• Tidak ada hasil yang ditemukan

TEORI, KONSEP DAN PENDEKATAN

2.13 Keperluan Kasih Sayang dan Cinta

2.13.3 Kasih Sayang dan Cinta terhadap Alam Sekitar

Seterusnya bahagian yang ketiga ialah, kasih sayang dan cinta terhadap alam sekitar. Sebagaimana yang diketahui umum, manusia dan alam sekitar tidak boleh dipisahkan. Kehidupan seharian manusia terlibat secara langsung dengan alam sekitar. Malah alam sekitar, seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan memberi aspirasi kepada manusia untuk memahami kehidupan dengan lebih mendalam (Wan Abdul Kadir Wan Yusoff, 1993: 23).

Kasih sayang dan cinta terhadap alam sekitar dapat difahami sebagai kasih sayang terhadap binatang (fauna) dan tumbuh-tumbuhan (flora). Kasih sayang terhadap haiwan meliputi haiwan peliharaan seperti kucing, ikan dan haiwan liar seperti gajah, beruang, harimau. Manusia tidak digalakkan merosakkan dan memusnahkan alam sekitar seperti menebang pokok sesuka hati, membakar di kawasan terbuka, mencemarkan sungai, membunuh dan menangkap haiwan sesuka hati dan lain-lain. Allah telah menyerahkan alam sekitar ini kepada manusia, maka baik dan buruknya tergantung kepada manusia, sama ada boleh atau tidak memanfaatkan dan menanganinya (Amina Noor, 2008: 115). Firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 56 dan 58 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi setelah (Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat bagi orang yang berbuat baik.”

“Dan tanah yang baik, tanam-tanamannya tumbuh subur dengan izin Allah. Dan tanah yang tidak subur, tanam-tanamannya hanya tumbuh merana. Demikianlah kami mengulangi tanda-tanda kebesaran (Kami) bagi orang yang bersyukur.”

Salah satu bukti yang nyata telah ditunjukkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya seperti di atas, iaitu manusia yang baik ialah manusia yang tidak merosakkan muka bumi dalam segala bentuk dan tujuannya (Amina Noor, 2008: 116).

Perbuatan manusia seperti menikmati dan mensyukuri pemandangan hutan belantara, bukit bukau, dedaun yang menghijau, menikmati udara pagi yang segar, pemandangan matahari terbenam serta menikmati pemandangan pantai juga merupakan antara perbuatan yang menunjukkan kasih sayang dan cinta manusia terhadap alam sekitar di sekelilingnya. Perbuatan sebegini menunjukkan bahawa manusia tersebut tahu cara untuk menikmati serta mensyukuri segala yang telah dikurniakan oleh Allah SWT.

Kesimpulannya, alam sekitar yang ada di sekeliling kita ini telah dianugerahkan dan diamanahkan oleh Allah SWT kepada makhluknya (manusia). Justeru itu, menjadi tugas yang penting bagi sekalian manusia untuk memelihara, dan mencintai alam sekitar dengan penuh tanggungjawab kerana alam sekitar tidak sepatutnya dikorbankan dalam arus pemodenan dan pembangunan sesebuah negara. Rajah 2.14 menunjukkan kasih sayang dan cinta yang telah diubahsuai berdasarkan Teori Hierarki Keperluan Manusia. Pengkaji telah membahagikan peringkat keperluan ini kepada tiga bahagian utama, iaitu i) kasih sayang dan cinta terhadap Pencipta (Allah SWT), ii) kasih sayang dan cinta sesama manusia dan iii) kasih sayang dan cinta terhadap alam sekitar. Ketiga-tiga bahagian yang terdapat dalam keperluan kasih sayang dan cinta ini akan digunakan oleh pengkaji untuk menganalisis novel remaja yang telah dipilih.

Rajah 2.14: Keperluan Kasih Sayang dan Cinta yang telah Diubahsuai dari Teori Hierarki Keperluan Manusia Abraham H. Maslow

2.14 Keperluan Penghargaan Kendiri

Peringkat keempat dalam Pendekatan Hierarki Keperluan remaja ialah peringkat penghargaan kendiri. Pada peringkat ini tidak banyak perubahan yang telah dilakukan kerana peringkat penghargaan kendiri yang dikemukakan oleh Abraham H. Maslow dalam Teori Hierarki Keperluan Manusianya sememangnya ideal dan menepati dengan nilai-nilai setempat masyarakat Melayu mahupun segala bangsa yang terdapat di dunia. Menurut Abraham H. Maslow, terdapat dua bentuk penghargaan kendiri yang dicari oleh manusia, iaitu keperluan penghargaan kendiri yang tinggi, iaitu manusia itu sendiri tahu menilai dan menghargai dirinya serta menghormati diri sendiri seperti berasa yakin, cekap, berdikari dan bebas (Abraham H. Maslow, 1970: 46).

