ANALISIS KEPERLUAN FISIOLOGI
3.1 Peringkat Keperluan Fisiologi / Keperluan Asas
3.1.1 Keperluan Mendapatkan Makanan dan Minuman yang Mencukupi dan Halal
Makanan dan minuman merupakan bahan asas yang amat penting di dalam kehidupan seharian setiap individu. Makanan dan minuman ini adalah suatu keperluan yang tidak boleh diabaikan kerana kesihatan dan kekuatan seseorang manusia itu sebahagian besarnya bergantung pada makanan dan minuman yang diambil. Oleh yang demikian, setiap manusia seharusnya mendapatkan makanan dan minuman yang sihat, berkhasiat mengandungi nutrien yang baik, kalsium yang tinggi serta boleh mendatangkan kesan yang baik terhadap anggota tubuh badan.
Selain itu juga, jika seseorang itu merupakan seorang Muslim (beragama Islam), maka makanan dan minuman yang perlu diambil oleh mereka mestilah terdiri daripada makanan dan minuman yang baik dan halal sifatnya. Makanan dan minuman yang baik dan halal ialah makanan dan minuman yang mendapat keredaan Allah SWT serta ia boleh mendatangkan kebaikan sama ada dari segi rohani dan jasmani. Islam menggalakkan manusia mengambil makanan dan minuman yang halal bagi menjamin kesihatan tubuh badan. Makanan dan minuman yang halal ini akan mendatangkan kecergasan pada akal dan fikiran.
Novel pertama yang akan dikupas berkaitan dengan keperluan untuk mendapatkan makanan dan minuman yang baik, mencukupi serta halal ialah novel Azfa
Hanani (AH). Novel ini dinamakan sempena nama watak utama yang memainkan
peranan penting dari awal hinggalah akhir cerita. Novel ini berlatarkan kehidupan di desa dan di kota, watak utama yang diketengahkan ialah Azfa Hanani binti Zainal Ariff atau lebih dikenali sebagai Nani di kalangan keluarga dan kawan-kawannya. Penulis novel ini, iaitu Halis Azhan Mohd Hanafiah telah mencipta watak seorang remaja perempuan yang berusia 17 tahun (tingkatan lima) dan masih bersekolah di Sekolah Menengah Sri Dian. Namun begitu tidak lama kemudian, Nani telah berpindah ke Sekolah Menengah Taman Sari setelah berlaku peristiwa beliau diambil sebagai anak angkat oleh keluarga hartawan yang kematian anak perempuan tunggal mereka.
Nani merupakan anak tunggal yang telah kematian kedua-dua ibu bapanya akibat kemalangan jalan raya. Oleh hal yang demikian, Nani telah dijaga dan tinggal bersama keluarga pakciknya, iaitu Pak Long dan Mak Longnya serta bersama-sama dengan empat orang sepupunya (anak-anak Pak Long dan Mak Long). Dalam novel ini digambarkan bahawa kehidupan Nani bersama keluarga Pak Longnya amat daif serta diselubungi kemiskinan. Mereka sekeluarga membesar dan menjalani kehidupan dalam keadaan serba kekurangan. Berikut adalah petikan dalam novel tersebut:
Aku bukan tidak pernah berusaha mahu memiliki sendiri buku-buku itu. Namun, setiap kali sedikit wang kupinta, Pak Long akan berkata, dia tidak mampu menyediakannya. Dia bekerja sebagai penoreh getah, berapa sen sangatlah wang yang masuk ke kantung setiap hari.
(Azfa Hanani, 1995: 10)
Wang biasiswa memang ada dan kugunakannya untuk langganan bas dan yuran sekolah. Wang saku sendiri telah cuba kujimatkan tetapi pada setiap hujung bulan, tidak ada baki yang tertinggal. Entahlah. Aku sendiri tidak tahu bagaimana lagi masalah ini dapat kuatasi.
(Azfa Hanani, 1995: 10)
Aku gadis kampung, dibesarkan dalam keadaan yang serba serbi kolot dan kekurangan…
(Azfa Hanani, 1995: 23)
Aku dibesarkan dalam keadaan yang serba daif dan terdidik tabah mengharungi keperitan hidup…
(Azfa Hanani, 1995: 37)
Berdasarkan petikan yang telah diberikan, dapatlah disimpulkan bahawa akibat status ekonomi keluarga Pak Long yang masih berada di tahap yang tidak memuaskan, maka hal ini memberikan kesan yang amat besar kepada Nani dan anak-anak Pak Longnya yang lain, iaitu Zuraini, Zurina, Zahir dan Zahidin. Namun begitu, Pak Long Nani telah berusaha sedaya upaya untuk membesarkan keluarganya dengan melakukan kerja menoreh getah setiap pagi untuk menampung perbelanjaan keluarganya.
