Tempat terletaknya gereja Inggeris tersebut sebenarnya terletak di tengah-tengah padang yang pada zaman Raja Crawfurd menjadi tempat orang berlumba kuda dan tempat orang putih mengambil angin. Pada tahun 1838, iaitu pada zaman Tuan Bonham menjadi raja dalam negeri Singapura, dan Tuan Wingrove memerintah polis Singapura, maka waktu ketika itulah semua tuan-tuan Inggeris dalam Singapura hendak membuat gereja besar kerana dulu, Tuan Paderi Thomson ada membina sebuah gereja kecil. Kepala tukang membuat gereja itu ialah Tuan Coleman. Setelah siapnya gereja tersebut, maka adalah bebereapa orang hamba Kompeni yang menjaga barang-barang di situ. Kompeni memberi arahan untuk melarang orang-orang berjalan dekat dengan gereja kerana sudah diperbuatkan empat buah pintu serta ditanamkan buluh. Tetapi orang tidak mengendahkan arahan walaupun sudah dilarang oleh hamba Kompeni tersebut. hamba itu pun mengejar mereka dengan membawa kayu, maka larilah orang itu kerana menganggap hamba Kompeni ingin membunuh mereka.
Dalam sehari dua, tersebarlah pelbagai jenis khabar. Kata sesetengah orang, “Raja menyuruh membunuh orang dan mengambil kepalanya, sebab hendak memberi makan hantu dalam gereja, kerana kononnya raja bermimpi datang hantu meminta kepala orang. Maka jikalau tidak diberi, nescaya dibunuh dia dan orang besar-besarnya.” Ada pula yang mengatakan, “ada sebuah lubang dalam gereja itu. Maka di situlah tempat dia memasukkan kepala orang.” Ada juga, “ ada beberapa orang yang kehilangan anaknya, telah dibunuh oleh hamba Kompeni.” Ada seorang dua yang telah
mengadu kepada polis, tetapi tidak diendahkannya. Maka kata sesetengah orang, “orang besar-besar semuanya sepakat dalam pekerjaan itu, maka sebab itu tidak dilayannya.” Khabar itu akhirnya tersebarlah ke seluruh negeri. Masing-masing pun hidup dalam ketakutanlah serta tidak melepaskan anak-anak mereka berjalan-jalan. Pada tiap-tiap rumah yang Abdullah masuki, inilah sahajanya yang ditanyakan, “ Iakah sungguh atau tidak?” Abdullah hanya ketawa sambil memberitahu “ini khabar bohong. Sekali-kali tiada adat orang Inggeris dan hukumnya dan undangnya meluluskan perkara yang demikian dan sekali-kali ia tidak mempercayai hantu dan juga mimpi.”
Maka itu, ada seorang yang sudah putih rambutnya berkata, “Itu khabar benar, kerana kelmarin orang bertemu hamba Kompeni itu mengendap dalam gelap di Kampung Gelam.” Maka, jawab Abdullah, “Kalau demikian, barangkali hamba Kompeni hendak mencuri atau hendak lari, siapa tau?” Maka jawabnya lagi, “Semalam di Teluk Air, ada pukul satu malam, hamba Kompeni mengejar orang Cina hendak dibunuhnya. Maka besarlah gempar sampai orang mengeluarkan senjata seperti orang perang lakunya.” Maka, Abdullah pun tercengang mendengar khabar itu dan terdiam, tidak mahu berbantah lagi. Pada waktu petang, Abdullah jadikan kerja berjalan-jalan ke Teluk Air sebab hendak diperiksa hal itu. Maka didapatinya indah khabar dari rupa, bahawa semuanya bohong belaka. Maka kata orang Cina, bukannya hamba Kompeni, ia itu merinyu memukul orang Cina, sebab ia menjaja berteriak, gaduh mulutnya tengah malam, maka disebat oleh merinyu dengan rotan, lalu larilah ia berteriak-teriak. Maka orang menyangkakan hamba Kompeni. Pada suatu malam, menjadi terlalu besar gaduhnya di Kampung Saudagar, kerana pada keliling kampung itu pada malam hari penuh orang Keling tidur di luar sampai ke tepi pantai. Kira-kira jam dua tengah malam, maka bangun seorang Keling ini hndak pergi buang air kecil. Maka terlanggarlah ia dalam gelap itu kaki kawannya yang tidur itu. Maka terkejutlah orang yang tidur itu. Berteriaklah ia dengan suara yang besar mengatakan hamba Kompeni datang hendak memotong kepalanya. Maka orang lain pun menjadi gempar, masing-masing bangun berlari dalam gelap, satu jatuh atas satu, tunggang balik. Yang ada pecah muka terhempas dan terantuk di batu dan empat orang jatuh ke dalam sungai.