Penghargaan kendiri bentuk yang pertama dikatakan oleh Abraham H. Maslow ini sebenarnya mempunyai kaitan yang amat rapat dengan konsep kendiri seseorang

atau harga diri seseorang. Konsep kendiri membawa maksud suatu gambaran atau pandangan tentang diri sendiri. Gambaran ini disebut konsep kendiri atau imej diri. Ia merangkumi gambaran tentang rupa, kesihatan, kebolehan, kelemahan dan tingkah laku kita (Ee Ah Meng, 1993: 179). Konsep kendiri ini atau imej diri ini boleh dibahagikan kepada dua bentuk yang utama, iaitu konsep kendiri berbentuk positif (penghargaan kendiri yang tinggi) dan konsep kendiri berbentuk negatif (penghargaan kendiri yang rendah).

Individu yang mempunyai konsep kendiri yang positif kebiasaannya lebih cekap, bijak, berkebolehan, bersikap optimistik dapat menghadapi masalah dan cabaran dengan tabah, memikul tanggungjawab, menahan perasaan kekecewaan dengan baik, berasa bangga dengan perlakuan sendiri, lebih bersedia menerima risiko, menerima diri dengan lebih positif, dan menghargai diri sendiri serta menyedari kekuatan dan kelemahan diri, bersikap lebih terbuka, mudah berinteraksi dengan orang lain, senang dihampiri, pandai menjaga maruah, nama baik dan harga diri (Ee Ah Meng, 1993: 179).

Manakala individu yang mempunyai konsep kendiri yang negatif (rendah) lazimnya mudah berasa tidak puas hati, tidak gembira, cepat tersinggung dan merajuk, takut kepada kegagalan, tidak gemar kerja yang mencabar, kurang keyakinan diri, sering berasa bimbang, melihat diri sebagai orang yang kurang menarik dari segi personaliti, mudah rasa kecewa, sering menyalahkan orang lain kerana kesalahan diri, mengelak situasi sukar dan mudah mengikut orang lain (Ee Ah Meng, 1993: 179-180).

Kajian-kajian lepas membuktikan bahawa tahap konsep kendiri seseorang individu akan mempengaruhi tingkah laku mereka. Misalnya, jika seseorang remaja itu mempunyai konsep kendiri yang rendah, maka sudah tentulah ia akan membawa kepada benci-kendiri dan ini kemudiannya membawa kepada tingkah laku memencilkan diri atau agresif. Selain itu juga remaja yang mempunyai konsep kendiri

yang rendah lebih cenderung akur kepada tekanan-tekanan sosial berbanding remaja yang berkonsep kendiri yang tinggi (Jas Laile Suzana Jaafar, 2002: 213).

Manakala bentuk penghargaan kendiri yang kedua menurut Abraham H. Maslow adalah merujuk kepada sikap menghormati orang lain, dan apabila individu tersebut mendapati orang lain melahirkan rasa hormat kepadanya. Rasa hormat ini hadir dalam bentuk pengiktirafan, status, pemasyhuran, penghargaan, perhatian, kepentingan, maruah, dan. kekuasaan (Abraham H. Maslow, 1970: 45).

Setiap manusia normal di dunia ini menginginkan rasa dihargai oleh orang lain. Ia adalah suatu perasaan yang mana kehadiran kita atau perbuatan kita dihargai orang lain. Bentuk penghargaan pula adalah dalam pelbagai bentuk. Ada dalam bentuk kata-kata, ada juga pemberian dalam bentuk barangan, pengiktirafan, dan ada juga dalam bentuk layanan yang baik. Bagi manusia yang telah mendapat penghargaan bentuk kedua ini, mereka akan rasa lebih berkeyakinan dengan tahap kemampuan diri sendiri. Contohnya, seorang pekerja yang dedikasi menerima anugerah khidmat cemerlang di tempat beliau bekerja. Dengan penganugerahan ini, pekerja tersebut akan lebih bermotivasi dan rasa terdorong untuk meningkatkan prestasi kerja beliau. Secara keseluruhannya, peringkat penghargaan kendiri ini akan dianalisis sepenuhnya berdasarkan penerangan Abraham H. Maslow terhadap peringkat ini yang terdapat dalam teori keperluannya.

Rajah 2.15 menunjukkan peringkat keperluan penghargaan kendiri yang terdapat dalam Pendekatan Hierarki Keperluan Remaja berdasarkan Teori Hierarki Keperluan Manusia oleh Abraham H. Maslow:

Rajah 2.15: Keperluan Penghargaan Kendiri yang terdapat dalam Pendekatan Hierarki Keperluan Remaja berdasarkan Teori Hierarki Keperluan Manusia

Abraham H. Maslow.

