• Tidak ada hasil yang ditemukan

BAB 1 : PENGENALAN

1.6 Hipotesis Kajian

Berdasarkan kepada kajian-kajian yang lepas, aspek teoretikal tentang pemboleh ubah dan kerangka konseptual kajian, hipotesis-hipotesis nol telah dibentuk dan diuji. Hipotesis kajian ini dibahagikan kepada empat bahagian iaitu melihat tahap kecerdasan emosi berdasarkan jantina dan lokasi sekolah, hubungan antara kesan gaya asuhan ibu bapa dengan kemahiran intrapersonal dan interpersonal remaja dan hubungan antara kecerdasan emosi remaja dengan gaya asuhan ibu bapa.

Sintesis daripada kajian literatur menunjukkan bahawa perkembangan yang dilalui oleh remaja sama ada lelaki atau perempuan berbeza-beza. Terdapat remaja yang dapat melalui tempoh kritikal dengan baik dan sebaliknya. Faktor personal seperti jantina, lokasi dan persekitaran tempat tinggal dikenal pasti memberi kesan kepada tahap kecerdasan emosi individu. Antara kajian terdahulu ada yang menunjukkan bahawa kecerdasan emosi mempunyai kaitan dengan jantina (Bar-On, 2000; Baron-Cohen, Tager-Flusberg, & Baron-Cohen, 2007; Cruz, 2004; Goleman, 1999; Harrod & Scheer, 2005; Mayer, 1999; Mayer,Salovey & Caruso, 1999; Petrides & Furnham, 2000; Reiff, Hatzes, Bramel, & Gibbon, 2001; Santesso, Reker, Schmidt, & Segalowitz, 2006; Sutarso, Baggett, Sutarso, & Tapia, 1996). Goleman (1999) mendapati wanita lebih arif tentang emosi diri sendiri, kebolehan berempati dan hubungan sosial. Lelaki pula mempunyai kelebihan dalam keyakinan diri, optimis, mudah menyesuaikan diri dan berupaya mengendalikan tekanan. Kajian Bar-On (2000) pula mendapati meskipun secara keseluruhan tiada perbezaan antara lelaki dan perempuan, namun perempuan didapati lebih peka terhadap emosi dari sudut empati, kebolehan bergaul dan lebih bertanggungjawab sosial daripada lelaki. Sebaliknya lelaki didapati lebih cekap dalam menghargai kendiri, berdikari, menghadapi tekanan, fleksibel, mahir menyelesaikan masalah dan lebih optimis.

Dapatan kajian juga menunjukkan perbezaan lokasi tempat tinggal dan persekitaran di mana individu dibesarkan memberi kesan kepada kecerdasan emosi individu (Harrod & Scheer, 2005; Nasir M. Iqbal, 2007). Kajian Fatimah dan Rosanida Anang (2004) dan Harrod et al. (2005) mendapati tidak terdapat perbezaan antara pelajar yang tinggal di bandar dan luar bandar dalam tahap kecerdasan emosi manakala kajian Nasir M. Iqbal (2007) membuktikan bahawa persekitaran tempat tinggal memberi kesan dan mempengaruhi tahap kecerdasan emosi. Berdasarkan pendapat yang

berbeza mengenai kecerdasan emosi mengikut jantina dan lokasi maka diandaikan bahawa tahap kecerdasan emosi remaja tidak berbeza dari segi jantina dan lokasi sekolah. Maka dua hipotesis telah dibentuk (hipotesis Ho1 dan Ho2) seperti berikut:

Ho1 : Tiada perbezaan yang signifikan dalam kecerdasan emosi antara remaja lelaki dan remaja perempuan.

Ho2 : Tiada perbezaan yang signifikan dalam kecerdasan emosi remaja antara sekolah di bandar dan sekolah di luar bandar.

Kajian terdahulu menunjukkan gaya asuhan ibu bapa yang diamalkan dalam mendidik anak-anak akan memberi kesan mempengaruhi kemahiran intrapersonal dan kemahiran interpersonal remaja (Alegre & Benson, 2004; Mayer & Salovey, 1997). Pendapat ini juga disokong oleh Cummings dan Davies (1995) yang mengandaikan bahawa amalan gaya asuhan ibu bapa yang sedia diamalkan sejak dahulu (yang dilakukan oleh ibu bapa sewaktu anak-anak mereka masih kecil) dan sokongan serta kawalan yang positif akan mempengaruhi tingkah laku remaja. Justeru, Ho3, Ho4 dan Ho5 dibentuk untuk melihat sama ada wujud hubungan antara kesan gaya asuhan ibu bapa (autoritarian, autoritatif dan permisif) dengan kemahiran intrapersonal (penghargaan kendiri dan kawalan kendiri remaja) seperti berikut:

Ho3: Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara kesan gaya asuhan ibu bapa jenis autoritarian dengan kemahiran penghargaan kendiri dan kawalan kendiri remaja.

Ho4: Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara kesan gaya asuhan ibu bapa jenis autoritatif dengan kemahiran penghargaan kendiri dan kawalan kendiri remaja.

Ho5: Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara kesan gaya asuhan ibu bapa jenis permisif dengan kemahiran penghargaan kendiri dan kawalan kendiri remaja.

