1.11.5 Gaya Pembelajaran

Gaya pembelajaran merupakan kecenderungan atau cara seseorang individu mengumpul dan memproses maklumat (Orhun, 2007) serta mengekal dan mendapatkan kembali maklumat yang ada (Felder & Henriques, 1995). Gaya pembelajaran yang digunakan dalam kajian ini ialah gaya pembelajaran jujukan dan global berdasarkan model gaya pembelajaran Felder dan Silverman. Gaya pembelajaran ini memfokuskan kepada dimensi pemahaman yang melibatkan proses bagaimana seseorang pelajar mengumpul, memproses, mengekal dan mendapatkan kembali maklumat.

33 1.11.6 Gaya Pembelajaran Jujukan

Gaya pembelajaran jujukan adalah bagi pelajar yang lebih cenderung dan selesa untuk memahami sesuatu secara sistematik dan dengan mengikut turutan. Pelajar jenis ini lebih mudah mengingat dan memahami sesuatu jika pengajaran disampaikan secara sistematik iaitu dari mudah ke sukar serta mengikut langkah-langkah yang logik. Oleh yang demikian, pelajar jenis ini lebih menggemari guru mengajar secara tersusun dan menunjukkan hubungkait dengan apa yang telah diajar sebelum itu (Felder & Silverman, 1988). Selain itu, pelajar jujukan bertindak berasaskan maklumat yang kecil dan terasing serta menggemari kepada maklumat yang lebih terperinci. Dalam kajian ini, pelajar yang dipilih ialah mereka yang memperoleh skor di antara 9a hingga 11a dalam dimensi pemahaman dalam soal selidik Felder dan Soloman (2001).

1.11.7 Gaya Pembelajaran Global

Gaya pembelajaran global melibatkan pelajar yang lebih berminat untuk mengumpulkan maklumat yang mereka perlukan secara rawak dan seterusnya memahami sesuatu secara spontan berdasarkan maklumat yang dikumpul. Pelajar jenis ini juga boleh menerima sesuatu maklumat dalam apa cara sekalipun sama ada tersusun atau tidak dan mereka berupaya menyelesaikan masalah yang kompleks secara pantas. Mereka juga suka menghubungkaitkan antara satu perkara dengan satu perkara lain berdasarkan maklumat secara gambaran menyeluruh dan pengetahuan yang lebih meluas (Felder & Silverman, 1988). Dalam kajian ini, pelajar yang dipilih

34

ialah mereka yang memperoleh skor di antara 9b hingga 11b dalam dimensi pemahaman dalam soal selidik Felder dan Soloman (2001).

1.11.8 Pencapaian

Pencapaian lebih berfokuskan kepada gred atau markah yang diperoleh oleh seseorang pelajar dalam peperiksaan atau ujian yang diduduki (Zubaidah Begam, 2007). Dalam kajian ini pencapaian merujuk kepada markah yang ditunjukkan oleh peserta kajian dalam subjek EDU:3093 (Guru dan Cabaran Semasa) setelah melalui rawatan yang diberikan. Pencapaian pelajar diukur setelah mereka menyertai perbincangan atas talian dengan menggunakan ujian pasca I dan II dalam bentuk esei. Aspek-aspek yang dinilai ialah liputan kandungan, kualiti ulasan, organisasi dan kualiti sumber.

1.11.9 Tahap Pemikiran Kritis

DeLoach dan Greenlaw (2007) mendefinisikan pemikiran kritis sebagai keupayaan pelajar untuk mengemukakan hujah-hujah. Dalam kajian ini, hujah-hujah pelajar dilihat berdasarkan pos dan maklum balas yang diberikan dalam forum atas talian. Hujah-hujah tersebut akan dianalisis berdasarkan Taksonomi Greenlaw-Deloach (2003) yang membahagikan tahap-tahap pemikiran kritis iaitu huraian sehala, penyataan alternatif yang mudah, analisis asas, pemikiran teori , pemikiran empirikal dan analisis penggabungan nilai.

35 1.11.10 Aktiviti Perbincangan Atas Talian

Perbincangan atas talian melibatkan aktiviti-aktiviti seperti melihat topik perbincangan, melihat topik yang dipos oleh orang lain, menghantar pos bagi menjawab soalan-soalan yang dikemukakan, membalas pos terhadap perbincangan yang sedia ada, mengemaskini pos dan memadam pos yang dihantar (Dirkx & Smith, 2004). Dalam kajian ini, aktiviti perbincangan yang dianalisis ialah kekerapan pelajar menghantar, membalas dan membaca pos. Kekerapan pelajar melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti tersebut dapat dikenal pasti dengan melihat fail log para pelajar yang menyertai perbincangan dalam forum berkenaan.

1.12 Rumusan

IPG telah dijadikan sebagai pusat latihan kemahiran berfikir kepada para guru sama ada peringkat guru praperkhidmatan atau guru dalam perkhidmatan. Justeru itu, kajian tentang tahap-tahap pemikiran kritis dalam kalangan pelajar merupakan kajian yang penting di peringkat IPG. Analisis tahap pemikiran kritis dengan mengintegrasikan aktiviti perbincangan atas talian dalam LMS juga menjadi satu kajian yang penting di peringkat IPG kerana kemudahan ini dapat digunakan secara optimum dan dapatan-dapatan tersebut dapat dijadikan sebagai alat ukur untuk menambahbaik dan meningkatkan lagi LMS sedia ada. Kajian ini juga diharapkan dapat meningkatkan lagi peranan LMS yang sebelum ini hanya digunakan untuk memuat naik dan memuat turun nota-nota kuliah dan perbincangan kepada satu platform untuk meningkatkan pencapaian, kemahiran berfikir dan penglibatan pelajar.

36