Setelah Abdullah kembali semula ke Singapura, beliau telah mendengar khabar yang tidak enak didengar dari istana bahawa sultan Singapura mengasihi seorang peranakan India yang bernama Abdul Kadir bin Ahmad Sahib dan menjadi orang yang paling dipercayai oleh sultan sehinggakan dibawanya Abdul Kadir untuk tinggal sekali di istana. Keadaan ini telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan kaum keluarga dan pembesar-pembesar yang lain. Sultan menyerahkan segala urusan sama ada baik atau buruknya kepada Abdul Kadir. Khabar mengenai Abdul Kadir telah tersebar ke pelosok Singapura dan Melaka sehingga menyebabkan orang-orang sultan ingin membunuh Abdul Kadir. Mereka kemudiannya berpakat untuk mengadukan hal tersebut kepada Tuan
Bonham. Mereka menyuruh sultan mengundurkan Abdul Kadir dari istana. Tuan Borham dan Tuan Wingrove menyampaikan pesanan mereka kepada sultan. Malangnya, Sultan tidak bersetuju untuk dengan pandangan daripada orang-orangnya kerana baginda berpendapat bahawa Abdul Kadir telah banyak membantu dalam membangunkan negeri mereka.
Pada suatu malam, seramai seratus orang termasuklah orang-orang besar bermuafakat untuk menjejaki Abdul Kadir di istana. Perkara tersebut akhirnya diketahui oleh Sultan. Yamtuan berfikir bagaimana untuk melepaskan Abdul Kadir daripada cengkaman mereka. Akhirnya Abdul Kadir disuruh memakai persalinan perempuan. Yamtuan pun turunlah dari istana dengan membawa keris. Apabila terlihatkan Yamtuan dengan kerisnya itu, mereka pun berundur. Sebentar itu jugalah turunnya dua orang perempuan iaitu, Abdul Kadir dan seorang isteri Yamtuan ke dalam kereta lalu lari. Mereka terkeliru dengan identiti Abdul Kadir. Ketika mereka membuat keputusan untuk mengejar Abdul Kadir, kereta itu sudah jauh meninggalkan mereka. Mereka berasa sangat menyesal. Ketika tiba di Singapura, Abdul Kadir pun diberhentikan di sebuah rumah kenalannya. Setelah dua hari menetap di rumah kenalannya, dia pun menumpang dalam tob Baba Hok Guan. Dia masih berpakaian seperti perempuan kerana sudah tersebar berita mengatakan Abdul Kadir sudah lari. Maka, menumpanglah dia dalam tob itu sehinggalah sampai ke Melaka.
Sejak Abdul Kadir itu belayar, Yamtuan belakuan seperti ayam hilang anak. Akhirnya, Sultan Husin Syah pun berangkatlah dari Singapura dengan membawa isterinya serta dua orang putera dan empat orang puteri dalam keci raja Kedah yang bernama Julia. Setelah lima hari di laut, akhirnya sampai juga mereka di Melaka dan bersemayam di Bandar Hilir. Pada masa itu, Abdul Kadir berperanan seperti Yamtuan. Segala keputusan yang dilakukan oleh Sultan semuanya adalah berdasarkan Abdul Kadir. Wang yang diperoleh Yamtuan sebanyak seribu tiga ratus ringgit sebulan, semuanya diambil Abdul Kadir malahan wang yang diberikan tidak mencukupi dan berhutang pula. Emas dan intan yang banyak semuanya digadai oleh Abdul Kadir. Maka pada ketika itu, sesiapa yang ingin bertemu dengan Abdul Kadir adalah seperti mengadap Sultan juga, masing-masing menhyembah dan duduk serta mengadap dia. Dia tidak pernah berjalan melainkan dengan menaiki kereta dan berkuda pada waktu siang dan juga malam. Semasa Sultan datang dari Singapura, baginda membawa bersama sepuluh orang lelaki dan dua puluh orang perempuan. Mereka sungguh tidak berkenan akan sikap Abdul Kadir tersebut.
Pada suatu malam, kira-kira pukul lapan malam, ketika Abdul Kadir ingin menuruni tangga, dia ditikam oleh seorang budak Melayu dengan keris di perutnya hingga ke dadanya. Orang yang menikam itu pun lari melepaskan diri. Ketika Yamtuan mendapatkan Abdul Kadir, dia didapati tidak boleh bercakap. Darah pun membuak-buak keluar seperti orang menyembelih kerbau. Selepas itu, Yamtuan menyuruh orangnya memanggil doktor Inggeris dari Melaka. Doktor tersebut mengatakan luka itu tidak parah tetapi jika tikamannya sampai ke hati boleh membawa maut. Kemudian, doktor
membubuh ubat ke luka tersebut. setelah Abdul Kadir sedar, dia memberitahu bahawa Si Bancul yang telah mencuba untuk membunuh dia. Yamtuan bertanya perihal Si Bancul. Tetapi masing-masing buat-buat tidak tahu. Selang tiga hingga empat hari kemudian, Abdul Kadir sudah sembuh. Yamtuan menghalau semua orang Melayu dari rumahnya kecuali orang gajinya, penjaga kuda dan sebagainya semua orang Keling belaka.
