• Tidak ada hasil yang ditemukan

KERANGKA TEORITIS

2.7 Model Kecerdasan Emosi (MKE)

Berdasarkan model-model kecerdasan emosi yang telah dibincangkan, pengkaji mendapati kesemua model kecerdasan emosi yang dipelopori oleh pengkaji-pengkaji Barat mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk meningkatkan kestabilan emosi dan mengembalikan semula nilai kemanusiaan dalam kehidupan manusia kini yang dikatakan hanya mementingkan materialistik semata-mata.

Walaupun model-model kecerdasan emosi yang dihasilkan oleh pengkaji Barat menampakkan satu usaha yang baik iaitu untuk melahirkan manusia yang stabil dari segi emosi dan seterusnya mempengaruhi tingkah laku yang baik namun teori atau model kecerdasan emosi yang dihasilkan ini hanya berorientasikan kebendaan dan hubungan sesama manusia semata-mata. Pengkaji Barat telah memisahkan emosi manusia dengan unsur ketuhanan. Hal ini menampakkan satu kekosongan dalam diri manusia apabila mengabaikan unsur ketuhanan yang menjadi santapan rohani manusia selama menjalani kehidupan di dunia. Dalam Islam, peranan manusia dilihat dari aspek hubungan manusia dengan Tuhan (Hablulminallah) dan hubungan manusia dengan manusia lain (Hablulminalnas) untuk melahirkan sebuah kehidupan yang sejahtera di dunia dan di akhirat. Pengkaji telah memilih ciri-ciri yang terdapat dalam teori kecerdasan emosi Barat dan ciri-ciri dalam pendekatan tauhid bagi membentuk ciri baharu dalam MKE. MKE ini akan mengaitkan kecerdasan emosi dengan persoalan hati, akal dan nafsu kerana ketiga-tiga unsur ini memainkan peranan yang besar terhadap tindak - tanduk manusia Islam apabila melakukan sesuatu perkara.

Pengkaji mendapati adalah relevan untuk memfokuskan kajian ini kepada aspek watak dan perwatakan kerana setiap perlakuan watak akan memperlihatkan tahap kecerdasan emosi yang dialami oleh mereka. Sesuatu perlakuan itu akan muncul melalui peristiwa-peristiwa yang akan dialami oleh watak dalam cerita. Peristiwa-peristiwa yang

wujud pastinya ada kaitan dengan latar belakang watak dan konflik yang dilalui oleh watak tersebut. Seandainya seseorang itu pandai menguruskan emosi atau mempunyai tahap kecerdasan emosi yang tinggi, sudah pasti akan melakukan perkara yang baik dan mempunyai akhlak yang mulia. Sekiranya watak yang digambarkan bertindak sebaliknya maka watak ini diketegorikan sebagai individu yang mempunyai tahap kecerdasan emosi yang rendah dan tidak akan berjaya dalam kehidupannya.

Pengkaji berpendapat untuk menjadi remaja unggul dan dicontohi adalah dengan menguasai ketiga-tiga komponen kecerdasan emosi yang dikemukakan iaitu kesedaran peribadi, kesedaran sosial dan kesedaran rohani. Ketiga-tiga komponen kecerdasan emosi ini adalah gabungan antara pendekatan Islam dan pendekatan Barat. Ciri-ciri yang dikemukakan oleh pengkaji Barat telah diubah suai dengan ciri-ciri keislaman untuk membawa remaja ke jalan kebenaran supaya mereka dapat memanfaatkannya dalam kehidupan dan secara tidak langsung membimbing mereka ke jalan yang diredai oleh Allah. Pengkaji telah membuat sedikit pengubahsuaian nama-nama komponen dan ciri-ciri yang terkandung dalam setiap komponen dalam MKE yang terdapat dalam kajian ini. Kewajaran penggubahsuaian nama-nama ciri ini adalah untuk menyesuaikan dengan istilah yang terdapat dalam pendekatan Islam yang diguna pakai dalam kajian ini.

Komponen pertama dalam MKE ialah komponen kesedaran peribadi iaitu ubah suai daripada teori kecerdasan emosi Goleman yang menamakan komponen ini sebagai kecekapan peribadi. Goleman menetapkan tiga ciri dalam komponen ini iaitu kesedaran kendiri, kawalan kendiri dan motivasi kendiri. Walau bagaimanapun dalam MKE, pengkaji menamakan tiga ciri tersebut sebagai mengenal emosi sendiri, mengurus emosi dan motivasi kendiri. Ciri pertama iaitu mengenal emosi ialah ciri asas atau prasyarat yang perlu ada sebelum kewujudan ciri lain dalam kecerdasan emosi. Seseorang yang

mempunyai kebolehan ini, menyedari emosinya dalam sesuatu keadaan sama ada marah, benci atau bosan pada bila-bila masa. Ciri kedua iaitu mengurus emosi akan melihat bentuk respons atau tindak balas yang dizahirkan oleh seseorang dalam sesuatu keadaan apabila sesuatu emosi menguasai dirinya. Untuk mengurus emosi, individu perlu menyedari keadaan emosinya terlebih dahulu. Ciri ketiga ialah motivasi kendiri. Seseorang yang mempunyai motivasi kendiri yang tinggi berkeupayaan untuk menolak dirinya ke hadapan dalam mencapai sesuatu matlamat yang dicitakan. Individu sedemikian menggunakan matlamatnya dalam sesuatu perkara sebagai panduan untuk melaksanakan tugasan atau mencapai cita-cita. Kemahiran mengenal dan mengurus emosi menjadi asas kepada pembinaan motivasi kendiri yang positif. Dalam komponen ini, analisis akan dibuat berdasarkan perlakuan watak-watak protagonis remaja yang terdapat dalam novel-novel terpilih. Bahagian ini akan memperlihatkan sama ada watak remaja yang dipaparkan dalam novel-novel remaja tersebut memiliki tahap kesedaran peribadi yang membanggakan atau sebaliknya. Analisis kecerdasan emosi komponen kesedaran peribadi ini akan dibuat berdasarkan peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh remaja tersebut yang melibatkan konflik dalaman dirinya sendiri.

