• Tidak ada hasil yang ditemukan

TEORI, KONSEP DAN PENDEKATAN

2.3 Pandangan Abraham H. Maslow terhadap Teori Motivasi

Sebelum pengkaji menghuraikan tentang Teori Hierarki Keperluan Manusia, Abraham H. Maslow dalam buku yang terkenal beliau, iaitu Motivation and Personality, 1954, terbitan Harper and Row Publishers, telah memaparkan terlebih dahulu beberapa pandangan dan pendapat beliau terhadap perkara yang harus diberikan perhatian sebelum seseorang itu menyusun atau mencipta sebuah teori motivasi. Abraham H. Maslow mengakui sendiri bahawa sejumlah usul atau pandangannya telah dapat diterima dan mempunyai persamaan dengan pandangan khalayak masyarakat. Namun begitu, terdapat juga beberapa pandangan dan pendapat ini yang kurang diterima khalayak dan boleh diperdebatkan lagi. Berikut merupakan beberapa pandangan awal Abraham H. Maslow mengenai teori motivasi (Abraham H. Maslow, 1970: 19-33):

(a) Individu dilihat sebagai kesatuan yang bersepadu: Abraham H. Maslow menekankan bahawa individu merupakan kesatuan yang terpadu dan berorganisasi. Namun begitu, ia sering kali dilupakan dan diabaikan ketika seseorang itu melakukan kajian, penelitian dan eksperimen. Oleh hal yang

demikian, amat penting sekali menyedarkan serta memperingatkan seseorang itu sebelum mereka melakukan kajian atau mencipta sebuah teori motivasi. Antara contoh yang diberikan oleh Abraham H. Maslow adalah keperluan untuk mendapatkan makanan bukanlah untuk perut semata-mata. Malah ia untuk keperluan keseluruhan individu sebagai satu kesatuan. Dengan kata lain, makanan akan memuaskan rasa lapar, dan bukan rasa lapar perut seseorang (Abraham H. Maslow, 1970: 19)

(b) Cara dan tujuan: Apabila diteliti dan diperhatikan dalam pengalaman seharian manusia, amat penting untuk manusia menyedari bahawa terdapat perbezaan antara cara dan tujuan. Keperluan-keperluan biasanya merupakan cara atau sarana bagi mencapai sesuatu tujuan. Contohnya, apabila seseorang individu menginginkan wang agar dapat membeli sebuah kereta. Namun, setelah dirisik perkara yang sebenar, rupanya individu tersebut menginginkan sebuah kereta kerana jiran sekelilingnya kesemuanya memiliki kereta dan individu ini tidak mahu merasa kurang daripada jiran-jirannya. Hal ini telah melibatkan persoalan harga diri serta keperluan untuk dihormati. Perkara utamanya di sini ialah manusia perlu memahami tujuan atau niat seseorang itu ketika menginginkan sesuatu. Tujuan-tujuan sebenarnya lebih bersifat universal berbanding cara-cara yang perlu dilakukan oleh individu untuk mencapai sesuatu. Disebabkan faktor budaya, seseorang itu juga boleh mempunyai tujuan yang sama, misalnya harga diri yang akan dicapai oleh individu apabila mereka menyertai pasukan tentera negara, mahupun menjadi seorang doktor. Disebabkan oleh perbezaan tingkah laku individu ketika keperluan tersebut tercapai, khalayak sering kali membuat perbezaan atas tujuan yang mempunyai maksud yang sama. Meskipun manusia dilahirkan dengan pelbagai ragam budaya, tetapi sebenarnya manusia mempunyai banyak persamaan (Abraham H. Maslow, 1970: 21-22).