Dapatan kajian sebelumnya menjadi bukti bahawa gaya asuhan ibu bapa dan pertautan emosi yang positif antara remaja dan ibu bapa memberi kesan kepada kemahiran interpersonal remaja (Alegre & Benson, 2004; Martinez-Pons, 1999). Emosi yang selamat akan mempengaruhi remaja membuat penyesuaian (Cummings & Davies, 1995). Individu yang memiliki emosi yang positif akan mendorong kepada perkembangan kognitif dan sosial yang positif (Goleman,1995; Mayer & Salovey, 1997). Mayer dan Salovey (1997) dan Algere dan Benson (2004) bersependapat mengatakan bahawa amalan gaya asuhan ibu bapa akan mempengaruhi kemahiran intrapersonal dan kemahiran interpersonal remaja. Setiap gaya asuhan mempunyai pendekatan yang berbeza-beza dan akan mempengaruhi kemahiran interpersonal remaja pada kadar yang berbeza. Cara gaya asuhan ibu bapa boleh memberi kesan yang positif atau negatif kepada perkembanagan remaja antaranya kesejahteraan psikologi, penghargaan kendiri, hubungan interpersonal, membuat penyesuaian dan penilaian kendiri (Santrock, 2008). Justeru, Ho6, Ho7 dan Ho8 ini dibentuk untuk menguji sama ada terdapat hubungan yang signifikan antara kesan gaya asuhan ibu bapa (autoritarian, autoritatif dan permisif) dengan kemahiran interpersonal remaja (tanggungjawab sosial, kemahiran membuat penyesuaian dan kemahiran berkomunikasi) seperti berikut:

Ho6: Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara kesan gaya asuhan ibu bapa jenis autoritarian dengan kemahiran tanggungjawab sosial, kemahiran membuat penyesuaian dan kemahiran berkomunikasi remaja.

Ho7: Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara kesan gaya asuhan ibu bapa jenis autoritatif dengan kemahiran tanggungjawab sosial, kemahiran membuat penyesuaian dan kemahiran berkomunikasi remaja.

Ho8: Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara kesan gaya asuhan ibu bapa jenis permisif dengan kemahiran tanggungjawab sosial, kemahiran membuat penyesuaian dan kemahiran berkomunikasi remaja.

Kajian yang melihat kecerdasan emosi dan hubungannya dengan gaya asuhan ibu bapa dalam kalangan remaja sekolah agak terhad khususnya di Malaysia. Kajian menunjukkan gaya asuhan ibu bapa yang positif, latihan dan pemberian ganjaran terhadap tingkah laku yang berkaitan dengan kecerdasan emosi ada kaitannya dengan kecerdasan emosi yang tinggi (Bennett, Bendersky, & Lewis, 2005; Dunn & Brown, 1994; Gottman et al., 1997; Liau, Liau, Teoh, & Liau, 2003; Perlman, Camras, & Pelphrey, 2008; Martinez-Pons, 1999; Morris et al., 2007).

Gaya asuhan autoritarian mencirikan sikap ibu bapa yang tinggi permintaan tetapi rendah kebertanggungjawaban. Ibu bapa meletakkan jangkaan yang tinggi terhadap anak-anak dengan mempraktikkan pendekatan kawalan, hukuman dan peraturan ketat yang tidak membenarkan anak-anak mempersoalkannya. Bagi mengenal pasti sama ada wujudnya hubungan yang signifikan antara kecerdasan emosi dengan gaya asuhan autoritarian, Ho9, Ho10, Ho11 dan Ho12 dibentuk untuk melihat sama ada wujud hubungan yang signifikan antara kecerdasan emosi dengan gaya asuhan ibu bapa autoritarian seperti berikut:

Ho9: Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara kesedaran kendiri remaja dengan gaya asuhan autoritarian.

Ho10: Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara kemahiran sosial remaja dengan gaya asuhan autoritarian.

Ho11: Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara pengurusan emosi remajadengan gaya asuhan autoritarian.

Ho12: Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara empati remaja dengan gaya asuhan autoritarian.

Gaya autoritatif mencirikan ibu bapa yang tinggi permintaan dan tinggi kebertanggungjawaban. Ibu bapa mengamalkan ketegasan yang diimbangi dengan kesediaan mendengar pandangan anak-anak, bertoleransi, setiakawan, membantu serta mendidik secara mengambil bahagian dan penglibatan. Oleh itu, Ho13, Ho14, Ho15 dan Ho16 dibentuk untuk melihat sama ada wujud hubungan yang signifikan antara kecerdasan emosi dengan gaya asuhan ibu bapa autoritatif seperti berikut:

Ho13: Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara kesedaran kendiri remaja dengan gaya asuhan autoritatif.

Ho14: Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara kemahiran sosial remaja dengan gaya asuhan autoritatif.

Ho15: Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara pengurusan emosi remaja dengan gaya asuhan autoritatif.

Ho16: Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara empati remaja dengan gaya asuhan autoritatif.

Ibu bapa permisif dicirikan oleh sikap tinggi kebertanggungjawaban tetapi rendah permintaan. Ibu bapa terlalu berlemah lembut, memenuhi kehendak anak-anak dan menganggap anak-anak sebagai individu yang matang serta boleh menentukan diri

sendiri. Ibu bapa tidak menentukan peraturan, kawalan atau tekanan mengenai tingkah laku yang baik. Oleh itu, Ho17, Ho18, Ho19, dan Ho20 telah dibentuk untuk mengenal pasti sama ada wujud hubungan yang signifikan antara kecerdasan emosi dengan gaya asuhan ibu bapa permisif seperti berikut:

Ho17: Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara kesedaran kendiri remaja sekolah dengan gaya asuhan permisif.

Ho18: Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara kemahiran sosial remaja dengan gaya asuhan permisif.

Ho19: Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara pengurusan emosi remajadengan gaya asuhan permisif.

Ho20: Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara empati remaja dengan gaya asuhan permisif.