Oleh kerana pekerjaan Pak Long Nani sebagai penoreh getah, dan Mak Longnya seorang suri rumah tangga, telah menyebabkan keperluan asas untuk mendapatkan makanan dan minuman yang baik dan mencukupi menjadi masalah utama keluarga ini. Akibat daripada tidak mendapat makanan dan minuman yang baik dan secukupnya Nani terpaksa mengikat perutnya sendiri bagi menampung keperluan hidupnya yang lain. Petikan berikut menunjukkan Nani tidak mendapat makanan dan minuman yang baik dan secukupnya.
Kedaifan hidupku suatu ketentuan Allah. Kalau ayah dan ibu kandungku masih ada, aku mungkin tidak hidup melarat. Aku mampu hidup mewah dan tidak perlu mengikat perut.
(Azfa Hanani, 1995: 12)
Perkataan ‘mengikat perut’ yang terdapat pada petikan menunjukkan bahawa Nani terpaksa berkira-kira dan berjimat untuk mendapatkan makanan dan minuman yang
diperlukan kerana kemiskinan yang dialami oleh keluarga Pak Longnya. Selain itu juga, antara hidangan yang menjadi kebiasaan keluarga ini adalah ubi keledek rebus dan secawan teh kosong, dan kadang kala nasi putih bersama ikan kering:
Selalunya, perutku akan beralas dengan beberapa ketul ubi keledek rebus dan secawan teh kosong sebagai santapan pagi.
(Azfa Hanani, 1995: 29)
Di rumah Pak Long dan Mak Long, aku tidak pernah berpeluang menjamah
makanan seperti ini. Dapat makan nasi berlaukkan ikan kering pun, selalunya memadailah.
(Azfa Hanani, 1995: 67)
Antara sebab dan desakan utama Nani untuk memenuhi keperluan fisiologi ini kerana Nani ingin berjaya dalam pelajaran serta mahu mendapatkan pelajaran yang sempurna seperti pelajar yang lain. Seperti telah dinyatakan di perenggan sebelum ini, akibat daripada kurangnya mendapat keperluan makanan dan minuman yang baik dan secukupnya, Nani sering kali mengikat perut dan terpaksa berjimat cermat untuk mendapatkan makanan dan minuman yang berkhasiat. Hal ini adalah tidak baik bagi status seorang pelajar sekolah seperti Nani kerana proses pembelajaran akan lebih baik dan berkembang jika seseorang pelajar itu mendapat keperluan fisiologi seperti makan dan minum yang sepatutnya, iaitu sempurna dan berkhasiat. Sebagaimana yang diketahui, bagi seorang pelajar yang memerlukan aktiviti fizikal dan mental, sudah pasti nutrien yang cukup amat penting dalam aktiviti pembelajaran yang berkesan. Akibat daripada pemakanan yang tidak betul, pelajar mungkin tidak berada dalam keadaan fizikal yang optimum untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pembelajaran (Mohd Azlan Abdullah & Noraziah Ali, 2011: 65-66).
Nani berasa sungguh terdesak setelah masalah datang bertimpa-timpa ke atas keluarga Pak Longnya sehingga memaksa Nani mengambil keputusan untuk menerima pelawaan menjadi anak angkat keluarga hartawan dan menyamar sebagai anak bongsu keluarga itu yang telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Hal ini amat bertepatan dengan pendapat Clark Hull dalam Mohd Salleh Lebar (1994: 34) yang mengatakan bahawa tingkah laku seseorang dikaitkan dengan keperluan fisiologi yang mendesak seperti makan, minum dan sebagainya. Sekiranya keperluan tersebut tidak dipenuhi, menyebabkan organisma atau seseorang itu akan berasa terseksa.
Tindakan Nani untuk menerima pelawaan menjadi anak angkat keluarga hartawan itu adalah kerana tiga sebab yang utama iaitu pertama, Nani mahu mendapatkan pelajaran yang sempurna supaya boleh membantu keluarga Pak Longnya bila berjaya kelak. Jika Nani tidak menerima pelawaan tersebut, beliau akan keciciran dalam pelajaran serta tidak dapat belajar dengan sempurna seperti orang lain akibat daripada kemiskinan dan kedaifan keluarga mereka.
Kedua, Nani terpaksa menyamar dan menjadi anak angkat keluarga hartawan tersebut kerana beliau ingin membantu mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung oleh Pak Longnya. Hal ini kerana keluarga Pak Longnya sudah terlalu terbeban dengan pelbagai desakan hidup. Manakala ketiga, adalah untuk memulihkan dan mengubati Zuraini (sepupunya) yang lumpuh akibat jatuh dari bangunan sekolah. Abang Mazran (anak kepada Datin Maziah) dan Kak Finaz (isteri Abang Mazran) telah berjanji akan membawa Zuraini berubat ke mana sahaja jika Nani bersetuju menjadi anak angkat dan menyamar sebagai Tengku Murni (Azfa Hanani, 1995: 123).