(c) Kepelbagaian motivasi (keinginan): Seorang manusia berkemungkinan boleh menjelaskan motivasi (keinginan) tertentu yang mendasari perlakuan atau tingkah laku mereka. Namun, terdapat kepelbagaian keinginan lain yang barangkali tidak disedari dan diambil kira oleh seseorang itu. Suatu perkara yang diingini sebenarnya sekali gus dapat menggambarkan bermacam-macam keinginan yang berbeza-beza. Teori motivasi yang baik sebenarnya tidak boleh mengabaikan aspek alam bawah sedar manusia. Jika seseorang itu melihat sesuatu motivasi (keinginan) secara lahiriah sahaja tanpa mengkaji kemungkinan keinginan atau motivasi bawah sedar manusia, ini bererti seseorang itu telah menidakkan kemungkinan untuk memahami keseluruhan kelakuan dan tingkah laku seseorang individu (Abraham H. Maslow, 1970: 23).

(d) Lingkungan persekitaran: Merupakan aspek yang tidak boleh dilupakan oleh manusia. Setiap teori motivasi dengan sendirinya akan mengambil kira serta seharusnya mempertimbangkan tentang fakta pengaruh lingkungan persekitaran dalam kehidupan manusia (Abraham H. Maslow, 1970: 23-24).

(e) Perhubungan motivasi: Manusia merupakan makhluk atau organisma yang mempunyai keinginan dan tidak pernah puas, kecuali untuk waktu yang singkat. Apabila sesuatu keinginan telah berjaya dipenuhi, maka dengan sendirinya akan timbul keinginan yang lain bagi menggantikan keinginan sebelum ini. Jika keinginan ini pun berjaya dipenuhi, akan menyusul pula keinginan yang lain dan begitulah seterusnya. Hal ini menuntut manusia untuk mengkaji perhubungan atau perkaitan semua motivasi antara satu sama lain (Abraham H. Maslow, 1970: 24-30).

(f) Kemungkinan mengenai hasil: Sebagaimana Dewey dan Thorndike, Abraham H. Maslow turut menekankan aspek motivasi yang sering diabaikan oleh kebanyakan ahli bidang psikologi, iaitu kemungkinan. Umumnya, secara sedar manusia mendambakan apa sahaja yang ada dalam fikirannya tercapai dengan jayanya. Apabila seseorang itu berjaya mencapai apa yang diingininya, maka dia akan mengingati kembali saat-saat dia mengimpikan perkara tersebut. Kebanyakan manusia mempunyai keinginan untuk memiliki kereta dan rumah. Perkara ini merupakan lumrah dalam kehidupan manusia serta ia bersifat realistik. Seseorang individu berkemungkinan tidak akan mendambakan kapal terbang atau kapal layar kerana keinginan-keinginan itu di luar kemampuan mereka. Faktor kemungkinan untuk mencapai hasil ini penting untuk dikaji dalam usaha memahami perbezaan motivasi di antara pelbagai kelas atau status dalam masyarakat atau antara masyarakat serta individu dari negara dan budaya yang berbeza (Abraham H. Maslow, 1970: 31-33).

(g) Ilmu mengenai motivasi: Abraham H. Maslow membidas dan mengkritik mazhab psikologi sebelum ini mengenai sampel kajian mereka. Menurut Abraham H. Maslow, sebahagian besar ahli psikologi mendapatkan data mereka daripada pesakit-pesakit yang menjalani rawatan psikoterapi. Sampel kajian ini merupakan satu yang boleh mendatangkan kekeliruan kepada masyarakat. Hal ini disebabkan oleh sampel yang dikaji terdiri daripada manusia yang bersifat kurang baik dari suatu populasi. Sepatutnya, sampel kajian perlulah terdiri daripada kalangan manusia yang sihat. Oleh hal yang demikian, Abraham H. Maslow telah membuat kajian tentang motivasi menggunakan sampel manusia yang berjaya dan ternama dalam sejarah (Abraham H. Maslow, 1970: 33).

Justeru, berdasarkan pandangan dan pendapat Abraham H. Maslow berkaitan teori motivasi ini, maka dapatlah disimpulkan bahawa Abraham H. Maslow sememangnya menekankan ketujuh-tujuh perkara ini apabila beliau mencipta teori motivasi beliau sendiri, iaitu Teori Hierarki Keperluan Manusia yang menekankan bahawa setiap manusia mempunyai matlamat dan keinginan untuk berjaya serta mencapai sesuatu dalam kehidupan.