Maka sampai keluarlah orang-orang putih memeriksai hal itu. Orang yang mula-mula hendak pergi buang air kecil itu ada juga lagi terdiri sambil berteriak-teriak mengatakan, “ Bukan hamba Kompeni. Ini aku, jangan takut.” Maka tiada juga diendahkan orang, sebab sangat riuh itu. Maka, sebentar kemudian, datanglah orang putih memeriksa. Maka dapatlah semuanya itu bohong. Pada satu Jumaat, Abdullah menerima sepucuk surat dari Melaka, iaitu dari isterinya. Demi beliau membaca surat tersebut, lalu tertawalah beliau gelak-gelak kerana isterinya itu duduk dalam ketakutan dan dukacita. Siang malam dikuncikan sahaja pintu, sebab di Melaka orang mendengar khabar hamba Kompeni hendak datang ke Melaka mengambil kepala orang. Sekarang di Melaka masing-masing duduk berjaga sahaja. Tiada seorang pun yang berani berjalan malam. Isterinya seboleh-bolehnya meminta Abdullah tidak berjalan malam-malam di Singapura dan jaga baik-baik kerana belum cukup dapat kepala yang hendak diberikan di gereja itu.
Kemudian, Abdullah pun membalas surat tersebut dengan menceritakan asalnya pekerjaan dan beliau tegah, “jangan sekali-kali adinda percaya khabar itu, semuanya bohong, kerana kakanda ketahui dari mulanya pekerjaan ini. maka di Singapura pun demikian juga semuanya orang menjadi gila.” Dan lagi beliau menyatakan peri hukum dan adat undang-undang orang Inggeris, sekali-kali tiada boleh demikian, dan tiada ia percaya akan hantu dan mimpi. “unjukkanlah suratku ini kepada segala adik kakak yang dalam kampung supaya jangan membuat susah dirinya.” Maka, satu hari, kembalila beliau ke Melaka sebab mendengar anaknya, Siti Lela itu sedang sakit. Setelah sampai di Melaka, maka dalam dua tiga hari lamanya, maka ia pun kembali ke rahmat Allah. Maka terlalu besar dukacitanya. Beliau sangat kasih akan anaknya yang baru lapan tahun umurnya, banyaklah sudah pengajiannya serta dengan terang hatinya serta ingatannya, maka tambahan pula pandai mengambil hati ibu bapa. Setelah sudah ditanamkan orang di Masjod Keling, maka beliau sering berulang-alik ke kuburnya. Hatta, pada suatu malam, kira-kira pukul lapan setengah, pergilah beliau seorang diri duduk di kuburnya dengan air mata. Tiba-tiba beliau melihat anaknya seperti bermain diatas pasir itu. Maka segeralah beliau mendapatkan anaknya itu, tetapi rupa-rupanya hanyalah pasir sahaja. Maka, ketahuilah beliau bahawa iblis rupanya hendak merosakkannya. Maka pada saat itu juga, Abdullah bertaubatlah kepada Allah dengan tidak mahu lagi menaruh rasa cinta dan percaya kepada anaknya itu.
Maka pulanglah Abdullah ke rumahnya serta menegah isterinya daripada menangis dan menaruh percintaan. Maka memintalah isterinya akan sesuatu perkataan dan nasihat yang sahih, supaya mengambil insaf akan dia. Maka, beliau memperkenankanlah kehendaknya itu serta Abdullah mulai berjinak-jinakkan diri dengan segala kitab-kitab yang tersebut namanya dalam risalatnya itu. Maka, beliau usahakanlah dirinya mengarangkan satu kitab yang ringkas, maka dinamainya dengan bahasa Arab, Dawa’ al-Qulub, yang beerti Ubat Hati. Dalam kitab itu, diceritakan peri kemuliannya kepada ibu bapa yang mati anaknya sebelum baligh, dan peri nikmat yang diperolehi ibu bapa kepada Hari Kiamat dan perihal bagaimana besar dosanya bagi ibu bapa yang meratap dan dukacita dan ada pula berlaku dengan berbagai-bagai kelakuan yang menyalahi syarak dan sebagainya. Sesudah kitab itu dikarang, maka dibacakanlah kepada isterinya. Maka dengan pertolongan Allah baharulah ia sukacita serta dilupakannyalah akan percintaan anaknya itu.
Maka pada masa itu, kedengaranlah khabar ke Melaka mengatakan ada di Singapura banyak paderi-paderi orang Amerikan datang hendak belajar bahasa Melayu. Maka hati Abdullah pun tergerak hendak pergi ke Singapura sebab hendak melihat bagaiman rupa orang Amerikan itu seperti Inggeris jugakah? Dalam masa empat lima hari itu juga, beliau belayarlah ke Singapura. Setelah sampai, maka pada suatu hari pergilah Abdullah bertemu dengan paderi-paderi orang Amerikan yang bernama Tuan Tracy. Maka dilihatnya akan Abdullah sekali-kali tiada bersalahan rupanya dan bahasanya dan kulitnya dan adat rumah tangganya dan pakaiannya. Maka pada masa itu, ia tinggal di rumah Paderi Thomsen. Maka Abdullah melihat kelakuannya terlalu lembut lagi dengan baik bahasanya. Paderi Thomsen
memberitahu bahawa ada seorang sahabatnya Tuan North sangat hendak belajar bahasa Melayu. Tidak lama kemudian, datanglah Tuan North ke Singapura. Maka duduklah Abdullah bercakap dengan Tuan North. Maka datanglah isteri Tuan Tracy dan isteri Tuan North, Abdullah melihat rupa mereka seperti rupa perempuan Inggeris. Abdullah mengajar Tuan North dan isterinya serta isteri Tuan Tracy itu pada tiap-tiap hari. Maka paderi Inggeris yang bernama Tuan John Stronach datang ke negeri Singapura. Pada tahun 1839, maka datang pula Tuan Benjamin Peach Keasberry dari negeri Amerikan serta membawa isterinya. Kedatangannya ingin membuat baik iaitu seperti mengajar orang-orang Melayu dan sebagainya. Apabila dilihat oleh Tuan John Stronach akan kelakuan dan usaha dan rajin tabiat Tuan Keasberry itu maka dipintanya supaya Tuan Keasberry itu masuk ke dalam muafakatnya bersama-sama. Maka Tuan Keasberrylah menjadi pengajar Melayu dan Tuan Stronach mengajar bahasa Cina. Maka banyaklah Tuan Keasberry itu membuat kitab-kitab, disalinnya daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu serta mengajar anak-anak orang Melayu sampai sekarang.
Maka sedikit hari lagi, datanglah beberapa orang paderi Amerikan, itu pun diajar oleh Abdullah. Kemudian, datang pula Tuan Thomson dan Tuan Youngblood. Beliau jugalah yang mengajar mereka dengan suruhan Tuan North juga. Kemudian, datang pula Tuan Travelli, maka itu pun Abdullah ajar sampai boleh ia bertutur Melayu dan membaca kitab bahasa Melayu dan menyalin sedikit-sedikit daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu. Tuan North dikehendakinya perkara jalan bahasa Melayu dan bunyi bahasa Melayu dan umpamaan dan ibarat dan missal dan kias yang dipakai oleh orang Melayu. Dan lagi, dihimpunkannya segala kitab-kitab dan hikayat dan syair dan pantun-pantun Melayu. Banyaklah karangannya yang disalinkannya dalam bahasa Melayu daripada ilmu-ilmu orang Eropah dan cerita mengenai kepandaian dan usaha orang Eropah menegenai tabiat alam, bagaimana asalnya telah mendapat ilmu kapal dan kereta serta mengenai orang Eropah menangkap ikan paus dan juga menunjukkan beberapa jalan supaya orang Melayu pun boleh mendapat dan membuat akan segala perkara itu.