Oleh hal yang demikian, kesan daripada tindakan Nani tersebut, iaitu setelah beliau menjadi anak angkat keluarga Datin Maziah dan Tengku Datuk Makmur, Nani telah berjaya memenuhi keperluan mendapatkan makanan dan minuman yang baik,
berkhasiat dan secukupnya. Keperluan makanan dan minuman Nani amat mencukupi setelah tinggal di rumah banglo keluarga hartawan tersebut. Perkara ini dapat dibuktikan pada petikan berikut:
Datin Maziah membawa aku ke meja makan. Di situ, hidangan makan tengah hari sudah tersedia. Aku menelan liur melihat sepinggan besar ayam masak merah, sepinggan ikan percik, semangkuk tomyam campur dan sepinggan sayur goreng sedang menanti untuk disantap.
(Azfa Hanani, 1995: 66-67)
Makan minum dan pelajaranku terurus sempurna dan aku disayangi dan disenangi oleh setiap anggota keluarga itu.
(Azfa Hanani, 1995: 78)
Walaupun telah mendapat segala kesenangan serta keperluan makanan dan minuman yang baik dan secukupnya ketika berada di rumah keluarga angkatnya, namun Nani tetap mengingati keluarga Pak Long dan Mak Longnya di kampung, terutamanya Zahidin sepupunya yang paling bongsu berusia lima tahun:
Di teratak buruk itu tengah hari itu, bagaimana pula? Seleraku tiba-tiba sahaja menjadi tumpul. Alangkah bagusnya kalau ayah dan ibu saudaraku serta sepupu-sepupuku dapat turut merasai hidangan hebat ini.
(Azfa Hanani, 1995: 67)
Aku teringat kepada Zahidin, yang sering kecur air liur kalau sesekali Mak Long menggoreng ayam.
(Azfa Hanani, 1995: 67)
Jadual 3.1 merupakan keperluan mendapatkan makanan dan minuman yang mencukupi dalam novel Azfa Hanani:
Jadual 3.1: Keperluan mendapatkan makanan dan minuman dalam novel Azfa Hanani.
Novel kedua dalam kajian ini, iaitu novel Trilogi Cinta (TC) karya Siti Jasmina Ibrahim pula telah mengetengahkan watak utamanya seorang remaja yang bernama Umi Citra Cempaka atau lebih dikenali sebagai Cempaka (nama ayahnya tidak dinyatakan dalam teks). Cempaka merupakan seorang pelajar Kolej Seni dan beliau boleh digolongkan sebagai anak orang berada atau anak orang senang. Oleh hal yang demikian, segala keperluan fisiologi atau keperluan asas Cempaka telah berjaya dipenuhi oleh beliau dengan mudah terutamanya dari aspek keperluan mendapatkan makanan dan minuman yang baik dan mencukupi.
Ayah Cempaka merupakan seorang arkitek yang berjaya malah ayahnya turut mempunyai syarikat sendiri. Segala perbelanjaan dan keperluan harian Cempaka seperti mendapatkan makanan, minuman, pakaian dan yuran pembelajarannya telah ditanggung oleh ayahnya. Namun begitu, contoh yang berkaitan dengan keperluan dari aspek
WATAK Keperluan (Akibat kekurangan) Sebab (Desakan untuk memenuhi keperluan) Tindakan (Tingkah laku) Kesan (Daripada tindakan) Azfa Hanani Zainal Ariff (Nani) Mahu mendapatkan makanan dan minuman yang mencukupi Nani ingin berjaya dalam pelajaran serta mahu mendapat pelajaran dengan sempurna seperti pelajar yang lain. Nani telah bersetuju menjadi anak angkat sebuah keluarga berada serta sanggup menyamar sebagai anak kandung keluarga tersebut yang telah meninggal dunia.
Nani telah berjaya memenuhi keperluan mendapatkan makanan dan minuman yang baik, berkhasiat dan secukupnya.
mendapatkan makanan dan minuman yang baik dan mencukupi tidak dinyatakan secara terperinci oleh pengarang (Siti Jasmina Ibrahim) di dalam novel ini.
Sungguhpun begitu, melihat kepada pekerjaan ayah Cempaka, yang mempunyai syarikat sendiri serta memiliki sebuah rumah teres dua tingkat maka dapat disimpulkan bahawa tidak menjadi masalah bagi ayah Cempaka untuk menanggung segala keperluan dari aspek makanan dan minuman ini. Tambahan pula, Cempaka merupakan anak tunggal di dalam keluarganya. Contoh keperluan untuk mendapatkan minuman bagi watak Cempaka boleh dilihat seperti petikan di bawah:
Cerek menjerit. Cempaka segera memadamkan api gas. Teh O dibancuhnya untuk ayah. Milo panas pula untuknya.
(Trilogi Cinta, 2002: 97)
Perbuatan cempaka seperti yang digambarkan dalam petikan telah menunjukkan bahawa Cempaka mudah mendapatkan keperluan fisiologi dari aspek minuman ini. Jadual 3.2 berikut menunjukkan keperluan untuk mendapatkan makanan dan minuman yang mencukupi telah dipenuhi oleh watak Cempaka tanpa mengalami sebarang kekurangan: