SENARAI SINGKATAN PERKATAAN
1.8 Definisi Operasional
Pengkaji telah membahagikan definisi operasional kepada kepimpinan pelajar, pembangunan kewarganegaraan, dan pendidikan pendemokrasian dalam subtopik ini.
1.8.1 Kepimpinan Pelajar
Kepimpinan pelajar merujuk kepada kepimpinan yang memberi fokus untuk mempengaruhi rakan-rakan pelajar lain dalam membangunkan dan menggilap sepenuhnya potensi rakan-rakan lain ke arah melaksanakan tanggungjawab pelajar dengan lebih cekap, menjadi pemimpin komuniti, motivasi kendiri dan kemampuan untuk membina kepimpinan masa depan. Menurut Greenleaf (1999) dan Liden et al., (2013) menggariskan ciri-ciri kepimpinan pelajar yang baik mempunyai kemahiran mendengar, empati, memulihkan, kesedaran, pujukan, pembentukan konsep, berpandangan jauh, komitmen untuk membangunkan orang lain dan juga membangunkan komuniti pelajar.
26
Kepimpinan pelajar merupakan pendekatan kepimpinan yang berpusatkan individu dengan menyokong kepada rakan sebaya untuk mencapai potensi diri mereka sepenuhnya. Kepimpinan pelajar juga melibatkan perhubungan personal dengan rakan-rakan lain untuk memahami dan menyokong motivasi diri (Ehrhart, 2004; Liden et al., 2008). Sehubungan itu, kepimpinan pelajar merupakan suatu falsafah dan amalan di dalam kepimpinan yang dikemukakan oleh Greenleaf (1998) yang meletakkan berkhidmat untuk orang lain sebelum mengambil kira dirinya sendiri, dengan andaian bahawa kedudukan bukanlah satu tumpuan dalam pasukan, menyediakan sumber dan sokongan tanpa mengharapkan ganjaran.
Hal ini disokong oleh Grieves (2010) dan Goleman, Boyatzis, dan McKee (2002) dengan menyatakan bahawa seseorang pemimpin itu perlu memahami bahawa berkhidmat kepada orang lain merupakan fungsi penting dalam kepimpinan. Kouzes & Posner (2008) menekankan pemimpin pelajar berkhidmat kepada organisasi dengan memberikan keutamaan kepada keperluan orang-orang bawahannya. Manakala King (2006) serta Klehe dan Latham (2006) menyatakan pemimpin pelajar juga dilihat sebagai ketua yang merendah diri di dalam pentadbiran sesebuah organisasi, melibatkan orang lain dalam membuat keputusan, mempunyai tingkahlaku yang prihatin dan beretika, dan meningkatkan pertumbuhan peribadi rakan pelajar serta meningkatkan kebajikan dan kualiti kehidupan di kampus.
1.8.2 Pembangunan Kewarganegaraan
Pembangunan kewarganegaraan merujuk kepada perkembangan dalam proses memahami, pengetahuan lanjutan, tahap baru moral dan pembangunan pembelajaran sivik. Menurut Musil (2003) pembangunan kewarganegaraan melalui beberapa fasa
27
iaitu persepsi seseorang yang terlibat dalam aktiviti komuniti. Pembangunan kewarganegaraan dipromosi oleh institusi yang melihat pelajar adalah golongan terasing kedudukannya dalam masyarakat. Kedua adalah fasa sedar iaitu melibatkan interaksi pelajar yang minima dalam sesebuah masyarakat. Pemimpin pelajar menggunakan pengalaman mereka dalam arena pendidikan untuk bersama hidup dalam masyarakat (Musil, 2003). Fasa ketiga pula, pemimpin pelajar melihat keterlibatan dalam masyarakat memberi faedah kepada mereka tetapi tidak memahami kehendak dan keperluan masyarakat tersebut. Pemimpin pelajar mengambil inisiatif untuk memimpin masyarakat tetapi tidak semestinya berkesan.
Fasa keempat ialah kebajikan dan paling meluas dalam kalangan pelajar kolej. Banyak khidmat masyarakat dilakukan oleh pelajar dan mereka mula memahami kehendak masyarakat. Satu perubahan kesedaran sivik berlaku kepada pelajar dalam usaha mereka mendekati masyarakat menjadi warganegara yang memilikki sifat kewarganegaraan. Fasa kelima, pelajar mengiktiraf hubungan mereka dengan masyarakat dan berkongsi masalah, keperluan bersama serta meningkatkan kesedaran mereka tentang pentingnya hubungan bersama.