Yamtuan menggelar Abdul Kadir sebagai Tengku Muda Abdul Kadir. Dia akhirnya berpindah masuk ke dalam Melaka di Kampung Holanda dan menyewa di rumah Adrian Minjoor. Yamtuan menikahkan puterinya, Tengku Andak dengan Abdul Kadir. Akan tetapi, Abdul Kadir sudah mempunyai isteri dan ada tujuh orang anak. Khabar ini telah menyebabkan sekalian orang di Melaka berasa hairan. Perkara tersebut perlu dijadikan ingatan dan tauladan kepada kita kerana kudrat Tuhan yang telah dilakukan-Nya adalah berdasarkan kehendaknya. Hairan apabila seorang sultan yang berasal dari turun-temurun, mendapat gaji dalam seribu tiga ratus ringgit sebulan, mempunyai istana, mahligai dan rakyat, sanggup meninggalkannya. Dia membawa diri dari sebuah negeri ke negeri yang lain, maka anaknya pula dibuat bini oleh seorang Keling kebanyakan yang mempunyai isteri dan anak. Dalam undang-undang raja-raja Melayu sekali-kali tiada layak dan bukannya jodoh orang kebanyakan itu dengan darah raja-raja.
Raja-raja Melayu kejamnya bukan sedikit, mereka mengambil anak bini yang disukainya, merasakan membunuh orang seperti membunuh semut sahaja, merompak harta orang dan orangnya pula akan dibunuh, berjudi dan menyabung, meminum madat dan menaruh hamba raja terlalu banyak. Maka segala pekerjaan yang dilakukan bersandarkan hawa nafsu semata-mata dan bukannya berdasarkan hukum Islam dan bukannya dengan ikhtiar dan buah fikiran orang lain. Dan lagi, anak yang dilahirkan pula ada bersikap seperti syaitan dan binatang, sebab tidak diajar oleh ibu bapa perkara yang baik sejak kecil lagi. Maka apabila sudah besar, anak-anak itu akan mengikut sikap ibu bapa mereka. Bagi hamba Allah yang merasai kejahatan itu, mereka hanya berserah kepada Allah. Maka sekianlah terangnya balasan Allah itu ke atasnya. Lihatlah olehmu dalam beberapa hikayat dan sejarah Melayu menyebutkan perihal raja-raja Melayu yang dahulu kala bagaimana kebesarannya dan kekuasaannya dan bijaksananya telah dirampas oleh Allah. Bermula pada zaman Abdullah ini juga telah melihatkan negeri-negeri Melayu itu telah binasa dan telah menjadi hutan tempat gajah dan harimau oleh sebab zalimnya dan aniaya raja-raja dan anak-anak raja.
Contohnya seperti Selangor, Perak, Kedah, Padang, Muar dan Batu Pahat, pada zaman dahulu semuanya kaya dan elok orangnya. Maka sekarang ini semuanya tinggal nama sahaja. Maka sekalian bala dan celaka itu telah datang sebab zalim raja-rajanya dan aniaya anak-anak rajanya. Negeri-negeri tersebut kaya dengan hasil buah-buahan seperti buah manggis, duku, durian dan sebagainya. Beberapa saudagar di Melaka menjadi kaya sebab berniaga dagangan yang keluar dari Padang itu. Maka beberapa ribu ringgit diperoleh oleh negeri itu dalam setahun. Demikianlah kesenangan dan
sentosanya tatkala di zaman Sultan Mahmud menjadi raja dalam Lingga, Riau, Pahang, Padang, Muar dan juga Batu Pahat. Setelah Sultan Mahmud mangkat, singgahlah dua tiga orang anak raja yang mengaku anak raja Padang itu, untuk mengambil hasil daripada empunya harta yang dirampasnya. Empunya harta tersebut tidak berani untuk melawan memandangkan mereka merupakan anak raja. Mereka bertindak kejam dengan mengejar dan merosakkan anak-anak perempuan mereka. Kemudian, datang pula yang lain. Jika barang yang dikehendakinya itu tidak dapat, dibunuh dan dibakarnya rumah sehingga habislah pohon nyiur dan diambilnya umbut.
