BAB 2: KAJIAN LITERATUR
2.3 Penerapan Konsep Ulul Albab dalam Kepimpinan Pendidikan
2.3.3 Kepimpinan Ulul Albab Yang Bersifat Ijtihadik
Kepimpinan Ulul Albab yang bersifat ijtihadik bermaksud golongan ilmuwan dan intelektual Islam yang mempunyai kreativiti dan daya cipta yang tinggi, yang mempunyai iltizam untuk berani mencuba perkara baru dan menghasilkan idea-idea baru demi kebaikan umat manusia, seperti mana yang diutarakan oleh Idris (2006), iaitu golongan Ulul Albab yang bersifat ijtihadik adalah mereka yang mampu dan berkeupayaan memberikan pandangan mereka dalam penyelesaian ummah, memaksimumkan keupayaan berfikir, berfikiran kreatif dan inovatif serta berteknologi tinggi.
Dalam kisah para sahabat Rasulullah SAW dalam bab ijtihad, Ibn Khaldun (1995) menjelaskan, bukan semua sahabat berautoriti dalam memberi fatwa atau ijtihad, tetapi kelayakan khusus itu adalah kepada mereka yang arif tentang al-Quran dari segi nasakh dan mansuhnya, mutasyabih dan muhkam, dan sebagainya seperti mana mereka menerimanya daripada Rasulullah s.a.w. dan mereka ini dikenali sebagai gelaran al-Qurra. Oleh sebab itulah, para ulamak telah bersepakat menetapkan beberapa syarat yang perlu ada pada seseorang mujtahid iaitu mengetahui al-Quran al-Karim, mengetahui al-Sunnah, menguasai ilmu Bahasa Arab, mengetahui tempat-tempat ijmak, menguasai ilmu Usul Fiqh, mengetahui maksud-maksud syariah, mengenal manusia dan kehidupan sekitarnya serta bersifat adil dan taqwa (Yusuf 1987) dalam (Wan Mariana, 2009).
University
Lantaran itu pengkaji telah menyelidiki sifat-sifat atau ciri-ciri Ijtihadik yang terdapat dalam kepimpinan Ulul Albab ini. Antara ciri-ciri Ijtihadik tersebut adalah:
i) Orang yang berakal fikiran dan bertaqwa.
ii) Orang yang sentiasa membekalkan diri dengan taqwa. iii) Orang yang mengambil hikmah dari firman Allah .
iv) Orang yang berqiamullail dan mengharap rahmat Allah s.w.t. v) Orang yang kritis mendengar dan memilih yang terbaik.
vi) Orang yang sentiasa memerhati dan mengambil iktibar daripada fenomena kejadian alam.
vii) Orang yang sentiasa memilih untuk melakukan kebaikan dan tidak tertarik kepada keburukan.
viii) Orang yang mengambil pengajaran dari sejarah umat terdahulu.
ix) Orang yang sentiasa bersabar apabila diberi peringatan dan diberi rahmat oleh tuhan.
Oleh yang demikian bagi menyelidiki konsep kepimpinan Ulul Albab yang bercirikan Ijtihadik ini, penyelidik telah mengenalpasti antara faktor yang perlu diselididki adalah berkenaan dengan konsep pemantauan (monitoring), persekitaran kerja (environment), kestabilan emosi dan kerohanian.
Konsep pemantauan oleh pengetua bukanlah yang dimaksudkan melalui proses kerja yang dibentuk dengan ketat untuk memantau guru, dan menggunakan paksaan untuk guru melaksanakan tugas seperti yang diharapkan. Kebanyakkan pemimpin beranggapan tanpa pemantauan ketat guru tidak akan memberikan yang terbaik untuk sekolah, guru akan curi tulang dan mengurangkan usaha dan menganggap guru sebenarnya tidak bermotivasi untuk mencapai wawasan sekolah sebaliknya hanya menanti gaji di hujung bulan. Kesan daripada pemantauan yang seumpama ini, boleh menyebabkan guru hidup dalam keadaan tertekan dan menghalang komunikasi yang berkesan, kurang semangat serta melemaskan (Zaidatol Akmaliah, 2014).
