• Tidak ada hasil yang ditemukan

KAJIAN LITERATUR

2.2 Teori dan Model Berkaitan

2.2.4 Topologi Penyoalan Andrews (1980)

Andrews (1980) memperkenalkan Topologi Penyoalan yang membahagikan penyoalan kepada beberapa jenis iaitu taman permainan (playground), sumbang saran (brainstorm), tumpuan (focal), undangan umum (general invitation), capahan rendah (lower divergent), tumpuan analitikal (analytical convergent), senapang patah (shotgun), corong (funnel) dan insiden kritikal (critical incident) bagi menggalakkan sesuatu perbincangan. Huraian bagi jenis-jenis soalan tersebut ditunjukkan seperti dalam Jadual 2.1.

49 Jadual 2.1

Topologi Penyoalan Andrews (1980)

Jenis Dorongan Penyoalan

Keterangan Taman Permainan

(playground)

Soalan bentuk ini mewakili interpretasi atau analisis aspek yang spesifik terhadap bahan rangsangan perbincangan. Pelajar bebas untuk menerangkan dan membuat interpretasi terhadap bahan yang diberi. Sumbang saran

(brainstorm)

Soalan bentuk ini mewakili generasi idea-idea yang dapat difikirkan, pandangan atau penyelesaian isu-isu yang bersesuaian. Pelajar bebas untuk melahirkan beberapa atau keseluruhan idea berdasarkan topik yang diberikan.

Tumpuan (focal) Soalan bentuk ini mewakili isu-isu dan menuntut pelajar untuk membuat keputusan atau menyatakan pendirian dan menjustifikasikan isu tersebut. Pelajar boleh memilih pendirian yang terhad atau tidak terhad untuk menyokong pandangan mereka.

Undangan Umum (general invitation)

Soalan bentuk ini mewakili maklum balas yang lebih luas dalam perbincangan yang tidak berbentuk atau berfokus. Pelajar digalakkan untuk memberi maklum balas yang luas untuk mengembangkan topik dengan arahan yang tidak mencukupi.

Capahan Rendah (lower divergent)

Soalan bentuk ini mewakili percambahan pengetahuan yang mudah daripada pemahaman dengan pengayaan kandungan yang kurang. Pelajar dikehendaki menganalisis maklumat atau bahan untuk mencari alasan, membuat kesimpulan atau generalisasi.

Tumpuan Analitikal (analytical convergent)

Soalan ini mewakili pemikiran analitikal untuk jawapan satu hala yang tepat. Pelajar dikehendaki untuk menilai bahan yang relevan dan menyatakan kesimpulan secara jelas, merumus bahan atau menggambarkan urutan langkah sesuatu proses.

Senapang patah (shotgun)

Soalan bentuk ini mewakili pelbagai ayat soalan yang mungkin mengandungi dua atau lebih kandungan bidang. Pelajar dijangka akan menjawab sekurang-kurangnya satu daripada pecahan soalan.

Corong (funnel) Soalan bentuk ini bermula dengan soalan pembukaan yang umum, diikuti soalan yang lebih khusus dan soalan seterusnya yang lebih konkrit dan spesifik. Insiden Kritikal

(critical incident)

Soalan bentuk ini mewakili senario dan menyoal pelajar untuk memberi maklum balas dengan menggunakan maklumat daripada bahan atau pengalaman mereka.

50

Konsep soalan berbentuk tumpuan (focal) dan undangan umum (general invitation) yang diperkenalkan oleh Andrews (1980) diterapkan dalam DJ dan DPJ bagi membantu pelajar memberi justifikasi atau pandangan mereka. DJ ialah persoalan yang diberikan secara umum atau menyeluruh tentang sesuatu isu atau perkara manakala DPJ pula ialah persoalan yang diberikan secara terperinci dengan skop dan fokus kandungan tentang sesuatu isu atau perkara bagi memulakan sesuatu perbincangan atas talian.

Dorongan berbentuk persoalan yang diberikan oleh instruktor dalam sesuatu perbincangan atas talian adalah satu galakan untuk meningkatkan pencapaian, pemikiran kritis dan penglibatan pelajar (Ertmer et al., 2011). Namun begitu, instruktor perlu menimbangkan beberapa perkara sebelum memberi dorongan penyoalan kepada pelajar iaitu bagaimana untuk membantu sesuatu aktiviti, apakah fokus utama aktiviti-aktiviti tersebut dan bagaimana untuk memberi intervensi dorongan penyoalan kepada aktiviti-aktiviti tersebut (Lazonder & Egberink, 2014). Moschkovich (2015) menggariskan beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum sesuatu dorongan diberikan terutamanya yang melibatkan interaksi antara instruktor dan pelajar iaitu (a) apakah bentuk model atau teori yang mempengaruhi sesuatu dorongan? (b) apakah bentuk dorongan yang perlu diberikan? dan (c) bagaimana dorongan yang diberikan itu bersesuaian dengan pelajar bagi meningkatkan pencapaian dan pemikiran kritis mereka berbanding dengan pencapaian dan pemikiran kritis sedia ada mereka? Selain itu, instruktor seharusnya mengetahui peranan dorongan, proses-proses memberi dorongan dan fungsi teknologi sebagai medium untuk memberi dorongan bagi meningkatkan pencapaian dan tahap pemikiran kritis pelajar dalam pembelajaran (Lazonder & Egberink, 2014) .