2.15 Keperluan Penyempurnaan Kendiri

Keperluan kesempurnaan kendiri merupakan peringkat yang paling tinggi sekali untuk dipenuhi oleh seseorang individu. Individu pada peringkat ini menyedari akan potensi yang ada pada diri sendiri dan dapat menimbulkan keinginan untuk menjadi individu yang sempurna dalam semua aspek. Manusia yang sering berusaha ke arah kesempurnaan hidupnya akan memiliki personaliti yang baik berbanding dengan manusia yang tidak melakukan apa-apa perubahan terhadap dirinya. Pada peringkat penyempurnaan kendiri ini, pengkaji tidak ada menambah atau mengubahsuai peringkat ini. Pengkaji hanya menggunakan sepenuhnya pemahaman dan kenyataan Abraham H. Maslow mengenai peringkat penyempurnaan kendiri ini.

Menurut Abraham H. Maslow (1970: 46) penyempurnaan kendiri atau penghakikian kendiri, manusia sudah mencapai kepuasan tertinggi dalam hidupnya dalam bidang yang diterokai dan dia dapat menguasai bidang tersebut secara menyeluruh dan dengan sebaik-baiknya. Namun begitu, keperluan penyempurnaan kendiri yang ditakrifkan oleh Abraham H. Maslow dalam teorinya ini tidak sesuai untuk diguna pakai untuk golongan remaja. Abraham H. Maslow sendiri ada mengatakan bahawa golongan remaja agak sukar untuk mencapai tahap penyempurnaan kendiri ini. Hal ini disebabkan beberapa perkara. Antaranya adalah kerana golongan muda ini masih dalam proses mencari identiti diri dan masih belum cukup pengalaman hidup. (Abraham H. Maslow, 1970: xx).

Manakala Rogers dalam artikel

Roslee Ahmad, Mohamed Sharif Mustaffa dan Sulaiman Shakib Mohd Noor (2003:8), manusia yang sihat mentalnya adalah manusia yang cenderung ke arah penyempurnaan kendiri dan dapat berkembang dengan baik serta dapat menerima sesuatu yang positif untuk diri mereka ke arah matlamat penyempurnaan kendiri.

Justeru itu, pengkaji akan menganalisis enam buah novel remaja yang telah dipilih dengan menggunakan peringkat penyempurnaan kendiri yang terdapat dalam Pendekatan Hierarki Keperluan Remaja ini. Peringkat penyempurnaan kendiri ini juga tidak mengalami sebarang perubahan dan pengubahsuaian. Pengkaji akan mengikut takrifan yang telah dikemukakan oleh Abraham H. Maslow tentang peringkat penyempurnaan kendiri ini yang terdapat dalam teorinya.

2.16 Rumusan

Berdasarkan huraian tentang tujuh peringkat keperluan yang terdapat dalam Teori Hierarki Keperluan Manusia (Abraham H. Maslow) seperti di atas, kajian yang akan

dilakukan ini hanya akan menganalisis serta menggunakan lima peringkat hierarki keperluan manusia yang utama sahaja yang terdapat dalam teori ini. Namun begitu, kelima-lima peringkat yang terdapat dalam Teori Hierarki keperluan Manusia ini sebahagiannya telah diubahsuai mengikut kesesuaian Pendekatan Hierarki keperluan Remaja. Penambahan dan pengubahsuaian telah berlaku dari segi prinsip yang dikemukakan Abraham H. Maslow pada peringkat fisiologi, peringkat keselamatan, peringkat kasih sayang dan keinginan dimiliki (dalam Pendekatan Hierarki Keperluan Remaja lebih dikenali sebagai peringkat kasih sayang dan cinta). Manakala dua lagi peringkat yang terdapat dalam Teori Hierarki Keperluan Manusia, iaitu keperluan penghargaan kendiri dan keperluan penyempurnaan kendiri tidak mengalami sebarang pengubahsuaian.

Pemilihan lima peringkat keperluan yang utama ini kerana didapati bersesuaian dan memadai dengan tahap dan peringkat usia remaja (watak-watak utama yang diketengahkan) yang kebanyakannya masih dalam proses untuk mencapai matlamat dan visi dalam kehidupan mereka. Bersesuai dengan pendapat Abraham H. Maslow yang mengatakan bahawa golongan muda dan remaja sukar untuk mencapai tahap penyempurnaan kendiri kerana mereka masih lagi dalam proses mencari identiti diri serta masih belum cukup pengalaman dalam kehidupan (Abraham H. Maslow,1970: xx).

Berdasarkan pandangan Abraham H. Maslow tersebut, tidak salah jika dinyatakan bahawa golongan remaja ini pasti sukar untuk mencapai peringkat enam dan tujuh, iaitu keperluan mengetahui/maklumat dan keperluan estetik yang terdapat dalam teori hierarki keperluan ini.

Peringkat-peringkat yang terdapat dalam Kerangka Pendekatan Hierarki Keperluan Remaja akan dibincangkan pada bab yang seterusnya, iaitu bab 3

membincangkan tentang keperluan fisiologi, bab 4 menghuraikan tentang keperluan keselamatan manakala bab 5 akan membincangkan peringkat keperluan kasih sayang dan cinta, bab 6 tentang peringkat penghargaan kendiri dan peringkat penyempurnaan kendiri manakala bab akhir sekali, iaitu bab 7 merupakan bab kesimpulan.

BAB 3