University
Sebaliknya menurut Zaidatol Akmaliah (2014) lagi, pemimpin yang berorientasi profesional mempraktikkan orientasi kepimpinan yang lebih fleksibel iaitu kurang berpusat dan kurang berbentuk rasmi. Pemimpin mengiktiraf kelulusan dan kelayakan guru, malahan guru juga diberi lebih kepercayaan dan autonomi. Polisi dan prosedur kerja tetap wujud secara bertulis tetapi ia dianggap sebagai panduan yang fleksibel, dan bukannya mesti dituruti secara mutlak. Melalui cara ini motivasi dan komitmen guru akan lebih dapat ditingkatkan. Guru-guru akan bekerja melebihi jangkaan biasa. Jadi para pemimpin sebenarnya perlu percaya kepada kemampuan guru. Pemantauan yang seumpama inilah yang diharapkan berlaku dalam konteks kepimpinan Ulul Albab sebagaimana menurut Techannen & Moran (2004) dalam Zaidatol Akmaliah (2014), pemimpin tidak menggunakan kuasa paksaan tetapi terlibat dalam membantu dan melibatkan diri bersama-sama guru untuk meningkatkan profesionalisme guru.
Selanjutnya dalam konteks persekitaran kerja atau iklim organisasi adalah boleh dikategorikan sebagai iklim terbuka dan iklim tertutup (Halpin & Croft, 1963), di mana iklim organisasi bermula dari sudut psikologi yang digambarkan sebagai ‘personaliti’ sesebuah sekolah. Hal ini dapat dirasakan apabila kita melawat mana-mana sekolah di mana kita akan merasakan kelaianan atau ada perbezaan antara sekolah tersebut dengan sekolah yang lain. Sekolah dengan iklim terbuka yang dimaksudkan adalah sebuah sekolah yang bertenaga, hidup dan sentiasa bergerak untuk mencapai matlamat dan kepuasan bersama. Manakala iklim sekolah yang tertutup pula adalah sekolah yang menunjukkan sifat tidak ambil peduli dikalangan guru dan stafnya. Semangat mereka adalah rendah kerana tidak mencapai kepuasan dalam prestasi bekerja serta kepuasan dalam keperluan sosial mereka (Zaidatol Akmaliah, 2014).
Oleh kerana pengetua adalah individu yang menentukan iklim atau persekitaran kerja di sekolah, maka menurut Braukman dalam Wright & Renihin (1998) telah menggariskan beberapa strategi bagi meningkatkan iklim sekolah yang baik, iaitu termasuklah menghormati profesionalisme guru dan staf, berinteraksi dengan pelajar di bilik
University
darjah, bermesra dengan guru, menghormati pandangan orang lain, menyediakan sumber yang cukup, memberikan teguran membina, dan menggunakan semua kekuatan sumber yang ada.
Seterusnya ialah berkenaan dengan konsep kestabilan emosi dan kerohanian yang perlu ada dalam kepimpinan Ulul Albab, dimana ianya adalah berhubung secara langsung dengan kecerdasan emosi (EQ) dan kejiwaan. Kecerdasan emosi (EQ) menurut Habibah Elias dalam Zaidatol Akmaliah & Soaib Asimiran (2014), adalah melibatkan empati emosi; memberi perhatian dan membezakan emosi seseorang; mengenali dengan tepat mood seseorang dan mood orang lain; pengurusan mood atau kawalan emosi; memberi gerak balas dengan emosi dan tingkah laku yang sesuai dalam berbagai situasi kehidupan (terutama dalam keadaan tekanan dan situasi sukar); dan memiliki kemahiran sosial serta komunikasi yang baik. Menurut beliau lagi secara keseluruhannya kecerdasan emosi menunjukkan pola bagaimana prasangka dalam pemikiran manusia menjadikan mereka berfikir bahawa sesuatu perkara itu adalah lebih baik daripada yang lain dan kebolehan mereka untuk membezakan antara prasangka yang ada untuk membuat pertimbangan yang jelas dan baik.