Komponen kedua dinamakan komponen kesedaran sosial iaitu, melihat hubungan watak remaja dengan manusia lain ataupun hubungan habluluminnas iaitu melihatkan hubungan sosial watak dengan watak-watak lain yang terdapat dalam cerita. Dua ciri yang terdapat dalam komponen kesedaran sosial ialah empati dan kemahiran sosial. Ciri pertama ialah empati yang dimaksudkan sebagai kebolehan memahami emosi atau perasaan orang lain. Keupayaan menyelami hati seseorang berdasarkan perspektif individu tersebut merupakan satu kelebihan dalam sesuatu interaksi sosial. Ciri kecerdasan emosi yang seterusnya ialah kemahiran sosial seseorang dengan rakan sebaya, rakan sekerja, dalam keluarga dan masyarakat. Kemampuan bersosialisasi sangat penting dalam membentuk hubungan yang akrab dengan individu-individu lain

dalam masyarakat. Goleman (1995) berpendapat seseorang itu akan mempunyai kemahiran bersosial yang baik apabila dia memiliki perasaan empati dalam diri dan mampu berinteraksi secara baik dan berhemah dengan orang-orang di sekelilingnya.

Komponen ketiga dalam model kecerdasan emosi dalam kajian ini adalah dari aspek kesedaran rohani iaitu yang berkaitan dengan akidah dan akhlak. Akidah atau sistem kepercayaan dalam Islam dikenali sebagai iman. Dari sudut bahasa, iman bermaksud ketepatan hati atau kekuatan batin iaitu membenarkan sesuatu di hati. Dari segi syarak pula, maksud iman adalah membenarkan sesuatu kepercayaan di hati serta dilaksanakan amalan yang dituntut dengan penuh keyakinan. Dalam bahagian ini, hubungan Hablulminallah antara remaja dengan penciptaNya akan dilihat melalui analisis watak dan perwatakan. Aspek akhlak pula akan melihat sikap dan amalan yang dilakukan oleh remaja dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

Kajian ini memfokuskan kepada analisis watak protagonis remaja dan pembentukan sahsiah diri pengaruh daripada tahap kecerdasan emosi yang dimiliki oleh remaja tersebut. Hal ini dapat dilihat melalui tindakan dan reaksi watak remaja yang dikaji apabila mereka berhadapan dengan konflik yang melanda diri mereka dan juga yang melibatkan dirinya dengan orang lain di sekelilingnya. Tahap kecerdasan emosi yang dimiliki oleh setiap individu adalah berbeza kerana banyak faktor yang akan mempengaruhi tahap kecerdasan individu. Walau bagaimanapun, kecerdasan emosi seseorang boleh berubah melalui pengalaman yang dilalui dan juga melalui pergaulan dengan orang-orang di sekelilingnya.

122

Rajah 2.5: Kerangka Konseptual

FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN Insan seimbang dari segi

- Jasmani - Emosi - Rohani - Intelek

KECERDASAN EMOSI DALAM NOVEL REMAJA

- Watak remaja - Peristiwa yang dialami - Konflik yang dihadapi - Penyelesaian konflik - Sahsiah remaja - Hubungan sosial

NOVEL REMAJA

- Bukan Legasi Lalang - Trilogi Cinta - 1515

- 1511(KOMBAT) - Advencer Si Peniup Ney - Kembara Amira - Odisi Tanah Kencana - Warisnya Kalbu - Kasih Nan Agung - Impuls/Roh

TEORI KECERDASAN EMOSI 1. Teori Kecerdasan Emosi

Goleman

2. Teori Kecerdasan Emosi Mayer dan Salovey

3. Pendekatan Tauhid

MODEL KECERDASN EMOSI (MKE) 1. KESEDARAN PERIBADI - mengenal emosi - mengurus emosi - motivasi kendiri 2. KESEDARAN SOSIAL - empati - kemahiran sosial 3. KESEDARAN ROHANI - akidah -akhlak OBJEKTIF KAJIAN

1. Mengenal pasti kehadiran komponen kecerdasan emosi pada watak-watak yang terdapat dalam teks kajian.

2. Menganalisis kecerdasan emosi yang terdapat pada watak-watak protagonis remaja berdasarkan Model Kecerdasan Emosi (MKE) dalam teks kajian.

3. Menilai pengaruh dan kepentingan komponen kecerdasan emosi terhadap pembentukan sahsiah unggul watak protagonis remaja dalam teks terpilih.

Rajah 2.6: Model Kecerdasan Emosi Kajian Ini (Model Kecerdasan Emosi yang telah