ANALISIS KOMPONEN KESEDARAN PERIBADI
ANALISIS KOMPONEN KESEDARAN ROHANI
5.2 Definisi Rohani dan Kerohanian
Dari segi bahasa, rohani bermaksud roh iaitu sesuatu yang dihembuskan oleh Allah SWT ke dalam badan manusia. Dengan roh yang dimiliki ini, manusia akan menjalani kehidupan di atas muka bumi. Dalam kitab ‘Ihya Ulumiddin’, Imam al-Ghazali mendefinisikan roh sebagai suatu zat yang sangat halus bersumber pada ruangan jantung manusia. Jantung menjadi pusat kepada semua pembuluh darah dan terserak ke seluruh badan sehingga manusia boleh hidup dan bergerak serta dapat menimbulkan pelbagai perasaan dalam diri manusia seperti pahit, manis, susah, senang dan sebagainya. Beliau juga menyatakan bahawa roh berbentuk halus dan ghaib. Dengan roh, manusia dapat mengenal diri dan mengenal Tuhannya, berakhlak mulia tidak seperti haiwan, berperikemanusiaan dan menuntut ilmu. Semua roh adalah suci dan baik namun apabila ditiupkan ke dalam jasad manusia, roh yang baik dan suci itu akan
berubah apabila jasad berbuat maksiat yang bertentangan dengan asal kejadian roh itu sendiri.
Roh manusia berbeza daripada roh haiwan dan roh tumbuh-tumbuhan kerana roh manusia mempunyai unsur-unsur dalaman seperti Al-Qalb (hati), Al-Nafs (nafsu) dan Al-Aql (akal). Roh yang ada pada manusia kekal dan abadi manakala roh pada haiwan dan tumbuh-tumbuhan akan musnah. Walaupun ketiga-tiga unsur ini adalah aspek dalaman manusia yang penting namun al-Ghazali lebih menitikberatkan soal hati kerana hati adalah pengantara kepada unsur-unsur yang lain. Hati diumpamakan sebagai raja dan memberi kesan kepada diri manusia kerana hati mempunyai tentera yang ‘bertugas’ melayani kehendaknya. Pembantu yang dimaksudkan melayani kehendak hati ialah seluruh anggota badan seperti tangan, kaki, mata, telinga dan sebagainya akan patuh kepada suruhan hati. Hal ini pernah disebut oleh al-Ghazali bahawa “Sesungguhnya kenderaan hati itu ialah tubuh manakala perbekalannya ialah ilmu. Dan sesungguhnya sebab-sebab yang menyampaikannya kepada perbekalan dan yang menetapkan perbekalan itu ialah amal soleh.”
Kerohanian pula bermaksud sifat-sifat rohani yang merujuk kepada jiwa, semangat atau batin yang terdapat dalam diri manusia atau perasaan dalaman manusia yang berkaitan dengan jiwa. Aspek kerohanian juga berkaitan dengan hati, kalbu, jiwa, mental dan fikiran manusia. Dalam Islam, aspek kerohanian berpusat kepada manusia itu sendiri kerana yang menjadi pelaksana kepada unsur-unsur kerohanian itu adalah manusia. (Mohamed Asin Dollah, 1998). Hal ini sesuai dengan pandangan Islam bahawa hakikat kejadian manusia terdiri daripada dua unsur iaitu unsur jasad (kebendaan) dan unsur roh (kerohanian). Setelah manusia dijadikan, ia disempurnakan kejadiannya oleh Allah dengan meniup roh ciptaan-Nya ke dalam tubuh manusia. Unsur jasad bagi tubuh manusia itu adalah unsur yang boleh diperhati secara empirikal.
179
Sifatnya boleh bergerak, boleh membesar dan melakukan aktiviti empirikal yang lain. Unsur roh tidak boleh diperhatikan melalui pengamatan pancaindera, namun roh tetap wujud dan berfungsi dalam diri manusia.
Antara fungsi roh dalam diri manusia ialah mempunyai keinginan tertentu seperti keinginan untuk mempunyai akhlak mulia, berilmu tinggi, ikhlas kepada Allah S.W.T, bertaubat, melakukan pembersihan jiwa bagi mencapai keredaan Allah dan sebagainya. Pada roh bersandarnya perasaan, jiwa, nafsu, emosi dan pemikiran. Kesemua entiti ini terputus apabila hilangnya roh daripada jasad. Tanpa roh manusia akan mati. Jasad hanya merupakan kelonsong kepada kewujudan roh, sementara roh akan meneruskan kehidupan di alam – alam akan datang sehinggalah hari kebangkitan selepas hari kiamat.
Al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumuddin menghuraikan sifat-sifat manusia berdasarkan kenyataan al-Quran dan hadis serta pemerhatian beliau semasa dalam pengembaraan sufinya. Pada pandangan beliau, walaupun manusia terdiri daripada komponen fizikal dan spiritual, namun tumpuan al-Ghazali lebih kepada aspek spiritual atau rohani. Pada pandangan beliau, aspek rohani iaitu unsur dalaman manusia akan mempengaruhi kehidupan manusia secara keseluruhannya. Sesuatu tingkah laku yang ditunjukkan oleh manusia akan dipengaruhi oleh dorongan yang datangnya daripada sifat rohani atau sifat dalaman manusia itu sendiri.