Secara ringkasnya, kecerdasan emosi (EQ) menurutHabibah Elias dalam Zaidatol Akmaliah & Soaib Asimiran (2014), boleh membantu para pemimpin atau seseorang dari segi:
i) Mengekalkan hubungan pemimpin dengan diri dan persekitaran dalaman dan luaran walaupun sedang fokus dalam sesuatu kerja.
ii) Mengekalkan hubungan pemimpin dengan orang lain dari segi perasaan dan kerja mereka.
iii) Menjadikan tetap pendirian dengan nilai-nilai kepimpinan daripada keperluan emosi yang menyokong kehidupan peribadi dan sosial.
iv)Mencegah masalah kesihatan dengan menimbulkan kesedaran tentang masalah kesihatan yang dihadapi sebelum ia menjadi serius.
University
Selanjutnya menurut Habibah Elias dalam Zaidatol Akmaliah & Soaib Asimiran (2014), kecekapan atau kecerdasan emosi (EQ) telah dibuktikan lebih menyumbangkan kepada pencapaian di tempat kerja berbanding dengan kemahiran teknikal, trait personaliti dan kecerdasan intelek (IQ).Menurut beliau lagi kecerdasan emosi (EQ) boleh menentukan tahap kecekapan sosial iaitu yang menentukan tahap hubungan antara sesama manusia. Berikut adalah lima kecekapan EQ yang telah dibuktikan menyumbang kepada pencapaian cemerlang di tempat kerja, iaitu :
i) Kecekapan Intuisi dan empati yang terdiri daripada kesedaran kita tentang perasaan, keperluan dan kepentingan orang lain. Kecekapan ini penting di tempat kerja kerana sekiranya kita memahami orang lain dari segi perasaan mereka dan menunjukkan minat terhadap perkara yang mereka utamakan dan yang mereka gemar; orientasi terhadap pelanggan, iaitu kebolehan menjangka dan mengenali keperluan pelanggan dan cuba memenuhinya; perkembangan manusia iaitu kebolehan merasakan apa yang orang lain perlukan untuk berkembang dan menguasai kekuatan mereka; dan akhir sekali menggunakan kepelbagaian yang ada untuk mengadakan berbagai peluang bagi manfaat bersama.
ii) Kemahiran sosial dan kepimpinan, dimana kemahiran ini penting di tempat kerja kerana ianya dapat mempengaruhi orang lain seperti menggunakan teknik dan cara yang berkesan untuk memujuk dan mendapatkan hasil yang dikehendaki; kemahiran berkomunikasi dengan menyampaikan mesej yang jelas dan berkesan; berkepemimpinan, iaitu menjadi sumber inspirasi dan pembimbing kumpulan orang tertentu; pemangkin perubahan dalam memulakan dan mengurus perubahan di tempat kerja; penyelesaian konflik; membina ikatan; berkolaborasi dan bekerjasama; dan keupayaan berpasukan yang membina sinergi kumpulan untuk mencapai matlamat bersama.
iii) Kecekapan kesedaran kendiri, iaitu mengetahui tentang keadaan dalaman seseorang, kegemaran, sumber dan intuisi. Kecekapan ini penting di tempat kerja kerana melalui kesedaran emosi akan dapat mengenali emosi seseorang dan kesannya kepada orang lain;
University
penilaian kendiri yang tepat dengan mengetahui tentang kekuatan dan batasan seseorang; berkeyakinan diri dan kepastian tentang harga diri dan kebolehan seseorang.