Begitu juga perihal Abdul Kadir yang telah bergelar Tengku Muda itu. Begitu mudahnya orang kecil menjadi raja. Maka terkelip-keliplah mata orang Melaka melihat cara pemakaian Abdul Kadir itu. Kadang-kadang dia memakai cara Melayu dan anak-anak Yamtuan keduanya dipakaikan cara Keling. Maka adalah Yamtuan itu punya nama sahaja manakala Abdul Kadir punya negeri dalam semua hal. Pada suatu hari, Abdul Kadir menjemput Abdullah ke rumahnya. Setelah sampai di rumahnya, maka disambutnya Abdullah dengan hormat serta duduk bersama-sama. Dia ingin meminta tolong daripada Abdullah untuk membuatkannya cap. Abdullah akhirnya bersetuju dengan permintaan Abdul Kadir. Cap itu perlulah ditulis dengan Al-wathik billah Tengku Muda Abdul Kadir bin al-Sultan Husin Syah. Selepas melihat perkataan cap itu, Abdullah tersenyum sambil memikirkan lain orang yang memperanakkannya, lain pula yang dipanggil bapa. Maka, diperbuatkanlah cap itu oleh tukang emas sebesar seringgit. Namun begitu, Abdul Kadir sangat pandai mengambil hati orang dan memberi hormat akan orang serta menundukkan diri. Maka sebab itulah ramai orang memuji akan dia.
Pada suatu hari, datanglah Tengku Sayid dari Muar ke Melaka sebab bapanya, Temenggung Muar telah mangkat. Maka, Tengku Sayid meminta Yamtuan untuk upacara pelantikan tersebut. Tengku Sayid akhirnya digelar Temenggung Seri Maharaja. Yamtuan pun pindahlah ke hadapan rumahnya, disewanya rumah kepada bini Kraal. Tidak lama kemudian, Sultan pun gering dan selepas lima hingga enam hari kemudian, Sultan pun mangkat. Bermula dari jenazah itu diangkat, di kota pun berlaku upacara menembak, tiap-tiap lima minit sekali hinggalah ke kubur sehingga lima puluh sembilan pucuk mengikut bilangan umur Sultan iaitu lima puluh sembilan tahun. Orang yang membaca talkin di kubur Yamtuan iaitu Khatib Mahmud bin Khatib Musa, iaitu khatib sebelah pihak Keling Islam. Jika ada pekerjaan yang sesuai di rumahnya, khatib itulah dipanggilnya. Maka sungguhpun ada di Melaka khatib Melayu dan masjid Melayu, tetapi tidak pernah Yamtuan pergi sembahyang ke sana. Ada seorang adik Khatib Mahmud yang bernama Haji Abdullah itu lah yang menjadi guru anak-anak Yamtuan.
Setelah dikuburkan itu, maka diperbuatlah adat raja-raja orang duduk mengaji di makamnya serta diperbuatkan sebuah rumah atap di atas makamnya. Tidak berapa lama selepas kematian Yamtuan itu, kedengaran khabar ke Melaka mengatakan Tengku Abdul Jalil, iaitu putera Yamtuan di Pahang dan Tengku Chi’ putera Temenggung di Singapura, dan raja-raja dari Riau hendak datang ke
Melaka mengambil jenazah Yamtuan untuk berpindah ke Riau. Mereka pun mendapatkan Tuan Garling serta menyatakan kehendaknya untuk mengambil jenazah tersebut. tetapi isteri Yamtuan serta anak-anaknya tidak membenarkan kehendak raja-raja itu. Abdul Kadir pula bermusuh dengan mereka. Setelah melihat hasil mereka tidak berhasil, kembalilah mereka ke Selat dan Riau. Isteri Yamtuan dan Abdul Kadir akhirnya berpindah ke Liri berhampiran dengan Tanjung Keling. Abdul Kadir juga mati di sana. Setelah Abdullah selesai menterjemahkan kitab Galila Damina ke dalam bahasa Melayu, beliau pun datang ke Singapura. Kira-kira sebulan kemudian, datang pula Tuan Bosteud membawa satu surat daripada saudagar dari negeri Singapura, segala bangsa empunya muafakat. Maka adalah namanya ialah Perhimpunan Saudagar-saudagar. Muafakat tersebut terdapat sebanyak dua puluh enam fasal banyaknya. Tuan Bostead meminta Abdullah untuk menterjemahkan surat itu ke dalam bahasa Melayu. Ada pula lagi satu muafakat dalam negeri Singapura, akan tetapi saudagar-saudagar orang Cina sahaja. Namanya ialah Keng Tek Kongsi. Seramai tiga puluh enam orang yang menyertai muafakat tersebut. tiap-tiap orang perlu membayar seratus ringgit ke dalam muafakat itu. Mereka juga melantik seorang datuk. Jika seorang ahlinya berada dalam kesusahan maka bolehlah dikeluarkan bunganya. Semakin lama semakin ramai yang menyertai muafakat tersebut. bermula dari itulah, ramai saudagar Cina melibatkan diri dalam bidang perniagaan.