51

Berdasarkan saranan-saranan yang dicadangkan oleh Moschkovich (2015), pengkaji akan menggabungkan teori dan model iaitu Teori Sosial Konstruktivis, Teori Pembelajaran Atas Talian, Teori Konektivisme dan Topologi Penyoalan Andrews untuk diterapkan ke dalam bentuk-bentuk dorongan penyoalan yang diberikan. Bentuk-bentuk dorongan penyoalan iaitu DJ dan DPJ digunakan dalam kajian ini bagi melihat keberkesanannya terhadap pencapaian, tahap pemikiran kritis dan aktiviti perbincangan atas talian. Di samping itu, pengkaji juga akan memilih pelajar yang mempunyai gaya pembelajaran jujukan dan global sebagai sampel kajian kerana ciri-ciri mereka bersesuaian dengan bentuk-bentuk dorongan yang akan diberikan. Selain itu, pengkaji juga akan menggunakan aplikasi teknologi dengan menggunakan forum atas talian sebagai medium pembelajaran pelajar.

2.3 Dorongan (Prompt)

Dorongan adalah satu bentuk bantuan di mana instruktor perlu memainkan peranan untuk memberi dorongan kepada para pelajar jika mereka menghadapi kesukaran dalam pembelajaran. Bentuk-bentuk dorongan dapat dibahagikan kepada tiga bahagian yang utama iaitu a) dorongan berbentuk visual, b) dorongan berbentuk verbal, dan c) dorongan berbentuk fizikal (Frey & Fisher, 2011).

Dorongan berbentuk visual adalah satu bentuk visual yang dapat menarik perhatian pelajar supaya mereka mengetahui di mana untuk memberi perhatian dan maklum balas (Frey & Fisher, 2011). Visual grafik juga boleh digunakan sebagai satu bentuk arahan kepada pelajar untuk menyediakan jawapan dan penyelesaian kepada sesuatu

52

tugasan. Contoh-contoh dorongan visual adalah seperti penggunaan gambar atau fotografi, senarai semak, jadual tugasan dan sebagainya.

Dorongan berbentuk verbal adalah bentuk dorongan yang diberikan sama ada secara lisan, perkataan atau frasa-frasa tertentu yang dinyatakan secara bertulis (Chin & Chia, 2004). Dorongan bentuk ini juga dapat membantu pelajar mencapai sasaran bagi menguasai sesuatu kemahiran dengan betul dan berkesan. Instruktor juga boleh menggunakan dorongan bentuk ini untuk memberi klu dan arahan kepada pelajar bagi menyelesaikan sesuatu tugasan atau permasalahan.

Dorongan berbentuk fizikal lebih sesuai digunakan untuk meningkatkan kemahiran motor. Dorongan ini dapat dibahagikan kepada dua iaitu dorongan fizikal penuh dan dorongan fizikal separa (Atkinson, Renkl & Merrill, 2003). Dorongan fizikal penuh bermaksud pelajar dibantu sepenuhnya bagi melatih kemahiran motor mereka seperti memimpin tangan untuk kemahiran berjalan. Sebaliknya dorongan fizikal separa ialah bentuk bantuan yang sedikit sahaja diberikan seperti mencuit, membuat tolakan dan sebagainya.

Walaupun secara umumnya bentuk-bentuk dorongan dapat dibahagikan kepada tiga bahagian, namun dalam kajian ini pengkaji akan memberi fokus kepada bentuk dorongan yang bersifat verbal sahaja. Dorongan berbentuk verbal dalam kajian ini adalah dua bentuk dorongan penyoalan yang berbeza yang diberikan secara bertulis dalam perbincangan atas talian bagi meningkatkan pencapaian, tahap pemikiran kritis dan penglibatan pelajar dalam aktiviti-aktiviti perbincangan atas talian. Bentuk dorongan seperti ini lebih sesuai digunakan kerana dapat membantu pelajar

53

meningkatkan pemahaman, memperbetulkan kesalahan dan menyelesaikan sesuatu permasalahan (Renaud & Murray, 2007). Selain itu, bentuk dorongan ini juga akan dapat meningkatkan penggunaan minda yang melibatkan proses kognitif dan metakognitif (Chin & Osborne, 2010).