Abdullah beberapa kali pulang balik ke Melaka sejak berada dalam pekerjaan Tuan North dan Tuan Travelli hingga sampailah beliau ke Pahang, Terenganu dan juga Kelantan membawa surat daripada Tuan Bonham kepada raja Kelantan dalam dua buah sekoci, sebuah sekoci Tuan Scott yang bernama Maggie Lauder dan sebuah sekoci lagi Tuan Boustead yang bernama Waterwitch. Maka barangsiapa yang ingin mengetahui mengenai kisah pelayarannya itu, sudah dikarangnya hikayat daripada sepeninggalannya dari Singapura sehingga beliau kembali dengan selamatnya. Kitab tersebut bernama Kisah Pelayaran Abdullah. Jika membaca kitab tersebut, nescaya orang boleh mengetahui adat-adat dan peraturan raja-raja Melayu dan bagaimana hal negerinya dan peri kedudukannya mereka itu sekaliannya. Maka, beliau mendapat surat dari negeri Perancis, ada seorang tuan telah menyalin pelayarannya itu ke dalam bahasa Perancis. Maka apabila terdengar oleh isterinya perkataan orang Abdullah ditangkap perompak, ada sesetengah orang berkata sudah mati dalam Perang Kelantan, sekalian duduk dalam kesedihan. Hatta, setelah Abdullah pulang, maka
datanglah sekalian sekampung dan sahabat handai melawat akannya serta bertanyakan khabar perihal pemergiannya. Maka, Abdullah membacakan kepada mereka itu akan hikayatnya belayar itu. Masing-masing berasa hairan mendengar adat-adat, kelakuan, hukuman dan undang-undang raja-raja Melayu yang sangat jauh bezanya jika dibandingkan dengan hukuman dan undang-undang orang putih.
Setelah berada di Melaka selama beberapa hari, maka pulanglah Abdullah ke Singapura. Maka didapatinya Tuan North sudah berpindah ke Kampung Boyan. Maka di situlah Abdullah dan Tuan North membaiki Injil Yahya itu dalam bahasa Melayu. Pekerjaannya pula mengecapkan kitab Sejarah Melayu. Dengan kuasa Allah, pada suatu hari, beliau jatuh sakit iaitu terkena demam kepialu. Hari makin hari, sakitnya bertambah teruk sehinggakan tidak boleh makan dan tidur. Maka, beliau terfikir, jika beliau meninggal dunia biarlah di hadapan anak dan isterinya. Maka, beliau pun meminta izin kepada Tuan North, dan dengan terpaksa Tuan North membenarkan Abdullah untuk pulang ke Melaka. Pada hari itu juga, beliau telah belayar dalam perahu sekoci lalu terkena hujan dan angin maka semakin bertambahlah sakitnya. Setelah sampai, maka Abdullah pengsan dan gemparlah orang di rumahnya. Sebentar itu jugalah, semua orang berkerumun ke arah Abdullah. Beliau menyangkakan beliau sudah meninggal. Disebabkan sakit yang melampau, kadang-kadang beliau tidak ingat. Pada pukul tiga satu malam, beliau meminta dakwat dan kertas. Maka menangislah isterinya yang menyangkakan beliau hendak mati. Maka dengan gementar tangannya, beliau menulis wasiat mengenai hutang-hutang, dua orang anaknya akan menjalankan barang suatu harta bendanya. Setelah itu, surat itu diserahkan kepada isterinya.