Fasa terakhir ialah kewarganegaraan generatif, iaitu masyarakat mencapai tahap kemakmuran sivik. Fasa ini mempunyai ciri-ciri dedikasi jangka panjang untuk pelajar mewujudkan perubahan dalam masyarakat bagi generasi yang akan datang demi memenuhi keperluan perubahan hari ini (Musil, 2003). Persamaan antara model pembangunan kewarganegaraan dan perubahan sosial juga wujud (Institut Penyelidikan Tinggi 1996; Musil, 2003).
28
1.8.3 Pendidikan Pendemokrasian
Pendidikan pendemokrasian dalam kajian ini adalah merujuk kepada proses transformasi pengetahuan kepada pelajar tentang demokrasi, pemahaman pelajar tentang kebebasan berpolitik, komitmen pelajar tentang demokrasi dan perkara yang berkaitan tentang keadilan serta kebebasan semasa pilihanraya (Mattes, 1999). Evans dan Rose (2007) menyatakan bahawa pendidikan formal akan membentuk sikap dan perilaku kewarganegaraan yang betul kepada rakyat dalam sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi.
Walaupun secara amnya, hubungan antara pendidikan dengan demokrasi dianggap positif dan saling berkaitan antara satu sama lain, sumbangan tahap pendidikan yang tinggi masih lagi tidak difahami secara holistik. Pendidikan tinggi merupakan tahap yang memberikan kesan terhadap kepercayaan pelajar kepada sistem politik di sesebuah negara. Kajian terbaru menunjukkan bahawa tahap pendidikan formal memberi kesan positif secara langsung dan tidak langsung kepada sikap demokratik (Evans & Rose 2007; Hoskins et al 2008; Mattes & Mughogho, 2010). Pemimpin pelajar yang mempunyai tahap pendidikan pendemokrasian yang merupakan seorang yang faham dengan erti demokrasi.
Ichilov O (1990) berpendapat bahawa, pemimpin pelajar perlu tahu tentang pilihanraya yang adil dan telus di samping memahami kewajipan sebagai pengundi. Ini turut disokong oleh Nie NH, Junn J, dan Stehlik Barry K (1996) yang menyatakan bahawa tanggungjawab penting dalam memahami demokrasi ialah wujud perasaan kesedaran untuk mengundi dalam pilihanraya bagi memilih kerajaan serta tahu erti kebebasan untuk membuat pilihan semasa pilihan raya. Pemimpin pelajar yang
29
berkeliber juga merupakan seorang yang tahu tentang hak-hak dalam membuat keputusan sendiri, hak kebebasan berpolitik, hak-hak individu yang dijamin dalam demokrasi, dan tahu tentang sistem berbilang parti dalam demokrasi berparlimen (Westheimer & Kahne, 2002).
Pemahaman demokrasi juga berkaitan dengan kebebasan berpolitik seperti yang diutarakan oleh Mattes (1999). Kerajaan harus membenarkan pandangan kelompok minoriti dalam demokrasi supaya rakyat dapat meluahkan perasaan tidak puas hati dengan bebas kepada kerajaan. Dalam sesebuah negara demokrasi, kerajaan tidak seharusnya mengharamkan parti politik yang mempunyai pandangan bertentangan dengannya bagi memberi ruang dan peluang kepada rakyat untuk menyertai parti politik sama ada parti kerajaan atau pembangkang (Mattes,1999).
Bagi negara yang mengamalkan sistem demokrasi, pendidikan demokrasi merupakan hal yang penting untuk dilaksanakan secara terencana, sistematik, dan berkesinambungan. Hal ini penting bagi memastikan demokrasi yang berkembang tidak disalahgunakan atau menjurus kepada anarki seperti yang disokong oleh Mahathir Mohamad (2010). Ini turut disokong oleh Djiwandono (2003) yang menyatakan bahawa apabila demokrasi tidak disertai oleh aturan politik dan aturan politik serta hukum yang jelas, suatu keadaan tertentu akan berubah menjadi anarkisme dan bahkan kemudian mengundang otorianisme iaitu suatu pemerintahan yang menindas dan berlawanan dengan prinsip demokrasi.
30