Hakikat kejadian manusia adalah berbeza dengan kejadian haiwan kerana Allah mewajibkan manusia menggunakan akal untuk berfikir dengan bijaksana dan bertindak dengan rasional tanpa melukakan hati orang lain demi kehidupan yang sejahtera. Allah juga telah menganugerahkan qalb ataupun qalbu iaitu sumber pancaran iman dan takwa serta tempat Allah anugerahkan ilmu. Qalb akan menapis segala sesuatu yang ditanggapi oleh pancaindera dalaman dan luaran sebelum membenarkan anggota badan
yang lain bertindak. Selain itu, manusia akan dikuasai nafsu atau keinginan apabila bertindak. Dalam hidup ini, ada dua nilai yang menentukan perbuatan manusia iaitu nilai baik dan nilai buruk, nilai betul dan nilai salah. Bagi melengkapkan diri menjadi individu yang baik akhlak dan tingkah lakunya khususnya kepada individu yang beragama Islam mestilah memberi tumpuan kepada soal-soal kerohanian yang bersangkutan dengan soal keagamaan. Kewujudan manusia di dunia ini bukan secara kebetulan tetapi mereka dicipta untuk dijadikan khalifah Allah atas muka bumi ini. Hal ini dijelaskan melalui maksud ayat yang berikut;
Adakah kamu mengira, bahawa Kami menciptakan kamu bermain-main, dan bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?
(Surah al-Mukmin 23: 115)
Ayat ini menegaskan bahawa kewujudan manusia di dunia ini mempunyai tujuan dan matlamat yang mesti dilaksanakan sama ada bagi tujuan kehidupan di dunia ini ataupun kehidupan selepas ini. Allah tidak menjadikan manusia dan jin melainkan untuk berbakti dan beribadat kepada-Nya iaitu dengan menyembah Allah. Menyembah Allah SWT bermaksud memusatkan penyembahan semata-mata kepada-Nya iaitu dengan cara menjalankan dan mengatur seluruh aspek kehidupan dunia ini zahir dan batin sesuai dengan kehendak Ilahi, sama ada sebagai hamba dengan khalik atau sesama manusia. Dalam Islam, tuntutan jasad dan tuntutan roh sama-sama diberi perhatian. Manusia Muslim tidak disuruh meninggalkan kenikmatan atau kemewahan kebendaan serta keperluan jasmani asalkan perkara-perkara tersebut tidak dinikmati secara melampau sehingga mengabaikan tuntutan kerohanian.
Pandangan tentang unsur kerohanian ini juga turut diperkatakan oleh ahli-ahli falsafah Yunani pada zaman keemasan Greek. Rene Descartes iaitu “Bapa Psikologi
181
Saintifik” (1596 – 1650, berpendapat bahawa manusia boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu jiwa dan jasad atau tubuh badan yang terpisah tetapi berinteraksi sesama sendiri. Menurut Descartes, jasad manusia ialah satu sistem fizikal dan pergerakannya ialah pergerakan automatik yang hanya bergerak balas terhadap rangsangan-rangsangan luaran. Konsep yang dikemukakan oleh Descarters ini dikenali sebagai pecahan dualisme. Beliau juga mengakui bahawa manusia mempunyai jiwa dan akal fikiran. Hal inilah yang membezakan sifat manusia dan haiwan. Namun jiwa manusia kosong, tidak mempunyai apa-apa bahan hanya berfungsi sebagai tempat menyimpan buah fikiran di samping pengetahuan tentang ruang, masa, ketuhanan dan lain-lain. Pandangan beliau dikukuhkan oleh Aristotle yang juga menyebut tentang kewujudan rohani manusia yang dikatakan terletak di hati manusia. Menurut Aristotle, akal fikiran manusia yang kosong semasa dilahirkan itu akan diisi apabila usia semakin meningkat dengan pengetahuan-pengetahuan yang diperoleh daripada interaksi manusia dengan alam sekitar dan jiwa serta perasaan manusia boleh difahami melalui hubungannya dengan sistem-sistem lain di dalam badan. Pandangan Plato agak berbeza daripada Descartes dan Aristotle, beliau menyatakan rohani manusia berinteraksi melalui otaknya. Walaupun terdapat perbezaan pendapat namun ketiga-tiga tokoh pemikir Yunani ini tetap mengakui pentingnya unsur rohani dalam diri manusia.
Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, unsur rohani dikaitkan dengan sifat menyedari dan menginsafi adanya pencipta, menghargai serta mensyukuri pemberian-Nya. Unsur rohani ini juga merujuk kepada sikap menyedari dan menginsafi tanggungjawab, memupuk dan membina disiplin kendiri untuk membentuk akhlak yang mulia. Kandungan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dengan jelas menegaskan bahawa pendidikan di Malaysia adalah bertujuan untuk membangunkan insan berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Hasrat ini selaras dengan prinsip hidup rakyat Malaysia iaitu percaya kepada Tuhan yang terkandung dalam
Rukun Negara Malaysia. Kepatuhan dan kepercayaan kepada Tuhan bagi warganegara beragama Islam adalah Rukun Iman yang pertama dalam Islam. Beriman kepada Allah SWT merupakan perkara pokok yang wajib dilakukan oleh umat Islam. Tuntutan utama beriman kepada Allah SWT ialah mentauhidkanNya iaitu tidak menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu apa-apa pun selain daripadaNya.
Jelaslah bahawa aspek rohani dan kerohanian amat penting dalam diri manusia kerana unsur kerohanian inilah yang menjadi inti sari kepada nilai kemanusiaan. Sahsiah dan peri laku manusia sama ada baik atau buruk akan terpancar melalui kesedaran rohani yang dimiliki oleh seseorang itu.