iv) Kecekapan aturan kendiri, iaitu mengurus keadaan dalaman seseorang, gerak hati dan sumber. Kecekapan ini penting di tempat kerja kerana ianya dapat mengawal diri dari segi mengurus emosi dan gerak hati yang mengganggu; boleh dipercayai iaitu mengekal standard kejujuran dan integriti; menerima dan bertanggungjawab terhadap prestasi peribadi; mudah menyesuaikan diri dalam mengurus perubahan dan berinovasi iaitu bersifat terbuka terhadap idea, pendekatan dan maklumat baru.
v) Kecekapan jangkaan kendiri dan motivasi, iaitu kecenderongan emosi yang membimbing atau memudahkan pencapaian matlamat. Kecekapan ini penting kerana ianya mempunyai desakan pencapaian yang berusaha untuk menambah baik atau memenuhi standard kecemerlangan yang ditentukan untuk diri sendiri; komitmen untuk berusaha menuju kearah matlamat kumpulan atau organisasi; berdaya usaha, iaitu kesediaan untuk bertindak apabila munculnya peluang tanpa perlu diberitahu; optimism, iaitu ketekunan dalam mencapai matlamat walaupun ada halangan dan kesukaran.
Seterusnya pematuhan warga MRSM kepada peraturan yang adil akan melahirkan pengikut yang komited. Peraturan yang digariskan mampu membina warga MRSM yang mempunyai ikatan ukhuwwah yang kukuh dan seterusnya mengamalkan konsep PLC (Professional Learning Community) di mana warga MRSM akan sokong menyokong antara satu sama lain. Zuraidah (2010), menghuraikan PLC/KPP (Komuniti Pembelajaran Profesional) sebagai sekumpulan individu (komuniti) yang mempunyai budaya belajar yang tersendiri. Guru-guru belajar dan muridnya juga belajar. Seluruh komuniti di sekolah berkumpul bersama belajar, saling mengambil berat dan sentiasa berdialog antara satu sama lain. Dalam kalangan guru-guru, KPP adalah berkaitan dengan membangunkan budaya belajar dan sentiasa belajar secara berterusan supaya dapat membangun seiring dengan perubahan semasa. Ini bertepatan dengan pandangan Scherer (2009) yang memetik
kata-University
kata Hord (2008) bahawa KPP merupakan strategi ke arah menambah baik dan meningkatkan keberkesanan sekolah melalui warga sekolah yang sentiasa belajar.
Akhir sekali adalah ciri kerohanian yang perlu ada dalam dimensi Ijtihadik kepimpinan Ulul Albab, iaitu perkara pokok yang semestinya ada dalam dada pemimpin Ulul Albab yang merangkumi keyakinan terhadap Tuhan, kepercayaan beragama, kemantapan jiwa, penghayatan nilai-nilai murni dan norma masyarakat, berbudi pekerti mulia, berbakti dan berkorban. Pembentukkan aspek kerohanian ini dapat dilakukan melalui pendidikan Agama Islam (Ahmad kilan, 2013).
Sehubungan dengan itu menurut Razali Mat Zain (1999), dalam Islam proses perubahan dan pembangunan manusia (anggota organisasi) itu sendiri hendaklah selaras dengan konsep tauhid, iaitu segala usaha hendaklah dijuruskan kepada peningkatan hubungan manusia dengan Allah SWT. Proses tersebut hendaklah dalam rangka untuk penyucian nafsu (tazkiyah al-nafs) dan untuk menyuburkan sifat-sifat terpuji (mahmudah) serta mengikis sifat-sifat terkeji (mazmumah). Sifat manusia adalah terdiri daripada jasad dan roh, maka pembangunan manusia tidak akan sempurna jika hanya satu aspek sahaja yang diberi perhatian. Manusia yang hanya sihat dari segi jasadnya tetapi tidak sihat dari segi rohnya sudah pasti bukan manusia yang sempurna. Perkara ini adalah kerana manusia tidak dapat membendung nafsunya dan melakukan sesuatu hanya untuk kepuasan fizikalnya sahaja (Syed Othman al-Habshi & Hamiza Ibrahim, 1998).