Maka, hari pun sianglah, maka beliau merasa badannya terlalu panas, sebab rambutnya yang panjang, dari Singapura sampai ke Melaka tidak dipotong. Maka dengan hal yang demikian, lalu beliau memotong rambutnya itu. Beliau berasa senang sikit tubuhnya. Maka dengan kasihan Allah serta belum ajalnya, akhirnya beliau pun menjadi sihat. Selepas empat bulan, akhirnya tubuh badannya semakin sihat dan bertambah kuat. Maka, pada suatu malam Jumaat isterinya sakit hendak bersalin. Hatta, sampailah kepada pagi hari Jumaat pukul enam setengah, maka lahirlah seorang anak laki-laki tetapi dengan kehendak Allah juga, isterinya telah kembali ke negeri yang baqa’ dengan pahala syahid. Maka pada masa itu tidak dapatlah beliau menggambarkan perasaan dukacitanya seolah-olah seperti kaca terhempas ke batu. Bertambah-tambah dukacitanya setelah melihat anaknya yang baharu itu menangis akibat lapar susu. Maka miskinnya pun baharulah terbuka dan cahaya rumahnya pun hilanglah. Maka, pada pukul tiga petang, dikuburkanlah isterinya dalam Masjid Keling di balik mihrab. Beliau memohon doa kepada Allah semoga menyapukan ingatan dan percintaan yang besar itu. Tetapi sungguhpun luka itu sembuh tetapi parutnya tetap tinggal juga. Sepuluh hari kemudian, tubuh beliau rasa layu, dan fikirannya tiada berketahuan. Maka, beliau bercadang untuk menjualkan segala barang-barang dan perkakas rumah supaya senang untuk membawa pindah anak-anaknya ke Selat. Keesokannya, berkemaslah segala barang-barang. Maka pada suatu hari, beliau melelong segala
barang dalam rumah tersebut, kemudian menjualkan rumah itu dengan harga yang murah sebab beliau tidak boleh memandang rumah tersebut. kemudian, belayarlah Abdullah ke Singapura mencari ikhtiar rumah hendak tinggal. Kemudian, maka adalah seorang sahabatnya memberi tumpangan iaitu di Kampung Melaka. Abdullah pun membuat rumah di situ.
Maka tetaplah pekerjaannya di situ dengan pekerjaan menulis dan mengajar tuan-tuan Inggeris dan Tuan North itu. Maka pada suatu hari, Abdullah pergi mengajar Tuan Keasberry, maka diunjukkannya satu perbuatan hikmat iaitu sekeping tembaga yang dalamnya terdapat gambar atau peta negeri Singapura lengkap tetapi bayangnya itu timbul tenggelam. Beliau berasa kagum dengan ciptaan tersebut lalu bertanyakan perkara tersebut kepada Tuan North. Tuan North memberitahu ada seorang doktor dalam kapal perang Amerikan membawa perkakasnya membuat pekerjaan ini. tetapi tuan itu ada berjanji dengan Tuan North untuk menunjukkan pekerjaan itu pada hari Isnin. Pada hari Isnin tersebut, doktor itu mengajak Abdullah pergi ke atas bukit Tuan Bonham kerana di sanalah ada perkakasnya itu. Maka, berjalanlah Abdullah ke atas bukit. Doktor itu masuk ke dalam bilik dan mengeluarkan satu peti, maka peti itu ada berteropong, cermin teropongnya itu terkeluar sebesar satu duit. Cermin itu pula ada berlapis dua, sebelah dalamnya besar. Adapun cermin besar itu membesarkan barang sesuatu yang kelihatan di hadapnnya. Sebelah peti itu pula boleh dibuka tutup. Maka pergilah pula ia mengambil sekeping tembaga, nipis lagi berkilat. Maka digosoknya tembaga itu dengan satu jenis habu, kemerah-merahan rupa, sehingga tembaga itu menjadi seperti cermin cahaya. Setelah sudah, ada pula suatu bekas yang telah berisi dengan satu jenis habu berwarna hitam, diletakkan tembaga itu ke dalamnya. Setelah sepuluh minit lamanya, maka diangkatnya tembaga itu lalu dimasukkan ke sebelah peti yang ada teropong itu lalu dihadapkannya ke sebelah mana yang hendak diambilnya petanya itu. Maka bayangnya dari tempat itu masuklah ke dalam teropong itu memukul kepada tembaga itu. Setelah itu, maka dikeluarkannya tembaga itu, suatu pun tidak kelihatan. Tembaga itu diambil lalu dibawanya ke tempat teduh dan disapunya dengan satu jenis ubat. Tembaga dimasukkan di atas tempat raksa, maka dibubuhnya pelita di bawah raksa itu. Setelah berapa lama, maka diangkatlah tembaga itu dan kelihatanlah segala peta gambar negeri Singapura melekat di tembaga itu. Pada tahun 1841, Abdullah dipanggil oleh beberapa tuan-tuan Inggeris yang baik-baik dan budiman hendak pergi melihat ada sebuah kapal asap yang terlalu besar baharu sampai yang bernama Sesostris, ia membawa seorang orang besar, panapatensyari namanya, akan pergi menggantikan pekerjaan Kapitan Elliott, kapitan di negeri China. Maka setelah dilihat Abdullah akan rupa kapal itu, maka beliau berasa hairan, sebab melihat hikmat dan kepandaian yang telah dikurniakan Allah kepada manusia, sebab perhatiannya dan usahanya.
Maka tiba-tiba berserulah seorang tuan, katanya, “ Encik karangkan akan segala penglihatan kita tadi dengan bahasa Melayu supaya boleh diketahui oleh orang-orang Melayu.” Maka, kata Abdullah, “Insya-Allah bahawa bolehlah sahaya karangkan.” Maka dengan pertolongan Allah, beliau
mengarang akan segala perkara penglihatan, pendengarannya dan perasaannya dari permulaan sampailah kesudahannya perihal kapal asap itu. Kitab itu telah dicapkan oleh Tuan Alfred North, menjadi satu kitab seibu jari tebalnya. Maka pada suatu hari, Tengku Chi’ yang tersebut Daeng Ganggek dilantik oleh Dato’ Bendahara Pahang dalam negeri Singapura menjadi Temenggung Abdul Rahman iaitu di hadapan Tuan Bonham, Gabenor yang memerintah tiga buah negeri, Singapura, Pulau Pinang dan Melaka.
Bab 24 : Tuan Gabenor Butterworth.
Pada tahun 1843, dua puluh lapan hari bulan August, maka bahawa datanglah Tuan Gabenor Butterworth dan isteri ke Singapura. Dia menjadi pemerintah tiga buah negeri, Singapura, Pulau Pinang dan Melaka. Kedengaran khabar, Tuan Blundell konon hendak menjadi gabenor di Singapura . ia datang ke singapura empat lima hari lamanya, kemudian datang tuan gabenor butterworth pula menjadi gabenor. Tinggallah ia di rumah sewahan San Jose. Suatu hari dipanggilnya aku, katanya hendak belajar bahasa Melayu. Seharian beliau mengajar akan dia. Setelah lamanya, bolehlah dia membaca surat huruf melayu. Tabiat tuan iu terlalu baik bahasanya dan tegur sapanya, dan kulihat tingkah lakunya tuan itu orang yang bijaksana dan berilmu. Tabiat isterinya dan kelakuan serta dengan lemah lembut budi bahasanya serta kepandaiannya. Maka berfikir dalam hatinya bahawa besarlah untungnya orang Singapura ini mendapat raja yang baik dan pandai mengambil hati segala rakyatnya. Tabiatnya yang baik yang dapat beliau katakana itu pertama-tama pandai dia mengambil hati orang dalam negeri, seperti hendak bermain wayang atau tahun baharu disertainya supaya menyukakan hati orang.
Kedua, dia pandai membaiki negeri seperti lorong-lorong dan jalan-jalan dan membaiki perigi pada tiap-tiap simpang supaya dengan segeranya boleh menolong memadam api dalam negerinya. Ketiga, tatkala api besar di Kampung Gelam itu, bersama-sama menarik bomba dan berlumur dengan arang segala pakaiannya, berlari ke sana ke mari, mencari air untuk memadam api. Dia menolong orang-orang dirompak orang dihantarkannya ke Singapura. Maka tuan itu membaiki hatinya dengan memberi wang dan hadiah supaya menyukakan hatinya. Tiada seorang pun segala raja-raja dan gabenor yang datang ke Singapura ini daripada zaman Tuan Raffles sampai ini yang menyucikan laut-laut yang di sebelah sini iaitu dekat-dekat Singapura, Melaka dan Pulau Pinang melainkan Tuan Gabenor Butterworth yang telah membuangkan bala yang amat besar itu. Maka dahulu, di tiga-tiga negeri itu terdapat banyak perompak yang merampas segala harta benda perahu yang singgah di pelabuhan. Tuan Gabenor Butterworth sahaja yang sanggup mendengar ratap tangis dan dukacita orang-orang yang teraniaya. Oleh sebab segala perkara dan tabiatnya yang baik itu, beramah-ramahlah Tuan Gabenor itu dengan Temenggung Seri Maharaja, sampailah bersahabat mereka